Bea merupakan anak tunggal keluarganya. Kehidupannya susah namun Bea tetap gembira kerana sentiasa dilimpahi kasih sayang. Setiap pagi, Bea akan menolong ibunya menjual kuih-muih dan nasi lemak untuk menanggung kehidupan keluarganya. "Bea, jangan lupa bawa bekas kuih yang ibu letak di atas meja tadi" kata ibunya. "Baik ibu" balasnya.
Sebelum berangkat ke sekolah, Bea sudah sedia untuk menjual kuih-muih dan nasi lemak di depan rumahnya. "Kuih! Kuih! Nasi lemak!" laungnya. Seperti yang dijangka, ramai pelanggan datang ke gerai jualan Bea untuk membeli kuih muih sebagai sarapan pagi. Ada juga ibu dan makcik kampung yang sempat singgah di gerai sebelum menghantar anak mereka ke sekolah. "Terima kasih makcik. Terima kasih Cik Mimi" kata Bea yang telah selesai menjual kuih-muih dan nasi lemaknya.
"Syukur, jualan kuih dan nasi lemak habis hari ini. Bea nak pergi ke sekolah dulu ya." kata Bea kepada ibunya. "Bea, ini wang saku untuk Bea. Belajar rajin-rajin di sekolah." balas ibunya. "Terima kasih ibu" balas Bea pula dengan penuh gembira lalu bersalam tangan dengan ibunya sebelum berangkat ke sekolah.
Pada waktu rehat, Bea ternampak salah satu poster dilekatkan oleh Cikgu Airis di papan kenyataan. Poster itu adalah poster Pertandingan Nyanyian Solo Sempena Hari Kanak-kanak.
"Mici, apa pendapat kau jika aku menyertai pertandingan nyanyian ini?" soal Bea sambil menunjukkan poster tersebut kepada Mici yang berdiri di sebelahnya. “Kau perlu daftar sahaja. Lagi pula, kau memang berbakat dalam nyanyian. Suara kau pun merdu bak penyanyi Dato Siti Nurhaliza." jawab Mici sambil memuji Bea. "Terima kasih Mici. Kalau begitu, aku ingin berjumpa dengan Cikgu Airis untuk mendaftar" jawab Bea.
"Cikgu, bolehkah saya menyertai pertandingan nyanyian solo ini?" soal Bea yang sedang berjumpa dengan Cikgu Airis di bilik guru. "Boleh Bea. Namun begitu, yuran pendaftaran pertandingan ini ialah RM30." balas Cikgu Airis.
Kelihatan raut wajah Bea berubah setelah mendengar tentang yuran pendaftaran pertandingan nyanyian itu. “Tak mengapa cikgu.” balas Bea dengan raut wajah yang sayu kerana baginya duit untuk rawatan ayahnya lagi penting berbanding dengan duit untuk menyertai pertandingan nyanyian tersebut.
Cikgu Airis yang melihat situasi tersebut memujuk Bea sambil berkata “Bea, cikgu tahu kamu berminat dalam bidang nyanyian. Mungkin dengan pertandingan nyanyian ini, dapat membantu keluarga kamu.” Bea yang mendengar kata-kata cikgunya berfikir sejenak kemudian membuat keputusan untuk mendaftar dalam pertandingan nyanyian tersebut.
Tiba-tiba, Bea terdengar suara yang seakan-akan memanggil namanya. "Hei Bea! Kau pun nak ikut pertandingan nyanyian ini juga?" soal Lin kepadanya. Lin merupakan rakan sekelas Bea tetapi selalu bersikap buruk terhadap Bea kerana kehidupan Bea yang miskin.
"Hai Lin. Ya, saya pun ikut pertandingan nyanyian ini." jawab Bea. "Kau orang miskin. Bayar yuran pun tak mampu. Kau tak layak ikut pertandingan ini." kata Lin terhadap Bea. "Lin, tak baik cakap begitu. Bea layak dalam pertandingan ini kerana dia berbakat dalam nyanyian” kata Mici yang sememangnya sedang berdiri di sebelah Bea. Bea hanya mendiamkan diri sahaja mendengar kata-kata Lin itu.
“Lin! Jangan pandang rendah atas kekurangan orang lain. Semua orang layak menyertai pertandingan nyanyian ini.” kata Cikgu Airis. “Bea, yuran pendaftaran itu boleh dibuat dalam tempoh tiga hari.” tambah Cikgu Airis pula. “Baiklah cikgu, terima kasih.” jawab Bea. Riak wajah Lin terus berubah selepas ditegur oleh Cikgu Airis. Dia berlalu pergi dengan muka yang tidak puas hati.
Pada pagi itu, seperti biasa Bea akan membuka gerai jualannya. Kali ini dia perlu bekerja keras kerana perlu membayar yuran pendaftaran pertandingan nyanyian dalam tempoh tiga hari kerana dia tahu kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Hasil daripada jualan tersebut, akhirnya dia berjaya membayar yuran pertandingan nyanyian itu.
Dua hari sebelum pertandingan nyanyian, Bea berlatih bersungguh-sungguh. Bea tidak berputus asa dan tidak lemah dengan kata-kata Lin yang lalu terhadapnya sebaliknya menjadikan kata-kata itu sebagai satu cabaran dan motivasi untuk membanggakan kedua-dua ibu bapanya.
“Ibu doakan agar kamu berjaya dalam pertandingan nyanyian itu. Menang atau kalah adat pertandingan. Ibu tahu kamu memang berbakat.” kata ibunya yang menjenguk Bea sedang berlatih menyanyi di dalam bilik. “Terima kasih ibu.” balasnya pula. Sebenarnya salah satu sebab dia ingin mengikuti pertandingan itu kerana ingin membantu keluarganya. Ayahnya pula sakit dan perlu banyak berehat di rumah. “Bea pasti boleh buat!” bisik hatinya dengan penuh harapan.
Pertandingan nyanyian pun bermula. Kesemua peserta membuat persembahan nyanyian solo dengan penuh semangat. Ramai ibu bapa datang untuk memberikan sokongan kepada anak-anak mereka. “Tahniah kepada semua peserta. Sekarang kita akan mengumumkan pemenang bagi pertandingan nyanyian solo ini.” kata pengacara itu.
Ramai penyokong bersorak menantikan pengumuman bagi pemenang pertandingan nyanyian tersebut. “Putus asa sahaja Bea. Sudah pasti aku yang akan menang pertandingan ini.” kata Lin dengan penuh yakin dan berbaur sindiran. Bea hanya berdiam diri sahaja. Dia hanya senyum dan berdoa yang baik-baik kerana dia tahu bahawa dia sudah melakukan persembahan yang terbaik dengan usahanya selama ini.
“Tahniah diucapkan kepada semua peserta. Sekarang kita akan umumkan juara bagi pertandingan nyanyian solo kali ini ialah…”, dengan penuh debaran, “Bea Arisa!” kata pengacara itu. “Naib johan pula jatuh kepada Lin Amira.” Jelas terpancar senyuman di wajah Bea apabila berjaya mendapat tempat pertama dalam pertandingan nyanyian itu. Lin begitu terkejut kerana Bea dapat mengalahkannya dalam pertandingan itu.
Melihat wajah Lin yang muram dan sedih itu, Bea datang kepadanya sambil berkata “Tahniah Lin. Kau juga hebat. Saya bangga kerana kita berdua berjaya memenangi pertandingan nyanyian ini.” sambil menghulurkan trofi kemenangannya kepada Lin. “Ambillah trofi ini. Sebenarnya kau juga layak mendapat trofi ini.” tambah Bea. “Kenapa kau beri trofi ini kepada aku?” soal Lin.
“Semua peserta yang bertanding sememangnya berbakat dalam nyanyian. Saya ingin berkongsi kemenangan dan kegembiraan ini bersama orang lain. Saya tidak perlukan trofi ini. Cukup sahaja saya gembira kerana dapat membanggakan kedua-dua ibu bapa saya.” balas Bea kepada Lin.
Kata-kata yang diujarkan oleh Bea itu membuatkan Lin terdetik dalam hatinya tentang sikap buruknya selama ini. Dia sedar bahawa dia telah banyak melakukan kesilapan kepada Bea. Dia telah memperlekehkan Bea dan keluarganya yang miskin. “Maafkan aku, Bea. Aku telah banyak bersikap buruk dengan kau tetapi kau pula tidak pernah berbuat jahat kepada aku.
“Aku minta maaf kerana telah mengata kau miskin dan mengata kau tidak layak mengikuti pertandingan nyanyian ini.” kata Lin sambil menangis. “Aku menyesal.” tambahnya pula. “Tak mengapa Lin. Aku maafkan kau. Aku harap kita boleh berkawan baik selepas ini.” balas Bea. Cikgu Airis yang menyaksikan kejadian itu senyum kerana kedua-dua anak muridnya berkawan baik dan telah mendapat pengajaran dalam diri mereka.
Pada petang itu, seorang posmen datang ke rumah Bea untuk menghantar surat. Bea menerima dan membuka sampul surat itu dengan senyuman manis. Rezeki tidak pernah salah alamat. Berkat usaha dan doa keluarganya, Bea ditawarkan untuk menjadi penyanyi cilik kerana bakatnya yang terserlah semasa pertandingan nyanyian solo yang lalu.
Bea berasa gembira kerana doanya untuk menjadi seorang penyanyi akhirnya termakbul. Dia juga dapat membantu keluarganya terutama sekali ayahnya yang sakit. Dia berharap dengan peluang ini dapat mengubah hidupnya sekeluarga. Walaupun usianya begitu muda untuk menjadi seorang penyanyi tetapi ianya bukan halangan untuk Bea terus maju dalam impiannya. Tanpa disangka, angan-angannya dahulu kini menjadi kenyataan. “Akhirnya, Bea Arisa berjaya!” bisik hatinya dengan penuh makna.
1. Kita mestilah rajin berusaha untuk mencapai sesuatu yang diimpikan dengan bersungguh-sungguh. 2. Kita perlulah menyayangi ibu bapa dengan penuh kasih sayang. 3. Kita perlulah bersikap rendah diri dalam setiap perbuatan yang dilakukan. Cerpen ini bertemakan kasih sayang terhadap keluarga. Kesungguhan seorang anak dalam membantu kehidupan keluarganya yang susah dan rajin berusaha untuk mencapai sesuatu perkara yang diingini. 1. Nilai kerajinan 2. Nilai kasih sayang 3. Nilai rendah diri