Instrumen Pentaksiran Bilik Darjah dalam Mata Pelajaran Pendidikan Islam 1.0 Pengenalan PBD Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) merupakan proses yang berterusan dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) untuk mendapatkan maklumat tentang perkembangan, kemajuan, kebolehan dan penguasaan murid terhadap matlamat kurikulum yang dihasratkan. PBD merangkumi proses mengumpul dan menganalisis maklumat serta membuat refleksi terhadap PdP ke arah menambah baik PdP tersebut. Pelaksanaan PBD yang betul dan tepat akan memberi gambaran yang jelas tentang penguasaan murid terhadap Standard Pembelajaran yang ditetapkan. Justeru semua maklumat yang diperoleh daripada pentaksiran hendaklah digunakan untuk membantu pihak sekolah dan ibu bapa merancang tindakan susulan ke arah membah baik penguasaan dan pencapaian murid dalam pembelajaran, bukan bertujuan untuk perbandingan atau persaingan antara murid. Guru memainkan peranan penting dalam melaksanakan PBD dengan menentukan objektif pembelajaran berdasarkan Standard Pembelajaran yang hendak ditaksir, merancang dan membina instrumen pentaksiran, melaksanakan pentaksiran, merekod hasil pentaksiran, menganalisis maklumat pentaksiran, melapor dan membuat tindakan susulan (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2019). 2.0 Analisis Instrumen PBD Penulisan ini membincangkan kaedah pelaksanaan PBD seorang guru Pendidikan Islam yang mengajar di sebuah sekolah rendah di Kedah. Menurut Muhammad Mustaqim Roslan (2023), para guru di Malaysia telah diperkenalkan dengan pelbagai instrumen yang boleh digunakan dalam mentaksir murid. Senarai semak dan skala kadar merupakan antara instrumen yang digunakan oleh guru Pendidikan Islam tersebut dalam proses pengajarannya. Rajah 1 (Lampiran A) dan Rajah 2 (Lampiran B) menunjukkan borang senarai semak dan borang skala kadar yang disediakan oleh guru tersebut. Senarai semak ialah senarai item yang disediakan untuk mengenal pasti perkembangan murid dari segi pengetahuan, kemahiran, sikap dan kebolehan (Jabatan Agama Islam Selangor, 2019). Senarai semak boleh dibina dalam bentuk menyatakan sesuatu tingkah laku yang telah berlaku atau tidak iaitu dengan skor ‘Ya’ atau ‘Tidak’. Dalam senarai semak di Rajah 1, antara tingkah laku yang dinilai ialah lafaz niat, amali wuduk, tertib dan doa selepas wuduk. Guru akan menandakan (/) yang bermaksud murid melakukan tingkah laku tersebut dan meninggalkan ruangan kosong yang bermaksud murid tidak melakukan tingkah laku tersebut. Skala kadar pula merupakan salah satu instrumen penilaian kemajuan yang menggambarkan pencapaian murid. Skala diberi dalam bentuk angka atau gred. Skala kadar di Rajah 2 menggunakan skala dalam bentuk angka iaitu dari
skor 1 hingga 6. Tafsiran bagi setiap skor dinyatakan di bawah borang tersebut sebagai rujukan murid. Pentaksiran alternatif secara umumnya bermaksud mana-mana kaedah penilaian yang merupakan alternatif selain pentaksiran tradisional seperti ujian pensel-kertas. Pentaksiran alternatif menghendaki murid untuk menunjukkan kemahiran dan pengetahuan yang mana tidak dapat dinilai dengan menggunakan ujian yang ditetapkan masa seperti pentaksiran sumatif. Ia bertujuan untuk mendedahkan kemahiran pemikiran kritikal dan mentaksir murid dengan meminta murid untuk menyelesaikan tugasan terbuka yang mengambil tempoh lebih daripada satu kelas untuk melengkapkannya. Antara jenis pentaksiran alternatif ialah pentaksiran prestasi, pentaksiran portfolio, penilaian rakan sebaya, penilaian kendiri dan pentaksiran atas talian. Terdapat tiga kaedah yang boleh digunakan oleh guru dalam menjalankan pentaksiran iaitu kaedah pemerhatian, lisan dan bertulis. kaedah pemerhatian berlaku apabila guru memerhati dan mantaksir hasil kerja murid. Manakala kaedah lisan berlaku apabila guru bersoal jawab dengan murid secara lisan tentang topik pelajaran yang diajar. Kaedah bertulis pula berlaku apabila guru melakukan penyemakan dan pemeriksaan terhadap tugasan murid (Lee et al., 2024). Berdasarkan instrumen di Rajah 1, jenis pentaksiran alternatif yang dikenal pasti digunakan oleh guru ialah pentaksiran prestasi. Menurut Lee et al. (2024), pentaksiran prestasi merupakan satu pendekatan untuk mengukur prestasi murid melalui penyempurnaan sesuatu tugasan yang ditetapkan. Murid perlulah menyempurnakan tugasan tersebut secara sendiri. Bagi mendapatkan maklumat tentang penguasaan murid dalam sesuatu topik, guru kebiasaannya akan menggunakan kaedah pemerhatian. Misalnya, bagi menguji sejauh mana pemahaman murid-muridnya berkaitan topik wuduk yang telah mereka pelajari di dalam kelas, guru telah menjalankan aktiviti amali wuduk. Pada awalnya, guru menunjukkan demonstrasi cara berwuduk dengan betul kepada murid-murid. Kemudian, beliau mengarahkan muridmurid melakukan amali wuduk secara bergilir dalam kumpulan seperti dalam Rajah 3 (Lampiran C). Sepanjang tempoh tersebut, beliau membuat pemerhatian dan penilaian terhadap murid-muridnya. Penilaian dibuat berdasarkan aspek yang terkandung dalam borang senarai semak yang telah beliau sediakan. Berdasarkan instrumen di Rajah 2, pentaksiran alternatif yang dikenal pasti digunakan oleh guru ialah penilaian kendiri. Di mana beliau menyediakan satu instrumen penilaian dalam bentuk borang skala kadar untuk diisi oleh murid. Ini adalah salah satu cara untuk membantu murid menilai diri mereka sendiri. Penilaian kendiri adalah penilaian yang dilakukan oleh murid sendiri mengenai kemajuan pembelajaran mereka berdasarkan matlamat pembelajaran atau standard yang perlu dicapai. Penilaian ini membolehkan murid mengukur dan membuat
refleksi terhadap kekuatan dan kelemahan kendiri dalam penguasaan sesuatu kemahiran atau disiplin ilmu secara individu. Instrumen yang digunakan dalam penilaian ini kebiasaannya merupakan senarai semak dan rubrik. Namun, jenis instrumen yang lain masih boleh diguna pakai. Contohnya, guru menggunakan instrumen skala kadar bagi mendapatkan maklumat mengenai kemajuan murid dalam hafalan Surah Al-Ma’un. Dalam borang skala kadar tersebut, terdapat beberapa kriteria yang perlu diisi oleh murid seperti membaca dan menghafaz ayat dengan lancar, menulis ayat yang dihafaz serta menyemak hafazan dengan orang lain. Murid perlu menanda skor yang dirasakan bersesuaian dengan usaha mereka. Rajah 4 (Lampiran C) menunjukkan keadaan kelas semasa mata pelajaran Pendidikan Islam. Berdasarkan kriteria yang terdapat di dalam borang skala kadar tersebut, jelaslah bahawa kaedah pelaksanaan PBD yang digunakan oleh guru ialah kaedah lisan dan bertulis. 3.0 Penilaian Instrumen dari Aspek kesahan, Kebolehpercayaan dan Kemudahtafsiran Kesahan digunakan untuk menguji ketepatan sesuatu alat ukur yang digunakan dalam pentaksiran. Kesahan dilaksanakan bertujuan untuk memastikan indikator yang digunakan mengandungi semua ciri-ciri yang perlu ada dalam aspek-aspek yang ingin diukur (Sabitha 2006). Ini bermaksud, sesuatu instrumen itu boleh dianggap sah jika dapat mengukur apa yang sepatutnya diukur. Aspek kesahan terdiri daripada kesahan kandungan, kesahan konstruk dan kesahan ramalan. Kesahan kandungan merujuk kepada proses untuk menentukan tahap sesuatu ujian dapat menyediakan sampel yang relevan dan mewakili domain kandungan yang diajarkan. Berdasarkan penelitian, kesahan kandungan borang senarai semak di atas adalah tinggi. Hal ini kerana guru telah mengajar murid niat berwuduk, doa selepas wuduk dan juga rukun wuduk terlebih dahulu semasa di dalam kelas sebelum amali tersebut dilaksanakan. Kriteria yang terkandung dalam borang senarai semak tersebut jelas merangkumi semua topik yang telah diajarkan oleh guru di dalam kelas. Kesahan ramalan pula merujuk kepada tahap skor suatu ujian membolehkan guru untuk membuat ramalan tentang prestasi murid pada masa hadapan. Berdasarkan penelitian, kesahan ramalan bagi murid yang menjawab borang skala kadar di atas adalah tinggi. Hal ini kerana kebanyakan skor yang diperoleh oleh murid tersebut adalah terdiri daripada skor 4 dan 5. Dari borang tersebut, guru dapat mengetahui bahawa murid tersebut mampu untuk menjawab soalan berkaitan Surah Al-Ma’un dengan baik sekiranya ditanyakan dalam peperiksaan kelak. Kebolehpercayaan merupakan antara ciri utama keputusan pentaksiran. Kebolehpercayaan bermaksud suatu keputusan yang boleh dipercayai merupakan suatu keputusan yang menunjukkan pencapaian yang sama pada masa yang berlainan (McMilan, 2004). Menurut Miller et al. (2009), antara aspek yang perlu dipertimbangkan dalam kebolehpercayaan ialah
perlu dirujuk kepada keputusan ujian dan bukannya instrumen. Hal ini demikian kerana manamana jua instrumen atau ujian akan memperoleh kebolehpercayaan yang berbeza kerana bergantung kepada kumpulan calon yang terlibat. Keputusan yang diperoleh daripada instrumen senarai semak di atas boleh dikatakan mempunyai kebolehpercayaan yang tinggi. Hal ini kerana guru sendiri yang menilai murid melalui pemerhatiannya. Akan tetapi keputusan bagi instrumen skala kadar mempunyai kebolehpercayaan yang rendah. Hal ini kerana borang tersebut diisi oleh murid sendiri. Sesetengah murid mungkin tidak berlaku jujur semasa mengisi borang tersebut. Apabila murid tidak berlaku jujur, maka keputusan pentaksiran yang diperoleh menjadi tidak tepat. Sebagi contoh, murid yang tadinya diramal oleh guru dapat menjawab soalan berkaitan Surah Al-Ma’un dengan baik pada masa akan datang ternyata tidak dapat menjawab ia sebaik yang diramal. Kesannya, kebolehpercayaan keputusan yang diperoleh menjadi rendah dan diragui. Seterusnya, keputusan pentaksiran yang diperoleh perlulah ditafsir dan diaplikasi dengan betul supaya ia dapat memberi manfaat kepada murid. Kemudahtafsiran merujuk kepada kemampuan sesuatu ujian dalam memberikan maklumat tentang murid berdasarkan skor yang diperoleh (Kementerian Kesihatan Malaysia, 2023). Berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada instrumen, guru boleh mengetahui kekuatan dan kelemahan murid. Contohnya, berdasarkan senarai semak di atas guru mendapati bahawa dua orang murid iaitu Wahab dan Naim masih belum menghafal doa selepas wuduk. Dari situ, guru akan melakukan refleksi terhadap kelemahan pengajarannya yang menyebabkan 2 daripada 5 orang murid masih belum mengingati bacaan doa selepas wuduk seterusnya melakukan penambahbaikan pada masa akan datang. Seterusnya, berdasarkan skala kadar di atas, guru dapat mengetahui bahawa Wahab dapat membaca, menghafal dan menulis Surah Al-Ma’un dengan betul, lancar dan bertajwid serta mengamalkannya kerana kebanyakan skor yang diperoleh oleh Wahab ialah skor 4 & 5. Jelaslah bahawa kedua-dua instrumen ini membantu guru membuat tafsiran dan memberikan gambaran umum kepada murid tentang pencapaiannya dengan lebih mudah dan tepat. 4.0 Refleksi Kelebihan instrumen senarai semak adalah dapat membantu guru memberikan fokus terhadap tingkah laku yang hendak diukur. Misalnya, guru hanya perlu fokus kepada tingkah laku murid iaitu melafazkan niat semasa berwuduk, melakukan kesemua rukun wuduk mengikut tertib, seterusnya mengakhiri amalan wuduk tersebut dengan doa selepas wuduk. Selain itu, senarai semak juga mudah untuk diisi, praktikal dan boleh digunakan oleh orang yang tidak mahir. Ini merupakan salah satu sebab mengapa pihak sekolah gemar mengeluarkan borang jenis senarai semak untuk apa-apa jenis urusan seperti urus jual beli
buku. Hal ini kerana ianya lebih mudah untuk diisi oleh semua golongan termasuklah ibu bapa dan murid. Namun kekurangannya ialah senarai semak hanya melihat pada tingkah laku tertentu dan bukan keseluruhan. Hal ini boleh menyebabkan guru terlepas pandang akan tingkah laku yang penting. Cadangan penambahbaikan bagi mengatasi isu ini ialah guru perlulah menambah tingkah laku yang ingin diperhatikan seperti melakukan amalan sunat ketika berwuduk. Hal ini kerana menurut Lee et al. (2024), semakin banyak bilangan item dalam suatu pentaksiran, maka semakin tinggi kebolehpercayaannya. Kelebihan instrumen skala kadar di atas adalah dapat menjimatkan masa guru untuk mengesan kemajuan murid. Dengan adanya instrumen skala kadar, guru tidak perlu lagi mengambil masa yang lama untuk menilai hafazan setiap murid di dalam kelas. Namun kelemahannya adalah ia memiliki kebolehpercayaan yang rendah kerana murid berkemungkinan berlaku tidak jujur semasa mengisi borang tersebut. Contohnya, murid sebenarnya tidak pernah menyemak hafazan dengan sesiapa tetapi dia menanda skor 5 pada borang tersebut. Cadangan penambahbaikan bagi mengatasi isu ini ialah guru perlulah meminta bantuan daripada ibu bapa untuk memantau anak-anak semasa mereka mengisi borang tersebut. Kerjasama antara ibu bapa dan guru adalah penting untuk kejayaan murid. Hal ini kerana apabila murid melihat ibu bapa dan guru mereka bekerjasama, mereka akan menyedari bahawa pendidikan itu adalah komitmen bersama. Ini mencipta sikap pembelajaran yang positif, menggalakkan disiplin diri dan memupuk rasa tanggungjawab dalam diri pelajar (MyTutor, 2023). 5.0 Penutup Konklusinya, pengumuman penting dalam sistem pendidikan negara yang menyatakan PBD akan menggantikan UPSR telah dibuat dalam tempoh yang sangat singkat dan tanpa kursus atau latihan yang sepatutnya, namun guru-guru masih mampu melaksanakannya dengan baik. Bagaimanapun guru diharapkan segera melakukan penambahbaikan terhadap kelemahan yang dikesan dalam proses PdP yang mereka laksanakan supaya mutu pendidikan di Malaysia dapat ditingkatkan selaras dengan wawasan dan misi Pendidikan negara.
Rujukan Jabatan Agama Islam Selangor. (2019). Garis panduan pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) Kurikulum Sekolah Rendah Agama (KSRA) tahap satu. https://pendidikan.jais.gov.my/sites/default/files/Garis%20Panduan%20PBD%20KSRA%20. pdf Kementerian Kesihatan Malaysia. (2023). Buku garis panduan penilaian ILKKM. https://www.moh.gov.my/moh/resources/Portal%20Bahagian/BPL/Document/Perkhidmatan/ Peperiksaan%20/02._GPP-BAB_1_.pdf Kementerian Pendidikan Institusi Pendidikan Guru Malaysia. (2022). Jenis pentaksiran autentik. https://sites.google.com/moedl.edu.my/modulkursusinduksigurubaharu2/modul-pentaksiran-dalam-pendidikan/jenispentaksiran-autentik Kementerian Pendidikan Malaysia. (2019). Panduan pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah. Lee, L. H., Boon, P. Y., Lawrence, A. A., & Ilhavenil Narinasamy. (2024). Pentaksiran dalam pendidikan. Pustaka Nadwa. Mcmillan, J. H. (2004). Classroom assessment: Principles and practice for effective instruction. Pearson education. Miller, M. D., Linn, R. L., & Gronlund, N. E. (2009). Measurement and Assessment in Teaching (10th ed.). Pearson International edition. Muhammad Mustaqim Roslan. (2023). Kaedah Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dan kesannya kepada murid tahap satu di Malaysia: Analisis subjek Pendidikan Islam. Conference: International Conference of Islamic Universities, 1-16. MyTutor Academy Sdn Bhd. (2023). Kejayaan pelajar: Pentingnya kerjasama ibu ayah dan guru. Linkedin. https://id.linkedin.com/pulse/kejayaan-pelajar-pentingnyakerjasama-ibu-ayah-dan-gurumytutormy#:~:text=Apabila%20pelajar%20melihat%20ibu%20bapa,rasa%20tanggungjawab %20dalam%20diri%20pelajar. Sabitha Marican. (2006). Penyelidikan Sains Sosial pendekatan pragmatik. Batu Caves: Penerbit Edusystem Sdn. Bhd.
LAMPIRAN A Mata Pelajaran Pendidikan Islam Objektif Pembelajaran Menunaikan amali wuduk Penerangan Aktiviti : Guru menunjukkan cara berwuduk dengan betul, guru mengarahkan murid membuat amali wuduk secara bergilir dalam kumpulan. Jadual senarai semak: Bil Nama Murid Lafaz Niat Amali Wuduk Tertib Doa Selepas Wuduk Catatan 1 Abdul Wahab Bin Anas / / / Tidak menghafal doa selepas wuduk 2 Adam Daris Bin Shahrol Azman / / / / 3 Fadhal Abbas Bin Kamal Hilmi / / / Tidak tertib 4 Hatim Darwisyh Bin Mohammad Nor Fadzil / / / / 5 Ku Muhammad Naim Bin Rosli / / / Tidak menghafal doa selepas wuduk Rajah 1 : Borang senarai semak
LAMPIRAN B Borang Skala Kadar Nama Murid : Abdul Wahab Bin Anas___________ Tahun : 6 Maliki_____ Arahan : Tandakan (/) dengan skala yang sesuai dengan anda. Hafazan Surah Al-Ma’un Skor Ulasan 1 2 3 4 5 6 Membaca ayat dengan lancar / Menghafaz ayat dengan lancar / Mengulang hafazan setiap hari / Menulis ayat yang dihafaz / Semak hafazan dengan guru/ rakan/ ibu bapa / Skor Tafsiran 1 Membaca, menghafaz dan menulis ayat al-Quran pilihan dengan bimbingan. 2 Membaca, menghafaz dan menulis ayat al-Quran pilihan dengan betul. 3 Membaca, menghafaz dan menulis ayat al-Quran pilihan dengan bimbingan, lancar serta bertajwid. 4 Membaca, menghafaz dan menulis ayat al-Quran pilihan dengan bimbingan, lancar serta bertajwid serta mengamalkannya. 5 Membaca, menghafaz dan menulis ayat al-Quran pilihan dengan bimbingan, lancar serta bertajwid serta mengamalkannya secara beradab. 6 Membaca, menghafaz dan menulis ayat al-Quran pilihan dengan bimbingan, lancar serta bertajwid serta mengamalkannya secara beradab dan istiqamah. Rajah 2 : Borang skala kadar
LAMPIRAN C Rajah 3 : Murid melakukan amali wuduk Rajah 4 : Keadaan murid semasa kelas Pendidikan Islam