Fungsi bahasa Melayu Istilah bahasa merujuk kepada suatu instrumen yang digunakan untuk bertutur serta berhubung. Seperti yang sudah kita sedia maklum, bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi di negara Malaysia. Bahasa Melayu dipilih oleh kebanyakan masyarakat sebagai alat komunikasi yang digunakan sesama bangsa Melayu serta antara Melayu dengan bangsa bukan Melayu (Hassan, H. I. M., et.al, 2017). Hal ini sendiri dapat dilihat melalui bidang pendidikan di mana bahasa Melayu dijadikan subjek yang wajib diambil dan dipelajari di seluruh sekolah di Malaysia. Terdapat pelbagai fungsi serta peranan yang dimainkan bahasa Melayu. Antaranya adalah sebagai bahasa rasmi, bahasa perantara dan bahasa perpaduan. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa yang mudah difahami oleh masyarakat di negara. Oleh sebab itu, bahasa ini disebut sebagai bahasa kebangsaan negara Malaysia. Pendek kata, bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pertuturan rasmi bagi seluruh kaum di negara kita. Penjelasan ini membuktikan kemegahan bahasa Melayu yang mana perlu dijaga oleh masyarakat supaya tidak tercemar. Justeru, hal ini juga telah disahkan oleh Perlembagaan Malaysia yang telah menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara Malaysia sekaligus dijadikan sebagai bahasa pengantar pendidikan (Mohamed, N. A., & Hassan, N. A., 2019). Namun, terdapat juga satu isu yang seringkali dibicarakan berkaitan dengan hal ini di mana pada era perkembangan teknologi serta globalisasi ini, penggunaan
bahasa Melayu dalam kalangan rakyat semakin berkurang. Ramai daripada rakyat Malaysia, terlebih lagi golongan muda yang lebih gemar menggunakan bahasa asing mahupun bahasa campuran semasa berkomunikasi. Perkara ini turut menimbulkan kekeliruan ataupun juga dikenali sebagai kecelaruan dalam berbahasa. Hal ini adalah tidak wajar kerana penggunaan bahasa rasmi begitu penting untuk mengekalkan status serta mencerminkan identiti negara kita. Oleh yang demikian, rakyat Malaysia perlulah sentiasa mempraktikkan penggunaan bahasa Melayu dalam kehidupan harian. Selain itu, bahasa Melayu berfungsi sebagai bahasa perantara secara rasmi di Malaysia. Menurut Akmajian, A. Demers, R. A. Farmer, A. K. dan Harnish, R. M. (1995), istilah lingua franca diambil daripada nama masyarakat Jerman Kuno. Lingua franca merupakan istilah yang digunakan untuk melambangkan bahasa komunikasi bagi dua pihak yang berbeza bahasa ibunda mereka. Sebagai contoh, pada abad ke-14, bahasa Melayu telah dijadikan sebagai bahasa perantara di antara pedagang-pedagang tempatan dan pedagang-pedagang asing terutamanya dalam urusan perdagangan. Oleh sebab itu, satu bahasa yang difahami oleh kedua-dua pihak dipilih sebagai bahasa dalam komunikasi mereka kerana bahasa tersebut digunakan untuk memastikan mesej yang ingin disampaikan antara satu sama lain lebih cepat dan mudah. Bahasa Melayu juga merupakan bahasa perantara yang digunakan di Malaysia untuk tujuan komunikasi oleh kebanyakan masyarakat sama ada sesama bangsa Melayu mahupun bukan Melayu. Sebagai contoh, dalam urusan perniagaan harian, kebanyakan penjual dan pembeli bertutur dalam bahasa Melayu bagi memudahkan urusan jual beli. Hal ini kerana, majoriti daripada masyarakat di Malaysia terdiri daripada bangsa Melayu, dan bahasa tersebut lebih mudah untuk difahami. Penggunaan bahasa Melayu di kalangan masyarakat Malaysia pada hari ini masih berada di tahap yang memberangsangkan. Hal ini kerana, masih terdapat masyarakat bukan Melayu seperti Cina dan India yang tidak fasih untuk bertutur dalam bahasa Melayu. Sebagai rakyat Malaysia, setiap individu mestilah mahir bertutur menggunakan bahasa Melayu kerana bahasa melambangkan negara bangsa. Lebih mengecewakan lagi apabila terdapat segelintir bangsa Melayu yang tidak fasih berbahasa Melayu kerana terlalu mengikut budaya barat dan merasakan bahasa Melayu adalah bahasa yang lapuk ditelan zaman. Golongan belia lebih cenderung untuk menggunakan istilah-istilah yang baru dicipta kerana mereka berpendapat bahawa istilah-istilah tersebut lebih hebat dan menarik. Sikap mengagung-agungkan bahasa asing ini perlu dibuang supaya setiap masyarakat mengenal identiti mereka sebagai rakyat
Malaysia. Oleh itu, setiap individu perlu memainkan peranan penting dalam menguasakan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara yang rasmi di Malaysia supaya bahasa kebangsaan ini tidak tenggelam dibawa arus globalisasi. Tambahan pula, bahasa Melayu juga dapat dilihat sebagai sebuah wahana dalam mewujudkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat di negara kita. Umum diketahui bahawa Malaysia merupakan negara yang terdiri daripada rakyat yang berbilang bangsa, bahasa, kaum dan agama. Namun, perbezaan ini dapat diatasi melalui satu persamaan yang dikongsi oleh setiap individu di Malaysia iaitu penggunaan bahasa Melayu sebagai wadah dalam berkomunikasi antara satu sama lain. Penggunaan bahasa Melayu dalam komunikasi harian dapat membantu dalam merapatkan jurang antara kaum di samping memudahkan proses komunikasi dalam penyampaian makna ketika interaksi (Siti Norayu Mohd Basir, 2012). Hal ini secara tidak langsung dapat mewujudkan suasana yang aman dan harmoni sekaligus mewujudkan semangat perpaduan yang utuh dalam kalangan rakyat di Malaysia. Walau bagaimanapun, penggunaan bahasa Melayu tidak dapat dijadikan sebagai medium dalam memupuk perpaduan sekiranya tahap penguasaan bahasa Melayu rakyat masih di tahap yang rendah. Misalnya, peningkatan sekolah vernakular dan antarabangsa yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di Malaysia telah menyebabkan pengurangan pengajaran bahasa Melayu oleh pelajar dan menjadi akar umbi kepada permasalahan ini (Kamil, I. M. M., & Mohamad, M. 2020). Oleh itu, langkah sederap telah diambil kerajaan dalam meningkatkan lagi pengajaran dan penggunaan bahasa Melayu di Malaysia. Hal ini dapat dilihat melalui langkah yang diambil oleh pihak kerajaan dalam menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di setiap sekolah di negara. Usaha tersebut telah dijalankan sebagai salah satu inisiatif utama dalam mencapai matlamat Dasar Pendidikan Kebangsaan selaras dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967. Dapat dilihat bahawa penggunaan bahasa Melayu wajar ditingkatkan dan diletakkan setaraf dengan bahasa pengantar lain seperti bahasa Inggeris, Cina dan lain-lain.
Rujukan : Ahmad, A. M., Yaakob, N. A., & Ismail, M. Z. (2014, June). Mahawangsa (Jurnal Bahasa, Budaya Dan Warisan Melayu) vol. 1 (1) jun ... Strategi Menjayakan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Negara. Retrieved February 1, 2023, from https://fbmk.upm.edu.my/dokumen/FKBMK1_Mahawangsa_Vol_1_(1)_Jun_2014.pdf Hassan, H. I. M., Angterian, S. M., & Yusop, M. S. (2017). Kegemilangan bahasa Melayu sebagai lingua franca. Jurnal Kesidang, 2(1), 18-30. Kamil, I. M. M., & Mohamad, M. (2020). Cabaran pemerkasaan bahasa Melayu dalam usaha mencapai negara bangsa di Malaysia. Asian People Journal (APJ), 3(2), 181-191. Mohamed, N. A., & Hassan, N. A. (2019). Pengukuhan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Perpaduan di Institusi Pengajian Tinggi Swasta. Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH), 4(4), 19-28. Mohamad Kamil, I. M., & Mohamad, M. (2020). Cabaran Pemerkasaan Bahasa Melayu dalam usaha mencapai Negara bangsa di Malaysia. Asian People Journal (APJ), 3(2), 181–191. https://doi.org/10.37231/apj.2020.3.2.152 Siti Norayu Mohd Basir. (2012). Perpaduan etnik menerusi penggunaan bahasa melayu. Arau: Penerbit Universiti Malaysia Perlis.