BERANTAK
Kau. Kau sedang duduk di perhentian bas. Di situ kau melihat beberapa orang remaja –
seorang perempuan dan tiga orang lelaki. Mereka galak bergurau sesama mereka bagai dunia
mereka yang punya tanpa peduli orang di sekeliling mereka. Termasuk kau. Mereka juga tidak
peduli walau kini matamu tajam melihat mereka. Mereka tidak peduli apa yang ada di dalam
otakmu sekarang.
Di dalam otakmu sekarang, banyak andaian-andaian yang kau rumuskan. Matamu
ialah mata lalat. Kau melihat remaja-remaja itu umpama sampah. Kau tidak meluat
memandangnya kerana sekarang kau ialah seekor lalat. Sampah seperti begitulah tempat
kegemaranmu untuk singgah. Pandanganmu tidak lepas daripada kumpulan remaja itu
sehinggalah mereka hilang ditelan bas mini yang melahap mereka yang akan dikumuhkan di
pusat-pusat hiburan.
“Apa mahu jadi sama budak-budak zaman sekarang ni?” omelmu.
Kau terpaksa menunggu bas yang akan membawamu pulang ke rumah. Keretamu
rosak tadi. Ingin menempah grab car kau tidak mahu. Katamu tadi di dalam hati, “sudah lam
tak naik bas”. Jadi, di situlah kau di perhentian bas menanti bas yang sudah lama tidak kau
naiki itu. Kau melihat jam di telefon pintarmu. Sudah hampir 13 minit kau di situ. Tanpa kau
sedari, bas yang kau tunggu sudah berhenti di hadapanmu. Kau sedikit gelabah, takut
tertinggal bas yang itu lalu akan menunggu beberapa minit lagi. Cepat-cepat kau berdiri dan
naik ke dalam bas tersebut.
Kau melihat tempat duduk di dalam bas itu hanya ada kosong di bahagian belakang.
Tanpa banyak pilihan, di situlah saja tempat untuk kau duduk. Kau pun duduk. Bas pun
bergerak. Kau mengira-ngira kau akan tiba ke perhentian di mana kau akan turun nanti akan
mengambil masa 16 minit. “Santai,” bilangmu di dalam hati.
Beberapa minit kemudian, bas yang kau naiki berhenti lagi. Beberapa orang pun turun
dari perut bas tersebut. Kemudian, beberapa orang lagi naik ke bas tersebut. Kau melihat
sepasang pasangan bercinta menaiki bas tersebut. Masih muda remaja. Sukar untuk kau
bersangka baik melihat pasangan tersebut. Mereka sangat muda, tetapi lagak mereka
mengalahkan pasangan yang sudah berkahwin. Katamu di dalam hati, “dorang ni tak tahu
malukah?”. Kau melihat saja gelagat pasangan itu dengan kaca mata Raybanmu – mata
lalatmu, sampailah kau sampai di tempat tujuan. Gigih kau melihat mereka.
Kau melangkah masuk ke dalam rumahmu – rumahmu ialah rumah taman. Semasa
masuk kau memberi salam. Isterimu sedang duduk santai di sofa sambil bermesraan dengan
telefon pintar di tangannya. Dia menoleh sekejap kepada kau sambil menyambut salam yang
kau berikan tadi. Kemudian dia menyambung kelakuannya tadi lagi. Kau duduk di sebelahnya.
“Kereta rosak,” ucapmu sepatah. Isterimu masih asyik dengan telefon pintarnya.
“Sudah abang hantar di bengkel. Tadi abang balik naik bas,” sambungmu. Isterimu
begitu saja, seperti tadi. Darahmu mula naik ke kepala. Panas.
“Woi, aku tengah bercakap ni! Makanlah telefon tu. Rebus!” kau herdik isterimu di
sebelah dengan suara yang keras seolah-olah isterimu jauh beribu batu. Apalagi, isterimu pun
mula menjeling kau. Nampaknya darahnya juga mula naik ke kepala. Panas.
“Kau ni sudah kenapa?!” balas isterimu dengan herdikan yang keras juga. Seolah-olah
kau juga ada jauh beribu batu.
Semasa ini, kau dan isterimu sudah tidak sedar akan keberadaan anak perempuanmu
di dalam rumah tersebut. Dia tengah menutup telinganya serapat-rapatnya di dalam bilik –
namun suara gaduh kamu tetap masuk ke dalam telinganya. Pergaduhan antara kau dengan
isterimu berlanjutan selama belasan minit. Tiada yang mengalah. Akhirnya pergaduhan itu
diakhiri dengan bermasam muka dan perasaan.
Walaupun sudah semakin tidak serasi dengan isterimu, dia tetap menjalankan
tanggungjawabnya untuk menyediakan makan malam kamu sekeluarga pada malam itu. Kini
kau sedang duduk di meja makan. Di hadapan sebelah kirimu, isterimu. Di hadapan sebelah
kananmu, anak perempuanmu. Anak perempuanmu cantik. Putih. Kau mula membuka
mulutmu – bukan menyuap makanan, tetapi bersuara kepada anakmu.
“Kau Nisa, perangaimu tu bagi elok sikit kalau di luar rumah. Jangan macam budak-
budak lain tu, perangai tak tentu arah,” kau merujuk pada kejadian tadi siang yang kau
nampak. Anak perempuanmu tidak bereaksi seperti sebuah robot. Kemudian kau pun
menyuap makanan sambil tangan kirimu sibuk mengendalikan telefon pintarmu. Sama
keadaannya dengan isterimu. Kau dan isterimu sama, 2 x 5 saja. Oo ya, kau ialah seorang
usahawan yang berjaya. Isterimu juga. Wah, sudah tentu keluargamu keluarga berduit!
Malam ini saja kau berada di rumah setelah beberapa hari tidak berada di rumah
kerana urusan kerja. Kau kan usahawan berjaya. Isterimu juga begitu. Kau dan isterimu
mengandalkan pembantu rumah kamu untuk menemani anak dara sunti kamu di rumah.
Apabila di rumah, sekali-sekala kau akan bergaduh dengan isterimu seperti tadi. Di hadapan
anakmu. Bilang ustaz-ustaz dan pakar rumah tangga, bergaduh antara suami isteri itu perkara
biasa. Asam garam rumah tangga.
Habis makan kamu pun duduk di ruang tamu. Menonton televisyen. Tetapi itu hanya
tipuan. Kau dan isterimu lebih melayan telefon pintar. Syukur jugalah, kerana itu tiada
pergaduhan pada malam ini. Kau dan isterimu sibuk melayan klien. Anakmu pun bersuara:
“Pa, ma… jangan telampau layan handphone kalau bekumpul-kumpul begini. Nanti
hubungan menjadi renggang. Tiada komunikasi”.
“Kau apa tahu! Belajar sana!” kau melenting kepada anakmu yang berpandangan itu.
Kau langsung tidak mempedulikan pandangan tersebut. Apalagi anakmu menjadi mati kutu.
Dia menikus – entah otaknya.
Selepas beberapa hari kejadian keretamu rosak, kau pun menemui aku. Waktu ini kau
ada masa lapang. Kau menghantar pesan kepada aku yang kau ingin duduk mengopi dengan
aku. Aku pun tanpa berfikir panjang menyetujuinya. Kebetulan pada masa ini aku juga lapang.
Kau masih berada di dalam keretamu yang sudah pulih. Masih tercari-cari parkir sejak
tadi. Kau melihat ada parkir kosong di hadapan. Laju-laju kau menghidupkan lampu signalmu
lalu kau memarkir kereta. Kau keluar dari kereta. Langkah kakimu kau bawa ke arah tempat
pertemuan yang sudah kita tetapkan. Sambil berjalan kau melihat jam tanganmu. Kau sudah
lewat tujuh minit gara-gara mencari (menanti) parkir kosong.
Kau sudah pun melihat kelibatku yang tengah duduk di dalam ruang restoran itu. Kau
mencepatkan langkah kakimu.
“Assalamualaikum,” ucapmu setelah kau berada di belakangku. Aku pun mengangkat
mukaku dari telefon pintarku. Kau sudah ada di hadapanku.
“Wa’alaikumsalam,” jawabku. Kau pun duduk. Kau pun memanggil pelayan untuk
memesan pesan minum kerana aku sudah memesan minumku tadi semasa menunggu
ketibaanmu.
Sementara menunggu pesananmu sampai, kau pun bercerita tentang pengalamanmu
baru-baru ini – dari hal keretamu rosak sehinggalah kelakuan-kelakuan yang kau nampak
sepanjang perjalananmu balik ke rumah.
Aku juga pernah melihat kelakuan-kelakuan yang kau nampak itu. Yang paling
mengejutkan, yang aku lihat itu ialah anakmu. Aku iyakan saja ceritamu, tetapi aku diam
tentang anakmu.