TEKNIK PENSTRUKTURAN BERNOMBOR : PENGAPLIKASIAN DALAM
MENINGKATKAN DAYA INGATAN PELAJAR TERHADAP STRUKTUR
ANATOMI MATA BAGI SUBJEK SAINS TINGKATAN 3 IXORA
Hajijah Hamsari
Chan Phar Chuen
SM Holy Trinity
Peti Surat 60918 Tawau
ctkhadijah1231@gmail.com
ABSTRAK
Kajian tindakan telah dibuat untuk membantu pelajar menghafal struktur organ
manusia dalam topik-topik Sains. Teknik Penstrukturan Bernombor dilihat dapat
menambahkan kebolehan pelajar untuk menjawab soalan berbentuk pelabelan
struktur anatomi. Teknik ini telah diuji terhadap 20 orang pelajar Tingkatan 3 Ixora,
Sekolah Menengah Holy Trinity yang terdiri daripada pelajar yang berpencapaian
sederhana dan lemah. Topik struktur anatomi mata dipilih untuk dijadikan topik ujian.
Ujian dibahagikan kepada dua tahap: Ujian Pra dan Ujian Pos. Ujian Pra terdiri
daripada satu set soalan yang mengandungi gambarajah struktur anatomi mata dan
juga soalan tinjauan berkenaan minat dan perasaan apabila menjawab soalan
berbentuk pelabelan struktur. Ujian pra menunjukkan lebih daripada separuh pelajar
gagal untuk menjawab soalan pelabelan struktur mata dengan tepat. Pelajar juga
memberi maklumbalas tentang kerumitan dan hilang minat untuk menjawab soalan
tersebut. Ujian ini diberikan kepada pelajar selepas memberi peluang kepada
mereka untuk mengingat dengan kaedah biasa. Ujian Pos pula terdiri daripada set
soalan yang mengandungi gambarajah struktur anatomi mata dan pelajar
menjawabnya setelah pendedahan Teknik Penstrukturan Bernombor. Guru
mendapati pelaksanaan Teknik Penstrukturan Bernombor amat sesuai untuk
membantu pelajar mengingat struktur anatomi mata, kerana ujian pos telah
menunjukkan peningkatan drastik terhadap keupayaan pelajar untuk menjawab
soalan pelabelan struktur anatomi mata. Guru mendapati pelaksanaan teknik ini juga
berjaya meningkatkan motivasi pelajar melalui maklumbalas pelajar dalam ruangan
yang diberikan. Kesimpulan daripada hasil kajian yang dijalankan, didapati
perubahan positif dari segi amalan pengajaran guru di dalam kelas dan juga teknik
pembelajaran pelajar selepas teknik ini dipraktikkan.
1.0 REFLEKSI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN LALU
Menurut Verno (1980) berpendapat bahawa ingatan merupakan bentuk penyimpanan
maklumat-maklumat yang bermakna untuk menjadi pengalaman manakala Robert M Gagne
pula ada menghubungkait proses pembelajaran dengan proses ingatan di dalam bukunya
Essential Of Learning For Instruction (1975). Beliau menyebut bahawa kecepatan dan
ketepatan mengingat bergantung kepada bagaimana maklumat disimpan. Maklumat yang
disimpan secara tersusun dan sistematik boleh diingat kembali dengan lebih mudah dan
cepat. Mengingat dan menghafal struktur menjadi masalah kepada ramai pelajar dalam
sebarang topik dan subjek pembelajaran sejak sekian lama.Hal ini disebabkan kurangnya
pendedahan terhadap teknik-teknik menghafal dan mengingat dengan cara yang betul dan
mudah kepada pelajar-pelajar.
Di dalam Bab 1 Sains Tingkatan 3 berkenaan topik deria, pelajar perlu untuk menghafal
struktur-struktur organ deria dan pelajar perlu mahir melabel struktur berkenaan dengan betul
dan tepat. Namun setelah beberapa tahun memerhatikan pencapaian pelajar bagi topik ini,
pelajar amat bermasalah untuk mengingati struktur anatomi dengan baik, terutama bagi
struktur anatomi mata yang banyak.
Oleh itu, kami mula menyedari bahawa kaedah konvensional tidak membantu pelajar untuk
mengingat struktur anatomi dengan baik. Kami mula memikirkan kaedah terbaik yang lebih
mudah dan cepat untuk menghafal topik-topik berkenaan, memandangkan topik-topik yang
memerlukan kepada pelabelan banyak didapati dalam mata pelajaran sains. Kaedah
mengingat yang lebih tersusun perlu dipraktikkan oleh pelajar supaya proses menghafal
menjadi lebih mudah dan tepat.
2.0 FOKUS KAJIAN
Kaedah ini boleh digunakan untuk banyak topik yang melibatkan pelabelan struktur. Akan
tetapi, kami memberi tumpuan kepada struktur anatomi mata yang sememangnya agak sukar
dan mempunyai struktur yang banyak dan mengelirukan. Kami memfokuskan kepada
keberkesanan Teknik Penstrukturan Bernombor dalam meningkatkan daya ingatan pelajar
terhadap anatomi mata. Hal ini demikian kerana, kaedah ini menekankan teknik mengingat
secara tersusun dan bernombor yang mengikut teori pembelajaran, kaedah ini akan lebih
memudahkan pelajar untuk mengingat semula hafalan mereka.
3.0 OBJEKTIF KAJIAN
3.1 Objektif umum:
Kajian ini adalah untuk meningkatkan pencapaian pelajar dalam subjek Sains Tingkatan 3
3.2 Objektif khusus:
1. Meningkatkan kemahiran pelajar melabel struktur anatomi mata dalam subtajuk deria
2. Mewujudkan motivasi yang lebih positif untuk pelajar menghafal struktur anatomi.
4.0 KUMPULAN SASARAN
Kajian ini melibatkan 20 orang pelajar 3 Ixora yang terdiri daripada pelajar-pelajar
berpencapaian sederhana dan lemah.
5.0 PELAKSANAAN TINDAKAN
Tinjauan awal terhadap masalah mendapati, beberapa siri ujian dan peperiksaan yang
melibatkan subtopik pelabelan struktur anatomi organ, pelajar amat lemah dan sukar untuk
memperolehi markah penuh. Malah dalam kalangan pelajar yang lemah dan sederhana,
soalan melibatkan pelabelan struktur organ adalah salah satu bahagian soalan yang sukar
untuk mereka memperolehi markah penuh. Tinjauan mendapati, walaupun pilihan jawapan
disediakan, pelajar dalam kategori sederhana dan lemah, tidak dapat menjawab soalan
pelabelan struktur ini dengan tepat.
Pemerhatian juga menunjukkan, ramai pelajar memilih untuk tidak menjawab langsung
soalan berbentuk pelabelan anatomi ini. Justeru kami memikirkan adalah perlu untuk mencari
satu kaedah mudah yang boleh mendorong pelajar menjawab soalan pelabelan struktur ini
dengan tepat.
5.1 LANGKAH MELAKSANAKAN TINDAKAN
Ujian Pra dijalankan bagi meninjau kemahiran pelajar melabel struktur anatomi mata. Ujian
Pra terdiri daripada satu set soalan yang mengandungi gambar rajah sturuktur anatomi mata.
Pelajar perlu melabel 15 struktur mata dengan tepat. Ujian ini diberikan kepada pelajar
selepas memberi peluang kepada mereka untuk mengingat dengan kaedah biasa terlebih
dahulu. Pelajar juga diminta untuk menulis sedikit komen dan pandangan berkenaan topik
pelabelan struktur mata ini.
Teknik Penstrukturan Bernombor adalah kaedah menggalakkan pelajar menghafal struktur
anatomi mata melalui kaedah pernomboran berlapis. Dalam kaedah ini pelajar diajar untuk
menyusun maklumat yang perlu dihafal dengan memberi nombor mengikut lapisan anatomi
mata. Pelajar menjalani beberapa kelas latihan untuk mereka memahami dan mahir
menggunakan kaedah ini.
Pelaksanaan Penggunaan Teknik Penstrukturan Bernombor dalam meningkatkan daya
ingatan terhadap struktur anatomi mata ini dijalankan melalui beberapa langkah iaitu:
Langkah 1 :
Pelajar perlu mengenal pasti lapisan anatomi mata dengan tepat. Struktur mata berkenaan
perlu dibahagi kepada dua bahagian, iaitu bahagian hadapan dan belakang. Perkara ini bagi
membolehkan pelajar mengingat dengan lebih mudah tanpa mencampur aduk struktur depan
dan belakang.
Langkah 2 :
Kemudian pelajar perlu mengenal pasti lapisan-lapisan pada struktur mata beserta struktur
yang terdapat pada setiap lapisan tersebut. Sebagai contoh, pada lapisan ketiga mata, terdapat
dua struktur iaitu otot silia dan pupil.
Langkah 3 :
Setelah pelajar boleh mengenal pasti lapisan pada anatomi mata, pelajar dikehendaki
menomborkan setiap struktur mengikut lapisan. Bagi struktur yang terdapat pada lapisan
yang sama, pelajar perlu melabelkannya sebagai a, b, dan seterusnya.
Langkah 4 :
Setelah berjaya menomborkan setiap struktur yang terdapat pada setiap lapisan, barulah
pelajar mula menghafal nama bagi setiap nombor yang telah diletakkan.
Langkah 5 :
Setelah pelajar berjaya mengingati struktur bahagian hadapan, pelajar mengulangi langkah 2
hingga 4 bagi struktur pada bahagian belakang pula.
Satu ujian pos dijalankan setelah pelajar berjaya memahami dan menggunakan kaedah ini.
Ujian terdiri daripada soalan yang sama dengan ujian pra. Pelajar juga perlu mengisi ruangan
komen berkenaan pengalaman dan perasaan mereka setelah menggunakan kaedah ini.
6.0 RUMUSAN PEMERHATIAN & PENILAIAN
Analisis Keputusan Ujian Pra
Daripada ujian pra seperti dalam jadual 1 di bawah, kesemua pelajar mendapat markah
kurang daripada 11 markah. 16 orang mendapat kurang daripada 9 markah. Pelajar amat
sukar mengingat struktur mata yang agak kompleks. Tiada pelajar yang berjaya menjawab 13
struktur dan ke atas dengan betul.
Jadual 1 : Analisis Dapatan Ujian Pra
KETEGORI 1-3 4-6 7-9 10-12 13-14 15 JUMLAH
20
MARKAH 100
BILANGAN 0 9 7 4 0 0
PERATUS 0 45 35 20 0 0
(%)
Satu ujian pos telah dilaksanakan ke atas pelajar untuk menilai prestasi pelajar selepas teknik
ini dipraktikkan. Ujian terdiri daripada gambar rajah mata, yang memerlukan pelajar untuk
melabel 15 struktur mata. Hanya terdapat perbezaan dari segi kedudukan untuk melihat
keberkesanan penggunaan teknik penstrukturan bernombor.
Data juga menunjukkan terdapat peningkatan bilangan pelajar yang ketara antara kedua-dua
ujian tersebut dalam kategori 15 markah iaitu markah penuh, yang mana pada ujian pra, tiada
pelajar yang dapat melabel semua dengan betul. Tetapi pada ujian pos, 15 daripada 20 pelajar
berjaya menjawab dengan betul kesemua struktur mata yang diberi. Secara kesimpulannya
data menunjukkan terdapat peningkatan drastik terhadap kebolehan pelajar untuk menjawab
pelabelan struktur mata.
Jadual 2 : Analisis Perbandingan Keputusan Ujian Pra dan Ujian Pos
Bilangan markah betul Ujian Pra Ujian Pos Perbezaan
0 0
1-3 0 0 -9
0 -7
4-6 9 2 -2
7-9 7
10-12 4
13-14 0 3 +3
15 0 15 +15
Jumlah 20 20
Rajah 1 mennjukkan keputusan perbandingan ujian pra dan ujian pos
7.0 PERBINCANGAN & REFLEKSI KAJIAN
Berdasarkan dapatan ujian pos telah menunjukkan peningkatan prestasi pelajar yang
memberangsangkan selepas pelaksanaan Teknik Penstrukturan Bernombor berbanding ujian
pra. Analisis terhadap dapatan ujian pos ini menunjukkan 15 orang (75%) pelajar
memperolehi semua label betul, 3 orang (15%) pelajar memperolehi 13-14 pelabelan betul
dan hanya 2 orang (10%) mendapat 10-12 pelabelan betul.
Hasil daripada maklumbalas yang diberikan pelajar pada helaian soalan pos, pelajar turut
menunjukkan minat yang lebih baik terhadap subtajuk pelabelan anatomi mata, apabila
didapati pelajar menjawab semua soalan yang diberikan dan tidak meninggalkan ruang
jawapan kosong tanpa jawapan. Motivasi dan keseronokan menghafal anatomi mata dalam
kalangan pelajar juga dapat ditingkatkan. Perkara ini dibuktikan dengan komen-komen
pelajar yang diberikan pada akhir soalan pos.
Walau bagaimanapun, terdapat juga kelemahan dalam kajian ini yang perlu diperbaiki.
Antaranya ialah pelaksanaan aktiviti perlu dilakukan dalam kumpulan kecil. Hal ini bagi
membolehkan kaedah ini benar-benar difahami dengan mudah dan cepat oleh semua pelajar.
8.0 CADANGAN UNTUK MENERUSKAN KAJIAN
Kaedah ini saya dapati dapat menarik minat dan motivasi pelajar untuk mempelajari topik-
topik berkaitan struktur. Saya mencadangkan agar kaedah ini digunakan untuk pelajar-pelajar
lemah yang mempunyai kemahiran visual dan melukis yang baik. Guru juga boleh memberi
peluang kepada pelajar untuk menggunakan kaedah ini untuk melabel apa-apa jenis
penstrukturan seperti penstrukturan lapisan atmosfera dan juga lapisan struktur bumi.
RUJUKAN
Fattah Hidayat.(2017). Kajian Psikologi Pembelajaran Hafal Quran bagi Anak Usia Dini
Jurnal Kajian Tindakan (2018), Edisi 3, SM. St Patrick, Tawau.
Slideshare.net?Farah Husna F/23-Ingatan-dan-lupaan
Kompasiana.com/salsabilafd/59f1356698182776ed213342/bagaimana-otak kita-
menyimpan informasi
LAMPIRAN
Komen dan keputusan ujian pos
Keputusan Ujian Pra dan komen pelajar