The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by 1365-24-fatiha, 2022-09-12 11:33:21

Cerpen: Bahasa Ibundaku

BMMB3193 - PBL

BAHASA JIWA BANGSA

bahasa
ibundaku

NUR AMIRAH DIYANAH BT MARIADI
NUR FARAH AIN BT ABD RAZAK

“Aik Cheong! Aik Cheong!” sayup-sayup kedengaran suara
pemanggil tersebut. Dengan pantas Aik Cheong menolehkan
kepalanya ke arah pemanggil tersebut.

“Hah Suzy! Kamu baru sampaikah?” tanya Aik Cheong dengan
kerutan di dahi. Suzy dan Aik Cheong merupakan dua orang murid
darjah 5 yang berbangsa cina. Mereka bersekolah di Sekolah
Kebangsaan Kampung Jeri. Hanya mereka berdua yang berbangsa
lain. Perkara inilah yang menyebabkan mereka berdua sering
dipulau oleh rakan-rakan lain. Walaupun begitu, kecintaan mereka
terhadap Bahasa Melayu amatlah tinggi. Mereka amat gemar
untuk membaca karya-karya sastera yang dihasilkan oleh tokoh-
tokoh negara. Mereka amat menyanjungi dan memandang tinggi
akan tokoh-tokoh negara. Guru-guru di sekolah turut memuji
sikap kegigihan yang ditunjukkan oleh mereka berdua untuk
belajar dan memahirkan diri dengan ilmu berkaitan Bahasa
Melayu.

“Cikgu amat terpegun dengan kesungguhan dan minat yang
kamu berdua tunjukkan dalam subjek Bahasa Melayu dan cikgu
berharap agar kamu akan terus berusaha untuk menimbah ilmu.”
ucap Cikgu Dayang kepada mereka berdua. Dengan berbekalkan
sokongan dan dorongan daripada guru di sekolah tersebut mereka
mampu untuk memberanikan diri menceburi pertandingan
syarahan yang akan berlangsung tidak lama lagi. Mereka sedar
pandangan tidak puas hati yang bakal diberikan oleh rakan yang
lain namun ianya bukan penghalang bagi mereka untuk terus
melibatkan diri dalam sebarang pertandingan dalam bidang
bahasa Melayu.

“Suzy dan Aik Cheong, kamu tidak teringin untuk cuba mengikuti
pertandingan syarahan yang akan berlangsung tidak lama lagi?
Cikgu lihat kamu berdua mempunyai potensi untuk pergi jauh.” ujar
Cikgu Dayang, guru bahasa Melayu mereka.

“Tidaklah cikgu, Bahasa Melayu kami berdua tidaklah sebaik
rakan-rakan yang berbangsa Melayu.” jawab Aik Chong dengan
segan. Pada awalnya, mereka menolak tawaran tersebut kerana
merasakan yang mereka belum cukup layak dan berbakat.

“Kamu berdua silap, cikgu nampak yang kamu mampu
lakukannya jika kamu berusaha dan lakukan yang terbaik.”
sangkal Cikgu Dayang. Kata-kata ransangan yang disuntik oleh
guru Bahasa Melayu mereka sedikit sebanyak telah
mempengaruhi persepsi mereka. Mereka akhirnya memberikan
nama untuk menyertai pertandingan tersebut kepada Cikgu
Dayang.

“Cikgu amat gembira yang kamu berdua akhirnya bersetuju
untuk menyertai pertandingan tersebut. Cikgu harap kamu dapat
lakukan yang terbaik.” ucap Cikgu Dayang dengan rasa teruja
kerana beliau dapat menjangkakan bahawa Suzy dan Aik Cheong
merupakan permata yang perlu digilap sejak di bangku sekolah
lagi. Cikgu Dayang mengambil inisiatif dengan mengadakan latihan
syarahan selepas tamat waktu persekolahan. Mereka perlu rajin
dan komited bagi memastikan kemahiran syarahan mereka akan
berada pada tahap yang terbaik semasa pertandingan
berlangsung.

“Suzy, adakah kamu pasti kita mampu lakukan yang terbaik
pada hari pertandingan tersebut?” Tanya Aik Cheong kepada Suzy
dengan penuh nada kerisauan.

“Saya yakin yang kita mampu memberikan persembahan yang
terbaik.” Balas Suzy dengan penuh keyakinan. Mereka berdua mula
mengikuti latihan yang dibimbing oleh Cikgu Dayang bersama
peserta yang lain.

Pada awalnya, mereka berdua mengalami kesukaran untuk
melafazkan perkataan berdasarkan teks syarahan dengan betul.
Namun berkat usaha dan ketekunan, mereka mampu menangani
dan menuturkan setiap perkataan dengan betul dan fasih.

“Cikgu amat bangga dengan peningkatan yang kamu berdua
tunjukkan sepanjang tempoh yang singkat ini.” Komen Cikgu
Dayang kepada mereka.

Semasa proses persediaan, rakan-rakan kelas mula menunjukkan
sikap dengki dan tidak puas hati dengan mengejek cara
percakapan Suzy dan Aik Cheong yang masih kedengaran loghat
cina. Walaupun begitu, mereka saling memberikan kata-kata
semangat antara satu sama lain supaya tidak terjejas dengan
pandangan serong orang lain.

“Jangan ganggu mereka berdua!” kata salah seorang daripada
rakan sekelas Suzy dan Aik Cheong dengan penuh amaran.
Beberapa rakan yang lain tetap memberi sokongan dengan
mempertahankan mereka apabila diejek atau dibuli oleh rakan
yang lain.

Hari pertandingan hanya bersisa beberapa hari lagi dan rasa
gementar mula menyelubungi diri mereka. Suzy dan Aik Cheong
mula melipat gandakan usaha mereka dengan berlatih siang dan
malam. Mereka terlalu memaksa diri sehingga mengabaikan
kesihatan diri dan terpaksa berehat di rumah.

“Kamu perlu berkumpul di kantin sekolah pada pukul 7 pagi,
sebelum dibawa ke lokasi tempat pertandingan.” Pesan Cikgu
Dayang kepada semua peserta termasuk Suzy dan Aik Cheong.
Seramai 4 orang wakil daripada Sekolah Kebangsaan Kampung
Jeri yang akan bertanding untuk pertandingan syarahan pada kali
ini. Keesokan harinya, Suzy, Aik Cheong dan beberapa peserta yang
lain berkumpul di tempat pertandingan.

“Saya berasa sangat berdebar-debar. Giliran saya akan tiba
tidak lama lagi.” Luah Suzy kepada Aik Cheong.

"Saya juga dapat rasakan debarannya.” Balas Aik Cheong pula.
Cikgu Dayang melihat murid-muridnya mula cemas lantas
memberikan kata-kata semangat kepada mereka.

“Cikgu yakin akan kemampuan kamu, jadi lakukanlah sehabis
baik yang kamu boleh.” Kata-kata daripada Cikgu Dayang sedikit
sebanyak dapat mengurangkan rasa gementar dalam diri Suzy
dan Aik Cheong. Ibu bapa Suzy dan Aik Cheong turut datang untuk
memberikan sokongan kepada mereka. Nama Suzy dipanggil
untuk bersiap sedia bagi mempersembahkan syarahan sebaik
sahaja peserta sebelumnya selesai. Suzy cuba untuk menumpukan
perhatian sepenuhnya dan mula untuk mengingati segala latihan
yang dia telah praktikkan.

“Kamu boleh melakukannya!” Kata Aik Cheong kepada Suzy.
Suzy mula mengorak langkah ke pentas dengan debaran yang
kian terasa. Dia memulakan syarahannya dengan sangat baik dan
menyampaikannya dengan lancar dan fasih. Cikgu Dayang
menyaksikan persembahan Suzy sambil mengangguk-angguk
sebagai tanda bahawa Suzy lakukannya dengan baik. Suzy
menamatkan persembahannya sebaik sahaja loceng masa
dibunyikan. Sejurus itu, kedengaran bunyi tepukan yang gemuruh
dari penonton.

“Syabas Suzy, kamu melakukannya dengan sangat baik.” Ujar
rakan peserta yang lain. Tidak lama kemudian, giliran Aik Cheong
pula tiba. Dia cuba untuk tenang dan tidak menghiraukan
perasaan risaunya. Pada awalnya, Aik Cheong tampak kurang
berkeyakinan namun setelah mendapatkan momentum, dia mula
lantang. Gilirannya berakhir dengan baik tanpa ada kesilapan.

“Akhirnya, semua telah berakhir. Syukur semuanya berjalan
dengan lancar.” Bisik hati Aik Cheong. Sejurus sahaja semua
peserta daripada Sekolah Kebangsaan Kampung Jeri telah
melakukan persembahan, Cikgu Dayang memberikan ucapan
tahniah kepada mereka.

“Cikgu sangat bangga kepada kamu semua.” Kelihatan
senyuman lebar terpampang di muka Cikgu Dayang. Ibu bapa Suzy
dan Aik Cheong juga datang ke belakang pentas untuk
memberikan ucapan tahniah kepada mereka berdua. Mereka turut
menzahirkan rasa gembira dengan pelukan atas pencapaian Suzy
dan Aik Cheong. Senario tersebut menyebabkan air mata Suzy dan
Aik Cheong mula berlinangan.

Masa yang ditunggu-tunggu telah pun tiba iaitu masa keputusan
pertandingan syarahan tersebut. Semua orang tertanya-tanya
gerangan siapakah yang akan memenangi pertandingan tersebut.
Pengacara mula mengumumkan peserta yang menduduki tempat
ketiga dan serentak itu nama Suzy kedengaran di segenap penjuru
dewan. Seisi dewan memberikan sorokan yang gemuruh. Malang
sekali, tempat kedua dan pertama tidak dimenangi oleh wakil
daripada Sekolah Kebangsaan Kampung Jeri.

“Pengalaman ini tidak akan saya pernah lupakan untuk masa
yang lama, saya amat gembira kerana diberikan peluang untuk
mewakili sekolah kita.” Kata Aik Cheong, apabila ditanya
berkenaan perasaannya. Setelah peristiwa tersebut, rakan-rakan
mereka mula menerima dan melayan Suzy dan Aik Cheong dengan
baik. Mereka berdua mampu membuktikan bahawa perbezaan
bangsa bukanlah penghalang untuk menunjukkan kecintaan
terhadap bahasa kebangsaan negara kita iaitu, Bahasa Melayu.

TAMAT


Click to View FlipBook Version