PBD
Q&A
Ammar
1 Apakah PBD?
Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) merupakan pentaksiran
yang berterusan dalam sesi pengajaran dan
pembelajaran bagi mendapatkan maklumat tentang
perkembangan, kemajuan, kebolehan dan pencapaian
murid. PBD berlaku secara formatif dan sumatif;
sebagai pembelajaran, untuk pembelajaran dan
tentang pembelajaran.
2 Bila PBD bermula?
PBD dahulunya dikenali sebagai Pentaksiran Sekolah
(PS) bermula pada tahun 2011. Pada tahun 2016, PS
mula dikenali sebagai PBD.
3 Apakah perbezaan PBD dan PBS?
PBS ialah Pentaksiran Berasaskan Sekolah, suatu
pentaksiran yang bersifat holistik iaitu menilai aspek
kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani) dan
psikomotor (jasmani). Ini selaras dengan Falsafah
Pendidikan Kebangsaan. Oleh itu terdapat empat
komponen dalam PBS iaitu Pentaksiran Pusat (PP),
Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan & Kokurikulum
(PAJSK), Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan
Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).
PBD pula ialah pentaksiran yang berlaku secara
berterusan sepanjang PdP, bagi semua mata pelajaran.
PBD bukanlah untuk membandingkan tahap
penguasaan antara seorang murid dengan murid yang
lain, tetapi ia bertujuan untuk melihat perkembangan
kemajuan murid dalam pembelajaran di samping
membantu guru menambah baik pengajaran mereka.
4 Apakah mata pelajaran yang
terlibat dengan PBD?
Semua mata pelajaran KSSR dan KSSM.
Pelaksanaan konsep PBD berlaku secara berterusan dari
Tahun 1 hingga Tahun 6 di sekolah rendah dan dari
Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 di sekolah menengah.
5 Mengapakah PBD penting?
PBD dapat membantu guru dalam:
1.Mengesan perkembangan murid secara menyeluruh
2.Mengenal pasti kekuatan dan kelemahan murid dalam
pembelajaran
3.Mengetahui keberkesanan pengajaran
4.Merancang dan mengubah suai kaedah pengajaran
5.Mengambil tindakan susulan yang sesuai dengan serta
merta
6 Bagaimanakah PBD dilaksanakan?
PBD dilaksanakan secara berterusan sepanjang proses
PdP sepanjang tahun. PBD dilaksanakan melalui pelbagai
kaedah pentaksiran seperti:
1. Pemerhatian
2. Penulisan
3. Lisan
Melalui kerja projek, kuiz, pembentangan dan-lain- lain
aktiviti pembelajaran, berdasarkan Standard Prestasi dan
pertimbangan profesional guru.
7 Apakah pertimbangan profesional?
Pertimbangan profesional merupakan satu bentuk
keputusan berkaitan pembelajaran murid yang dibuat oleh
guru secara beretika menggunakan pengetahuan,
kemahiran dan pengalaman berdasarkan Standard
Prestasi dan data perkembangan penguasaan murid dalam
pembelajarannya.
8 Bagaimanakah PBD dilaporkan?
Tahap penguasaan murid dalam PBD dilaporkan
menggunakan templat pelaporan dalam fail Excel yang
digunakan secara luar talian. Laporan ini digunakan pada
peringkat sekolah, serta dilaporkan kepada murid dan ibu
bapa.
9 Bagaimanakah memastikan kualiti
pentaksiran bilik darjah yang
dilaksanakan?
Pihak pentadbir sekolah melakukan pemantauan,
manakala guru-guru dalam panitia semua mata pelajaran
melakukan perbincangan dan penyelarasan berkaitan
kaedah dan instrumen pentaksiran yang digunakan. Guru
dalam panitia yang sama juga melakukan moderasi
(perbincangan) sesama mereka dalam melakukan
pertimbangan profesional terhadap murid.
10 Siapakah jawatankuasa
pemantauan kualiti PBD?
Jawatankuasa ini dibentuk oleh pihak sekolah, lazimnya
dianggotai oleh:
1.Pengetua/Guru Besar
2.Penolong Kanan Pentadbiran
3.Penolong Kanan Hal Ehwal Murid
4.Penolong Kanan KoKurikulum
5.Penolong Kanan Petang
6.Penolong Kanan Pendidikan Khas
7.Guru Kanan Mata Pelajaran/Ketua Bidang
8.Ketua Panitia
9.Guru Cemerlang
10.Jurulatih Utama
11.Mana-mana guru yang dilantik oleh Pengetua/Guru
Besar/JK PBS
11 Berapa kerap PBD perlu
dilaporkan?
Sekurang-kurangnya 2 kali setahun.
12 Apakah saluran yang disediakan
bagi mendapatkan maklumat
berkaitan KSSM?
Buku Panduan
Portal http://bpk.moe.gov.my/
JPN
PPD
13 Adakah BPK menyediakan rekod
transit?
Tidak. Perekodan boleh dilakukan dalam dokumen seperti
rekod mengajar, buku catatan guru, senarai semak, templat
pelaporan Excel atau lain- lain tempat merekod yang
sesuai.
14 Adakah BPK menyediakan
format pelaporan penguasaan
murid dalam PBD?
Untuk tujuan pelaporan, templat pelaporan PBD dalam fail
Excel yang disediakan dan dimuat naik ke portal BPK.
15 Adakah templat pelaporan PBD
yang baharu ini untuk semua
Tahun dan Tingkatan?
Templat pelaporan PBD yang baharu akan disediakan
mengikut Tahun/ Tingkatan kurikulum KSSR (Semakan
2017) dan KSSM yang dilaksanakan. Ini bermakna pada
tahun 2018, templat pelaporan yang baharu ialah untuk
Tahun 1, Tahun 2, Tingkatan 1 dan Tingkatan 2. Manakala
templat pelaporan PBD yang baharu untuk Tahun 3 KSSR
(Semakan 2017) dan Tingkatan 3 KSSM akan dimula
digunakan pada tahun 2019.
Templat pelaporan PBD yang baharu untuk Tahun 4 akan
digunakan pada tahun 2020, Tahun 5 pada tahun 2021 dan
Tahun 6 pada tahun 2022.
16 Mengapakah tiada surat siaran
atau pekeliling untuk
melaksanakan PBD?
PBD merupakan sebahagian daripada kurikulum.
Kurikulum terdiri daripada kandungan, pedagogi dan
pentaksiran. Pentaksiran ini dinyatakan dalam Dokumen
Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) setiap mata
pelajaran. Pelaksanaan kurikulum dan pentaksiran berlaku
secara serentak dan tidak memerlukan surat pekeliling
yang berasingan. Surat pekeliling bagi melaksanakan
KSSR (Semakan 2017) ialah SPI Bil. 8/2016 manakala
surat pekeliling bagi melaksanakan KSSM ialah SPI Bil.
9/2016.
17 Apa perbezaan Tahap
Penguasaan Umum dengan
Tahap Penguasaan Keseluruhan?
Tahap Penguasaan Umum ialah tahap penguasaan yang
digunakan oleh semua mata pelajaran bagi menjadi asas
kepada pembangunan Standard Prestasi mata pelajaran
tersebut. Tahap Penguasaan Keseluruhan ialah penentuan
satu Tahap Penguasaan dalam mata pelajaran tersebut
pada penghujung sesi persekolahan iaitu pada akhir tahun
persekolahan.