BATU BELAH BATU BERTANGKUP
Assalamualaikum kawan-kawan dan juri-juri,
Saya Adra Safiya menonjolkan diri.
Hari ini,saya akan menyampaikan sebuah cerita yang bertajuk BATU BELAH BATU BERTANGKUP.
Pada zaman dahulu, di sebuah kampung ada sebuah gua yang penuh keajaiban. Gua ini dinamakan
‘Batu Belah Batu Bertangkup’. Gua ini digeruni oleh semua orang . Pintu gua ini boleh terbuka apabila
diseru. Akan tetapi, sesiapa sahaja yang masuk ke dalam gua itu pasti tidak akan dapat keluar lagi.
Di kampung berdekatan dengan gua itu, tinggallah Mak Tanjong bersama-sama dua orang
anaknya, Si Melor dan Si Pekan. Mak Tanjong asyik bersedih kerana baru kehilangan suami tersayang.
Kesedihan ini membuatkan Mak Tanjong sering berasa keseorangan, walaupun hakikatnya, Pekan dan
Melor ada di sampingnya.
Pada suatu hari, Mak Tanjong teringin sangat makan telur ikan tembakul. Dia pun pergi ke sungai
untuk menangkap ikan itu. Bukan main suka hati Mak Tanjong apabila seekor ikan tembakul yang besar
dapat ditangkapnya.
Mak Tanjong terus menyiang ikan tembakul tersebut. Setelah bersih, diberikan kepada Melor
untuk dibuat gulai. Mak Tanjung berpesan kepada Melor supaya menyimpan sedikit telur ikan tembakul
untuknya sekiranya dia lambat pulang.
Selesai membuat gulai, Melor menggoreng pula telur ikan tembakul. Dia terus menyimpan sedikit
telur ikan tembakul itu seperti pesanan Mak Tanjong. Namun, setelah lama menunggu, ibu mereka tidak
pulang-pulang. Pekan mula menangis kelaparan. Melor menghidangkan makanan untuk Si Pekan.
Pekan makan dengan lahap. Disebabkan keenakan telur ikan tembakul, Pekan hendak makan
lagi. Si Pekan mula merengek sambil menangis-nangis lalu menarik-narik tangan Si Melor hendakkan
telur ikan tembakul. Puas Melor memujuk Pekan tetapi dia tetap mendesak dan terus menangis. Secara
tiba-tiba, Pekan melompat dan terus mengambil telur ikan tembakul itu yang disimpan oleh Melor untuk
ibu mereka.
Pekan langsung tidak menghiraukan pekikan kakaknya. Dengan lahap, Pekan terus menelan
telur ikan itu sehingga habis dimakan. Tidak lama kemudian, Mak Tanjong pun pulang. Melur terus
menghidangkan makanan untuk ibunya. Mak Tanjong bertanya kepada Melor ‘Di mana telur ikan
tembakul mak?
Melor terdiam tidak menjawab. Dia berasa amat bersalah. Dia sedih melihat ibunya yang sebegitu hampa
kerana tidak dapat menikmati telur ikan tembakul.
Mak Tanjong bingkas bangun. Dia memandang Melor dan Pekan dengan penuh rasa pilu lalu
berjalan tidak bermaya menuju ke hutan. Hatinya bertambah sayu mengenangkan arwah suami. Mak
Tanjong merasakan dirinya tidak disayangi lagi.
Melor dan Pekan berlari mengejar ibu mereka. Mereka berteriak sambil menangis memujuk ibu
mereka supaya ikut pulang.
Malangnya, rasa sayang sudah hilang dari hati ibu tunggal itu. Tidak ada secebis pun rasa
simpati buat Pekan dan Melor lagi. Semuanya sudah diganti dengan rasa hampa dan marah. Bagi Mak
Tanjong, tidak ada lagi kemaafan untuk anak-anaknya yang tidak mengenang budi. Sekuat-kuat hatinya,
Mak Tanjong menolak Pekan ke lantai hutan dan berlari sepantas yang termampu.
Melor menarik tangan adiknya sambil mereka berdua mengejar Mak Tanjong. Sayangnya,
mereka terlambat. Mak Tanjong sudah menyeru Batu Belah Batu Bertangkup agar membuka pintunya.
Sebaik sahaja Mak Tanjong melangkah masuk ke dalam gua itu, pintu gua itu pun tertutup rapat.
Tinggallah dua-beradik itu menangis, meraung sekuat hati. Namun, air mata darah sekali pun
tidakkan dapat mengembalikan Mak Tanjong ke dunia. Tinggallah Pekan dan Melor sebagai yatim piatu,
hidup lara tidak terbela.
Kawan-kawan, begitulah cerita Batu Belah Batu Bertangkup. Pengajaran daripada kisah ini ialah
yang pertama kita dalam sebuah keluarga mesti berkasih sayang antara satu sama lain.
Kedua kita tidak boleh bersikap tamak dan pentingkan diri sendiri. Amalan dan sikap ini bukan
sahaja akan melukai orang lain malah boleh membawa kerugian kepada diri sendiri.
Akhir sekali kita tak boleh menyakiti hati ibu bapa kerana mereka banyak berjasa dan berkorban
untuk kita. Ingat kawan-kawan, keluarga adalah orang yang paling penting dalam kehidupan kita. Tanpa
mereka tidak sempurnalah hidup kita.
Sekian, Terima kasih.