The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by PISMPBMSK Felintiana Lensin, 2023-07-11 06:29:05

SKRIP FORUM

SKRIP FORUM

SKRIP PENGACARA MAJLIS (sebelum forum) Dari Raub pergi ke Pontian, Terus pula ke Kuala Perlis, Harap semua berikan perhatian, Mohon saya mulakan Majlis. Yang Berusaha, Puan Sharika binti Mohamad Kadi selaku pengetua SMK Datuk Peter Mojuntin, yang berusaha Puan Haziqah Nadhirah binti Mohamad Irfan Dutchan penolong kanan pentadbiran, Encik Ikramah Abdul Rashid, penolong kanan hal ehwal murid, barisan guru-guru pentadbir, saudara Denisson sebagai moderator forum kita pada hari ini, ahli-ahli panel, guru-guru sekolah SMK Datuk Peter Mojuntin serta semua pelajar yang saya hormati sekalian. Selamat pagi dan salam sejahtera. Bunga mawar cantik tersemat, Dipetik gadis di tepi titi, Doa dibaca memohon Rahmat, Moga Majlis sentiasa diberkati. Bagi menambah keberkatan majlis kita pada hari ini, majlis menjemput Ustaz Irsyad Alfian bin Jaimis untuk membacakan doa. Dipersilakan. BACAAN DOA Majlis merakamkan terima kasih kepada Ustaz Irshad atas bacaan doa sebentar tadi. Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian, Tujuan kita berhimpun di dewan pada hari ini adalah untuk mendengar perkongsian ilmu melalui forum yang bertajuk Kelestarian Alam Sekitar yang akan disampaikan oleh pegawai daripada jabatan alam sekitar dan wakil siswi daripada IPG Kampus Gaya. Tanpa membuang masa lagi, saya selaku pengacara majlis dengan ini menyerahkan majlis ini kepada saudara Denisson Domissin selaku moderator forum kelestarian Alam Sekitar untuk memulakan forum dipersilakan.


SKRIP FORUM : KELESTARIAN ALAM SEKITAR DAN TANGGUNGJAWAB PENDIDIK MODERATOR: Rumput Jerami diisi ranjau, Di atas papan burung berkicau; Jika bumi tak lagi hijau, Masa depan menjadi kacau. Rangkap pantun tersebut merupakan sedikit pengenalan tentang forum kami pada hari ini. Namun sebelum itu, selamat pagi dan salam sejahtera saya ucapkan kepada ahli-ahli panel yang hadir pada hari ini serta seterusnya kepada hadirin sekalian Syukur kepada Tuhan kerana dengan izinNya kita dapat berkumpul bersama-sama pada hari ini dalam sebuah diskusi ilmiah iaitu program pengisian Ilmu Forum berkenaan kelestarian alam sekitar serta peranan pendidik dalam isu ini. Sebelum kata bersulam bicara, sebelum ilmu menusuk di dada, eloklah kita berkenal-kenal dahulu kerana kata orang tak kenal maka tak cinta. Sebelum kita masuk ke dalam topik perbincangan kita, apa kata kita berkenal terlebih dahulu dengan 2 orang ahli panel yang sudi meluangkan masa bersama kita pada hari ini. Di sebelah kanan saya ialah saudari Felintiana Lensin, pegawai daripada jabatan alam sekitar selaku ahli panel yang pertama. Apa khabar saudari ? AHLI PANEL 1 : Terima kasih saudara pengerusi saya baik-baik sahaja. MODERATOR : Sama-sama. Seterusnya saya akan memperkenalkan ahli panel kita yang kedua saudari Raineh binti Paling ,wakil siswi pendidik daripada IPG Kampus Gaya. Walaupun nampak pemalu tetapi petah berbicara. Apa khabar saudari? AHLI PANEL 2 : Syukur, saya sihat sahaja dan dapat bersama-sama pada perbincangan hari ini. Salam forum buat semua.


MODERATOR: Selesai sudah sesi perkenalan kita. marilah kita kembali kepada topik forum kita berkenaan kelestarian alam sekitar. Hadirin sekalian, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan alam sekitar yang lestari? Bagi menjawab persoalan tersebut, izinkan saya mengajukan soalan berkenaan kepada ahli panel 1 dan ahli panel yang kedua. Berikan penjelasan tentang makna alam sekitar yang lestari. Dipersilakan. AHLI PANEL 1: Terima kasih saudara Pengerusi. Salam sejahtera kepada sidang hadirin yang dihormati Takrif alam sekitar merupakan segala benda hidup dan bukan hidup yang wujud secara semula jadi di permukaan bumi, atau sebahagian daripadanya.Alam sekitar juga boleh di panggil flora dan fauna. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, lestari bermaksud tidak berubah-berubah, kekal atau tetap.Oleh itu, alam sekitar yang lestari bermaksud alam sekitar atau persekitaran yang kekal, dipelihara dan dijaga daripada sebarang unsur kerosakan alam atau pencemaran alam sekitar. MODERATOR: Baiklah terima kasih ahli panel 1, kita teruskan pula dengan penjelasan daripada ahli panel yang kedua. Silakan. AHLI PANEL 2: Terima kasih kepada saudara pengerusi. Salam sejahtera kepada sidang hadirin sekalian. James M. Baldwin mendefinisikan alam sekitar sebagai lingkungan dan keseluruhan keadaan luaran yang memberi pengaruh serta berinteraksi dengan organisma dalam apa juga peringkat kedudukannya. Abdullah Mohamad Said (1999) pula, menyatakan bahawa alam sekitar tidak sahaja merangkumi elemen-elemen fizikal sahaja tetapi juga turut memuatkan aspek sosio-budaya masyarakat. MODERATOR: Terima kasih kepada saudari Raineh dan saudari Felintiana atas penjelasan berkenaan apakah itu alam sekitar. Berdasarkan apa yang telah dikongsikan oleh kedua-dua ahli panel, alam sekitar bukanlah sekadar haiwan atau tumbuhan semata-mata tetapi keseluruhan luaran


yang memberi pengaruh serta berinteraksi dengan organisma lain. Alam sekitar tidak bersifat kekal dan boleh berubah mengikut keadaan persekitaran. Memang tidak dinafikan bahawa terdapat pelbagai punca atau sumber berlakunya pencemaran alam sekitar. Oleh sebab itu, saya akan teruskan soalan seterusnya yang akan saya tujukan kepada saudari panel pertama. Baiklah, pada pendapat saudari Felintiana, apakah punca-punca berlakunya pencemaran alam sekitar pada masa kini? AHLI PANEL 1: Terima kasih.Soalan yang diberikan oleh pengerusi sangat menarik pada hari ini. Hadirin yang dihormati, Pada pendapat saya, punca berlakunya pencemaran alam sekitar terbahagi kepada dua jenis iaitu pencemaran yang disebabkan oleh faktor semulajadi dan pencemaran yang disebabkan oleh faktor manusia.Pencemaran yang disebabkan oleh faktor semula jadi ialah pencemaran yang berlaku dengan sendirinya setelah berlakunya bencana alam seperti ribut taufan, letusan gunung berapi dan gempa bumi manakala pencemaran yang disebabkan oleh faktor manusia adalah pencemaran yang dilakukan oleh manusia sama ada sengaja atau disengajakan. Saudara pengerusi, ahli panel dan hadirin sekalian, Saya fokuskan perbincangan hari ini tentang punca atau faktor pencemaran alam sekitar yang disebabkan oleh aktiviti manusia.Antara pencemaran alam sekitar yang sering berlaku ialah pencemaran udara.Pencemaran udara ini berlaku disebabkan pelepasan asap oleh kenderaan bermotor dijalan raya.Hal ini kerana asap yang dihasilkan oleh kenderaan bermotor mengandungi gas karbon monoksida.Seperti yang kita ketahui di Malaysia, kawasan pedalaman dan kawasan bandar telah mempunyai sistem jalan raya yang menyebabkan jumlah kenderaan bermotor seperti kereta, motor, lori dan sebagainya semakin meningkat.Hal ini menunjukkan bahawa kenderaan bermotor iaitu pengangkutan yang sering digunakan oleh masyarakat merupakan penyumbang terbesar pencemaran alam sekitar dinegara kita. Seterusnya, pencemaran tanah yang disebabkan oleh aktiviti pembalakan yang tidak terancang.Hasil-hasil balak dan kayu yang diperolehi melalui aktiviti pembalakan ini dapat meningkatkan pendapatan dan ekonomi negara.Namun begitu, aktiviti penebangan hutan yang tidak teratur akan menyebabkan struktur tanah menjadi longgar dan mengakibatkan tanah runtuh.Selain itu, pembuangan sampah sarap dan kumbahan yang tidak terkawal juga telah menyebabkan pencemaran tanah berlaku.Terdapat dua kaedah pembuangan sampah yang sering diamalkan oleh masyarakat iaitu kaedah penimbusan dan kaedah pembakaran.Penggunaan kaedah-kaedah tersebut dapat melenyapkan sampah sarap dari pandangan mata tetapi kaedah tersebut boleh menyebabkan masalah yang serius kepada


alam sekitar. Di samping itu, pembuangan sisa toksik dan nuklear juga merupakan punca pencemaran tanah berlaku.Hal ini kerana sisa toksik dan nuklear telah mencemari permukaan tanah yang boleh menyebabkan kualiti tanah merosot. Oleh itu, jelaslah bahawa pencemaran alam sekitar sering berlaku disebabkan oleh aktivitiaktiviti manusia.Setakat ini sahaja pendapat saya tentang punca-punca pencemaran alam sekitar, saudara pengerusi. MODERATOR: Terima kasih atas perkongsian ahli panel pertama. Tidak dapat dinafikan bahawa manusia merupakan sumber utama kepada berlakunya pencemaran alam sekitar pada masa kini. Kita sendiri dapat melihat sikap masyarakat di sekeliling kita yang tidak kisah terhadap isu-isu pencemaran alam sekitar. Akhirnya, masalah tersebut akan memberi kesan kepada hidup kita. Sebelum kita beralih kepada langkah mengatasi pencemaran alam sekitar, adalah lebih baik kita mengetahui terlebih dahulu apakah kepentingan alam sekitar yang lestari. Baiklah,sekarang kita teruskan dengan soalan kepada ahli panel kedua saudari Raineh. Apakah kepentingan alam sekitar yang lestari secara umum? Dipersilakan. AHLI PANEL 2: Terima kasih kepada saudara pengerusi yang sentiasa aktif menanyakan banyak persoalan intelek. Pada pandangan saya, kepentingan alam sekitar yang lestari adalah habitat flora dan fauna akan terpelihara. Hal ini bermaksud, alam sekitar yang merangkumi gunung-ganang, taburan hutan sehingga ke lautan merupakan habitat kepada hidupan flora dan fauna. Namun demikian, disebabkan populasi manusia yang semakin bertambah dari tahun ke tahun, pembangunan penempatan juga bertambah rancak. Kita tidak boleh nafikan bahawa pembangunan adalah penting demi mencapai kemajuan tetapi elemen penjagaan alam sekitar seharusnya menjadi agenda utama. Hal ini demikian kerana kita masih lagi bergantung kepada sumber flora dan fauna dalam pelbagai aspek kehidupan terutamanya bekalan makanan. Sebagai contoh, tumpahan minyak yang berlaku di laut dalam telah menyebabkan ikan-ikan mati dan nelayan tidak dapat menampung permintaan daripada pengguna. Kesannya, isu keselamatan makanan akan timbul dan boleh menimbulkan konflik antara negara. Oleh itu, mekanisme kawalan yang efektif hendaklah dilaksanakan supaya permintaan pengguna dapat dipenuhi disamping pemeliharaan habitat flora dan fauna terjamin. Janganlah kita bersikap seperti peribahasa Melayu diberi betis, hendak peha yang membawa maksud bersikap tamak akan merugikan kita.


Seterusnya, jika dilihat pada sudut yang berbeza, alam sekitar yang terjaga dapat menarik pelancong sama ada domestik atau antarabangsa. Secara umumnya, kita mengetahui bahawa malaysia telah dikurniakan khazanah alam yang banyak dimana pulau yang mengelilingi perairan negara menjadi pusat penyelam skuba kerana keindahan terumbu karang yang terdapat di dasar laut. Manakala kemegahan Gunung Kinabalu menjadi kegemaran pendaki gunung dalam melihat keunikan bentuk muka bumi Sabah yang terpampang setelah mencapai kemuncak pendakian. Berdasarkan contoh yang telah saya kemukakan sebentar tadi alam sekitar seperti ini wajar diuruskan dan dipelihara sehabis baik. Pihak berkuasa seharusnya merancang dengan penuh teliti untuk meningkatkan jumlah pelancong di samping memelihara keindahan alam yang tersemat di kawasan tersebut. Intihannya, Pelancongan yang berteraskan alam sekitar mampu menjana ekonomi setempat dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara secara amnya.Sekian itu sahaja yang boleh saya perkatakan saudara pengerusi. MODERATOR: Terima kasih kepada saudari panel kedua atas jawapan yang cukup jelas tersebut. Alam sekitar memainkan peranan yang penting bukan sahaja kepada masyarakat tetapi juga kepada semua makhluk yang hidup di muka bumi ini. Kita beralih kepada soalan yang seterusnya. Apakah langkah mengatasi pencemaran alam sekitar? Saudari Felintiana, dipersilakan. AHLI PANEL 1: Jika terdapat punca-punca pencemaran alam sekitar pasti terdapat langkah-langkah melestarikan alam sekitar.Pada pandangan saya, pihak kerajaan,pertubuhan bukan kerajaan persatuan penduduk atau masyarakat memainkan peranan yang sangat penting dalam usaha atau langkah untuk melestarikan alam sekitar. Hadirin sekalian, Antara langkah penting yang harus dilakukan untuk melestarikan alam sekitar ialah sikap menjaga alam sekitar ini harus di didik dalam diri masayarakat dahulu iaitu masyarakat harus mengamalkan amalan 3R, iaitu mengurangkan (reduce), menggunakan semula (reuse), dan mengitar semula (recyle).Mengurangkan bermaksud penggunaan sumber alam dan barang yang tidak diperlukan harus dikurangkan.Contohnya, mengurangkan penggunaan beg plastik.Menggunakan semula pula bermaksud menggunakan semula barang yang telah digunakan untuk tujuan lain.Sebagai contoh, kita menggunakan bekas-bekas kaca yang telah digunakan sebagai tempat menyimpan makanan.Seterusnya, mengitar semula bermaksud


menjadikan bahan buangan yang telah digunakan untuk dijadikan produk baru.Contohnya, kertas, kotak, botol dan sebagainya. Selain itu, sektor perindustrian juga harus melaksanakan penggunaan teknologi mesra alam untuk menjaga atau melestarikan alam sekitar.Walaupun sektor perindustrian banyak menyumbang kepada ekonomi negara tetapi sektor perindustrian juga harus menggunakan teknologi mesra alam bagi mencapai matlamat negara untuk menjaga alam sekitar.Contohnya, mewajibkan penggunaan atau pemasangan penapisan udara di cerobong asap kilang dan ekzos kenderaan.Hal ini dapat mengatasi berlakunya pencemaran alam sekitar seperti pencemaran udara.Bagi menjayakan lagi pelaksanaan penggunaan teknologi mesra dalam sektor perindustrian ini, pihak kerajaan boleh memberikan bantuan subsidi bagi mengurangkan kos penghasilan penapisan udara.Persis kata peribahasa, tidak ada gunung yang tak dapat didaki, tiada lurah yang tidak boleh dituruni.Oleh itu, perubahan penggunaan tenaga boleh diperbaharui dalam sektor perindustrian haruslah dilaksanakan bagi melestarikan alam sekitar. Langkah alternatif lain yang boleh dilakukan ialah pihak kerajaan atau organisasi harus melaksanakan kempen alam sekitar secara konsisten bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang langkah melestarikan alam sekitar.Contohnya, Kempen Kesedaran 3R, Kempen Pengumpulan Buangan Elektrik dan Elektronik dan sebagainya.Bagi menjayakan kempen tersebut, media massa harus memainkan peranan penting untuk menyampaikan mesej kepada masyarakat.Hal ini kerana penggunaan media sosial telah menjadi norma masyarakat umum iaitu perkara yang sering dilakukan.Oleh itu, rancangan yang melibatkan selebriti terkenal dalam kempen kitar semula harus diperbanyakkan lagi.Seterusnya, Jabatan Perhutanan dan Semenanjung Malaysia (JPSM) iaitu jabatan yang bertanggungjawab atas pengelolaan hutan negara yang telah diwartakan sebagai hutan simpan.Peranan jabatan ini sangat penting dalam mencegah hutan daripada diterokai secara haram dan meluas yang boleh menyebabkan pencemaran air, pencemaran tanah dan pencemaran udara.Oleh itu, JPSM telah melaksanakan undang-undang dengan lebih tegas iaitu pesalah-pesalah yang melakukan pembalakan haram, pembakaran terbuka dan sebagainya harus dikenakan denda beribu-ribu wang ringgit Malaysia atau dihukum penjara. Kesimpulannya, tindakan yang dilakukan oleh pihak kerajaan atau sesuatu organisasi sangat berkesan,Namun masih ada segelintir masyarakat yang tidak prihatin dan mengabaikan usaha-usaha tersebut.Ia ibarat mencurahkan air di daun keladi.Oleh itu, pihak kerajaan, masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan harus berganding bahu untuk melestarikan alam sekitar.Sekian sahaja daripada saya.Saya serahkan semula kepada saudara pengerusi.


MODERATOR: Terima kasih saudari Felintiana atas perkonsian ilmu yang sangat bernas tersebut. Saya tertarik dengan kata-kata beliau berkenaan perubahan penggunaan tenaga boleh diperbaharui dalam sektor perindustrian. Sesungguhnya pada zaman ini, banyak teknologi atau peralatan-peralatan canggih dapat dimanfaatkan untuk mewujudkan suasana alam sekitar yang lebih lestari. Satu daripada contoh yang telah diberikan ialah penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui. Melalui langkah ini, pencemaran udara mahupun pencemaran air dapat dikurangkan. Kesannya, kehidupan masyarakat lebih aman dan harmoni. Saya akan teruskan forum perbincangan kita ini dengan soalan yang seterusnya. Saya sangat teruja untuk bertanyakan kepada ahli panel yang kedua. Soalan saya kepada saudari ialah, Apakah tanggungjawab pendidik dalam menangani masalah yang berlaku berkaitan alam sekitar? Dipersilakan. AHLI PANEL 2: Terima kasih saudara pengerusi. Soalan yang amat menarik daripada pengerusi kita pada hari ini. Baiklah, antara tanggungjawab pendidik dalam menangani masalah alam sekitar adalah dengan mengadakan kempen ‘Sayangi Alam Sekitar’. Bagi menguruskan kempen ini, maka Persatuan Alam Sekitar boleh bekerjasama dengan pihak sekolah bagi melicinkan perjalanan program yang dirancang. Antara program yang boleh dijalankan sepanjang kempen ini diadakan ialah pertandingan melukis poster, pertandingan mencipta dan mendeklamasikan puisi, pertandingan menulis esei, pertandingan pidato, syarahan dan debat, ceramah tentang kepentingan menjaga alam sekitar dan pelbagai lagi aktiviti yang boleh menarik minat pelajar. Kesemua aktiviti ini menjurus kepada satu matlamat, iaitu memupuk kesedaran tentang kepentingan menjaga alam sekitar. Tegasnya, kempen sebegini harus dilaksanakan secara berperingkat dan berterusan agar kesedaran yang ingin ditanam ranum di sukma mereka sebagai pemegang amanah kepada kelangsungan hijaunya alam sekitar. Di samping itu, pihak sekolah juga boleh mengadakan gotong-royong menghijaukan kawasan sekolah. Program penghijauan ini boleh dilakukan dengan menanam pokok-pokok di sekitar kawasan sekolah. Antara pokok-pokok yang boleh ditanam ialah pokok buah-buahan dan pokok perhiasan, seperti pokok bunga. Selain memcantikkan sekolah dan memberi hasil untuk dimakan, penanaman pokok ini sebenarnya telah membantu penambahan pengeluaran gas oksigen yang diperlukan oleh tubuh badan manusia. Program ini sebegini juga mampu mendidik remaja agar mengawal aktiviti penggondolan hutan secara berleluasa seperti yang didepani oleh dunia dewasa ini. Ringkasnya, aktiviti seperti ini sememangnya penting dalam


mendidik tabiat sayang akan alam sekitar sejak di bangku sekolah kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hadirin dan hadirat. Bukan itu sahaja, sekolah boleh menguatkuasakan peraturan baru bagi penggunaan air dan elektrik di sekolah. Hal ini bertujuan bagi mengawal penggunaan elektrik dan air daripada terus dibazirkan. Penggunaan elektrik dan air yang tidak terkawal merupakan salah satu bentuk kerosakan terhadap alam sekitar. Hal ini demikian kerana penggunaan elektrik yang berlebihan telah membebaskan gas-gas beracun seperti monoksida yang mampu mengancam ekosistem dan kesihatan manusia juga. Sekolah boleh menggariskan beberapa peraturan seperti menutup lampu setiap jam8.30 pagi misalnya, kecuali pada hari hujan dan mendung. Kipas pula perlu dihentikan sekiranya pelajar tidak berada di dalam kelas, umpamanya pergi ke makmal dan ketika waktu rehat. Jelasnya, tindakan sebegini bukan sahaja mampu menjimatkan penggunaan air dan elektrik tetapi dapat memupuk sikap berjimat cermat dalam kehidupan seharian. MODERATOR: Terima kasih ahli panel. Cantik dikena dokoh suasa, Tidak perasan kancingnya parat; Guru pembina negara bangsa, Mendidik insan dunia akhirat. Begitu banyak sekali ilmu yang telah dikongsikan pada hari ini. Terima kasih saudari ahli panel pertama dan ahli panel kedua atas pandangan dan informasi yang mantap sekali. Nampaknya masa amat mencemburui kita. Kesimpulannya di sini alam sekitar yang lestari sememangnya menjadi satu impian kepada masyarakat pada zaman kini dan seterusnya untuk kebaikan kepada generasi masa hadapan. Alam sekitar bukanlah tanggungjawab kepada kepada beberapa golongan sahaja tetapi melibatkan semua pihak. Amatlah penting untuk kita peka terhadap isu-isu alam sekitar dan memainkan peranan masing-masing. Biarlah keindahan serta kelestarian alam sekitar menjadi aspirasi kepada masyarakat tanpa mengira umur dan latar belakang. Sebelum menutup tirai forum kita pada hari ini, saya sangat suka untuk memperdengarkan kepada hadirin sekalian serangkap pantun. Kalau ada sumur di ladang,


Boleh kita menumpang mandi; Kalau ada umur yang panjang, Semoga kita bersua Kembali. Sekian, terima kasih. SKRIP PENGACARA MAJLIS (selepas forum) Majlis mengucapkan syukur dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan forum kita pada hari ini sama ada secara langsung atau tidak langsung. Tuan puteri tersenyum-senyum, Melihat mempelai direnjis dipilis, Senyum-senyum jangan tak senyum, Sudah kita di penghujung Majlis. Di kesempatan ini, saya ingin memohon ribuan kemaafan andai ada salah dan silap sepanjang mengacarakan majlis ini. Pergi ke dusun memetik kelapa, Kelapa muda si kelapa barli, Jari disusun maaf dipinta, Panjang usia bersua kembali Sekian dan terima kasih.


Click to View FlipBook Version