KISAH:
SANG
KANCIL
DAN
GAJAH
DISEDIAKAN OLEH:
SITI NAZIHAH BINTI RUSLAN
Di dalam hutan terdapat satu haiwan
yang cerdik yang diberi nama Sang
Kancil. Suatu hari Sang Kancil keluar
untuk bersiar-siar di hutan belantara.
Sedang asyik ia berjalan tiba-tiba ia
terjatuh ke jurang yang agak dalam.
Sang kancil mencuba keluar dari jurang
tersebut namun segala usahanya sia-sia
sahaja. Tidak lama kemudian ia
terdengar bunyi tapak kaki yang besar.
Sang Kancil terus dapat mengagak
bahawa empunya tapak kaki itu adalah
kepunyaan Sang Gajah.
Kemudian Sang Kancil mendapat satu idea
bagaimana ia hendak menyelamatkan diri. Lalu
ia pun memanggil Sang Gajah. Gajah hairan
kenapa Sang Kancil berada di dalam jurang lalu
bertanya.
Gajah: Ehh..Kancil, apa yang kamu buat di dalam
tu?
Kancil: Saya tengah menyelamatkan diri!
Gajah: Dari siapa?
Kancil: Cuba tengok langit, ia hitam dan gelap.
Langit nak runtuh!
Sang Gajah yang dungu itu mempercayai kata
Sang Kancil bulat-bulat. Tanpa berfikir panjang
Sang Gajah pun terus melompat ke dalam
lubang untuk menyelamatkan dirinya.
Kemudian Sang Kancil pun mengambil
kesempatan untuk melompat di atas badan
gajah dan terus keluar dari lubang yang dalam
itu.
“Haha, padan muka engkau, selamat aku” – kata
Sang Kancil. Kemudian, Sang Kancil pun berlalu
pergi meninggalkan Sang Gajah yang masih
terpinga-pinga di dalam lubang tadi.
PENGAJARAN
Janganlah jadi Sang Kancil seperti dalam cerita ini kerana
walaupun Sang Kancil cerdik tetapi ia tidak baik hati kerana
telah menipu sang gajah untuk menyelamatkan diri.
Janganlah juga menjadi seperti Sang Gajah kerana walaupun
Sang Gajah baik hati tetapi ia tidak berfikir dengan panjang
lalu ditipu. Jika kita hendak membantu seseorang, ia
haruslah mengikut kemampuan kita dan janganlah kita
mengambil kesempatan dengan membuat jahat kepada
mereka yang membantu kita.
Seperti Peribahasa Melayu:
"Buat baik berpada-pada, Buat jahat jangan sesekali".