The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by Faeez Azahar, 2022-09-15 02:14:08

PIDATO KETUA PEMUDA

PIDATO KETUA PEMUDA

PIDATO KETUA PEMUDA
KONVENSYEN PEMUDA AMANAH NASIONAL TAHUN 2022 M / 1443 H

(TEMA : INI MASA KITA!)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

1. Konvensyen Pemuda AMANAH Nasional pada tahun ini adalah konvensyen terakhir
sebelum gendang PRU15 dipalu. Sepanjang 5 tahun ini, pelbagai peristiwa besar
telah berlaku. Kemenangan Pakatan Harapan dalam PRU14, peristiwa Langkah
Sheraton yang menjijikkan, pandemik Covid-19 serta tiga siri PRN berturut-turut.
Semuanya adalah pertama kali berlaku dalam sejarah.

2. Walau apapun yang berlaku, Parti Amanah Negara bersama-sama Pakatan
Harapan terus tegak berdiri dan duduk sama rendah bersama rakyat dengan
menjunjung prinsip ‘Rahmatan Lil Alamin’.

3. Konvensyen pada hari ini diharapkan menjadi medan terbaik untuk kita melihat ke
dalam dan bermuhasabah agar setiap kelemahan dapat diperbaiki manakala setiap
kekuatan dapat dikembangkan.

4. Selamat datang dan selamat berkonvensyen saya ucapkan kepada seluruh
perwakilan, pemerhati dan tetamu yang menghadiri Konvensyen Pemuda AMANAH
Nasional pada kali ini. Saya ingin mengajak semua perwakilan untuk memanfaatkan
Konvensyen ini sebaik mungkin demi parti yang kita cintai ini. Adalah diharapkan
agar penganjuran Konvensyen kita bukan semata-mata memenuhi tuntutan ROS,
tetapi perjalanannya sarat dengan perbahasan yang berkualiti serta muhasabah
yang benar-benar jujur untuk memperbaiki Pemuda.

RETROSPEKTIF SETAHUN BERLALU

5. Sebelum kita melangkah lebih jauh, marilah kita merenung kembali perjalanan
penuh cabaran yang telah kita tempuhi sebelum ini, dengan mengukur kekuatan
dan kelemahan kita sepanjang setahun yang berlalu.

6. Jika kita semua masih ingat, sejurus selepas Konvensyen Pemuda AMANAH
Nasional bagi 2021 selesai, jentera Pemuda terus diuji dengan bencana banjir yang
dasyat sehinggakan konvensyen parti di peringkat nasional terpaksa ditangguhkan.
Alhamdulillah, walaupun dikecam kerana isu water jet mahal, pasukan Pemuda
telah berjaya mengerakkan misi bantuan bersama-sama ARIF di beberapa lokasi

1

termasuk Hulu Langat, Shah Alam, Kota Raja, Karak, Kuantan dan pelbagai tempat
yang dilanda banjir.

Sidang Konvensyen yang dikasihi sekalian,

7. Pada tahun yang lalu, tema Konvensyen Pemuda AMANAH Nasional adalah
“Memimpin Kesatuan, Menuju Kemenangan”. Dengan meletakkan hala tuju
membina satu pasukan Pemuda yang kuat dan tersusun untuk menghadapi
pilihanraya serta menjuarai isu-isu rakyat khususnya anak muda, Pemuda telah
memfokuskan gerak kerja pada tiga tonggak utama iaitu pilihanraya, pengukuhan
organisasi dan latihan.

8. Kita telah melalui ujian yang cukup getir apabila terpaksa berdepan dengan tiga
pilihanraya negeri secara berturut-turut iaitu PRN Melaka, PRN Sarawak dan PRN
Johor. Tidak sempat menghela nafas, satu persatu pilihanraya negeri ternyata
menguji kesiapsiagaan jentera Pemuda. Walaupun kita gagal untuk meraih
sebarang kerusi dalam semua PRN tersebut, saya tetap berbangga dengan calon-
calon dan jentera kita baik di Melaka, Sarawak dan Johor yang telah berjuang habis-
habisan bagi mencapai kemenangan.

9. Penghargaan khusus buat calon-calon kita Ustaz Muhammad Khomeini di Serkam,
Saudara Fadillah Sabali di Semop, Saudara Taqiuddin Che Man di Mahkota,
Saudara ‘Asim ‘Abdullah Ainolutfi di Serom dan Saudara Fakhrul Radzi Mahmud di
Endau yang berani memikul cabaran. Saya percaya bahawa kemenangan yang
tertangguh akan menjelma pada masa yang akan datang. Insha Allah.

10. Saya akui ada kelemahan pada jentera kita tetapi marilah kita bertekad untuk terus
memperbaiki pada masa-masa yang akan datang.

11. Dalam menjuarai isu-isu anak muda dan rakyat, Pemuda telah memainkan peranan
penting dalam mengangkat isu-isu termasuk kes Azam Baki, isu harga barang, isu
LCS serta pelbagai lagi. Pemuda telah memobilisi seramai mungkin anggota
Pemuda untuk berada di barisan depan dalam setiap demonstrasi, himpunan dan
flashmob yang dianjurkan. Puluhan pimpinan dan aktivis Pemuda dipanggil
memberi keterangan di balai polis malahan saya sendiri telah didakwa di bawah
Akta Perhimpunan Aman 2012. Walau bagaimanapun semua itu tidak sesekali
melemahkan semangat kita untuk terus memperjuangkan nasib rakyat.

2

12. Dalam usaha untuk memantapkan organisasi Pemuda, Alhamdulillah, usaha untuk
membina Pemuda AMANAH Nasional sebagai satu pasukan yang kukuh dan
tersusun telah menampakkan hasil yang semakin baik.

13. Saya dan rakan-rakan pimpinan telah turun ke hampir setiap negeri, bertemu dan
berbincang dari hati ke hati untuk meleraikan kekusutan yang tersimpul sebelum ini.
Kita akui luka pemilihan 2019 masih berparut, tetapi saya percaya bahawa jiwa
besar ahli-ahli Pemuda adalah untuk melihat Pemuda dan parti terus kukuh
mendepani cabaran mendatang. Saya bersyukur kerana muafakat sesama kita
semakin erat dan sentimen perpecahan atau perpuakan semakin dapat dijernihkan.
Tahniah kepada semua.

14. Lebih membanggakan, muafakat bersama rakan-rakan sayap pemuda dalam
Pakatan Harapan iaitu Angkatan Muda Harapan juga menampakkan perkembangan
yang cukup positif.

15. Terbaru dalam bulan Julai yang lalu, buat pertama kalinya kita dapat bermesyuarat
dan membentuk struktur organisasi yang lengkap seterusnya berjaya
menggerakkan program bersama iaitu Jelajah Angkatan Muda Harapan.

16. Pemuda AMANAH berbesar hati kerana dipilih menjadi tuan rumah terawal Jelajah
Angkatan Muda Harapan iaitu di Kota Bharu, Kelantan pada 13 Ogos dan di Kuala
Terengganu pada 3 September yang lalu. Ibarat kata pepatah “bersatu kita teguh,
bercerai kita roboh”. Terima kasih diucapkan kepada sahabat saya YB Dr Kelvin Yii
dari DAPSY, Saudara Adam Adli Abdul Halim dari AMK Malaysia serta semua
rakan-rakan dalam Angkatan Muda Harapan Malaysia kerana sama-sama
menyedari peri pentingnya untuk kita bangun, melangkah dan berlari bersama.

17. Solidariti sesama kita akan memberi isyarat positif kepada rakyat bahawa kita boleh
diberikan harapan dan peluang untuk memimpin negara kerana rakyat sudah muak
melihat pertelagahan dan perpecahan.

Sidang Konvensyen yang dikasihi sekalian,

GENERASI MEMIMPIN ZAMAN

18. Pada 8 September yang lalu, berita kematian Ratu Elizabeth II ternyata
mengejutkan seluruh dunia. Pemerintah paling lama dalam sejarah dunia moden itu
iaitu selama 70 tahun telah menjadi sebahagian dari latar penting dalam ratusan
pergolakan dunia sejak tahun 1952 sehingga ke hari ini.

3

19. Tanpa kita sedari dalam tempoh sedekad ini telah menyaksikan ramai pemimpin
atau tokoh pelakar zaman telah pun meninggalkan dunia ini. 9 tahun yang lalu
pemergian tokoh revolusi rakyat Afrika Selatan, Nelson Mandela (18 Julai 1918
hingga 5 Disember 2013) dan di rantau ini pula, tujuh tahun yang lalu, pemergian
Lee Kuan Yew, bapa pemodenan Singapura pada usia 91 tahun (16 September
1923 hingga 23 Mac 2015).

20. Pemergian tokoh-tokoh seperti Lee Kuan Yew, Nelson Mandela, Ratu Elizabeth II
menandakan berakhirnya hayat The Greatest Generation dalam kelangsungan
sistem politik dan ketamadunan dunia pada abad ini.

21. Generasi yang lahir antara tahun 1901 hingga 1927 digelar The Greatest Generation
kerana mereka adalah generasi yang membesar dalam Perang Dunia Pertama di
serata benua. The Greatest Generation kemudian digantikan dengan The Silent
Generation (lahir antara 1928 hingga 1945) yang membesar dalam Perang Dunia
Kedua. Dari kedua-dua generasi ini, muncul ramai pencetus reformasi dan
pembawa transformasi dalam pelbagai bidang yang menyumbang kepada
keagungan ketamadunan negara masing-masing. Kata bidalan Inggeris, “Hard time
create strong men. Strong men create good times. Good times create weak men.
Weak men create hard times”.

22. Generasi demi generasi bersilih ganti. Antaranya The Baby Boomers (antara 1946
hingga 1964), Generasi X (1965 hingga 1980), Milenial / Generasi Y (1981 hingga
1996) dan Generasi Z (1997 hingga 2012).

23. Pada masa ini di Malaysia, Milenial mewakili hampir separuh penduduknya dan
semakin ramai mengisi tempat-tempat di sektor awam mahupun swasta. Justeru,
tidak hairanlah di sana sini, kepimpinan organisasi mulai dipenuhi dengan Milenial.
Malahan jumlah Milenial kini adalah kelompok majoriti dalam kalangan pengundi di
negara kita.

24. Berbanding The Greatest Generation dan The Silent Generation yang dibekalkan
dengan cabaran sebenar di zaman kanak-kanak dan belia mereka, Milenial perlu
bertungkus lumus memperkaya bacaan serta pergaulan inter-generasi untuk
merasai dan menyentuhi penjiwaan itu.

25. Milenial tidak lagi boleh bergantung kepada pengaruh, kuasa, dan kenangan datuk
dan moyang mereka lagi tetapi berbekalkan hikmah (wisdom), pembacaan
kehidupan berasaskan sejarah, penaklukan pengetahuan yang mendalam serta

4

kebolehan menentukan masa hadapan yang dikehendaki, mereka kini harus
melangkah sendiri. Bukan sekadar memikirkan bagaimana menghadapi dan
bertahan dengan cabaran masa hadapan, sebaliknya kitalah yang perlu menjadi
pencorak atau pelakar zaman.

26. Pemuda AMANAH Nasional yang sebahagian besarnya adalah dari generasi
Milenial perlu segera mempersiapkan diri untuk memikul beban dan tanggung jawab
utama parti dan negara dalam meneruskan tamadun dan kelangsungan perjuangan
bangsa Malaysia dan umat Melayu Islam yang bermaruah dan bertamadun tinggi.

27. Generasi Milenial di negara walaupun tidak lagi berdepan dengan peperangan
fizikal seperti era penjajahan dahulu, tetapi peperangan yang tidak dapat dilihat
dengan mata kasar adalah amat getir dan mencabar. Jika dahulu musuh dapat
dikenalpasti sama ada dalam bentuk British, Jepun, Komunis, Belanda atau Portugis
tetapi musuh hari ini mungkin muncul dalam kalangan kita sendiri. Berwajah Melayu,
beragama Islam dan mulutnya berdegar bercakap tentang perjuangan ABATA tetapi
tangan tetap menyamun dan menyakau.

Sidang Konvensyen yang dikasihi sekalian,

INI MASA KITA!

28. Pada tahun ini, Konvensyen Pemuda AMANAH Nasional mengangkat tema Ini
Masa Kita!

29. Kita sering dicanangkan dengan ungkapan bahawa Pemuda adalah pemimpin masa
hadapan. Tapi persoalan yang timbul, bilakah ‘masa hadapan’ yang dimaksudkan
itu? Tahun ke tahun berlalu, masa depan yang didambakan semacam semakin
kabur.

30. Pemuda seolah-olah terpencil dan tersudut dalam parti walhal di saat parti-parti
rakan kini dibarisi oleh pemimpin-pemimpin muda manakala UMNO sendiri yang
bergelumang dengan warlord dan dinasour politik pun sudah mula menonjolkan
lebih ramai-muka-muka baru dalam parti dan barisan calon mereka PRN Melaka
mahupun di Johor.

31. Peremajaan parti bukan hanya dalam soal agihan kerusi-kerusi piihanraya. Apa
yang paling mustahak adalah keyakinan dan kepercayaan dari barisan pimpinan
kepada barisan Pemuda. Pemuda perlu diberikan kepercayaan dan pemberdayaan
(empowerment) untuk memikul tanggungjawab yang lebih penting dalam parti.

5

Kalau 58 peratus dari jumlah pengundi di Malaysia adalah berumur 40 tahun,
amatlah aneh jika pemimpin muda bawah 40 tahun dalam saf Jawatankuasa
Pimpinan Nasional hanya dua orang. Dua dari 49 orang menyamai hanya 4 peratus
sahaja.

32. Adakah kita tidak yakin dengan pemimpin muda dalam parti? Kita bukan meminta
digantikan semua atau separuh pimpinan sedia ada dengan muka baru dari
Pemuda, apa yang didesak hanyalah menambah muka-muka baru dari Pemuda
agar parti dilihat lebih segar dan mewakili suara anak muda.

33. Parti Amanah wajar mengorak langkah berani untuk mewajahkan parti ini menjadi
segar dan menarik. Justeru, parti perlu berani mengemukakan wajah baharu yang
berkualiti dan teruji, khususnya mereka yang teruji di peringkat parti dan lapangan
masyarakat. Parti juga perlu mengangkat agenda anak muda dari pelbagai sudut
sama ada ekonomi, pendidikan, pekerjaan dan mahupun politik.

34. Pemuda menjunjung tinggi tindakan pimpinan parti yang sedia berundur untuk
memberikan laluan kepada orang muda. Walaupun parti belum tentu akan
menerima pengunduran beliau, kesediaan sebegitu sebenarnya memberikan
isyarat bahawa parti sentiasa menyediakan pelan yang jelas dalam meremajakan
parti.

35. Benar, pimpinan utama parti kita adalah dari kalangan tokoh yang berpengalaman
dan teruji. Mereka telah terasuh dan menyinar dalam wadah lama. Tetapi parti perlu
memikirkan bagaimana untuk membina pelapis kepimpinan agar perjuangan parti
tidak terhenti saat mereka tidak lagi memimpin. Harus diperingatkan berulangkali
bahawa AMANAH wujud bukan untuk satu atau dua pilihanraya. AMANAH wujud
bukan untuk menjadi platform politik barisan pimpinan G18 sebaliknya AMANAH
adalah parti masa depan yang akan menjadi tunjang utama kepada pentadbiran
negara.

36. Sementara kita mendesak agar ruang dan bimbingan diberikan, Pemuda sendiri
perlu pantas membangunkan diri dan melengkapkan diri dengan pelbagai
kemahiran dan pendedahan baru. Respect is earned, not demanded. Pemuda
sendiri perlu segera melahirkan seramai mungkin tokoh-tokoh muda politik negara
yang memberi impak kepada masyarakat dan landskap politik negara.

37. Pemuda mesti sedia berkorban masa, tenaga dan wang ringgit demi perjuangan. Ini
Masa Kita! Bukanlah slogan untuk merengek agar diberikan jalan mudah tetapi

6

laungan ini untuk menyedarkan parti bahawa Pemuda kini bersedia berkorban dan
berjuang habis-habisan demi parti dan negara yang kita cintai.

Sidang Konvensyen yang dikasihi sekalian,

INFLASI TERUS MENINGKAT, ANAK MUDA PALING TERTEKAN

38. Walaupun pandemik telah beberapa bulan berlalu, ekonomi belum menampakkan
pemulihan ke arah keadaan yang lebih baik. Inflasi terus mencanak naik mencecah
4.4 peratus pada Julai 2022. Inflasi makanan yang menjadi penyumbang utama
kenaikan inflasi pula mencatatkan paras tertinggi iaitu 6.9 peratus.

39. Dalam masa kurang daripada tiga bulan, kerajaan telah menaikkan Kadar Dasar
Semalaman (OPR) tiga kali berturut-turut sebanyak 75 mata, kepada 2.25 peratus
berbanding paras rekod terendah 1.75 peratus sebelum ini. Jika ini berlaku, kadar
faedah pinjaman akan melonjak ke paras pra-pandemik, tetapi terdapat ramai rakyat
Malaysia yang belum bersedia menghadapi kenaikan ini.

40. Antara golongan yang sangat terbeban dengan kenaikan selain golongan
berpendapatan rendah (B40) dan pemilik perusahaan kecil dan sederhana (PKS)
terutamanya mereka yang menghadapi kekangan modal kerja, adalah anak muda
khususnya anak muda yang baru memulakan pekerjaan, termasuk juga mereka
yang baru kembali bekerja setelah diberhentikan dalam 2 tahun lepas. Dalam
keadaan ekonomi yang masih meleset ini, golongan M40 juga turut terjejas, apatah
lagi lebih 600,000 orang dari kumpulan M40 telah tergelincir ke dalam kumpulan
B40.

41. Justeru, golongan sebegini perlu dikecualikan daripada kenaikan OPR. Ini adalah
satu solusi yang mana dasar monetari negara dapat diketatkan dan golongan yang
memerlukan bantuan tidak dibiarkan begitu sahaja, selari dengan dasar parti kita
iaitu rahmah untuk semua.

42. Kenaikan OPR pada ketika ini menguntungkan pihak bank dan akan menzalimi
segmen rakyat yang masih belum bersedia. Walaupun secara teorinya, OPR
dinaikkan untuk melawan inflasi, timbul persoalan sama ada kenaikan OPR adalah
kaedah paling sesuai dalam konteks hari ini, di mana inflasi semasa lebih
disebabkan tolakan kos (cost-push) dan kos import meningkat susulan kejatuhan
nilai Ringgit negara.

7

43. Inflasi yang berlaku hari ini juga disebabkan kegagalan kerajaan BN-Bersatu-PAS
yang tidak bersedia dari segi dasar pre-emptive, seperti memperluaskan sumber
import bahan mentah dan makanan, memansuhkan sistem AP lebih awal dan
meliberalisasikan dasar berkaitan pasaran.

44. Apatah lagi, kerajaan pula telah mula memotong subsidi dan hanya memberikan
“bantuan” RM100 kepada sebilangan isirumah. Adalah tidak adil bagi rakyat dicekik
dengan beban faedah pinjaman, pada ketika kos sara hidup terus mencengkam
hidup.

NAJIB KE PENJARA, UMNO BN KEKAL PERANGAI LAMA

Sidang perwakilan yang dikasihi sekalian,

45. Perkembangan politik negara pada masa ini menyaksikan pemimpin de-facto
UMNO BN iaitu Najib Razak akhirnya ke penjara. Najib dijatuhi hukuman penjara 12
tahun dan denda RM210 juta atas pertuduhan melibatkan dana SRC International.
Isterinya Rosmah Mansor pula telah disabitkan bersalah dan dihukum penjara 10
tahun dan denda RM970 juta oleh Mahkamah Tinggi. Beberapa lagi pemimpin
UMNO, termasuk Ahmad Zahid Hamidi, Azeez Rahim, Ahmad Maslan dan lain-lain
lagi turut dihadapkan ke mahkamah dan menunggu keputusan hakim yang
mengadili mereka.

46. Sabitan bersalah terhadap Najib dan Rosmah membuktikan bahawa apa yang
didakwa oleh Pakatan Harapan bukanlah fitnah sebaliknya realiti dan fakta yang
benar benar berlaku. Bayangkan jika Pakatan Harapan tidak berjuang melawan
Kleptokrat, nescaya mereka akan kekal berkuasa dan merompak duit rakyat
sehingga ke hari ini. Jika ditanya apa jasa terbesar Pakatan Harapan selama 22
bulan pentadbiran, maka salah satunya kita jawab, mengherat perompak,
penyamun, pengkhianat negara ini ke muka pengadilan!

47. Terpenjaranya perasuah dan penyamun sepatutnya mampu membersihkan UMNO
dari gejala tersebut. Ini lah masanya untuk generasi muda dalam UMNO melakukan
islah atau reform dengan menghalau elemen rasuah dan politik wang sekaligus
menyegarkan semula parti. Malangnya, UMNO kekal dengan pemikiran dan budaya
yang lama. Sepatutnya perasuah dikecam dan institusi kehakiman dijulang.
Malangnya, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Tindakan UMNO memperolok-
olokkan sistem kehakiman membuktikan bahawa UMNO dan rasuah berpisah tiada.

8

48. Sementara kita berasa kesal dengan sikap UMNO yang tidak mahu berubah, kita
juga berasa aneh dengan sikap PAS yang merengek-rengek untuk kembali ke
pangkuan janda lama mereka UMNO walhal rumah tangga bersama BERSATU
masih belum terlerai. Tidak malukah PAS untuk ber’muafakat nasional’ dengan parti
yang telah jelas dibuktikan oleh mahkamah sebagai parti yang dipimpin oleh
penyamun?

49. Islam adalah agama yang cukup keras melawan salahguna kuasa dan amalan
rasuah tetapi PAS yang kononnya melaungkan perjuangan Islam seolah-olah tidak
pedulikan semua itu.

50. Adakah PAS benar-benar terhutang budi dengan UMNO sebagaimana dalam kes
saman Sarawak Report yang mana Presiden PAS telah membayar RM1.4 juta
kepada Clare Rewcasle Brown untuk menutup aib mereka dengan penyelesaian di
luar mahkamah?

51. PAS sepatutnya wala’ kepada boss mereka Tan Sri Mahiaddin Yassin Pengerusi
Perikatan Nasional yang masih jelas mahu melawan UMNO BN. Walaupun hasrat
Mahiaddin yang mahu kembali bekerjasama dengan PH bagi melawan BN itu suatu
hasrat yang janggal dan pelik selepas langkah khianat yang telah dia dan partinya
lakukan, sekurang-kurangnya dia tahu ancaman dominasi mutlak UMNO BN amat
berbahaya. Tidak seperti PAS, asalkan berjaya menjadi kerajaan, berpakat dengan
sesiapa pun mereka sanggup.

52. Amat sukar untuk PH menerima pelawaan Mahiaddin memandangkan partinya
BERSATU dan PAS lah yang telah memberi semula nyawa kepada UMNO untuk
kembali berkuasa. Lebih menyukarkan lagi adalah syarat yang dikenakan
Mahiaddin untuk kembali menjadi Perdana Menteri jelas menunjukkan agenda
sebenar beliau iaitu demi kepentingan peribadi.

53. Majoriti rakyat sedar bahawa jika UMNO kembali berkuasa mutlak dalam PRU15
akan datang, pelbagai lagi skandal akan kembali menghantui negara kita. Seperti
kata Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi, “Seorang Bossku ke penjara, beribu
lagi Bossku akan muncul. Sebab itu, walaupun UMNO menang di Melaka dan Johor,
tetapi pengundi yang menolak mereka dalam PRU14 tidak kembali kepada mereka.

54. Pada 9 Mei 2018, kita telah berjaya menjatuhkan UMNO tetapi kita harus sedar
bahawa kita belum berjaya menghapuskan hagemoni atau saka UMNO. Sistem
pentadbiran dan politik negara kita masih kekal dengan sistem yang telah
di’UMNO’kan di setiap sendi. Mereka telah membina sistem yang memang

9

diprogramkan untuk mempertahankan kuasa mereka atau sekurang-kurangnya
menyukarkan pihak lain mentadbir negara dengan berkesan sebagaimana berlaku
kepada Pakatan Harapan.

55. Hagemoni UMNO yang berpaksikan politik wang, politik identiti dan pemusatan
kuasa yang keterlaluan adalah musuh sebenar kepada negara kita dan perlu
dilawan habis-habisan. Justeru, konvensyen pada kali ini ingin mengajak seluruh
Pemuda untuk bangkit beriltizam untuk terus berjuang kerana perjuangan
menyelamatkan negara dan bangsa masih belum selesai. Terpenjaranya Najib
adalah satu permulaan, kepada pembinaan Malaysia Baharu yang meletakkan
rasuah dan salah guna kuasa sebagai musuh nombor satu negara.

56. Janganlah, kita rosakkan usaha ini, dengan sikap ala kadar dan lemah untuk terus
berjuang, ini kerana perjuangan masih belum selesai dan perjalanan kita masih jauh
untuk bangunkan kembali Malaysia dengan menghalang UMNO daripada kembali
berkuasa.

PH TETAP PILIHAN TERBAIK

Sidang perwakilan yang dikasihi sekalian,

57. Pilihanraya Umum ke15 ini agak menarik kerana dimeriahkan dengan pelbagai
coalition politik. Jika sebelum ini, hanya BN dan PH yang dilihat mendominasi, kini
muncul pula Perikatan Nasional yang menjual slogan perkauman sempit dan imej
populis Abah serta GTA yang dipimpin oleh Tun Dr Mahathir.

58. Baru-baru ini Parti MUDA menyatakan hasrat untuk menyertai Pakatan Harapan.
Walaupun keputusan sama ada menerima atau menolak MUDA terletak pada Majlis
Presiden Pakatan Harapan, saya melihat bahawa hasrat itu adalah suatu
pengiktirafan bahawa dalam banyak-banyak coalition politik yang ada, PH ternyata
menjadi pilihan sebuah parti yang membawa aspirasi anak muda Malaysia.

59. MUDA sudah pasti berasa jijik untuk mendekati BN yang sarat dengan imej rasuah
dan salah gunakuasa. Mereka juga tidak dapat menerima PN yang berdiri dengan
langkah khianat dan sentimen perkauman melampau manakala GTA pula tidak
diyakini kerana rekod hilang deposit oleh parti-parti komponen mereka di Johor dan
Melaka.

60. Misi menarik pengundi muda adalah usaha yang wajar dijalankan secara kolektif,
bukan sahaja di peringkat sayap Pemuda ataupun WARDA, tetapi adalah wajah

10

parti keseluruhan, dalam konteks kita ialah Parti Amanah Negara khususnya dan
Pakatan Harapan umumnya.

61. Saya perlu merakamkan di sini bahawa Pemuda agak kecewa dengan tindakan parti
yang dilihat lebih terbuka untuk melepaskan kerusi berpotensi kepada anak muda
dari parti tersebut walhal kepada sayap Pemuda sendiri, kerusi ‘national service’
diberikan dengan alasan ‘menebas lalang’. Janganlah “kera dihutan disusukan,
anak di rumah mati tak makan”.

62. Hakikatnya tiada jalan pintas menarik undi anak muda dengan hanya menyerap
pihak sana dan sini di bawah payung besar kita sahaja. Wajah atau imej besar parti
AMANAH dan PH juga perlu segar dan menarik untuk anak muda dan pelbagai
segmen hari ini kembali menyokong kita.

63. Selain cabaran untuk memenangi undi orang muda, menawan semula pengundi
Melayu amatlah mustahak dan kritikal. UMNO, PAS dan BERSATU akan terus
menggunakan isu ancaman Melayu dan umat Islam untuk menghasut rakyat
menolak Pakatan Harapan. Mereka tidak ada modal dari sudut integriti atau
pentadbiran sebaliknya merekayasa fitnah menggunakan sentimen perkauman
melampau dan keagamaan yang ekstrem.

64. Sementara menjawab fitnah dan memperbetulkan salah tanggap dalam isu Melayu
dan Islam, Pakatan Harapan juga mesti membawa naratif yang jelas dalam
membela dan memperjuangan nasib orang Melayu sebagai kaum majoriti di negara
ini. Melonggokkan perjuangan Melayu dalam agenda rakyat keseluruhan telah
terbukti tidak berkesan dalam meyakinkan orang Melayu bahawa PH adalah
gabungan terbaik untuk mentadbir negara ini dan menjamin nasib orang Melayu
tidak akan digadaikan. PRN Melaka dan PRN Johor telah memberikan isyarat
bahawa perlu ada suatu usaha yang jelas dari Pakatan Harapan dalam menangani
isu ini.

Sidang Konvensyen yang dikasihi sekalian,

PERKUKUH ORGANISASI, SAYANGI PARTI

65. Sebagai pemimpin, organisasi adalah tempat paling asas untuk Pemuda
membentuk kemahiran, sikap (akhlak), disiplin dan potensi untuk berkhidmat
kepada rakyat. Dalam organisasi selain daripada menjawat posisi yang termaktub
dalam perlembagaan parti, tergalas tanggungjawab untuk pemuda gerakkan posisi
tersebut agar organisasi boleh bergerak mencapai tujuan dan visinya.

11

66. Sudah tentu ramai yang mahu tanggungjawab besar seperti menjadi calon, berada
di barisan hadapan ketika demonstrasi, berucap dengan penuh semangat di atas
trak atau pentas politik, berkongsi pendapat dan idea dalam sidang khas mahu pun
forum yang besar, agar dilihat boleh menjadi contoh dan inspirasi anak-anak muda
di luar sana untuk sama-sama melakukan perubahan.

67. Namun demikian sering kali sebahagian kita terlepas pandang adalah sudut
organisasi yang melibatkan urusan sekretariat atau kesetiausahaan. Ia satu posisi
yang ramai cuba elak untuk pikul. Kerja menulis surat, menulis kertas kerja,
mencatat minit mesyuarat, menguruskan dokumen organisasi dan disusun mengikut
kategori yang berkaitan, menguruskan proses pendaftaran organisasi, memahami
perlembagaan dan peraturan organisasi sebagai rujukan, menguruskan isu konflik
yang berkaitan organisasi dan pandu segala konflik mengikut tatacara organisasi
dan banyak perkara yang bersifat teknikal, jarang yang suka atau mahu
memikulnya.

68. Kebiasaanya tanggungjawab dan posisi ini diserahkan kepada mereka yang
mempunyai kebolehan melaksanakan tugasan pelbagai (multi-tasking) dan teliti
(tedious) dalam menguruskan sesuatu. Oleh sebab itu dalam persatuan kecil,
wanita selalu diberikan tugas ini.

69. Namun demikian Pemuda juga tidak boleh pandang remeh tugasan ini. Pemimpin
besar perlu lihat posisi ini juga sebagai peluang untuk membentuk kemahiran
teknikal juga. Turun ke jalan dan melakukan aksi sudah pasti seronok dan popular
tetapi memastikan aturan organisasi berjalan mengikut perancangan dan disiplin
yang ada, juga sama penting.

70. Antara beberapa perkara yang saya mahu tekankan kepada seluruh Pemuda
adalah mengenai pertambahan lebih banyak Kawasan-kawasan Pemuda. Kita
mahu lebih ramai anak muda bersama dengan Amanah. Kita perlu susun dan atur
program yang boleh menarik minat mereka untuk bersama Amanah. Program-
program sukan, e-games, bengkel kemahiran mahu pun bengkel usahawan yang
berkait dengan kehendak dan keperluan anak muda, perlu kita sama-sama rangka
dan laksanakan.

71. Dengan pertambahan anak muda ke dalam Amanah, kita berharap kita boleh
tubuhkan lebih banyak Kawasan Pemuda di seluruh negara. Untuk makluman
semua sehingga kini kita ada 13 Negeri yang berdaftar (Negeri Perlis dalam proses
pendaftaran), kita juga ada 136 kawasan seluruh negara. Bermakna ada 86

12

kawasan lagi yang belum tertubuh. Dengan bilangan besar ini, ia sepatutnya
menjadi satu cabaran untuk Pemuda di semua peringkat berluma-lumba membantu
menambahkan lagi kawasan Pemuda. Usahakan laksana program supaya lebih
ramai anak muda bersama dan kita mampu menambahkan lagi bilangan kawasan
Pemuda.

72. Sudah tentu bila kita melibatkan diri dalam organisasi, Pemuda juga perlu
lengkapkan diri dengan pemahaman aturan organisasi iaitu mengenai undang-
undang, perlembagaan, tatacara serta norma dan disiplin parti. Ia perlu agar kita
tahu bagaimana hendak memimpin organisasi ini dengan cermat dan teratur. Kita
telah mempunyai pengalaman pahit pada tahun 2019, di mana sebanyak 655
organisasi negeri, kawasan dan cawangan telah dibatalkan oleh R.O.S kerana
terdapat beberapa masalah teknikal. Ini menyebabkan Amanah berdepan tamparan
hebat daripada kalangan ahli dan penyokong. Justeru amat penting bagi Pemuda
ketika memimpin organisasi dipelbagai peringkat, perlu belajar dan ambil tahu
tentang segala aturan organisasi yang berkait agar perjalanan organisasi dapat
berjalan dengan lancar.

PERKASA LATIHAN DAN PEMBANGUNAN KEPEMIMPINAN

73. Latihan, perkaderan atau pembangunan kepemimpinan adalah teras penting dalam
sesebuah parti khususnya sayap kepemudaan. Kata Pak Muhammad Natsir tokoh
agung Nusantara, “Tidak ada percetakan yang bisa mencetak pemimpin. Pemimpin
tidak lahir di bilik kuliah tetapi tumbuh sendiri dalam hempas-pulas kancah, muncul
di tengah-tengah pengumpulan masalah, menonjol dalam kalangan rakan
seangkatan lalu diterima dan didukung oleh umat”.

74. Pemuda menyambut baik saranan Timbalan Presiden, YB Datuk Seri Salahuddin
Ayub ketika ucapan beliau di Konvensyen Pemuda di Melaka pada tahun 2020 yang
lalu iaitu untuk menyediakan 50 orang Pemuda yang akan dilatih bagi menerajui
kepimpinan. Justeru kita akan persiapkan Pemuda untuk menjadi pemimpin hari ini,
bukan lagi pemimpin masa hadapan iaitu dengan menubuhkan Akademi
Kepimpinan Putra.

75. Akademi ini telahpun bermula pada 26 hingga 28 Ogos yang lalu di Hotel Crystal
Crown, Petaling Jaya dengan membentang dan membengkelkan modul-modul
peningkatan dan ketrampilan tokoh. Antara modul utama Akademi Kepimpinan
Putra adalah seperti penampilan imej, peranan komunikasi dan media, penguasaan
data, pengucapan awam dan asas debat serta sesi perkongsian pengalaman
bersama pimpinan.

13

76. Akademi ini dimulakan dengan menjemput 40 bakal-bakal calon Pemuda yang akan
bertanding pada PRU-15. Ianya tidak terhenti hanya di situ, bahkan akan diteruskan
dengan siri-siri berikutnya dan insha Allah akan melibatkan lebih ramai pimpinan
pemuda dari pelbagai lapisan sama ada peringkat nasional, negeri mahupun
kawasan.

77. Pemuda juga sedang merangka program membina modal insan untuk para Pemuda
di pelbagai peringkat. Dalam program ini, kita akan fokus kepada beberapa
kemahiran asas seperti “Team Building”, “Public Speaking”, “Policy Making”,
“Organization Management”, “Society Outreach”, “Creative Investment” dan
pelbagai program yang dilihat mampu membina kemahiran bermanfaat untuk
Pemuda agar Pemuda boleh terus melibatkan diri dalam organisasi dalam masa
yang sama berkhidmat kepada masyarakat.

78. Dengan program-program yang diatur, kami juga berharap Pemuda dalam
melibatkan diri secara langsung dalam kepimpinan Amanah kawasan. Melibatkan
diri dalam mencorak dan mengembangkan Amanah kawasan. Kami mahu pemuda
terus berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan abang-abang dan kakak-
kakak kepimpinan dalam kawasan bahkan menjadi tulang belakang menggerakkan
kawasan. Ini kerana lapisan kepimpinan masa akan datang organisasi ini, akan
datang daripada sulbi Pemuda itu sendiri. Lambat laun, kepimpinan Pemuda ini juga
yang akan diangkat menjadi kepimpinan kawasan. Hari ini juga kita sudah ramai
pemuda menduduki posisi penting dikawasan seperti Setiausaha Kawasan,
Bendahari Kawasan, ada yang telah diposisikan sebagai Naib Ketua Kawasan,
Timbalan Ketua Kawasan bahkan di sesetengah kawasan, ada dalam kalangan
Pemuda telah diberi kepercayaan dan mandat untuk kemudi kawasan sebagai
Ketua Kawasan. Maka ambil tanggungjawab ini dengan penuh cermat dan buktikan
bahawa Pemuda mampu menggalas tanggungjawab ini dengan penuh amanah dan
bertanggungjawab.

KOMUNIKASI DAN PENERANGAN

79. Menuju PRU15 yang bakal menjelang, amat penting untuk kita memperkukuhkan
jaluran komunikasi bagi sayap pemuda. Bercakap soal ini, ia merangkum pelbagai
aspek termasuk kemantapan penyaluran maklumat, membina hubungan baik
dengan media arus perdana dan indipendent, gerak saraf media yang mantap,
pembinaan imej pemuda yang unggul serta sistem komunikasi yang mampan dalam
usaha kita memastikan makluman dapat disampaikan secara efektif.

14

80. Justeru Sayap Pemuda menerusi Sektor Komunikasi dan Multimedia mengorak
langkah merangka dan melaksana beberapa inisiatif bagi mencapai objektif yang
digariskan. Rejuvenasi saluran media Pemuda telah mula dilaksanakan secara
berperingkat meliputi media sosial dan media arus perdana bagi mengangkat
keterampilan pemuda di mata rakyat. Sehubungan dengan itu, beberapa sesi
pertemuan dengan pengamal media dalam dan luar negara turut dirangka bagi
membina hubungan yang baik dengan barisan hadapan saluran maklumat ini.
Laman web rasmi pemuda juga bakal diwujudkan dan kini berada pada fasa akhir
pembinaan.

81. Selain itu, satu sesi jelajah ke seluruh negara telah dirancang untuk kita berhubung
rapat dengan sayap pemuda Kawasan. Siri jelajah yang dijenamakan sebagai
Jelajah Orang Muda (JOM) ini bakal memfokuskan pemerkasaan Sayap Pemuda
Kawasan dengan memberikan latihan berkaitan komunikasi, penjenamaan dan
perang saraf media dalam persediaan kita menuju PRU15 tidak lama lagi.

82. Saban hari AMANAH dan Pakatan Harapan diserang dengan begiru hebat di media
maya. Kita tidak boleh terus bersikap defensif sebaliknya Pemuda perlu konsisten
membongkarkan kebobrokan pentadbiran negeri-negeri yang diperintah oleh parti-
parti pembangkang. Setiap ahli perlu proaktif menjelaskan kepada rakyat sebuah
perubahan dan program-program bermanfaat yang telah dan sedang dilaksanakan
ole kerajaan.

TERUS MENGGEMBLENG UNDI ANAK MUDA

83. Pindaan Perlembagaan bagi Undi 18 telah diluluskan oleh Dewan Rakyat secara
bipartisan atau sebulat suara pada 16 Julai 2019 serta di Dewan Negara pada 25
Julai 2019. Usaha yang dibuat oleh Kerajaan Pakatan Harapan ini membuktikan
bahawa PH benar-benar memperjuangkan nasib orang muda.

84. Bagi Pakatan Harapan, anak muda atau mereka yang berusia 18 tahun perlu dilayan
seperti warganegara dewasa memandangkan mereka telah menyumbang kepada
ekonomi negara seperti terlibat dengan pekerjaan dan berhak memiliki harta.

85. Pemilih berdaftar terkini yang diwartakan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR)
berdasarkan Daftar Pemilih Tambahan Mei 2022 pada 16 Jun lalu, adalah berjumlah
21,113,234 orang. Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan bilangan pengundi
yang akan berumur antara 18 hingga 40 tahun jika pilihan raya akan diadakan tahun
ini ialah 12.2 juta. Ianya bersamaan 58 peratus daripada jumlah pengundi
berbanding hanya 41 peratus pada PRU-14 yang lepas. Ini bermaksud pengundi

15

"belia" atau di bawah 40 tahun akan membentuk sebahagian besar pengundi di
Malaysia pada PRU15.

86. Pengundi muda akan menjadi ‘kingmaker’ dalam pilihan raya akan datang dan akan
datang di negara ini. Mana-mana parti atau gabungan parti yang bercita-cita
membentuk kerajaan seterusnya mesti merayu kepada 58 peratus pengundi di
bawah umur 40 tahun.

87. AMANAH dan Pakatan Harapan mesti dilihat sebagai sebuah government in waiting
yang benar-benar mendengar suara anak muda, memahami dan bersedia
menyelesaikan masalah mereka serta bersedia mengiktiraf peranan anak muda
dalam negara ini.

88. Visibility pemuda harus ditonjolkan dengan lebih ketara terutama di kerusi-kerusi
yang berpotensi besar untuk ditandingi AMANAH. Dengan kemampuan jentera
pemuda yang ditingkatkan, Pemuda AMANAH mampu meyakinkan pimpinan untuk
memberi kepercayaan kepada pemuda bertanding lebih banyak kerusi dalam PRU-
15.

89. Gendang Pilihan Raya Umum ke-15 semakin rancak dipalu mutakhir ini. Persiapan
menghadapi PRU-15 perlu ditingkatkan. Melalui gerak kerja berkesan dan tertumpu,
Pemuda AMANAH mampu menyumbang dengan lebih signifikan di dalam pilihan
raya nanti.

90. Sebagai persiapan, kita akan mengerakkan GEMPUR-15 ke kawasan tumpu
pemuda bersama Jelajah Harapan Anak Muda yang digerakkan oleh Angkatan
Muda Harapan.

PENUTUP

Sidang Konvensyen yang dikasihi sekalian,

91. PRU15 adalah pilihanraya yang akan menentukan survival parti kita. Peperangan
kali ini amat penting kerana kekalahan amatlah mahal untuk dibayar.

92. Saya ingin mengajak semua Pemuda AMANAH untuk bersatu hati, bantu membantu
dalam menggerakkan parti yang kita cintai ini. Saya mewakili Jawatankuasa
Pimpinan Pemuda Nasional juga dengan rendah hati memohon maaf di atas semua
kelemahan di dalam menguruskan kepelbagaian dalam Pemuda. Insha Allah kita

16

akan bangkit dengan lebih kuat untuk mendepani cabaran membangunkan parti dan
negara demi membawa visi “Rahmatan Lil-Alamin”

93. Marilah sama-sama kita memanfaatkan masa kita dalam organisasi Pemuda
AMANAH untuk memperkayakan diri dengan ilmu dan pengalaman yang tidak
ternilai untuk menjadikan kita sebagai pejuang rakyat yang cemerlang daripada segi
fikrah, peribadi dan kemahiran kepemimpinan. Saya penuh yakin, sekiranya
muafakat kita ampuh, kita mampu merealisasikan cita-cita kita untuk menzahirkan
Islam sebagai rahmat kepada tanahair yang tercinta, insha Allah.

94. Akhirnya, saya sekali lagi mengharapkan supaya Konvensyen kali ini akan
menyemarakkan iltizam dan daya juang para pendokong Pemuda AMANAH untuk
terus memperkemaskan saf dan melipatgandakan bakti kepada masyarakat, negara
dan agama.

95. Sejak ditubuhkan sehingga ke hari ini, puluhan ahli parti telah pergi menghadap Ilahi
termasuk Ketua Pemuda kita yang lalu dan beberapa ketua-ketua pemuda di
peringkat kawasan. Perjuangan kita bukan main-main atau sekadar hobi samping.
Di bahu kita terpikul beban amanah yang cukup berat yang akan dihitung oleh Allah
di akhirat nanti.

96. Semoga perjalanan Konvensyen kita kali ini daripada awal hingga akhirnya dipandu
dan diberkati Allah SWT.

Allahuakbar!
Allahuakbar!
Allahuakbar!

MOHD HASBIE BIN MUDA
Ketua Pemuda

Bertarikh : 16 September 2022

17


Click to View FlipBook Version