The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

NABILAH BINTI MOHAMAD NOOR
2021242310206

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by nabilahmnoor03, 2022-03-21 08:26:19

BMMB1104: PENGHASILAN PRODUK

NABILAH BINTI MOHAMAD NOOR
2021242310206

ISI KANDUNGAN

BIL TAJUK MUKA SURAT
1.0 PENGENALAN 1
2
2.0 TAKRIFAN KESUSASTERAAN MELAYU 3

3.0 JENIS, BENTUK DAN CIRI-CIRI KESUSASTERAAN 3
MELAYU 5

3.1 PROSA TRADISIONAL 9
11
3.2 PUISI TRADISIONAL 13
13
3.3 PROSA MODEN 14
3.4 PUISI MODEN 15
4.0 FUNGSI KESUSASTERAAN MELAYU 16
4.1 ASPEK HIBURAN 17
4.2 ASPEK PENDIDIKAN 17
4.3 ASPEK DAKWAH 18
4.4 ASPEK KRITIKAN SOSIAL 19
5.0 MANIFESTASI AKAL BUDI MASYARAKAT MELAYU 20
5.1 PANTUN 22
5.2 SYAIR 23
5.3 SELOKA
5.4 GURINDAM
6.0 KESIMPULAN
SUMBER RUJUKAN

1.0 PENGENALAN
Kesusasteraan Melayu merupakan satu hasil karya sastera yang mempunyai ciri-ciri
keindahan, mencerminkan pengalaman, pengalaman seni dan karya seni. Menurut Mohd
Affandi Hassan (1996), keindahan dalam sesebuah karya akan menarik minat dan keinginan
pembaca untuk membaca karya sastera tersebut malah menurut Muhammad Haji Salleh
(2000), keindahan melambangkan kebijaksanaan pengarang mengolah karangan mereka.
Keindahan dalam sastera dapat dilihat melalui gaya dan lenggok bahasa yang digunakan
oleh pengarang untuk mengindahkan hasil yang dicipta oleh mereka. Seterusnya adalah
mencerminkan pengalaman yang mencerminkan pengalaman pengarang itu sendiri yang
utuh daripada jiwanya di mana ia menunjukkan gambaran jiwa seorang manusia secara
realiti. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2015), realiti bermaksud keadaan yang nyata
dan bukan khayalan.

Pengalaman seni juga merupakan ciri kesusasteraan Melayu. Menurut Anwar
Ridhwan dalam Berita Harian Online (2022), karya yang baik merupakan karya yang
menceritakan pengalaman seni atau estetik yang tinggi kepada pembaca kerana ia
menyumbang kearah mencerdikkan akal bangsa di negara kita. Pengalaman seni ini yang
wujud hasil daripada kisah realiti pengarang. Akhir sekali, ciri kesusasteraan Melayu adalah
karya seni. Karya sastera dan bukan sastera dapat dibezakan melalui tiga perkara yang
penting iaitu sifat fiksyen, nilai-nilai estetik dan gaya bahasa yang khusus. Menurut Zakaria
Osman (2000), estetika ini meliputi dua aspek yang penting iaitu seni dan keindahan di
mana kedua-duanya bersatu dan tidak berpisah. Menurut Hasim Awang (1988), estetika
adalah berkait dengan gaya bahasa yang digunakan. Misalnya, gaya bahasa yang
digunakan adalah seperti gaya bahasa perulangan, perbandingan, perlambangan dan
pertentangan.

1

2.0 TAKRIFAN KESUSASTERAAN MELAYU

Kesusasteraan Melayu terhasil daripada perubahan dan perkembangan masyarakat dahulu.
Menurut Siti Hajar Abdul Aziz (2011), sastera bermaksud huruf atau buku indah iaitu
susastera dalam perkataan Sanskrit. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2015),
kesusasteraan merupakan sebuah hasil seni yang dikarya secara tulisan dalam bentuk
prosa atau puisi yang ada ciri-ciri yang istimewa tertentu. Seni dalam sastera merupaka seni
dalam karang mengarang ayat dan bahan-bahan sastera seperti puisi dan prosa. Hal ini
untuk memastikan hasilnya menjadi gramatis di samping berpuitis. Kesusasteraan Melayu
yang digunakan dalam bahasa Melayu adalah berasal daripada perkataan Sanskrit.

Menurut Prof Dr Hashim Awang, perkataan tersebut ialah sastra di mana sas- yang
membawa maksud mengarahkan, mengajar, memberi tunjuk ajar manakala perkataan -tra
adalah alat. Jadi, dapat disimpulkan bahawa sastera adalah merupakan satu alat yang
dapat memberi, mengajar malah mengarah tunjuk ajar kepada masyarakat. Ini akan
memberikan satu kesan yang positif apabila sastera Melayu digunakan sebaiknya dan
dijaga dengan betul. Seterusnya, imbuhan awalan su- bermaksud indah dan baik. Imbuhan
lain seperti ke- dan -an masing-masing membawa maksud menyeluruh iaitu segala apa
yang ditulis itu membawa nilai estetika, bernilai seni dengan bermaksud memberikan
panduan, petunjuk serta pengajaran.

Sastera dalam konteks pendidikan pula adalah karya asal yang tertulis dalam
bahasa Melayu yang mempunyai kehalusan bahasa, keindahan kata sama ada dalam
pantun, cerpen, drama, prosa, puisi dan sebagainya. Hal ini demikian untuk menjaminkan
keseimbangan intelek, rohani, emosi, jasmani serta memaparkan nilan dan pengajaran yang
baik di dalamnya karya sastera itu di samping mencipta karya yang baharu.

Kesusasteraan Melayu sangat penting dalam dunia masa kini kerana melaluinya,
banyak pengajaran yang disampaikan. Malah dalam topik pembelajaran pelajar sekolah
rendah dan menengah, mereka turut belajar pantung, sajak, puisi dan sebagainya dalam
mata pelajaran bahasa Melayu. Kesusasteraan Melayu bukan sahaja menggambarkan sikap
individu seperti penulis sahaja malah ia juga menggambarkan perasaan dan keadaan
masyarakat yang hidup secara berkelompok dan bergantung antara sati sama lain. Ada isi
dalam sastera Melayu dapat diambil iktibar dan mencontohinya secara peribadi, dan ada

2

juga yang harus dijadikan teladan dan tidak mencontohi watak tersebut kerana mungkin ada
unsur negatif.

3.0 JENIS, BENTUK DAN CIRI-CIRI KESUSASTERAAN MELAYU

3.1 PROSA TRADISIONAL

Antara jenis kesusasteraan Melayu adalah prosa tradisional. Prosa tradisional ini
merupakan sastera yang telah diwarisi secara turun-temurun di mana ia telah lama
dihasilkan. Menurut Siti Hajar Abdul Aziz (2011), tradisional membawa maksud
serius dan nilai yang abadi, bermutu tinggi dan merupakan standard bagi yang lain
malah ada gaya yang sederhana dan ciri-ciri yang lazim serta tidak berubah
mengikut edaran masa. Dapat dikatakan bahawa prosa tradisional ini adalah sebuah
karya tradisional yang masih menjadi sumber kepada masyarakat kini kerana ianya
masih kekal. Nilai, pengajaran, tingkah laku, dakwah ataupun pengenalan
masyarakat Melayu kepada masyarakat luar juga boleh diambil iktibar melalui prosa
tradisional ini. Prosa tradisional ini dipengaruhi oleh Hindu dan Buddha namun tidak
berkembang kerana bahasanya yang sukar difahami oleh pembaca iaitu
menggunakan bahasa Sanskrit dan Melayu Kuno. Justeru, tulisan Jawi digunakan
untuk menulis prosa tradisional ini di mana menceritakan tentang agama, sejarah
dan sebagainya setelah kedatangan agama Islam. Ketika ini, istana memainkan
peranan penting apabila karya yang dihasilkan adalah mengikut perintah raja.
Justeru, prosa tradisional dapat dibahagikan kepada dua iaitu sastera rakyat yang
secara lisan dan sastera istana yang secara bertulis.

i) SASTERA RAKYAT (LISAN)

Sastera rakyat merupakan sebuah cerita rakyat ataupun cerita secara lisan yang
mengandungi beberapa jenis cerita. Ada juga sastera rakyat yang tidak berbentuk
cerita. Antaranya ialah nyanyian rakyat, teka-teki, pantun dan gurindam. Sastera
rakyat ini merupakan sebuah sumber kepada hiburan, kebenaran, moral, sindiran
dan sebagainya. Menurut Safian Hussain et al (1988) sastera rakyat merupakan
tradisi secara lisan yang mampu difahami sebagai ekspresi budaya yang ada bahasa
dan mempunyai hubungan secara langsung dengan agama dan kepercayaan,
undang-undang, kegiatan ekonomi, status sosial masyarakat dan sebagainya.
Menurut Zaidan et al. (2000), sastera lisan adalah ungkapan ataupun kata-kata dari

3

mulut ke mulut, hasil kebudayaan moden di mana isinya sama seperti sastera tuisan
bagi masyarakat moden.

Sastera rakyat dapat dibahagikan kepada dua iaitu naratif dan bukan naratif.
Sastera naratif adalah seperti mitos, lagenda dan cerita rakyat. Pertama, mitos
adalah seperti pembomohan, kejadian, kedatangan islam, pembukaan Kerajaan
Negeri. Menurut masyarakat pada keika itu, mereka menganggap cerita seperti itu
wujud dan benar berlaku oleh penulis cerita tersebut. Mitos ini membawa kandungan
yang dianggap benar tetapi aneh. Ianya juga penting selain dianggap sebagai
keramat kepada masyarakat. Ia juga menceritakan kejadian manusia, tumbuhan dan
sebagainya yang ditokohi oleh mahkluk halus, dewa pada zaman dahulu.

Kedua, lagenda iaitu cerita yang dipercayai benar berlaku tetapi dianggap
suci. Lagend aini biasanya menceritakan pengalaman peribadi seseorang tetapi ada
unsur seperti menziarahi alam bunian dan sebagainya, Tambahan pula, kisah
lagenda ini dipercayai ada kaitan dengan masa kini seperti Perigi Hang Tuah di
mana tempatnya dikatakan luar biasa serta dipercayai kisah itu berlaku. Akhir sekali,
cerita rakyat seperti cerita jenaka, binatang dan dongeng. Cerita tersebut dianggap
benar-benar terjadi. Cerita ini ada terselit kisah percintaan, pengembaraan dan
sebagainya. Misalnya, cerita bintang seperi Sang Kancil yang kecil tetapi cerdik.
Kancil itu menggambarkan sikap manusia itu sendiri. Cerita rakyat ini biasanya
mempunyai plot, watak dan perwatakan. Cerita jenaka pula menekankan aspek yang
akan akan menggelikan hati pembaca seperti kisah Pak Kaduk, Pak Belalang dan
Pak Pandir.

ii) SASTERA ISTANA (TULISAN)

Sastera istana adalah sastera yang bertulis. Sastera Istaa dibahagikan kepada dua
iaitu pada zaman Pra Islam dan Islam. Pra Islam itu adalah seperti Cerita Panji,
Hikayat Ramayana dan Epik Mahabrata. Sastera istana zaman Islam pula adalah
seperti undang-undang, agama, tatanegara, epik, hikayat dan sebagainya. Misalnya,
sastera epik yang juga membawa maksud sastera pahlawan. Ciri sastera ini adalah
mempunyai sifat pahlawan dan keperwiraan yang sejati dan unggul. Tokoh dalam
sastera epic ini diberikan perwatakan yang melebih-lebih dan dianggap sempurna.

4

Hal ini menyebabkan masyarakat menyanjung pahlawan ini seperti Hikayat Amir
Hamzah.

Seterusnya, sastera agama yang semestinya menekankan aspek agama iaitu
agama Islam. Ia memfokuskan kisah-kisah nabi pada ketika dahulu di mana Nabi
menyebarkan dakwah dan Islam secara meluas ke seuluh dunia tanpa mengira
penat dan Lelah. Walaupun banyak cabaran, dugaan dan rintangan yang harus
ditempuhi, Nabi Muhammad SAW mampu menghadapinya tanpa mengeluh dan
dengan hebat menempuhi cabaran. Misalnya, kehebatannya dapat dilihat melalui
kisah Hikayat Bulan Terbelah.

Akhir sekali, sastera panji di mana Panji merupakan watak utama kisah ini. Ia
mengisahkan tentang pengembaraan, percintaan dan peperangan. Sebagai contoh,
dalam Hikayat Cendawan Putih, Panji telah bertemu dengan kekasihnya dan cinta
hatinya setelah menghadapi pelbagai rintangan dan peristiwa pahit dan manis.

3.2 PUISI TRADISIONAL
Jenis Kesusasteraan Melayu yang seterusnya adalah puisi tradisional. Puisi
merupakan sebuah genre yang terawal di seluruh dunia. Puisi tadisional pula
merupakan cerminan masyarakat Melayu lama. Hal ini demikian kerana, pada
zaman dahulu, orang Melayu menggunakan gaya bahasa indah dan pengalaman
seni mereka yang disusun dengan indah kerana menceritakan liku-liku kehidupan
mereka. Menurut Keris Mas (1988), gaya bahasa mampu melahirkan rasa keharuan
dalam diri pembaca selaian merangsang pemikiran mereka. Tambahan pula,
masyarakat Hindu menggunakan puisi sebagai platform untuk melahirkan
Mahabharata dan Ramayana manakala masyarakat Arab menggunakan puisi di
mana ia merupakan kesusasteraan awal mereka. Tidak lupa juga, puisi yang
menghasilkan nilai yang baik digantung di Ka’abah. Orang Melayu akan berbangga
dengan hasil mereka yang dinamakan sebagai pantun itu kerana pada ketika itu
adalah zaman Jahiliah. Menurut Ismail Hamid (1987), puisi telah berkembang
dengan berbagai bentu puisi yang lain seperti pantun.

5

i) PANTUN
Menurut Harun Mat Piah (1989), puisi tradisional mempunyai pelbagai genre iaitu
pantun, syair, gurindam, talibun, seloka, mantera, adat perbilangan, teka-teki,
masnawi, peribahasa dan sebagainya. Jadi, yang pertama adalah pantun. Pantun ini
menggunakan kaedah yang tertua dalam masyarakat Melayu iaitu kaedah
rangkapan. Pantun ini wujud sebelum masyarakat ketika itu belum mengetahui
proses surat menyurat. Pantun ini berbentuk berangkap namun rangkapnya ada
yang mempunyai dua, empat, enam, lapan, dua belas dan pantun berkait. Ciri-ciri
pantun adalah ungkapannya yang mempunyai pembayang terlebih dahulu sebelum
menyatakan maksud.

Seterusnya, bentu pantun adalah berdasarkan bilangan baris dalam rangkap.
Misalnya, pantun enam kerat, lapan kerat dan sebagainya. Tambahan pula, pantun
dua kerat dan empat kerat sangat popular kerana ringkas dan mudah untuk dibina.
Ciri-ciri pantun adalah bergantung kepada bilangan baris ataupun rangkap. Sebagai
contoh, pantun empat kerat mempunyai dua pembayang dan dua maksud manakala
pantun dua kerat mempunyai satu pembayang dan satu maksud. Setiap baris
mempunyai antara 4 hingga 6 patah perkataan sahaja. Selain itu, bilangan suku kata
adalah antara 8 hingga 12 suku kata. Pantun ini agak rumit dan unik kerana rima
akhirnya yang sejajar. Misalnya, pantun dua kerat menggunakan rima akhir ‘a’, ‘a’
manakala pantun empat kerat menggunakan ‘a’, ‘b’, ‘a’, ‘b’.

Contoh pantun dua kerat ialah:
Daun senduduk daun semalu,
Marilah duduk jangan malu.

Contoh pantun empat kerat ialah:
Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan,
Saya budak baru belajar,
Kalau salah tolong tunjukkan.

6

ii) SYAIR

Syair merupakan sebuah puisi yang berlagu. Syair berasal daripada puisi Arab yang
merupakan ‘sy’ir’ namun syair Melayu berbeza dengan syair Arab. Syair Melayu
berbentuk konvesional yang mengandungi rangkap sebanyak empat dan rima
akhirnya ‘a’, ‘a’, ‘a’, ‘a’. Seterusnya, baris dalam syair ini mempunyai 5 hingga 8
patah perkataan dan suku kata sebanyak 8 hingga 12 suku kata setiap baris. Di
samping itu, syair adalah karya yang menceritakan kisah, buah fikiran, nasihat dan
sebagainya justeru ia mempunyai hentian pada setiap rangkap. Menurut Kamus
Dewan Edisi Keempat, syair adalah karangan bersajak yang setiap rangkap teridiri
daripada empat baris yang berbunyi sama dihujungnya. Setiap daripada baris dalam
syair disebut sebagai isi.

iii) GURINDAM
Gurindam berasal daripada perkataan ‘iradam’ dan ‘kirandam’ yang membawa
maksud puisi secara terbuka. Gurindam ini dinyanyikan secara riang. Ianya
diperkenalkan oleh Raja Ali Haji melalui ‘Gurindam Dua Belas’. Gurindam ini
berbentuk terikat kerana ia hanya memerlukan 2 baris pada setiap rangkap di mana
baris pertama adalah syarat dan baris kedua merupakan akibat. Seterusnya, setiap
rangkapnya mempunyai tiga hingga enam patah perkataan dan rima akhirnya adalah
‘a’, ‘a’. Gurindam mempunyai 8 hingga 12 suku kata dan memerlukan bahasa yang
serius namun bernas untuk menyampaikan pengajaran dan kebenaran dalam
pernyataan yang dicipta itu.

Contoh Gurindam Dua Belas (Fasal 1)

barang siapa tiada memegang agama,

sekali-kali tiada boleh dibilangkan nama.

barang siapa mengenal empat,

maka yaitulah orang yang makrifat.

barang siapa mengenal Allah,

suruh dan tegahnya tiada ia menyalah.

7

iv) SELOKA
Seloka adalah puisi yang berbentuk karangan berangkap. Ia menggunakan bahasa
yang berirama di samping melebihkan pepatah, bidalan atau perumpamaan di mana
setiap daripada mereka menyampaikan unsur yang sama seperti gurau senda,
jenaka, sindiran dan sebagainya. Walau bagaimanapun, seloka menyampaikan
mesej yang penting dan isinya sarat dengan pengajaran dan sindirian kepada
pembaca itu sendiri. Seloka ada yang berbentuk bebas dan berbentuk terikat.
Sebagai contoh, seloka yang berbentuk terikat dipanggil pantun seloka yang
mempunyai empat baris dalam setiap rangkap manakala seloka yang berbentuk
bebas mempunyai isi yang penting yang ingin disampaikan dalam setiap baris.
Sebagai contoh, seloka Pak Kadok membawa pengajaran untuk menjauhi amalan
berjudi, menyayangi isteri dan banyak lagi.

Contoh seloka ialah:
Aduhai malang Pak Kaduk,
Ayamnya menang kampung tergadai,
Ada nasi dicurahkan,
Awak pulang kebuluran,
Mudik menongkah surut,
Hilir menongkah pasang,
Ada isteri dibunuh,
Nyaris mati oleh tak makan,
Masa belayar kematian angin,
Sauh dilabuh bayu berpuput,
Ada rumah bertandang duduk,
Rumah runtuh awak menumpang.
Petikan daripada seloka Pak Kaduk

8

3.3 PROSA MODEN
Di samping itu, prosa moden juga merupakan jenis kesusasteraan Melayu. Menurut
Annas Hj Ahmad (1988), karya yang terhasil selepas tahun 1800 Masihi merupakan
karya yang tergolong dalam sastera moden. Sama seperti prosa tradisional, prosa
moden ini turut menyampaikan pengajaran dan nilai dan karyanya. Namun,
perbezaan masa ditekankan untuk kita memahami unsur dan bentuk didalamnya.
Misalnya, puisi dan syair pada zaman dahulu merupakan sajak pada hari ini.
Sebagai contoh, Abdullah Bin Abdul Kadir Munsyi menghasilkan Hikayat Abdullah
yang merupakan sebuah prosa moden. Prosa moden meliputi drama, filem, cerpen
dan juga novel.

i) DRAMA
Menurut Erwan Juhara (2014), drama merupakan sesuatu yang dibangunkan oleh
unsur intrinsik yang bersatu membentuk keseluruhan. Sama seperti drama dalam
prosa moden yang menyampaikan mesej secara lakonan yang bersatu. Drama
dibentuk melalui skrip yang ditulis oleh penulis skrip. Skrip drama ini merupakan
rujukan kepada pengarah. Seterusnya, pengarah memainkan peranan untuk
memastikan pelakon membawa watak yang sepatutnya dan mematuhi segala aspek
yang diperlukan untuk mendapatkan pementasan yang baik malah pelakon itu
sendiri perlu cakna dengan watak mereka sendiri. Pengarah juga perlu memastikan
keselarasan pementasan lakonan tersebut. Selain itu, drama memerlukan pentas
ataupun panggung untuk menghasilkan sesuatu drama yang menarik dan hebat.
Akhir sekali, pementasan perlu mementingkan unsur seperti tata rias, kostum
ataupun pakaian, cahaya, bunyi dan sebagainya. Hal ini untuk memastikan sesuatu
drama yang dijalankan itu menghasilkan sesuatu yang sempurna berbaloi dengan
usaha yang dilakukan.

ii) FILEM
Filem juga tergolong dalam prosa moden.

9

iii) CERPEN

Di samping itu, cerpen merupakan gabungan antara perkataan cerita dan pendek.
Cerpen menggambarkan sikap, pendapat, perasaan pengarang malah ia
memberikan gambaran kepada sesuatu situasi yang terjadi pada suatu zaman.
Situasi ini adalah seperti masalah politik ataupun ekonomi, kegembiraan dan
sebagainya. Cerpen mempunyai bentuk seperti mempunyai tema, watak dan
perwatakan, persoalan, nilai dan pengajaran serta banyak lagi. Tema ini adalah
berdasarkan situasi ketika itu yang mampu memberi kesan kepada pembaca cerpen
tersebut. Watak dan perwatakan juga ditekankan kerana perlu adanya watak utama
yang semestinya memberikan pengajaran kepada pembaca dan juga watak
sampingan yang mendokong sesebuah cerita itu untuk menghasilkan jalan cerita
yang indah. Watak ini perlu merangkumi watak yang baik, protagonist dan antagonis
yang akan menimbulkan konflik dan kekacauan dalam sebuah jalan cerita. Hal ini
demikian untuk menghasilkan satu unsur dramatik di dalam cerpen ini. Dengan
tercetusnya perbalahan, ketegangan dan kegembiraan dalam sesuatu jalan cerita ini
akan menghasilkan sebuah cerpen yang menarik dan akan dibaca oleh pembaca
sehingga penghujung kerana ianya akan meraih minat dan tumpuan mereka untuk
membacanya. Antara cerpen dalam sastera Melayu adalah Sang Lelaki dan Puaka,
Munsyi dan Gerhana Manusia.

iv) NOVEL

Seterusnya, novel yang merupakan prosa moden ini mempunyai banyak corak.
Antaranya ialah novel yang bercorak kemasyarakatan, semangat kebangsaan dan
sebagainya. Misalnya, novel yang bercorak kemasyarakatan adalah seperti novel
Cinta Gadis Rimba (1949), novel Darah Kedayan (1947) dan Minah Joget Moden
(1949). Novel yang bercorak kemasyarakatan ini pastinya memaparkan watak yang
merujuk kepada masyarakat sama ada secara positif mahupun negative. Misalnya,
novel Minah Joget yang memaparkan sikap negatif masyarakat terhadap penari yang
berjoget. Pengarang telah mencipta watak Minah yang petah berbicara dan
membetulkan sikap masyarakat dengan menyatakan kesucian seniman dan seniwati
masyarakat Melayu. Seterusnya, novel yang bercorak semangat kebangsaan
pastinya menekankan persoalan berkaitan kebangsaan yang wajib dicintai dan
dijaga. Novel dicipta dengan bentuk yang bebas dan ada dialog yang digunakan
berdasarkan watak-watak yang dipegang. Suku kata juga bebas dan tidak
menghiraukan baris dalam setiap perenggan. Novel juga dicipta berdasarkan

10

pengalaman peribada penulis sendiri ataupun imaginasi penulis. Menurut Shahnon
Ahmad (1972), novel adalah rencam hidup manusia yang mengandungi bentuk
sastera cereka.

3.4 PUISI MODEN

Akhir sekali, jenis kesusasteraan Melayu adalah puisi moden. Sajak merupakan
satu-satunya genre puisi. Menurut Hashim Awang (1984), sajak ialah puisi baharu
yang popular yang dilahirkan sebagai pilihan kepada puisi tradisional. Omar Mustaffa
merupakan seorang penulis Melayu yang pertama menulis puisi Melayu moden.
Puisinya iaah “Angan-angan dengan Gurindam”. Puisi ini bentuknya berbeza sedikit
berbanding puisi tradisional. Misalnya, susunan baris, rangkap dan rima akhir dalam
puisi moden tidak terikat dengan puisi tradisional. Menurut Za’aba (1965), puisi atau
karangan berangkap adalah satu kerangan yang khas dipakai untuk
mempersembahkan fikiran yang cantik dengan bahasa yang indah dan kemanisan
dan kecantikan bahasa dilukis. Apabila adanya kemanisan dan kecantikan bahasa
dalam puisi, maka ia akan memikat hati pembaca dan pendengar kerana gaya
bahayasanya, lenggok dan juga rentak dalam menyampaikan isi-isinya.

i) SAJAK

Menurut H. B. Jassin (1983), sajak merupakan pengucapan perasaan dengan
perasaan yang mengandungi fikiran dan tanggapan di dalamnya. Tambahan pula,
menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, sajak adalah puisi moden yang menggubah
fikiran iaitu merangkumi perasaan, pengalaman dan sebagainya. Dapat ditafsirkan
bahawa sajak adalah suara ataupun luahan hati dan perasaan penyajak serta ia lahir
bukan sekadar mainan semata-mata kerana ia merupakan pembentukan kata-kata
yang terbaik dan disusun dengan terbaik. Jadi, sajak boleh dikatakan sebuah karya
yang dapat menjadi renungan masyarakat kerana ianya bersifat harmonis antara
kata dan maksud serta membawa nilai dan erti yang baik.

Sajak dibentuk secara bebas. Sebagai contoh, sajak tidak mempunyai
peraturan untuk membentukkan rangkap, baris, rima akhir ataupu pemilihan kata
seperti yang terkandung dalam puisi tradisional. Ciri yang seterusnya adalah karya
yang ditulis perlu ada nama penulis sama ada nama samara atau nama pena. Hal ini

11

demikian untuk menyatakan hak dan mengaku karya yang dikarang oleh mereka.
Berbeza dengan puisi tradisional yang bersifat kolektif iaitu milik bersama yang
membawa maksud boleh diguna pakai oleh semua orang. Menurut Muhammad Hj
Salleh (1991), puisi moden dibentuk mengikut rentak nafas dan perjalanan baris
serta cara bertutur yang bebas di mana tidak perlu mengikut peraturan panjang
pendek baris seperti dalam pantun dan syair yang menggunakan peraturan lama. Di
samping itu, sajak juga bebas mengikut penyajak itu sendiri bagaimana cara beliau
untuk menghasilkan karya yang kreatif mengikut selera beliau sendiri tanpa terikat
dengan peraturan seperti prosa tradisional. Akhir sekali, sajak merupakan karya
sastera yang mengandungi suasana yang moden.

Contoh sajak adalah seperti:
Musim demi musim kini
Anak-anak yang kau lahirkan
Bangun dari mimpi
Mimpi kehidupan antara dua pengharapan
Kemakmuran yang hak
Kemenanga yang mutlak
Anak tercinta
Di bumi merdeka.
Sumpah Tanah Air oleh Darmawi Jaya

12

4.0 FUNGSI KESUSASTERAAN MELAYU
Perkembangan masyarakat dan zaman menyebabkan sastera berubah dan mencapai
kemajuannya. Sastera Melayu berfungsi mewujudkan pemikiran yang bijaksana untuk
memimpin manusia kearah kesejahteraan, keamanan, kemajuan dan sebagainya. Sastera
Melayu membawa peranan yang penting apabila masyarakat kini dan moden membaca dan
menjadikannya sebagai bahan rujukan untuk melakukan sesuatu perkara. Seperti yang
sedia maklum, sastera adalah sesuatu yang menyampaikan pengajaran, dakwah di samping
memberikan hiburan dan gelak tawa kepada pembaca. Tambahan pula, kita dapat
mengklasifikasikan fungsi kesusasteraan Melayu kepada beberapa aspek seperti aspek
hiburan, pendidikan, dakwah dan kritikan sosial.

4.1 ASPEK HIBURAN
Pertama, fungsi kesusasteraan dari aspek hiburan. Hiburan di sini bermaksud
keseronokan, keindahan dan ada unsur geli hati ketika membaca. Menurut Kamus
Dewan Edisi Ketiga (2002), hiburan adalah satu perbuatan yang menghiburkan dan
mententeramkan hati serta tempat. Hiburan ini wujud apabila penulis menggunakan
kata-kata indah, irama dan rentak bahasa yang indah dan sebagainya. Menurut
Sohaimi Abdul Aziz (1998), keindahan dalam seni dikaitkan dengan sesuatu yang
membawa kepada kegembiraan. Unsur hiburan dalam sastera penting untuk
membuatkan pembaca gemar dan meminati karya tersebut.

Seterusnya, hiburan dalam pantun boleh wujud melalui pembayang dan
maksudnya yang menggelikan hati. Kualiti hiburan tersebut mungkin disampaikan
secara bersahaja ataupun melalui pelbagai variasi seperti menggunakan irama
mana-mana lagu seperti lirik lagu dikir barat, lagu popular dan mana-mana bentuk
yang mampu mencetuskan ketawa kepada pembaca.

Contoh pantun yang menghiburkan adalah seperti:
Endoi-endoi cak,
Cak makan padi,
Anak kecil duduk teriak,
Mak duduk makan nasi.

13

Pantun ini menimbulkan hiburan ketika membaca kerana menceritakan
perbuatan ibu ketika anaknya sedang menangis. Tambahan pula, pantun ini
menggunakan endoi-endoi cak sebagai pembayang. Selain itu, dalam karya cerpen
atau seloka juga menyelitkan unsur hiburan di dalamnya. Misalnya dalam kisah Pak
Kaduk, pembaca berasa terhibur apabila membacanya kerana perwatakannya yang
tidak waras. Hiburan pada watak ini dilihat apabila Pak Kaduk menyuruh isterinya
membaiki pakaiannya yang secara terang-terangan ianya telah rosak. Akhirnya, dia
sendiri mendapat malu apabila dia bertelanjang bulat-bulat kerana baju yang
dipakainya berkoyak-rabak ketika bersorak. Kisah Pak Kaduk banyak menghiburkan
selain menyampaikan pengajaran dan dakwah.

4.2 ASPEK PENDIDIKAN

Selain itu, fungsi kesusasteraan Melayu dari aspek pendidikan. Menurut Abdullah
dan Ainon (1995), pendidikan bermaksud mengajar dan mengasuh manakala
menurut Abdullah Ishak (1995) pendidikan dalam bahasa Arab merupakan tarbiyyah
yang bermaksud pingisian berkaitan diri, disiplin dan intelektual. Jika dilihat
pendidikan dalam karya sastera Melayu, ianya adalah melalui pengalaman penulis
berkaitan ekonomi, keagamaan, politik, sosiologi dan sebagainya. Maka, pendidikan
telah wujud secara tidak langsung apabila pembaca membaca karya tersebut.
Melalui kesusasteraan Melayu yang menerapkan pendidikan, maka dapat dilihat
bahawa negara kita mampu menyampaikan pendidikan dalam sebarang jua keadaan
sama ada secara lisan ataupun bertulis. Tambahan pula, kesusasteraan Melayu
telah membuktikan bahawa masyarakat Melayu merupakan sebuah masyarakat
yang kreatif kerana mampu mengkaji keindahan sastera di samping menjiwai
perasaan dalam menghasilkan karya kerana penulis mampu menyampaikan
kandungan yang berpendidikan.

Seterusnya, kita dapat melihat pendidikan dalam karya sastera ini ketika di
bangku sekolah. Misalnya, di sekolah menengah, pelajar tingkatan 4 dan 5 perlu
belajar novel seperti Pantai Kasih, Jejak Monpus dan Bimasakti Menari serta cerpen
seperti Munsyi. Melalui proses pembelajaran ini, pelajar dapat mengambil iktibar
melalui sikap masyarakat sejagat. Oleh hal yang demikian, ia akan mengajar anak
bangsa sekarang untuk berperilaku baik dan menjaga diri sendiri agar tidak berlaku
keruntuhan akhlak, terjebak dengan rasuah dan hilang agama. Sebagai contoh, kita
dapat lihat generasi muda sekarang ramai yang berpendidikan tinggi, bijak dalam

14

sains dan teknologi yang merupakan hasil daripada pendidikan ketika sekolah.
Tambahan pula, pelajar juga didedahkan dengan penulisan akademik, cerpen dan
sebagainya dalam proses pendidikan untuk melahirkan pelajar yang kreatif.

4.3 ASPEK DAKWAH
Seterusnya, fungsi kesusasteraan Melayu dalam aspek dakwah adalah berkaitan
dengan penyampaian pesanan suci kepada manusia. Menurut Siddiq Fadzil (2012),
sastera menurut Islam perlu bercirikan waqi’iy dan realistic kerana sastera
membimbing kea rah yang mulia dan juga sempurna. Sastera Islam membangun
akibat pengaruh dakwah yang bergerak secara meluas pada abad ke 13 hingga 16
Masihi. Kita dapat lihat melalui karya kesusasteraan Melayu menyampaikan dakwah
secara halus dan terang-terangan dalam setiap ayat yang disampaikan itu. Hal ini
demikian kerana sastera Islam perlu mengisi dakwah seperti nilai-nilai Islam yang
sempurna untuk menunjukkan ketakwaan dan keimanan kepada Allah SWT.
Pengarang yang mampu menyampaikan dakwah dalam karya mereka merupakan
seorang pengarang yang berkarya secara kreatif, berilmu pengetahuan tinggi dan
mempunyai nilai estetik.

Di samping itu, unsur dakwah dalam kesusasteraan Melayu dapat dilihat
melalui karya seperti Syair Dagang, Syair Burung dan Syair Perahu yang dikarang
oleh Hamzah Fansuri yang memperlihatkan dan menekankan berkaitan kematian
dan seksaan oleh Allah SWT di hari akhirat. Misalnya, dalam Syair Burung Unggas,
Hamzah Fansuri ada menyebut bahawa Bukit Arafah adalah kesudahan kepada
musyahadah yang merupakan penyaksian qalbu kita kepada Allah.

Bait-bait dalam Syair Burung Unggas adalah seperti yang berikut:
Unggas itu terlalu indah,
Olehnya banyak ragam dan ulah,
Tempatnya bermain di dalam Ka'bah,
Pada Bukit Arafah kesudahan musyahadah

15

4.4 ASPEK KRITIKAN SOSIAL
Akhir sekali, kritikan sosial juga merupakan aspek yang ditekankan dalam fungsi
kesusasteran Melayu kepada masyarakat. Kritikan ini berlaku dalam konteks
masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama, susun lapis dan cara hidup
masyarakat pada ketika itu. Seperti yang sedia maklum, sastera merupakan
cerminan dan reality berkaitan kehidupan masa lalu yang dirakam melalui sastera
Melayu ini. Kadangkala ada yang indah serta kreatif dan ada juga yang
menghasilkan sastera yang luar biasa mengikut jalan cerita dan pengalaman seni
pengarang itu sendiri. Kritikan sosial yang berlaku dalam sastera Melayu ini adalah
untuk menegur atupun ingin menyampaikan sesuatu mesej kepada pembaca.

Selain itu, kita dapat lihat contoh kritikan sosial dalam sastera Melayu adalah
dalam Seloka Boros dan Jimat di mana pengarang mengkritik masyarakat bahawa
walaupun kita ada emas yang bertimbun atau beras yang lebih daripada mencukupi
serta wang yang sangat banyak simpanannya namun jika kita boros, sebanyak-
banyak harta aitu tetap akan habis jua. Jadi, kita hendaklah bersikap berjimat cermat
dan berbelanja secara berhemah.

Antara bait-bait kata yang indah yang terkandung dalam Seloka Boros dan
Jimat adalah seperti yang berikut:
Katakanlah kau ada…
Emas bertimbun,
Ataupun beras berguni, berkampit, berkarung,
Wang yang penuh di Gedung, padat di kantung.
Tetapi jika ditabur habur, diborosi,
Semuanya segera juga akan habis pergi.

16

5.0 MANIFESTASI AKAL BUDI MASYARAKAT MELAYU
Akal merupakan proses yang perlu menggunakan minda untuk memahami dan mencari
makna terhadap sesuatu, meneroka pelbagai idea dan membuat pertimbangan yang wajar
ke atasnya dan membuat keputusan serta menyelesaikan masalah di samping refleksi yang
dibuat di akhir proses. Budi pula merupakan satu pertuturan, gaya hidup, perlakuan dan
juga pemikiran dalam berbahasa. Manifestasi pula membawa maksud menjelaskan atau
menyatakan sesuatu. Jadi, manifestasi akal budi merupakan sesuatu yang mejelaskan,
membuat pertimbangan dan keputusan bagi satu gaya hidup, perbuatan dan sebagainya.
Seperti yang sedia maklum, akal budi merupakan cerminan manusia berkaitan hidup
mereka dari segi perbuatan, pemikiran dan juga sikap. Namun, akal budi masyarakat
Melayu pada ketika dahulu telahpun diterjemah dalam sastera Melayu melalui karya seni
dan pengalaman seni seperti melalui pantun, syair, seloka dan gurindam.

5.1 PANTUN
Akal budi masyarakat Melayu dalam pantun merupakan manifestasi yang terbaik
dalam sastera masyarakat Melayu. Hal ini demikian kerana pantun diisikan dengan
pemikiran dan perasaan bertahun lamanya sebelum masyarakat Melayu tahu
menggunakan proses surat-menyurat. Seperti yang sedia maklum, pantun
mempunyai dua rangkap, empat rangkap, enam rangkap dan sebagainya dan
semestinya mempunyai pembayang maksud dan maksud.

Contoh pantun adalah seperti yang berikut:

Buah cempedak di luar pagar,

Ambil galah tolong jolokkan,

Saya budak baru belajar,
Kalau salah tolong tunjukkan.

Pemikiran dalam pantun tersebut dapat dilihat apabila penulis memilih
cempedak dan galah sebagai pembayang. Cempedak ini dibandingkan dengan
budak yang perlu dijaga dan disayang. Di luar pagar untuk menunjukkan bahawa
cempedak iaitu budak yang beraada di luar rumahnya iaitu bukan di bawah jagaan
ibu bapanya lalu watak di sini menekankan guru ataupun orang luar yang berada di

17

luar pagar tersebut untuk mengajar budak itu dan menegur jika dia melakukan
kesalahan. Hal ini demikian kerana budak tersebut merupakan budak yang sedang
membesar dan baru belajar kehidupan ini. Kesimpulannya, akal budi dalam pantun
ini mendidik masyarakat untuk sentiasa belajar dan meluaskan persekitaran
pembelajaran serta menerima teguran jika ada kesalahan.

Seterusnya, pantun yang dihasilkan pada hari ini kebanyakannya tidak
memanifestasikan akal budi masyarakat Melayu sedangkan ianya adalah satu tradisi
yang penting untuk menyusun setiap kata itu dalam pembayang maksud dan
maksud itu sendiri. Hal ini demikian kerana pantun pada ketika ini hanya
mementingkan bentuk fizikal shaja sedangkan setiap perlakuan dan gaya hidup
masyarakat dulu kaya dengan falsafahnya seperti yang dikatakan oleh T. Effendy
(2005), pantun menjadi kaya apabila pembayang yang digunakan menggambarkan
manifestasi masyarakat Melayu. Misalnya, ada pantun yang menceritakan perihal
perasaan seseorang yang merajuk dan berasa kecil hati akibat berlaku salah faham.

Pantun tersebut adalah seperti yang berikut:
Masak sudah asam paya,
Tidak boleh dijolok lagi,
Rosak sudah badan saya
Tidak boleh dipujuk lagi.

5.2 SYAIR
Akal budi dalam syair dapat dilihat melalui syair yang ditulis oleh Hamzah Fansuri.
Pemikiran yang dibawa oleh beliau dalam syair popularnya iaitu Syair Perahu ialah
berkaitan pemikiran agama yang mementingkan ajaran tasawuf. Syair yang dicipta
oleh beliau juga menceritakan berkaitan perjalanan hidup manusia di alam dunia
demi kehidupan yang aman dan damai di akhirat. Syair Perahu ini juga menyeru
pembaca untuk sentiasa menggunakan fikiran untuk berfikir dan perbetulkan iman
kerana ia akhiran merupakan destinasi terkakhir kita sebagai umat-Nya.

18

Contoh Syair Perahu adalah seperti yang berikut:
Wahai Muda, kenali dirimu,
Ialah perahu tamsil tubuhmu,
Tiadalah berapa lama hidupmu,
Ke akhirat jua kekal diammu.

Di samping itu, gaya hidup masyarakat Melayu juga ialah mereka sangat
mementingkan kejujuran dan mengelakkan berlakunya perbuatan memfitnah sesama
mereka. Hal ini demikian kerana, perbuatan memfitnah boleh menyebabakan
perbalahan antara kaum, kekacauan antara masyarakat dan pemerintah malah akan
merosakkan imej masyarakat itu sendiri. Justeru, pada ketika dahulu terciptalah
sebuah Syair Bahaya Fitnah yang membuktikan bahawa fitnah sememangnya
bahaya. Misalnya, dalam Syair Bahaya Fitnah ini menceritakan kejatuhan dan
keruntuhan kerajaan Kesultanan Melayu Melaka ketika di bawah naungan Portugis
pada tahun 1511.

Contoh Syair Bahaya Fitnah adalah seperti yang berikut:
Sejarah Melayu teladan utama,
Bahaya fitnah sudah menjelma,
Si Kitol, Mendeliar turut sama,
Difitnah Bendahara busuklah nama.

5.3 SELOKA
Seloka merupakan sebuah puisi tradisional yang mempunyai rangkap namun
mempunyai irama dalam bahasanya. Seloka juga berbentuk terikat iaitu rangkapnya
dibina dengan empat baris bagi setiap rangkap. Seterusnya, seloka mengandungi
akal budi masyarakat di mana kita dapat dilihat apabila ada pemikiran di dalamnya
yang mengejek, menyindir, mengkritik masyarakat sama ada secara jenaka ataupun
serius. Walau bagaimanapun, setiap sindiran itu mempunyai mesej yang sarat yang
berguna sebagai pengajaran dan teladan bagi pembaca.

19

Seterusnya, seloka yang mempunyai sindiran secara jenaka adalah seperti
Seloka Pandai Pak Pandir. Seloka tersebut merupakan Cerita Jenaka Rakyat yang
mengisahkan tentang seorang lelaki yang bernama Pak Pandir yang bersifat lurus
bendul dan tujuannya adalah untuk mengiburkan pembaca di samping menyelitkan
unsur sindiran. Jadi, akal budi masyarakat yang terdapat dalam seloka ini adalah
menyindir individu iaitu Pak Pandir yang mempunyai sikap mengutamakan orang lain
berbanding diri dan isteri sendiri. Misalnya, Pak Pandir telah mengabaikan anaknya,
membunuh isterinya dan menunjukkan sikap lurus bendul diri sendiri kerana dia
mendahului orang lain walhal dia sepatutnya mendahulukan diri dan darah daging
sendiri berbanding orang luar yang langsung tiada pertalian darah.

Di samping itu perwatakan Pak Pandir juga menunjukkan bahawa dia
seorang yang suka berjudi dan bertaruh. Pak Pandir tidak sedar akan kelemahan
dirinya sendiri yang tidak berharta itu. Kesannya, dia sendiri yang perlu menanggung
masalah dan kebodohan yang dilakukan olehnya. Pada masa yang sama,
pengarang juga mengkritik individu yang terlalu mendengar buah mulut orang lain
dan mudah terpengaruh dengan sekeliling. Secara amnya, kita dapat lihat bahawa
sikap tersebut akan memakan diri sendiri kerana kita perlu menanggung derita tanpa
kesudahan itu akibat sikap yang dilakukan oleh diri sendiri.

5.4 GURINDAM
Menurut Za’aba (1965), gurindam adalah syair yang melarat dimana rangkapnya
berbentuk tetap. Gurindam mempunyai dua baris dalam setiap rangkap dan rima
akhirnya ialah ‘a’, ‘a’. Jika ayat pada baris pertama dan kedua lengkap, makai a
menghasilkan satu ayat yang majmuk. Akal budi masyarakat Melayu dalam
gurindam dapat dilihat melalui Gurindam Pasal Pertama.

Contoh Gurindam Pasal Pertama adalah seperti yang berikut:

Barang siapa yang tiada memegang agama,

sekali-kali tiada boleh dibilangkan nama.

Barang siapa mengenal yang empat,
Maka ia itulah orang yang ma’rifat.

20

Akal budi dalam gurindam ini adalah pengarang menyatakan bahawa hidup
yang tidak berpegang kepada agama akan mengakibatkan hidup yang sia-sia
sahaja. Seperti yang sedia maklum, hidup yang tidak meletakkan agama sebagai
perkara utama akan menyebabkan perkara yang dilakukan itu tidak diredhai malah
seseorang itu juga akan dibelenggu dengan perasaan yang gelisah dan kerisauan.
Seterusnya, ia juga menyeru seseorang itu untuk melaksanakan perintah Allah SWT
dan meninggalkan apa yang dilarang oleh-Nya.

Selain itu, falsafah juga merupakan konteks akal budi yang dibincangkan
dalam gurindam. Falsafah membawa maksud sesuatu yang difikirkan secara
mendalam dan mempunyai ciri-ciri pemikiran yang tinggi di samping mencari
jawapan yang benar terhadap suatu perkara. Sebagai contoh, Gurindam Dua Belas
mempunyai falsafah yang terkandung di dalamnya iaitu berkaitan kehidupan
manusia di dunia dan di akhirat. Gurindam ini menyampaikan falsafah yang benar
yang terkandung dalam ayat Al-Quran, hadis-hadis Nabi SAW dan Rukun Iman serta
Rukun Islam. Misalnya, Gurindam Dua Belas menghuraikan berkaitan etika,
metafizik, sosial, politik dan logik.

Pertama, falsafah dalam bidang etika iaitu emikiran berkaitan moral,
pendidikan dan pengajaran. Sebagai contoh, berdasarkan Gurindam Dua Belas,
fasal 10, penulis mengatakan bahawa kita tidak boleh derhaka dengan bapa supaya
tidak dimurkai oleh Allah dan kita juga perlu menghormati ibu supaya kita dapat
hidup dengan baik dah sihat badan. Kedua, falsafah dalam bidang metafizik adalah
pemikiran yang berkaitan kewujudan dan keberadaan seperti kewujudan Allah SWT,
akhirat, dosa dan sebagainya. Ketiga, dalam bidang sosial pula, falsafah membawa
pemikiran yang menggambarkan kehidupan masyarakat secara realiti yang
kontekstua. Keempat, falsafah dalam bidang politik ialah mementingkan negara iaitu
dari segi pemerintahan dan tanggungjawab pemerintah negara. Akhir sekali, aspek
logik yang membawa pemikiran rasional berdasarkan taakulan yang mempunyai
sebabnya sendiri. Justeru, Gurindam Dua Belas menyampaikan pesanan kepada
pembaca untuk mematuhi agama Islam kerana banyak akibat yang akan mendatang
jika mengabaikannya.

21

6.0 KESIMPULAN
Kesimpulannya, kesusasteraan Melayu merupakan sebuah peninggalan yang bersejarah
oleh tokoh pada ketika dahulu di mana ia masih lagi diguna pakai sehingga sekarang oleh
masyarakat kini. Walaupun penyampaiannya telah berubah tidak seperti dahulu, namun
sastera Melayu masih menekankan aspek dakwah, pendidikan, kritikan sosial dan hiburan
dalam menyampaikan mesej secara lisan ataupun bertulis kepada pembaca. Misalnya, pada
era gloabalisasi ini, banyak pantun-pantun jenaka yang menggelikan hati di samping
menyampaikan mesej secara halus. Tidak lupa juga, ada juga novel-novel yang dicipta oleh
masyarakat kini yang memberi pengajaran yang cukup bermakna kepada masyarakat.
Sebagai contoh, novel Pantai Kasih yang diajar kepada pelajar di Sekolah Menengah.
Maka, kita sebagai masyarakat Melayu kini sewajarnya melindungi sastera Melayu dan
mengembangkan lagi di peringkat persada dunia kerana ia banyak menyampaikan mesej
yang positif.

22

SUMBER RUJUKAN
Abdullah Hassan, & Ainon Mohd. (2011). Kamus peribahasa kontemporari. Pts Profesional

Pub.

Abdullah Ishak. (1995). Pendidikan Islam dan pengaruhnya di Malaysia. Dewan Bahasa Dan
Pustaka.

Annas Haji Ahmad. (1988). Sastera Melayu lama dan baru. Masa Enterprise.

Harun Mat Piah. (1989). Puisi Melayu tradisional satu pembicaraan genre dan fungsi.
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hashim Awang. (1984). Kesusasteraan Melayu dalam kritikan dan sejarah. Fajar Bakti.

Hashim Awang. (1988). Kritikan kesusasteraan : teori dan penulisan. Dewan Bahasa Dan
Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Ismail Hamid. (1987). Perkembangan kesusasteraan Melayu lama. Pearson Education
Malaysia.

Kamus Dewan (Edisi Keempat). (2015). Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kamus Dewan (Edisi Ketiga). (2002). Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd Affandi Hassan. (1996). Pendidikan estetika daripada pendekatan tauhid. Dewan
Bahasa Dan Pustaka.

Muhammad Haji Salleh. (1991). Yang empunya cerita : the mind of the Malay author. Dewan
Bahasa Dan Pustaka.

Muhammad Haji Salleh. (2000). Puitika sastera Melayu. Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Safian Hussain et al. (1988). Glosari istilah kesusasteraan. Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Siddiq Fadzil. (2012). Islam dan Melayu : martabat umat dan daulat rakyat. Akademi Kajian
Ketamadunan, Kompleks Dar Al-Hikmah.
23

Siti Hajar Abdul Aziz. (2011). Bahasa Melayu 1. Shah Alam Oxford Fajar.
Sohaimi Abdul Aziz. (1998). Rasa-Fenomenologi: Penerapannya Terhadap Karya A.Samad

Said. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Zainal Abiddin Bin Ahmad. (1965). Pelita bahasa Melayu : penggal I (Permulaan nahu

Melayu.). Dewan Bahasa dan Pustaka.
Zakaria Osman. (2000). Estetika: Satu konsep perbahasan. Dlm. Zahir Ahmad (Peny.).

Pengajian Kesusasteraan Melayu di Alaf Baru. Akademi Pengajian Melayu, Universiti
Malaya.

24


Click to View FlipBook Version