SEJARAH BENDERA MALAYSIA
Sejarah Bendera Malaysia bermula apabila Majlis Raja-Raja Persekutuan Tanah Melayu
menubuhkan satu Jawatankuasa pada tahun 1949 untuk menimbang serta membuat perakuan
berkenaan dengan Bendera Persekutuan Tanah Melayu.
Satu pertandingan merekacipta bendera Persekutuan Tanah Melayu telah diadakan oleh Majlis
Perundangan Persekutuan dalam tahun 1949. 373 orang telah mengambil bahagian didalam
pertandingan ini dan tiga rekabentuk bendera telah dipilih ke peringkat akhir:
i. Reka bentuk pertama ialah lambang keris bersilang di tengah-tengah dengan dikelilingi oleh 11
bintang pecah lima.
ii. Reka bentuk kedua hampir serupa dengan rekabentuk pertama kecuali 11 bintang pecah lima itu
disusun dalam dua bulatan mengelilingi Keris Bersilang tersebut.
iii. Reka bentuk ketiga ialah 11 jalur biru-putih dengan Bulan Bintang berwarna kuning di bahagian
tepi kiri.
SEJARAH BENDERA MALAYSIA
Sebelum memilih rekabentuk bendera yang menjadi juara, Majlis
Perundangan Persekutuan telah menjemput orang ramai untuk memberi
pendapat masing-masing tentang rekebentuk yang disukai oleh mereka.
Pendapat umum ini telah disiarkan oleh The Malay Mail.
Pada 28 November 1949, keputusan telah dibuat berdasarkan suara
majoriti orang ramai yang memilih reka bentuk ketiga yang dicipta oleh seorang
Arkitek Kerajaan di Johor iaitu Encik Mohamad bin Hamzah.
SEJARAH BENDERA MALAYSIA
Pada 22 dan 23 Februari 1950, Mesyuarat Majlis Raja-Raja telah bersetuju dengan Reka bentuk
bendera tersebut dengan beberapa pindaan.
PPeadmaa1n9gkAupKriel 1tu9a50SeMtiaajulissaPhearuNnedgaanrgaasnepPeerrtsiebkeuritkuuatn: telah meluluskan usul yang dibentangkan oleh
"That in the opinion of this Council, the Flag of the Federation of Malaya should be as follows:-
Eleven horizontal stripes alternately red and white in colour, the uppermost stripe being red, having a
blue quarter with a cresent and eleven-pointed star in yellow superimposed, the standard size of the
flag to be six feet by three feet."
Rekabentuk tersebut diubah dengan menukar warna putih pada bulan dan bintang kepada warna
kuning untuk melambangkan warna diraja bagi raja-raja Melayu dan juga menambah bucu bintang
kepada 11 untuk mengambil kira jumlah negeri yang ada dalam Persekutuan Tanah Melayu.
Reka bentuk bendera tersebut telah mendapat kelulusan King George VI pada 19 Mei 1950.
SEJARAH BENDERA MALAYSIA
Pertama kali Bendera Persekutuan Tanah Melayu dikibarkan ialah dalam majlis menaikkan bendera
tersebut yang dianjurkan oleh Pesuruhjaya Tinggi British pada 26 Mei 1950 di perkarangan Istana Sultan
Selangor dengan dihadiri oleh D.Y.M.M. Raja-Raja Melayu dan Pegawai-Pegawai King George VI.
Percantuman Sabah, Sarawak dan Singapura dengan Persekutuan Tanah Melayu telah melahirkan
sebuah negara baru iaitu Malaysia. Dengan percantuman itu, bendera Persekutuan Tanah Melayu telah diubah
suai untuk mengambil kira penambahan negeri-negeri tersebut.
Duli-Duli yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan Tuan-Tuan Yang Terutama Gabenor-Gabenor
dalam satu Persidangan Majlis Raja-Raja menjelang pembentukan Malaysia telah memperkenankan iaitu reka
bentuk Bendera Malaysia hendaklah mengikut reka bentuk Bendera Persekutuan Tanah Melayu dengan
pengubahsuaian pada bilangan jalur-jalur dan bintang pecah 14 bagi menunjukkan 14 buah negeri baru bagi
Persekutuan Malaysia.
Walaupun Singapura berpisah daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965, namun jalur-jalur dan bintang
pecah 14 terus dikekalkan hingga sekarang. Kini jalur-jalur dan bintang berpenjuru 14 melambangkan
keanggotaan yang sama dalam Persekutuan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan (terdiri daripada 3
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.)
BAGAIMANA BENDERA MALAYSIA MENDAPAT NAMA JALUR
GEMILANG
Pada malam 31 Ogos 1997 sempena Hari Kemerdekaan negara yang ke-40, Perdana Menteri, Tun
Mahathir bin Mohamad telah mengistiyarkan nama bendera Malaysia sebagai Jalur Gemilang di Dataran
Merdeka, Kuala Lumpur.
Sebelum itu, pada tahun 1995, Datuk Hashim Mat Dris mencadangkan bendera Malaysia diberikan
nama rasmi seperti bendera kebangsaan Indonesia digelar Sang Saka Merah Putih, United Kingdom – Union
Jack, Amerika Syarikat – Star Spangled Banner dan bendera Perancis digelar Tricolor.
Beliau memberi cadangan bendera Malaysia dinamakan sebagai "Si Tuah". Sempena nama Hang
Tuah, pahlawan Melayu yang berani, gagah perkasa dan setia kepada raja.
Cadangan beliau itu kemudiannya telah diusulkan kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr.
Mahathir Mohamad.
Pada 11 Julai 1995 Tun Dr. Mahathir telah bersetuju supaya diadakan satu peraduan bagi memilih
nama yang sesuai untuk bendera Malaysia. Oleh itu, satu Jawatankuasa Induk Peraduan Mencipta Nama
Bendera Malaysia ditubuhkan. Jawatankuasa tersebut dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri
Ahmad Sarji Abdul Hamid dan dianggotai oleh wakil daripada beberapa kementerian dan agensi yang
berkenaan.
BAGAIMANA BENDERA MALAYSIA MENDAPAT NAMA JALUR
GEMILANG
Dalam mesyuarat pada 1 April 1996, jawatankuasa induk peraduan mencipta nama bendera Malaysia
telah bersetuju bahawa pemilihan cadangan nama bendera Malaysia tidak perlu dibuat melalui peraduan tetapi
memadai dipilih daripada senarai nama yang dikemukakan oleh ahli-ahli jawatankuasa yang terdiri daripada
wakil-wakil kementerian dan agensi yang berkaitan. Tun Dr. Mahathir Mohamad bersetuju dengan cadangan
tersebut. Nama Jawatankuasa itu kemudiannya ditukar menjadi, Jawatankuasa Induk Menamakan Bendera
Malaysia.
Jawatankuasa itu telah menimbang 75 cadangan nama berserta huraiannya. Setelah penelitian
dibuat, tiga cadangan nama dipilih iaitu ‘Setia Perkasa’, ‘Seri Setia Perkasa’ dan ‘Seri Setia Negara’. Cadangan
nama-nama tersebut dipilih kerana ia didapati sesuai sebagai lambang sejarah dan perjuangan negara serta
mampu memupuk semangat jitu di kalangan rakyat untuk terus maju membina sebuah negara yang aman
makmur.
Pada 11 September 1996, usul dikemukakan kepada jemaah menteri mengenai tiga nama cadangan
yang dipilih. Namun, kesemua nama-nama tersebut gagal memikat hati ahli-ahli mesyuarat Kabinet yang
berpandangan bahawa ia tidak benar-benar melambangkan sifat dan semangat yang diwakili oleh bendera
Malaysia itu sendiri.
BAGAIMANA BENDERA MALAYSIA MENDAPAT NAMA JALUR
GEMILANG
Jemaah menteri kemudiannya meminta supaya cadangan-cadangan baru dikemukakan. Berikutan
keputusan itu, Jawatankuasa Induk Menamakan Bendera Malaysia bersidang semula untuk mencari cadangan nama-
nama baru untuk bendera Malaysia.
Dalam mesyuarat pada 2 Jun 1997 yang dipengerusikan oleh Tan Sri Abdul Halim Ali, Ketua Setiausaha
Negara pada waktu itu sebanyak 28 cadangan nama dipertimbangkan. Setelah membuat penelitian, mesyuarat
bersetuju memilih tiga nama mengikut keutamaan seperti berikut: ‘Jalur Gemilang’, ‘Jalur Nusa Gemilang’ dan ‘Jalur
Sinar Gemilang’.
Apabila ketiga-tiga cadangan nama tersebut dibentangkan pada 9 Julai 1997, jemaah menteri telah
bersetuju supaya bendera Malaysia diberi nama ‘Jalur Gemilang’.
Nama Jalur Gemilang di ilhamkan oleh Tuan Haji Md. Rebuan @Md. Redzuan Bin Tumin Pegawai Dari
Jabatan Muzium Antikuiti.
MAKSUD NAMA JALUR GEMILANG
JALUR - menggambarkan Bendera Malaysia yang mempunyai 14 jalur merah dan putih. Oleh
itu, lambang jalur pada Bendera Malaysia menggambarkan satu haluan yang lurus, hala tuju
yang sama dan arah yang sama yang dianuti oleh rakyat negara ini dari Perlis hingga ke Sabah
dalam menuju kegemilangan bangsa dan negara.
GEMILANG - bermaksud bercahaya, terang-benderang dan cemerlang. Oleh yang demikian
Bendera Malaysia Jalur Gemilang memberi pengertian bahawa jalur atau bendera itu
melambangkan kecemerlangan negara Malaysia dan rakyat Malaysia dalam mengharungi apa
bidang kehidupan sekali pun sama ada di dalam atau di luar negara. Kesungguhan, kegigihan
dan kesanggupan rakyat untuk menaikkan imej negara, sesungguhnya sentiasa mendapat
petunjuk dan pedoman yang terang lagi jelas.