The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by athirahasrul02, 2022-12-24 20:27:04

A221 SADN1033 EBOOK KUMP13

A221 SADN1033 EBOOK KUMP13

A221 SADN1033
KENEGARAAN MALAYSIA

KUMPULAN AJ

TAJUK: ISU PENGHAYATAN SEMANGAT PATRIOTISME
DALAM KALANGAN GENERASI MUDA

DISEDIAKAN UNTUK:
DR. MOHD AMMYRUL ASHRAF BIN SAIRAN

AHLI KUMPULAN NO MATRIK
1. NUR ALISSA BADIHAH BINTI AYOB 292471
2. NUR ATHIRAH BINTI MOHD ASRUL 293282
3. NUR SYAREENA BINTI RUSLAN 294524
4. NUR AMIRA SYAFIKA BINTI MARUDIN 294561
5. SITI AISYHAH BINTI MOHD ZAIN 294612
6. CORINNA THIEN SIAW YING 295309

SENARAI KANDUNGAN

PERKARA MUKA SURAT

1.0 Pengenalan 1
2-5
2.0 Isu berbangkit berkaitan permasalahan kurangnya penghayatan
semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda 5-11
3.0 Cara untuk memupuk semangat patriotisme dalam kalangan
generasi muda 11-13
4.0 Kepentingan penerapan semangat patriotisme dalam kalangan
golongan muda 13-15
5.0 Kesan sekiranya tiada penerapan semangat patriotisme dalam 15
jiwa golongan muda
6.0 Penutup 16-18
7.0 Bibliografi

1.0 Pengenalan

Secara umumnya, patriotisme didefinisikan sebagai perasaan cinta yang kuat
terhadap tanah air (Kamus Dewan 1989: 917). Perasaan ini adalah satu elemen yang
amat penting terutamanya dalam kalangan rakyat bagi sesebuah negara. Hal ini
dikatakan demikian kerana penerapan patriotisme mampu meningkatkan semangat
cinta akan negara yang lebih mendalam. Menurut Muhamad Ali Embi (2009)
menegaskan patriotisme bukanlah sekadar luahan perasaan namun menuntut kepada
penghayatan daripada setiap warganegara. Apa yang boleh ditafsirkan ialah
patriotisme meliputi keberanian dan semangat jati diri yang kukuh terhadap bangsa
mahupun negara. Semangat patriotisme dalam diri setiap individu yang mendalam
mampu membawa ke arah kemakmuran negara. Semangat patriotisme merupakan
tunjang utama dalam proses mengekalkan perpaduan dan dijadikan sebagai asas
panduan hidup rakyat dalam membangunkan negara ke arah arus pembangunan yang
berkesan. Perbezaan ideologi, agama, mahupun kaum tidak seharusnya dijadikan
sebagai suatu masalah atau halangan dalam usaha mencapai kemakmuran negara.
Semangat cinta akan negara yang tinggi dapat menghalang rakyat Malaysia daripada
bersikap prejudis terhadap kaum yang berbeza dengan mereka.

Secara umumnya, Malaysia telah mencapai era kemerdekaan selama 65
tahun daripada penjajahan. Perwira bangsa negara telah berkorban sehingga ke
titisan darah yang terakhir demi memperjuangkan tanah air tercinta. Laungan keramat
oleh Bapa Kemerdekaan iaitu Tunku Abdul Rahman membuktikan tanah Melayu telah
aman daripada kemelut dan kekejaman penjajah. Kita sebagai rakyat Malaysia
seharusnya berbangga menjadi warganegara Malaysia yang dapat hidup harmoni
sehingga kini. Semangat patriotisme dalam generasi muda pada hari ini mulai luntur
disebabkan oleh pengaruh budaya global yang menarik minat golongan muda
berbanding isu kenegaraan (Azizan Bahari et.al, 2004).

Namun begitu, fokus utama yang bakal dibincangkan secara khususnya dalam
perbincangan ini ialah isu berbangkit berkaitan permasalahan kurangnya penghayatan
semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda. Oleh itu, kita akan melihat
dengan lebih terperinci dan berfokuskan kepada intipati mengenai permasalahan yang
menyebabkan ketidakutuhan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda.
Cara untuk memupuk semangat patriotisme, kepentingan semangat patriotisme serta
kesan sekiranya tiada penerapan unsur patriotisme dalam golongan muda juga akan
diperhalusi.

1

2.0 Isu berbangkit berkaitan permasalahan kurangnya penghayatan semangat
patriotisme dalam kalangan generasi muda

Ketandusan dan kelunturan semangat patriotik belia pada masa ini telah banyak diperkatakan
atas keprihatinan yang menyentuh isu kesinambungan perjuangan generasi masa depan
(Abd. Rahim, 2004). Dalam bahagian ini, kita akan melihat dan merungkaikan beberapa isu
berbangkit yang menjadi kepada titik fokus utama iaitu faktor pendorong yang menghalang
kepada penyemaian semangat patriotisme khususnya dalam generasi muda kini.

i) Sistem persekolahan yang diamalkan serta konsep pendidikan berteraskan
kecemerlangan akademik

Masyarakat kini khususnya golongan remaja tidak disemai dengan nilai
patriotisme dalam diri mereka. Mereka tidak diberikan pendedahan secara terperinci
berkaitan erti perjuangan yang sebenar. Bagaimanakah isu ini boleh berlaku
sedemikian? Jika kita lihat dari perspektif pendidikan, sememangnya dapat dilihat
dengan nyata bahawa semangat patriotisme sukar untuk disemai kerana sistem
persekolahan yang dikategorikan mengikut kategori kaum. Sebagai contoh, sekolah
kebangsaan yang didominasi oleh kaum Melayu manakala sekolah jenis kebangsaan
Cina dan Tamil mewakili kaum tersebut. Pengkhususan sekolah ini sememangnya
menyukarkan lagi proses penyemaian semangat patriotisme sejak di usia yang muda
lagi. Pendidikan dan bahasa adalah tunjang utama dalam pembinaan konsep negara
bangsa bagi menyemai semangat patriotisme yang lebih mendalam. Bahasa Melayu
berperanan sebagai bahasa pengantar dalam sektor pendidikan dapat dilihat melalui
Akta Pendidikan 1996, Perkara 17 yang menyatakan:

“Bahasa Kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua
institusi pendidikan dalam sistem pendidikan kebangsaan yang ditubuhkan di bawah
seksyen 28 atau mana-mana institusi pendidikan lain yang dikecualikan oleh Menteri
daripada subseksyen ini” (Undang-Undang Malaysia Akta Pendidikan 1996, 1996).

Walaupun bahasa Melayu menjadi teras bahasa yang utama namun bukanlah
bahasa pengantar dalam sistem pendidikan vernakular. Penggunaan bahasa Melayu
dilihat semakin berkurangan menjadi persoalan bagaimana hendak menyemai
semangat cinta akan tanah air yang tinggi dalam golongan muda? Oleh itu, sistem
sekolah vernakular ini sentiasa menjadi ‘duri dalam daging’ untuk menyemai semangat
patriotisme yang lebih utuh dalam kalangan generasi muda. Hal ini disebabkan oleh
sekolah vernakular lebih mementingkan penggunaan bahasa ibunda masing-masing

2

sehingga menyebabkan mereka kurang menguasai bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan. Jika dari awal lagi, mereka hanya berada dalam kelompok masing-
masing, bagaimana mereka akan bergaul dan berinteraksi dengan kaum lain. Sistem
ini dilihat sebagai isu penghalang kepada perpaduan kaum yang menjejaskan
semangat patriotisme.

Menurut Anuar et al. (2015), penerapan nilai patriotisme ini penting kerana
murid di sekolah merupakan generasi yang akan mencorakkan pembangunan dan
kepimpinan negara pada masa depan. Walaupun begitu, dari sudut konsep
pendidikan, semangat patriotisme hanyalah dipelajari dalam sistem pembelajaran di
sekolah tetapi tidak diaplikasikan sepenuhnya ke dalam kehidupan seharian.
Persoalannya, mengapakah perkara sedemikian boleh berlaku dalam kalangan
masyarakat kita pada hari ni?.

Permasalahan yang berlaku ini adalah disebabkan oleh sistem pendidikan di
negara kita yang kurang memberi penekanan dalam aspek mempraktikkan semangat
patriotisme dalam kalangan pelajar. Aras kurikulum pendidikan kita lebih berfokuskan
kepada kecemerlangan akademik semata-mata. Walaupun mata pelajaran Sejarah
dan pendidikan moral diajar kepada pelajar namun ini hanyalah berteraskan kepada
sistem peperiksaan dan tidak berfokuskan secara sepenuhnya. Oleh itu, pelajar hanya
mempelajari subjek tersebut bagi membolehkan mereka cemerlang dalam standard
yang ditetapkan sahaja. Apa yang boleh ditafsirkan adalah elemen pendidikan di
negara kita berteraskan kepada kecemerlangan akademik dan kurang
menitikberatkan mengenai aspek nilai moral dan secara tidak langsung membawa
impak negatif iaitu nipisnya semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat
khususnya golongan generasi muda pada masa kini. Oleh itu, mereka tidak merasai
keperitan dan kesusahan hidup yang dilalui pada era penjajahan pada suatu ketika
dahulu. Kini, golongan muda dapat hidup aman dan harmoni berikutan oleh
perjuangan perwira terdahulu.

ii) Pengaruh medium teknologi terkini

Hampir setiap saat orang menggunakan teknologi ini dan dengan teknologi
jugalah menyebabkan kita boleh menguasai dan mengawal hampir setiap perkara di
hujung jari sahaja (A.Razak Ahmad, 2011). Dalam meniti arus globablisasi kini yang
kian mencabar, masyarakat khususnya generasi muda didedahkan dengan rangkaian
maklumat yang meluas tanpa sempadan. Mereka lebih mudah mengakses maklumat
secara pantas dengan hanya rangkaian internet sahaja. Namun begitu, penggunaan

3

teknologi maklumat yang serba canggih ini telah disalahgunakan oleh segelintir pihak
yang ingin memecahbelahkan perpaduan kaum mahupun imej martabat negara. Pihak
ini menggunakan platform media sosial bagi menyebarkan ideologi yang boleh
menyebabkan kebencian antara kaum. Informasi dalam media massa yang disalurkan
sememangnya tidak ditapis secara sepenuhnya. Permasalahan yang berlaku ialah
golongan muda yang mudah terpengaruh akan menerima maklumat dan mempercayai
sepenuhnya tanpa soal selidik terlebih dahulu. Kini, kita diperlihatkan bahawa terlalu
banyak artikel yang tersebar mengaitkan tentang isu hak dan kepentingan kaum yang
ingin dibangkitkan sehingga boleh menyebabkan perpaduan kaum terjejas. Isu ini
menjadi lebih serius apabila perkara ini melibatkan sensitiviti sentimen perkauman.
Penggunaan media sosial yang didominasi oleh generasi muda lebih mementingkan
apa yang dilihat tanpa memastikan kesahihan sesuatu berita itu. Hal ini sememangnya
membawa kepada permasalahan dalam memupuk jati diri dan semangat patriotisme
dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum khususnya golongan muda.

Kemajuan teknologi ini juga telah membawa kepada perubahan hidup
masyarakat yang terarah kepada sifat materialistik iaitu lebih mementingkan
kebendaan dan ini juga dikaitkan dengan budaya hedonisme. Para hedonis bersikap
mementingkan diri sendiri serta bersifat individualistik dan materialistik (Abdul Ghafar
dan Zaleha Ali, 2008). Permasalahan ini menjadi lebih serius apabila golongan muda
mengutamakan harta dan kekayaan dalam hidup sehingga menyebabkan aspek nilai
perpaduan dan penghayatan semangat patriotisme kurang dititikberatkan lantaran
mengakibatkan nilai tanggungjawab kepada negara dipinggirkan.

iii) Pengaruh budaya luar yang berleluasa

Secara umumnya, kita telah meniti usia kemerdekaan selama 65 tahun
daripada era penjajahan, akan tetapi kita telah dikuasai oleh mereka tanpa kita sedari.
Walaupun penguasaan mereka bukan dari sudut pertumpahan darah, namun apa
yang boleh dilihat secara signifikannnya adalah melalui pengaruh budaya luar yang
diterapkan. Budaya luar ini banyak mempengaruhi pemikiran golongan remaja yang
suka akan kepada arus pemodenan dan hiburan. Pengaruh yang boleh dilihat secara
jelas adalah daripada sudut berpakaian, etika pergaulan, hiburan yang sehingga boleh
membawa kepada budaya hedonisme iaitu keseronokan yang melampaui batasan.
Hedonisme didefinisikan sebagai “kepercayaan bahawa tujuan utama kehidupan
adalah untuk menikmati hidup dan kehidupan yang terbaik adalah kehidupan yang
paling menyenangkan” (Graham, 2004:39). Remaja masa kini lebih suka akan hiburan

4

seperti alunan muzik dan fesyen berpakaian yang mengikut trend semasa secara
berlebihan sehingga mereka lebih mengagung-agungkan negara luar berbanding
keutamaan negara sendiri. Hal ini membawa ke arah impak gejala sosial yang serius
dalam kalangan remaja. Bagaimana hendak mengukuhkan jati diri dan penekanan
semangat patriotisme dalam golongan muda sekiranya pengaruh asing ini
mendominasi pemikiran mereka sehingga mengabaikan penghayatan unsur
patriotisme dalam diri? Penekanan terhadap identiti semangat patriotisme tidak lagi
diendahkan dan semakin pudar berikutan oleh pengaruh luar tersebut.

Melalui hasil temu bual, Puan Salina berpendapat bahawa segelintir golongan
muda terpengaruh dengan unsur hiburan melalui filem mahupun drama dari negara
luar. Mereka boleh menonton filem atau drama dari negara luar akan tetapi sekiranya
lebih mengagungkan atau menjurus ke arah budaya hedonisme maka ianya akan
memberi pengaruh yang buruk kepada generasi muda.

3.0 Cara untuk memupuk semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda

Setiap individu perlu berbangga dengan negara masing-masing walaupun negara kita
tidak semegah negara maju yang lain. “Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri
sendiri” , itulah pepatah yang boleh dikaitkan dengan situasi ini kerana walaupun negara lain
lebih maju daripada kita, tetapi negara sendiri adalah yang terbaik. Sebagai rakyat Malaysia,
kita perlu bersyukur dan mengingati jasa tokoh dan wira pejuang yang sanggup berkorban
hingga ke titisan darah yang terakhir demi memperjuangkan kemerdekaan tanah air yang
tercinta. Masyarakat di Malaysia juga perlu bangga bahawa kita adalah negara yang
mempunyai pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India serta bumiputera. Kita sewajarnya
bersatu padu dalam membina negara yang aman dan harmoni tanpa menyentuh hal sentimen
agama dan budaya dengan menghormati agama, budaya, dan adat resam masing-masing.
Semua pihak perlu berganding bahu dalam memupuk semangat patriotisme yang lebih
mendalam dalam kalangan golongan muda.

i) Inisiatif pendekatan dalam kalangan pelajar

Antara inisiatif yang boleh diambil adalah melalui pendekatan dalam kalangan
pelajar. Mereka perlu dipupuk tentang perasaan cinta akan negara sejak di awal
bangku persekolahan lagi terutamanya dalam sistem pembelajaran prasekolah dan
sekolah rendah. Hal ini dikatakan demikian kerana pendedahan yang lebih awal
kepada pelajar berkaitan tokoh terdahulu mampu menerapkan semangat cinta akan

5

negara yang lebih tinggi. Mereka juga akan lebih menghargai tanah air mereka
berbanding negara-negara lain.

Pemupukan patriotisme di sekolah dilaksanakan secara penerapan
melalui pendekatan menyeluruh kurikulum, kokurikulum dan aktiviti sekolah yang
lain (Maharom, 2001). Menurut Ayuni Husin dan Amir Hasan (2019), peranan guru
ialah sebagai contoh hidup kepada pelajar dengan menonjolkan sikap positif serta
menunjukkan semangat yang tinggi dalam menerapkan nilai perpaduan. Warga
pendidik memainkan peranan yang penting untuk menyemai semangat patriotik dalam
jiwa anak murid mereka dengan memupuk semangat patriotisme melalui sistem
pembelajaran yang dipelajari di sekolah seperti Sejarah dan Pendidikan Moral.
Kepelbagaian kaedah pengajaran dalam mengajar mata pelajaran Sejarah seperti
menggunakan sumber sejarah dan menimba ilmu yang mendalam dapat menarik
minat pelajar terhadap mata pelajaran tersebut (Kaviza, 2018). Pihak Kementerian
Pelajaran menegaskan penerapan nilai-nilai murni termasuklah nilai patriotisme boleh
dilakukan melalui pelbagai cara dan tidak mengkhusus dalam mata pelajaran Sejarah
sahaja:

‘….nilai-nilai murni akan disisipkan melalui semua mata pelajaran dan
diperkukuhkan pula melalui kegiatan-kegiatan kokurikulum dan pembentukan budaya
sekolah yang positif.’

(Wan Mohd. Zahid Mohd Nordin, 1994, hal.137)

Melalui hasi temu bual yang dijalankan, Puan Salina menyatakan pendekatan
yang boleh dilakukan adalah melalui nyanyian lagu Negaraku semasa perhimpunan
dan semarakkan sambutan Hari Kemerdekaan juga mampu meyumbang kepada
pemupukan semangat cinta akan negara khususnya dalam kalangan pelajar. Sebagai
contoh, mengadakan pertandingan busana kemerdekaan, mendeklamasikan sajak
serta dekorasi kelas bertemakan hari kemerdekaan. Hal ini secara tidak langsung
dapat menerapkan semangat cinta akan negara dalam diri pelajar serta dapat
melahirkan masyarakat yang sentiasa cinta akan negara dan tidak melakukan
perbuatan yang dapat mencemarkan nama negara demi menjaga nama baik negara.

6

Gambar 1: Pertandingan busana Gambar 2: Dekorasi kelas hari
kemerdekaan kemerdekaan

ii) Usaha ibu bapa membentuk semangat patriotisme dalam kalangan anak-anak

Ibu bapa merupakan orang yang memainkan peranan penting dalam
pembentukan peribadi anak-anak (Halimah dan Kamariah, 1993). Oleh itu, ibu bapa
juga berperanan untuk memupuk semangat patriotisme dalam diri anak-anak mereka.
Hal ini dikatakan demikian kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Anak-anak
akan mencontohi sikap ibu bapa mereka yang mereka lihat dan dengar sejak kecil lagi.
Oleh itu, ibu bapa perlu menjadi ‘role model’ atau memberi contoh teladan yang terbaik
untuk anak-anak . Sebagai contohnya, ibu bapa menceritakan mengenai sejarah
negara atau perkembangan negara supaya anak-anak lebih prihatin dan mengambil
berat tentang negara. Namun begitu, pada zaman sekarang ibu bapa terlalu sibuk
bekerja sehingga tiada masa untuk diluangkan bersama anak-anak untuk
menceritakan tentang negara. Tidak dinafikan juga terdapat segelintir ibu bapa yang
memandang enteng dengan perkara ini dan berharap anak-anak mereka belajar
perkara ini di sekolah masing-masing . Sikap segelintir ibu bapa ini juga telah
menyebabkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat terutaman generasi
Z ini menjadi lebih sukar. Mereka memandang ringan tentang perkara ini kerana
menganggap bahawa perkara ini tidak penting untuk mereka amalkan. Tambahan
pula, kewujudan media sosial membuatkan masing-masing lebih memilih untuk
melayari media sosial berbanding berbual dan meluangkan masa bersama-sama
keluarga. Oleh itu, ibu bapa memainkan peranan penting untuk memupuk semangat
patriotisme dalam diri anak-anak supaya mereka lebih menghargai dan mencintai
negara.

7

iii) Pendekatan kerajaan bagi mewujudkan suasana semangat patriotisme

Di samping itu, kerajaan juga perlu memainkan peranan yang penting untuk
memupuk semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda. Menurut Faridah
Taib dan Nuraidah Ali (1995), kelompok remaja yang akan meneruskan
kesinambungan agenda pembangunan negara dengan mengambil alih kepemimpinan
masa akan datang dan menjadi tenaga penggerak dalam pelbagai aktiviti seiring
dengan arus pembangunan negara. Kerajaan merupakan tonggak utama dalam
masyarakat. Kerajaan perlu mengadakan kempen memupuk semangat patriotisme
secara besar – besaran supaya golongan muda atau belia lebih tertarik untuk
menyertai kempen tersebut. Pelbagai aktiviti yang menarik sepanjang kempen
tersebut seperti cabutan bertuah juga boleh dijalankan bagi menarik minat
masyarakat. Hal ini dikatakan demikian kerana kempen atau program yang biasa
kurang mendapat sambutan kerana mereka akan berasa bosan untuk menyertai. Oleh
itu, jika terdapat kelainan pada kempen yang diadakan, golongan ini akan lebih
berminat untuk turut serta dalam program yang dianjurkan. Program yang berkaitan
dengan semangat patriotisme ini dapat memberikan kesedaran betapa pentingnya
semangat patriotik dalam kalangan golongan muda. Perkara ini juga secara tidak
langsung dapat mengeratkan lagi hubungan antara para golongan muda atau belia
kerana mereka akan bergaul sesama sendiri sepanjang kempen itu berlangsung tanpa
mengira bangsa, agama, dan warna kulit. Bukan itu sahaja, mereka juga dapat
mencipta kenalan baharu dan mengenali antara satu sama lain.

Melalui hasil tinjauan temu bual, Puan Salina menyatakan bahawa kerajaan
menuju ke arah kerajaan perpaduan. Golongan masyarakat khususnya golongan belia
kini benci akan rasuah. Oleh itu, agensi kerajaan perlu membanteras gejala rasuah
bagi membentuk jati diri yang baik. Sebagai contoh, mengamalkan budaya kerja yang
beretika, berintegriti dan bertanggungjawab dalam bidang tugas. Kesannya, jati diri ini
membolehkan tadbir urus baik diterapkan dalam agensi kerajaan mahupun swasta.
Hal ini akan menunjukkan contoh teladan yang baik kepada generasi muda khususnya
dan secara tidak langsung akan meningkatkan semangat cinta akan negara dengan
lebih baik.

iv) Alternatif pihak media massa dalam menyemai semangat patriotisme

Seterusnya, media massa sememangnya memainkan peranan penting untuk
meningkatkan semangat cinta akan negara menerusi medium internet. Menurut
Holilah (2016), media sememangnya mempunyai peranan sebagai alat bagi

8

penyebaran informasi dalam kalangan masyarakat. Maklumat yang disalurkan melalui
media massa seperti televisyen, internet, dan radio dapat menggalakkan lagi generasi
muda dan belia untuk mengambil tahu tentang kempen ini. Hal ini disebabkan oleh
masyarakat sekarang lebih terdedah dengan peranti elektronik seperti telefon bimbit.
Telefon bimbit telah menjadi salah satu medium yang penting kepada semua orang
kerana telefon bimbit mempunyai kemudahan untuk mengakses internet untuk
mendapatkan maklumat yang terkini dengan lebih cepat dan mudah.

Sementara itu, pihak yang bertanggungjawab juga boleh mengadakan kempen
patriotik ini melalui televisyen dengan menyiarkan cerita atau filem yang berkaitan
dengan semangat cinta akan tanah air serta perjuangan tokoh terdahulu seperti filem
Bukit Kepong dan filem yang baru sahaja ditayangkan di pawagam baru-baru ini yang
telah menjadi fenomena dalam kalangan golongan muda iaitu filem Mat Kilau yang
diterbitkan oleh Syamsul Yusof. Melalui tayangan filem ini di pawagam, kita boleh
melihat semangat cinta akan negara dan semangat kepahlawanan dalam kalangan
masyarakat generasi muda di Malaysia. Hal ini kerana terdapat segelintir daripada
mereka yang berpakaian tradisional melayu untuk pergi menonton filem tersebut.
Sudah terang lagi bersuluh, sekiranya pihak yang bertanggungjawab memainkan
peranan masing – masing, sudah tentu usaha untuk memupuk semangat patriostisme
dalam kalangan belia akan menjadi lebih mudah.

Hasil temu bual mendapati bahawa tidak dapat dinafikan sememangnya media
sosial ini juga memberi manfaat kepada generasi muda. Disebabkan oleh golongan
muda kini lebih efektif dengan media sosial, peranan media massa dilihat dengan jelas
apabila mereka boleh menyediakan platform yang bermanfaat. Sebelum era teknologi
berkembang maju, generasi muda terdahulu menunjukkan semangat patriotisme
dengan melibatkan diri ke perarakan kemerdekaan di stadium. Namun dengan adanya
kemajuan teknologi oleh media massa, golongan muda tidak perlu lagi ke stadium bagi
menunjukkan semangat patriotisme serta melihat kemeriahan sambutan
kemerdekaan kerana mereka boleh melihat secara langsung melalui platform aplikasi
Facebook, Instagram mahupun TikTok bagi menyemai semangat patriotisme.

v) Inisiatif golongan muda dan belia menyemarakkan lagi semangat patriotisme

Menurut Abdul Aziz et.al, (2019), menjelaskan bahawa golongan belia
diklasifikasikan sebagai pewaris masa depan negara dan perlu mempunyai
pengetahuan serta kesedaran yang tinggi terhadap patriotisme. Oleh itu, peranan
golongan muda itu sendiri untuk meningkatkan lagi semangat patriotisme dalam diri

9

masing-masing adalah dengan melawat ke tempat yang bersejarah yang ada di
Malaysia ini. Sebagai contoh, Kota A Famosa di Melaka yang terkenal sebagai bandar
raya bersejarah. Kita boleh melawat pelbagai tempat bersejarah yang terdapat di
negeri Melaka. Dengan bertindak sedemikian, kita dapat meningkatkan lagi ilmu
tentang cerita terdahulu yang dipaparkan di tempat yang kita lawati tersebut. Bukan
itu sahaja, kita juga akan lebih menghargai negara kita dan mencintai negara kita. Kita
juga boleh pergi melawat ke tempat bersejarah tersebut bersama-sama rakan atau
keluarga. Tempat bersejarah ini bukan sahaja terdapat di Melaka malahan terdapat
juga di negeri lain seperti di Perak iaitu Komplek Sejarah Pasir Salak, Istana Seri
Menanti di Negeri Sembilan, Candi Lembah Bujang di Kedah, Kota Belanda, Pulau
Pangkor di Perak, Muzium Perang di Pulau Pinang dan lain-lain lagi . Tidak dinafikan
bahawa dengan melihat tempat bersejarah melaui internet sahaja dapat membuatkan
kita berasa terharu dengan maklumat yang ditulis apatah lagi jika kita pergi melawat
tempat tersebut dan melihat di depan mata. Sudah tentu kita akan lebih terharu dan
menghayati kisah terdahulu dan seterusnya dapat menyuntik semangat patriotisme
dalam diri masing-masing.

Menurut temu bual yang dilakukan, Puan Salina berpendapat bahawa generasi
muda terutamanya golongan belia kini menunjukkan semangat patriotisme mereka
dalam bidang sukan. Sebagai contoh, mereka memberi sokongan padu kepada
pasukan negara kita khususnya melalui sukan bola sepak. Kita boleh melihat secara
jelas, apabila adanya perlawanan yang melibatkan pasukan Malaysia dengan negara
lain, mereka inilah yang akan memeriahkan stadium perlawanan dengan sokongan
meriah dan padu. Selain itu, beliau juga menyatakan pandangannya melalui
pelaksanaan umur kelayakan pengundi 18 tahun. Kelayakan pengundi pada umur
tersebut telah memperlihatkan bahawa anggaran 40 hingga 50 peratus daripada
jumlah pengundi yang keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum Malaysia (PRU 15)
ialah terdiri daripada golongan belia. Oleh itu, kita dapat melihat peranan golongan
muda secara nyata untuk menyemai patriotisme dalam diri mereka melalui pemilihan
kepimpinan politik yang menerajui pentadbiran negara.

10

Gambar 3: Sokongan padu belia dalam Gambar 4: Kelayakan umur pengundi
bidang sukan 18 tahun

Secara tuntasnya, semua pihak bertanggungjawab dalam memainkan peranan
masing-masing untuk meningkatkan semangat cinta akan negara dan tanah air dalam diri
generasi muda. Dengan itu, golongan ini akan lebih rasional untuk hidup bersatu padu, saling
membantu, dan hormat – menghormati antara satu sama lain. Semangat patriotisme juga
penting untuk melahirkan warganegara yang cinta akan negara dan sanggup berkorban demi
tanah air yang tercinta. Masyarakat yang memiliki semangat patriotisme yang tinggi tidak akan
membiarkan negara mereka dijajah atau mundur malah mereka akan berusaha untuk
memajukan diri dan negara untuk mencapai negara yang stabil dan maju dalam semua bidang
dan kita boleh bersaing dengan negara maju yang lain. Usaha ini tidak akan sia – sia seperti
mencurah air ke daun keladi kerana masyarakat yang lebih berkualiti dan sanggup berkorban
demi negara dapat dilahirkan dalam kalangan generasi muda khususnya kerana semangat
patriotisme telah membara dalam jiwa mereka.

4.0 Kepentingan penerapan semangat patriotisme dalam kalangan golongan muda

i) Peningkatan jati diri yang kukuh dalam diri individu

Menurut Sabariah Shafiee (2013), beliau mentakrifkan jati diri sebagai sifat, ciri
atau nilai-nilai murni peribadi yang kekal dan stabil, tidak akan berubah atau payah
untuk berubah. Kepentingan semangat patriotisme yang disemaikan dalam generasi
muda ialah dapat meningkatkan jati diri seseorang dan semangat untuk
mempertahankan negara dan berbakti pada negara. Masyarakat yang cinta akan
tanah air tidak akan melakukan gejala jenayah atau terjerumus dalam kegiatan negatif.
Sebagai contoh, merokok, menghisap dadah, merompak dan sebagainya. Sebaliknya,
mereka akan mempunyai jati diri yang kukuh dan dapat menunjukkan potensi

11

kecemerlangan diri demi negara tercinta. Mereka akan menguruskan masa mereka
dengan melakukan perkara yang berfaedah.

ii) Menjamin keharmonian perpaduan kaum dalam kalangan generasi muda

Menurut Setiyawan Gunardi dan Siti Hajar (2019), mekanisme dalam
kehidupan ini memerlukan konsep harmoni yang boleh memberi kebaikan dan
keselesaan hidup dengan kepelbagaian agama, bangsa dan negara. Sehubungan itu,
semangat patriotisme amat penting untuk menjamin perpaduan kaum dan
keharmonian negara. Masyarakat muda yang mempunyai semangat patriotisme akan
saling bekerjasama dan bertolerensi antara satu sama lain untuk menjamin keamanan
negara. Semangat yang diterapkan dalam diri membolehkan golongan belia ini
menolak unsur fahaman ataupun anasir negatif yang boleh menyebabkan unsur
perpaduan berpecah-belah. Seperti mana yang kita tahu, Malaysia merupakan negara
majmuk yang terdiri daripada pelbagai etnik dan budaya seperti kaum Melayu, India,
Cina, Orang Asli dan bumiputera yang berada di Sabah dan Sarawak. Seseorang
individu tidak dapat berdiri dengan sendiri malah saling memerlukan antara satu sama
lain persis kata mutiara mengatakan muafakat membawa berkat. Oleh itu, semangat
ini sememangnya mampu menggabungkan masyarakat majmuk generasi muda ke
arah pembentukan negara bangsa yang harmoni.

iii) Peningkatan arus pembangunan negara

Jika ditinjau daripada aspek ekonomi, semangat patriotisme mampu menjadi
pemangkin kepada tingkat aras kemajuan pembangunan negara. Penerapan
semangat ini dalam diri generasi muda secara tidak langsung menjadikan mereka
lebih progresif mempertingkatkan kemajuan diri bagi menyumbang kepada sektor
pembangunan negara. Semangat patriotisme menjadikan negara lebih aman dan
secara tidak langsung ini mampu menyakinkan potensi pelabur yang tinggi dalam
membentuk prospek pasaran di Malaysia. Hal ini berikutan oleh, keadaan negara yang
bebas daripada segala bentuk ancaman ataupun ekstrimis keganasan.

Pelabur sememangnya akan mencari potensi pasaran yang stabil bagi
mengembangkan peluang perniagaan. Keadaan ini secara tidak langsung
membolehkan penjanaan sektor ekonomi negara yang lebih konsisten dan positif pada
masa hadapan melalui pelaburan langsung asing. Menurut Li dan Liu (2005),
pelaburan langsung asing ini menjadi peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi

12

serta pembangunan negara. Pembukaan sektor dan industri perniagaan di Malaysia
akan menjana lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan yang lebih
tertumpu khususnya kepada golongan belia. Peluang pekerjaan yang dibuka
menyumbang kepada peningkatan taraf hidup rakyat generasi belia yang
membolehkan kuasa beli meningkat. Oleh itu, negara akan lebih produktif disebabkan
oleh semangat patriotisme yang baik dalam kalangan generasi muda yang membawa
kepada kemajuan pembangunan sektor ekonomi.

iv) Mengekalkan semangat juang yang tinggi

Kepentingan lain yang kita boleh lihat adalah dari sudut dapat mengekalkan
semangat juang yang tinggi. Hal ini berikutan oleh semangat yang tinggi mampu
menghalang golongan muda daripada terpengaruh dengan anasir luar dan daripada
bersikap prejudis. Perasaan ini melahirkan masyarakat beradab yang bersedia
menempuh segala cabaran dan ancaman di era ini (Abdullah, 2009). Mereka akan
lebih menumpukan kepada inisiatif untuk membangunkan negara ke arah kejayaan
yang progresif pada masa hadapan. Sebagai contoh, mempertingkatkan daya usaha
dalam membangunkan arena politik, mengembangkan sektor ekonomi negara serta
menjaga kebajikan sosial. Semangat juang golongan muda yang tinggi ini akan
menonjolkan imej Malaysia sebagai sebuah negara yang berwibawa di peringkat
seantero dunia.

5.0 Kesan sekiranya tiada penerapan semangat patriotisme dalam jiwa golongan
muda

Semangat patriotisme amat penting pada masa kini kerana kita sedang dilanda
dengan ledakan teknologi maklumat dan dunia globalisasi yang memerlukan semangat
patriotisme yang sangat tinggi. Dalam arus pembangunan teknologi ini sememangnya
memberi impak negatif yang sangat besar terutamanya kepada generasi muda yang kini lebih
berfokuskan kepada kemajuan semata-mata sehingga boleh menyebabkan semangat
patriotisme terhapus.

i) Ancaman keselamatan negara tergugat

Menurut Magill (1996) yang turut menjelaskan tentang kepentingan
perkhidmatan ketenteraan dan keselamatan dalam sesebuah negara dalam
menghadapi serangan pihak luar. Oleh itu, kesan sekiranya tiada semangat

13

patriotisme dalam generasi muda ialah boleh membawa kepada ancaman
keselamatan negara akan tergugat. Hal ini kerana, apabila keselamatan negara
tergugat, ia akan memberi peluang kepada kuasa luar untuk cuba memerintah negara
kita. Keselamatan bukan hanya dilihat dari sudut pertahanan benteng negara daripada
serangan ketenteraan tetapi ia juga termasuk dengan isu ekonomi dan juga isu yang
merentasi sempadan. Pertahanan negara akan mudah dibolosi kerana tiada sistem
pertahanan yang kukuh daripada ketenteraan negara. Hal ini berikutan oleh generasi
muda yang yang tidak mempunyai semangat patriotisme yang tinggi dalam diri mereka
kerana lebih mementingkan kehidupan peribadi semata-mata. Mereka tidak
berkeinginan untuk turut serta dalam barisan hadapan pertahanan negara seperti polis
dan tentera. Oleh itu, negara kehilangan permata perwira yang berharga untuk
menjaga keselamatan negara.

ii) Tercetusnya ketidakharmonian dan rusuhan

Selain itu, kesan yang akan berlaku sekiranya tiada semangat patriotisme
dalam diri generasi muda ialah membawa kepada tercetusnya pergaduhan atau
rusuhan yang berkait dengan protes politik. Hal ini disebabkan kerana golongan muda
atau belia mementingkan diri sendiri dan tidak suka kepada pemerintahan politik sedia
ada sehingga menyebabkan tiada konsep tolak ansur yang akan membuatkan
golongan ini hidup berpecah belah dan tidak sefahaman. Menurut Marsh dan Kaase
(1979:59), protes politik boleh ditafsirkan sebagai satu cara politik yang menindas
dengan menggunakan kaedah seperti petisyen, demonstrasi, boikot, mogok, rusuhan
atau keganasan. Rusuhan membawa ke arah ketidakstabilan politik yang akan
memudahkan campur tangan kuasa luar menghasut golongan muda kerana mereka
tidak lagi sependapat. Apabila minda generasi muda dipengaruhi, secara tidak
langsung ini akan memberi peluang yang mudah kepada kuasa luar untuk mengambil
kesempatan dalam menerajui jentera pentadbiran negara. Apabila negara telah
dijajah, ini akan menyukarkan proses untuk mengekalkan pemerintahan sendiri dan
tidak mempunyai kebebasan untuk menentukan hala tuju negara mengikut acuan
sendiri sehingga menyebabkan identiti dan kedaulatan negara tergugat. Tambahan
lagi, generasi muda yang merupakan pemimpin masa hadapan tidak dapat melindungi
hak dan maruah mereka apabila negara telah dijajah oleh kuasa asing. Hasil ekonomi
negara akan lebih mudah dieksploitasi yang menyebabkan kepada perubahan
monopoli kuasa besar. Kesan daripada itu akan menyebabkan persengketaan hidup
golongan muda iaitu kehidupan menjadi mundur.

14

iii) Minda generasi muda mudah dipengaruhi dengan anasir luar

Kesan lain ialah akan menyebabkan rakyat lebih senang untuk dipengaruhi
dan dipecahbelahkan oleh kuasa asing. Hal ini kerana, apabila tiadanya semangat
patriotisme dalam diri golongan muda menyebabkan mereka lebih cenderung untuk
melakukan aktiviti yang tidak berfaedah seperti terlibat dalam budaya hedonisme iaitu
masyarakat yang mementingkan kepada hiburan dan keseronokan kerana jiwa
mereka telah kosong daripada sifat rasa cinta akan negara, bangsa dan agama.
Mereka mudah terpengaruh disebabkan oleh arus globalisasi yang kian meluas dan
berteraskan kepada kemodenan. Menurut Osman Bakar (2003), globalisasi bukanlah
fenomena baru, ianya pernah berlaku di dalam sejarah manusia sejagat. Unsur
hiburan ini mendatangkan kesan sehingga menyebabkan mereka tidak mengambil
tahu tentang isu negara. Hal ini menyebabkan hubungan antara generasi muda dan
pemerintah berpecah belah disebabkan tiada kesefahaman sesama mereka dan
timbul sifat mementingkan diri sendiri. Oleh itu, perpaduan dalam kalangan generasi
muda atau belia menjadi semakin luntur.

Tuntasnya, semangat patriotisme memainkan peranan yang penting dalam setiap
generasi muda bagi mengekalkan kemerdekaan yang telah kita capai selama ini. Kejayaan
yang dicapai pada hari ini bukanlah bergantung kepada individu semata-mata tetapi ia juga
merangkumi semua aspek. Dengan adanya semangat patriotisme dalam diri golongan belia,
negara kita tidak akan mudah dijajah oleh negara asing dan kita perlulah mempertahankan
negara kita supaya maruah negara kita tidak akan jatuh kepada orang yang tidak
bertanggungjawab. Oleh itu, masyarakat khususnya generasi muda perlulah memainkan
peranan yang penting supaya semangat patriotisme dapat disuburkan dalam diri mereka.

6.0 Penutup

Konklusinya, unsur semangat patriotisme amat penting dalam kalangan golongan
muda bagi mencorak kestabilan dan keharmonian sesebuah negara. Apa yang paling penting
ialah semangat cinta negara inilah yang akan bakal melahirkan warganegara yang berguna
untuk bangsa, agama dan negara. Tahap cinta akan negara merupakan suatu unsur yang
amat penting bagi mempengaruhi pembangunan negara. Oleh itu, semua pihak perlulah
berganding bahu untuk memupuk semangat patriotisme dalam kalangan setiap rakyat
khususnya dalam kalangan generasi muda supaya dapat melahirkan modal insan yang
berkaliber dan pemimpin yang berwibawa untuk masa yang akan datang. Generasi muda
adalah antara individu yang bakal mencorakkan masa depan negara ke arah pembangunan
yang harmoni.

15

7.0 Bibliografi

A.Razak Ahmad.(2011). Kepentingan Kemajuan Teknologi Maklumat dan Komunikasi .

Abd Rahim Abd Rashid (2004). Patriotisme: Agenda Pembinaan Bangsa. Kuala Lumpur.
Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.

Abdul Aziz Abdul Rahman, Abdul Razaq Ahmad & Mohd Mahzan Awang. (2019). Patriotism
among multi-ethnic youths in Malaysia. Proceeding: The 2nd International
Conference on Sustainable Development and Multi-Ethnic Society (vol. 2, pp. 1-5).
Red White Press.

Abdul Ghafar Don & Zaleha Mohd Ali.(2008) Dakwah dan Cabaran De-Islamisasi di
Malaysia. Selangor: Karisma Publications Sdn. Bhd.

Abdullah, Shagul Hamid. (2009). Patriotisme Kemandirian Kita. Dlm Abdul Rahman Abdul
Aziz (Ed.), Patriotisme Kemandirian Kita (Pertama., Hlm. 47– 60). Kedah: Institut
Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad Universiti Utara Malaysia

Anuar Ahmad (24 Jun 2020), Apa itu sekolah vernakular? Sejarahnya… (Bahagian 1)
https://www.edisi9.com.my/2020/06/apa-itu-sekolah-vernakular-sejarah-bahagian-1/

Anuar Ahmad, Ling, Peter Huo Hang, Nur Atiqah Tang Abdullah (2015). Pengetahuan nilai
patriotisme pelajar berdasarkan pembelajaran subjek Sejarah. Malaysian Journal of
Youth Studies, 13, 95-116.

Azizan Bahari, Abdul Rahman Aziz & Azimi Hamzah. 2004. Generasi Muda Menangani
Cabaran. Alor Star: Yayasan Dr. Rodzi

Berita Harian, 5 Mac 2021. Patriotisme tunjang perpaduan masyarakat
https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2021/03/792867/patriotisme-tunjang-
perpaduan-masyarakat

Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri. 18 September 2014. Semangat patriotisme perlu

dijiwai, bukan sekadar simbolik. Berita harian

https://www.bharian.com.my/kolumnis/2014/09/6611/semangat-patriotisme-perlu-

dijiwai-bukan-sekadar-simbolik

Embi, Muhamad Ali. (2009). Patriotisme dan Kepercayaan Rakyat di Malaysia (Pertama).
Kuala Lumpur: Utusan Publication.

Faridah Taib dan Nuraidah Ali. 1995. Keluarga Bahagia. Petaling Jaya: Penerbitan Pinang.

Graham, G. (2004). Eight theories of ethics. London: Routledge

16

Halimah Ab.Rahman dan Kamariah Ibrahim. (1993). Pengurusan dan Pengelolaan Pusat
Pra Sekolah. Kuala Lumpur: Fajar Bakti.

Holilah, I. (2016). Dampak media terhadap perilaku masyarakat. Jurnal Studi Gender dan
Anak, 3(1), 103-114.

Kamus Dewan. 1989. Ed. Ke-4. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kaviza, M. (2018). Sources–Peer Instruction: Kaedah untuk Meningkatkan Pencapaian

Pemahaman Sejarah dalam Kalangan Murid Berpencapaian Rendah. Asian Education
Action Research Journal (AEARJ), 7, 1-10.

Ku Hasnan Ku Halim. 31 Ogos 2020. Patriotisme bukan sekadar semangat. Sinar Harian
https://www.sinarharian.com.my/article/99031/khas/pendapat/patriotisme-bukan-
sekadar-semangat

Li, X. & Liu, X. 2005. Foreign direct investment and economic growth: an increasingly
endogenous relationship. World development 33(3): 393-407.

Magill, F. N. (ed.). 1996. International Encyclopedia of Sociology. Vol 2. London: Salem
Press Inc.

Maharom Mahmood. (2001). Kurikulem Sejarah Ke Arah Memperkukuhkan Usaha
Pemupukan Semangat Patriotik Di Kalangan Murid: Kertas Kerja 2 Persidangan
Kebangsaan: Pendekatan Sejarah Ke Arah Pembentukan Warganegara Patriotik.
Pusat Perkembangan Kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia dan Persatuan
Sejarah Malaysia.

Marsh, A. and M. Kaase. (1979). Measuring political action. In political action. mass
participation in five Western democracies, eds. S. H. Barnes, M. Kaase, K. L.
Allerbeck, B. G. Farah, F. Heunks, R. Inglehart, M. K. Jennings, H. D. Klingemann, A.
Marsh and L. Rosenmayr. London: Sage Publications.

Nur Ayuni Nusaibah Husin, & Amir Hasan Dawi. (2019). Peranan Sekolah Dalam
Pembentukan Perpaduan Antara Kaum Dalam Kalangan Pelajar. Jurnal Pendidkan
Bitara UPSI, 12, 18-28.

Osman Bakar (2003), Globalisasi Dan Peradaban , Dalam A. Aziz Deraman, Globalisasi
Dalam Peradaban Di Malaysia, Kuala Lumpur: DBP, h. 33- 38

Sabaryah @ Sabariah Binti Shafiee (2013). Bahasa & Jati Diri: Pembentukan Jati Diri
Bangsa Malaysia Melalui Bahasa Melayu.

17

Setiyawan Gunardi & Siti Hajar binti Abdul Halim. (2019). Maqasid syariah: Prinsip dan
pelaksanaan dalam bermuamalat antara Muslim dan bukan Muslim. EProsiding
Diskusi Syariah dan Undang-undang. Seri 1 2019, 11-24.

18


Click to View FlipBook Version