The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by Faisal Mat Lazim, 2020-06-16 11:03:22

RUMUSAN KEMALANGAN

RUMUSAN KEMALANGAN

Rumusan 1: Rumusan
[30 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang langkah-
langkah meningkatkan keselamatan jalan raya dan kesan-kesan kemalangan
jalan raya kepada negara. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120
patah perkataan.

Secara umumnya, terdapat pelbagai punca yang menyebabkan kemalangan
jalan raya berlaku pada masa ini. Faktor yang utama ialah kecuaian manusia itu
sendiri. Sikap yang terlalu memandang ringan isu keselamatan diri mengakibatkan
kemalangan jalan raya. Selain itu, keganasan jalan raya juga sering menyebabkan
kemalangan. Sebagai contoh, pada 9 April 2003 di Gelang Patah seorang pemuda
telah diserang dengan pisau seni lukis kerana beliau nyaris melanggar orang yang
berkenaan. Pemandu yang memandu secara terburu-buru kerana mempunyai sikap
ingin menunjuk-nunjuk kehebatan memandu juga menjadi punca berlakunya
kemalangan.

Oleh itu, semua pihak perlulah meningkatkan keselamatan jalan raya di
negara kita. Terdapat beberapa cara yang efektif untuk meningkatkan keselamatan
jalan raya. Keselamatan jalan raya boleh ditingkatkan dengan pihak kerajaan
memasang lebih banyak kamera pengesan had laju di jalan yang sering berlakunya
kemalangan. Dengan cara ini, para pemandu di Malaysia akan lebih berhati-hati di
jalan raya. Dalam pada itu, pengguna jalan raya perlulah mematuhi had laju yang
telah ditetapkan di sesuatu kawasan itu. Hal ini penting bagi memastikan
keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain terjamin. Selain itu, para
pengguna jalan raya perlulah memastikan kenderaan mereka dapat berfungsi dan
berada dalam keadaan yang baik sebelum memulakan perjalanan. Sebagai contoh,
mereka perlu memastikan lampu kenderaan berfungsi agar tidak berlaku sebarang
masalah semasa dalam perjalanan. Langkah yang mudah dipraktikkan ini dapat
menjamin keselamatan pengguna, bak kata peribahasa Melayu, sediakan payung
sebelum hujan.

Seterusnya, Jabatan Kerja Raya (JKR) perlulah membuat lebih banyak
rondaan di semua jalan untuk mengenal pasti jalan yang mengalami kerosakan dan
kawasan yang berisiko tinggi. Dengan berbuat demikian, jalan yang rosak dapat
dibaiki dengan kadar segera sekali gus dapat mempertingkatkan keselamatan jalan
raya serta mengurangkan risiko kemalangan. JKR juga perlu meletakkan lebih
banyak papan tanda khas di kawasan berbahaya, seperti gaung dan curam. Hal ini
penting memastikan pengguna sedar tentang peringatan yang diberi.

Para pengguna juga perlu memandu di jalan raya secara berhemah dan
mengelakkan memandu dengan tergesa-gesa. Sesungguhnya keselamatan ketika
berada di atas jalan raya tidak boleh sama sekali diambil ringan kerana perkara ini
melibatkan nyawa. Jangan bersikap sudah terhantuk baru tengadah. Kemalangan
jalan raya boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Walau
bagaimanapun, kemalangan jalan raya boleh dielakkan dengan wujudnya kerjasama
daripada pelbagai pihak ibarat aur dengan tebing. Setiap pihak bertanggungjawab
melaksanakan usaha-usaha tersebut dengan bersungguh-sungguh.

Dipetik dan diubahsuaikan daripada
‘Lebuh Raya Berdarah, Bagaimanakah Mengatasinya’

oleh Nur Dinie Md Isa, Dewan Siswa, Mei 2015


Click to View FlipBook Version