DARAH YANG TETAP MENGALIR Karya: Khairul Hisham
Sinopsis
Cerpen Darah Yang Tetap Mengalir mengisahkan kehidupan dua orang beradik, iaitu Amar dan Aizat yang sering bergaduh. Mereka berdua diamanahkan untuk menjaga Perusahaan ayah mereka iaitu sebuah kebun tanaman dan sebuah ladang penternakan. Namun, Amar gagal dalam perusahaan kebunnya manakala Aizat gagal mengusahakan ladang ternakan haiwannya. Oleh sebab ayah mereka menghidap penyakit dan perlu segera mendapatkan rawatan, Amar dan Aizat berkerjasama membangunkan perusahaan mereka supaya dapat menampung kos rawatan ayahnya yang tinggi. Berkat kerjasama mereka, kebun dan ladang berjaya diusahakan dan membuahkan hasil yang lumayan. Mereka berjaya membayar kos rawatan ayahnya. Pembedahan ayahnya berjaya dilakukan dan ayahnya kembali sihat seperti sedia kala. Hubungan antara Amar dan Aizat semakin hari semakin rapat seperti adik-beradik pada umumnya.
Mempersembahkan...
Di sebuah kampung yang dikenali sebagai Kampung Permai, terdapat sebuah keluarga yang terdiri daripada Pak Rahman dan Mak Leha berserta dua orang anak lelaki mereka, Amar dan Aizat. Walaupun merupakan adik-beradik, Amar dan Aizat mempunyai sikap dan sifat yang berbeza. Dari kecil sehinggalah dewasa, mereka sering bergaduh dan berselisih faham. Pendapat mereka terhadap sesuatu perkara sentiasa berbeza. Maka daripada itu, Pak Rahman yang hendak menyerahkan kebun dan ladangnya disebabkan kedua-dua puteranya itu telah dewasa, terpaksa memberikan kepada mereka secara berasingan. 1
Amar mendapat kebun tanaman ayahnya manakala Aizat mendapat ladang penternakan haiwan. Keputusan ini dibuat agar mereka tidak bergaduh dalam mengurus perusahaan ayahnya itu. Sejak ayahnya menyerahkan kebun dan ladang, Amar dan Aizat pun mula berkebun dan menternak haiwan. Amar menanam lobak, gandum dan ubi. Aizat pula menternak lembu, kambing dan ayam. 2
Suatu pagi yang indah, burung-burung pun berkicauan. “Cip, cip, cip” Seperti biasa, Amar dan Aizat sentiasa bersemangat memulakan aktiviti harian mereka dengan harapan bahawa kebun dan ladang yang diusahakan telah membuahkan hasil. Amar menuju ke kebun buahnya dengan riang sambil mengucapkan selamat pagi kepada tanaman-tanamannya. “Selamat pagi, tanamanku”. Namun, seketika riak wajah Amar berubah menjadi murung. Amar kecewa melihat kesemua tanamannya masih tidak mengeluarkan buah. Aizat yang melihat kejadian ini terus mentertawakan Amar. “Semangat bangun awal pagi, hasil sedikit pun tak ada. Hahaha!” , gelak Aizat. 3
Aizat meninggalkan abangnya itu dan terus menuju ke ladangnya. Setibanya di ladang tersebut, dia juga kecewa apabila melihat sekumpulan ayamnya telah mati, lembulembu dan kambing-kambingnya kelihatan kurus dan tidak sihat. Amar yang sebenarnya senyap-senyap mengekori Aizat tertawa terbahak-bahak membalas perbuatan adiknya itu. “Cakap besar. Rupanya dia pun sama. Hahahahaha!” Aizat berasa tidak puas hati. Dia menuduh Amar sebagai punca ternakannya tidak berhasil. Amar yang sangat berang kerana dituduh terus meninggikan suaranya. “Cis, berani kau menuduh aku! Jangan-jangan kaulah punca semua tanamanku tidak subur!” Mereka berdua bergaduh sambil menuduh sesama sendiri. Amar dan Aizat tidak berhenti bertekak dan berburuk sangka antara mereka sehinggalah hari petang. 4
Mereka sangat kesal pada hari itu kerana usaha mereka untuk melanjutkan perusahaan ayahnya kelihatan tidak menjadi. Namun, mereka tidak berputus asa. Dalam lubuk hati, masih ada pengharapan terhadap apa yang mereka usahakan untuk berhasil. 5
“Ring, ring, ring”. Bunyi telefon berdering yang kuat itu memecahkan keheningan malam di rumah Amar. Telefon diangkat bagi menerima panggilan daripada si pemanggil. Setelah beberapa ketika berada di atas talian, telefon yang digenggam itu mula longgar dan terlepas dari tangan Amar. Ternyata, seluruh keluarga dikejutkan dengan berita sedih apabila doktor mengesahkan bahawa ayahnya, Pak Rahman menghidap penyakit kronik, iaitu penyakit jantung. Amar cepat-cepat menghubungi adiknya, Aizat untuk memberitahu berita tersebut. 6
Keesokan paginya, Amar dan Aizat terus bergegas ke Hospital Jitra bagi melawat ayah mereka yang telah dikejarkan ke hospital semalam. Sesampainya di sana, mereka terus bertanya keberadaan ayah mereka dan terus bergegas masuk. Tiba-tiba, air mata mula membasahi pipi saat melihat ayah mereka yang dahulunya gagah kini terlantar di atas katil hospital. Melihat keadaan itu, ibu mereka Mak Leha mula sedar akan kehadiran dua anaknya yang telah lama tidak pulang ke rumah atas urusan sibuk mengusahakan kebun dan ladang yang diwariskan kepada mereka. Mak Leha yang menyedari keadaan itu menyambut kedatangan anak-anaknya sambil berkata “ayah kamu baik-baik sahaja”. Tangan ratu hati mereka itu disalam dan tubuhnya dipeluk erat sebagai tanda sokongan dan bersyukur kerana dirinya itu masih sihat walafiat. 7
Setelah beberapa minit berlalu, tiba-tiba muncul sosok tubuh yang berkot putih masuk ke dalam bilik menyertai mereka. Mereka mempersilakan kedatangan doktor yang bertanggungjawab merawat ayah mereka. Perbincangan berlaku bagi mengetahui hal sebenar yang terjadi pada Pak Rahman. Rupa-rupanya, Pak Rahman mengalami stres yang berpanjangan dan seterusnya menjurus kepada serangan jantung. RM 30,000. Jumlah kos pembiayaan rawatan penyakit yang menimpa Pak Rahman. Mendengar sahaja jumlah tersebut, seluruh keluarga mula runsing memikirkan cara bagi mengumpul sejumlah wang yang besar itu. Bebanan dan tanggungjawab itu mula terasa pada bahu Amar dan Aizat sebagai anak yang diberikan tanggungjawab untuk mengusahakan kebun dan ladang kepunyaan keluarganya dengan jayanya. Apalagi, usaha yang dijalankan sekarang tidak menunjukkan sebarang keuntungan. Bagaimana mereka hendak mencari wang untuk menampung kos ayah mereka? 8
Usai berbincang dengan doktor tersebut, Mak Leha meminta kedua-dua anaknya itu untuk keluar dari bilik rawatan dan duduk bersamanya di ruang menunggu di luar. Pada mulanya, suasana hening memenuhi ruangan tersebut, namun Mak Leha lekas bersuara, “Amar, Aizat, ada sesuatu yang ibu ingin katakan”. Bahasa tubuh Amar dan Aizat menjelaskan bahawa mereka bersedia mendengar kata-kata Mak Leha yang seterusnya. “Kamu berdua adalah tulang belakang keluarga ini. Ibu tahu, sejak dahulu lagi kamu berdua seringkali bergaduh dan berbeza pendapat. Namun, yang paling penting pada waktu sekarang ialah keluarga kita. Ayah perlukan bantuan kita, lebih dari sebelumnya.” Mak Leha berkata sambil menahan sebak di dada. 9
Amar dan Aizat yang pada mulanya diam membisu mula membuka bicara. “Maafkan kami berdua ibu, kami tidak bermaksud untuk menambah beban ibu dan ayah, kami akan cuba untuk berbaik dan tolong ayah”. Amar selaku seorang abang menunjukkan kesudiannya untuk bertanggungjawab atas keperluan keluarga mereka. Setelah Mak Leha masuk semula ke bilik rawatan itu, tinggallah Amar dan Aizat berdua di ruangan itu. Kini Aizat pula membuka bicara. “Amar, aku rasa sekarang dah tiba masa untuk kita berhenti bersaing antara satu sama lain dan mula membantu ayah. Kita harus lupakan semua yang pernah berlaku sebelum ini, kita adalah sebuah keluarga, ” jelas Aizat. “Ya benar, maafkan aku Aizat, sebagai seorang abang, aku yang sepatutnya bertanggungjawab dari dulu agar keluarga kita baik-baik sahaja. Marilah kita bersatu untuk ayah dan masa depan kita sekeluarga”. Mereka berdua mula bermaafan antara satu sama lain dan saling berpelukan. 10
Sejak daripada peristiwa itu, Amar dan Aizat mula berkebun dan menternak haiwan bersama-sama. Haiwan-haiwan ternakan Aizat mendapat sumber makanan daripada kebun Amar seperti gandum. Manakala, kebun Amar juga mendapat nutrisi seperti baja organik daripada sisa buangan haiwan ternakan Aizat. Selang beberapa minggu kemudian, berkat Tuhan, tanaman Amar mula membuahkan hasil dengan sangat banyak. Begitu juga dengan haiwan ternakan Aizat, haiwanhaiwannya seperti kambing dan lembu sudah tidak kurus dan mula membiak. Ayam-ayamnya pun mula menghasilkan telur. Usaha mereka selama ini mula menunjukkan hasil yang sudah lama diharapkan oleh kedua-dua lelaki ini. 11
Amar menitiskan air mata. Begitu juga dengan Aizat. Titisan air mata mereka berderai seolah-olah masih tidak percaya akan rezeki yang melimpah ruah ini. Saat kegentingan hidup mula menghimpit, betapa bersyukurnya Amar dan Aizat apabila melihat hasil kebun dan ladang mereka yang semakin berkembang. Kebun tanaman yang dulunya tidak berbuah, kini dilimpahi sayursayuran yang segar-bugar kelihatan. Ayam, lembu serta kambing yang dulunya kurus lemah-gemalai, kini kembali sihat-sihat belaka. 12
“Aku sungguh tidak percaya akan hasil yang kita peroleh, Aizat. Betullah kata ibu, kita sepatutnya dari dahulu lagi bekerjasama” , sedar Amar. Aizat mengangguk. “Betul tu. Ayah pun sudah mempercayai kita untuk meneruskan usaha kebun dan ladangnya. Namun, perasaan ingin menang yang timbul mengaburi tanggungjawab kita kepada keluarga”. Hasil kerjasama abang dan adik ini akhirnya berjaya melunaskan pembayaran rawatan Pak Rahman yang kian tertunggak. Mereka percaya bahawa rezeki yang datang pada saat keluarga mereka ditimpa ujian kali ini berpunca daripada kesatuan hati yang mula terbentuk. Senang hati Mak Leha apabila melihat anak-anaknya dapat bekerjasama dalam menampung kos rawatan ayah mereka itu. 13
Setelah dua minggu, ayah mereka pun kembali sihat seperti sedia kala. Begitu juga dengan perselisihan faham antara Amar dan Aizat, kini mereka sudah menjadi lebih rapat seperti seorang abang dan adik pada umumnya. Carikcarik bulu ayam, lama-lama bercantum juga. Kalau sudah namanya keluarga, yang bergaduh tetap akan berbaik juga. Sungguh, berdamai itu lebih indah. -TAMAT14
Tema dan Persoalan
Tema daripada cerpen Darah Yang Tetap Mengalir membawakan konteks hubungan kasih sayang keluarga yang tidak akan terputus. Keluarga merupakan tulang belakang kita, tanpa sokongan dan didikan daripada mereka, kita akan hanyut dibawa arus dunia yang semakin alpa ini. Sebagai contoh, Amar yang merupakan seorang abang dan Aizat yang merupakan seorang adik menghadapi satu perselisihan faham antara mereka sejak kecil kerana sering mempunyai pendapat dan pemikiran yang berbeza. Namun, apabila terjadi satu peristiwa yang cukup genting iaitu ayah mereka, Pak Rahman tiba-tiba diserang penyakit jantung, masalah perselisihan faham antara mereka itu terhapus serta-merta kerana kedua-duanya sangat sayang akan ayah mereka dan tidak mahu kehilangannya. Setegang mana pun perselisihan antara mereka, tetap ada rasa prihatin antara satu sama lain namun ego yang mengaburi kemesraan adik-beradik ini.
Persoalan yang melengkapkan cerpen ini termasuklah kebijakan fikiran dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Sebagai contoh, Pak Rahman yang tahu akan keadaan kedua-dua orang anaknya yang sering bergaduh mengambil keputusan untuk membahagikan perusahaannya kepada dua bahagian iaitu pertanian dan penternakan. Amar diamanahkan untuk menguruskan kebun tanaman manakala Aizat menguruskan ladang haiwan. Hal ini dibuat agar kedua-dua anaknya itu tidak bergaduh sehingga menyebabkan perusahaan mereka menjadi terbengkalai kerana terdapatnya ego dan rasa tidak mahu kalah antara adik beradik itu. Contoh lain dapat dilihat pada tindakan Amar dan Aizat yang berfikir dengan bijak untuk menggunakan sumber daripada kedua-dua bahagian iaitu kebun dan ladang untuk saling memerlukan. Amar meminta sisa-sisa buangan ternakan haiwan Aizat untuk dijadikan baja organic bagi mempercepatkan penyuburan tanamannya. Aizat pula meminta sumber makanan daripada kebun Amar sebagai keperluan makanan bagi haiwan ternaknya. Alhasil, kedua-dua perusahaan mereka mengeluarkan untung yang lumayan. Persoalan seterusnya ialah keprihatinan anak kepada ibu bapa yang membesarkan dari kecil. Sebagai contoh, Amar yang menerima panggilan daripada hospital yang mengatakan ayahnya dikejarkan ke hospital terus berasa sebak dan terus menghubungi adiknya, Aizat untuk memberitahu berita tersebut. Keesokan harinya, mereka bergegas ke hospital untuk melawat ayahnya walaupun rumah mereka terletak agak jauh dari hospital. Sesampainya di sana, melihat keadaan ayah mereka yang dulunya gagah kini terlentang di atas katil menyebabkan air mata Jantan mereka mengalir tanpa disedari. Contoh lain juga adalah apabila Amar dan Aizat juga terus menyalam dan memeluk ibu mereka yang berada di bilik tersebut dengan erat kerana risau akan keadaan ibunya sekiranya terjadi apa-apa. Selain itu, setelah mendengar jumlah kos rawatan ayah mereka. Amar dan Aizat terus bekerjasama walaupun mereka berselisih faham untuk mencari wang bagi menampung kos tersebut. Mereka mengabaikan perselisihan faham mereka itu demi melihat sosok raja mereka itu mampu berdiri semula seperti biasa.
Nilai Murni
Cerpen ini mempunyai banyak nilai yang dapat dicontohi oleh kanak-kanak antaranya termasuklah nilai kegigihan. Kegigihan merupakan sikap yang tidak mudah berputus asa dalam melakukan sesuatu perkara. Sikap ini dapat dilihat dalam contoh Amar dan Aizat yang tidak berputus asa mengusahakan kebun dan ladang mereka walaupun usaha mereka tidak membuahkan hasil seperti yang diharapkan. Mereka tetap akan pergi berkebun dan menternak haiwan setiap hari kerana mereka yakin yang suatu hari nanti pasti mereka akan mendapat keuntungan. Seterusnya, nilai amanah. Amanah bermaksud telus dan jujur dalam melakukan sesuatu perkara yang dipertanggungjawabkan. Sebagai contoh, Amar dan Aizat mengurus perusahaan ayahnya tanpa berasa terpaksa atau malas kerana perusahaan itu telah diserahkan oleh ayahnya kepada kedua-dua orang puteranya. Mereka berdua melaksanakan amanah ayahnya itu untuk meneruskan perusahaan keluarga mereka. Selain itu, nilai bekerjasama. Bekerjasama bermaksud melakukan sesuatu perkara secara bersama dan saling menolong antara satu sama lain. Contohnya, Amar dan Aizat yang mendapat khabar bahawa ayah mereka sedang sakit dan memerlukan kos pembiayaan rawatan yang tinggi, bersatu tenaga dan bekerjasama mengusahakan kebun dan ladang mereka bersama-sama dengan mengetepikan perselisihan faham antara mereka. Kebun Amar mendapat nutrisi baja daripada ladang ternakan Aizat manakala ladang haiwan Aizat mendapat makanan daripada kebun Amar seperti lobak dan gandum. Mereka bekerjasama dan akhirnya kebun dan ladang mereka menghasilkan keuntungan dan seterusnya mereka dapat membiayai kos rawatan Pak Rahman.
Nilai yang keempat ialah nilai rasional. Rasional membawa maksud melakukan sesuatu setelah berfikir dengan waras. Sebagai contoh, walaupun Amar dan Aizat sudah berselisih faham sejak lama, mereka membuat keputusan untuk berbaik demi mengumpul dana bagi membiayai kos rawatan Pak Rahman yang tinggi. Mereka memilih untuk bekerjasama dalam meningkatkan keuntungan perusahaan kebun dan ladang mereka dengan cara saling memenuhi keperluan makanan dan nutrisi yang diperlukan oleh tanaman-tanaman dan haiwan ternakan mereka. Kesannya, perusahaan mereka menjadi dan mereka dapat mengumpulkan keuntungan bagi membantu ayah mereka. Akhir sekali, nilai kasih sayang. Semua ahli keluarga gempar akan berita yang disampaikan oleh doktor mengenai Pak Rahman yang menghidap serangan jantung dan dikejarkan ke hospital. Amar dan Aizat yang berada jauh dan sibuk menguruskan kebun dan ladang mereka bergegas ke hospital untuk melawat ayah mereka. Mereka sangat berasa sedih terhadap apa yang terjadi dengan Pak Rahman. Amar dan Aizat sanggup berbaik semula dan bekerjasama untuk menampung kos biaya ayah mereka walaupun ketika itu perusahaan mereka tidak menguntungkan. Contoh lain juga adalah ketika Amar dan Aizat menjumpai ibu mereka, Mak Leha dan terus menyalam dan memeluk ibu mereka sebagai tanda bersyukur yang ibu mereka dalam keadaan sihat walafiat.
Pengajaran
pengajaran utama yang dapat kita pelajari ialah kita hendaklah berusaha dengan gigih untuk mencapai sesuatu yang kita ingini. Sebagai contoh, Amar dan Aizat sentiasa rajin untuk datang ke kebun dan ladang mereka bagi menguruskan tanaman dan haiwan ternakan mereka. Mereka meneruskan perusahaan ayah mereka, Pak Rahman agar kelangsungan ekonomi keluarga mereka terjaga. Walaupun pada awalnya usaha mereka tidak menunjukkan hasil yang ketara, mereka tetap gigih dan tidak putus harapan sehinggalah mereka berjaya mendapat keuntungan pada akhirnya. Seterusnya, kita mestilah bertanggungjawab terhadap amanah yang diberikan. Misalnya, Amar dan Aizat yang telah diserahkan kebun dan ladang haiwan ayahnya menggalas tugas untuk menjaga kebun dan ladang itu memastikan perusahaan ayah mereka dapat diteruskan. Amar dan Aizat seringkali turun padang untuk melihat kebun dan ladang mereka membesar dan berkembang dengan baik serta terhindar daripada segala ancaman haiwan perosak ataupun binatang liar yang boleh memangsa haiwan-haiwan ternakan. Pengajaran yang ketiga ialah kita haruslah mengamalkan sikap tolong menolong agar kerja yang dilakukan menjadi lebih mudah dan berkesan. Amar dan Aizat yang pada mulanya berselisih faham mengambil keputusan untuk berbaik dan bekerjasama dalam mengembangkan usaha kebun tanaman dan ladang haiwan mereka supaya dapat menghasilkan keuntungan yang seterusnya dapat digunakan untuk membiayai kos rawatan ayah mereka. Apabila mereka saling menolong, kebun Amar mula tumbuh dengan hasil yang sangat lebat manakala hiawan-haiwan ternakan Aizat juga semakin sihat, membiak dan menghasilkan telur untuk dipasarkan.
Akhir sekali, kita janganlah bergaduh sesama ahli keluarga terutamanya adikberadik. Hal ini kerana, keluargalah yang paling rapat dengan kita dan ketika kita ditimpa kesusahan, keluarga jugalah yang pertama sekali akan menolong kita. Sebagai contoh, Amar dan Aizat yang sering berselisih faham dan bergaduh berasa menyesal kerana tidak bersikap matang dan mementingkan ego masingmasing sehinggalah mereka diuji dengan keadaan ayah mereka yang sakit.