TEKS UCAPAN PERASMIAN
YAB DATUK PANGLIMA HAJI HAJIJI BIN HAJI NOOR
KETUA MENTERI SABAH
SEMPENA SAMBUTAN HARI GURU
PERINGKAT NEGERI SABAH TAHUN 2022
‘Guru Tunjang Sekolah SEJAHTERA’
1
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh dan salam sejahtera.
1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT atas rahmatNya kita dapat
berhimpun di majlis sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Sabah bagi
tahun 2022 pada hari ini. Terlebih dahulu saya ingin merakamkan
setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Berhormat Datuk Mohamad
bin Alamin, Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia II yang hadir dalam
majlis ini.
2. Kesempatan ini juga diucapkan sekalung tahniah kepada Yang
Berbahagia Puan Tah Nia binti Haji Jaman selaku Pengarah
Pendidikan Negeri Sabah yang baharu. Begitu juga kepada Yang
Berbahagia Datuk Dr. Mistirine binti Radin, tahniah atas pelantikan
sebagai Pengarah, Bahagian Profesionalisme Guru, Kementerian
Pendidikan Malaysia.
3. Syabas dan tahniah kepada seluruh jawatankuasa pengelola bersama
dibawa pimpinan Encik Mohd Zaini bin Yanin, Timbalan Pengarah
Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan Puan Hajah Wanihim binti
Othman, Pegawai Pendidikan Daerah Tuaran bagi menjayakan Majlis
Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Sabah hari ini. Tidak dilupakan
juga kepada semua jawatankuasa disetiap Pejabat Daerah Pendidikan
atas gerak kerja berkualiti bagi menjayakan semua program Sambutan
Hari Guru di daerah masing-masing.
2
Yang Berhormat, Datuk Seri, Datuk Datin, tuan-tuan dan puan-puan yang
saya hormati sekalian,
4. Saya amat berbesar hati hadir bersama tuan-tuan dan puan-puan
pada hari ini. Kebersamaan warga pendidik pada hari ini
membuktikan bahawa negeri Sabah amat bertuah memiliki sokongan
yang kukuh terhadap Haluan Sabah Maju Jaya melalui sistem
pendidikan yang sejahtera dan berkualiti.
5. Tema sambutan hari guru tahun ini, ‘Guru Tunjang Sekolah
SEJAHTERA’ amatlah bertepatan dengan peranan besar yang
digalas oleh guru terutamanya dalam era penuh mencabar ini. Selain
memastikan anak-anak murid mendapat pendidikan berkualiti, guru
juga berperanan menerapkan ilmu kemanusiaan serta ilmu kehidupan
kepada anak-anak murid. Jasa guru mencurah bakti pasti tidak ternilai
harganya.
6. Penghargaan kepada guru berlaku sepanjang masa. Majlis pada hari
ini sebagai manifestasi penghargaan banyak pihak kepada jasa bakti
guru kepada pembangunan Negara dan pembangunan Negeri Sabah
khasnya melalui medium pendidikan. Sokongan berterusan daripada
pihak ibu bapa, komuniti mahupun pihak swasta telah membuktikan
signifikasi kolaboratif sebagai antara faktor kejayaan sesebuah
sekolah.
7. Tema sambutan hari guru tahun ini, ‘Guru Tunjang Sekolah
SEJAHTERA’ amatlah bertepatan dengan peranan besar yang
digalas guru. Jasa guru mencurah bakti tinggi nilainya. Guru memiliki
darjat dan martabat yang tinggi, di mana kalimah gelaran guru tidak
3
pernah dipencenkan oleh masyarakat sekalipun sudah lama bersara.
Kemuliaan guru pada ilmu yang dibawanya lalu menunjukkan kepada
pelajarnya erti kemanusiaan dalam menempuh rencah kehidupan.
8. Saya percaya, setiap daripada individu guru cukup berusaha dalam
meningkatkan profesinalisme keguruan agar sentiasa relevan dengan
peredaran zaman. Pemerhatian peribadi saya melalui pelbagai
sumber, saya amat terkesan dengan usaha dan pengorbanan guru
dalam menyampaikan ilmu lebih-lebih lagi semasa era pandemik yang
lalu. Kegigihan guru dalam memastikan anak-anak murid terus
mendapat pendidikan walaupun perlu berhadapan dengan pelbagai
cabaran semasa fasa pandemik. Terima Kasih Cikgu. Hanya insan
berjiwa pendidik mampu melakukannya.
9. Cikgu tidak bersendirian, pihak Kerajaan Negeri Sabah sentiasa peka
terhadap cabaran yang dihadapi oleh sekolah-sekolah di Sabah sama
ada di Bandar mahupun di luar Bandar. Justeru itu, kerajaan negeri
sentiasa komited dalam menyokong pembangunan pendidikan di
negeri Sabah melalui beberapa inisiatif. Bantuan Kerajaan untuk
memastikan murid dan guru dapat belajar dan mengajar dalam
bangunan suasana yang lebih selesa dan kondusif.
Yang Berhormat, Datuk Seri, Datuk Datin, tuan-tuan dan puan-puan yang
saya hormati sekalian,
10. Sebelum mengakhiri ucapan saya ini, sukacita saya ingin menzahirkan
ucapan Syabas dan tahniah kepada penerima Anugerah Tokoh Negeri
Sabah 2022 dan Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Negeri
Sabah 2022 pagi ini. Tuan penerima anugerah sebenarnya juga telah
menggambarkan dedikasi guru-guru di luar sana dalam bidang
4
pendidikan. Begitu juga kepada penerima anugerah-anugerah khas
yang bakal menerima anugerah mereka pada petang nanti, syabas
dan tahniah saya ucapkan. Semoga semua penghargaan ini
mengekalkan semangat jiwa cemerlang dalam diri semua warga
pendidik.
11. Sekali lagi saya juga ingin merakamkan ucapan sekalung TAHNIAH
kepada seluruh warga Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan semua
pihak yang terlibat dalam menjayakan Sambutan Hari Guru peringkat
Negeri Sabah pada tahun ini. Kejayaan Jabatan Pendidikan Negeri
Sabah menerbitkan Buku Tawaq Tokoh Guru yang akan dilancarkan
pada hari ini juga sangat signifikan dengan budaya kecemerlangan
yang sentiasa diamalkan oleh warga pendidik dan diharapkan buku ini
boleh dijadikan sebagai panduan dan pendorong kepada guru-guru
muda kita untuk terus mengejar kejayaan dalam arena masing-masing.
12. Akhir kata, Selamat Hari Guru dan Terima Kasih Cikgu. Bersama,
bersatu memastikan Negeri Sabah yang lebih maju melalui
pendidikan.
Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Sambutan Hari
Guru Peringkat Negeri Sabah bagi Tahun 2022.
Sekian.
5