The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by pssskkb2021, 2021-07-16 22:47:59

Novel Pendek Luka Semalam

Novel Pendek Luka Semalam

Biarlah sendu ini berlalu pergi…
Biarlah kelukaan semalam
menjadi memori…

Oleh:
HASINA BINTI HARIS
(Universiti Pendidikan Sultan Idris)

PROLOG

1

Sinar lembut matahari memancarkan cahaya memasuki celah-celah tingkap. Samar-samar 
cahaya itu memberi satu ruang hidup yang baru selepas hari semalam. Permulaan
kehidupan untuk hari ini bagi membaiki kesilapan lalu dan meneruskan perjalanan hidup
yang belum pasti ini. Semuanya bermula di sini. Pencarian sebuah perjalanan yang di
 penghujungnya menuju titik pengakhiran. Perjuangan yang tidak pernah berakhir selagi
kaki memijak kenyataan dan tangan menggenggam segunung harapan.

“ Apa yang Tina termenungkan tu? Ingatkan orang jauh ke? ” Tegur Kak Shah.
“ Tak ada apalah akak. Cuma ingatkan kampung aje, ” balas Hartina ringkas.
“ Biasalah dik, akak dulu pun pernah jadi macam adik. Maklumlah tak pernah
 berpisah dengan keluarga. Tina tak payah la risau, nanti lama-lama biasalah tu. Kita
datang sini nak menuntut ilmu, dik. ”
Aku tidak tahu mengapa begitu pilu hati ini. Baru seminggu aku di sini, tetapi
aku rasakan setiap saat itu terlalu lama bagiku. Dari jauh aku datang untuk menggapai
impian aku selama ini. Aku mahu jadi seorang yang berbudi untuk bangsaku. Aku mahu
mencurahkan baktiku untuk bumi bertuah ini. Aku mahu menjadi sesiapa sahaja yang
 boleh membahagiakan orang lain. Aku mahu menjadi semuanya.
“ Entahlah kak. Mungkin inilah perasaan apabila kita meninggalkan orang yang
dikasihi. Hati ini rasa kosong bila berjauhan dengan keluarga. Selama ini saya tak pernah
 berenggang dengan umi saya, akak. ” Luah aku sambil menyembunyikan kesedihan ini.
Aku menahan sebak yang semakin memuncak ini. Wajah umi terus terbayang di
dalam benakku. Wajah adikku yang selama ini menjadi teman setiaku di kala sunyi
  berselang-seli muncul bersama raut wajah insan yang tidak pernah lupa akan

2

tanggungjawabnya sebagai seorang anak dan kakak kepada adik-adiknya. Tanpa sedar 
wajah yang selama ini cukup mengajarku apa itu kehidupan yang sebenarnya terus
menerpa memecah kesunyian hati ini. Lelaki inilah yang cukup mengajarku tentang erti
kehidupan.

“ Kuatkan semangat, Tina. Mereka menaruh harapan yang tinggi untuk kita.
Kita tinggalkan mereka bukan bererti kita lupakan mereka, tapi kita datang sini untuk 
menunaikan impian mereka jugak. Bukan saja impian kita, dik. ”

“ Baiklah Tina. Akak dah lewat ni, nak ke kelas. Akak pergi dulu ye. Jangan
sedih-sedih lagi. Kuatkan semangat. Nanti kalau dah lama-lama Tina biasalah tu. Entah-
entah dah tak ingat nak balik kampung kot, ” usik Kak Shah. Mungkin nak menghiburkan
hati ini.

“ Ke situ pulak akak ni. Terima kasihlah atas nasihat akak tu. Baik-baik jalan. ”
Kak Shah terus meninggalkan aku. Tinggal aku sendirian lagi. Aku berasa amat
 bersyukur kepada-Mu Tuhanku kerana masih memberi ruang kepadaku untuk menggapai
impianku ini. Dahulu aku menangisi hidupku. Tetapi sekarang aku sedar, sedar yang
kepahitan itulah yang mengajar aku untuk menjadi lebih berani. Kepahitan yang Engkau
curahkan itulah yang membuatkan aku berada di sini, kerana luka semalam telah cukup
mengajar aku.

I
DUNIA KEDUAKU

3

“ Bangun… ”
“ Terima kasih, Cikgu. ”
“ Sama-sama. Jangan lupa siapkan tugasan yang Cikgu baru
 berikan tu, ” pinta Cikgu Halimah.
“ Baik Cikgu, ” balas rakan-rakanku sambil menguntum
senyuman dan diiringi dengan ketawa kecil.
Barangkali sudah tidak sabar untuk pulang ke rumah ataupun melencong ke
tempat lain setelah penat memerah otak di sekolah. Kadang-kadang aku ingin menjadi
seperti mereka. Hidup mereka dipenuhi dengan keriangan. Hari esok amat dinantikan
mereka. Alangkah bahagianya jika aku mampu menjadi seperti mereka. Kalau aku dapat
keluar dari situasi ini, akulah manusia yang paling bahagia. Rasanya semua ini tidak akan
 berlaku. Mungkin apa yang pernah aku lalui selama ini terlalu perit ataupun aku yang
takut untuk menghadapi kenyataan hidup ini. Adakah aku ini terlalu keterlaluan dalam
memikirkan tentang kehidupan yang belum pasti ini?
Apa yang pernah berlaku dalam hidupku ini masih tidak dapat dilupakan.
Adakah aku seorang yang pendendam ataupun aku terlalu belajar daripada kesilapan?
Terlalu berat untuk aku menghadapinya lagi. Apatah lagi untuk melupakannya. Apa yang
telah tersurat untukku, aku terima seadanya, andai itu bisa mengubati hati ini. Kadang-
kadang aku merasakan terlalu letih untuk meneruskan kehidupan ini. Aku hanya berserah
kepada-Mu Ya Allah Ya Tuhanku…andai inilah ketentuan-Mu.

4

“ Haaa…! ” Aku terus tersentak dari lamunan. Jantung ini aku rasakan bagai
nak tercabut dek sergahan daripada sahabat baikku itu.

“ Kau ni Ana, terkejut aku dibuatnya. Nasib baik aku tak ada sakit jantung.
Kalau tak dah lama aku kena heart attack.  ” Aku mengurut dadaku yang berdegup
kencang ini.

“ Macam nak tercabut jantung aku ni, teruk la kau. ”
“ Alaa…salah kau jugak. Siapa suruh kau berangan sampai tak ingat aku kat
sebelah ni. Lain kali ajak la aku sama kalau nak berangan. Haa…haa… ” Tempelak Ana.
“ Kau ingatkan buah hati ye. Hah, kawan aku ni dah ada pakwe la ni. Sampai
hati kau tak bagitau aku…huhuhu, ” ejek Ana dengan penuh minat.
“ Engkau ni Ana, tak habis-habis nak menyakat aku. Siapa la nak kat aku ni.
Lain la kau tu, pakwe keliling pinggang. Aku tak berminat la pakwe-pakwe ni. Buang
karan aje. Tak ada maknanya, ” aku mencebikkan bibir kepada sahabat baikku itu.
“ Biasalahkan. Orang cantik la katakan. Mestilah pakwe ramai, ” balas Ana
selamba. “ Tak ada peminat konon. Habis tu mamat yang sorang tu bukan peminat kau?
Atuk kau ke? ”
Ha…ha…ha! Kelas yang sunyi seketika tadi terus menjadi bising dengan gelak 
tawa kami. Hanya tinggal kami berdua sahaja di dalam kelas ketika ini. Rakan-rakan
yang lain semuanya sudah pulang.
“ Ke situ pulak engkau ni. Sudahlah…malas aku nak layan kau. Makin dilayan
makin menjadi. ” Aku terus mengambil beg dan melangkah meninggalkan sahabatku itu.
Malas aku nak melayan cerita dongeng sahabatku itu. Bukan boleh dilayan, makin

5

dilayan makin panjang pula ceritanya. Mungkin boleh dibuat novel barangkali. Aku
ketawa sendiri di dalam hati.

“ Alaa…janganlah marah adik manis. Aku gurau je la. Tunggulah aku sama,
Tina.”

Aku mencebikkan bibirku ke arahnya. Itulah Suhana Suhaimi. Sahabat baikku
yang sentiasa menemaniku ke mana sahaja aku pergi. Dialah satu-satunya sahabat yang
sangat memahamiku. Kami bagaikan isi dengan kuku. Barangkali kami punya kisah
hidup yang hampir sama, pernah dilukai oleh insan yang disayangi. Kami menangis dan
ketawa bersama.

“ Nak solat dulu ke? Or…  nak makan? ”
“ Kita makan dulu la ek. Perut aku dah berkeroncong ni. And then…baru kita
 pergi solat. Apa-apa pun kita pergi library dulu, letak beg. ” Jelas aku.
“ Okey, aku ikut je. Jomlah, dah lambat ni. ”
Kami terus mempercepat langkah menuju ke perpustakaan. Langit kelihatan
cerah sekali dengan awan-awan yang berarak memecah kilauan panas mentari.
Barangkali mahu melindungi bumi ini daripada terkena pancaran terik matahari. Aku
menguntum senyuman kecil. Inilah duniaku. Dunia ciptaan Tuhan yang Maha Agung.
Setiap hari selepas sekolah aku habiskan waktuku di perpustakaan sehingga petang. Ana
adalah sahabat yang setia menemani aku dan buku-buku di perpustakaan itu. Dan aku
adalah penunggu setia…

II

6

LUKA SEMALAM

Hujan turun menggila menimpa dedaun hijau dan terus jatuh memercik ke tanah gersang.
Air itu mengalir membentuk aliran kecil seolah-olah sungai yang sedang mengalir lesu
membawa bersama sebuah epilog luka yang maha dalam. Langit yang terbentang luas
tanpa tongkatnya diwarnai dengan pancaran cahaya menakutkan bak kaca yang retak 
menjerit memecah gegendang telinga. Kesunyian dan keheningan malam tenggelam dek 
amukan itu.

“ Aku tetap dengan keputusan aku, sama ada kau setuju atau tak itu bukan
urusan aku. Aku tetap akan berkahwin dengan Zaharah. Seorang lelaki boleh berkahwin
lebih daripada seorang perempuan. Sukar sangatkah kau nak menerima kenyataan ini
hah, Noriah ? ” Bentak ayah dengan keras.

“ Kenapa abang sanggup buat saya begini. Saya korbankan segala-galanya
hanya untuk mengabdikan diri kepada abang. Saya layan abang bagaikan malaikat, ”
 bergetar suara umi. Matanya berkaca. Pipi bergenang dengan air mata.

Aku memerhati dari dalam kamarku. Ada titisan jernih yang mengalir di pipiku.
Pedih hati ini. Kata-kata itu cukup menerobos jiwa insan yang amat aku sayangi itu. Aku
tahu bicara ayah ketika ini mengundang lanar kelukaan yang maha dalam bagi wanita
kesayanganku itu. Setiap butir katanya merentap jantungku, mengundang barah bagiku,
menerkam setiap sudut perasaanku.

7

“ Kalau abang tak pedulikan perasaan saya, abang fikirkanlah perasaan anak-
anak kita. Saya tak nak anak-anak kita terluka. Cukuplah abang mengecewakan kami
selama ini. Jangan abang tambahkan lagi kebencian anak-anak. Mereka sudah cukup
kecewa dengan sikap abang. Janganlah abang tambahkan lagi racun dalam diri mereka, ”
luah umi dengan penuh kekecewaan. Ahh…betapa besarnya kasih umi kepada anak-
anaknya. Apakah ayah tidak ada perasaan sedemikian walaupun hanya secalit cuma?
Hatiku merintih pilu.

Aku mengerti perasaan umi ketika ini. Umi sudah cukup terluka dengan
 permintaan lelaki yang amat disayanginya itu. Mana ada seorang wanita yang sanggup
 berkongsi kasih. Tambahan pula sudah lebih lima belas tahun umi menghabiskan sisa
hidupnya hanya untuk menjadi seorang isteri yang setia untuk suaminya. Tiadakah
 permintaan lain daripada ayah yang boleh membahagikan kami, bukannya permintaan
yang cukup menerkam kelukaan umi tatkala ini. Aku sebagai anak pun tidak boleh
menerima sikap ayah itu, inikan pula umi. Tidak bolehkah ayah mengerti perasaan umi
ketika ini. Ataupun ayah terlalu buta untuk menilai semua itu.

“ Ahh…aku tidak peduli semua itu. Aku ini ayah mereka. Mereka kena hormat
keputusan aku. Kalau mereka menentang aku pun, aku tahu itu kerja kau, ” sinisnya
 bicara yang keluar dari mulut ayah itu. “ Selama inipun kau yang menghasut mereka
supaya membenci aku. Kau ingat aku tak tahu hah…”

“ Sampai hati abang menuduh saya sampai begitu sekali, ” umi memandang
sekilas ke arah aku. Umi sedar kehadiran aku ketika itu. Aku tahu apa yang umi fikirkan.
Aku tahu siapa yang ayah maksudkan itu. Ya Tuhanku, berdosakah aku kerana membenci
seorang lelaki yang selalu sahaja membuatkan umi menangis? Berdosakah aku kerana

8

memusuhi lelaki itu hanya kerana dalamnya sayangku kepada wanita itu? Berdosakah
aku menyayangi umi lebih daripada segala-galanya? Berdosakah aku…berdosakah aku
Ya Allah?

“ Kau jangan nak buat-buat baik. Jangan ingat kau sudah cukup baik, Noriah.
Hati anak bolehlah kau racunkan dengan kebencian terhadap aku. ”

“ Kenapa abang tak pernah nampak kesalahan abang. Bagi abang, abang tak 
 pernah buat silap. Yang salahnya hanya kami anak-beranak, ” pipi umi basah dengan air 
mata kelukaan.

“ Jangan kau nak membebel lagi. Aku malas nak layan kau anak-beranak. Aku
ni suami kau. Kau kena dengar cakap aku, ” keras suara ayah. “ Aku dah buat keputusan
yang aku akan kahwin dengan Zaharah. Muktamad! ”

“ Abang…sampai hati abang buat kami macam ni, ” rayu ibu penuh harapan.
Bicara umi terhenti apabila terdengar suara rengetan dari adik, Hakim yang
sedang tidur di hujung katil. Rengetan itu semakin kuat kedengaran. Aku terus berlari
mendapatkan adik kecilku itu yang baru sembilan bulan mengenal dunia ciptaan Tuhan
yang Maha Agung ini. Ayah bingkas bangun meninggalkan umi di ruang tamu yang sepi
itu keseorangan. Setiap sudut dipenuhi dengan kelukaan. Pintu dihempasnya dengan kuat.
“ Dum…! ” Terasa nak tercabut jantungku ini.
“ Abang…abang…” Sayu kedengaran suara umiku itu.
Kedengaran enjin kereta ayahku yang keluar dari garaj. Lama-kelamaan bunyi
itu semakin hilang ditelan kegelapan malam. Di luar hujan bertambah miang seolah-olah
turut merasai emosi umiku ketika itu, barangkali turut bersimpati dengan nasib
kaluargaku ini. Biarlah ayah pergi daripada terus-terusan melukakan hati wanita

9

kesayanganku itu. Setiap butir bicara yang tersembur daripada mulutnya hanya
menambahkan lagi epilog duka bagi umiku.

“ Biarkanlah lelaki itu pergi mendapatkan kebahagiaannya, ” getus hati kecilku.
Aku dan umi saling berpandangan dengan pandangan penuh berkaca. Aku yang sedang
mendukung adik kecilku itu terus mendapatkan umi lalu memeluknya erat. Hakim hanya
memerhati tingkah laku dua insan ini. Buat seketika Hakim turut memeluk erat umi. Dia
masih tidak mengerti apa-apa. Malahan aku sendiri tidak mahu dia mengerti apa-apa pun
kerana kenyataan ini amat pedih dan perit. Biarlah dia tidak memahami apa-apa pun
kerana itu adalah lebih baik.

10

III

RUMAH ITU DUNIAKU

“ Assalamualaikum, umi…”
“ Waalaikummussalam. Awal anak umi balik. Tak pergi library ke? ” Tanya
Umi. Barangkali hairan melihat aku pulang awal hari ini.
“ Tak ada mood  la hari ni nak pergi library umi. Tak larat sangat-sangat.
Lagipun rindu sangat-sangat kat umi, ” aku berkata separuh ketawa.
“ Alah…betul ke rindu kat umi. Entah-entah bergaduh dengan pakwe…
hahaha…” Umi mengusikku.
“ Ke situ pulak umi ni. Bukannya umi tak kenal anak umi ni. Hanya umi
seorang sahaja buah hatiku. Tak ada yang kedua, ketiga…” Balasku diiringi dengan
ketawa.
“ Umi masak apa hari ni? Hakim tak balik sekolah lagi ke umi? ” Tanya aku.
“ Dah…tapi dah hilang. Pergi rumah Mak Ida kamu agaknya. Biasalah adik 
kamu tu. Asyik main aje kerjanya sampai makan pun tak ingat. Tina pergilah mandi dulu.
Jangan lupa solat sama. Nanti kita makan sama-sama. ”
“ Baiklah, umiku sayang. Nanti lepas solat Tina pergi panggil Hakim balik 
makan ye umi, ” balasku ringkas dan terus meninggalkan umi di dapur.
Aku terus memanjat anak tangga satu per satu menuju ke kamarku. Alangkah
 baiknya jikalau dapat baring-baring dan tidur dahulu. Aku rasakan katilku itu semacam

11

memanggil-manggil namaku sahaja. Barangkali rindu akan tuannya ini. Getus hati
kecilku. Apa-apa pun aku perlu mandi dan solat dahulu. Umi sudah tunggu di bawah.

“ Aduh…sudah mula berkeroncong pulak perut ni, ” aku mengomel sendirian.

Bahagia sekali aku rasakan hari ini. Adikku, Hakim yang tidak habis-habis bercerita itu
dan ini. Ada kalanya langsung tidak masuk dek akal ceritanya. Ada sahaja yang lucunya.
Jika tidak dilayan nanti merajuk pulak adikku itu. Dialah teman setiaku di rumah ini. Umi
 pula asyik sibuk di dapur. Maklumlah, kakak baru sahaja balik bercuti. Ada sahaja yang
hendak dimasaknya. Sampai tidak menang tangan dibuatnya. Kakakku sedang menolong
umi di dapur. Biarlah dua beranak itu melepaskan rindu masing-masing. Sudah dua bulan
kakak tidak balik, barangkali sibuk agaknya.

“ Tengah tengok cerita apa tu Tina? ” Tanya Kak Jue.
Aku tidak tahu bila kakak muncul di hadapanku. Tiba-tiba sahaja sudah
terpacak di sebelahku. Di tangannya ada sepinggan kuih lepat pisang, kuih kesukaannya.
“ Eh, kak…duduklah. Banyak kuih tu. Habis ke makan, ” usikku.
“ Mestilah habis. Tengoklah siapa yang buatnya, umi kesayangan kita kan. Tak 
ada la, manalah kak larat nak habiskan ni semua. Kita makan sama-sama la. Nanti umi
 bawakan air teh. Best ke cerita ni? ”
“ Mestilah best . Kalau tak buat apa Tina nak tengok, ” balasku dan
kemudiannya ketawa kecil.
“ Akak balik sini berapa hari? ” Tanyaku ringkas
“ Tiga hari je dik. Hari Ahad ni kak nak kena balik dah.  Assigment  tu
 bertimbun-timbun. Balik ni pun rindukan umi dengan adik-adik akak ni. ”

12

“ Mesti best kan kat USM tu kak? ”
“ Kalau nak tahu best  ke tak, Tina kena rasa sendiri. So, gigihlah berusaha
wahai adiku. Caiyok ! ”
“ Macam mana pelajaran, OK ke KO? ”
“ Mestilah Ok. Tina ni kan  student  harapan sekolah. Ops…harapan negara, ”
 jawabku. Aku dan kakak terus ketawa memecah keheningan malam.
“ Eleh…masuk dalam bakul angkat sendiri pulak adik akak sorang ni. Apa-apa
 pun kalau ada masalah dalam pelajaran jangan malu-malu nak cakap kat akak. Selagi
akak boleh bantu, akak akan bantu. Kalau tidak apa gunanya ada akak ni kan. ”
Itulah kakakku. Insan yang tidak pernah berhenti memberi dorongan dan
rangsangan kepadaku. Aku mahu menjadi seorang yang berjaya dalam hidupku. Aku
mahu buktikana kepada lelaki itu yang kami boleh hidup tanpanya, malah hidup kami
lebih bahagia kini. Umi pun sudah ada butiknya sendiri. Apa yang umi sediakan untuk 
kami sudah lebih daripada cukup. Aku amat bersyukur kepada-Mu Tuhanku. Engkau
telah melimpahkan rezeki-Mu kepada keluargaku. Alhamdulillah…
“ Hakim, mari makan kuih ni, ” panggil umi.
Hakim menggeleng dan menjuih mulutnya tanda tidak mahu. Aku tahu benar 
adikku itu tidak suka makan pisang. Apa-apa sahaja makanan yang dibuat daripada
  pisang pasti ditolaknya tanpa berfikir panjang. Dia lebih suka menghabiskan masa
dengan bermain. Namun begitu, aku akan pastikan setiap kerja sekolahnya sudah
disiapkan terlebih dahulu. Selepas itu barulah dia boleh bermain.
“ Kan best  kalau hari-hari macam ni. Makan kuih sambil tengok tv malam-
malam begini, ” tiba-tiba Kak Jue bersuara.

13

Aku hanya tersenyum mendengar kata-kata yang terbit daripada mulut Kak Jue.
Umi turut menguntum senyuman. Kami sekeluarga terus tenggelam dengan kebahagiaan
yang dikecapi ini. Alangkah bahagianya kami sekeluarga ketika ini. Aku terus jadi lupa
dengan kisah lalu yang amat pahit untuk ditelan. Setelah aku telan segala lara ini, segala
dugaan yang aku terima ini dan segala kepahitan hidup ini, aku percaya hanya Engkaulah
satu-satunya yang tidak pernah mengecewakan hamba-Mu ini. Kebahagiaanku saat ini
telah menutup sedikit sebanyak kisah duka itu. Aku bahagia kini. Rumah ini adalah
duniaku dan keluargaku ini adalah nyawaku.

14

IV

SEGALANYA UNTUKMU

Memang sukar untukku gambarkan perasaan pada saat ini. Kecewa, sedih dan pilu
 bercampur baur sehingga aku tidak dapat berkata apa-apa pun ketika ini. Bibirkan seakan
terkunci. Lidahku kelu untuk berkata-kata. Aku rasakan hendak menangis. Aku juga
mahu menjerit sekuat hati supaya semua orang tahu perasaanku ketika ini. Aku mahu
memuntahkan segala lanar luka yang telah lama membarahi hidupku ini. Adakah aku
sedang bermimpi? Ataupun hanya ilusi aku semata-mata? Namun, aku tahu semua ini
adalah kenyataan. Kenyataan yang amat perit untuk aku telan.

Keputusan umi untuk menerima lelaki itu kembali ke pangkuan kami amat
sukar untuk aku terima. Kenapa umi sanggup menerimanya kembali? Sedangkan lelaki
itu sudah cukup mengecewakannya. Aku tidak mengerti, namun aku tahu umi terlalu
sayangkan lelaki itu. Aku tidak mahu umi berkorban lagi kerana terlalu banyak 
 berkorbanlah umi terluka. Kenapa ayah kembali lagi pada saat kami mula melupakannya?
Kenapa?

Apa yang keluargaku lalui selama ini telah terlalu banyak memberi pengajaran
kepadaku. Sesungguhnya hanya Engkaulah yang mengetahui segala apa yang bersarang
di dalam hati ini, tentang kepahitan, ketakutan, kepedihan, kesengsaraan, kerisauan,
kebahagian dan tentang tawa ria. Tuhanku…adakah aku terlalu belajar daripada kesilapan
ataupun aku terlalu berhati-hati dengan hidup ini sehinggakan aku cukup takut sekali

15

untuk menghadapinya lagi. Aku cukup takut ianya berulang lagi Ya Allah. Berikanlah
 petunjuk-Mu Ya Allah. Aku masih ingat kata-kata yang terpancur keluar daripada mulut
umi siang tadi. Aku tidak tahu sama ada itu berita gembira atau sebaliknya. Aku keliru.

“ Ayah akan kembali ke pangkuan kita, Tina. ”
Wanita yang selama ini sudah cukup banyak berkorban untuk anak-anaknya

dengan tenang menyampaikan berita itu. Aku tersentak dan terpegun. Aku rasa tidak 
 percaya mendengar kata-kata tersebut.Adakah kata-kata itu hanya sekadar satu gurauan?
Adakah umi mahu mendugaku? Namun riak wajah umi langsung tidak menggambarkan
umi sedang bergurau. Aku cuba mengawal diri daripada kelukaan yang datang secara
tiba-tiba. Aku langsung tidak mengerti mengapa berita itu yang harus aku terima pada
 pagi ini. Apakah tiada berita lain yang boleh membahagiakan aku ketika ini?

“ Bagaimana pulak dengan umi? ” Aku bertanya dengan penuh minat. Sekali-
sekala aku mendengus perlahan.

Umi terdiam seketika. Barangkali mengerti apa yang bersarang di dalam hatiku
ini. Barangkali menyedari bahawa berita itu langsung tidak bermakna bagiku. Aku cuba
menyembunyikan perasaanku ketika ini. Aku tidak mahu umi terasa dengan sikapku ini.
Aku menghampiri umi dan terus duduk disebelahnya. Suasana di ruang tamu menjadi
sunyi seketika.

“ Apa pendapat Tina? ”
Umi memandangku dengan penuh tanda tanya. Aku tidak mampu untuk 
membalas pandangan umi itu. Aku tidak mampu untuk menjawab soalan itu. Soalan itu
amat sukar bagiku. Hatiku amat berbalam ketika ini, sarat dengan kekecewaan.

16

“ Ayah dah banyak berubah Tina. Dia nak menebus kesalahannya selama ini.
Lagipun ayah Tina dah bercerai dengan wanita itu. Ayah Tina tak bahagia dengan
 perkahwinannya itu. Semua itu adalah kesilapan besar bagi ayah Tina, meninggalkan kita
dan berkahwin dengan wanita itu. Ayah nak kembali ke pangkuan kita Tina, ” jelas umi
apabila aku langsung tidak bersuara.

“ Jadi, umi nak berbaik semulalah dengan ayah? ” Tanya aku.
“ Umi hanya fikirkan anak-anak umi. Umi tahu anak-anak umi mahukan sebuah
keluarga yang sempurna dan bahagia seperti orang lain. Umi tak nak anak-anak umi
hidup tanpa seorang ayah di sisi. Umi tak nak kamu semua terus-terusan kehilangan kasih
sayang seorang bapa. Umi nak anak-anak umi bahagia seperti orang lain. Umi…” Umi
tidak dapat meneruskan kata-katanya.
Ahh…aku tahu apa yang umi mahu katakan. Umi pasti mahu menerima ayah
kembali. Mataku mula berkaca. Hatiku amat pedih sekali seperti dihiris dengan pisau.
 Nak menebus kesalahan konon. Kasih sayang seorang bapa…aku lebih bahagia tanpanya.
Jerit hati kecilku.
“ Tapi umi, sanggupkah umi terima lelaki yang telah banyak mengecewakan
kita selama ini? Adakah umi telah lupa semua tu? Anak-anak umi lebih bahagia tanpanya
sekarang, umi. Kita dapat hidup tanpanya selama ini. Malah hidup kita sekeluarga lebih
 baik jika dibandingkan dengan dulu. Kenapa kita perlu gadaikan semua ini hanya untuk 
menerima ayah kembali? Kenapa umi? ” Bergetar suaraku tidak dapat menahan
kesedihan yang selama ini aku cuba lupakan.
“ Kenapa dia kembali lagi setelah dia cambahkan benih-benih kebencian dalam
diri Tina, umi. Tina tak boleh…” Suaraku tersekat-sekat kerana tidak dapat menahan

17

kesedihan. Aku tidak dapat meneruskan kata-kataku lagi. Air mataku mengalir laju. Aku
tidak boleh mengawal perasaanku lagi ketika ini. Aku tidak mahu umi terluka mendengar 
setiap butir bicaraku. Seketika kemudian umi turut menangis.

“ Mengucap Tina. Umi faham perasaan Tina. Umi tahu Tina tak boleh
memaafkan ayah tapi sampai bila Tina nak terus macam ni, menyimpan dendam yang
langsung tak menguntungkan sesiapa pun. Malah Tina sendiri yang akan terseksa, ”
 pujuk umi sambil mengesat air mataku.

“ Tina kena belajar memaafkan ayah. Jika umi boleh lakukan, kenapa pulak 
Tina tak boleh? Umi tahu anak umi seorang yang kuat. Umi tahu anak umi bukannya
seorang yang kejam sehingga tidak boleh memaafkan orang lain. Dendam boleh
memakan diri sendiri Tina. Umi sayangkan anak-anak umi. Tina kena ingat, ayah jugak 
sayangkan anak-anaknya. Kerana sayanglah ayah sedar akan kesilapannya dan mahu
membetulkan kesilapan itu. Ayah perlukan sokongan kita, Tina. ”

“ Tapi umi…”
“ Sudahlah Tina. Umi tak paksa Tina. Umi faham perasaan Tina. Mungkin Tina
 perlukan masa untuk menerima semua ini, ” pujuk umi lagi.
“ Umi…” panggilku.
“ Ya sayang…”
“ Tina akan cuba…jika semua ini membahagiakan umi. Umi rujuklah kembali
dengan ayah. Tina akan cuba memaafkannya. Tina akan cuba umi…”
“ Tina…” Sebelum sempat umi menghabiskan kata-katanya aku terus memeluk 
erat umi.

18

“ Tina hanya nak umi bahagia. Tina terima sahaja apa keputusan umi. Maafkan
Tina kalau kata-kata Tina tadi melukakan hati umi. Tina sayangkan umi. ”

“ Terima kasih, Tina. ”
“ Tina akan cuba umi…” Aku cuba meyakinkan umi sekali lagi walaupun aku
sendiri tidak yakin dapat melakukan itu semua. Maafkan Tina, umi. Tina tak mampu
lakukan itu semua. Getus hati kecilku.
Aku dan umi terus berpelukan melepaskan segala duka yang kami pendam
selama ini. Aku dapat merasakan kehangatan kasih sayang umi ketika ini, wanita yang
cukup bermakna dalam hidupku. Terima kasih umi. Terima kasih kerana tidak pernah
  berhenti mencurahkan kasih sayang dan perhatianmu untuk anak-anakmu. Anakmu
melakukan ini semua hanyalah keranamu, andai ia bisa membahagiakanmu.
Kebahagiaanmu adalah kebahagiaanku juga umi. Selagi aku berpijak di bumi ini, selagi
itulah aku tidak pernah berhenti melakukan apa sahaja untuk kebahagiaannya. Segalanya
adalah untukmu, umi.

19

V

SEBUAH KEPULANGAN

Aku tidak tahu mengapa aku begitu gelisah hari ini. Setiap sudut kamar tidur aku rasakan
sedang mentertawakanku. Aku jadi bingung. Dapatkah aku menerima kepulangan lelaki
itu? Dapatkah aku menunaikan janjiku kepada umi? Dapatkah aku laluinya lagi? Aku
 begitu resah. Ketakutan terus menyelinap masuk ke dalam setiap sudut diriku ini. Takut
epilog duka semalam berulang lagi. Ahh…Tuhan tolong fikir aku. Aku harus kuat demi
umi. Aku harus laluinya.

“ Entahlah Ana. Sampai sekarang aku tak boleh lupa. Mungkin aku takut nak 
menghadapi masa depan yang tak pasti ni, ” luah aku penuh perasaan.

“ Kau kena cuba memaafkan ayah kau, Tina. ”
“ Sampai bila kau nak menyimpan dendam. Sampai bila kau nak terus hidup
 begini, sehinggakan semua lelaki kau jadikan musuh, ” sambung Ana lagi.
Kadangkala aku ingin menjadi dirimu, Ana. Walaupun kami punya kisah yang
sama, namun dia tetap kuat. Malah, semua itu langsung tidak mempengaruhi hidupnya.
Ana pernah mengatakan kepadaku, buat apa kita perlu korbankan diri kita hanya kerana
kesilapan orang lain. Kita tidak perlu mengorbankan masa depan kita kerana kesilapan
mereka. Malah, kita perlu bangkit daripada kekecewaan bagi melakar sejarah yang
gemilang. Aku mesti berpegang dengan kata-kata itu. Aku harus menjadi lebih kuat.
“ Tina…cepat turun. Ayah dengan umi dah sampai ni. ”

20

Aku terus tersentak daripada lamunan apabila terdengar suara Kak Jue menjerit
memanggil namaku. Keadaan di bawah sungguh riuh rendah. Barangkali menyambut dan
meraikan kepulangan ayahku itu. Entah kenapa kakiku terasa berat untuk melangkah.
Aku cuba sedaya upaya mengatur langkahku menuruni anak tangga dengan cermat. Aku
cuba menyembunyikan perasaanku pada saat ini. Aku tidak mahu umi terasa dengan
sikapku ini. Tanpa sedar aku telah berdiri berhadapan dengan umi dan ayah. Hatiku jadi
gundah gulana. Sungguh berbalam aku rasakan. Apakah yang harus aku katakan? Hatiku
terus menjerit…Tuhan tolonglah hamba-Mu ini.

“ Tina, salam ayah dengan umi, ” Kak Jue berbisik di telingaku.
Kak Jue mengerti perasaanku ketika kini. Aku terus menyambut tangan ayah,
menyalaminya dan mencium tangan yang selama hampir tujuh tahun sudah tidak aku
sentuh itu. Kemudiannya aku menyambut pula tangan umi, memeluknya erat.
Pandanganku mula berkaca. Aku tidak dapat mengawal lagi perasaanku ini. Tanpa sedar 
titisan jernih sudah mula mengalir keluar. Aku rasakan begitu pilu sekali. Umi
menguatkan lagi pelukannya untuk memberi kekuatan kepadaku. Semua pandangan
terarah kepadaku.
Umi mendekatkan mulutnya pada telingaku lalu berkata separuh berbisik,
“Kuatkan semangat, Tina. Umi dengan ayah sentiasa sayangkan kamu semua.”
“ Sudahlah tu. Mari kita makan. Semua orang dah tunggu ni, ” tutur Maksu Ima,
adik umiku yang baru sahaja mendirikan rumah tangga empat bulan lalu.
Umi terus mengesat air mataku. Ayah hanya memerhati gelagat aku dan umi.
Sekali-sekala aku memandang sekilas ke arah ayah. Aku terus melarikan pandangan

21

mataku apabila ayah turut memandangku. Ada senyuman yang terukir di bibir ayah.
Sudah lama aku tidak melihat senyuman itu.

“ Sudahlah, jom kita pergi makan. Tak baik biar orang tertunggu-tunggu, ” ayah
mengatur katanya dengan kemas.

Aku hanya menuruti langkah umi menuju ke meja makan. Masing-masing
sudah tidak sabar lagi untuk menjamu selera, barangkali tidak tahan menahan lapar.
Keadaan yang tadinya keheningan menjadi riuh rendah semula. Masing-masing bercerita
itu dan ini. Siapa yang hendak dengar pun aku tidak tahu. Masing-masing sibuk hendak 
 bercakap dan bercerita. Mungkin gembira dengan penyatuan keluargaku semula. Sedikit
sebanyak perasaanku telah terubat dengan suasana ketika ini. Setiap sudut aku dapat
rasakan turut sedang meraikan kepulangan ayahku ke pangkuan keluarganya. Tanpa
sedar satu kuntum senyuman terukir di bibirku. Hatiku berbunga riang melihat ibu tidak 
henti-henti mengukir senyuman dari tadi. Aku tahu umi sedang bahagia pada saat ini.

“ Tina akan cuba umi. Tina takkan hampakan umi, ” getus hatiku.

22

VI

SATU KEMAAFAN

Sudah lebih dua bulan ayah kembali ke pangkuan kami, tetapi aku masih tidak dapat
menyesuaikan diri lagi. Sukar untuk aku mulakan kehidupan baru ini. Sukar untuk aku
lenyapkan segala kenangan lalu yang begitu perit dalam kehidupanku. Aku rasakan
 begitu terasing dengan kehidupan baru ini. Adakah aku terlalu belajar daripada kesilapan
ataupun aku seorang pendendam yang lara? Ayah pergi pada saat kami memerlukannya
dan dia kembali lagi apabila kami telah bahagia tanpanya. Ya Allah, adakah ini satu
hukuman ataupun satu anugerah? Fikiranku sangsi ketika ini. Aku jadi bingung dan
keliru.

“ Ahh…” Aku mengeluh panjang.
Mataku sukar untuk dilelapkan malam ini. Aku rasa tidak sedap hati, bagaikan
ada sesuatu yang buruk akan berlaku. Jam di sebelahku sudah menunjukkan pukul 2.30
  pagi. Aku cuba melelapkan mataku ini, namun terasa amat payah sekali. Bermacam-
macam perkara yang bermain di fikiranku, tentang ketakutan, kerisauan dan segala
macam lagi. Aku membaca surah al-Fatihah dan tiga Qul berulang kali, namun aku masih
tidak dapat melelapkan mataku ini. Malah, perasaanku semakin berkocak kencang.
Ketakutan semakin menyelubungi hati ini. Aku tidak pernah berasa seperti ini. Lantas
aku terus mencapai al-Quran dan meletaknya di sebelah bantal.

23

Sebaik sahaja aku hendak melelapkan mata, aku terdengar bunyi sesuatu di arah
tingkap kamarku. Aku hanya memerhati dari dalam kamar tidur. Aku tidak berani untuk 
mendekati tingkap, apatah lagi turun dari katil. Dadaku semakin berombak sehinggakan
aku dapat mendengar degupan jantung ini. Dup dap…Apa lagi ujian daripada-Mu
Tuhanku? Aku cuba mengamati apa yang ada di sebalik tingkap itu, namun aku tidak 
dapat melihat apa-apa pun. Keadaan amat gelap sekali. Setelah agak lama aku memerhati
ke arah tingkap, tiada apa-apa pun yang dapat aku lihat.

“ Mungkin kucing agaknya…” Fikir aku cuba menenangkan diri sendiri. Aku
kembali merebahkan badan. Aku memejam mata ini rapat. Entah kenapa aku masih
 berasa tidak sedap hati. Aku mengalihkan pandanganku kembali ke arah tingkap itu.

“ Astarfirruallahalazim. ” Aku begitu terkejut apabila mendapati langsir tingkap
tiba-tiba sahaja sudah terkuak, sedangkan aku telah menutupnya sebelum tidur. Malahan
tingkap itu juga telah aku tutup dan kunci. Dadaku kembali berombak kencang. Aku
rasakan begitu takut sekali. Lidahku kelu tidak boleh berkata-kata. Aku hanya mampu
 berdoa sahaja.

“ Ya Allah…Engkau lindungilah hamba-Mu ini, amin…”
Aku dapat melihat kelibat seorang lelaki memasuki kamarku melalui tingkap.
Aku menghidu satu bau yang busuk. Namun, aku begitu takut untuk bersuara, menjerit
memanggil ayahku. Bermacam perkara yang bermain di fikiranku ketika ini. Aku takut
lelaki itu bertindak agresif jika aku menjerit. Aku hanya memerhati tindak tanduknya.
Lelaki itu berjalan ke arah almari. Aku tidak dapat melihat wajahnya dengan jelas.
Keadaan amat gelap sekali.

24

Aku hanya memikirkan nyawaku ketika ini. Aku hanya mampu berdoa meminta
 pertolongan daripada Tuhan. Fikiranku mula menjangkau jauh. Aku mula memikirkan
adakah ajalku sudah sampai? Adakah aku akan mati dalam keadaan yang mengaibkan?
Ya Allah…Engkau jauhilah aku daripada malapetaka ini. Jika sudah sampai ajalku, maka
Engkau ambillah nyawaku ini dengan baik. Engkau peliharalah maruahku Ya Allah. Aku
  juga berdoa kepada Tuhan supaya lelaki itu tidak sedar kehadiran aku ketika ini
walaupun harapan ini hanyalah ilusi semata-mata.

“ Ambillah apa yang kau mahu…tapi jangan kau ganggu aku, ” aku berkata di
dalam hati.

Tiba-tiba sahaja lelaki itu berjalan ke arah katil. Dia semakin menghampiriku.
Ya Allah…lindungilah hamba-Mu ini. Aku memohon kepada-Mu. Lelaki itu menyentuh
hujung kakiku perlahan. Barangkali ingin mengetahui sama ada aku sudah terjaga
ataupun masih nyenyak tidur. Mungkin masih tidak berpuas hati, dia merapati tubuhku
dan cuba menyentuh lenganku. Aku semakin takut. Pada masa yang sama kemarahanku
semakin memuncak apabila lelaki itu mula bertindak sedemikian. Pantang bagi aku
seorang lelaki yang tidak ada apa-apa ikatan menyentuhku.

“ Kau nak apa hah…” Aku terus menjerit ke arahnya.
Lantas lelaki itu terkejut dengan sergahanku. Dia terus bangun dan berdiri di
tepi katil. Aku hanya melihat tingkah laku lelaki itu. Kemudiannya, lelaki itu terus
menghilangkan diri melalui tingkap kamarku. Aku terus berlari mendapatkan umi dan
ayah. Pintu bilik diketuk sekuat hati sambil menjerit memanggil ayah.
“ Kenapa ni Tina? Apa yang jadi? Pencuri masukkah? ” Tanya ayah ingin tahu.
Aku hanya mengangguk lemah.

25

Ayah terus memelukku kemas. Ketakutan yang aku rasakan ketika ini sedikit
sebanyak hilang apabila ayah memelukku erat seolah-olah tidak mahu melepaskan aku.
Aku dapat rasakan kasih sayang ayah yang maha dalam ketika dalam pelukannya. Umi
meluru ke arahku.

“ Tina tak apa-apa? Dia ada buat apa kat Tina? ” Umi bertanyaku berulang kali.
“ Tak ada apa-apa yang lelaki tu buat pada Tina, umi. ” Suaraku terketar-ketar 
menjawab soalan umi itu.
Umi masih tidak berpuas hati dengan jawapanku itu. Umi terus menyoalku tidak 
henti-henti. Aku menggeleng kepala berulang kali. Air mataku semakin laju keluar. Ayah
masih memelukku erat. Melihat keadaan aku dan umi yang semakin tidak terkawal itu,
ayah cuba menenangkan keadaan.
“ Sudahlah uminya pun, Tina ni tengah terkejut lagi. Jangan kita soal dia dengan
macam-macam soalan, ” kata ayah cuba menenangkan aku dan umi.
“ Dah la tu, Yah. Pergi tengok Hakim kat bilik tu, ” pinta ayah.
Umi terus pergi mendapatkan Hakim, takut terjadi apa-apa kepada adikku itu.
Ayah pula memantau keadaan rumah bagi memastikan keadaan benar-benar selamat
untuk kami sekeluarga. Lantas ayah terus menghubungi pihak polis bagi mendapatkan
 bantuan.
Tiba-tiba aku rasakan apa yang baru berlaku itu adalah satu petunjuk daripada
Allah s.w.t. Barulah aku sedar kini, orang yang terlintas di fikiranku ketika aku dalam
ketakutan adalah ayah. Itulah nama yang keluar daripada mulutku ketika aku menjerit
memanggilnya. Terima kasih Ya Allah. Engkau telah menunjukkan aku jalan untuk 
memberi sebuah kemaafan. Aku bersyukur kepada-Mu.

26

Keesokan harinya ayah memberitahu aku dan umi bahawa pihak polis sudah dapat
menangkap lelaki yang memecah masuk rumahku itu. Aku dan umi cukup terkejut
apabila dimaklumkan ayah yang pencuri itu ialah orang tabligh yang tinggal di surau
 belakang rumah kami. Dia sendiri mengaku bahawa dia yang telah pecah masuk ke
rumah kami. Tambah ayah lagi, lelaki itu sudah banyak kali ditangkap pihak polis kerana
kes mencuri. Berdasarkan maklumat pihak polis, lelaki itu baru sahaja tiga bulan
memeluk Islam.

“ Betul ke bang? ” Tanya umi ingin tahu.
“ Ya, pihak polis yang maklumkan pada abang tadi. Kalau tak salah abang lelaki
tu orang Sabah. Baru datang ke Semenanjung lima bulan lepas, ” terang ayah lebih lanjut.
“ Oh, begitu…”
Aku hanya memasang telinga sahaja mendengar perbualan ayah dan umi. Aku
tidak tahu apa yang ingin dibicarakan ketika ini. Ayah juga telah memaklumkan kejadian
ini kepada Kak Jue. Kak Jue sangat terkejut mendengar perkhabaran tersebut. Hakim juga
sudah tidak berani lagi bermain seorang diri di luar rumah. Umi dan ayah amat bersyukur 
kerana tidak berlaku sesuatu yang buruk kepadaku. Aku bersyukur kepada Tuhan kerana
melindungiku. Aku yakin Allah sentiasa berada di samping hamba-Nya. Aku memanjat
setinggi-tinggi kesyukuran kepada-Mu Ya Allah.
“ Kenapa Tina diam aje ni? ” Tegur umi.
“ Tina masih terkejut lagi tu. Tina jangan takut ye. Ayah dengan umi sentiasa
ada di samping Tina. Ayah bersyukur sangat-sangat tak ada apa yang berlaku pada Tina.”
Aku mahu sahaja menangis apabila mendengar kata-kata yang terbit daripada
mulut ayah itu. Ada bunga senyuman yang terukir di bibir lelaki itu. Itulah lelaki pertama

27

yang aku kenal. Itulah lelaki pertama yang aku panggil apabila umi melahirkanku. Lelaki
itu adalah ayahku. Air mataku mengalir tanpa diduga.

“ Kenapa Tina nangis ni? Jangan takut. Pencuri tu dah kena tangkap, ” pujuk 
ayah. Umi hanya memandangku.

“ Tina mintak maaf ayah. Tina…” Aku tidak dapat meneruskan kata-kata
kerana tidak dapat menahan sebak. Suaraku terketar-ketar.

“ Kenapa ni Tina? Tina tak ada buat salah apa-apa pun, ” tanya ayah hairan.
“ Tina mintak maaf kerana membenci ayah selama ini. Tina mintak maaf ayah.”
Aku terus mencapai tangan ayah dan mencium tangannya itu. Aku rasakan amat
 bersalah sekali kerana membenci ayah selama ini. Aku amat menyesal kerana selama
 bertahun-tahun aku memusuhinya. Ya Allah…ampunkanlah dosa-dosaku ini.
“ Sudahlah Tina. Tina tak salah. Semua ni berpunca daripada ayah. Ayah yang
 banyak buat salah dengan anak-anak ayah. Ayah telah banyak melukakan hati umi Tina.
Selama ni ayah buta menilai yang mana permata, yang mana kaca. Ayah yang patut
mintak maaf. Bukannya Tina. Ayah mintak maaf, Tina. ”
Aku lihat ada air mata jernih yang mengalir di pipi ayah. Aku terus memeluk 
ayah. Seketika kemudian aku turut memeluk umi. Aku tidak dapat menahan kesedihan ini
lagi. Umi turut ikut menangis. Hatiku terus berbunga, mekar kuntumnya membawa sinar 
kebahagiaan. Aku bahagia kini.

28

EPILOG

Sudah setahun lebih aku berada di Universiti Pendidikan Sultan Idris ini. Dahulunya aku
 begitu culah untuk menyesuaikan diri di sini, tetapi kini Alhamdulillah…aku tidak lagi
 berasa janggal. Aku menjadi lebih berdikari di sini. Aku sudah mula serasi dengan bumi
Tanjong Malim ini. Dahulu duniaku hanyalah rumahku dan sekolah pula adalah dunia
keduaku. Aku sedar kini, duniaku bukanlah sesempit itu.

“ Hello…Assalamualaikum umi. ”
“ Waalaikummussalam…” Kedengaran suara umi di hujung talian.
“ Umi dengan ayah sihat? Hakim macam mana? ” Tanyaku ingin tahu.
“ Kami semua sihat. Tina pulak sihat? ”
“ Sihat, umi, ” jawabku ringkas.
Aku dan umi terus rancak berbual di telefon. Inilah rutinku setiap hujung
minggu. Aku akan menghabiskan waktu malamku dengan menghubungi keluarga di
kampung. Ada sahaja cerita yang hendak aku sampaikan kepada umi dan ayah, tentang
 pelajaran, gelagat rakan-rakan, sikap pensyarah yang cerewet dan banyak lagi yang ingin
aku kongsi bersama. Kini, aku bahagia lagi. Semoga kebahagiaan ini tidak akan tercalar 
lagi…amin.

Kebahagiaan yang dikecapi hanyalah sementara. Hargailah kebahagiaan itu selagi kita
mampu kecapinya. Sesungguhnya kebahagiaan itu tidak pernah meninggalkan kita, tetapi
kita sendiri yang selalu lupa untuk menjaganya. Malahan, kita yang lari meninggalkan

29

kebahagiaan itu. Hargailah sesuatu yang kita miliki, kelak nanti pasti akan dikesali.
Kebahagiaan adalah anugerah daripada Allah. Jagalah ia bagaikan nyawa kita sendiri.

Kehidupan yang singkat ini seharusnya dipenuhi dengan kebahagiaan dan
keindahan, bukannya penuh dengan kekecewaan dan kepahitan. Kehidupan ini
sememangnya dipenuhi dengan kekejaman, terlalu rumit kehidupan ini. Jika kita tidak 
kuat, pasti kita akan kecundang di pertengahan jalan, tenggelam dalam lautan yang luas,
lemas dek lambungan gelombang kehidupan ini dan kalah sebelum sempat berjuang.
Oleh itu, kita harus tabah untuk tempuhinya. Biar setinggi manapun kita harus gapainya.
Biarpun sejauh mana perjalanan itu kita harus laluinya. Biar seluas manapun lautan kita
harus renanginya. Biar setinggi manapun gelombang kita harus rentasinya. Biarpun
sesukarnya sebuah perjuangan itu kita harus kuatkan keazaman, kita harus teruskan
kehidupan ini dan buktikan semua ini bukan penghalang untuk kita terus mengorak 
langkah bagi melakar sejarah yang gemilang.

Kehidupan ini adalah sebuah perjuangan yang akhirnya akan menuju titik 
sebuah pengakhiran. Hanya mereka yang cekal dan tabah sahaja dapat membina mercu
tanda bangsanya yang berjaya. Tiada kemenangan tanpa perjuangan. Janganlah jadikan
kesilapan orang lain itu sebagai penyebab kegagalan kita. Tiada guna kita mengorbankan
masa depan kita hanya kerana kesilapan orang lain. Jadikanlah kesilapan lalu sebagai
dorongan dan rangsangan untuk kita melakar kejayaan yang gemilang.

-TAMAT-

30

SEGMEN ILMU : ULASAN NOVEL

1.0 KESAN PSIKOLOGI & EMOSI MANGSA PERCERAIAN

1.1 Mengikut kajian David Mahl, University of Texas, perceraian ibu bapa
  boleh memberi kesan kepada perkembangan emosi anak-anak apabila
dewasa. Hal ini jelas tergambar dalam diri Tina. Tina menganggap kaum
lelaki itu umpama musuh baginya. Akibat daripada perceraian ibu
 bapanya, Tina telah mengambil sikap memusuhi kaum lelaki, terutamanya
ayahnya yang telah meninggalkan keluarganya kerana hendak 
mengahwini wanita lain. Di samping itu, Tina juga telah menjadikan
dunianya begitu sempit. Dunianya hanyalah dengan keluarganya dan
separuh lagi adalah alam persekolahannya. Keadaan ini telah mendesak 
Tina menjadi seorang yang pendendam.

1.2 Tina juga mengalami kerisauan dalam dirinya. Kerisauan (anxiety) adalah
  penting dalam teori psikoanalisis Freud. Menurut Sigmund Freud,
kerisauan ialah satu situasi tegang yang memotivasikan seseorang untuk 
 bertingkah laku. Terdapat tiga jenis kebimbangan, iaitu:
• Kebimbangan realiti : Kebimbangan hasil ketakutan kepada dunia
sebenar.

31

• Kebimbangan neurotik : Ketakutan yang berpunca daripada
 perasaan tidak dapat mengawal naluri untuk melakukan sesuatu yang
  bercanggah daripada moraliti yang menyebabkan seseorang itu
dihukum.
• Kebimbangan moral : Timbul apabila seseorang itu melakukan
sesuatu yang bercanggah dengan hati kecilnya, iaitu bahagian
 pemikirannya yang bermoral.

Dalam hal ini, Tina telah mengalami tahap kebimbangan realiti dan
moral. Pada tahap kebimbangan realiti, Tina takut untuk berhadapan
dengan masa hadapan yang belum pasti. Dia bimbang peristiwa hitam
dalam hidupnya akan berulang lagi, iaitu dikecewakan oleh orang yang
disayangi. Tina juga takut untuk menerima ayahnya kembali kerana
 bimbang ayahnya itu akan meninggalkan keluarganya sekali lagi.

Pada tahap kebimbangan moral pula, Tina sentiasa berada dalam
keadaan gelisah apabila ayahnya kembali ke pangkuan keluarganya.
Situasi ini wujud kerana Tina terpaksa menerima ayahnya hanya untuk 
membahagiakan ibunya, sedangkan dia sendiri tidak dapat menerima
ayahnya kembali. Di sini, Tina telah melakukan satu tindakan yang
 bercanggah dengan kemahuannya. Hal ini telah menyebabkan wujudnya
konflik dalam diri Tina.

32

2.0 HELAH BELA DIRI ( Self Defence Mechanism )

Dalam teori Freud, helah bela diri melindungi seseorang daripada tekanan
 perasaan dan kerisauan yang dianggap sebagai reaksi normal terhadap tekanan perasaan
yang dialami. Helah bela diri yang digunakan oleh Tina di dalam novel ini adalah dalam
situasi sublimasi ( sublimation). Sublimasi ialah situasi di mana seseorang itu menukar 
tenaga kekecewaan kepada suatu tingkah laku yang bermoral dan dipandang tinggi oleh
masyarakat.

Dalam hal ini, Tina yang kecewa dan terluka dengan sikap ayahnya telah
menjadikan peristiwa pahit itu sebagai rangsangan (stimulus) dan sumber inspirasi dalam
  pelajarannya. Tina mahu membuktikan kepada ayahnya bahawa dia sekeluarga boleh
hidup tanpa kehadiran ayahnya, malah kehidupan mereka jauh lebih baik lagi selepas
ayahnya meninggalkan keluarganya. Tina telah menjadikan luka semalam itu sebagai
satu motivasi dalam hidupnya untuk melakar kejayaan yang lebih gemilang. Akhirnya,
Tina telah berjaya dalam pelajaran dan melangkahkan kaki ke gerbang ilmu yang menjadi
impiannya selama ini.

3.0 HUBUNGAN / IKATAN KEKELUARGAAN DALAM ISLAM

Air dicincang tidak akan putus merupakan perumpamaan yang sering digunakan
untuk menggambarkan kekuatan ikatan silaturrahim antara ahli keluarga. Dalam al-Quran
dan hadis berkali-kali disebutkan betapa pertalian dalam keluarga amat penting. Malah,
  Nabi Muhammad s.a.w pernah menyatakan bahawa orang yang sengaja memutuskan

33

ikatan silaturrahim adalah bukan daripada umatnya. Dalam hal ini, perkara ini ada
dibangkitkan dalam perhubungan Tina dan keluarganya. Dapatlah di lihat di sini betapa
Kak Jue dan ibu Tina sentiasa memberi semangat dan kekuatan kepadanya untuk 
 berdepan dengan cabaran hidup.

Selain itu, perhubunga antara seorang ayah dengan anaknya juga tidak akan
terputus walaupun kedua-dua ibu bapa telah berpisah. Pada mulanya, Tina tidak dapat
menerima kehadiran ayahnya kembali. Namun, Tina telah mengubah sikapnya dengan
memaafkan ayahnya apabila menyedari hakikat ini. Bahkan dia telah memohon maaf 
kerana sikapnya itu. Tina berasa amat berdosa sekali kerana memusuhi ayahnya selama
ini.

34

BIBLIOGRAFI
Aina Emir (2004). Seharum Kasih. Shah Alam: Alaf 21 Sendirian Berhad.
Carolyn Keene (2000). Nancy Drew: False Impressions. Great Britain: Pocket Books.
 Norhayati Berahim (2001). Egois. Petaling Jaya: Alaf 21 Sendirian Berhad.
  Norzailina Nordin (2002). Untukmu Permata Hatiku. Petaling Jaya: Alaf 21 Sendirian

Berhad.
Shahnon Ahmad (1998). Seluang Menodak Baung.  Kuala Lumpur: Utusan Publications

& Distributors Sdn. Bhd.
Suppiah Nachiappan, Ramlah Jantan & Abdul Aziz Abdul Shukor (2008). Psikologi

 Pendidikan. Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd.
William Shakespeare (2004). The Winter’s Tale. New Delhi: Fortune Books.

35


Click to View FlipBook Version