The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by Unknown LAI ANN NA, 2020-05-10 23:19:48

Panduan Keselamatan Kanak-Kanak di Rumah

PENDAHULUAN

Kanak-kanak secara umumnya merupakan golongan bawah
umur yang masih belum mencapai baligh. Disebabkan kurangnya
pengalaman dan pendedahan dalam hidup, golongan kanak-kanak tidak
mempunyai kemahiran pengurusan masalah dan pemikiran yang matang
seperti orang dewasa. Buku ini membincangkan tentang panduan
keselamatan bagi kanak-kanak di kawasan tempat tinggal mereka. Hal ini
demikian kerana kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa dan di
mana-mana sahaja. Selain itu, kanak-kanak lebih terdedah kepada risiko
kemalangan serta kematian di tempat tinggal mereka sendiri kerana
golongan kanak-kanak lebih banyak meluangkan masa di rumah selain di
taska atau pusat jagaan untuk bermain dan mengeksplorasi benda-benda
baru.

Golongan kanak-kanak mempunyai minda yang sarat dengan
perasaan ingin tahu. Ini mendorong mereka melakukan sesuatu tanpa
memikirkan akibat yang bakal timbul selepas perbuatan tersebut
dilakukan. Kemalangan boleh berlaku jika tiada pengawasan dan langkah
awal pencegahan yang dilakukan oleh orang dewasa seperti ibu, bapa dan
penjaga. Hal ini bukan sahaja boleh membahayakan mereka sendiri
bahkan orang lain.

Panduan keselamatan untuk kanak-kanak adalah amat penting
agar mereka didedahkan tentang bahaya dan akibat sesuatu perbuatan
yang tidak sepatutnya dilakukan. Buku ini dapat menarik minat kanak-
kanak tanpa menakutkan mereka kerana dilengkapi dengan info-info
yang mudah difahami serta ilustrasi dan warna yang menarik. Buku ini
digalakkan untuk dibaca oleh ibu bapa dan kanak-kanak sebagai langkah
awal pencegahan kerana malang tidak berbau. Melalui pendekatan dan
cara yang sewajarnya, ibu bapa boleh mewujudkan tempat tinggal yang
bebas daripada malapetaka dan selamat untuk kanak-kanak.

1. JANGAN SEKALI-KALI BERMAIN DENGAN
API DAN BAHAN-BAHAN MUDAH
TERBAKAR

Bahan api seperti kayu, gas, minyak, kertas dan sebagainya
akan menyebabkan berlakunya kebakaran. Kebakaran
merupakan sesuatu bencana yang disebabkan oleh api atau
pembakaran tidak terkawal yang boleh membahayakan
nyawa manusia dengan mendatangkan kecederaan atau
kematian berpunca daripada terhidu asap ataupun melecur.
Selain itu, kebakaran juga boleh memusnahkan bangunan
seperti rumah.

Kecederaan Rumah terbakar Kematian

2. JANGAN BERMAIN AKTIVITI AIR TANPA
PENGAWASAN

Air merupakan cecair yang boleh menyebabkan sesuatu
permukaan menjadi licin kerana daya geseran iaitu daya yang
menentang pergerakan berkurangan. Oleh itu, bermain air
sehingga sesuatu permukaan seperti lantai menjadi basah
akan menyebabkan seseorang tergelicir lalu membawa
kecederaan kepada individu tersebut. Bermain tanpa
pengawasan orang dewasa di dalam suatu binaan yang
direka untuk diisi air seperti tab mandi juga mampu
mendatangkan maut jika seseorang tersebut lemas di dalam
air.

Tergelincir Lemas

3. JANGAN BERMAIN DAN MELETAKKAN
BEG PLASTIK DALAM KEPALA

Beg plastik yang sering digunakan untuk membawa barangan
tidak seharusnya disarungkan dalam kepala kerana beg
plastik yang tidak mempunyai liang untuk membenarkan
udara keluar masuk berisiko tinggi menyebabkan seseorang
maut kerana lemas akibat ketiadaan oksigen.

Kematian

4. JANGAN MENDEKATI DAN BERMAIN
ALATAN-ALATAN TAJAM DI RUMAH

Benda tajam tidak harusnya dijadikan bahan pemainan kerana
boleh menyebabkan kelukaan. Luka ini berpunca daripada
tusukan atau tikaman daripada objek-objek tajam seperti
pisau, gunting, paku, jarum, besi, kaca, pensel, pen dan
sebagainya. Ia juga akan menyebabkan lebam, bengkak,
kebiruan atau terdapat aliran darah keluar. Manakala luka
yang dalam akan mencederakan organ dalaman serta
pendarahan yang teruk dan boleh mengancam nyawa mangsa.
Kehilangan darah yang banyak dan jangkitan kuman boleh
menyebabkan kematian.

Pengaliran Darah Luka

5. JANGAN BERMAIN DENGAN PERALATAN
DAN PERKAKASAN ELEKTRIK

Elektrik merupakan suatu keperluan setiap rumah dan juga
keperluan dalam kehidupan harian. Kecederaan dan kejutan
elektrik biasanya berlaku akibat kecuaian. Elektrik boleh
mengalir menerusi bahan pengalir atau konduktor seperti
tubuh manusia, air, besi dan logam. Kejutan elektrik atau
kelecuran boleh berlaku disebabkan oleh pengaliran arus
elektrik dalam badan mangsa secara tidak sengaja.

Kelecuran Kejutan Elektrik

6. JANGAN BERMAIN DAN BERLARI-
LARI DI ATAS TANGGA DAN DI DALAM

RUMAH

Berlari atau bermain di atas tangga adalah amat berbahaya.
Banyak kemalangan berlaku akibat menurun tangga secara
tergesa-gesa dan menyebabkan kecederaan berlaku seperti,
patah kaki, luka di kepala, patah tulang dan sebagainya.

Tergelincir Kecederaan seperti:
Kaki patah

7. JANGAN MASUKKAN BENDASING KE
DALAM MULUT

Anak kecil sering tertarik dengan objek-objek yang bersaiz
kecil seperti duit syiling dan komponen kecil alat permainan
lalu memasukkannya ke dalam mulut. Perbuatan ini akan
menyebabkan kanak-kanak mudah tercekik dan seterusnya
mengganggu pengaliran udara ke paru-paru serta
menyebabkan kanak-kanak tidak boleh bernafas secara
efektif. Anak akan menunjukkan reaksi seperti sukar
bercakap, menangis, muka kebiru-biruan dan kelihatan
panik. Jika tiada bantuan diterima ketika insiden ini berlaku,
kematian boleh berlaku apabila saluran penafasan terhalang
sepenuhnya.

Tercekik Susah Bernafas

8. JANGAN BERMAIN-MAIN BERDEKATAN
TINGKAP DAN MEMBUKA TINGKAP
SENDIRI

Kanak-kanak suka memerhatikan perkara yang sedang
berlaku di luar rumah melalui tingkap kerana sikap ingin
tahu mereka tentang keadaan luar. Kanak-kanak akan
membuka tingkap sendiri atau menjenguk keluar dari
tingkap yang terbuka dan memanjat ke luar tingkap. Jika
kediaman rumah tersebut merupakan rumah bertingkat,
kanak-kanak akan jatuh dari tempat tinggi. Hal ini akan
menyebabkan kecedaraan yang teruk mahupun kematian.
Oleh yang demikian, tingkap rumah perlu sentiasa dikunci
bagi menjamin keselamatan kanak-kanak di rumah.

Jatuh dari
tempat tinggi

9. JANGAN BENARKAN ORANG YANG
TIDAK DIKENALI MASUK KE RUMAH

Kanak-kanak yang belum mempunyai pemikiran yang
matang dan kritis akan kurang berwaspada terhadap
perangkap orang yang tidak dikenali dan mudah
mempercayai dan mendengar kata-kata mereka yang cuba
memerangkap kanak-kanak untuk membuka pintu dengan
memberi gula-gula, alat permainan dan sebagainya. Perbuatan
kanak-kanak yang menurut kata-kata orang yang tidak
dikenali adalah amat bahaya kerana kemungkinan atau risiko
untuk berlaku penculikan dan kecederaan adalah tinggi. Oleh
itu, kanak-kanak harus diberi pendedahan untuk tidak
memberi orang yang tidak dikenali masuk ke dalam rumah
dan seharusnya meminta bantuan orang dewasa seperti
ibu,bapa dan penjaga.

Penculikan Kecederaan
kanak-kanak

10. JANGAN BERSENDIRIAN DI RUMAH
TANPA PENGAWASAN ORANG DEWASA

Berseorangan diri di rumah tanpa pengawasan daripada
orang dewasa adalah amat bahaya kerana ia memberi ruang
dan peluang kepada penjenayah untuk melakukan jenayah
seperti pecah rumah, rogol dan penculikan. Selain itu, kanak-
kanak terutamanya yang berusia dalam lingkungan 12 tahun
dan kebawah yang dibiar tinggal secara bersendirian di
rumah juga mempunyai risiko untuk mengalami kecederaan.
Hal ini demikian kerana kanak-kanak yang aktif dan mudah
berasa bosan akan sentiasa mencari permainan yang lebih
menarik sehingga bermain dengan peralatan dapur dan
sebagainya untuk menghilangkan kebosanan. Justeru, ibu
bapa memainkan peranan yang penting dalam memastikan
kanak-kanak di rumah sentiasa ditemani dan diawasi oleh
orang dewasa untuk mengelakkan berlakunya sesuatu yang
tidak dingini.

Kecederaan Penculikan

11. JANGAN BERMAIN DENGAN BAHAN-
BAHAN BERACUN

Syampu, bahan kosmetik, penyembur serangga serta
pembersih tangan yang mudah didapati di rumah
merupakan contoh bahan-bahan beracun sekiranya berlaku
penyalahgunaan produk itu selain fungsi asalnya.
Keracunan makanan atau kematian akan berlaku sekiranya
kanak-kanak termakan bahan tersebut. Selain itu, kebakaran
juga akan berlaku sekiranya bahan seperti tin aerosol tidak
dikendalikan dengan cara yang betul. Jika bahan beracun
seperti racun serangga terkena pada kulit, ia boleh
menyebabkan kegatalan dan kerosakan pada struktur kulit.
Oleh itu, kanak-kanak hendaklah menghindarkan diri
daripada bermain dengan bahan-bahan beracun yang boleh
menjejaskan kesihatan dan keselamatan diri dan orang lain.

Kematian Kegatalan kulit

12. JANGAN MENGAMBIL UBAT-UBATAN
TANPA PENGAWASAN IBU
BAPA/PENJAGA

Ubat-ubatan dihasilkan daripada bahan-bahan kimia dan
boleh diklasifikasikan sebagai kumpulan racun sekiranya
arahan penggunaan ubat-ubatan tidak dipatuhi. Kesilapan
penggunaan ubat-ubatan boleh meninggalkan kesan
sampingan kepada kanak-kanak seperti pening kepala, cirit-
birit, sakit perut, muntah dan sebagainya.Di samping itu,
tindak balas pada kanak-kanak terhadap ubat adalah lebih
cepat dan mempunyai risiko yang tinggi terdedah kepada
kesan toksik. Oleh itu, kanak-kanak hanya boleh memakan
ubat-ubatan yang diperlukan dengan adanya pengawasan
daripada ibu, bapa atau penjaga.

Sakit perut Muntah

13. JANGAN SENTUH PERALATAN ELEKTRIK
DAN PERALATAN YANG PANAS

Peralatan panas merupakan antara salah satu daripada
sumber utama berlakunya kecederaan kanak-kanak. Bermain
peralatan yang panas seperti seterika dan peralatan wayar
elektrik boleh membawa mudarat kepada diri sendiri. Hal ini
kerana, kanak-kanak tidak dapat membezakan peralatan yang
panas dan tidak panas. Justeru itu, apabila kulit kanak-kanak
terkena peralatan yang panas, kecedaraan seperti melecur
akan berlaku.

Kelecuran

14. JANGAN MEMANJAT DAN BERMAIN
DI TEMPAT YANG TINGGI

Kanak–kanak suka bermain dan memanjat tempat yang
tinggi seperti di atas kerusi atau di atas tangga. Kelakuan ini
amat berbahaya. Hal ini kerana, apabila berdiri di tempat
tinggi, mereka akan mudah hilang keseimbangan dan ini
boleh menyebabkan kecederaan seperti terseliuh, terluka
dan sebagainya.

Bengkak Terseliuh

15. JANGAN SESEKALI BERMAIN DI DAPUR
RUMAH

Dapur merupakan tempat untuk memasak dan sumber
bahan panas. Terdapat banyak peralatan elektrik seperti
pembakar roti, cerek air, perkakas dapur (sudu, garpu dan
senduk yang panas). Kanak-kanak boleh terlecur sekiranya
memegang peralatan yang panas. Oleh itu, kanak-kanak
haruslah tidak bermain di dapur dan berhati-hati dengan
peralatan dapur.

Tangan melecur Terluka

KESIMPULAN

Secara konklusinya, penjagaan keselamatan kanak-kanak
adalah tanggungjawab ibu, bapa dan penjaga. Demi menjamin
keselamatan kanak-kanak, para ibu bapa serta penjaga haruslah
mempersiapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran dalam
pengendalian kanak-kanak. Buku ini adalah salah satu cara untuk
membantu para ibu bapa dan penjaga dalam pengendalian kanak-kanak
yang semakin mencabar pada masa kini.

Selain itu, ibu bapa perlulah mengambil langkah-langkah
keselamatan seperti menyediakan peti kecemasan yang lengkap, tidak
meletakkan barang atau bahan berbahaya di tempat yang mampu
dicapai oleh kanak-kanak dan tidak membiarkan kanak-kanak
berseorangan di dalam rumah. Dengan adanya buku ini, kanak-kanak
dapat mengetahui tentang ertinya keselamatan dan pencegahan
daripada sebarang risiko di tempat tinggal.

Hasilnya, kanak-kanak bukan sahaja mampu menjaga diri
sendiri malah berkemampuan untuk mengawasi adik beradik yang
lebih kecil. Tambahan pula, objektif buku ini juga adalah untuk
mengajar kanak-kanak menjadi seorang yang berhati-hati,
bertanggungjawab dan pandai jaga diri.

Anak-anak perlu didedahkan di persekitaran yang sihat serta
kondusif. Justeru, setiap pihak yang terbabit perlu memainkan peranan
masing-masing dalam memastikan keselamatan kanak-kanak terjamin.


Click to View FlipBook Version