The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by ALEIYA MAISARAH BINTI OMAR IPG-Pelajar, 2025-03-07 10:10:40

E-PORTFOLIO EDUP3153

E-PORTFOLIO EDUP3153

PENGHASILAN E- PORTFOLIO ALEIYA MAISARAH BINTI OMAR TUGASAN 2 EDUP3153 PENTAKSIRAN DALAM PENDIDIKAN


ISI KANDUNGAN 1.0 Pengenalan 2.0 Instrumen pentaksiran 1 3.0 Instrumen pentaksiran 2 4.0 Instrumen pentaksiran 3 5.0 Penutup 6.0 Rujukan 7.0 Lampiran


PENGENALAN Penghasilan e-portfolio ini bertujuan untuk mengumpul, menilai dan melapor pelbagai instrumen Pentaksiran Bilik Darjah (PBD). Pengumpulan maklumat berkaitan instrumen pentaksiran telah dilakukan menggunakan kaedah pemerhatian, lisan dan bertulis di sebuah sekolah kebangsaan. Berdasarkan subjek Reka Bentuk dan Teknologi Tahun 4, Sejarah Tahun 5 dan Bahasa Melayu Tahun 6, pelbagai instrumen pentaksiran telah digunakan. Melalui kaedah pemerhatian, instrumen pentaksiran digunakan bagi menilai dan merekod penguasaan murid dalam kandungan pembelajaran, kemahiran, nilai serta tingkah laku mereka berdasarkan kriteria yang ditetapkan. Misalnya, berdasarkan pemerhatian yang dilakukan, guru subjek Sejarah menggunakan instrumen senarai semak dalam melakukan penilaian visual terhadap hasil kerja murid melalui penghasilan buku skrap. Selain itu, kaedah lisan turut digunakan dengan menemu bual guru mata pelajaran untuk mengetahui keberkesanan instrumen yang digunakan kepada murid pelbagai aras kognitif. Akhir sekali, kaedah bertulis digunakan dalam proses pengumpulan maklumat dengan mencatat senarai instrumen yang digunakan serta data berkaitan tahap penguasaan murid secara keseluruhan.


INSTRUMEN 1 SENARAI SEMAK


PENTAKSIRAN ALTERNATIF: PROJEK BUKU SKRAP KAEDAH: PEMERHATIAN Penghasilan buku skrap merupakan suatu pentaksiran alternatif yang digunakan oleh guru untuk menilai pemahaman serta kreativiti murid dalam sesuatu topik. Penilaian tersebut dapat dibuat menggunakan instrumen senarai semak. Misalnya, melalui mata pelajaran Sejarah Tahun 5, guru dapat menilai penguasaan murid berkaitan tajuk Perjuangan Kemerdekaan Negara dengan memberi tugasan kepada murid untuk menghasilkan buku skrap. Hal ini dapat mencapai standard pembelajaran 7.2.3 dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) Sejarah Tahun 5 iaitu menerangkan peristiwa penentangan tokoh terhadap campur tangan dan penjajahan kuasa asing. Murid dapat menunjukkan pemahaman mereka secara visual dan bertulis terhadap topik tersebut melalui gabungan gambar, ilustrasi serta maklumat bertulis. Guru dapat menilai penguasaan murid dalam topik tersebut melalui perancangan, pengumpulan serta kreativiti penghasilan tugasan berdasarkan kriteria dalam senarai semak. Kaedah pemerhatian digunakan untuk mentaksir proses dan hasil kerja murid (KPM, 2025). Pemerhatian secara langsung dilakukan untuk menilai sikap, kemahiran, tingkah laku serta penguasaan murid dalam sesuatu topik pembelajaran. Misalnya, guru menggunakan kaedah pemerhatian dalam menilai hasil buku skrap murid. Hal ini menyumbang kepada penglibatan aktif murid untuk menghasilkan projek buku skrap yang berkualiti untuk penilaian guru dan penentuan tahap penguasaan.


INSTRUMEN: SENARAI SEMAK Senarai semak digunakan oleh guru untuk merekod pemerhatian secara sistematik (May & Ahmad, 2020). Senarai semak menetapkan kriteria untuk menentukan perkembangan, pengetahuan, kemahiran, sikap serta kebolehan murid berdasarkan skala yang ditetapkan. Melalui kaedah pemerhatian, guru menggunakan senarai semak dalam melakukan penilaian terhadap penghasilan buku skrap. Keberkesanan instrumen senarai semak menyumbang kepada kualiti penilaian. Gambar 1: Contoh instrumen senarai semak


KEKUATAN INSTRUMEN Kekuatan instrumen senarai semak dapat dilihat dari aspek kesahan kandungan dan konstruk kerana terdapat penilaian berkaitan topik pembelajaran, kemahiran serta kreativiti. Hal ini dapat dilihat melalui pembahagian kriteria yang ingin dinilai dalam penghasilan buku skrap. Kekuatan seterusnya dalam aspek keobjektifan iaitu instrumen senarai semak menitikberatkan ketepatan maklumat dalam penilaian walaupun instrumen tersebut turut menerapkan penilaian elemen kreativiti. Melalui senarai semak yang digunakan, guru dapat memberi markah terhadap penghasilan buku skrap murid dengan cepat melalui penandaan pada skala yang bersesuaian berdasarkan pemerhatian guru. Hal ini menunjukkan kemudahtadbiran instrumen tersebut kerana dapat menjimatkan masa guru dalam melakukan penilaian. Instrumen senarai semak juga dapat mentafsir murid dengan baik kerana mempunyai skala bagi setiap kriteria penilaian. Hal ini membolehkan guru mengetahui tahap penguasaan murid berkaitan topik tersebut berdasarkan pemerolehan skala. Berdasarkan keputusan, murid yang memperoleh skala rendah akan diberi tindakan susulan untuk menguasai topik Perjuangan Kemerdekaan Negara.


KELEMAHAN INSTRUMEN Instrumen senarai semak mempunyai kelemahan dalam aspek penilaian yang tidak konsisten. Hal ini bermaksud guru yang mengajar sahaja melakukan penilaian tanpa melibatkan guru Sejarah lain untuk memberi markah terhadap penghasilan buku skrap. Hal ini mempunyai kesukaran dalam menentukan kebolehpercayaan instrumen kerana tidak mengetahui julat pemberian markah antara dua guru yang berbeza terhadap suatu hasil kerja murid. Sekiranya dua guru yang berbeza menilai dan markah yang diberikan hampir sama, hal ini menunjukkan instrumen tersebut mempunyai kebolehpercayaan yang tinggi. CADANGAN PENAMBAHBAIKAN Instrumen senarai semak dapat ditambahbaik dengan menyediakan ruang ulasan pada bahagian bawah bagi membolehkan guru memberi maklum balas yang lebih terperinci terhadap hasil kerja murid. Misalnya, guru mencadangkan penambahbaikan yang boleh dilakukan oleh murid. Hal ini menyebabkan murid melakukan penilaian kendiri dan bertanggungjawab terhadap pembelajaran mereka.


INSTRUMEN 2 RUBRIK


PENTAKSIRAN ALTERNATIF: PEMBENTANGAN KAEDAH: LISAN Pembentangan merupakan pentaksiran alternatif yang dijalankan oleh guru bertujuan membantu murid mengaplikasikan pembelajaran kepada rakan lain dan dapat menilai kembali kebolehan diri (Nurul, 2020). Misalnya, murid membentangkan hasil perbincangan mereka berkaitan topik pembelajaran iaitu Keselamatan Bengkel. Hal ini selari dengan standard pembelajaran 1.1.1 berdasarkan DSKP Reka Bentuk dan Teknologi Tahun 4 iaitu menyatakan peraturan keselamatan diri, bengkel, peralatan dan bahan. Hal ini membolehkan guru membuat pemerhatian pengetahuan dan kemahiran komunikasi secara langsung dalam bilik darjah. Murid juga akan lebih bermotivasi kerana meletakkan suatu usaha untuk mempersembahkan hasil akhir yang terbaik kepada rakan sekelas berdasarkan objektif pembelajaran yang perlu dicapai. Kaedah lisan digunakan untuk mentaksir murid dengan mudah dan cepat bagi mengesan perkembangan serta penguasaan mereka. (BPK, 2019). Lisan digunakan untuk menyampaikan sesuatu, mempengaruhi khalayak serta menyelesaikan masalah (Ikmal et al., 2022). Hal ini selari dengan aktiviti pembentangan yang dijalankan apabila guru mentaksir kemahiran komunikasi murid dalam penyampaian topik pembelajaran. Guru akan merujuk rubrik untuk menentukan penguasaan murid berdasarkan kriteria yang ditetapkan. Hal ini membolehkan guru mendapat maklumat tentang murid sertamerta dan memberi maklum balas kepada mereka.


INSTRUMEN: RUBRIK Rubrik merupakan instrumen pentaksiran yang digunakan melalui pembahagian tahap dan skor berdasarkan aspek-aspek tertentu dan mempunyai penerangan terperinci untuk menilai prestasi murid (Rozaini Abu Bakar, 2018). Gambar 2: Contoh instrumen rubrik


KEKUATAN INSTRUMEN Instrumen rubrik yang digunakan mempunyai kesahan yang tinggi melalui kesahan konstruk. Berdasarkan kriteria rubrik, kemahiran komunikasi murid dalam pembentangan seperti kebolehan membentangkan idea dengan jelas serta kualiti pembentangan dapat dinilai. Selain itu, instrumen rubrik mudah difahami dan digunakan oleh guru kerana mempunyai format yang ringkas serta jelas. Hal ini membolehkan guru memberi skor berdasarkan kriteria yang ingin dinilai semasa pembentangan. Rubrik juga mudah ditafsir kerana disertakan dengan kriteria yang ingin dinilai, tahap penguasaan murid serta justifikasinya. Hal ini dapat memberi maklum balas yang jelas kepada murid serta membantu mereka memahami perbezaan prestasi dengan mudah.


KELEMAHAN INSTRUMEN Instrumen rubrik yang digunakan mempunyai kelemahan dalam kebolehpercayaannya kerana tiada kaedah antara pemeriksa untuk memastikan skor yang diberikan terhadap pembentangan murid adil dan boleh dipercayai. Misalnya, guru RBT lebih cenderung memberi markah pembentangan dalam aspek kandungan manakala guru RBT lain memfokuskan pemberian markah terhadap penyampaian murid walaupun menggunakan instrumen yang sama. Hal ini berlaku kerana setiap guru mempunyai tafsiran berbeza dalam mentaksir murid walaupun telah disertakan kriteria yang terperinci untuk setiap aspek. Hal ini boleh disebabkan oleh pendapat peribadi dan sikap bias guru. CADANGAN PENAMBAHBAIKAN Antara cadangan penambahbaikan bagi instrumen rubrik ialah guru melakukan moderasi iaitu berbincang sesama guru untuk menentukan tahap penguasaan murid berdasarkan instrumen pentaskiran yang digunakan dengan mengambil kira keperluan serta ketepatan dalam DSKP. Hal ini bertujuan bagi mengurangkan jurang pertimbangan profesional antara seorang guru dengan guru lain dalam memberi markah menggunakan instrumen yang sama.


INSTRUMEN 3 LEMBARAN KERJA


PENTAKSIRAN ALTERNATIF: AKTIVITI MENULIS KARANGAN KAEDAH: BERTULIS Aktiviti menulis karangan dapat menilai penguasaan kemahiran menulis murid. Proses menulis memerlukan pengetahuan luas berkaitan topik karangan serta kebolehan menghuraikan dan memberi contoh yang sesuai (Avralinetine & Nurfaradilla, 2021). Justeru, lembaran kerja yang mempunyai grafik menarik dan arahan yang jelas digunakan bertujuan merangsang pemikiran murid serta menarik perhatian mereka. Contohnya, guru Bahasa Melayu dapat menilai penguasaan murid dalam kemahiran menulis melalui aktiviti menulis karangan. Hal ini dapat mencapai standard pembelajaran 3.3.1 dalam DSKP Bahasa Melayu Tahun 6 iaitu menghasilkan penulisan berformat dan tidak berformat secara koheren dan kohesi. Gambar yang diberikan dalam lembaran kerja dapat merangsang idea murid untuk menulis karangan berkaitannya. Hal ini membolehkan guru menilai kemahiran dan pengetahuan yang difokuskan melalui analisis jawapan murid. Kaedah bertulis digunakan oleh guru untuk mentaksir hasil penulisan murid. Misalnya, guru menilai penulisan karangan murid untuk mengesan perkembangan intelek serta kemahiran yang ditetapkan dalam DSKP. Justeru, guru perlu menetapkan objektif serta kemahiran yang ingin dicapai bagi membina soalan yang bersesuaian. Hal ini dapat membantu murid berfikir secara menyeluruh sebelum menjawab dan memudahkan guru menilai kemahiran yang diingini.


INSTRUMEN: LEMBARAN KERJA Lembaran kerja merupakan instrumen untuk menilai pemahaman dan kemahiran murid secara menarik melalui ilustrasi yang disediakan serta arahan soalan yang ringkas dan mudah difahami. Gambar 3: Contoh instrumen lembaran kerja


KEKUATAN INSTRUMEN Berdasarkan instrumen lembaran kerja, grafik yang disertakan ialah aktiviti berkelah bersama keluarga. Hal ini berkait dengan tema kekeluargaan dalam buku teks Bahasa Melayu Tahun 6 unit 2 iaitu Ke Sana Ke Sini. Hal ini menunjukkan kesahan kandungan dalam instrumen lembaran kerja kerana meliputi topik yang perlu dipelajari dan dikuasai oleh murid tahun 6. Instrumen pentaksiran ini juga mudah ditafsir melalui skor yang diberikan oleh guru terhadap jawapan murid. Misalnya, murid yang memperoleh markah cemerlang menunjukkan tahap penguasaan dan kemahirannya dalam sesuatu topik pembelajaran.


KELEMAHAN INSTRUMEN Antara kelemahan instrumen lembaran kerja ialah mempunyai kebolehpercayaan yang rendah. Hal ini demikian kerana hanya guru yang mengajar sahaja menilai dan menentukan tahap penguasaan murid tanpa melibatkan kaedah antara pemeriksa. Jadi, keberkesanan instrumen yang digunakan tidak dapat dinilai. Selain itu, guru memerlukan masa yang lama untuk mentaksir penguasaan murid melalui hasil penulisan karangan kerana perlu membaca dan menganalisis jawapan murid secara keseluruhan. Hal ini demikian kerana penulisan karangan melibatkan penilaian yang subjektif terutama dalam aspek kandungan, kreativiti dan pengolahan idea. CADANGAN PENAMBAHBAIKAN Antara cadangan penambahbaikan instrumen ialah setiap guru Bahasa Melayu berbincang terlebih dahulu tentang kriteria yang ingin dinilai supaya tiada perbezaan markah yang terlalu ketara semasa mentaksir hasil karangan murid. Guru juga menggunakan rubrik penskoran karangan yang meliputi gred, tahap penguasaan, julat markah serta kriteria yang membolehkan murid memperoleh markah tersebut. Hal ini membantu murid menilai tahap penguasaan mereka melalui maklum balas yang diberikan oleh guru secara terus.


KESIMPULAN Instrumen pentaksiran yang digunakan oleh guru di sekolah memainkan peranan penting dalam menilai perkembangan dan pencapaian murid secara holistik. Penggunaan instrumen seperti senarai semak, rubrik dan lembaran kerja memberi ruang kepada guru untuk menilai pemahaman dan kemahiran murid bukan sahaja melalui ujian bertulis tetapi juga melalui bentuk penilaian yang lebih kreatif dan menyeluruh. Guru dapat menilai kriteria seperti kreativiti, kerjasama dan kemahiran berfikir kritis. Guru juga dapat memberi maklum balas yang lebih terperinci dan menyokong perkembangan murid secara individu. 1606 patah perkataan


RUJUKAN Amir Hazim Lin, Hasdi Daud, & Aiman Hamidon. (2021). Bahasa Melayu Tahun 6 Sekolah Kebangsaan. Dewan Bahasa dan Pustaka Avralinetine Epin & Nurfaradilla Mohamad Nasri. (2021). Modul celik karangan: meningkatkan kemahiran dan minat murid tahun enam dalam penulisan karangan jenis fakta. Jurnal Dunia Pendidikan, 3(2), 130-143. https://ir.upsi.edu.my/files/docs/2020/47204720.pdf Bahagian Pembangunan Kurikulum. (2018). Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran Reka Bentuk dan Teknologi (Sekolah Kebangsaan) Tahun 4. Kementerian Pendidikan Malaysia. Bahagian Pembangunan Kurikulum. (2019). Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran Sejarah (Sekolah Kebangsaan) Tahun 5. Kementerian Pendidikan Malaysia. Bahagian Pembangunan Kurikulum. (2021). Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran Bahasa Melayu (Sekolah Kebangsaan) Tahun 6. Kementerian Pendidikan Malaysia. Bahagian Perkembangan Kurikulum. (2019). Panduan pelaksanaan pentaksiran bilik darjah (Edisi ke-2). Kementerian Pendidikan Malaysia. Kementerian Pendidikan Malaysia. (2025). Panduan pengurusan pentaksiran berasaskan sekolah PBS edisi 1 tahun 2025. May, Y.S., & Ahmad, N.A. (2020). Keperluan dan kepentingan untuk mereka bentuk dan membangunkan senarai semak Dyscalculia. Jurnal Pendidikan Sains dan Matematik Malaysia, 10(2), 8-14. Mohamad Ikhmal, A. A., Marzni, M. M., Md Mustakim, M. U. & Mohamad As Syafie, A. (2022). Penguasaan kemahiran lisan bakal guru Bahasa Melayu: tinjauan terhadap tahap pengetahuan, kemahiran dan masalah pembelajaran dalam talian semasa pandemik. Jurnal Dunia Pendidikan, 4(2), 103-114. Asian Scholars Network. Nurul Akmar Said. (2020). Pentaksiran alternatif: pentaksiran prestasi, autentuk, portfolio dan kaedah pelaksanaan pentaksiran prestasi. Sains Humanika 12, 2(2), 51-55. https://myjurnal.mohe.gov.my/public/article-view.php?id=156907 Rozaini Abu Bakar. (2018). Pembinaan dan penilaian ciri-ciri psikometrik rubrik pentaksiran berasaskan prestasi kemahiran abad ke-21 dalam latihan mengajar. https://eprints.usm.my/50202/1/ROZAINI%20BIN%20ABU%20BAKAR_hj.pdf


LAMPIRAN Lampiran 1: Penghasilan buku skrap Lampiran 2: Aktiviti pembentangan


LAMPIRAN Lampiran 3: Rubrik penskoran karangan Lampiran 4: Hasil penulisan karangan murid


LAMPIRAN Lampiran 5: Analisis PBD Bahasa Melayu Lampiran 6: Analisis PBD Sejarah


SEKIAN TERIMA KASIH TUGASAN 2 EDUP3153 PENTAKSIRAN DALAM PENDIDIKAN


Click to View FlipBook Version