TEKS UCAPAN
PN LAU KIM HWA
PENGETUA
SMK CONVENT SENTUL
SEMPENA
MAJLIS PERSARAAN
PN TIAN LEE YUAN
(PK PENTADBIRAN)
&
MAJLIS PERPISAHAN
PN MADIHAH @ SARAH ASIYAH
BT MANSOR
(KAUNSELOR)
(25 OKTOBER 2021)
Terima kasih pengerusi majlis.
Yang Diraikan Puan TIAN LEE YUAN dan Puan Madiha @
Sarah Aisyah bt Mansor,
Yang Dihormati Puan Nor Aswalela bt Abdullah, Penolong
Kanan Hal Ehwal Murid,
Puan Nazlina bt Md Nor, Penolong Kanan Kokurikulum,
Puan Suraya bt Zainal, Penolong Kanan Petang,
En. Joehary bin Sulaiman, YDP PIBG,
Guru-guru Kanan Mata Pelajaran,
guru-guru, barisan PIBG, dan para tetamu sekalian.
Selamat sejahtera.
Saya sangat bersyukur kerana pada hari ini saya diberi ruang
dan peluang untuk menyampaikan sepatah dua kata dalam
majlis yang penuh bermakna ini. Terima kasih kerana sudi hadir
dalam majlis ini yang diadakan khusus untuk meraikan
persaraan Penolong Kanan Pentadbiran, Puan Tian Lee Yuan
dan perpisahan kaunselor sekolah kita iaitu Puan Madiha @
Sarah Aisyah bt Mansor.
Selama setahun saya mengenali Puan Tian Lee Yuan yang telah
berpindah ke sekolah kita pada tahun 2020 sebagai PK
Pentadbiran, saya berpendapat bahawa beliau seorang guru
yang sejati dan berjaya melaksanakan segala tugas keguruan
dan pentadbiran beliau dengan cemerlang.
Hari ini, 25 Oktober, setelah berkecimpung dalam dunia
keguruan sejak tahun 1986, akhirnya telah tiba waktunya untuk
Puan Tian Lee Yuan bersara pada hari lahir ke-60 beliau.
Pengalaman 35 tahun beliau sebagai guru cukup luas walaupun
di sekolah kita hanya sempat menaburkan jasa dan bakti selama
setahun lebih sahaja. Namun saya percaya, dalam waktu yang
singkat itu, berbekalkan pengalaman yang ada, beliau begitu
komited dan bersungguh-sungguh memastikan kemenjadian
murid dan membina kejayaan murid-murid kita.
Saya juga sangat berbesar hati dan mengucapkan ribuan terima
kasih kepada kaunselor sekolah kita, Puan Sarah yang telah
berkhidmat menabur bakti di sekolah kita selama 16 tahun.
Namun sayangnya, kita terpaksa akur bahawa beliau tidak lagi
akan bertugas di sekolah kita. Walaupun berat hati ingin
melepaskan beliau, kita tetap doakan semoga beliau terus
cemerlang di sekolah baharu.
Saya percaya bahawa warga SMK Convent Sentul akan berasa
kehilangan dua orang pendidik yang berdedikasi dan prihatin,
lebih-lebih lagi murid yang pernah menerima bimbingan beliau,
dan rakan sejawatan kerana beliau seorang yang mudah mesra
dan tidak lokek berkongsi kepakaran, pengalaman dan nasihat.
Sesungguhnya seluruh warga sekolah amat menghargai segala
jasa bakti yang dicurahkan oleh Puan Tian Lee Yuan dan Puan
Sarah. Perkhidmatan, pengorbanan dan sumbangan Puan Tian
Lee Yuan dan Puan Sarah yang tidak pernah mengenal erti
penat lelah telah membawa Sekolah Menengah Kebangsaan
Convent Sentul ke satu tahap yang lebih baik dan
membanggakan pada hari ini. Saya berharap semua usaha ini
akan diteruskan oleh Penolong Kanan Pentadbiran baharu yang
akan mengambil alih kelak.
Kita amat terhutang budi terhadap perkhidmatan, pengorbanan
dan kejayaan yang telah disumbangkan oleh Puan Tian Lee
Yuan dan Puan Sarah sepanjang berkhidmat di sini. Setiap
kebaikan yang ditinggalkan pastinya akan menjadi ikutan dan
pendorong semangat kepada kita.
Saya mewakili semua pentadbir dan guru-guru, ingin mengambil
kesempatan memohon kemaafan andai tersilap kata. Maafkan
kami jika ada perlakuan dan tutur kata yang menyinggung
perasaan. Segala jasa bakti Puan Tian Lee Yuan dan Puan
Sarah sepanjang berkhidmat di sekolah ini akan kami kenang.
Saya akhiri ucapan saya dengan pantun:
Malam hari berlagu unggas
Memecah kesunyian di dalam hutan
Walaupun terpisah tempat bertugas
Budimu tuan dalam ingatan
Tuai padi antara masak
Esok jangan layu layuan
Intai kami antara nampak
Esok mesti rindu-rinduan
Sekian, Terima Kasih.