KERTAS KERJA PROGRAM KOTA SUFI KONSEP ASAS MARTABAT TUJUH MENGIKUT ALMARHUM TUAN GURU HAJI DAUD AL-LIBADI, KELANTAN PENGENALAN Asal perbincangan martabat tujuh ini bermula apabila makhluk ini dijadikan sebagai dalil dan mazhar untuk mengenal dan mengingati Allah SWT. Bermula tiap-tiap perkara sama ada Allah Taala dan lain daripadanya itu ada dua yakni sesuatu yang berdiri dengan sendirinya iaitu dinamakan dia sebagai zat dan suatu lagi itu yang berdiri dengan yang lain yakni dengan zat itu iaitu dinamakan dia dengan sifat. Zat dan sifat itu telah menghukum akan keduanya oleh akal dengan tiga hukuman dinamakan dia hukum aqli iaitu Pertama tidak tetap ada iaitu dinamakan dia wajib Kedua tetap tiada itu dinamakan dia mustahil Ketiga tiada tetap keduanya itu dinamakan dia Jawaz yakni harus Zat Allah dan segala sifatnya kesemuanya itu wajib melainkan satu jua iaitu sifat af'alnya maka iaitu harus dan tiap-tiap harus itu boleh ada dan boleh tiada dan boleh berbilang-bilang beberapa banyak Sungguhpun boleh berbilang-bilang tetapi berlaku mulai kejadiannya itu satu jua tiada berbilang-bilang atau lebih
Dibangsakan yang satu itu dengan bangsa manusia dan dinamakan dia dengan nama roh dan dengan nama Muhammad sallallahu alaihi wasallam Dan dicawangi daripada yang satu dan dikeluar daripadanya akan tak terhingga banyak cawangannya dan pengeluarannya selama-lama hingga jadi sebuah Alam daripada dunia hingga akhirat, bangsa kasar dan berhalus, dapat kesemuanya itu dengan segala pancaindera atau dengan mana-mana satu daripadanya. Dan berhakikat tiap-tiap satu daripada cawangan dan juzuk bagi sebuah Alam itu dengan nama haqiqat Muhammadiyah belaka. Kerana sekeliannya itu berasal dan berbenih kepada bangsa manusia yang bernama dengan nama Muhammad itu Tetapi tenggelam dan tersembunyi nama hakikat Muhammadiyah dan bangsa manusia dan nama Muhammad itu kerana timbul dan masyhur nama masing-masing cawangan dan juzuk dan bangsa tersebut. Dinama akan timbul haqiqat Muhammadiyah dan masyhur iaitu dengan nama TA'AYYUN yakni Zahir hakikat Muhammadiyah dan timbulnya Dan dinamakan tenggelam haqiqat Muhammadiyah dan tersembunyinya itu dengan nama LA TA'AYYUN yakni tiada timbul dan tiada zahir dan tiada nyata Dan telah diatur akan kedudukan hakikat Muhammadiah itu pada pihak TA'AYYUNnya dan LA TA'AYYUNnya oleh ulama-ulama kepada tujuh martabat dan dinamakan dia oleh orang dengan nama ilmu martabat tujuh iaitu ahadiyah, wahdah, wahidiyah, alam arwah, alam misal, alam ajsam dan alam insan al-kamil. OBJEKTIF ILMU MARTABAT 7 Bermula maksud dengan ilmu martabat tujuh dengan ringkas ini ialah hendak mendapatkan dengan dia akan tiga perkara: Pertama, hendak mengetahui akan salsilah kejadian alam ini, Kedua, hendak mengetahui siapakah boleh jadi tukangnya,
Ketiga, hendak pandang kepada kedua-dua pihak itu supaya nampak dan reti dan terbuka pintu kepada murakabah akan tukangnya yakni Allah Ta'ala dan kepada makrifat akan dia dan kepada musyahadah akan dia. Maka hasillah baginya dengan pandangan itu oleh bermacam-macam kehasilan kerana mengikut bagi masing-masing pandangan yakni maqam Faraq atau makan Jama' atau maqam Baqa. Dan kehasilan itu ialah Ilmu Yaqin atau Ainul Yaqin atau Haqqul Yakin dan dzauq-dzauq akan nikmat-nikmat yang demikian itu. Dan maksud dengan pandang disisi ilmu usuluddin itu iaitu ingat dan fikir dan tilik. Dan disisi ilmu ehsanuddin itu iaitu bergembira hati, syurnya dan dzaqnya dan syuhudnya atau umpama yang demikian itu. PENERANGAN PERTAMA Telah maklum bahawasa sebuah alam ini, daripada dunia hingga akhirat, dan segala cawangannya, dan segala bangsanya, yang zahir daripadanya dan yang batin daripadanya seperti roh-roh dan tubuh-tubuh dan arashy dan kursiy dan luh dan qolam dan dunia dan akhirat dan syurga dan neraka dan langit dan bumi dan zat dan sifat dan nikmat dan bala dan batuan dan tumbuhan dan malaikat dan jin dan binatang-binatang manusia dan lain-lain lagi kesemuanya itu sungguhpun tidak terhingga banyaknya dan tidak berputus putus adalah:, Berbenih ia dengan satu benih jua dan berhakikat ia satu hakikat jua iaitu benih roh Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam dan hakikat Muhammadiyah jua tiada lain daripadanya sekali-kali. Alangkah ajib dan sangat hairan dan sangat pelik kerana dijadikan dia daripada ketiadaan sesuatu benih dan ketiadaan sesuatu hakikat dan ketiadaan sesuatu teladan (contoh) pun. Serta pula dijadi daripadanya akan beberapa banyak cawangan dan beberapa banyak bangsa yang ketiadaan berputus dan ketiadaan terhingga.
Maka Siapakah boleh jadi tukangnya dan apakah kewajipan sifat bagi tukangnya dan kemustahilan baginya dan keharusan baginya hingga tasawur akal dan terimalah dengan boleh jadi tuannya dan Jadi tukang nya dan jadi pemerintah nya dan jadi pentadbir nya. Maka betapa apa pula tidak jadi syatah dan tidak jadi sukru dan tidak jadi jama' dan Fana' bagi pandang pemandang hingga rasa masing-masing ahli yang demikian itu akan bermacam-macam hal dan bermacam-macam nikmat kesedapan, ما ال عين ر أت وال أذن سمعت وال خطر على قلب بشر Yakni barang yang tiada pernah mata melihat akan dia dan tiada pernah telinga mendengar akan dia dan tiada pernah terlintas atas hati manusia Dan hingga tiada ingin dan tiada mahu empunyanya itu kepada kesedapan dunia dan kesukaannya dan kemuliaannya dan kemegahannya dan kebesarannya dan ketinggiannya, bahkan kepada perkara-perkara demikian itu di negeri akhirat pun tiada mahu dan tiada ingin juga. Sebagaimana dipandang akan hal-hal demikian itu pada zahir Anbiya dan Aulia dan Sufiyyin Maka di sinilah dapat nampak pandang pemandang dan fahamnya dan terbuka pintunya kepada muraqabah akan tukangnya dan kepada makrifat akan dia dan musyahadah akan dia dan dapat nikmat-nikmat kesedapan yang demikian itu. Tiada dapat diketahui akan kedapatan yang demikian itu bagi yang lain daripada empunyanya dan ahlinya melainkan akan alamat-alamat pada ampunannya jua iaitu seumpama syatahnya dan sukrunya dan fana'nya dan lain-lainnya. PERBICARAAN MARTABAT TUJUH Maka dipanggil akan kejadian Nabi Muhammad pada martabat Ahadiyyah itu dengan nama La Ta'ayyun ertinya tiada nyata.
Yakni tiada nyata kejadian Nabi Muhammad kerana pandangan itu pandang kepada semata-mata zat tukangnya yaitu Allah Ta'ala jua yang menunjuk atas ada perkara yang ditukangi akan dia iaitu kejadian Nabi Muhammad dan tidak pandang kepada diri kejadiannya itu sendiri (hakikat Muhammadiyah) dan kepada sarangnya iaitu enam sifat yang berta’luk akan dia sebagai takluk tanjizi atau ta’luk suluhi iaitu sifat Ilmu dan Kalam dan Iradat dan Qudrat dan Sama' dan Bashar. Dan dipanggil akan kejadian Nabi Muhammad pada martabat Wahdah itu dengan nama syuun al-zat dan dengan nama Ta'ayyun Awwal ertinya nyata yang pertama. Yakni sebelum daripada martabat Wahdah ini, tidaklah nyata kejadian Nabi Muhammad dan sarangnya itu lagi. Dan adapun pada martabat wahdah ini barulah nyata sebagai nyata yang pertama, itu pun bukan nyata dirinya sendiri hanya nyata sarangnya jua kerana pandangnya itu pandang kepada dua perkara jua iaitu zat tukangnya dan sifat tukangnya jua. Maka iaitu menepati pandang kepadanya sendiri. Dan dipanggil akan kejadian Nabi Muhammad pada martabat Wahidiyyah itu dengan nama A’yan Thabitah ertinya perkara-perkara yang sabit dan dengan nama Ta'ayyun Thani ertinya nyata yang kedua. Yakni kejadian Nabi Muhammad sebelum ini bukan sabit dirinya sendiri hanya ada sarangnya yakni sifat-sifat berta’luk tukangnya jua, makanya itu menepati sabitnya juga dengan sebab ada sarangnya itu. Dan di sini yakni pada martabat Wahidiah, maka sabit dirinya sendiri tetapi thabit di dalam sarangnya itu jua, maka menepati ia nyata yang kedua. Dan dipanggil akan kejadian Nabi Muhammad pada martabat Alam Arwah itu dengan nama Nur Muhammad dan roh Muhammad dan A'yan Khorijah ertinya perkaraperkara yang keluar daripada sarangnya. Dipanggil akan kejadian Nabi Muhammad di sini dengan Nur Muhammad itu bukanlah Nur itu dengan makna cahaya cerah kerana ia adalah zat dan jauhar, manakala cahaya cerah itu adalah sifat. Dan berkenaan dipanggil akan dia dengan Nur itu kerana dijadiakan dia daripada tiada kepada ada. Maka tiada itu menepati zulmah
yakni gelap dan ada itu menepati Nur yakni cerah dan disandarkan nur itu kepada Muhammad kerana Muhammad itu nama bagi kejadian itu. Bermula Ruh yang jadi benih dan asal bagi sekalian alam ini bukan berbilangbilang hanya satu jua iaitu roh Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam. Dan berkenaan dipanggil akan martabat yang keempat itu dengan nama alam Arwah yakni alam segala roh padahal bicara akan kejadian roh Nabi Muhammad juga kerana ikhtibar berkumpul cawangannya itu beberapa banyak cawangannya yang berlemah lembut dan berhalus and dan bersih belaka. Bukan sekali-kali diambil akan zat Allah Ta'ala atau juzuk zatNya atau manamana sifatNya itu, maka diperbuat akan roh Nabi Muhammad kerana yang demikian itu pegangan atau i’tiqad kufur. Dan bukan diambil akan syuun al-zat atau A'yan thabitah itu diperbuat akan roh Nabi Muhammad, hanya yang demikian itu sebagai pelan bagiNya jua. Bukan juga diambil akan apa-apa daripada mumkinat ini, maka diperbuat akan dia, kerana ia permulaan sesuatu yang dijadikan dia daripada tiada kepada ada, tiada daripada yang lain daripadanya itu sekali-kali jadi benihnya, kerana yang demikian itu menolak akan makna permulaannya, daripada tiada kepada ada dan akan demikian tersebut menolak makna kaainnya sebagai benih bagi sekelian alam. Dan dipanggil akan kejadian Nabi Muhammad pada martabat Alam misal itu dengan nama Alam misal kerana roh Nabi Muhammad pada martabat itu berpecah daripada kumpulan yang di martabat alam Arwah itu kepada ketiadaan terhingga banyak cawangannya, dan bagi tiap-tiap cawangannya itu masing-masing misal yakni masing-masing rupa dan masing-masing bangsa dan lain-lain lagi. Ada yang berbangsa rohani dan ada yang berbangsa jasmani, ada yang berbangsa Zatiyy dan ada yang berbangsa sifatiyy dan ada lain-lain lagi. Tetapi dimasyhur kehendaknya di alam Mithal ini dengan bangsa roh-roh manusia jua. Dan dipanggil akan kejadian Nabi Muhammad pada martabat alam Ajsam ini dengan nama alam ajsam kerana masyhur pada alam misal dan dahulu daripadanya itu
bicara roh-roh manusia, maka munasabahlah disini dibicara akan sarang-sarang nya iaitu ajsamnya yakni tubuh-tubuh baginya. Dan dipanggil akan kejadian Nabi Muhammad pada martabat Insan al-Kamil ini dengan nama Insan al-Kamil kerana kejadian manusia dimartabat ini cukup sempurna dengan roh dan tubuh dan sifat-sifat yang di luarnya dan di dalamnya dan pendapatan yang di luarnya dan di dalamnya dan lain-lain lagi. Apatah lagi pada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam asal bagi sekalian alam dan benihnya sendiri maka iaitu ialah Akmalul Kamilina Sallallahu Alaihi Wasallam. KESIMPULAN Bermula ringkasan hasil pada kejadian nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam itu 3 perkara: Pertama, bahawasanya ia adalah perbuatan Allah Kedua, bahawasanya ia adalah mumkin Dan ketiga, bahawasanya ia adalah bangsa manusia yang dinamakan dia dengan nama Muhammad. Oleh kerana tersembunyi kejadian dan namanya yang tersebut itu, lalulah dipanggil akan dia dengan nama haqiqat Muhammadiyah dan ada baginya beberapa panggilan yang lain seperti mahiah mumkinat, mahiah kainat dan haqiqatul kauni. Haqiqat Muhammadiyah pada tiga martabat iaitu martabat ahadiyah, wahdah dan wahidiah itu sebelum dijadikan dia lagi. Maka tiadalah ia ada hakiki, hanya ada i'tibari zilly dan majazi jua. Hanya pada empat martabat iaitu martabat Alam arwah dan alam misal dan alam ajsam dan alam insan al-kamil itu barulah dijadikan dia. Maka adalah ia ada secara Hakiki hingga boleh didapat akan dia dengan kesemua panca Indera atau dengan setengah-setengahnya.
Kata sayyidi Ahmad Bin Idris ampunya Tariqah Ahmadiah radiallahuanhu wa amaddana bi madadihi: "Maka ia Sallallahu Alaihi Wasallam itu hakikat al-kaun bagi alam ini seperti bahawa sepohon kayu itu ada baginya itu daun-daun dan ranting-ranting dan cawang-cawang dan akar-akar dan batang-batang dan bunga-bunga dan buah buah, dan bermula hakikat kesemuanya itu syazarun yakni kayu. Maka doanya bagi dirinya itu ialah Ain doanya bagi umatnya. Maka barangsiapa bersih hatinya dan tawajjuh ia yakni berhadap ia dengan dia kepada Allah Ta'ala dengan wasitah Rasulillahi Sallallahu Alaihi Wasallam, nescaya terpancarlah daripada hatinya oleh beberapa mata air hikmah dan mengambil hatinya itu akan Nur Ilahi. Maka kuatlah ia dengan kekuatan penerimaan wasitah Rasulillahi Sallallahu Alaihi Wasallam itu". Rujukan Tuan Guru Haji Daud bin Haji Umar al-Libadi, t.t, Kitab Risalah Tasawwuf, Pondok Bukit Abal, Pasir Puteh, Kelantan.