1 PERANAN DAN PENGARUH SYEIKH MUHAMMAD SAID AL-LINGGI DALAM PENYEBARAN TAREQAT SUFIYAH DI NUSANTARA1 DR SHUHADAK MAHMUD: AJK FATWA JAB MUFTI NS DAN SYAIKH TAREQAT JAKFARIAH AHMADIAH MUHAMMADIAH ABSTRAK SAYYIDI AL-‘ALLAMAH SYAIKH MUHAMMAD SAID AL-LINGGI MERUPAKAN SEORANG TOKOH SUFI YANG TERSOHOR. NASAB MULIA DARIPADA KELUARGA ULAMA DISEBELAH IBU DAN BAPANYA YANG MENEKANKAN PENDIDIKAN AWAL DENGAN AL-QURAN. PENDIDIKAN LANJUTAN BELIAU IALAH DI AL-HARAMAIN MEKAH DAN MADINAH SERTA TURUT BERKESEMPATAN MENIMBA ILMU DI AL-AZHAR AS SYARIF. DENGAN BARISAN MASYAYIKH ULUM SYARIAH YANG RASIKHIN MELAYAKKAN BELIAU MENERIMA AMANAH UNTUK MENJADI MURSYID BAGI TAREQAT AHMADIYAH DI NUSANTARA OLEH GURUNYA AL-IMAM SYAIKH MUHAMMAD BIN AHMAD ALDANDARAWI. SELAIN BERGIAT DI NEGERI SEMBILAN, BELIAU JUGA BANYAK MERANTAU SAMBIL MENYEBARKAN ILMU-ILMU KEISLAMAN, KHUSUSNYA ILMU SUFI DAN KEROHANIAN. PENGARUH BELIAU MELEBAR KE NEGERI KEDAH, PAHANG, JOHOR, TERENGGANU, SINGAPURA, INDO CHINA (SAIGON), SIAM (AYUTHIA) DAN KELANTAN. SYAIKH SAID LINGGI MERUPAKAN SEORANG FAQEH DAN DAIE’ ILA ALLAH A’LA BASIRAH BAGI MEMIMPIN PARA SALIKIN DAN MUHIBBIN TAREQAH AL AHMADIAH AL RASYIDIAH AL-DANDARAWIAH. SUMBANGAN DAN PENGARUH BELIAU BOLEH DINILAI PADA ZURIAT YANG SOLEH, ANAK DIDIK ULAMAK, PENGHASILAN KITAB DAN KARYA YANG BERMUTU, AMALAN DAN AWRAD YANG MENARIK WARIDAT RABBANIAH, PONDOK DAN MASJID YANG DIBINA SEBAGAI ZAWAIAH DAN MADRASAH TARBAWI YANG MELAHIRKAN UMMAH YANG CINTAKAN ALLAH DAN RASULNYA MENERUSI MEDIUM TAREQAT INI. PERANAN DAN PENGARUH SYEIKH MUHAMMAD SAID ALLINGGI DALAM PENYEBARAN TAREQAT SUFIYAH DI NUSANTARA MENJADI PENDORONG UNTUK GENERASI PADA HARI INI UNTUK MENYAMBUNG DAN MENERUSKAN 1 ) KERTAS INI DEBENTANGKAN SEMPENA PROGRAM KOTA SUFI SE NUSANTARA DI MASJID SRI SENDAYAN N.SEMBILAN PADA 25-27 OGOS 2023.
2 LEGASI WIRATHAH TARBIAH RUHIYAH, SULUKIYAH DAN SYARIAH BELIAU. MENARIKNYA SEMINAR KOTA SUFI SE-NUSANTARA INI BERSEMPENA SAMBUTAN HOL 100 TAHUN KEWAFATAN AL IMAM MUHAMMAD SAID ALLINGGI (1345 – 1445H ) NAMA DAN NASAB Nama lengkap Haji Muhammad Said bin Haji Muhammad Jamaluddin bin Haji Idris. Dikenali juga dengan panggilan al-Syaikh Muhammad Said al-Linggi al-Jawi. Putera beliau Saidi Syaikh Ahmad memperkenalkan ayahandanya : yang sangat lagi muhaqqiq, yang sangat luas faham lagi mudaqqiq penghuluku al Ustaz al Syaikh Muhammad Saeid ibn al-‘Allamah al kabir al barakah al- Syahir alSyaikh Jamaluddin al Linggi al Makki 2 . Datuknya, Haji Idris adalah anak kepada Hajjah Rahimah binti Khatib Musa bin ‘Amaluddin bin Awaluddin @ Dato’ Awal bin Faqih @ Daeng Abdul Malik adalah seorang alim yang salih lagi keramat. Hampir separuh dari usianya dihabiskan di kota ilmu Makkah kerana menuntut ilmu. Haji Idris berketurunan campuran Minangkabau-Bugis Linggi. Ini adalah kerana isteri Khatib Musa yang bernama Zalikha adalah anak seorang pembesar di Kampung Semabuk, Minangkabau. Manakala Dato’ Awaluddin pula disebut-sebut sebagai peneroka daerah Linggi(1783) di Negeri Sembilan. Satu sumber lain mengatakan nasab sebelah datuk bapanya sampai ke Saidina Abdullah bin Abbas, sepupu Rasulullah s.a.w. Dikatakan demikian kerana suami Hajjah Rahimah, iaitu Haji Abdul Mu’min Linggi bin Syeikh Muhammad Nakhoda Minangkabau bin Ahmad bin Umar bin Saleh bin Abdullah adalah berasal dari Hadramaut. Namun, Syaikh Wan Mohd Saghir Wan Abdullah mempersoalkan keabsahan kenyataan ini. Katanya : Nama lengkapnya Syeikh Muhammad Said bin Syeikh Jamaluddin Linggi bin Haji Idris bin Haji Abdul Mukmin Linggi bin Syeikh Muhammad Nakhoda alMinankabawi. Sampai di sini sahaja nasab yang telah disepakati, dan seterusnya yang masih dipertikaikan ialah Muhammad Nakhoda al- 2 ) Majmu’ ms 86 .
3 Minankabawi bin Ahmad bin Umar bin Shalih bin Abdullah, berasal dari Hadhralmaut, Yaman. Beliau dilahirkan pada tanggal 3 Syaaban 1292 Hijrah/1875 Masihi dan meninggal dunia pada 12 Rabiulawal 1345 Hijrah3 Bapanya sendiri, Haji Jamaluddin (1835-1888) adalah seorang tokoh ulama’ Melayu Negeri Sembilan yang pernah diberi kepercayaan mengajar di Masjid alHaram semasa bermukim di kota Makkah. Dia terkenal zuhud, qana’ah dan dikurniakan pelbagai karamah. Diceritakan pada hari kematiannya, dia tidak meninggalkan sebarang wang walau sesen pun! Ibunya, Hajjah Safiah binti Haji Muhammad Saleh al-Fatani adalah seorang Qariah yang terkenal elok bacaanya lagi penyantun. Pernah menjadi guru Qira’at alQuran baik semasa tinggal di Makkah mahupun ketika berada di Patani. Muridmuridnya tidak terbilang kerana terlalu ramai. Manakala datuk sebelah ibunya, Haji Muhammad Saleh al-Fatani yang masyhur keramat itu adalah seorang guru pondok yang terulung pada zamannya. Murid-muridnya tidak kurang 500 orang pada satu-satu masa. Haji Muhammad Saleh berkahwin dengan Hajjah Mariam, juga terkenal dengan kesalihannya. Bapa Hajjah Mariam, Syaikh Abdul Rashid al-Fatani pula adalah seorang tokoh ulama’ yang termasyhur pada zamannya, dianugerahi Allah dengan beberapa banyak keistemewaan yang tersendiri 4 . Ringkasnya, sohib al manaqib yang dibacarakan ini lahir di tengah-tengah rumpun keluarga alim ulama’ yang terkemuka dan alim turuntemurun. Kelahiran: Muhammad Said dilahirkan di perkampungan Syi’b Ali Makkah pada hari Sabtu yang keempat atau yang ketiga daripada bulan Sya’ban tahun 1292 yang bersamaan dengan 25 atau 18 September 1875. Beliau dipelihara ibu dan neneknya (Hajjah Mariam) . Ketika itu bapanya sedang berkhidmat di Tanah Jawi. 3 ) 4 ) rujuk kanz al-Mui’d dan Syaikh Wan
4 Zaman Remajanya: Pada tahun 1882, ketika berusia 7 tahun, Muhammad Said dibawa pulang ke Patani, tanah tumpah darah ibunya. Beliau dibesarkan disana sehinggalah umurnya meningkat 12 tahun. Muhammad Said sungguh bertuah kerana ibunya seorang yang fasih dalam bidang qiraat al-quran. Ibu yang salihah inilah yang mendidik dan membentuk peribadinya. Lantaran itu tidak hairanlah jika beliau tergolong sebagai seorang kanak-kanak yang sangat elok akhlaknya lagi cerdas pula akalnya. Guru-guru Awalnya: Pada tahun 1887, barulah beliau dihantar mengaji di luar rumah. Empat orang guru awalnya ialah Syaikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fatani (Tuan Minal), Haji Awang (Tuan Semela atau Dato’ Semela), Dato’ Nahu dan Syaikh Muhammad Nuh yang berasal dari Negeri Kedah. Beliau mempelajari ilmu-ilmu Fiqh, Usuluddin, Tasawwuf, Nahu dan macam-macam ilmu lagi. Dikecualikan Tuan Minal, ketiga-tiga orang guru yang akhir itu adalah bekas murid datuknya, Syaikh Abdul Rashid alFatani. Muhammad Said adalah seorang pelajar yang bercita-cita tinggi, tekun belajar, malah pernah tidak tidur malam sampai terbit fajar kerana tidak menyedari matahari telah naik, terlampau banyak menilik kepada kitab-kitab. Setahun kemudian(1888), bapanya meninggal dunia semasa berusia 54 tahun dan dikebumikan di tanah perkuburan Linggi, Negeri Sembilan.( usia sidi said 13 tahun yatim ) Ke Makkah: Pada tahun 1892, ketika berumur 17 tahun, Muhammad Said belayar ke kota ilmu Makkah bertujuan mendalami pengajiannya. Antara puluhan gurunya tersenarailah nama-nama seperti berikut:- Syaikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki
5 Syaikh Muhammad Nawawi al-Bantani Syaikh Abi Bakr Syata Syaikh Ahmad al-Manshawi Syaikh Umar al-Shami Syaikh Muhammad Said bin Muhammad Babasil (Mufti Shafi’i) Syaikh Abdul karim al-Daghastani Syaikh Muhammad bin Yusuf al-Khayyat Syaikh Umar bin Abi Bakr Bajunid Syaikh Muhammad Said bin Muhammad al-Yamani Syaikh Ahmad Khatib bin Abdul Latif Minangkabau Syaikh Zainuddin Sumbawa Syaikh Wan Muhammad Ali Kutan Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain Patani Ke Madinah: Al-Imam Muhammad Said termasuk di kalangan penuntut yang gigih dan bersemangat waja. Pernah bermusafir secara berjalan kaki ke Madinah kerana menziarahi makam Rasulullah (sesudah bermimpi menemui baginda). Semasa berada di Madinah beliau berpeluang berguru dengan Sayyid Ja’far al-Barzanji, Mufti Shafi’i.
6 Ke Mesir: Beliau selanjutnya meneruskan perjalanan ke Bait al-Maqdis dan akhirnya ke negara Mesir ( selama lapan bulan) melanjutkan ilmu tentang selok-belok ilmu fiqh empat mazhab. Disana beliau mendalami ilmu-ilmu syara’, naql dan aqal. Antara lainnya berguru dengan Syaikh al-Jami’ al-Azhar ( syaikh al-Azhar) iaitu Syaikh Shamsuddin al-Anbani dan dengan Syaikh Ahmad al-Rifa’I al-Malikki, iaitu sebesar-besar ulama’ Mazhab Malaiki di dalam Azhar zaman itu (1896) 5 . Pulang Ke Makkah: Selanjutnya beliau pulang semula ke Makkah. Syaikh Said menekuni ilmu tariqat dengan imam Rabbani dan qutub samadani Syaikh Muhammad bin Ahmad alDandarawi (meninggal dunia di Madinah pada 19 Februari 1909) dafin al baqi’ . Akhir sekali Muhammad Said diberi ijazah tariqat Ahmadiyah, iaitu pada hujung tahun 1318 Hijrah (bersamaan pertengahan April 1901). Usia beliau 26 tahun. Kata Syaikh Ahmad : Beliau mengabdikan diri sepenuhnya kepada Syaikh Tareqat Ahmadiah ini dan telah membiasakan dirinya hidup sebagai seorang sufi , maka akhirnya beliau menerima tareqat itu daripada gurunya yang memberikan kepercayaan penuh kepada beliau didalam segala ilmu hakikat. dan melazim ia akan dia akan segala mulazamah yang cukup lagi sempurna hingga hasillah baginya radhiallah Taala anhu segala-gala yang hasil daripada futuh dan Irfan6 . Masyayikh Muhammad Said al Linggi berjumlah melebihi 50 orang. Beliau alim dalam ilmu-ilmu alat, Usuluddin, Fiqh empat mazhab, ilmu ruhani, hikmah, Falsafah, al-Quran dan sebagainya. Inilah pandangan basirah orang arif yang memandang dengan pandangan basirah قلوب العارفين لها عيون * ترى ما ال يراه الناظرون 5 ) rujuk : prof hamdan hassan ms 56-58 6 ) majmu’ ms 90
7 Sahabat-sahabat seperjuangan ( aqran ) : Antara sahabat-sahabat seperguruan termasuk Tuan Syaikh Mukhtar Bogor, Tuan Syaikh Husain Kedah, Tuan Syaikh Pak Wan Sulaiman Kedah, Tuan Syaikh Haji Abdullah Pak Him Seberang Perai, Tuan Syaikh Syaikh Uthman bin Abdul Wahhab Sarawak, Tuan Syaikh Sidi Muhammad al-Azhari Makkah dan ramai lagi. Pulang Ke Tanahair: Sekitar tahun 1320 H/1902 M, beliau pulang ke Negeri Sembilan lalu menetap di Ampangan, Seremban. Mengajar ilmu-ilmu agama, juga zikir tarikat Ahmadiyah kerana tokoh sufi ini telah dilantik menjadi khalifah atau wakil peribadi Syaikh Muhammad al-Dandarawi di Kepulauan Melayu. Tasauf adalah zauq, wujdan, tahqiq dan irfan7 . Faqih hati sahaja mampu membicarakan perkara ini tidak faqih yang zahir. Sehubungan dengan itu Imam Qusyairi mencatatkan: syariah ialah beriltizam sebagai hamba manakala hakikat pula ialah penyaksian ketuhanan. Setiap syariah yang tidak disokong oleh hakikat maka ia tidak diterima. Dan setiap hakikat yang tidak terikat dengan syariat maka ia tidak akan berhasil 8 . Anti kejahilan, bida’h dan khurafat Di samping itu, beliau begitu berani cuba menghapuskan perbuatan bid’ah, pegangan khurafat dan amalan yang didapati bertentangan dengan syariat yang banyak bersarang dalam masyarakat. Pada peringkat awalnya tindakan syaikh Haji Muhammad Said itu ditentang hebat oleh orang-orang Islam sendiri. Namun berkat kesabarannya pemimpin tarikat ini akhirnya dapat mengumpul ramai pengikut setia9 . 7 ) Sayyid Syaikh Mahmud Abu al-Faidh : al- Madkhal ila al-Tasauf Islami ms 4 8 ) Risalah Qusyairiyah 9 ) majmu’ ms 91
8 Selain bergiat di Negeri Sembilan, beliau juga banyak merantau sambil menyebarkan ilmu-ilmu keislaman, khususnya ilmu sufi dan kerohanian. Antaranya ke negeri Kedah, Pahang, Johor, Singapura, Indo China(Saigon), Siam (Ayuthia) dan Kelantan. Beliau turut menerima tauliah mengajar di Terengganu. Di Kelantan: Ketika Sheikh Muhammad Said tiba di Kota Bharu pada tahun 1905, beliau dapati Sidi Muhammad al-Azhari, rakan seperguruannya telah pun mengembang ajaran tareqat di sekitar Kota Bharu, termasuk di Pulau Kerbau, Kampung Laut dan di Langgar. Walaupun seguru, pemahaman dan pendekatan mereka berdua banyak berbeza. Sheikh Muhammad Said menurunkan ilmunya kepada semua lapisan murid tanpa mengira peringkat umur, baik golongan atasan mahupun bawahan, lelaki dan perempuan, orang kebanyakan atau terpelajar. Seiring dengan itu beliau juga mengedarkan karya terjemahannya, Risalah al-Fawaid sebagai teks panduan. Perselisihan mereka jelas ketara bilamana banyak kalimat dan pengertian ayat di dalan risalah al-Fawaid telah dipinda atau dipadam terus kemudiannya oleh Sidi Muhammad al-Azhari. Berlainan dengan cara penyampaian Sidi Muhammad al-Azhari, kaedah pengajaran Sheikh Muhammad Said terlalu cepat sehingga menimbulkan rasa majdhub(semacam mabuk) di kalangan pengikut-pengikutnya. Sebab itu ia ditentang keras oleh sebahagian besar ulama’ Kelantan pada zaman itu, kecuali Tok Wali Haji Ismail Lundang Paku, anak-anak Tuan Tabal dan segelintir ulama’ yang lain. Kemuncaknya dibawa ke pengetahuan Sultan yang kemudiannya mengemukakan masalah ini kepada Syaikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain bin Mustafa al-Fatani. ( sufi dan wali Allah) Dan seperti yang diharap-harapkan oleh Tuanku Sultan Kelantan, Syaikh Wan Ahmad memberi jawapan yang panjang lebar bertarikh 5 Safar 1324 (Bersamaan 30 Mac 1906).
9 Selama berada di Kota Bharu, beliau tinggal di rumah Haji Awang Alim, bapa mertuanya. Sheikh Haji Muhammad Said telah berkahwin dengan Hajjah Safiah binti Haji Awang semasa masih berada di Tanah suci lagi. Di dalam bidang yang khusus, beliau menerima Thariqat Ahmadiyah arRasyidiyah ad-Dandarawiyah daripada Sayid Muhammad bin Ahmad ad-Dandarawi. Dengan Thariqat Ahmadiyah inilah beliau mencapai kemuncaknya sebagai Syeikh Mursyid Thariqat Ahmadiyah yang terbesar di dunia Melayu. Murid-muridnya dalam bidang Thariqat Ahmadiyah meliputi Cam di Kemboja, Patani, Malaysia (termasuk Sabah dan Sarawak), Singapura dan Brunei Darussalam. Dengan Thariqat Ahmadiyah inilah beliau mencapai kemuncaknya sebagai Syeikh Mursyid Thariqat Ahmadiyah yang terbesar di dunia Melayu. Murid-muridnya dalam bidang Thariqat Ahmadiyah meliputi Cam di Kemboja, Patani, Malaysia (termasuk Sabah dan Sarawak), Singapura dan Brunei Darussalam. Seorang murid al-Dandarawi dari Malaysia dan bahkan juga menjadi khalifah atau wakil peribadi beliau dalam mempropagandakan ajaran tareqat al Dandarawiyah di kepulauan Melayu ini ialah Muhammad Said bin Jamaluddin alLinggi, Negeri Sembilan. Beliau dianggap sebagai orang yang pertama yang menyebarkan tereqat itu di Malaysia. Beliau disebut-sebut sebagai sahib al wilayah al tammah. Maksudnya barangkali beliau sebagai seorang ahli tareqat yang mempunyai keluasan penuh di daerah ini ( Asia Tenggara ) sebab beliau telah dilantik oleh sidi Muhammad al-Dandarawi sebagai khalifah dan bertanggungjawap menyebarkan ajarannya di Timur Jauh ini 10 . PENYEBARAN THARIQAT AHMADIYAH Di dalam ulama dunia Melayu terdapat beberapa orang guru Muhammad Said, mereka ialah Syeikh Wan Ali Kutan, Tuan Tabal, Syeikh Ahmad al-Fathani dan lainlain juga menerima Thariqat Ahmadiyah daripada Sayid Ibrahim ar-Rasyidi (meninggal dunia 1291 Hijrah/1874 Masihi). Beliau adalah guru pada Sayid 10 ) prof hamdan hassan ms 55
10 Muhammad bin Ahmad ad-Dandarawi (meninggal dunia 1327 Hijrah/ 1909 Masihi). Walau bagaimanapun pada peringkat awal Thariqat Ahmadiyah di dunia Melayu tidak berapa jelas perkembangannya.Dengan kegigihan Muhammad Said, Thariqat Ahmadiyah berkembang dan tersebar dengan sangat lajunya. Thariqat Ahmadiyah mula mendapat sambutan yang luar biasa di Kota Bharu,Kelantan dan menimbulkan kontroversi antara murid-murid beliau dengan golongan yang tidak menyetujuinya. Untuk menenangkan suasana keresahan masyarakat, Raja Kelantan menulis tiga lembar surat pertanyaan yang ditujukan kepada Syeikh Ahmad al-Fathani di Mekah. Di antara kandungan surat Raja Kelantan yang bertarikh Ramadan 1323 Hijrah (kira-kira 1905 Masihi) itu ialah, ``Iaitu daripada sahaya Raja Kelantan Ibnu alMarhum as-Sultan Muhammad, mudah-mudahan dipersampaikan kepada orang tua sahaya Wan Ahmad bin Wan Din Fathani yang mujawwir di dalam negeri Makkah alMusyarrafah ... `` Kalimat selanjutnya, ``Maka adalah sahaya nyatakan kepada orang tua sahaya, bahawasanya telah jatuh di dalam negeri sahaya satu pekerjaan yang pelik, tiada pernah jatuh lagi dahulunya. Iaitu datang seorang nama Haji Encik `Ied bin Haji Jamaluddin Linggi ke Kelantan mengajarkan ilmu Thariqat Ahmadiyah, yang dipanggil orang Thariqat Rasyidi ... ``Selanjutnya, ``Maka yang mengajar itu kepada sekalian bagai Muslimin, daripada laki-laki dan perempuan, besar dan kecil, yang mempunyai ilmu atau yang jahil. Bahkan kebanyakan mereka itu daripada juhhalun nas, yang tiada sembahyang, dan tiada mengetahui furudhul `ain, `aqidatul iman, dan lainnya. Dan setengah daripada mereka itu bangsa raja-raja dan anak menteri ... `` Syeikh Ahmad al-Fathani telah menjawab pertanyaan Raja Kelantan itu dalam tiga bentuk karangan. Yang pertama diberi judul Mir-atul A'ajib fi Jawabi Su-alil Majazib. Yang kedua ditulis dalam bentuk syair bahasa Melayu, diberi judul Syair Thariqah Shufiyah. Yang ketiga ditulis dalam bentuk syair bahasa Arab, diberi judul Syair Man Li Ya Sa'id. Kesimpulan kandungan keseluruhannya ialah merupakan ilmiah yang berdiri pada pelbagai kaedah keilmuan Islam 11 . 11 ) 11 Mac 2004, Datuk Murtadza dan Ustaz Haji ( syaikh Muhammad Nuruddin al-Banjari diberi kepercayaan menyampaikan ceramah dalam Forum Bicara Ad-Din di Masjid Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Sekudai, Johor. http://ulama.blogspot.com/2005/03/syeikh-muhammad-saidlinggi.html
11 Sohibus samahah Syaikh Ahmad Muhammad Said menulis: Kami mempunyai hubungan yang jelas dengan pengasas-pengasas tareqat ini. Kami menerimanya daripada ayahanda kami al ustaz al-‘allamah al arif billah al muid al marhum Tuan Syaikh Muhammad Said al Linggi al Makki. Beliau menerima tariqat ini daripada gurunya Syaikh al arif Billah al bahru al Rawi sayyidi Muhammad al Dandarawi yang mengambil tareqat ini daripada gurunya al qutb al ghauth sahib al Karamat wa al ta’yid sayyidi Ibrahim al Rasyid yang mengambil tareqat ini daripada pengasas pertama dan tuan punya tareqat ini qutub al -a’rifin sahib al ahzab wa al aqd an nafis as sayyid Ahmad ibn Idris al Hasani al Maghribi 12 . Anak-anaknya: Sepanjang hayatnya Sheikh Haji Muhammad Said disebut-sebut berkahwin sembilan kali dan dikurniakan 32 orang anak. Salah seorang isterinya ialah Siti Zubaidah binti Haji Said Rembau. Berikut disenaraikan sebahagian anak-anaknya yang terkenal: 1- Sheikh Haji Abdullah (1905-1956), Kampung Gedung Lalang, Ampangan, Seremban. Anak sulung yang mengambil alih tugas khalifah Tarikat Ahmadiyah selepas kematiannya. 2- Sheikh Haji Ahmad (6 Apri 1910-7 Januari 1964). Khalifah yang kedua selepas Sheikh Haji Abdullah. Pengasas Pondok Rasah(1935) dan Mufti Negeri Sembilan yang pertama (1950). 3- Sheikh Haji Abdul Rashid, Teluk Kurau, Singapura. Khalifah yang ketiga selepas Sheikh Haji Abdullah dan Sheikh Haji Ahmad. Sangat dihormati dan disegani orang-orang Melayu Singapura. 4- Sheikh Haji Mansor,Ampangan,Seremban(meniggal 1981) 5- Sheikh Haji Muhammad Nor(meninggal 1981) 6- Sheikh Haji Muhammad Hamid 7- Sheikh Haji Ibrahim (dengan isterinya Hajjah Wan Safiah Kota Bharu) 12 ) Faraid Al Maathir Al Marwiyah Littariqah Al Ahmadiah Al Rasyidiyah Al Dandarawiyah Syaikh Ahmad Mohammad Said Al Linggi ms 11
12 8- Haji Mahadi (1914-20 Februari 1983), pelakon tiga Abdul Taman Maluri,Kampung Pandan.Kuala Lumpur. 9- Dato’ Syaikh Muhammad Redho ( ahli parlimen ) ( 1912 - 1992 ) Keperibadiannya: Sheikh Haji Muhammad Said adalah seorang tokoh ulama’ yang berperibadi sederhana. Tidak inginkan kemegahan dan kesenangan hidup. Bersifat zahid, qana’ah, pemaaf, sabar, taqwa, tawadhu’, pemalu, pemurah, wara’, kuat beramal dan berkhalwat ( menyendiri untuk beribadah). Dianggap sebagai seorang wali Allah dan doanya makbul. Beliau suka menolong orang yang dalam kesusahan. Memandang makhluk-makhluk lain dengan penuh timbang rasa dan kasih-sayang. Semenjak menuntut ilmu di Makkah dan di Mesir lagi telah terzahir kelebihankelebihan wara’, salih serta karamahnya. Sebagai seorang ulama’ yang amat dihormati dan dikenali di Negeri Sembilan, beliau sangat dikasihi Tuanku Muhammad,Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan (mangkat 1 ogos 1933) dan amat disayangi Dato’ Kelana Ma’mur Undang Luak Sungai Ujung (1889-1945). Karya Tulisannya: Walaupun Sheikh Haji Muhammad Said ada menghasilkan beberapa banyak karangan sendiri juga terjemahan, kebanyakannya belum dicetak dan sukar diperolehi. Antara yang sudah dapat dikesan adalah seperti berikut: 1. Syarh Kunuz al-Jawahir al-Nuaniyyat fi Qawa’id al-Tarikat al-Shadhilliyah. Disebut juga Risalat al-Fawa’id atau Rasai’l Jawiyyah. Selesai terjemah pada akhir Rabiulawal 1323 (3 Jun 1905). Membicarakan keistemewaan Sidi Ahmad bin Idris dan cerita-cerita yang bersangkutan dengan ajarannya, termasuk cara beramal dan pelbagai faedah lainnya. Tercap di tepi al-Ahzab al-Irfaniyyah.
13 2. al-Ahzab al-Irfaniyyat wa al-Awrad al-Nuraniyyah. Siap ditulis di Bandar Singapura pada 15 Rabiulawal 1323(18 Jun 1905). Berukuran 18 ½ x14 sentimeter dan tebalnya 200 muka. Mengandungi himpunan doa dan hizb. 3.Kashf al-Ghiba ‘an Haqiqat al-Riba. 4.Sullam al-Ta’rif ila ‘Ilm al-Tasrif (ilmu sarf) 5.Risalah Fath (juga mengenai ilmu Sarf). 6.al-Kashf wa al-Tanfis an Ashab Sidi Ahmad bin Idris. 7. Makalah Kaifiat mengerjakan Tarawih 10 rakaat. 8.Perjalanan mendirikan Jumaat. 9.Wazifah-wazifah bagi orang yang salik pada permulaan suluknya. Ada penyelidik yang menisbahkan dua karya berikut sebagai sebahagian tulisan al- ‘Allamah Syaikh Said al Linggi : 10.Manuskrip syair arab tanpa tajuk, sepanjang 142 baris yang ditulisnya di Tanah Melayu. Mengupas tentang kesesatan Kaum Wahabi dan kekarutan mereka. Nazham Kesesatan Kaum Wahabi. 11. Silsilah Thariqah An-Naqsyabandiyah 13 . KARAMAH Syeikh adalah seorang wali Allah yang dikurniakan Allah Taala dengan berbagai karomah. Antara kisah kewaliannya yang pernah diceritakan ialah : 1. Sewaktu menziarahi Makam Nabi s.a.w di Madinah. Ketika mengucapkan salam kepada Nabi s.a.w , tiba-tiba terdengar suara dari makam Rasul mulia itu menjawab salam beliau. 13 ) https://www.facebook.com/642689506187233/photos/a.642695112853339/667739147015602/?type=3
14 2. Semasa menjalankan misi dakwah di Kota Bahru, Kelantan ketika hendak menyeberangi Sungai Kelantan, pemilik bot yang hendak ditumpangi ke seberang tidak membenarkannya menaiki bot tersebut kerana muatan telah penuh. Beliau diminta menunggu bot berikutnya. Namun apabila bot tersebut sampai di seberang, pemilik dan semua penumpang amat terkejut apabila mendapat beliau telahpun berada seberang sungai tesebut 3. Dalam perjalanan ke Kuala Lumpur bersama serombongan orang, ketika itu cuaca agak panas dan kebanyakan semua orang dalam rombongan tersebut merasa dahaga. Namun mereka tidak mendapati air untuk diminum. Kebetulan ada di kalangan ahli rombongan yang membawa cerek kosong. Syeikh Muhammad Said mengambil cerek tersebut dan berdoa. Setelah itu beliau menuangkan cerek itu seolah-olah ianya berisi. Sekonyong-konyongnya keluarlah air dari cerek tersebut dan cukup untuk menghilangkan dahaga kesemua rombongan tersebut. 4. Suatu ketika, tiga pemuda berhajat menemui Syeikh Muhammad Said untuk mengajukan permasalahan masing-masing. Kebetulan ketika mereka sampai bertepatan masuknya waktu solat. Lalu mereka solat berimamkan Syeikh Muhammad Said dan bercadang mengajukan masalah masing-masing setelah selesai solat tersebut. Selepas solat, berwirid dan berdoa, Syeikh Muhammad Said memjawab permasalahan ketiga-tiga pemuda tersebut tanpa sempat mereka mengemukakannya terlebih dahulu kepada beliau . Meninggal Dunia Ajalnya tiba pada malam Ahad, 12 Rabiulawal 1345 bersamaan 18/19 September 1926 ketika berusia 53 tahun (Hijriyah). Lebih 5000 orang mengiringi jenazahnya, termasuk Tuanku Muhammad, Yang Dipertuan Besar Negari Sembilan. Al Marhum dikebumikan di tanah perkuburan Islam Ampangan, iaitu sebuah kawasan berbukit di Bandar Seremban yang dikenali kini sebagai maqam Syaikh Said. Semoga Allah mencucuri rahmat Nya ke atas roh beliau.
15 Sebagai mengenang jasa baktinya maka Sekolah Ugama Menengah Tinggi Negeri Sembilan (ditubuh 1959) yang mulai 1977 diambil alih pentadbirannya oleh Kementerian Pendidikan dinamakan sempena namanya: SMKA Sheikh Haji Mohd Said, Seremban (SHAMS ) 14 . PENUTUP Semoga Allah merahmati syaikhuna al-‘Allamah al-Imam al-Mursyid Muhammad Said al-Linggi al-Makki. Segala sumbangan, peranan dan pengaruh Syeikh Muhammad Said al-Linggi dalam penyebaran tareqat sufiyah di nusantara amat dihargai dan dirasai. 14 ) https://muftins.gov.my/tareqat-tasauwuf/allahyarham-syeikh-haji-muhammad-said-bin-hajimuhammad-jamaluddin-1875-1926/
16 MARAJI’ KITAB 1- KANZ AL – MUIE’D MUFTI SYAIKH AHMAD MUHAMMAD SAID AL LINGGI 2- AL MAJMU’ - MUFTI SYAIKH AHMAD MUHAMMAD SAID AL LINGGI 3- FARAID AL MAATHIR AL MARWIYAH LITTARIQAH AL AHMADIAH AL RASYIDIYAH AL DANDARAWIYAH SYAIKH AHMAD MOHAMMAD SAID AL LINGGI : PENGANTAR KEPADA TARIQAT AHMADIAH OLEH USTAZ MAHMUD BIN SYAIKH AHMAD . 4- SUFI DAN WALI ALLAH SYAIKH WAN AHMAD MUHAMMAD ZAIN ALSYATIRI AL FATANI SUNTINGAN SYAIKH WAN MOHD SAGHIR ABDULLAH 5- TAREQAT AHMADIAH DI MALAYSIA : SUATU ANALISIS FAKTA SECARA ILMIAH ( PROF DR HAMDAN HASSAN WEBSITE 1- https://muftins.gov.my/tareqat-tasauwuf/allahyarham-syeikh-haji-muhammadsaid-bin-haji-muhammad-jamaluddin-1875-1926/ 2- https://www.facebook.com/642689506187233/photos/a.642695112853339/66 7739147015602/?type=3 3- http://ulama.blogspot.com/2005/03/syeikh-muhammad-said-linggi.html