EDUP3143 EDUP3143 PENGENALAN
1.0 PENGENALAN Kemajuan teknologi telah memberi impak yang besar terhadap dunia pendidikan. Pelaksanaan pedagogi abad ke-21 merupakan salah satu hala tuju baharu dalam pendidikan dunia kerana ia akan menyediakan murid ke arah pemahaman yang jitu dalam pelbagai perkara agar mampu bergerak seiring dengan kepesatan zaman. Perkara ini turut memberi kesan kepada jenis, kaedah serta kualiti pentaksiran yang dilakukan oleh guru di dalam bilik darjah. Di samping sistem peperiksaan, konsep Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang telah diperkenalkan sejak 2018 (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2019) juga digunakan bagi menentukan tahap penguasaan murid. PBD merujuk kepada satu proses pentaksiran yang dijalankan secara berterusan sewaktu sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) yang berlaku secara formatif dan sumatif dengan tujuan untuk menilai sama ada murid berjaya mencapai objektif PdP seperti yang dihasratkan ataupun tidak (Fara Marnizam dan Rahimah Ali, 2021). Pemansuhan UPSR dan PT3 telah mewujudkan dan menjadikan pentaksiran alternatif sebagai alat untuk mengukur prestasi murid serta keberkesanan sesi PdP yang berlangsung. Pentaksiran alternatif merupakan salah satu usaha dalam menentukan kebolehan dan prestasi akademik murid. Terdapat pelbagai strategi yang dirancang oleh guru di peringkat sekolah yang meliputi penilaian potensi murid dari aspek intelektual, moral, emosi dan fizikal.di kalangan guru akan memberikan guru kesediaan yang tinggi untuk melaksanakan PBD. Pentaksiran alternatif meliputi pentaksiran berasaskan prestasi dan pentaksiran autentik.
EDUP3143 EDUP3143 PENGUMPULAN MAKLUMAT ALTERNATI F
2.0 PENGUMPULAN MAKLUMAT PENTAKSIRAN ALTERNATIF 2.1 Senarai Semak (Pemerhatian) Senarai semak merupakan salah satu instrumen pentaksiran alternatif yang dijalankan secara pemerhatian ke atas murid sewaktu proses pengajaran berlangsung. Pentaksiran secara pemerhatian bukan sahaja menilai kemahiran berbahasa murid, namun turut menilai sikap dan tingkah laku murid sepanjang proses PdP serta melihat penguasaan kemahiran belajar murid (Faezah Saliman & Zamri Mahamod, 2023). Item yang digunakan dalam senarai semak hendaklah meliputi perkara yang hendak diukur melalui tingkah laku murid berdasarkan objektif pengajaran yang ditetapkan. Senarai semak memberi kebebasan kepada guru untuk melakukannya pada pertengahan mahupun setelah selesai sesi PdP. 2.2 Murid dengan Guru (Lisan) Pentaksiran secara lisan membolehkan murid dinilai dengan menggunakan tiga kaedah iaitu murid dengan guru, murid dengan murid dan murid dengan pembelajaran. Namun, penulisan ini hanya berfokus kepada pentaksiran secara lisan yang digunakan untuk mengumpul maklumat semasa berlaku interaksi antara murid dengan guru. Interaksi antara murid-guru boleh menjadi satu sesi penilaian melalui kaedah penyoalan menggunakan soalan atau item yang terdapat dalam instrumen yang digunakan (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2019). Berdasarkan instrumen yang dipilih, pentaksiran secara lisan ini dijalankan setelah berlakunya sesi PdP yang mana guru ingin melihat sejauh mana murid memahami kandungan pelajaran berdasarkan objektif PdP. Instrumen yang digunakan terdiri dari beberapa soalan yang mencakupi pengajaran pada hari tersebut.
2.3 Pelaksanaan Kertas Ujian (Penulisan) Pelaksanaan kertas ujian dikenalpasti sebagai kaedah bertulis dalam pelaksanaan PBD. Kertas ujian adalah instrumen yang digunakan untuk mendapatkan maklumat tentang pembelajaran murid. Ia dilaksanakan bagi mengesan sejauh mana tahap perkembangan intelek dan kemahiran murid secara bertulis. Pembinaan kertas ujian hendaklah berdasarkan Jadual Spesifikasi Ujian (JSU) yang telah dibina. Ini bermakna, sebelum kertas ujian dibina, guru hendaklah membina JSU terlebih dahulu. Ia memerlukan kepakaran dan persediaan yang rapi di pihak guru sebelum diserahkan kepada murid untuk menjawabnya (Amzari Tumiran., Zaid Daud & Farhani Zarmani, 2020). Dalam pelaksanaan kertas ujian ini, guru terlibat dalam menyemak dan memeriksa tugasan serta hasil penulisan murid. Kertas ujian yang baik adalah yang memenuhi kesemua ciri pentaksiran iaitu kesahan, kebolehpercayaan, keobjektifan, kemudahtadbiran dan kemudahtafsiran. Pelaksanaan kertas ujian merupakan kaedah yang baik untuk membantu guru mengesan pelajar yang lemah secara khusus dan terperinci berserta topik dan sub-topik yang gagal dikuasai dengan baik oleh murid. Setelah dikenalpasti akan kelemahannya, guru boleh memberi penekanan kepada topik atau sub-topik tertentu bagi meningkatkan kefahaman murid agar objektif pengajaran dapat dicapai. Daripada pengesanan yang dibuat, guru boleh merancang sesi PdP yang berikutnya. Contohnya, soalan aneka pilihan dapat menguji tahap pengetahuan sesuatu fakta dengan mudah. Kelemahan murid yang pelbagai menyukarkan guru untuk menumpukan perhatian terhadap semua murid tanpa mengabaikan murid yang lain. Oleh itu, penggunaan kertas ujian akan membantu guru dalam hal ini. Hasil daripada ujian yang dilaksanakan akan memberi gambaran kepada guru mengenai keupayaan murid yang sebenar sebelum memulakan pengajaran sekaligus guru dapat menyesuaikan kaedah serta teknik menyampaikan pelajaran sesuai dengan kemampuan murid.
EDUP3143 EDUP3143 ANALISIS DAN PENILAIAN INSTRUMEN
3.0 ANALISIS DAN PENILAIAN INSTRUMEN 3.1 Senarai Semak (Pemerhatian) KELEBIHAN Berdasarkan senarai semak yang dipilih (lampiran 1), didapati bahawa senarai semak yang digunakan bagi melakukan penilaian ke atas pelajar mempunyai kesahan kandungan yang tinggi kerana dikenalpasti kesemua item yang digunakan adalah bersesuaian dengan apa yang hendak dinilai daripada murid dan bertepatan dengan objektif PdP. Segala item penilaian yang disenaraikan adalah mencakupi penilaian yang betul ke atas penulisan murid dan perkara ini meliputi perkara yang sebenarnya diajar dan dipelajari oleh murid. Setelah analisis dilakukan, didapati bahawa senarai semak ini mempunyai kesahan muka yang baik yang mana tiada sebarang kesalahan ejaan mahupun tatabahasa yang dijumpai pada senarai semak tersebut. Hal ini dapat dikenalpasti dengan mudah kerana kesahan muka membenarkan sebarang individu untuk melakukan penilaian ke atasnya. Perkara ini bermaksud, meskipun individu yang tiada kepakaran dalam penghasilan senarai semak, namun mereka masih boleh melakukan penilaian ke atas kesahan muka. Seterusnya, instrumen ini dilihat mudah untuk ditadbirkan mengikut kelapangan guru setelah tugasan diberikan kepada murid. Senarai semak yang sama akan digunakan oleh guru ke atas semua murid sewaktu menjalankan pentaksiran secara pemerhatian ini. Senarai semak ini dilihat mempunyai ciri kemudahtafsiran yang agak sederhana kerana ada kalanya penggunaan skala nombor tidak mampu memberikan penilaian yang tepat ke atas sesuatu perkara.
KELEMAHAN Setelah analisis dilakukan, didapati bahawa senarai semak ini mempunyai kebolehpercayaan yang rendah kerana penilaian yang dilakukan adalah secara segera. Contohnya, item keempat dalam senarai semak berkenaan adalah memerlukan murid untuk menyalin semula teks dengan tulisan yang kemas dan tepat. Kepercayaan dikatakan rendah kerana berkemungkinan boleh berlakunya ralat sewaktu penilaian mengikut senarai semak ini dilakukan. Contohnya, berkemungkinan murid berada dalam ketidakstabilan emosi mahupun kepenatan sewaktu penilaian dilakukan sehingga memberi kesan kepada kekemasan tulisannya. Apabila penilaian yang sama dilakukan buat kali kedua di masa yang berlainan, berkemungkinan memperoleh skor yang berlainan dari penilaian pada kali pertama. Perkara ini menghalang daripada memperoleh bacaan yang tekal dan konsisten daripada penilaian yang dilakukan. Selain itu, dikenalpasti juga bahawa senarai semak ini mempunyai keobjektifan yang rendah di mana tiada jawapan yang tepat diperuntukkan untuk setiap item. Senarai semak ini menggunakan skala nombor 1 hingga 5 bagi menguji tahap penguasaan murid terhadap item yang dinilai. Apabila tiada jawapan yang tepat, ia berisiko menghasilkan skor yang berlainan apabila diperiksa oleh beberapa pemeriksa yang berlainan. Tambahan pula, ia bergantung kepada diri murid itu sendiri dalam membuktikan kebolehan dirinya. Perbezaan pendapat dalam kalangan pemeriksa mudah untuk berlaku (Mahaya Salleh., Suzana Mutalib., Hashiroh Hussein & Zakirah Imana, 2024). Tambahan pula, skor yang diberikan adalah bergantung kepada penilaian yang dilakukan oleh pemeriksa terhadap murid berkenaan.
CADANGAN PENAMBAHBAIKAN Bagi meningkatkan kebolehpercayaan, disarankan untuk memastikan emosi murid berada dalam keadaan yang baik sebelum penilaian dilakukan. Setiap kali ingin melakukan penilaian ke atas murid, pastikan faktor dalaman murid yang merangkumi emosi, motivasi, kepenatan, kebimbangan dan seangkatan dengannya diambil cakna terlebih dahulu. Dengan cara ini, ia membantu murid untuk memberikan prestasi terbaik ke atas penilaian yang dilakukan. Selain itu, bagi meningkatkan keobjektifan dalam penggunaan senarai semak ini, dicadangkan untuk menukar penggunaan skala nombor kepada skala likert. Skala likert dimulai dengan Sangat Tidak Setuju (STS), Tidak Setuju (TS), Tidak Pasti (TP), Setuju (S) dan Sangat Setuju (SS). Dengan ini, guru boleh mengenalpasti dengan lebih mendalam akan tahap penguasaan murid terhadap sesi PdP yang dijalankan.
3.2 Murid dengan Guru (Lisan) KELEBIHAN Berdasarkan pentaksiran secara lisan antara guru dengan murid yang dipilih (lampiran 2), didapati bahawa instrumen ini mempunyai tahap kebolehpercayaan yang tinggi. Hal ini dikatakan demikian kerana, setiap item yang digunakan dalam instrumen ini adalah item yang umum dan sekiranya ia berlaku perubahan sekalipun mungkin memerlukan tempoh yang lama. Melalui ramalan, dilihat bahawa instrumen ini akan memberi satu skor atau pencapaian yang tekal dan konsisten kepada murid sekiranya ia dilakukan dalam tempoh jaak masa yang dekat. Insrumen dengan ciri kebolehpercayaan yang tinggi memberi satu gambaran bahawa instrumen tersebut adalah dapat mengukur dengan tepat akan sejauh mana pemahaman murid terhadap apa yang dipelajarinya. KELEMAHAN Namun begitu, didapati bahawa instrumen ini mempunyai kesahan kandungan yang rendah di mana kesemua item yang digunakan dilihat sebagai tidak sesuai digunakan bagi menguji kefahaman murid terhadap kandungan pelajaran melalui objektif pelajaran. Item yang digunakan tidak tepat untuk mengukur secara tepat akan kefahaman murid. Buktinya, item yang digunakan dalam pentaksiran ini dilihat langsung tiada kaitan antara objektif pelajaran. Meskipun murid berjaya menjawab dengan baik akan pertanyaan guru seperti yang terkandung dalam instrumen, ia tetap tidak dapat memberi gambaran yang menyeluruh akan pengetahuan murid terhadap kandungan pelajaran.Perkara ini menyebabkan guru tidak dapat menilai prestasi murid dengan baik melalui instrumen tersebut. Kesahan kandungan yang rendah tidak akan memberi sebarang makna malah akan mendatangkan kesan buruk kepada murid mahupun guru itu sendiri. Tidak adil untuk guru terus menghukum murid yang didapati tidak mencapai tahap penguasaan seperti yang diharapkan kerana berkemungkinan item instrumen yang digunakan iu tidak benar-benar mengukur apa yang sebenarnya hendak diukur.
Selain itu, dari aspek kesahan muka juga diragui akan kesahannya. Hal ini kerana, daripada dua item yang dinyatakan itu, terdapat satu item yang dikenalpasti tidak sempurna dari segi bahasanya. Buktinya, item kedua dalam instrumen berkenaan didapati tertinggal satu patah perkataan yang mana perkara ini telah memberi makna berlainan ke atas item tersebut. Sekiranya individu yang menggunakan serta menjalankan instrumen ini adalah individu yang berbeza dengan individu yang membina instrumen ini, berkemungkinan akan berlakunya salah faham sekaligus memberi kesan kepada skor murid yang terlibat. Dari segi kesahan muka, hanya itu sahaja yang dapat dikenalpasti. Dari segi ejaan tiada sebarang masalah mahupun kekeliruan yang dilihat pada instrumen yang dipilih. CADANGAN PENAMBAHBAIKAN Antara cadangan yang boleh dikemukakan ialah dengan melakukan semakan semula ke atas instrumen yang telah dibina agar segala kekurangan yang ditemui dapat diperbaiki sekaligus dapat menghasilkan satu instrumen yang baik dalam menjalankan pentaksiran ke atas murid. Agak tidak adil untuk murid sekiranya murid ditaksir dan dinilai menggunakan alat instrumen yang didapati tidak sah dan tidak relevan untuk mengukur kefahaman mereka terhadap kandungan pelajaran.
3.3 Kertas Ujian (Penulisan) KELEBIHAN Kertas ujian yang dipilih (lampiran 3) merupakan kertas ujian bulanan atau boleh juga digunakan untuk menguji murid berdasarkan topik-topik yang terlibat. Ia hanyalah dirancang oleh guru di peringkat sekolah. Berdasarkan kertas ujian yang telah dipilih, dikenalpasti bahawa kertas ujian ini memenuhi ciri kesahan kandungan di mana kandungan kertas ujian ini meliputi topik yang disenaraikan dalam JSU sahaja. Topik yang disenaraikan dalam JSU dianggap topik yang telah diajarkan oleh guru kepada murid dalam sesi PdP. Terdapat lapan topik pelajaran yang terlibat dalam pelaksanaan ujian ini dan kesemuanya telah disenaraikan dalam JSU. Ujian yang dilaksanakan ini dikatakan sah kerana kandungan ujiannya menguji perkara yang telah diajar dan dipelajari oleh murid sahaja. Topik yang belum diberi pendedahan kepada murid langsung tidak terlibat dalam ujian ini. Setelah diteliti kertas ujian tersebut, kesahan muka yang merujuk kepada penggunaan bahasa dan ejaan juga dipatuhi dengan baik. Hal ini bermaksud, tiada sebarang kesalahan bahasa mahupun ejaan yang dilakukan oleh pembuat soalan dalam menghasilkan kertas ujian ini. Maksud setiap item pada kertas ujian ini juga tidak membawa kekeliruan makna kepada murid mahupun pembaca yang lain. Setiap arahan adalah jelas diberikan dan disahkan relevan untuk menjalankan pentaksiran ini ke atas murid. Kertas ujian ini mengandungi dua bahagian iaitu bahagian A dan bahagian B. Dari segi keobjektifan, kertas ujian ini dikenalpasti mempunyai keobjektifan yang tinggi pada bahagian A. Hal ini kerana, soalan pada bahagian A adalah berbentuk objektif dan bahagian B pula berbentuk subjektif. Hal ini menunjukkan hanya terdapat satu sahaja jawapan yang tepat bagi soalan pada bahagian A. Kecuaian murid dalam memilih jawapan yang betul akan mengakibatkan mereka kekurangan markah sekaligus menunjukkan tahap penguasaan yang
kurang baik terhadap topik yang diuji. Keobjektifan yang tinggi ini juga dilihat memberi satu kelebihan kepada murid bahawa skor mereka tidak akan dipengaruhi oleh emosi pemeriksa sekaligus dapat mengelakkan pemeriksa dari bersikap berat sebelah. Kertas ujian ini dikatakan mempunyai keobjektifan yang tinggi kerana setiap itemnya dilihat mudah untuk difahami serta tidak mengelirukan calon. Ini bermakna, semua murid yang telah diberi pendedahan mengenai topik tertentu akan mempunyai pemahaman yang sama ke atas item tersebut. Selain itu, soalan ujian ini juga didapati mudah untuk ditadbirkan. Hal ini dikatakan demikian kerana masa yang diperuntukkan adalah sama untuk semua calon iaitu selama 1 jam dan jenis serta kertas ujian yang sama digunakan untuk kesemua calon. Tambahan pula, arahan pada setiap soalan adalah jelas dan mudah difahami berserta dengan format yang betul. Contohnya, soalan kesembilan dalam kertas ujian ini mengkehendaki murid untuk mengisi tempat kosong dengan jawapan yang telah disediakan. Terbukti bahawa murid hanya perlu memilih jawapan yang tepat untuk diisikan di tempat kosong. Tiada sebarang kekeliruan arahan pada pentadbiran ujian berkenaan. KELEMAHAN Namun begitu, kertas ujian ini mempunyai keobjektifan yang rendah pada soalan di bahagian B. Hal ini kerana, soalan pada bahagian B adalah bersifat subjektif. Soalan pada bahagian B mempunyai kesubjektifan yang tinggi di mana ia memerlukan respon bebas daripada calon. Perkara ini memberi ruang untuk berlakunya ralat sewaktu pemeriksaan kertas dilakukan kerana berkemungkinan akan dipengaruhi oleh emosi pemeriksa atau berkemungkinan skor yang berbeza akan diberikan oleh dua pemeriksa yang berbeza yang menanda kertas pada dua masa yang berlainan. Selain itu, kertas ujian ini juga agak sukar untuk ditafsirkan. Hal ini kerana, tiada markah yang dipaparkan untuk setiap soalan. Perkara ini dilihat dengan jelas pada soalan bahagian B iaitu soalan subjektif. Keadaan ini mengelirukan calon kerana mereka tidak tahu untuk memberikan jawapan sesuai dengan
kadaran markah yang diperuntukkan. Markah ada diperuntukkan dalam JSU namun ia tidak dipaparkan menyebabkan akan timbulnya kesulitan kepada pemeriksa sekiranya pemeriksa tersebut bukan individu yang sama yang menyediakan soalan ujian berkenaan. CADANGAN PENAMBAHBAIKAN Antara cadangan penyelesaian yang boleh diutarakan adalah dengan mengadakan mesyuarat penyelarasan yang memberi latihan kepada guru dalam menanda dan memberi markah kepada skrip jawapan murid berpandukan kepada skema jawapan yang disediakan. Dalam masa yang sama, guru juga boleh berbincang untuk menyelaraskan pemberian markah kepada jawapan calon agar tidak berlakunya unsur bias dan sikap pilih kasih. Hal ini juga melatih guru untuk bersikap jujur dalam pemberian markah dan skor kepada murid. Selain itu, bagi memastikan kemudahtafsiran ujian, kertas ujian tersebut mestilah dilengkapi dengan markah yang diperuntukkan bagi setiap soalan. Contohnya, memaparkan jadual peruntukan markah bagi setiap soalan pada bahagian muka hadapan kertas ujian. Jadual ini boleh menjadi rujukan untuk calon memberikan jawapan mengikut peruntukan markah yang ditetapkan serta rujukan juga kepada guru dalam pemberian markah dan skor kepada murid.
EDUP3143 EDUP3143 PENUTUP
4.0 PENUTUP Kesimpulannya, terdapat pelbagai jenis pentaksiran yang boleh digunakan oleh guru dalam mengenalpasti sejauh mana murid memahami kandungan pelajaran. Perkara ini membantu guru dalam menggunakan kaedah serta teknik pengajaran terbaik dalam menyampaikan kandungan pelajaran. Dalam menjalankan pentaksiran yang berkualiti, instrumen yang digunakan hendaklah dapat mengukur prestasi murid secara sah, boleh dipercayai dan bermakna. Seiring dengan peredaran zaman dan kemajuan teknologi, peperiksaan bukanlah satu-satunya kaedah dalam melakukan pentaksiran ke atas murid, namun ia didatangkan dengan pelbagai alternatif lain seperti senarai semak, penghasilan produk, buku skrap, porfolio, projek dan lain-lain lagi. Dengan adanya pelbagai kaedah ini, ia menjadikan proses pentaksiran lebih menyeronokkan serta mencabar di samping mencungkil daya kreativiti murid.
EDUP3143 EDUP3143 RUJUKAN
RUJUKAN
EDUP3143 EDUP3143 LAMPIRAN
LAMPIRAN 1
LAMPIRAN 2
LAMPIRAN 3