E-MINI TESIS
KAJIAN SASTERA MELAYU
OLEH
AINUL TAHSINA BINTI ROSMAINI
4 KHAZIN
PB180037
28 JULAI 2021
MRSM BALIK PULAU
KAJIAN SASTERA MELAYU BAGI KESEMUA
NOVEL TINGKATAN 4 DAN 5
ISI KANDUNGAN
Abstrak
Penghargaan
BAB 1: PENGENALAN
1.1 Pendahuluan
1.2 Apa Itu Novel Fiksyen dan Bukan Fiksyen
1.3 Penyataan Masalah
1.4 Objektif Kajian
1.5 Skop Penyelidikan
1.6 Hipotesis Awal
1.7 Kepentingan Kajian
BAB 2: TINJAUAN BACAAN
2.1 Biografi Setiap Penulis
2.2 Sinopsis 8 Novel
2.3 Tarikan Setiap Novel
BAB 3: METODOLOGI KAJIAN 8 NOVEL
3.1 Jenis Novel
3.2 Proses Pengumpulan Data
3.3 Tema Setiap Novel
3.4 Keunikan Dalam Novel
3.5 Persamaan Yang Terdapat Dalam 8 Novel
3.6 Keterbezaan Antara 8 Novel
3.7 Bandingan Beza Novel Malaysia Dan Novel Luar Negara
3.8 Novel dan Kehidupan
3.9 Kedudukan Novel
3.10 Kesimpulan
BAB 4: PENUTUP
4.1 Rumusan Kajian
4.2 Implikasi Dan Cadangan
4.3 Hipotesis Akhir
4.4 Penutup
4.5 Rujukan
ABSTRAK
Kajian ini dilakukan untuk meneliti novel-novel KOMSAS yang digunakan untuk SPM
Tingkatan 4 dan 5 di seluruh Malaysia. Penelitian setiap novel novel ini dilakukan bagi mencari
cara yang efektif untuk menarik minat pelajar dalam membaca novel-novel komsas ini. Segala
maklumat yang terdapat dalam kajian ini diperoleh sepenuhnya daripada laman sesawang.
PENGHARGAAN
Pertama sekali, saya ingin memanjatkan rasa kesyukuran ke hadrat Illahi kerana dengan izin
dan berkat-Nya, dapatlah saya menyiapkan kajian sastera ini. Setinggi-tinggi ucapan terima
kasih kepada guru mata pelajaran bahasa Melayu saya, Siti Norakma binti Muhammad Ariffin
yang telah banyak memberi tunjuk ajar dan bimbingan sepanjang kajian ini dilakukan.
Selain itu, tidak lupa juga kepada semua guru-guru bahasa Melayu yang tidak letih
mengeluarkan nasihat dan pendapat sepanjang proses penyelidikan ini dilakukan. Terima kasih
juga kepada rakan-rakan sekelas dan teman-teman rapat yang telah membantu dan mendorong
saya dalam menyelesaikan kajian ini. Akhir kata, sekalung penghargaan buat semua pihak yang
terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam penyelidikan ini.
BAB 1: PENGENALAN
1.1 PENDAHULUAN
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, novel bermaksud cerita dalam bentuk prosa, biasanya
panjang dan kompleks. Novel juga merupakan suatu bentuk sastera yang mengandungi
rangkaian cerita kehidupan seseorang watak dengan orang sekelilingnya dengan menonjolkan
perwatakan dan sifat setiap pelaku dalam kisah yang diceritakan secara bahagian tertentu dalam
bentuk bab mengisahkan permulaan, konflik dan peleraian. Dalam pembelajaran bahasa
Melayu, novel dapat membuatkan keterampilan membaca pelajar – pelajar meningkat. Selain
itu, novel menekankan nilai-nilai murni dan nilai-nilai moral yang membuatkan pelajar-pelajar
dapat menghayati dan mempelajarinya secara tidak langsung.
1.2 APA ITU NOVEL FIKSYEN DAN BUKAN FIKSYEN
Fiksyen adalah penciptan imaginasi tulen manakala bukan fiksyen adalah orang dan peristiwa
benar. Hasil kajian ini menunjukkan bahawa terdapat satu sahaja daripada lapan novel
KOMSAS Tingkatan 4 dan 5 yang merupakan novel bukan fiksyen iaitu Leftenan Adnan Wira
Bangsa, hasil karya Abdul Latip bin Talib.
1.3 PENYATAAN MASALAH
Pelajar-pelajar kurang minat dalam membaca novel.
1.4 OBJEKTIF KAJIAN
- Mengenalpasti faktor yang membuatkan pelajar-pelajar tidak minat untuk membaca novel
- Mencari daya tarikan novel untuk menarik minat pelajar untuk membacanya
1.5 SKOP PENYELIDIKAN
8 novel yang digunakan dalam SPM Bahasa Melayu di Malaysia.
4 novel daripada Tingkatan 4:
- Jendela Menghadap Jalan (Ruhaini MatDarin)
- Leftenan Adnan Wira Bangsa (Abdul Latip Talib)
- Di Sebalik Dinara (Dayang Noor)
- Pantai Kasih (Azmah Nordin)
4 novel daripada Tingkatan 5:
- Songket Berbenang Emas (Khairuddin Ayip)
- Tirani (Beb Sabariah)
- Silir Daksina (Nizar Parman)
- Bimasakti Menari (Sri Rahayu Mohd Yusop)
1.6 HIPOTESIS AWAL
Hipotesis awal yang dapat diberikan ialah setiap novel mempunyai daya tarikannya yang
tersendiri. Namun, para pelajar amat menggemari novel Di Sebalik Dinara oleh kerana jalan
ceritanya yang amat menarik.
1.7 KEPENTINGAN KAJIAN
Kepentingan kajian ini adalah untuk mencari faktor yang membuatkan pelajar-pelajar tidak
meminati membaca novel dan mencari jalan penyelesaian bagi menarik minat pelajar untuk
meneliliti, mempelajari dan menghayati isi kandungan novel tersebut.
BAB 2: TINJAUAN BACAAN
2.1 BIODATA SETIAP PENULIS
RUHAINI MATDARIN (Jendala Menghadap Jalan)
Dilahirkan di Hospital Queen Elizabeth dan dibesarkan di Kota Kinabalu, Sabah. Anak sulung
daripada tiga orang adik-beradik, suka melancong dan membaca. Pada tahun 2006 menang
tempat pertama peraduan mengarang cerpen sempena kempen Budi Bahasa Budaya Kita
anjuran Kekwa, pada tahun 2008 menang Hadiah Sastera Sabah 2006/2007, kategori novel
remaja menerusi novel Gadis Adikara dan pada tahun 2009 menang tempat kedua Hadiah
Sastera Kumpulan Utusan 2008 menerusi novel Jendela Menghadap Jalan. Manakala Waris
Pejuang menang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2011 juga di tempat kedua.
ABDUL LATIP BIN TALIB (Leftenan Adnan Wira Bangsa)
Abdul Latip bin Talib (lahir 2 Jun 1954) ialah seorang penulis yang aktif dan terkenal
di Malaysia. Abdul Latip Talib yang juga sinonim dengan panggilan Pak Latip dilahirkan di
Kampung Ulu Seperi, Rembau, Negeri Sembilan. Beliau mula menceburkan diri di dalam
bidang penulisan sastera bermula pada tahun 1999. Beliau terkenal sebagai penulis prolifik
melalui novel-novel sejarah Islam yang ditulis beliau yang dikenali sebagai siri Novel Sejarah
Islam.
DAYANG NOOR (Di Sebalik Dinara)
Dayang Noor atau Noor Aziza Sulaiman, lahir pada tahun 1974 di Pahang, Malaysia adalah
novelis bahasa Melayu sambilan. Beliau mempunyai ijazah dalam bidang Elektronik dan
Kejuruteraan Komputer dan kini bekerja sebagai Eksekutif IT dengan salah satu syarikat
integrasi sistem IT terbesar di Selangor, Malaysia. Beliau telah menulis 2 novel fiksyen pulpa
dalam bahasa Melayu iaitu Jerat (2011) dan Hilang (2012). Beliau tinggal di Selangor,
Malaysia bersama suami dan 3 orang anak lelaki.
AZMAH NORDIN (Pantai Kasih)
Azmah Nordin merupakan seorang pengarang buku di Malaysia. Beliau dilahirkan pada 10
Januari 1958 di Kulim, Kedah. Azmah Nordin kemudiannya mendapat pendidikan rendah dan
menengah dalam aliran Melayu dan Inggeris. Pada 1973 beliau berpindak ke Sabah dan
menetap di sana.
Beliau mula berjinak dengan dunia penulisan pada awal 1980-an, iaitu dalam penulisan
rencana. Kecenderungannya menulis dalam bidang sastera bermula pada awal tahun 1986.
Beliau meminati penulisan sajak, cerpen dan novel.
KHAIRUDDIN AYIP (Songket Berbenang Emas)
Khairuddin bin Ayip lahir pada 25 Februari, 1962 di Karnpung Jelotong, Parit Raja, Batu Pahat,
Johor. Beliau merupakan anak keenam daripada sembilan adik beradik. Ayahnya pekerja JPT
sementara ibunya seorang penoreh getah. Pada tahun 1969, beliau mendapat pendidikan awal
di SK Pintas Raya dan pada tahun 1975, beliau meneruskan persekolahan di SM Tun Ismail
sehingga lulus SPM. Pada tahun 1980, Khairuddin melanjutkan pelajaran ke tingkatan enam di
SM Dato' Bentara Luar. Setelah lulus STP, pada tahun 1982 hingga 1984 beliau mengikuti
kursus dalam bidang Pendidikan Sekolah Menengah, Pendidikan Seni dan Pengajian Melayu
di Maktab Perguruan Temenggung Ibrahim, Johor Bahru. Mulai tahun 1985, Khairuddin
bertugas sebagai guru di SRK Sri Petaling, Petaling Jaya. Setelah sepuluh tahun di sekolah
tersebut, beliau bertugas di SR Seksyen 18, Shah Alam sebagai Penyelia Petang. Bermula
Disember 1995, bertugas sebagai Guru Penolong Kanan I di SK Seksyen 20, Shah Alam. Mulai
bulan Julai 1996, beliau melanjutkan pelajaran dalam bidang Pengkhususan Bahasa dan
Linguistik Melayu, Fakulti Bahasa Moden dm Komunikasi, Universiti Putra Malaysia. Setelah
tamat, pada tahun 1999 beliau bertugas di SM Teknik, Shah Alam, Selangor.
BEB SABARIAH (Tirani)
Beb Sabariah atau nama penuhnya Bibi Sabariah Hj Abang Awet, lahir di Kampung Pusa,
Saribas, Bahagian Betong, Sarawak. Lulus Senior Cambridge dari SMK Green Road Kuching
beliau terus mendapat pendidikan ikhtisas @ diploma dari Maktab Perguruan Rajang
Bintangor, Sarikei dan Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim, Johor Baharu. Beliau mula
aktif dalam penulisan karya kreatif pada tahun 1999 dalam genre cerpen, puisi, rencana serta
rencana kritikan sastera. Menetap di Bandar raya Kuching, Beb Sabariah adalah ahli KEPEZI
(Kelab Penulis Zaharah Nawawi) dan PEKASA (Persatuan Karyawan Sastera Sarawak).
Karya-karya beliau dimuatkan dalam beberapa buah antologi cerpen iaitu KEPEZI SATU,
KEPEZI DUA (terbitan Haqaf Enterprise- selenggaraan Zaharah Nawawi) dan Memori Sebuah
Rindu (terbitan DBPCS), Antologi Pengucapan Puisi Hari Wilayah-Bandar Raya 2003, 2004,
2005, Antologi Puisi Pertemuan Budayawan BIMP-EAGA 2000, Pelagus-Antologi Sastera
Sarawak Jilid 1 2003. Selain itu cerpen dan puisi beliau juga pernah disiarkan dalam akhbar
Mingguan Malaysia, Utusan Melayu Mingguan, Berita Minggu, Utusan Sarawak, Mingguan
Sarawak serta Majalah Dewan Sastera dan Majalah Wanita.
NIZAR PARMAN (Silir Daksina)
Nizar Parman atau nama sebenarnya Md. Nizar bin Parman dilahirkan pada 31 Ogos 1973 di
Ayer Hitam, Batu Pahat, Johor. Pendidikan rendahnya di Sekolah Kebangsaan Seri Paya, Parit
Raja, Batu Pahat, sementara peringkat menengahnya di Sekolah Menengah Datuk Menteri,
Ayer Hitam, Batu Pahat. Beliau lulus Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) pada tahun 1992.
Dari tahun 1994 hingga 1996, beliau meneruskan pengajian di Maktab Perguruan Kinta
(MPKI), Jalan Dairy, Ipoh, Perak. Pada tahun 2015, beliau berjaya memperoleh Ijazah Sarjana
Muda Pendidikan Bahasa Melayu Sekolah Rendah daripada Open University of Malaysia.
Nizar Parman mula menulis pada tahun 1995 semasa menuntut di MPKI. Beliau terdorong
untuk menulis setelah membaca dan mengkaji karya yang ditulis oleh Sasterawan Negara dan
penulis tersohor tanah air semasa menuntut di sana. Setiap minggu, beliau akan meminjam
buku di perpustakaan.
Bermula dengan membaca karya hebat seperti Konserto Terakhir, Rimba Harapan, Seorang
Tua di Kaki Gunung, Daerah Zeni, dan Senjakala, beliau mula terfikir, sampai bilakah harus
membaca karya orang lain? Lantaran pertanyaan itu, beliau mula memberanikan diri menulis
puisi dan kemudiannya cerpen. Karyanya berupa cerpen, puisi, dan rencana tersiar dalam
pelbagai media, seperti Berita Harian, Mingguan Malaysia, Utusan Malaysia, Dewan Siswa,
Dewan Pelajar, Pelita Bahasa, Mingguan Wanita dan URTV. Beliau juga menulis novel.
SRI RAHAYU MOHD YUSOP (Bimasakti Menari)
Nama penulis: SRI RAHAYU MOHD YUSOP
Nama penuh: Sri Rahayu binti Mohd Yusop Tempat lahir: Tanjong Karang, Selangor
Tarikh lahir: 18 Jun 1976
Pendidikan awal: Sekolah Rendah Kebangsaan Batu 9, Tanjong Karang dari (1983-1988).
Pendidikan Menengah: Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru, Johor (1989 -1993).
Pendidikan Lanjut: Maktab Perguruan Ilmu Khas, Cheras; University of Otago, New Zealand
dan Dunedin College of Education, New Zealand (1994-1999)
Karier: Guru Bahasa Inggeris di SMK Dato' Harun, Tanjong Karang (2000 - 2003), SMK
Pandan Jaya, Ampang (2004-2020).
2.2 SINOPSIS 8 NOVEL
Novel Tingkatan 4
Jendela Menghadap Jalan (Ruhaini MatDarin)
Zon 1: Negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak
Lili ialah seorang remaja berusia 17 tahun yang tinggal bersama-sama ibu dan bapanya di Kuala
Lumpur. Ketika cuti sekolah, ibu ingin menghantar Lili bercuti bersama-sama nenek di kampung.
Walaupun Lili agak keberatan untuk pulang ke kampung, tetapi disebabkan perasaan hormatnya
kepada ibu, Lili pulang juga untuk bercuti bersama-sama datuk dan neneknya.
Ketika berada di kampung, Lili menyaksikan beberapa peristiwa yang menjadikan dirinya
lebih tertarik untuk tinggal lebih lama di situ. Datuk Lili merupakan antara orang pertama yang
membuka kampung itu. Datuk merupakan seorang pengamal perubatan tradisional. Sejak
belakangan ini, pesakit datuk semakin berkurangan kerana mereka beralih kepada
cara perubatan moden disebabkan oleh pengaruh yang dibawa oleh anak-anak mereka yang
masih muda.
Lili juga menyaksikan pertentangan pendapat antara golongan muda dengan golongan tua
berkaitan dengan isu kubah masjid, sama ada perlu diletakkan di atas surau sedia ada ataupun
membina masjid baharu. Geetha dan Danel yang ditemuinya ketika dalam perjalanan ke kampung
menjadi sahabat baiknya. Mereka mempunyai cara pemikiran yang sama, tetapi bertentangan
pendapat dengan masyarakat yang lebih tua di situ.
Terdapat sebuah keluarga yang porak-peranda di kampung itu, iaitu keluarga Che Jah. Anak
Che Jah, iaitu Rafiq dan Haziq sering dibelasah oleh orang kampung kerana suka mencuri
dan terlibat dalam pengambilan dadah. Pada suatu ketika, sewaktu Lili pulang dari bandar, dia telah
ditangkap oleh Rafiq dan Haziq. Lili dibawa ke suatu kawasan yang tidak diketahui dan telah
ditawan oleh mereka. Akhirnya, Lili berjaya diselamatkan oleh Danel.
Walaupun Lili pernah ditawan oleh Rafiq dan Haziq, namun dia mempunyai pendapat yang
berbeza dengan orang kampung. Dia tidak memandang rendah kepada Che Jah dan anak-
anaknya kerana baginya semua yang terjadi disebabkan oleh suami Che Jah yang tidak
bertanggungjawab. Dengan pertolongan Hamimah yang kebetulan datang untuk berubat dengan
datuk, akhirnya suami Che Jah ditangkap dan anak-anaknya akan dibantu sehingga pulih.
Setelah pulang ke Kuala Lumpur, datuk dan nenek telah menceritakan sejarah kedatangan
mereka ke situ dan rahsia jendela yang menghadap jalan.
Leftenan Adnan Wira Bangsa (Abdul Latip Talib)
Zon 2: Negeri Selangor, Negeri Sembilan, wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan
Wilayah Persekutuan Putrajaya
Dalam pertempuran dengan askar Jepun, Askar Melayu menunjukkan keberanian dan
semangat keperwiraan yang hebat di mana seramai 152 anggota Askar Melayu, termasuk 7
pegawai Melayu dan 6 orang pegawai British yang dipinjamkan ke Rejimen Askar Melayu
terkorban. Antara pegawai Askar Melayu yang terkorban itu adalah Leftenan Adnan bin Saidi.
Dia bersama 42 orang anggotanya berjuang sehingga ke titisan darah yang terakhir.Novel
Leftenan Adnan Wira Bangsa, Memaparkan kisah keberanian dan keperwiraan askar Melayu
yang sanggup berjuang sehingga ke hujung nyawa.
Di Sebalik Dinara (Dayang Noor)
Zon 3: Negeri Johor, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan
Farisha berkenalan dengan Aqram dalam penerbangan dari Nusa Jaya ke KLIA. Tanpa
disedari, Aqram telah mengambil cawan minuman Farisha dengan tujuan untuk menguji DNA
gadis itu. Jurutera keselamatan sistem itu tidak dapat memasuki rumahnya kerana Azraai
(abang Farisha) telah memasang pengimbas retina pada pintu rumahnya yang disewa bersama-
sama Shida. Azraai bimbang akan keselamatan adiknya. Keesokan hari, Farisha dan Rosman
bertemu dengan Aqram di sebuah simposium. Aqram menawarkan sebuah projek mini kepada
mereka. Beberapa hari kemudian, Farisha menyatakan persetujuannya terhadap projek itu.
Aqram memperkenalkan Farisha dan Rosman kepada Dr. Maxi. Mereka berada di rumah
kepunyaan Karl iaitu seorang penyelidik di Soft Lab yang banyak berjasa malah pernah
menerima anugerah inovasi peringkat kebangsaan. Dr. Maxi menawarkan RM1.5 juta kepada
Farisha dan Rosman untuk menggodam tiga kelompok komputer Soft Lab dalam tempoh empat
minggu. Kini, Karl terlantar akibat barah dan projek Dinara di Soft Lab terhenti. Farisha dan
Shida memulakan kerja di Soft Lab. Shida diminta oleh Soft Lab untuk menulis sebuah rencana
manakala Farisha akan menggodam dan mengukuhkan sistem Dinara.
Pantai Kasih (Azmah Nordin)
Zon 4: Negeri Melaka, Pahang, Terengganu dan Kelantan
Raiha seorang doktor muda yang terpaksa melalui pelbagai bentuk cabaran sebelum berjaya
menjadi doktor pakar bedah. Selepas menghadapi kegagalan dalam perkahwinannya, dia
akhirnya menerima pelawaan mentornya, Doktor Uwang agar menyertainya di pusat rawatan
mewah yang dikenali sebagai Pusat Rawatan Pantai Kasih.
Di sepanjang bertugas di pusat rawatan tersebut, fikiran Raiha sering terganggu tentang
komplikasi pesakit namun mereka masih mampu untuk bertungkus lumus menabung wang
bagi mendapatkan rawatan operasi daripada para pakar perubatan di pusat rawatan
itu. Anehnya, yang kaya raya tidak ramai pula yang menghadapi komplikasi yang
serupa. Kian terganggu Raiha, apabila melihat X-Ray milik salah seorang daripada
pesakit. Dari mata kasar, memang tiada yang aneh-aneh berlaku. Namun nalurinya
memberitahu ada sesuatu yang tidak kena pada X-Ray itu. Ini membuatkan
Raiha tambah tertekan.
Di samping itu, Raiha juga sering diganggu gambaran bekas suaminya yang perlahan-lahan
mengingatkan dia pada kisah silamnya yang amat mengerikan dan menyayat
hati. Bagaimanapun, oleh semangatnya yang kuat, dia teruskan juga perjuangan dalam bidang
perubatan.
Apabila dia cuba meluahkan perasaan tentang masalah itu kepada Doktor Uwang, ternyata
mentornya itu agak tidak senang. Padahal sebelum itu, Doktor Uwang adalah guru
demonstrator dalam bidang anatominya dan mengajarnya tentang unsur-unsur surgeri ataupun
pembedahan. Ketika itu, dia menjadi siswi tahun pertama dalam spesifikasi ortopedik, di
institusi tinggi tempatan dahulu. Selang beberapa tahun kemudian, apabila dia memulakan
klinikal yearnya di sebuah hospital kerajaan, pernah beberapa kali membantu Doktor Uwang
dalam bilik pembedahan, selain kerap mengiringi lelaki itu ke ceramah-ceramah perubatan dan
sebagainya. Malah, hatinya pernah tersangkut pada doktor kacak itu, biarpun lelaki itu
mungkin tidak menyedari pun akan kewujudannya. Biar apa pun, ketika itu, selain daripada
sebagai mentor, Doktor Uwang adalah doktor nombor satu di hatinya.
Tetapi, apabila bekerja di pusat rawatan mewah milik Doktor Uwang dan ditugaskan untuk
mengambil alih tugas membedah salah seorang pesakit yang menghadapi komplikasi berulang-
kali, pandangannya terhadap doktor itu mula berubah. Pelbagai tanda tanya,
menyelubunginya. Dan peristiwa aneh-aneh berlaku, sehinggalah Doktor Uwang mengalami
kemalangan di jalan yang berhampiran dengan pusat rawatan itu.
Sebagai seorang doktor yang profesional, Raiha tentang menjalankan operasi ke atas Doktor
Uwang dengan menggunakan peralatan yang dibeli khas oleh doktor itu sendiri. Peralatan
yang digunakan untuk pesakit-pesakit yang berpendapatan sederhana.
Novel Tingkatan 5
Songket Berbenang Emas (Khairuddin Ayip)
Zon 1: Negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak
Novel ini mengisahkan kehidupan Dahlia, seorang murid yang cerdik dan disenangi oleh
teman-temannya. Namun, Dahlia menghadapi masalah keluarga sehingga mengganggu
tumpuannya terhadap peperiksaan STPM yang bakal didudukinya. Sebagai anak sulung,
Dahlia terpaksa memberikan perhatian kepada adik-adiknya setelah pelbagai masalah melanda
keluarganya. Ibunya, Saleha dirawat di Hospital Permai kerana mengalami masalah tekanan
mental. Ayahnya dipatuk ular sehingga dimasukkan ke wad selama beberapa hari. Adik
lelakinya pula terpengaruh dengan kawan-kawan sehingga tidak berminat untuk belajar. Situasi
ini telah menyebabkan Dahlia terpaksa keluar dari asrama untuk menjaga adik-
adiknya.Tekanan hidup Dahlia semakin bertambah apabila hubungannya dengan Azhari
dipandang serong oleh jirannya. Tindakan berani Dahlia terjun ke sungai untuk menyelamatkan
Said tidak dihargai, malah dicemuh pula kerana gagal menyelamatkannya.Walau
bagaimanapun, Dahlia tetap tabah menghadapi dugaan. Hadiah atas kesabarannya menghadapi
pelbagai dugaan hidup ialah kejayaan Dahlia yang dapat melanjutkan pelajaran ke Jepun dan
pertunangannya dengan Azhari.
Tirani (Beb Sabariah)
Zon 2: Negeri Selangor, Negeri Sembilan, wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan
Wilayah Persekutuan Putrajaya
Tirani mengisahkan tentang seorang gadis yang bernama Waheeda mahu menjadi cantik dan
berhidung mancung kerana hidung asalnya pesek. Waheeda juga ingin mencapai kemajuan atas
nama dirinya dalam bidang pelancongan sehingga suaminya, Zahid mengatakan bahawa
Waheeda telah mengabaikan batas-batas pergaulan sebagai isteri. Bagi menjadi cantik
Waheeda yang kebetulan hidungnya digigit monyet melakukan pembedahan rekonstruksi atau
pembinaan semula wajahnya dengan memasang hidung palsu menjadikannya hidungnya
mancung dan cantik. Dengan kejayaannya menjadi cantik datang jugalah kejayaannya dalam
bidang kerjaya. Bidang pelancongan yang diterokainya telah mempertemukannya dengan
suaminya, Zahid, anak rakan niaganya di Sarawak iaitu Datuk Yasser. Kecantikan dan kejayaan
dalam kerjaya yang dicapai oleh Waheeda tidak menjamin kebahagiaan rumah tangga.
Sebenarnya tidak menjadi kenyataan kerana apa yang diperolehnya itu yang merosakkan
kehidupannya. Kecantikannya itu menyebabkan tugasnya bertambah berat dan harapan orang
terhadapnya melambung tinggi sehingga Waheeda tidak larat memikulnya. Dalam novel
Tirani, cinta Waheeda terhadap suaminya begitu mendalam sehingga jatuh sakit jiwa setelah
diceraikan oleh suaminya. Penceraian itu berpunca daripada wajah anaknya yang tidak ada
mewarisi kecantikan dirinya dan ditambah dengan rasa cemburu oleh Zahid.
Akhirnya Waheeda bertekad untuk berjaya dan berdikari dalam bidang pelancongan dengan
menguruskan sebuah chalet di Cameron Highland. Kemajuan chalet yang diusahakan oleh
Waheeda dan anaknya Izzati telah menarik kehadiran ramai pelancong termasuklah Zahid.
Akhir mereka dipertemukan di chalet itu. Namun, di sudut hati Waheeda dan Zahid terserlah
satu falsafah hidup bahawa kecantikan seseorang hanyalah satu Tirani.
Silir Daksina (Nizar Parman)
Zon 3: Negeri Johor, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan
Novel ini mengisahkan tentang seorang remaja bernama Haiqal Haqimi. Dia hidup bersama
ibu dan ayah tirinya.Suatu hari, Haiqal didatangi sebuah manuskrip lama yang didalmnya
terdapat hasil penulisan ayah kandungnya. Teruja dengan kandungan nmanuskrip iyu, Haiqal
bertekad untuk mencari jejak kehidupan arwah ayah kandungnya itu di sebuah kampung di
Batu Pahat, Johor. Keputusannya untuk ke kampung arwahayahnya mendapat tentangan
daripada uminya. Umi melarang Haiqal ke Johor atas sebab-sebab tertentu.
Hubungan umi dan ayah kandung Haiqal sesungguhnya tidak bahagia sehingga berpisah.
Umi membawa Haiqal tinggal bersamanya di Kuala Terengganu. Ayah Haiqal, Abdullah bin
Kayan tinggal kesepian di Johor. Hidupnya kesepian, keseorangan dan dihurung kerinduan
terhadap anaknya. Haiqal telah membuat keputusan bahawa dia tetap akan pergi walaupun
uminya melarang keras keputusannya itu. Uminya tidak mahu Haiqal mengikuti jalan hidup
seperti arwah ayah kandungnya. Haiqal tidak diberikan sebarang wang perbelanjaan untuk
kesana.
Sesampai di Kampung Seri Purnama, Haiqal disambut mesra oleh penduduk kampung. Hal
ini dikatakan demikian kerana ayah kandung haiqal seorang yang sangat disegani di sana.
Sedikit demi sedikit Haiqal mula mengetahui mengenai arwah ayahnya melalui peceritaan
penduduk-penduduk kampung di situ. Terdapat sedikit ilmu mengenai tarian zapin di dalam
novel ini. Beliau juga seorang yang amat mecintai sastera. Dari situlah perlahan-lahan Haiqal
mengenali ayah kandungnya. Semenjak ayahnya meninggal dunia , Kampung Seri Purnama
kehilangan orang penting untuk memperkenalkan tarian zapin ini.
Sebelum pulang, Haiqal ingin kumpulan zapin D'Purnama membuat persembahan zapin.
Haiqal dan See Hwa menari bersama-sama. Haiqal sangat terharu kerana umi, walid, dan adik
tirinya turut memberikan sokongan. Dendam uminya terhadap Abdullah bin Kayan telah
melebur apabila dia datang ke Kampung Seri Purnama untuk menyaksikan Haiqal menari.
Bimasakti Menari (Sri Rahayu Mohd Yusop)
Zon 4: Negeri Melaka, Pahang, Terengganu dan Kelantan
Novel ini mengisahkan Nurul Hafsa yang bertugas sebagai Pegawai Sains di Balai Cerap
Sultan Salahuddin. Beliau dikunjungi oleh pelajar-pelajar dari Jepun untuk melihat buruj Orion
atau buruj Belantik dengan mata kasar, tanpa sebarang bantuan alat pencerap namun gagal
kerana langit terlalu cerah. Nurul Hafsa yang pada mulanya runsing dengan situasi tersebut
akhirnya telah mengambil langkah bijak bagi menyelesaikan masalah tersebut dengan
mengemukakan hujah yang dapat diterima oleh kumpulan pengunjung tersebut. Dia dengan
berani telah mengakui kekurangan yang berlaku pada malam tersebut berpunca daripada kesan
negatif akibat pembangunan pesat yang berlaku di Kuala Selangor.
Nurul Hafsa mengambil keputusan untuk melihat sendiri kelip-kelip di Kampung Kuantan.
Beliau kecewa kerana tidak banyak kelip-kelip di situ, apatah lagi anak sungainya dipagar
untuk menghalang bot atau sampan melaluinya. Budiman mengajak Nurul Hafsa menemui
‘lelaki kelip-kelip’ atau nama sebenarnya Muhammad Taufik yang merupakan pemilik anak
sungai tersebut. Muhammad Taufik berbuat demikian agar populasi kelip-kelip tidak terancam.
Nurul Hafsa membentangkan Projek Kawasan Simpan Langit Gelap di hadapan Menteri Besar,
ahli akademik, ahli perniagaan dan orang awam di bangunan SUK Shah Alam.
Rancangannya ditentang oleh Dato’ Johann Arlington dan dia mengatur rancangan untuk
mengupah tiga orang tonto bagi menyiasat pergerakan Nurul Hafsa dan Muhammad Taufik
dan memastikan mereka tidak dapat melaksanakan projek tersebut. Berita kemalangan
Muhammad Taufik mengejutkan Nurul Hafsa. Ketua Inspektor Lim mengesyaki kemalangan
itu dirancang oleh musuhnya. Selepas peristiwa itu, Nurul Hafsa pula menjadi mangsa apabila
diculik dan abangnya, Budiman cedera dipukul. Muhammad Taufik cuba membebaskan Nurul
Hafsa dengan mengikut arahan penculik untuk berjumpa di stesen minyak Petronas.
Nurul Hafsa dibebaskan tetapi Muhammad Taufik pula diculik. Nurul Hafsa cuba
menyelamatkan Muhammad Taufik dengan membuat laporan polis di IPD Kuala Selangor.
Balai Polis Bestari Jaya menerima aduan daripada penduduk setempat bahawa terdapat aktiviti
bukan perladangan dan pihak polis membentuk Pasukan Gerak Khas. Pasukan ini menyerbu
dan berjaya menembak tiga lelaki dan beberapa orang lelaki keluar menyerah diri. Muhammad
Taufik diselamatkan oleh Ketua Inspektor Lim.
Nurul Hafsa, Haji Yassir dan Budiman berada di Masjid Jamik Sultan Ibrahim Kuala
Selangor untuk menghadiri kenduri kesyukuran bagi meraikan pernikahan kali kedua Tan Sri
Muhaimin dan bekas isterinya. Tan Sri Muhaimin menyampaikan ucapan ringkas dengan
menyatakan rasa syukur beliau ke hadrat Ilahi dengan kembalinya anak dan isteri ke pangkuan
beliau dan musuh perniagaannya, Dato’ Johann Arlington pula bakal dihadapkan kemuka
pengadilan. Dalam majlis tersebut, Muhammad Taufik meluahkan isi hatinya terhadap Nurul
Hafsa. Muhammad Taufik menyampaikan hasratnya untuk menghantar rombongan lamaran ke
kediaman orang tua Nurul Hafsa.
2.3 TARIKAN SETIAP NOVEL
Novel Jendela Menghadap Jalan menceritakan tentang kembara Lili di kampung datuk dan
neneknya yang telah memberitahunya tentang sejarah kedatangan mereka ke situ dan rahsia
jendela yang menghadap jalan.
Selain itu, novel Leftenan Adnan Wira Bangsa menceritakan tentang Leftenan Adnan yang
sanggup berjuang bermati-matian hingga titisan darah terakhir demi mempertahankan tanah air
daripada ditakluki oleh tentera Jepun.
Seterusnya, novel Di Sebalik Dinara menceritakan tentang persaingan dalam dunia sains
yang menyebabkan Karl dan Marilyn hampir mengorbankan zuriat sendiri dan mengorbankan
manusia lain untuk kejayaan diri sendiri.
Sehubungan itu, novel Pantai Kasih menceritakan tentang kisah hidup Raiha yang tragis,
bermula daripada kematian anak perempuannya, kegagalan rumah tangganya hinggalah
bangkangan ayahnya terhadap cita-citanya yang hendak menjadi pakar bedah.
Novel Songket Berbenang Emas pula menceritakan tentang Dahlia yang sangat tabah
menghadapi cabaran hidup. Antaranya ialah apabila abahnya dipatuk ular dan emaknya, Saleha
dimasukkan ke hospital lalu menyebabkan Dahlia terpaksa keluar dari asrama dan berulang-
alik ke sekolah untuk menjaga adik-adiknya.
Kemudian, novel Tirani menceritakan tentang kegigihan Waheeda dalam melakukan
perniagaan chaletnya sendiri setelah diceraikan oleh suaminya, Zahid.
Seterusnya, novel Silir Daksina menceritakan tentang konflik keluarga yang dialami oleh
Haiqal berpunca daripada penceraian umi dan ayahnya, Abdullah Kayan dan menyebabkan
Haikal terpisah jauh dari ayahnya.
Akhir sekali, novel Bimasakti Menari menceritakan tentang Nurul Hafsa, Muhammad Taufik
dan Budiman yang bersatu hati dalam berjuang untuk melestarikan alam sekitar serta mencuba
memulihkan populasi kelip-kelip dan mengembalikan kegelapan langit di Kuala Selangor
sebagai kawasan mencerap bintang.
BAB 3: METODOLOGI KAJIAN 8 BAB
3.1 JENIS NOVEL
Novel (T4) Jenis Novel
Jendela Menghadap Jalan Fiksyen
Leftenan Adnan Wira Bangsa Bukan fiksyen
Di Sebalik Dinara Fiksyen
Pantai Kasih Fiksyen
Novel (T5) Jenis Novel
Songket Berbenang Emas Fiksyen
Tirani Fiksyen
Silir Daksina Fiksyen
Bimasakti Menari Fiksyen
3.2 PROSES PENGUMPULAN DATA
• 30/7/2021 – Mencari maksud novel dan maksud fiksyen dan bukan fiksyen, mencari
biodata setiap guru dan sinopsis setiap novel
• 31/7/2021 – Menyiapkan bab 1 dan 2
• 7/8/2021 – Mencari tema setiap novel
• 8/8/2021 – Menyiapkan bab 3
• 9/8/2021 – Menyiapkan bab 4
• 15/8/2021 – Menghantar tugasan di Microsoft Teams
• 16/8/2021 – Membuat penambahbaikan tesis bersama guru muda
3.3 TEMA SETIAP NOVEL
Jendela Menghadap Jalan (Ruhaini MatDarin)
Tema: Kecekalan seorang gadis dalam menempuh berbagai-bagai ujian dan rintangan.
Semasa berada di Kampung Sentosa, Lili tidak pernah menghubungi ibunya di Kuala Lumpur
untuk mengadu masalah. Dia berusaha sedaya upaya dengan semangat yang kental. Walaupun
pernah ditahan, dikurung dan diikat oleh Rafiq di sebuah pondok buruk, peristiwa itu tidak
mematahkan semangatnya. Peristiwa itu menguatkan lagi keinginannya untuk mengikuti
perkembangan diri Rafiq dan seterusnya cuba membantunya. Lili cekal mengikuti
perkembangan kisah jendela rumah di kampung itu yang menghadap jalan.
Leftenan Adnan Wira Bangsa (Abdul Latip Talib)
Tema: Semangat kepahlawanan askar Melayu dalam mempertahankan tanah air daripada
dijajah oleh orang asing.
Leftenan Adnan, atau nama sebenarnya Adnan bin Saidi sanggup berjuang bermati-matian
hingga titisan darah terakhir demi mempertahankan bumi tercinta daripada ditakluki oleh
tentera Jepun.
Di Sebalik Dinara (Dayang Noor)
Tema: Persaingan dalam dunia sains.
Pada awalnya, Karl dapat menerima Medina sebagai pembantu penyelidiknya. Tetapi apabila
dia berasakan Medina lebih hebat daripadanya, dia mula merancang sesuatu untuk
melenyapkan pesaingnya itu. Medina dijadikan bahan uji kaji sehingga dia menjadi gila.
Walapun dikatakan gila oleh kebanyakan orang, Marilyn tetap meneruskan dendamnya untuk
menjatuhkan Karl. Dia meneruskan ciptaan sainsnya dan akhirnya dapat menyebarkan virus ke
dalam sistem komunikasi terbaharu yang dihasilkan oleh Karl iaitu Dinara.
Pantai Kasih (Azmah Nordin)
Tema: Ketabahan hati seorang wanita dalam menumpuh ranjau kehidupan.
Raiha tabah menghadapi kematian anak perempuannya. Anak perempuan tunggalnya itu
adalah seorang anak istimewa, berkromosom lebih iaitu ‘down sindrome’. Sejak mengetahui
keadaan anaknya dalam kandungan, suaminya meminta agar kandungan itu digugurkan, namun
Raiha tetap mahu melahirkan anak tersebut walaupun mendapat tentangan daripada suaminya.
Songket Berbenang Emas (Khairuddin Ayip)
Tema: Ketabahan seorang gadis menghadapi dugaan hidup.
Dahlia seorang remaja berusia 19 tahun sangat tabah menghadapi dugaan hidupnya. Apabila
emaknya, Saleha menghadapi tekanan perasaan dan dimasukkan ke hospital, Dahlia terpaksa
keluar dari asrama dan berulang-alik ke sekolah. Dahlia seorang yang tabah kerana terpaksa
menjaga adik-adiknya di samping pelajarannya. Kehidupan Dahlia semakin tertekan apabila
abahnya dipatuk ular. Dahlia terpaksa mengambil alih semua tugas menguruskan adik-adik dan
keperluan rumah mereka. Namun, Dahlia tetap tabah menghadapi dugaan tersebut. Dahlia juga
tabah dihina oleh Aton apabila Dahlia gagal menyelamatkan Said yang lemas di sungai
berhampiran rumahnya. Dahlia juga tabah melayan kerenah neneknya yang membenci
keluarga Dahlia kerana keluarga mereka hidup dalam kemiskinan berbanding anak-anaknya
yang lain yang hidup senang. Dahlia tetap tabah apabila mengetahui neneknya dan Pak Cik
Seman ingin menjual tanah yang menjadi tempat tinggal mereka selama ini. Dahlia juga tabah
mengulang kaji pelajaran dalam keadaan yang kurang selesa di pusat pemindahan banjir.
Berkat ketabahan Dahlia,akhirnya dia telah berjaya dalam STPM dan mendapat tawaran untuk
melanjutkan pelajaran di Jepun.
Tirani (Beb Sabariah)
Tema: Kegigihan seorang wanita dalam menempuh pelbagai cabaran dan dugaan dalam
kehidupannya.
Kegigihan Waheeda dalam mengembangkan sayap perniagaannya terserlah apabila dia berani
membuat pinjaman baharu untuk membeli Chalet Iwana-Iwani yang terletak di Cameron
Highlands dan menukarkan namanya kepada Chalet Aya-Sajinah. Kegigihan Waheeda dalam
membina hubungan persahabatan turut digambarkan dalam novel ini. Waheeda gigih dan bijak
berdepan dengan sikap prejudis sahabat baiknya, Bazilah yang mencemburui hubungan
baiknya dengan tunangnya sendiri, Dr. Zahari. Waheeda cekal mengharungi liku-liku pahit dan
manis dalam alam rumah tangganya bersama-sama dengan Zahid sehingga memperoleh
seorang cahaya mata perempuan. Dia turut mengalami masalah kemurungan akibat keretakan
dalam rumah tangganya.
Silir Daksina (Nizar Parman)
Tema: Sifat kekeluargaan.
Konflik keluarga yang dialami oleh Haiqal berpunca daripada penceraian umi dan ayahnya,
Abdullah Kayan. Perceraian tersebut menyebabkan Haikal terpisah jauh dari Ayahnya. Haiqal
dipelihara oleh uminya dan ayah tirinya, Walid. Mereka menetap di Kuala Terengganu. Haikal
tidak dapat menemui atau mengenali ayah kandungnya sehinggalah ayahnya meninggal dunia.
Suatu hari, Haiqal telah didatangani manuskrip lama hasil penulisan ayah kandungnya. Dia
teruja dengan kandungan manuskrip itu dan bertekad untuk mencari jejak kehidupan arwah
ayah kandungnya itu di sebuah kampung di Batu Pahat, Johor. Keputusannya untuk ke
kampung arwah ayahnya mendapat tentangan daripada uminya. Umi melarang Haiqal ke Johor
atas sebab-sebab tertentu. Haiqal telah membuat keputusan bahawa dia tetap akan pergi
walaupun uminya melarang keras keputusannya itu. Uminya tidak mahu Haiqal mengikuti
jalan hidup seperti arwah ayah kandungnya. Haiqal tidak diberikan sebarang wang
perbelanjaan untuk ke sana. Sesampai di Kampung Seri Purnama, Haiqal disambut mesra oleh
penduduk kampung. Hal ini dikatakan demikian kerana ayah kandung Haiqal seorang yang
sangat disegani di sana. Sedikit demi sedikit Haiqal mula mengetahui mengenai arwah ayahnya
melalui peceritaan penduduk-penduduk kampung di situ.
Bimasakti Menari (Sri Rahayu Mohd Yusop)
Tema: Kegigihan anak muda dalam usaha melestarikan alam sekitar.
Nurul Hafsa, Muhammad Taufik dan Budiman telah bersatu hati dalam berjuang untuk
melestarikan alam sekitar. Mereka cuba memulihkan populasi kelip-kelip dan mengembalikan
kegelapan langit di Kuala Selangor sebagai kawasan mencerap bintang. Mereka telah berusaha
dengan mendapatkan sokongan pihak kerajaan terhadap projek Kawasan Simpan Langit Gelap
yang pertama di Asia Tenggara. Dalam masa yang sama Muhammad Taufik sedang
mengusahakan projek perumahan Ikhtiar TeknoAlam dengan membina rumah mesra alam.
3.4 KEUNIKAN DALAM NOVEL
Novel paling unik pada pendapat saya ialah novel Pantai Kasih, novel Tingkatan 4, hasil karya
Azmah Nordin kerana jalan ceritanya yang mengisahkan tentang kehidupan tragis Raiha amat
menarik perhatian saya. Namun, novel Leftenan Adnan Wira Bangsa, novel Tingkatan 4, hasil
karya Abdul Latip Talib tidak begitu menarik perhatian saya kerana ceritanya bukan fiksyen.
3.5 PERSAMAAN YANG TERDAPAT DALAM 8 NOVEL
Persamaan yang dapat dilihat ialah terdapat lima novel yang mempunyai unsur dan tema
kekeluargaan iaitu novel-novel Tingkatan 4, Jendela Menghadap Jalan, Di Sebalik Dinara dan
Pantai Kasih serta novel-novel Tingkatan 5, Songket Berbenang Emas dan Silir Daksina.
3.6 KETERBEZAAN ANTARA 8 NOVEL
Keterbezaan antara novel-novel ini ialah novel Leftenan Adnan Wira Bangsa, hasil karya
Abdul Latip Talib merupakan novel bukan fiksyen yang menceritakan tentang semangat
kepahlawanan askar Melayu dalam mempertahankan tanah air. Selain itu, novel Tirani, hasil
karya Beb Sabariah menceritakan sifat sayang akan diri sendiri dan kecantikaan fizikal bersifat
sementara tetapi ilmu yang dimiliki mampu membuatkan kehidupan lebih senang. Seterusnya,
novel Bimasakti Menari, hasil karya Sri Rahayu Mohd Yusop menceritakan tentang kegigihan
anak muda dalam usaha melestarikan alam sekitar.
3.7 BANDING BEZA NOVEL MALAYSIA DAN NOVEL LUAR NEGARA
Pada pendapat saya, novel luar negara lebih menarik perhatian daripada novel Malaysia kerana
penulisan plot dan jalan cerita di dalam novel luar negara lebih menarik manakala novel
Malaysia mempunyai plot yang boleh dijangka. Ilustrasi kulit muka hadapan buku juga
memainkan peranan yang besar dalam menarik perhatian remaja untuk membaca sesuatu
novel.
3.8 NOVEL DAN KEHIDUPAN
Berdasarkan kesemua novel yang dikaji, terdapat banyak nilai dan pengajaran yang patut
dititikberatkan oleh pembaca.
Nilai pertama secara keseluruhan kelapan-lapan novel ialah nilai prihatin. Kita mestilah
prihatin terhadap masalah yang berlaku di sekeliling kita agar masalah tersebut dapat diatasi
dengan baik.
Nilai kedua secara keseluruhan kelapan-lapan novel ialah nilai keberanian. Kita mestliah
berani menghadapi cabaran agar segala urusan dapat dipermudahkan.
Nilai ketiga secara keseluruhan kelapan-lapan novel ialah nilai kebijaksanaan. Kita mestilah
bijak dalam menyelesaikan masalah atau tugas agar hidup kita lebih disenangi.
3.9 KEDUDUKAN NOVEL
Bil. Judul
1 Pantai Kasih
2 Di Sebalik Dinara
3 Songket Berbenang Emas
4 Jendela Menghadap Jalan
5 Tirani
6 Silir Daksina
7 Bimasakti Menari
8 Leftenan Adnan Wira Bangsa
3.10 KESIMPULAN
Kesimpulannya, kelapan-lapan novel ini mempunyai keunikan dan daya tarikan yang
tersendiri. Setiap novel juga dapat memberikan nilai dan pengajaran yang berbeza kepada para
pembaca, khususnya golongan remaja. Remaja juga seharusnya tahu bahawa terdapat banyak
iktibar dan pengajaran yang boleh diperoleh, hanya dengan membaca novel.
BAB 4: PENUTUP
4.1 RUMUSAN KAJIAN
Cara untuk menarik minat pelajar untuk membaca novel-novel komsas ini ialah dengan
menghasilkan ilustrasi kulit muka hadapan buku yang lebih menarik. Pada zaman sekarang,
pelajar akan meneliti sesebuah kulit muka hadapan buku terlebih dahulu sebelum membacanya.
Oleh itu, penghasilan kulit muka hadapan yang lebih menarik dan kreatif mampu menarik
perhatian remaja. Selain itu, penulis disarankan untuk menulis buku jenis fiksyen kerana
remaja lebih tertarik dengan buku-buku yang bergenrekan fiksyen.
4.2 IMPLIKASI DAN CADANGAN
Cadangan yang boleh dilakukan untuk menarik perhatian remaja adalah dengan menghasilkan
kulit buku yang lebih menarik dan kreatif serta menulis buku yang bergenrekan fiksyen. Tujuan
penambahbaikan ini untuk menambah daya tarikan sesebuah novel dan menarik perhatian
remaja untuk membaca.
4.3 HIPOTESIS AKHIR
Kesemua novel-novel komsas ini mempunyai daya tarikan dan penulisan plot yang amat
menarik.
4.4 PENUTUP
Akhir sekali, kajian ini bertujuan untuk mengkaji daya tarikan setiap novel bagi menarik
perhatian pelajar untuk membaca novel-novel komsas Tingkatan 4 dan 5.
4.5 RUJUKAN
https://ms.wikipedia.org/wiki/Novel
https://pahamify.com/blog/artikel/pengertian-novel-secara-umum/
https://obsesikubuku.wordpress.com/2017/01/20/5-sebab-mengapa-membaca-novel-
sebenarnya-bagus-untuk-anda/
https://sksungaitong.blogspot.com/2017/10/nota-komsas-tingkatan-5-novel.html
https://cikgukumuzz.blogspot.com/2020/12/nota-komsas-analisis-novel-leftenan.html?m=0
https://karangan.net/kebaikan-dan-keburukan-membaca-novel/
http://muinmohsein.blogspot.com/2015/06/novel-jendela-menghadap-jalan-ruhaini.html
http://arifbahasamelayu1.blogspot.com/2015/12/nilai-dan-pengajaran-novel-jendela.html
https://www.ipendidikan.my/novel-tirani.html
https://bijaktekun.blogspot.com/2017/02/novel-songket-berbenang-emas-tema-dan.html
http://arazakadam.blogspot.com/2015/04/tema-dan-persoalan-novel-pantai-kasih.html
http://cikguchom.blogspot.com/2015/07/nilai-murni-dan-pengajaran-novel-di.html