The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by khayra0007, 2022-07-29 03:59:27

MAHSURI & PUTERI LINDUNGAN BULAN

MAHSURI & PUTERI LINDUNGAN BULAN

MAHSURI DAN PUTERI LINDUNGAN BULAN, LAGENDA KEDAH
DAN MOTIF DARAH PUTIH

Asniza Zakaria
Jabatan Pengajian Melayu, Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman, Kedah

[email protected]

Abstrak
Kertas kerja ini akan memulakan perbincangan dengan menjelaskan secara ringkas
tentang definisi, pengertian, fungsi dan ciri-ciri lagenda dan warna putih yang
dikemukakan oleh beberapa tokoh. Perbincangan diteruskan lagi dengan menyingkap
sejarah Mahsuri dan Puteri Lindungan Bulan, susur galur keturunan lagenda tersebut
serta kisahnya secara ringkas. Bahagian kedua pula berkaitan pengaplikasian definisi,
ciri-ciri dan fungsi ke atas kedua-dua lagenda tersebut, sama ada bertepatan ataupun
sebaliknya. Pada bahagian ini dikaitkan juga makna putih, berdarah putih dengan sifat
serta perwatakan kedua-dua lagenda ini dalam menyantuni mereka. Pada bahagian
kedua ini juga, akan turut membincangkan tentang motif darah putih serta
menghubungkannya dengan kejadian yang menimpa Mahsuri dan Puteri Lindungan
Bulan. Bahagian ketiga pula berkisar tentang cadangan memperkenal dan memastikan
kelangsungan nostalgia kepada generasi sekarang dan akan datang bahawa negeri
Kedah kaya dengan khazanah cerita-cerita rakyat dan kedua-dua lagenda ini adalah
sebahagian daripadanya. Kajian kualitatif melalui tinjauan dokumen berjaya
membuktikan bahawa kedua-dua lagenda ini menepati pengertian, fungsi dan ciri-ciri
lagenda serta pengertian motif warna putih.

Kata kunci: Lagenda, Puteri Lindungan Bulan,Mahsuri, berdarah putih

PENGENALAN
Lagenda biasanya ialah cerita rakyat pada zaman dahulu yang ada hubungannya dengan
peristiwa sejarah tetapi bukan sejarah sebenar (historikal) kerana lagenda mengandungi
unsur-unsur yang bersifat folklor. Lagenda mirip dengan mitos, benar-benar terjadi tetapi
telah ditambah dengan pelbagai keajaiban, kesaktian, dan keistimewaan terhadap tokoh
tersebut. Peristiwa-peristiwa yang terjadi bersifat sekuler (keduniaan) dan sering
dipandang sebagai sejarah kolektif (folkstory). Pun begitu, kerana tidak bertulis (dalam
bentuk tulisan hadir terkemudian) dan hanya diperturunkan secara lisan, maka kisah
tersebut telah mengalami pelbagai tokok tambah sehingga menyebabkan terjadinya
perbezaan daripada kisah aslinya.

Manakala dari segi warna pula, warna tradisional tempatan ialah satu warisan
milik orang Melayu yang memiliki makna dan nilai-nilai yang melibatkan cara hidup,
ekonomi, alam dan persekitaran serta dijumpai dalam pelbagai artifak. Warna juga
dikaitkan dengan sistem nilai yang sering dijadikan pedoman bagi orang Melayu yang
diinterpretasi dan diadaptasi ke dalam dunia kehidupannya. Orang Melayu pada zaman
dahulu mengambil berat tentang nilai-nilai dan perwatakan warna. Meskipun berkalih
zaman, peranan warna tetap penting dan signifikan dalam konteks kehidupan masyarakat
Melayu. Tradisi keMelayuan tetap diteruskan melalui nilai dan perwatakan warna.

JURNAL IPDA BIL. 26, 2019
Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman, Jitra, Kedah

203

Pengertian Lagenda
Beberapa definisi telah dikemukakan oleh para ilmuan tentang pengertian lagenda.
Menurut Mohd Khalid Taib (1991) dan Timothy R. Tangherlini (1990) lagenda ialah
sebuah pernyataan yang biasanya bercorak cerita, berlatarkan masa atau sejarah yang
masih boleh diingat oleh masyarakat. Lagenda mendekati karya sejarah dari segi fakta
dan bersifat objektif namun, tidak sama dengan sejarah kerana lagenda sering dianggap
sebagai sejarah semu, kerana ada faktanya yang dimanipulasi dan diselewengkan.
Lagenda juga dipercayai benar oleh penyampainya dan oleh mereka yang menerima
penyampaian cerita tersebut, serta disokong oleh bukti-bukti, seolah-olah mensahihkan
sesuatu cerita lagenda itu. Berdasarkan pandangan yang dikemukakan oleh para sarjana
seperti Harun Mat Piah (2003), Low Kok On (2001), Mohd Khalid Taib (1991) dan J.H.
Bruvand dalam Briggs (1969) lagenda memperlihatkan keterbukaan bentuk kerana dapat
menjanakan pelbagai sub-lagenda atau jenis-jenis lagenda seperti lagenda ketokohan
(ulama, pemimpin, pahlawan, pendosa, orang terkenal, antarabangsa), lagenda keramat,
lagenda tentang makhluk halus (menora cerita hantu, alam ghaib atau memorat), lagenda
nama-nama tempat, lagenda etiologikal (asal usul) dan jenis-jenis yang lain.

Harun Mat Piah (2003), William R. Bascom dan Hooykaas dalam Danandjaja
(1997), malahan Danandjaja (1997) sendiri menegaskan bahawa lagenda merupakan
cerita rakyat yang mempunyai ciri-ciri yang mirip dengan mitos tetapi berbeza daripada
mitos kerana lagenda ditokohi oleh manusia yang ada kalanya memiliki sifat-sifat luar
biasa tetapi tidak dianggap suci. Suatu kejadian yang benar-benar pernah terjadi pada
masa yang tidak terlalu lama, berlaku dalam ruang geografi yang dapat dirujuk dan
peristiwanya bergerak atas garis masa yang objektif. Bersifat sekuler (keduniawian) dan
bertempat di dunia nyata (bukan kayangan). Ciri seterusnya ialah bersifat “Sejarah
kolektif”, sejarah yang banyak mengalami penambahan dan pengurangan fakta, watak
atau peristiwa; adakalanya terdapat perbezaan masa dan tarikh daripada kisah asalnya.
Lagenda juga boleh bersifat migrasi yakni dapat berpindah-pindah, sehingga disebar luas
ke daerah-daerah yang berbeza atau bersifat setempat, iaitu sekelompok cerita yang
berkisar pada suatu tokoh atau kejadian tertentu, misalnya di Jawa yang terkenal dengan
lagenda-lagenda panji atau kisah-kisah wali songo.

Lagenda sebenarnya berfungsi sebagai medium pendidikan kepada masyarakat
Melayu tradisonal. Biasanya cerita-cerita ini besifat dedaktik untuk dijadikan ingatan
kepada segenap lapisan masyarakat agar bersederhana dalam segala hal, bertindak secara
waras dan mengikut landasan yang telah ditetapkan. Lagenda juga berfungsi untuk
mengukuhkan keyakinan orang Melayu terhadap agama Islam; juga berfungsi untuk
menguatkan kepercayaan anggota masyarakat terhadap seseorang tokoh dan peristiwa
yang bercorak sejarah, mengingati serta mengenang peristiwa-peristiwa penting yang
berlaku dalam masyarakat Melayu dan membangkitkan rasa kebanggaan dan
menyanjung tokoh-tokoh lagenda sebagai orang yang gagah dan mulia.

Berdasarkan kepada pengertian di atas, dapatlah diringkaskan kepada tiga aspek
utama iaitu jenis, ciri dan fungsi lagenda. Berdasarkan ciri-ciri yang dinyatakan di atas,
lagenda dapat menyesuaikan dirinya dengan latar kontemporari. Secara mudahnya,
lagenda bersifat keduniawian, terjadi dalam masa yang belum begitu lama dan berlaku
di dunia nyata. Dari segi struktur, lagenda merupakan cerita yang sederhana dan

JURNAL IPDA BIL. 26, 2019
Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman, Jitra, Kedah

204

mempunyai unsur-unsur teladan, berbentuk prosa dan disampaikan dalam bentuk naratif
secara bersahaja.

Pengertian Warna
Menurut Siti Zainon (1985), sejak permulaan peradaban manusia warna telah memainkan
peranan yang penting sebagai media komunikasi dan juga diguna pakai dalam perubatan
masyarakat Melayu lama. Dari segi estetika, terdapat hubungan yang erat antara kreativiti
dan unsur-unsur warna serta betapa pentingnya peranan warna dalam proses kreatif
manusia Melayu suatu masa dulu.

Berdasarkan kajian-kajian mengenai simbol warna dalam kebudayaan manusia
seperti Franz Boas (1927), Turner (1967), Peter Belwood (2000) dan Siti Zainon (1985)
mendapati warna mempunyai makna dan erti tertentu yang diprojeksikan sebagai
lambang dalam kehidupan manusia. Simbol warna dapat mengekspresikan atau memberi
makna sebuah warna, suatu konstitusi, suatu lambang. Banyak simbol warna berupa
objek-objek maujud yang telah diberikan makna kultural dan digunakan untuk tujuan-
tujuan yang bersifat simbolik. Suatu bendera misalnya, cuma sepotong kain berwarna
namun dihormati, membangkitkan rasa kebanggaan, patriotisme mahupun persaudaraan.
Menurut Radael Raga Maran (2000) semasa perang, bendera mampu membangkitkan
semangat nasionalisme dan patriotisme dan bendera musuh berupaya menimbulkan rasa
benci dan marah yang hebat.

Dari sudut makna, warna putih adalah aman, murni, dan bersih. Warna putih
biasanya mempunyai konotasi yang positif. Warna putih dapat melambangkan
keberhasilan. Dalam ilmu kelambangan, putih melambangkan kepercayaan dan
kemurnian. Warna putih sering dihubungkan dengan terang, kebaikan, kemurnian,
kesucian, dan keperawanan. Warna ini disarankan sebagai warna ‘kesempurnaan’.

Puteri Lindungan Bulan
Cerita Puteri Lindungan Bulan terdapat dalam bentuk lisan dan tulisan. Dalam bentuk
lisan, antara pencerita terawal yang terkenal ialah Haji Wan Noor bin Wan Abdul Salam,
bekas imam masjid Kampung Siputih. Namun, terdapat perbezaan dalam beberapa hal
antara seorang pencerita dengan pencerita yang lain dari segi watak, masa, peristiwa dan
sebagainya yang merupakan sebahagian daripada ciri-ciri cerita rakyat. Kisah Puteri
Lindungan Bulan juga sering dipentaskan oleh kumpulan bangsawan di Kedah.

Sultan Sulaiman Shah I, Sultan Kedah yang ketujuh (1373 – 1422M),
dikurniakan dua orang cahaya mata kembar iaitu Tengku Zaleha (Puteri Lindungan Bulan
dan berdarah putih) dan Tengku Mariam. Kedua-dua puteri ini dikhabarkan mempunyai
kecantikan yang luar biasa dan berpekerti mulia. Selepas kelahiran kedua-dua puteri
tersebut, Kedah menjadi semakin makmur. Perkhabaran itu sampai ke Acheh pada waktu
itu merupakan kerajaan Islam yang hebat dan terkenal di bawah pemerintahan Sultan
Iskandar Muda Mahkota Alam. Oleh hal yang demikian, raja Acheh telah menghantar
rombongan untuk meminang Tengku Zaleha. Pinangan tersebut diterima tetapi kerana
terlalu kasihkan puterinya yang berdarah putih itu, baginda telah menggantikan Tengku
Zaleha dengan Tengku Mariam. Di sinilah bermulanya tragedi kepada Tengku Zaleha.
Peristiwa Tengku Mariam mengacip pinang dan terkacip jarinya membongkar rahsia
sebenar kerana darah yang keluar bukanlah berwarna putih. Ekoran daripada kejadian

JURNAL IPDA BIL. 26, 2019
Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman, Jitra, Kedah

205

tersebut, Acheh telah menyerang Kedah. Selain untuk mengambil puteri berdarah putih,
tujuan sebenar raja Acheh berbuat sedemikian dikatakan untuk menebus kembali
maruahnya yang telah tercalar. Terdapat beberapa versi yang berbeza berkaitan kematian
Puteri Lindungan Bulan. Bertitik tolak daripada kejadian tersebut, dalam cerita hikayat
lama negeri Kedah dirujuk sebagai “Negeri Kedah Lindungan Bulan” sebelum bertukar
kepada “ Negeri Kedah Darul Aman ”.

Mahsuri
Kisah Mahsuri juga terdapat dalam bentuk lisan dan tulisan. Dalam bentuk lisan, kisah
Mahsuri yang diceritakan oleh Ku Jusoh bin Ku Ismail, penduduk asal Pulau Langkawi
dan yang ditulis oleh Dato’ Wan Ibrahim bin Wan Suloh, ialah versi yang terkenal dan
diterima ramai. Meskipun terdapat perbezaan dalam beberapa hal antara seorang
pencerita dengan pencerita yang lain tetapi inti pati utama cerita kekal sama. Kisah yang
paling popular tentang kehidupan Mahsuri adalah pada saat akhir sebelum beliau dibunuh
atau lebih dikenali sebagai sumpah Mahsuri yang sering dijadikan bahan untuk
persembahan teater bangsawan hinggalah kepada cerita kanak-kanak.

Mahsuri ialah puteri kepada pasangan Pandak Mayah dan Mek Andak yang
dilahirkan pada penghujung kurun ke-18 Masihi di Kampung Mawat dalam daerah Ulu
Melaka. Mahsuri mempunyai paras rupanya yang cantik, tutur kata dan tingkah laku yang
sopan. Pandak Mayah dan Mek Andak berhijrah ke Langkawi dari Phuket untuk
mengubah keadaan hidup mereka agar menjadi lebih baik. Semasa Mek Andak
mengandungkan Mahsuri ternakan dan tanaman semakin menjadi. Selepas Mahsuri
dilahirkan perniagaan sarang burung layang-layang dan batu kemenyan semakin maju
menyebabkan keluarga Pandak Mayah menjadi salah satu keluarga yang berada di
Langkawi. Wan Yahya atau Dato’ Seri Pekerma Jaya, wakil sultan Kedah memerintah
Langkawi pada masa tersebut berhasrat menjadikan Mahsuri sebagai isteri kedua tetapi
ditentang isteri beliau, Mahura. Bagi menyelesaikan masalah, Mahsuri dikahwinkan
dengan anak lelaki mereka yang bernama Wan Mat Deris.

Tragedi ke atas Mahsuri bermula dengan kedatangan Deramang ke Langkawi.
Semasa kedatangan Deramang, Wan Mat Deris tiada di Langkawi dan Mahsuri juga
dikhabarkan hamil pada waktu itu. Kelahiran anak Mahsuri, Wan Mat Arus, mencetuskan
fitnah apabila Mahura menuduh Mahsuri bermukah dengan Deramang. Buktinya cincin
yang dipakai Deramang adalah hadiah pemberian Mahsuri. Dato’ Seri Pekerma Jaya telah
menjatuhkan hukuman bunuh ke atas Mahsuri tanpa merujuk terlebih dahulu kepada
Sultan Kedah, Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II ibni al-Marhum Sultan Ziyauddin
Mukarram Shah (1803-1843), serta tidak menunggu Wan Mat Deris pulang. Mahsuri
diikat pada sebatang pokok asam jawa di Padang Hangus dan diperintah bunuh dengan
rejaman tombak tetapi tidak lut ke tubuh Mahsuri. Mahsuri akhirnya memberitahu rahsia
kekebalannya iaitu hanya dapat ditikam dengan keris yang terdapat di alang rumahnya.
Lebih memeranjatkan semua yang menyaksikan tragedi tersebut ialah darah yang
terpancut dari tubuh Mahsuri berwarna putih. Mahsuri dikebumikan di Kampung Mawa.
Mahsuri dicatat meninggal dunia pada tahun 1819 Masihi bersamaan 1235 Hijrah.

JURNAL IPDA BIL. 26, 2019
Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman, Jitra, Kedah

206

Penyataan Masalah
Sememangnya terdapat pelbagai kajian berkaitan Mahsuri dan Puteri Lindungan Bulan,
mahupun kajian berkaitan warna, namun masih terdapat kelompangan dalam kajian yang
melibatkan perkaitan antara darah putih dan kedua-dua lagenda. Oleh hal yang demikian,
kajian ini dijalankan bukan bagi memenuhi kelompangan tersebuat, iaitu melihat motif
darah putih dan perkaitannya dengan kedua-dua lagenda tersebut, Mahsuri dan Puteri
Lindungan Bulan.

Batasan Kajian
Kajian ini hanya melibatkan dua buah kisah lagenda berdarah putih yang terdapat di
negeri Kedah iaitu Puteri Lindungan Bulan dan Mahsuri.

METODOLOGI
Metodologi kajian merupakan alat utama untuk menjawab dan mencapai objektif kajian.
Kemmis dan McTaggart(2000) berpendapat objektif utama kajian kualitatif ialah
membantu manusia memulihkan dan melepaskan mereka daripada situasi yang tidak
jelas, tidak adil, tidak rasional berkaitan struktur sosial yang menyekatkan pembangunan
dan kemajuan individu serta masyarakat. Secara keseluruhannya, kajian ini
mengaplikasikan pendekatan kualitatif dalam proses pengumpulan data dan menganalisis
data kajian menggunakan kaedah kepustakaan dan analisis dokumen. Dalam konteks
kajian ini, kajian kualitatif digunakan bagi memahami Lagenda Mahsuri dan Puteri
Lindungan Bulan Melalui Motif Darah Putih.

Pengumpulan Data
Kajian ini menggunakan data sekunder yang diperoleh melalui metode analisis
kandungan daripada buku, majalah, artikel dan makalah berkaitan Mahsuri dan Puteri
Lindungan Bulan.

Analisis Dokumen
Salah satu metode pengumpulan data ialah melakukan tinjauan dokumen. Kepentingan
melakukan rujukan terhadap dokumen bagi mendapatkan bukti-bukti dan sokongan
daripada sumber-sumber yang pelbagai. Dokumen turut menyediakan maklumat yang
spesifik dan terperinci untuk menambah maklumat daripada sumber yang lain. Dalam
situasi tertentu, sekiranya terdapat percanggahan informasi, dengan maklumat yang
diperoleh, analisis dokumen membantu pengkaji dalam membuat kesimpulan yang
mantap.

Marshall, C. dan Rossman, G. C. (1993) menyatakan bahawa maklumat atau data
melalui penilaian dokumen perlu diperiksa kesahihan dan digunakan semasa proses
menganalisis data. Yin menyenaraikan antara dokumen-dokumen yang dikumpulkan
dalam kajian kualitatif adalah seperti berikut iaitu, pertama ialah surat, memorandum
dan kenyataan lain. Kedua ialah agenda, pengumuman, minit mesyuarat dan repot
bertulis acara yang dijalankan. Ketiga ialah dokumen pentadbiran, proposal, laporan
kemajuan dan rekod-rekod dalaman yang lain. Keempat ialah kajian rasmi atau penilaian
berkaitan kajian. Kelima ialah keratan surat khabar dan artikel berkaitan yang dipaparkan
dalam media massa dan surat khabar tempatan.

JURNAL IPDA BIL. 26, 2019
Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman, Jitra, Kedah

207

Antara dokumen yang dijadikan sumber rujukan ialah buku, laporan bertulis,
rekod-rekod dalaman, kajian rasmi atau penilaian berkaitan kajian, keratan surat khabar
dan artikel berkaitan yang dipaparkan dalam media massa dan surat khabar tempatan.

PERBINCANGAN
Puteri Lindungan Bulan dan Mahsuri Sebagai Lagenda Kedah
Puteri Lindungan Bulan dan Mahsuri merupakan lagenda Kedah. Hal ini kerana kisah
kedua-duanya mempunyai ciri-ciri tertentu yang membolehkannya digolongkan sebagai
lagenda kerana menepati definisi, fungsi dan ciri-ciri yang telah dibincangkan. Kisah
Puteri Lindungan Bulan (Tengku Zaleha) melibatkan kerajaan Kedah dan Acheh
manakala Mahsuri pula antara kerajaan Kedah dan Siam.

Kisah Puteri Lindungan Bulan dan Mahsuri sememangnya benar-benar terjadi
kerana terdapat dalam catatan sejarah negeri Kedah. Kesan-kesan kewujudan mereka
kekal sehingga sekarang. Misalnya, sepasang nisan pada sebuah makam di atas Bukit
Siputeh di Padang Sera, Kodiang, tercatat perkataan “Puteri Lindungan Bulan” manakala
di Kampung Mawat dalam daerah Ulu Melaka, Langkawi terdapat makam, perigi dan
rumah Mahsuri. Hal ini menjadi bukti kewujudan kedua-duanya. Monumen-monumen
yang dibina sebagai mengingati serta mengenang peristiwa-peristiwa penting yang
berlaku dalam masyarakat Melayu bertepatan dengan ciri-ciri lagenda yang telah
disenaraikan oleh Mohd Khalid Taib (1991) dan Timothy R. Tangherlini (1990).

Kisah Puteri Lindungan Bulan dan Mahsuri bersifat sekuler, terjadi pada masa
yang tidak terlalu lama dan bertempat di dunia nyata selaras dengan penyataan Harun
Mat Piah (2003), William R. Bascom dan Hooykaas dalam Danandjaja (1997), malahan
Danandjaja (1997). Sebagai “sejarah kolektif ”, terdapat percanggahan tarikh dan tahun
sebenar berlakunya beberapa peristiwa kerana diperturun secara lisan sebelum
berlakunya sebarang catatan. Ada versi yang mencatat peristiwa Puteri Lindungan Bulan
berlaku semasa pemeritahan Sultan Sulaiman II tetapi ada versi yang mencatatkan
peristiwa itu berlaku semasa pemerintahan Sultan Sulaiman I (1373–1422M), manakala
bagi Mahsuri pula, ada versi yang mencatat peristiwa ini berlaku semasa pemerintahan
Sultan Abdullah Mukarram Shah III (1778-1797M) dan Sultan Ziyauddin Mukarram
Shah II ibni al-Marhum Sultan Muhammad Jiwa Zainal Azilin Muadzam Shah (1797 –
1803). Terdapat juga perbezaan berkaitan watak-watak lain seperti cara kematian Sultan
Sulaiman Shah dan di mana baginda dikebumikan, tentang destinasi sebenar Wan Mat
Deris semasa Mahsuri hamil dan Deramang, sama ada dibunuh atau berjaya melepaskan
diri.

Ditinjau daripada aspek kematian tragis kedua-dua lagenda ini, terdapat
perbezaan fakta dan peristiwa. Bagi Puteri Lindungan Bulan, ada yang mencatatkan
tengku puteri mati dibunuh, ditanam hidup-hidup dan dikebumikan di atas bukit Siputeh
dan ada yang menyatakan disorok di dalam lubang atau kubu. Sementara itu, fakta
sebenar tentang senjata yang menyebabkan kematian Mahsuri juga berbeza. Ada versi
yang mencatatkan keris dan yang ada yang mencatatkan tombak sebagai senjata yang
digunakan untuk menikam beliau. Terdapat unsur-unsur luar biasa yang berlaku pada
diri Mahsuri. Hal ini merupakan salah satu daripada ciri lagenda iaitu tidak lut ditikam
dan hanya senjata rahsia sahaja yang boleh menembusi dirinya, pun begitu diterima
sebagai cerita lagenda kerana sifatnya yang luwes.

JURNAL IPDA BIL. 26, 2019
Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman, Jitra, Kedah

208

Kisah kedua-dua lagenda ini bersifat migrasi yakni dapat berpindah-pindah,
disebar luas ke daerah-daerah yang berbeza. Sememangnya cerita ini tidak hanya
terkenal di negeri Kedah sahaja, tetapi melangkaui negeri-negeri lain di Malaysia. Pun
begitu, antara kedua-dua lagenda ini, Mahsuri lebih terkenal berbanding Puteri
Lindungan Bulan. Hal ini mungkin disebabkan oleh Pulau Langkawi ialah pusat
pelancongan, justeru makam Mahsuri adalah sebahagian daripada destinasi pelancongan
yang termasuk dalam senarai lawatan.

Lagenda juga berfungsi sebagai medium pendidikan kepada masyarakat Melayu
tradisonal dan untuk menguatkan keyakinan orang Melayu terhadap terhadap agama
Islam. Unsur deduktif dalam lagenda Puteri Lindungan Bulan ialah jangan keterlaluan
menyayangi anak-anak. Hal ini dapat dilihat daripada tindakan Sultan Sulaiman Shah I
yang bertindak menukarkan puterinya yang berdarah putih dengan yang berdarah merah
dan kemudiannya bertindak menikam atau menanam hidup-hidup atau menyembunyikan
puterinya dalam lubang (kubu) demi mengelakkan puterinya jatuh ke tangan raja Acheh.
Implikasi daripada tindakan baginda adalah kematian puterinya sendiri, Kedah ditawan
oleh Acheh, baginda dan permaisurinya ditangkap dan dibawa ke Acheh serta dihukum
bunuh.

Kisah Mahsuri pula mendidik masyarakat agar jangan mudah percaya kepada
fitnah tanpa usul periksa. Akibatnya akan memberi kesan yang tidak baik dan membawa
mala petaka akhirnya. Mengikut cerita, kesan daripada peristiwa pembunuhan Mahsuri,
kerajaan Kedah akhirnya tewas kepada Siam. Dalam pada itu, hukum karma terhadap
setiap perbuatan telah menjadi pengajaran kepada masyarakat. Antaranya, perisitiwa
Mahura yang memfitnah Mahsuri telah dirogol dan disiksa oleh tentera Siam manakala
Dato’ Pekerma Jaya yang termakan hasutan isterinya juga telah disiksa dan dibunuh oleh
tentera Siam. Perbincangan ini berjaya membuktikan bahawa Mahsuri dan Puteri
Lindungan Bulan sebagai Lagenda Kedah kerana memenuhi kriteria definisi, pengertian,
fungsi dan ciri-ciri lagenda sebagaimana yang dikemukan oleh Harun Mat Piah (2003),
William R. Bascom dan Hooykaas dan juga Danandjaja (1997).

Motif Darah Putih
Melihat daripada sudut pengertian “berdarah putih”; kedua-dua lagenda ini berdarah
putih. Putih itu bermaksud suci, amat bertepatan dengan kedua-dua lagenda ini. Cuma,
bagi Puteri Lindungan Bulan sejak kecil lagi sudah diketahui bahawa baginda berdarah
putih manakala Mahsuri pula hanya selepas peristiwa ditikam kerana hukuman yang
diterima. Terdapat satu perkaitan yang sangat signifikan antara pengertian warna putih
(berdarah putih) dan sifat serta perwatakan kedua-dua lagenda ini. Sebagaimana yang
dibincangkan, putih itu melambangkan keberhasilan dan kelahiran mereka membawa
kemakmuran rezeki. Ternyata, kewujudan Mahsuri memberi kemakmuran ekonomi
kepada keluarga Pandak Mayah dan Mek Andak, ternakan dan tanaman semakin menjadi,
perniagaan sarang burung layang-layang dan batu kemenyan semakin maju sehingga
menjadikan keluarga Pandak Mayah menjadi salah satu keluarga yang berada di
Langkawi. Begitu juga dengan negeri Kedah, di bawah pemerintahan Sultan Sulaiman
Shah I, Sultan Kedah yang ketujuh (1373 – 1422M), kelahiran cahaya mata kembar iaitu
Tengku Zaleha (Puteri Lindungan Bulan dan berdarah putih) dan Tengku Mariam

JURNAL IPDA BIL. 26, 2019
Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman, Jitra, Kedah

209

menjadikan Kedah menjadi semakin makmur. Kenyataan ini selaras dalam semua
dokumen yang menjadi sumber rujukan pengkaji.

Bagi mengukuhkan kepercayaan anggota masyarakat terhadap Puteri Lindungan
Bulan dan Mahsuri sebagai peristiwa yang bercorak sejarah dan kebanggaan kepada
masyarakat setempat, maka kisah ini telah ditokok tambah, dimasukkan unsur-unsur
keistimewaan, keanehan dan luar biasa. Sebagai lambang keistimewaan, lagenda-lagenda
ini digambarkan mempunyai kecantikan yang luar biasa, tingkah laku yang penuh sopan,
bukti ketinggian budi pekerti dan akhlak yang mulia. Menjadi sebutan dan rebutan kerana
kejelitaan paras rupa, kelembutan pekerti, sopan tutur kata serta sering melakukan
kebaikan merupakan elemen kemurnian, keperawanan dan kesempurnaan seorang insan.
Itulah gambaran yang diberikan kepada kedua-dua lagenda ini. Sifat luar biasa yang ada
pada Mahsuri ialah kekebalannya dan “Sumpahan Mahsuri” yang dipercayai benar-benar
terjadi, menjadikan Pulau Langkawi padang jarak padang terkukur selama tujuh
keturunan.

Ironinya, kerana kesempurnaan sifat dalaman dan luaran serta keistimewaan
darah putih yang dimiliki, kedua-dua lagenda ini diuji dengan dugaan yang berat tetapi
pasrah dan redha dengan takdir yang menimpa mereka. Berdasarkan peristiwa-peristiwa
yang menimpa kedua-dua lagenda berdarah putih ini dan tindakan-tindakan insan di
sekeling mereka telah membawa kepada pengakhiran hayat yang sangat tragis,
merupakan petunjuk yang menjadi suri teladan kepada masyarakat agar berpegang teguh
kepada ajaran agama. Ternyata, motif darah putih bukan sekadar melambangkan
kesucian malahan berjaya menyantuni kedua-dua lagenda negeri Kedah ini selaras
dengan pandangan Franz Boas (1927), Turner (1967), Peter Belwood (2000) dan Siti
Zainon (1985) bahawa warna mempunyai makna dan erti tertentu yang diprojeksikan
sebagai lambang dalam kehidupan manusia.

KESIMPULAN DAN CADANGAN
Kesimpulan
Secara simboliknya, inilah kesan menghukum puteri simbol kesucian. Ternyata
kesusasteraan lisan mempunyai mekanisme tersendiri untuk merasionalkan sesuatu
peristiwa atau kejadian sejarah. Sesungguhnya, penonjolan darah berwarna putih itu
sendiri mempunyai pengertian dan nilai estetika yang sangat signifikan dengan
kehidupan masyarakat Melayu. Putih itu lambaang kesucian dan kesempurnaan,
begitulah gambaran perwatakan Lagenda Puteri Lindungan Bulan dan Mahsuri.Kisah
lagenda sebagai salah satu warisan sastera memainkan peranan penting dalam
mengangkat martabat bangsa Melayu. Lagenda Puteri Lindungan Bulan dan Mahsuri
bukan sahaja berperanan mendidik dan memberi teladan melalui unsur-unsur didaktiknya
tetapi juga mengangkat sejarah negeri Kedah melalui pengkisahan kesusasteraan. Justeru,
kisah-kisah lagenda ini harus dipelihara, diperturunkan dan disebarluaskan agar generasi
sekarang dan akan datang mengetahui betapa orang-orang Melayu Kedah khasnya, dan
bangsa Melayu amnya, berungguh-sungguh mempertahankan maruah diri dan bangsa
daripada dicerobohi.

JURNAL IPDA BIL. 26, 2019
Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman, Jitra, Kedah

210

Cadangan Kajian Lanjutan
Kisah-kisah lagenda ini, selain diceritakan secara lisan dan dibukukan, boleh juga
diterjemahkan ke dalam bentuk dokumentari, drama atau filem. Medium laman sesawang
merupakan platform mudah dan terkini untuk menguar-uarkan kisah lagenda-lagenda ini
dan yang lain juga kerana hakikat kewujudan mereka tidak ramai yang ketahui. Yang
lebih utama, melalui kisah lagenda ini mampu berfungsi sebagai medium dakwah. Kajian
lanjutan yang boleh dilakukan ialah Mahsuri dan Puteri Lindungan Bulan, Lagenda
Kedah sebagai medium dakwah. Selain itu, kajian lain yang dijalankan ialah berkaitan
Mahsuri dan Puteri Lindungan Bulan, Lagenda Kedah sebagai medium pelancongan
sastera.
Rujukan
Danandjaja, J.(1997). Foklor Indonesia:Ilmu Gosip, Dongeng, Dan Lain-lain. Jakarta:

Grafiti.
Harun Mat Piah. (2003). Sastera Rakyat Malaysia, Indonesia, Negara Brunei

Darussalam: Suatu Perbandingan. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Low, K. O. (2001). Citra Wira Rakyat dalam Lagenda Mat Salleh. Pusat Penataran Ilmu

Dan Bahasa Universiti Malaysia Sabah: Kota Kinabalu.
Kemmis, S. & McTaggart, R. ‘Participatory Action Research’, dalam Handbook of

Qualitative Research, ed. Denzin, N.K., dan Lincoln, Y. S., Ed ke-2 (Thousand
Oaks, CA: Sage. 2000), 597.
Siti Zainon Ismail. (1985). Getaran, jalur dan wama. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti.
Tangherlini, T.R. (1990). “It Happened Not Too Far From Here...': A Survey of Legend

Theory and Characterization.” Western Folklore 49: 371-390. Muat turun
daripada http://tango.bol.ucla.edu/publications/pubs.html

JURNAL IPDA BIL. 26, 2019
Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman, Jitra, Kedah

211


Click to View FlipBook Version