TUGASAN 2: Penulisan Reflektif (25%) Berdasarkan pernyataan di atas, anda dikehendaki menghasilkan penulisan reflektif tentang pertembungan budaya yang menjadi proses pembudayaan dalam kehidupan masyarakat Malaysia untuk membentuk identiti negara yang unik dan harmoni. PENGENALAN Kementerian Komunikasi dan Digital Malaysia (n.d.) menjelaskan konsep dasar kebudayaan kebangsaan sebagai kebudayaan nasional yang mengintegrasi budaya setiap kaum berasaskan budaya masyarakat asal bagi mewujudkan identiti negara Malaysia. Hal ini jelas menunjukkan budaya masyarakat pelbagai kaum di Malaysia diintegrasi berasaskan budaya masyarakat Melayu. Ateerah Abdul Razak et. al (2021) menyatakan bahawa kebudayaan Melayu bersifat universal dan dinamik menyebabkan budaya masyarakat Melayu ini menjadi tunjang kebudayaan kebangsaan. Justeru, melalui dasar kebudayaan kebangsaan, pertembungan budaya yang melalui proses pembudayaan ini telah mewujudkan sebuah imej negara Malaysia yang tersendiri. MAKANAN Salah satu aspek yang melalui proses pembudayaan sehingga membentuk identiti Malaysia adalah makanan. Muhammad Nur Amier Zanzaizman, Siti Nur Syazaratul Syafiqah Sheikh Mohamed Safri dan Muhammad Safuan Abdul Latip (2023) menyatakan bahawa masakan pong teh daripada masyarakat Cina telah mengalami asimilasi kepada masyarakat Melayu apabila wujudnya masyarakat Cina Peranakan. Masakan pong teh yang asal dimasak menggunakan daging khinzir bersama kicap masin, cendawan shitake dan taucu. Walau bagaimanapun, setelah wujudnya masyarakat Cina Peranakan akibat perkahwinan antara masyarakat Cina dan masyarakat Melayu, hasilnya, masakan pong teh ini telah dihalalkan dengan menggunakan ayam (Douglas Luebe & Hanafi Hussin, 2019). Rentetan daripada itu, masakan pong teh oleh masyarakat Cina Peranakan ini terkenal dengan ayam pong teh dan bukan khinzir seperti yang dimasak oleh masyarakat Cina. Hal ini demikian menunjukkan bahawa identiti sebenar masakan pong teh yang menggunakan khinzir telah hilang apabila digantikan dengan ayam. Justeru, melalui proses asimilasi daripada aspek makanan ini, jelas menunjukkan
bahawa pembentukan identiti baharu masyarakat di Malaysia telah menunjukkan impak positif terhadap keharmonian masyarakat. Berdasarkan kepelbagaian kaum di Malaysia, proses akomodasi yang didefinisikan sebagai kemampuan untuk menyesuaikan budaya masyarakat lain agar mampu untuk dihormati oleh individu berbeza kaum (Farida Hariyati, 2020). Hal ini dapat dilihat dalam kepelbagaian makanan di Malaysia seperti kuih bakul daripada masyarakat Cina, vadai daripada masyarakat India, linut daripada masyarakat Melanau dan karipap daripada masyarakat Melayu. Kepelbagaian kuih ini tidak membawa kepada keperluan untuk membuat dan makan satu jenis kuih kebangsaan sahaja namun, kepelbagaian kuih ini dihormati dan dapat dirasa oleh setiap masyarakat di Malaysia. Sebagai contoh, semasa perayaan Tahun Baru Cina, masyarakat Cina akan makan Yee Sang ketika makan besar dan semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri, masyarakat Melayu akan makan ketupat dan rendang. Hal ini menunjukkan bahawa walaupun Malaysia mempunyai pelbagai makanan, namun, apabila tiba musim perayaan, setiap kaum akan mempertahankan budaya masing-masing dengan mengamalkan makanan mereka sendiri. Rentetan daripada itu, kepelbagaian makanan ini dihormati dan diraikan oleh setiap individu tanpa melihat kaum. Justeru, pembentukan identiti yang unik di Malaysia ini bertunjangkan keharmonian antara kaum untuk mengamalkan budaya masing-masing. PAKAIAN Berdasarkan portal IIUM EduCare (2021), baju kurung dan baju Melayu daripada masyarakat Melayu merupakan baju kebangsaan di Malaysia sesuai dengan prinsip kebudayaan kebangsaan yang pertama. Walau bagaimanapun, proses pembudayaan akomodasi berlaku apabila pakaian seperti cheongsam, sari, samfoo dan dhoti yang melambangkan identiti masyarakat sendiri dapat dihormati dan dihargai oleh setiap individu di Malaysia. Sebagai contoh, gaung daripada masyarakat Kadazan yang sering dipakai semasa Pesta Kaamatan manakala Ngepan Iban dipakai oleh masyarakat Iban di Sarawak ketika Hari Gawai (Ezura As’ad Azam et. al, 2022). Hal ini menunjukkan bahawa pakaian setiap kaum diamalkan dan dipertahankan apabila terdapat majlis yang besar atau perayaan. Diana Abd Wahab (2023) dalam artikelnya menyatakan bahawa pertandingan pakaian beragam telah memupuk perpaduan apabila setiap individu dapat mempelajari dan mengetahui budaya masyarakat yang lain. Peristiwa ini menunjukkan bahawa kepelbagaian pakaian yang melambangkan identiti kaum masing-masing
tidak menjadi penghalang untuk negara kekal harmoni malah hal ini menjadi pemangkin untuk membentuk identiti negara yang unik. Justeru, masyarakat di Malaysia perlu mempelajari dan meraikan budaya kaum lain selagi tidak bercanggah dengan agama masing-masing. ADAT RESAM Seterusnya, adat resam masyarakat di Malaysia mengalami proses akulturasi apabila budaya pemberian angpau daripada masyarakat Cina diserap dan diolah ke dalam masyarakat Melayu dan India. Irma Wani Othman et. al (2020) menyatakan bahawa akulturasi merupakan proses menerima budaya lain untuk diolah dan diamalkan tanpa kehilangan budaya asal. Menurut Eka Yuningsih et. al (2021), angpau merupakan sampul berwarna merah yang berisi duit dan diberi semasa perayaan Hari Raya Cina kepada individu yang belum berkahwin. Angpau ini juga diberi bagi melambangkan nasib baik dan kemakmuran (good fortune and prosperity) (Siek, 2021). Apabila budaya ini diserap masuk ke dalam masyarakat Melayu, angpau dikenali sebagai duit raya yang diberi di dalam sampul duit raya dan diberi kepada kanak-kanak serta orang tua semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri. Masyarakat India turut menerima dan mengolah budaya pemberian duit ini apabila masyarakat ini turut memberi duit ketika perayaan Deepavali oleh ahli keluarga. Hal ini menunjukkan bahawa budaya pemberian wang semasa perayaan telah mengalami akulturasi daripada masyarakat Cina kepada masyarakat Melayu dan India apabila pemberian wang bukan sahaja diberi kepada individu yang belum berkahwin malah turut kepada ornag tua dan kanak-kanak serta ahli keluarga. Oleh itu, jelaslah bahawa adat resam yang diamalkan bersama mampu membentuk satu imej negara yang unik. PERKAHWINAN Masyarakat Cina Peranakan di Melaka dan Jawi Peranakan di Penang wujud akibat proses pertembungan budaya hasil proses amalgamasi antara dua kaum. Perkahwinan antara individu berbeza bangsa, kaum dan ras telah mewujudkan satu ras baharu turut disebut sebagai perkahwinan campur merupakan perkara sinonim di Malaysia (Rosdiana Onga & Suraya Sintang, 2023). Hal ini menunjukkan bahawa perkahwinan campur ini bukan satu perkara janggal yang berlaku di Malaysia malah masih diamalkan sehingga hari ini. Buktinya, bukan masyarakat Baba
Nyonya dan Jawi Peranakan sahaja yang wujud malah masyarakat Sino turut wujud setelah proses amalgamasi. Budi Anto Mohd Tamring dan Saidatul Nornis Mahali (2020) dalam kajiannya menyatakan bahawa hasil perkahwinan antara masyarakat peribumi Sabah dan masyarakat Cina, maka wujudlah masyarakat yang dikenali sebagai Sino. Hal ini disokong dalam Rosdiana Onga dan Suraya Sintang (2023) yang menyatakan bahawa masyarakat Sino-Kadazan terbentuk hasil perkahwinan antara masyaraat Kadazan di Sabah dan masyarakat Cina. Rentetan daripada itu, benarla bahawa pertembungan budaya membawa kepada proses amalgamasi ini telah memberi suatu keunikan dalam membentuk identiti Malaysia. Justeru, kepelbagaian di Malaysia merupakan identiti unik yang tidak mampu dilihat di negara lain. KESIMPULAN Kesimpulannya, proses pertembungan budaya antara dua masyarakat berbeza membawa kepada pengamalan budaya unik yang menunjukkan keharmonian masyarakat. Hal ini demikian akan membentuk sebuah identiti masyarakat di Malaysia. Proses asimilasi, amalgamasi, akulturasi dan akomodasi ini masing-masing melambangkan identiti masyarakat berbilang kaum di Malaysia sebagai suatu identiti unik yang diamalkan. Melalui perkembangan budaya ini jelas menunjukkan bahawa identiti Malaysia terbentuk melalui sikap bertolak-ansur dan menghormati antara satu sama lain. Rentetan daripada itu, kepelbagaian budaya di Malaysia bukan suatu beban yang perlu dimansuhkan malah suatu anugerah yang perlu diraikan. Justeru, pembentukan identiti Malaysia adalah bertunjangkan kepelbagaian budaya setiap kaum.
Rujukan Ateerah Abdul Razak, Nur Azuki Yusuff & Zaleha Embong. (2021). Penghayatan Etika dan Peradaban. Penerbit UMK. Budi Anto Mohd Tamring & Saidatul Nornis Mahali. (2020). Amalan Kahwin Campur dalam kalangan Masyarakat di Kota Kinabalu, Sabah. Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH), 5(9). 149-162. Diana Abd Wahab. (2023). Pertandingan pakaian beragam pupuk perpaduan peserta cilik. SelangorKini. https://selangorkini.my/2023/05/pertandingan-pakaian-beragam-pupukperpaduan-peserta-cilik/ Douglas Luebe & Hanafi Hussin. (2019). Between Cultural And Commercial Of Nyonya Food In Melaka. SAMUDERA-Journal of Maritime and Coastal Studies, 1(1). 49-59. Eka Yuningsih, Nurhayati & Izzah. (2021). The Personality Of “Borno” In Kau, Aku, Dan Sepucuk Angpau Merah Novel Written By Tere Liye: Psychoanalysis Study. English Review: Journal of English Education, 9(2). 409-418. Ezura As’ad Azam, Nur Azimah Mohd Bukhari & Nurul Haniza Samsudin. (2022). Terminografi Busana Kadazan Penampang. Jurnal Pengajian Melayu – JOMAS, 33(2). 179-196. Farida Hariyati. (2020). Strategi Akomodasi Komunikasi Mahasiswa Asing dalam Interaksi Antarbudaya (Studi pada Mahasiswa Thailand Selatan di UHAMKA). Komunika: Jurnal Ilmu Komunikasi, 7(1). 1-15. IIUM EduCare. (2021). “Baju Kebangsaan” (Malaysia’s National attire). Member of International Islamic University Malaysia. https://www.iiumeducare.edu.my/baju-kebangsaanmalaysias-nationalattire/#:~:text=Additionally%2C%20%E2%80%9D%20Baju%20Melayu%E2%80%9D%2 0is,%E2%80%9CBaju%20Kebangsaan%E2%80%9D%20in%20Malaysia. Irma Wani Othman, Muhammad Safuan Yusoff,Syamsul Azizul Marinsah, Saifulazry Mokhtar, Habibah Artini @ Ramlie & Mohd Kamal Mohd Shah. (2020). Strategi Akulturasi Dan Hasil Pembudayaan Berbeza Dalam Kalangan Pelajar Antarabangsa Universiti Awam Malaysia. Journal Of Tourism, Hospitality and Environment Management (JTHEM), 5(21). 123-142.
Kementerian Komunikasi dan Digital Malaysia. (n.d.). Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Official Portal Ministry of Communication and Digital. https://www.kkd.gov.my/en/awam/faq/65- bahankpkk/dokumen/538-dasar-kebudayaan-kebangsaan Muhammad Nur Amier Zanzaizman, Siti Nur Syazaratul Syafiqah Sheikh Mohamed Safri &Muhammad Safuan Abdul Latip. (2023). Baba Nyonya Peranakan ethnic food: exploring the effect of media influence and curiosity on consumption intention of the youth generation. Young Consumers, 24(5). 577-595. Rosdiana Onga & Suraya Sintang. (2023). Perkahwinan Campur Kedatuan-Idahan dan Hubungannya dengan Perkembangan Islam di Lahad Datu, Sabah. Akademika, 93(1). 15-26. Siek H. L. (2021). Exploring the multicultural design of Malaysian Ang-Pow. Design Research Annual. http://eprints.sunway.edu.my/1796/1/Ling%20Siek%20Hwee%20Exploring-themulticultural-design-of-malaysian-ang-pow.pdf