Kancil
yang
Bijak
Pada suatu hari, ada seekor kerbau jantan
hendak minum air. Kerbau itu berjalan melalui
satu lorong menuju ke sungai. Sungai itu agak
luas. Airnya cetek saja, jernih dan sejuk. Kerbau
itu mengharung air. Air itu hanya setakat lutut
sahaja. Kerbau itu menuju ke tengah-tengah
sungai kerana air di bahagian tengah sungai lagi
jernih.
Ketika menghirup air, kerbau terdengar
sesuatu di tepi sungai. Kerbau merenung ke
arah suara itu. Kerbau ternampak air
terhambur naik di tebing sungai.
"Tolong! Tolong! Tolong aku, kerbau!"
Tiba-tiba terdengar suara dari tepi sungai
dekat rimbunan buluh.
Kerbau cuba memerhati dan meneliti suara itu.
Kerbau ternampak sesuatu berbalam-balam
dari jauh seperti batang kelapa ditindih
sebatang kayu. Suara meminta tolong terus
bergema. Merayu-rayu bunyinya.
Kerbau mendekati suara itu. Rupa-rupanya ada
seekor buaya ditindih oleh pokok kayu, betul-
betul di tengah belakangnya.
“Oh, buaya! Kenapa ini?" tanya kerbau.
"Tolong aku, kerbau! Aku ditimpa oleh pokok
yang tumbang. Aku tidak boleh bergerak. Berat
sungguh batang kayu ini," jawab buaya.
Kerbau kasihan melihat buaya. Kerbau cuba
mengangkat kayu itu dengan tanduknya.
Apabila batang kayu terangkat, buaya cepat-
cepat melepaskan dirinya. Sebaik-baik sahaja
kerbau menghumban kayu itu ke bawah, buaya
segera menangkapnya.
"Eh, buaya! Kenapa ini?" tanya kerbau apabila
dirasai kakinya digigit buaya.
"Aku hendak makan kau. Hari ini kau menjadi
rezeki aku," jelas buaya sambil menggigit lebih
kuat lagi.
"Kaulah binatang yang amat jahat dalam dunia
ini. Tidak tahu membalas budi. Orang berbuat
baik, kau balas jahat," kata kerbau.
"Sepatutnya buat baik dibalas baik. Buat jahat
dibalas jahat," sambung kerbau lagi.
"Aku tidak peduli," jawab buaya.
Kerbau cuba menanduk buaya tetapi buaya
menguatkan lagi gigitannya. Kerbau tidak
mampu melepaskan diri kerana berada dalam
air. Kalau buaya menariknya ke bawah tentulah
ia akan lemas. Kerbau merayu supaya buaya
tidak membunuhnya.
"Janganlah bunuh aku, buaya! Aku pun mahu
hidup. Kau makanlah benda lain," kerbau
merayu.
Tetapi buaya tetap tidak peduli. "Aku boleh
melepaskan kau tetapi dengan satu syarat,"
kata buaya.
"Apakah syaratnya?" tanya kerbau. "Kita cuba
dapatkan jawapan, betul atau tidak bahawa
berbuat baik dibalas baik? Kita tanya apa-apa
yang lalu di sini," ujar buaya. "Kalau jawapannya
sama sebanyak tiga kali, aku akan bebaskan
kau," ujar buaya lagi.
Kerbau bersetuju dengan syarat yang
dicadangkan oleh buaya. Mereka bersama-
sama menunggu sesiapa sahaja yang lalu atau
yang hanyut di dalam sungai itu. Tiba-tiba
mereka ternampak sebuah saji yang buruk
hanyut. Buaya pun bertanya pada saji.
"Saji, betulkah berbuat baik dibalas baik?"
tanya buaya. "Tidak betul. Berbuat baik dibalas
jahat," jawab saji. Saji menceritakan kisah
hidupnya. "Di rumah, aku digunakan untuk
menutup makanan. Nasi, lauk, kuih, dan apa-apa
sahaja aku lindungi," jelas saji. "Pendek kata,
aku banyak menolong dan berbakti kepada tuan
aku. Kucing dan tikus tidak boleh mencuri lauk.
Aku lindungi," cerita saji. "Tetapi aku amat
sedih, apabila aku buruk dan koyak, tidak
berdaya lagi menutup makanan, aku dibuang ke
sungai," ujar saji. "Itulah sebabnya aku berkata
berbuat baik dibalas jahat," saji menamatkan
ceritanya dan terus hanyut.
"Macam mana kerbau? Betul atau tidak apa
yang aku kata?" tanya buaya.
Kerbau berdiam diri kerana berasa cemas dan
sedih. Kerbau berdoa di dalam hati supaya
Tuhan menolongnya. "Tuhan tentu akan
menolong orang yang baik," kata kerbau dalam
hatinya.
Tidak lama kemudian, kelihatan sepasang kasut
buruk pula hanyut di situ. Sebelah daripada
kasut itu tenggelam kerana tapaknya tembus.
Tetapi kasut itu bergantung kepada
pasangannya dengan tali. Kedua-dua belah
kasut itu bersama-sama hanyut.
"Hah, itu satu lagi benda hanyut! Kita cuba
tanya," kata buaya.
"Kasut, betul atau tidak berbuat baik dibalas
baik?" tanya buaya.
Kerbau berdebar-debar menunggu jawapan
kasut. Kalau kasut bersetuju dengan
kenyataan itu bererti ia akan selamat. Kalau
kasut berkata tidak betul, habislah riwayatnya.
"Tidak betul kerana berbuat baik dibalas jahat,"
jawab kasut. Hancurlah harapan kerbau untuk
hidup apabila mendengar kasut memberi
jawapan itu. Kasut lalu bercerita. Pada suatu
masa lalu, kasut amat disayangi oleh tuannya.
Setiap hari kasut dibersihkan dan dikilatkan.
Apabila malam, kasut itu disimpan di tempat
selamat. Kasut itu juga hanya dipakai oleh
tuannya apabila pergi ke bandar sahaja. Kalau
tuannya pergi ke tempat berpasir atau
berlumpur, kasut itu tidak dipakainya. Tetapi
apabila sudah buruk, kasut itu tidak disayangi
lagi. Badannya tidak dikilatkan lagi. Kasut itu
dibaling ke tepi tangga selepas digunakan.
Apabila malam, kasut itu ditinggalkan di
halaman rumah. Kasut itu dibiarkan berembun
dan berhujan. Ketika itu juga, kasut itu menjadi
tempat persembunyian katak puru untuk
menangkap nyamuk. Apabila sudah terlalu buruk
dan koyak, kasut itu dibuangkan ke dalam
sungai. "Itulah sebabnya aku hanyut ke sini,"
kasut menamatkan ceritanya lalu pergi
bersama-sama arus air.
"Sudah dua jawapan. Engkau kalah. Tetapi, aku
bagi satu peluang lagi," kata buaya. "Kalau
datang yang ketiga, sama jawapannya, engkau
akan menjadi habuanku," jelas buaya kepada
kerbau.
Ketika kerbau dan buaya menanti kedatangan
benda yang ketiga, tiba-tiba datang seekor
kancil hendak minum air. Kancil itu pergi ke
tebing tempat buaya dan kerbau. Kancil
terkejut apabila melihat buaya menggigit kaki
kerbau. Kancil melihat air mata kerbau
berlinang. Manakala buaya pula kelihatan bengis.
"Ada apa kerbau? Kenapa buaya gigit kaki
engkau?" tanya kancil.
"Mujurlah engkau datang, kancil! Kami sedang
menunggu hakim yang ketiga untuk mengadili
kami," kata buaya.
"Mengapa?" tanya kancil. "Kami bertengkar,
berbuat baik adalah dibalas jahat," kata buaya.
"Tetapi kenapa kamu gigit kaki kerbau?" tanya
kancil. Buaya lalu bercerita mengenai dirinya
yang ditindih batang kayu. Kerbau datang
menolong. Tetapi buaya tidak mahu membalas
perbuatan baik kerbau. Buaya menganggap
kerbau itu patut menjadi rezekinya.
"Tetapi sebelum aku memberikan keputusan,
aku mahu tengok kejadian asalnya," kata kancil.
"Mula-mula, aku kena tindih batang pokok
patah. Batang pokok itu jatuh menimpa
belakang aku," jawab buaya.
"Boleh aku tengok macam mana pokok itu
berada di atas belakang kau?" tanya Kancil.
"Macam mana aku hendak tunjukkan, kerbau
sudah alihkan batang kayu itu," jawab buaya.
"Baiklah! Sekarang engkau pergi duduk tempat
asal, tempat engkau kena tindih," ujar kancil.
Buaya mengikut sahaja arahan kancil. Buaya
melepaskan kaki kerbau lalu duduk dekat
batang pokok.
"Kerbau! Cuba engkau tunjukkan, bagaimanakah
kayu itu berada di atas belakang buaya?
Tunjukkan padaku, bagaimanakah caranya
engkau mengangkat batang kayu itu?" kancil
mengarah seperti hakim. Kerbau melakukan
apa yang disuruh oleh kancil. "Cuba engkau
bergerak, buaya! Bolehkah kayu itu diangkat?"
kancil mengarah buaya.
Buaya cuba bergerak dan mengangkat batang
pokok itu tetapi tidak berdaya. "Cuba lagi,
seperti engkau mula-mula kena tindih," kata
kancil.
"Up! Up!" bunyi suara buaya cuba mengalih
batang pokok.
"Kuat lagi! Kuat lagi!" seru kancil.
Buaya terus mencuba tetapi tidak berupaya
melepaskan diri. Buaya cuba mengumpul
kekuatan untuk mengangkat batang kayu itu,
tetapi gagal. Ekornya sahaja membedal air
tetapi batang kayu tetap itu tidak bergerak.
Buaya sudah penat. Kerbau pula menunggu
arahan kancil.
"Selepas itu apakah yang terjadi?" tanya kancil.
"Selepas itu aku datang menolong. Aku
mengangkat batang pokok itu. Apabila buaya
terlepas, ia gigit kaki aku," jawab kerbau.
"Bagaimanakah cara kamu mengangkatnya?"
tanya kancil.
Kerbau segera mendekati batang pokok
itu. Kerbau menundukkan kepala hendak
engangkat batang kayu itu.
"Sudah! Setakat itu dulu. Aku sudah faham.
Jangan angkat kayu itu," kata kancil.
"Habis tu, macam mana pula dengan buaya?
Tentu buaya akan mati," jawab kerbau.
"Engkau ini sangat lurus dan jujur, wahai
kerbau!" kata kancil. "Biarlah buaya ini mati.
Kalau buaya ini hidup, engkau tentu mati. Buaya
yang jahat ini patut menerima balasannya
kerana tidak tahu membalas budi baik," kata
kancil lalu berlari naik ke atas tebing sungai.
Buaya bertempik apabila mendengar kata-kata
kancil. Buaya tahu ia sudah kena tipu. Buaya
membedal ekornya dengan sekuat-kuat
hatinya. Air sungai melambung naik. Kerbau
segera melompat lalu berlari naik ke atas
tebing mengikut kancil.
"Jaga, kancil! Kau tipu aku. Ingat, kancil! Aku
akan makan kau," pekik buaya.
Namun, kancil dan kerbau tidak mempedulikan
buaya lagi. Kerbau mengucapkan terima kasih
kepada kancil. Kedatangan kancil ke tebing
sungai itu telah menyelamatkan nyawanya.
Buaya sudah menerima balasan yang setimpal
dengan perbuatan jahatnya itu.