The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by Azieraamran0130, 2024-03-21 06:35:05

EDUP3153 PENTAKSIRAN DALAM PENDIDIKAN

PENILAIAN INSTRUMEN PBD

PENTAKSIRAN DALAM PENDIDIKAN EDUP3153 M A K L U M A T D I R I NAMA: CHE ARISYA AZIERA BINTI CHE AMRAN KUMPULAN : 22A BM PROGRAM : PISMP KOD KURSUS: EDUP3153 PENTAKSIRAN DALAM PENDIDIKAN NAMA PENYARAH: DR. SUZANA ABD MUTTALIB


Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) melibatkan pentaksiran yang yang dijalankan oleh guru secara berterusan dalam bilik darjah (Mahaya Salleh et al, 2024). PBD penting untuk dilakukan kerana ia bertujuan untuk mengesan perkembangan murid secara menyeluruh (JPN Selangor, 2019) dengan mengenal pasti kelebihan dan kelemahan murid bagi membolehkan guruguru merancang dan mengubahsuai kaedah pengajaran mereka. Pentaksiran alternatif merupakan pentaskiran yang dirancang oleh guru di peringkat sekolah bagi memperkasakan PBD. Pentaksiran alternatif mempunyai pelbagai cara untuk dilaksanakan melalui penggunaan instrumen bagi mencapai objektif pengajaran dan Pembelajaran (PdP) seperti pemerhatian, penilaian kendiri dan lain-lain lagi. Instrumen yang dipilih untuk menilai kesesuaian dalam PdP ialah lembaran kerja murid, gambar murid dan senarai semak. Instrumen ini digunakan untuk mentaksir murid-murid Tahun 4 Neptun.


Instrumen 1: Lembaran kerja


Berdasarkan instrumen di atas, kaedah yang digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) adalah pentaksiran secara bertulis. Kaedah ini melibatkan aktiviti penyemakan dan pemeriksaan tugasan dan hasil penulisan murid (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2019) seperti instrumen yang digunakan iaitu hasil lembaran kerja murid. Kaedah ini dapat menilai perkembangan intelek dan kemahiran menulis dan menyusun idea dalam kalangan murid berdasarkan tajuk PdP yang ditetapkan. Kaedah ini juga dapat menilai perkembangan murid berdasarkan tiga domain utama iaitu kognitif, psikomotor dan afektif. Perkembangan murid berdasarkan domain ini adalah sangat penting kerana ia berkait rapat dengan objektif pembelajaran yang ditetapkan oleh guru sebelum PdP bermula. Penetapan dan pencapaian objektif pembelajaran ini boleh diselaraskan dengan pemilihan aktiviti yang akan dijalankan semasa PdP pada hari tersebut.


Melalui instrumen, aktiviti yang dijalankan kepada murid-murid adalah lembaran kerja. Pemilihan aktiviti yang sesuai adalah penting untuk murid-murid supaya objektif pembelajaran yang ditetapkan dapat dicapai. Bagi instrumen ini, objektif pembelajaran ialah murid dapat menukar ayat susunan songsang kepada ayat susunan biasa. Lembaran kerja ini berupaya untuk memastikan pencapaian objektif pembelajaran dapat dicapai oleh semua murid kerana ia selari dengan Standard Kandungan (SK) dan Standard Pembelajaran (SP) yang dipilih berdasarkan DSKP dengan berupaya mengukuhkan pemahaman murid mengenai topik (Lee et al, 2012).


Tajuk yang relevan dan menarik perlu diguna pakai dalam aktiviti semasa PdP dilaksanakan. Tajuk yang digunakan ialah “Teknologi Masa Kini.”. Tajuk ini sesuai dengan aktiviti murid kerana ia bukan sahaja dapat meningkatkan kosa kata murid. Malah ia dapat membangkitkan rasa minat murid untuk belajar dan meneroka kerana murid-murid zaman sekarang telah didedahkan dengan pelbagai kecanggihan teknologi menyebabkan mereka akan tertarik apabila diberikan tugasan yang dekat dengan mereka (Abdul Rasid Jamian et al., 2014). Namun, instrumen tersebut tidak mempunyai tajuk. Tajuk yang dinyatakan di atas adalah berdasarkan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) yang diberikan oleh guru. Instrumen tersebut hanya mempunyai arahan yang mudah dan singkat untuk memudahkan murid menyelesaikan tugasan.


SP yang digunakan berdasarkan instrumen dan aktiviti di atas ialah 5.3.4 Memahami dan membina ayat susunan biasa dan susunan songsang. Instrumen yang dipilih adalah bertepatan dengan SP kerana murid perlu memahami ciri susunan ayat biasa dan ayat songsang terlebih dahulu sebelum menukarkan ayat tersebut. Sekiranya murid-murid boleh menukar ayat songsang kepada ayat biasa dengan betul, ini bermakna murid dapat memahami makna ayat dan dapat mencapai kehendak SP dan objektif pembelajaran yang ditetapkan kerana murid-murid perlu memahami ayat terlebih dahulu sebelum membina ayat susunan biasa dengan cara mengubah susunan ayat songsang.


Dalam Bahasa Melayu, standard prestasi bagi aspek tatabahasa tidak ditetapkan kerana aspek tatabahasa boleh ditaksir bersama kemahiran lain seperti kemahiran lisan mendengar dan bertutur, membaca dan menulis (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2018) melalui kaedah penggabungjalinan. Oleh itu, standard prestasi aspek tatabahsa perlulah disesuaikan dengan standard prestasi kemahiran-kemahiran lain. Oleh itu, murid-murid yang dapat mencapai Tahap Penguasaan (TP) yang tinggi semasa PdP yang menekankan tiga kemahiran, sudah tentu murid tersebut mempunyai TP yang tinggi dalam aspek tatabahasa. Contohnya, murid A mendapat TP5 dalam kemahiran menulis, maka dia juga akan mendapat TP5 sekiranya dia menerapkan elemen tatabahasa yang tepat berdasarkan SP tatabahasa dalam aktiviti kemahiran menulis. Oleh itu, standard prestasi aspek tatabahasa boleh dinilai dan diberikan semasa PdP tiga kemahiran tersebut dijalankan.


Instrumen ini berupaya untuk menilai murid kerana mempunyai kesahan yang tinggi. Kesahan merujuk kepada takat sesuatu pentaksiran mengukur secara tepat konstruk yang ingin diukur (Lee et al., 2024). Lembaran kerja mempunyai kesahan kandungan yang tinggi kerana kerana ia menguji dan mengukur isi kandungan yang dipelajari oleh murid melalui lembaran kerja. Pentaksiran melalui lembaran kerja tersebut adalah sah kerana isi kandungannya selari dengan perkara yang diajar dan dipelajari oleh murid berdasarkan SP dalam DSKP. Soalan yang dibina dalam instrumen berkait rapat dengan isi kandungan topik mata pelajaran yang yang diajar. Penambahbaikan yang boleh dilakukan ialah guru menambahkan tajuk PdP pada instrumen supaya murid dapat mengetahui tajuk yang akan mereka belajar pada hari tersebut bagi memudahkan mereka membuat perkaitan tajuk dengan pengalaman mereka.


Instrumen 2: Gambar murid Aktiviti: Murid membina ayat biasa berdasarkan kertas latihan yang diberikan.


Instrumen 2: Gambar murid


Instrumen kedua menggunakan kaedah pentaksiran secara pemerhatian. Kaedah ini sesuai untuk mentaksir proses dan hasil kerja murid. Melalui instrumen ini, kaedah pemerhatian dilaksanakan sepanjang PdP apabila murid-murid melakukan aktiviti menulis ayat biasa berdasarkan kertas kerja yang diberikan oleh guru. Kaedah ini sesuai digunakan sepanjang PdP kerana guru boleh melihat penglibatan setiap murid semasa aktiviti dijalankan. Guru boleh menilai sikap, perlakuan serta kemahiran bersosial murid bagi memastikan objektif PdP tercapai.


Aktiviti yang dilaksanakan berdasarkan instrumen ialah murid-murid membina dan menulis ayat susunan biasa. Instrumen yang digunakan adalah kurang bersesuaian dengan aktiviti yang dilaksanakan kerana guru-guru tidak dapat menilai atau menyemak semula pencapaian murid apabila guru ingin memberikan TP kepada murid selepas sesi PdP. Gambar yang diambil tidak dapat menilai murid secara menyeluruh kerana ia tidak menunjukkan sebarang pergerakan murid yang boleh menilai aspek kognitif dan afektif murid kerana murid yang sebenarnya membina ayat dengan murid yang terdapat dalam gambar berkemungkinan orang yang berbeza. Gambar hanya boleh menilai psikomotor murid melalui pergerakan tubuh badan mereka.


Tajuk PdP yang digunakan berdasarkan kertas latihan yang terdapat dalam instrumen ialah “Mari Berkebun”. Tajuk ini sesuai dan relevan dengan instrumen kerana dalam ayat yang dibina oleh murid-murid adalah berkaitan dengan perkebunan. Malah, gambar yang terdapat dalam kertas latihan yang diberikan kepada murid juga menunjukkan gambar beberapa individu sedang berkebun. Oleh itu, pemilihan tajuk yang berbeza dengan instrumen pertama akan menjadikan murid tidak mudah bosan untuk menjalankan aktiviti kerana murid-murid akan mendapat pengetahuan baharu berkaitan perkara-perkara yang berbeza. Pemilihan tajuk yang sesuai juga dapat memastikan murid-murid menyumbang idea serta pendapat dan menggalakkan penglibatan aktif murid untuk berinteraksi dengan guru sepanjang PdP (Maznah Ahmad, 2017).


Instrumen ini menggunakan SP yang sama seperti instrumen pertama. Instrumen kedua kurang sesuai digunakan untuk menilai pencapaian SP dan objektif PdP kerana guru tidak dapat melihat dengan jelas ayat dibina oleh murid. Kertas latihan yang mengandungi ayat yang dibina oleh murid-murid dalam instrumen bergambar kurang membantu guru untuk memberikan TP kerana guru tidak boleh menilai sama ada ayat tersebut dibina oleh murid sendiri atau dibina oleh rakan-rakan murid.


Instrumen seperti gambar ini kurang berkeupayaan untuk mentafsir murid kerana mempunyai kebolehpercayaan yang rendah. Kebolehpercayaan adalah ketekalan sesuatu instrumen atau alat pengukuran sehingga mencapai hasil yang sama apabila digunakan dan ditadbir pada masa yang berlainan (Ruhaidi Amin et al., 2020). Ini bermakna sejauh mana dapatan pentaksiran membolehkan guru memberikan keputusan yang sama apabila instrumen ini digunakan semula. Instrumen bergambar mempunyai kebolehpercayaan yang rendah kerana berlakunya ralat luaran seperti pilih kasih dalam kalangan guru. Contohnya, guru yang mentaksir murid memberikan markah penilaian yang tidak selari dengan objektif PdP. Guru yang tidak adil dan pilih kasih akan memberikan markah atau TP yang tinggi kepada murid yang digemarinya walaupun murid tersebut tidak berjaya mencapai objektif PdP kerana gambar yang dilampirkan berkemungkinan tiada gambar murid tersebut menyebabkan guru boleh memberikan TP yang tinggi kepada murid tersebut.


Penambahbaikan yang boleh dilakukan adalah menggunakan instrumen anekdot untuk menggantikan instrumen bergambar. Anekdot berupaya untuk mencatat apa sahaja kejadian tidak terduga tidak kira di mana ia berlaku kerana guru perlu mencatatnya (Tan & Husaina, 2020). Dalam anekdot, guru perlu mencatat objektif, kriteria, TP serta catatan berkaitan murid melalui aspek kognitif, afektif dan psikomotor. Anekdot dapat membantu guru untuk mengesan kemampuan atau tahap pemikiran murid. Jadi, murid yang dapat mencapai objektif PdP akan diberikan TP yang tinggi oleh guru kerana guru mempunyai catatan tentang kemampuan, sikap dan dan tingkah laku murid semasa PdP.


Instrumen 3: Senarai semak


Kaedah pentaksiran secara lisan telah digunakan bagi instrumen ketiga. Kaedah ini telah dijalankan secara terancang oleh guru bagi menilai aspek kefahaman konsep dan penggunaan bahasa yang tepat dalam kalangan murid mengikut keperluan objektif PdP yang telah ditetapkan berdasarkan SP. Kaedah ini bersesuaian dengan instrumen kerana guru boleh melihat perkembangan dan penguasaan murid dengan cepat dan mudah berkaitan kefahaman dan pengetahuan murid tentang ayat susunan biasa dan susunan songsang.


Aktiviti yang dijalankan adalah lakonan. Murid perlu melakonkan situasi berdasarkan teks yang disediakan. Instrumen yang dibina bersesuaian dengan aktiviti yang dijalankan kerana guru perlu melakukan pemerhatian secara menyeluruh untuk menilai tahap perkembangan dan kemajuan murid. Pemerhatian yang dibuat bukan hanya meliputi domain kognitif, malah domain afektif dan psikomotor turut diperhati. Guru juga boleh membuat catatan untuk ditunjukkan kepada ibu bapa apabila perlu. Oleh itu, Senarai semak dan catatannya sesuai digunakan semasa aktiviti lakonan kerana ia berupayan untuk dijadikan pelaporan tentang tahap kemajuan murid kerana guru boleh melaporkan aspek yang telah dikuasai dan belum dikuasai oleh murid sepanjang aktiviti dijalankan (Mardziah Abdullah et al., 2019).


Tajuk yang digunakan berdasarkan teks lakonan adalah berbeza. Namun, tajuk-tajuk tersebut mempunyai tema yang sama iaitu keselamatan. Antara tajuk yang digunakan ialah “Keselamatan di jalan raya” dan “Kepentingan memakai helmet”. Tajuk ini relevan dengan instrumen kerana guru boleh menilai aspek kognitif, afektif dan psikomotor dalam kalangan murid. Guru boleh melihat sikap dan perlakuan murid dalam menghargai nilai. Tajuk yang diberikan membolehkan murid-murid untuk melakonkan situasi berdasarkan teks kerana ia selaras dengan pengetahuan dan peringkat umur murid kerana murid pernah mempraktikkan amalan keselamatan. Oleh itu, guru boleh membuat pemerhatian menggunakan senarai semak mengenai aspek yang ingin diperhati.


SP yang digunakan adalah 5.3.4 Memahami dan membina ayat susunan biasa dan susunan songsang. SP yang dipilih sesuai dengan instrumen kerana guru boleh menilai dan mentaksir murid melalui kemahiran lisan mendengar dan bertutur. Murid-murid yang melakonkan situasi akan memenuhi SP apabila mereka mengujarkan ayat susunan biasa dan susunan songsang yang betul. Murid-murid yang memerhati akan memahami ayat susunan biasa dan songsang apabila mereka berjaya senaraikan ayat-ayat susunan biasa dan songsang yang digunakan dalam lakonan.


Standard prestasi boleh diberikan kepada murid berdasarkan kepada penguasaan mereka terhadap pemahaman mereka berkenaan pembinaan ayat susunan biasa dan songsang. Murid yang dapat menjawab dengan betul akan dianggap menguasai Bahasa Melayu, manakala murid yang gagal dikatakan tidak menguasai Bahasa Melayu (Zaharani Ahmad & Teressa Jabar, 2010). Oleh itu, sekiranya murid dapat membina dan menggunakan ayat susunan biasa dan songsang yang betul dalam lakonan, murid akan diberikan TP yang tinggi kerana murid memahami konsep ayat susunan biasa dan songsang.


Senarai semak berupaya untuk mentaksir murid kerana mempunyai kesahan konstruk yang tinggi. Kesahan konstruk merujuk suatu ujian yang boleh mengukur semua atribut yang ingin diukur (Lee at al., 2024). Kesahan konstruk senarai semak selalunya tinggi kerana mempunyai semua senarai kriteria atau atribut yang dikehendaki dalam sesi lakonan murid-murid. Namun, senarai semak yang dibina oleh guru ini tidak mempunyai kesahan konstruk yang tinggi kerana tidak mengandungi semua atribut yang ingin diukur berdasarkan kepada SP dan objektif PdP. Senarai semak yang dibina hanya menilai murid dalam aspek pembinaan susunan ayat. Bagi menilai pemahaman murid tentang pembinaan ayat susunan biasa dan songsang secara lakonan, guru boleh juga melihat gaya persembahan dan sebutan berbahasa murid. Ini kerana murid yang faham akan susunan ayat biasa dan songsang akan mempunyai gaya persembahan yang menarik dan sebutan yang lancar. Sebaliknya akan berlaku kepada murid yang tidak memahami pembinaan ayat susunan biasa dan songsang menyebabkan murid teragak-agak untuk menyebut ayat susunan biasa dan susunan songsang kerana mereka risau ayat yang dibina mereka adalah tidak tepat. Oleh itu, guru boleh menambah beberapa atribut dalam senarai semak untuk mentaksir kefahaman murid tentang konsep dan pembinaan ayat susunan biasa dan songsang.


Kesimpulannya, pelbagai instrumen boleh digunakan sepanjang PdP untuk mentaksir perkembangan dan kemajuan murid. Instrumen yang digunakan mestilah bersesuai dengan SK, SP, Standard Prestasi yang ditetapkan bagi memastikan objektif PdP dapat dicapai oleh murid. Pemilihan instrumen yang tepat dapat membantu guru untuk mentaksir murid. Pengurusan eviden PBD yang cekap mampu memberi impak positif kepada penguasaan murid semasa pentaksiran dijalankan (Sh. Siti Huzaimah, 2019).


RUJUKAN Abdul Rasid Jamian., Shamsudin Othman., & Nur Farah Athirah Khuzaini. (2014). Strategi pengajaran tatabahasa Bahasa Melayu. 155-163. Jabatan Pendidikan Negeri Selangor. (2019). Pentaksiran Bilik Darjah (PBD). https://jpnselangor.moe.gov.my/?id=8765:pentaksiran-bilik-darjah&catid=2 Kementerian Pendidikan Malaysia. (April 2018). Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran Bahasa Melayu Tahun 4. Kementerian Pendidikan Malaysia. (Oktober 2019). Panduan pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah. https://www.moe.gov.my/storage/files/shares/pentaksiran-berasaskansekolah/Panduan%20Pelaksanaan%20Pentaksiran%20Bilik%20Darjah%20Edisi%202 %20-%202019.pdf Lee, C. W. (2012). Pembelajaran visual dalam usaha meningkatkan tahap kefahaman murid prasekolah. Seminar Penyelidikan Tindakan IPG KBL, 85-97. Lee, L. H., Boon, P. Y., Lawrence, A. A., & Ilhavenil Narinasamu. (2024). Pentaksiran dalam pendidikan. Pustaka Nadwa Sdn Bhd. Mahaya Salleh., Suzana Abd Mutalib., Hashiroh Hussein., & Zakirah Imana Ho Abdullah. (2024). Pentaksiran dalam Pendidikan. LOCAL PUBLICATIONS (M) SDN BHD. Maznah Ahmad. (2017). Strategi interaksi berkesan di dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris kanak-kanak prasekolah. Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Mardziah Abdullah., Mariani Md Nor., & Fonny Dameaty Hutagalung. (2019). Tadbir urus pentaksiran murid dalam kalangan guru prasekolah. JURNAL KURIKULUM & PENGAJARAN ASIA PASIFIK, 7(3), 20-27. Ruhaidi Amin., Nasihah Ashar Ahamed., Zalina Mohd Ali., & Nur Riza Mohd Suradi. (2020). Kebolehpercayaan dan kesahan instrumen inovasi organisasi: Suatu pendekatan model Rasch. Journal of Quality Measurement and Analysis, 16(12), 253-269. Sh. Siti Huzaimah Wan Omar. (2019). Pengetahuan, kemahiran, sikap dan masalah guru dalam melaksanakan pentaksiran bilik darjah Bahasa Melayu di Sekolah Rendah. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu, 9(1), 56-67.


Tan, J. Y., & Husaina Banu Kenayathulla. (2020). Pentaksiran bilik darjah dan prestasi murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina di Hulu Langat, Selangor. Jurnal Kepimpinan Pendidikan, 7(3), 70-90. Zaharani Ahmad., & Teressa Jabar. (2010). Tahap penguasaan Bahasa Melayu remaja Malaysia: Analisis aspek tatabahasa. Jurnal Linguistik, 10(1), 48-62.


Click to View FlipBook Version