The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

F1 AISYAH MUNIRAH BINTI MOHD KHUSAIRI (PENULISAN AKADEMIK PBD)
IPG KAMPUS BAHASA MELAYU (PISMP SEM 3)

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by aisyah09-380, 2021-08-21 07:15:39

Penulisan Akademik

F1 AISYAH MUNIRAH BINTI MOHD KHUSAIRI (PENULISAN AKADEMIK PBD)
IPG KAMPUS BAHASA MELAYU (PISMP SEM 3)

INSTITUT PENDIDIKAN GURU KAMPUS BAHASA
MELAYU 59990 LEMBAH PANTAI, KUALA LUMPUR.
PROGRAM IJAZAH SARJANA MUDA PERGURUAN

SEMESTER 1 TAHUN 2
(AMBILAN JUN 2020)

PENGURUSAN BILIK DARJAH DAN TINGKAH LAKU
EDUP3043

DISEDIAKAN OLEH:

NAMA PELAJAR AISYAH MUNIRAH BINTI MOHD KHUSAIRI
011205110056
NO KAD PENGENALAN 2020192340001
ANGKA GILIRAN PISMP F1
KUMPULAN/UNIT
DR SHARIZA BINTI SAID
NAMA PENSYARAH
PENULISAN AKADEMIK (INDIVIDU)
TAJUK TUGASAN 21 OGOS 2021

TARIKH PENYERAHAN
TARIKH MENERIMA
MAKLUM BALAS

DARIPADA PENSYARAH

Anda dikehendaki:

i. Menganalisis isu-isu semasa berkaitan tingkah laku bermasalah di
dalam bilik darjah dengan merujuk pelbagai sumber yang relevan.

ii. Menilai dan membuat pemilihan model pengurusan disiplin dan
intervensi yang sesuai bagi mennagani tingkah laku bermasalah
dalam bilik.

Anda perlu mendapatkan pandangan pakar dalam melaksanakan tugasan ini
dengan menggunakan alat-alat digital yang sesuai (1300 patah perkataan).

ISI KANDUNGAN

Bil. Perkara Halaman
(i)
1 Isi Kandungan (ii)
2 Penghargaan 1
1-3
3 Pengenalan 3-4
5-6
4 Isu Semasa Tingkah Laku Bermasalah
dalam Bilik darjah 6
7
5 Model Pengurusan Disiplin Bilik Darjah – 8-10
Model Akibat Logikal Dreikurs

6 Intervensi Menangani Tingkah Laku
Bermasalah – Teknik Modifikasi Tingkah
Laku

7 Kesimpulan

8 Rujukan

9 Lampiran

(i)

PENGHARGAAN

Assalamualaikum w.b.t.
Alhamdulillah ke atas hadrat Ilahi, saya Aisyah Munirah binti Mohd Khusairi, ingin

merafakkan kesyukuran kerana dengan limpah kurnia-Nya saya dapat menyelesaikan
tugasan kerja kursus ini dengan penuh jayanya dalam tempoh masa yang telah ditetapkan.

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pensyarah
pembimbing bagi kerja kursus EDUP3043 ini iaitu Dr Shariza binti Said kerana telah banyak
membimbing serta memberi tunjuk ajar kepada saya dan rakan seperjuangan yang lain dalam
usaha menyiapkan tugasan yang telah diberikan. Banyak sokongan dan bantuan yang telah
beliau sumbangkan kepada kami agar tugasan ini dapat disempurnakan dengan baik. Beliau
juga telah banyak menerangkan tentang cara pelaksanaan tugasan ini secara terperinci dan
memudahkan saya untuk memahami dan memenuhi kehendak sebenar soalan yang
dikemukakan. Segala ilmu yang diberikan oleh beliau amat bermanfaat malah tanpa jasa dan
pengorbanannnya, tugasan ini pasti kurang bermakna kerana ilmu yang telah dicurahkan
adalah amat berharga buat saya.

Selain itu, saya ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada rakan-rakan
seperjuangan saya yang telah banyak membantu dan berkongsi ilmu terutamanya ketika
bersama-sama mencari bahan-bahan yang boleh dijadikan sebagai sumber rujukan bagi
penyediaan kerja kursus ini. Semoga segala pertolongan mereka semua akan mendapat
balasan yang baik daripada Allah S.W.T.

Akhir sekali, saya ucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat sepanjang
pelaksaan tugasan kali ini sama ada secara langsung atau tidak langsung dengan harapan
dapat bersama-sama menolong ke arah mencapai kecemerlangan dalam apa jua jenis bidang
yang diceburi.

(ii)

1.0. Pengenalan

Dalam sesebuah bilik darjah, guru berkemungkinan besar menghadapi masalah
dalam mengawal tingkah laku anak murid di dalam bilik darjah. Menurut Ahmad
Tarmizi (2011) dalam Noor Aini Ahmad et al. (2015), tingkah laku merujuk kepada
respon perbuatan, persembahan dan prestasi seseorang yang dapat diukur dan dilihat
setelah mereka menerima rangsangan. Selain itu, tingkah laku bermaksud gerak geri,
kelakua dan perbuatan (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010). Hal ini bermakna, setiap
individu atau pelajar itu boleh menzahirkan tingkah laku yang berbeza-beza mengikut
situasi. Sehubungan itu, tingkah laku bermasalah boleh dikategorikan kepada positif
dan negatif. Perkara ini seterusnya mengakibatkan timbulnya beberapa kesan yang
tidak baik kepada guru termasuklah memberikan tekanan emosi dan mengganggu
konsentrasi guru untuk melaksanakan pengajaran secara normal.

Tingkah laku bermasalah dalam bilik darjah merujuk kepada sebarang
perbuatan yang boleh mengganggu kelancaran atau keberkesanan proses pengajaran
dan pembelajaran (PdP). Maka, tidak hairanlah sekiranya guru mendapati muridnya
menunjukkan tingkah laku disruptif atau distruktif yang merosakkan proses PdP. Pada
masa kini, masalah tingkah laku juga telah menjadi lumrah dalam kalangan pelajar
sekolah di bilik darjah. Sekiranya guru tidak memberikan perhatian atau mengambil
langkah dan inisiatif tertentu, maka tingkah laku bermasalah ini akan mengundang
kemerosotan bagi pencapaian akademik para pelajar. Hal ini juga selari dengan
pendapat Dantini (2011), iaitu masalah tingkah laku dalam kalangan pelajar
bermasalah pembelajaran bukanlah suatu masalah yang sangat serius tetapi boleh
berubah menjadi serius sekiranya tiada usaha untuk merawat. Oleh itu, penulisan ini
akan membincangkan tentang analisis isu semasa tingkah laku bermasalah di dalam
bilik darjah serta pemilihan model dan intervensi yang sesuai bagi mengatasi perkara
tersebut, juga disertai beberapa pandangan pakar melalui temu bual yang telah
dilaksanakan.

2.0. Isu Semasa Tingkah Laku Bermasalah dalam Bilik Darjah

Tingkah laku yang menunjukkan ketidakpatuhan kepada peraturan atau nilai yang
diterima oleh masyarakat juga dikenali sebagai satu masalah disiplin. Sebagaimana
yang kita dapat lihat pada hari ini, majoriti guru disiplin juga mempunyai kesukaran
dalam menguruskan pelajar yang bermasalah kerana kebanyakan daripada mereka
tidak pernah serik dan sering mengulangi masalah yang sama. Golongan ini
sememangnya sukar untuk menerima teguran yang diberikan sehinggalah mereka
menerima denda yang berat atas kesalahan tingkah laku sendiri. Antara masalah

1

disiplin yang menjadi isu semasa adalah gejala membuli, mencuri, vandalisme,
melawan guru, mengedar dan mengambil dadah atau menghidu gam. Masalah
tingkah laku yang disebutkan adalah sangat membahayakan dan boleh
mencederakan diri sendiri dan orang sekeliling.

Walau bagaimanapun, apabila berbincang tentang masalah tingkah laku dalam
bilik darjah, ini lebih merujuk kepada tingkah laku disruptif iaitu tingkah laku yang
mengganggu. Kesan daripada tingkah laku disruptif adalah boleh membahayakan
orang lain yang berada di dalam kelas. Isu dan permasalahan semasa tingkah laku
pelajar dalam bilik darjah adalah seperti tidak memberikan perhatian ketika guru
mengajar. Perbuatan ini sudah menjadi kebiasaan bagi majoriti pelajar apabila mereka
tidak mempunyai minat terhadap pengajaran guru. Pelajar akan mula bertindak
mengganggu rakan, bercakap, makan atau tidur di dalam kelas. Kadangkala, segelintir
pelajar yang tidak fokus ini juga akan menunjukkan tingkah laku hiperaktif seperti
berlari di koridor bilik darjah semasa PdP berlangsung. Malah, dapat difahamkan
bahawa pakar yang telah disoal jawab turut mengalami masalah ini. Pelajarnya juga
sering membuat bising atau ketawa dengan kuat di dalam kelas terutamanya bagi
pelajar aras sederhana. Maka, perbuatan seperti ini akan mendorong kepada kesan
negatif yang lain seperti tidak mampu memahami isi pengajaran. Kesannya, mereka
menghadapi kesukaran untuk menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru setelah
sesi PdP tamat.

Selain itu, isu yang sering diperkatakan oleh guru pada masa kini ialah
ketidakhadiran pelajar ke dalam sesi PdP secara maya. Berdasarkan dapatan sesi
soal jawab dengan pakar, beliau juga menyatakan bahawa tindakan ponteng kelas ini
sering timbul dalam kalangan pelajarnya. Walau bagaimanapun, guru perlu
mengenalpasti terlebih dahulu sebab-sebab tertentu pelajar yang menyebabkan
mereka tidak boleh menyertai kelas yang dijalankan. Juga dikemukakan dalam
Malaysia Kini, terdapat beberapa punca atau cabaran yang sukar dielakkan dalam
konteks Pendidikan semasa pandemik. Suatu dapatan kajian yang telah dijalankan
oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia merekod 36.9% pelajar tidak mempunyai
peranti bagi pembelajaran dalam talian. Banyak lagi kekangan dan cabaran tertentu
seperti masalah kemudahan Internet, peralatan komputer serta prasarana digital yang
lain. Walau bagaimanapun, faktor-faktor ini tidak boleh dijadikan sebagai asbab utama
murid ponteng kelas. Pakar tersebut juga berpandangan bahawa pelajar boleh menipu
guru memberikan alasan yang tertentu semata-mata untuk melarikan diri daripada
belajar.

2

Akhir sekali, pelajar yang diam dan suka mengasingkan diri juga merupakan
salah satu masalah tingkah laku yang negatif. Kebiasaannya, golongan ini tidak gemar
untuk bergaul dengan rakan sekelasnya yang lain dan selalu meletakkan dirinya di
satu sudut atau tempat terpencil. Tambahan lagi, sekiranya guru melakukan aktiviti
secara berkumpulan, pelajar ini tidak dapat memberikan kerjasama yang baik, jauh
sekali untuk berkongsi pendapatnya mengenai isi pembelajaran kepada ahli kumpulan
yang lain. Pelajar sebegini akan lebih banyak mengelamun dan berkhayal daripada
berbeza dengan rakan yang bersungguh-sungguh mendengar pencerahan daripada
guru. Sementara itu, guru perlu mencari langkah yang efektif bagi memastikan murid
sebegini semakin berminat untuk mengikuti aktiviti pengajaran dan menjalin hubungan
mesra dengan pelajar yang lain. Demikianlah, perubahan tingkah laku terjadi
sekiranya seseorang itu menerima rangsangan positif bertepatan dengan kata-kata
Carl Rogers (1999) iaitu potensi yang terdapat dalam diri individu akan melahirkan
esteem kendiri dan membantu kepada perkembangan potensi diri. Keadaan ini juga
secara tidak langsung dapat diaplikasikan pada pelajar yang terlibat dengan tingkah
laku bermasalah di sekolah.

3.0. Model Akibat Logikal Dreikurs

Model Akibat Logikal Dreikurs yang dipelopori oleh Rudolf Dreikurs menekankan
kepentingan guru memberikan kepercayaan dan tanggungjawab kepada murid untuk
bersama-sama menjaga disiplin di dalam bilik darjah. Melalui model ini, murid
dibimbing untuk saling memperingati rakan sekelas dalam mematuhi peraturan yang
telah ditetapkan. Sebagai seorang guru yang profesional, sekecil mana pun tingkah
laku bermasalah yang diperhatikan, kawalan tingkah laku seharusnya dimulakan iaitu
melalui peneguhan secara ekstrinsik lalu beransur kepada kawalan secara intrinsik
atau dalaman. Sehubungan dengan itu, para pendidik boleh menjadikan model ini
sebagai panduan untuk isu yang telah disebutkan di atas.

Dreikurs (1968) mendapati bahawa tingkah laku bermasalah berpunca
daripada motif-motif iaitu untuk mendapatkan perhatian guru, mencabar kuasa,
membalas dendam dan mempamerkan kekurangan. Dreikurs menekankan bahawa
guru berperanan untuk membantu murid memahami motif tingkah laku mereka supaya
salah laku dapat dikurangkan dalam kalangan murid. Sebagai contoh dalam motif
mendapatkan perhatian, guru sepatutnya tidak memberikan perhatian kepada tingkah
laku yang tidak diingini tetapi memberikan perhatian terhadap tingkah laku yang
sebaliknya. Murid yang ingin mendapatkan perhatian dari guru ini sangat berkait rapat
dengan masalah tingkah laku seperti membuat bising dan mengganggu ketenteraman

3

pelajar lain di dalam kelas. Sekiranya masalah sebegini berlaku, guru tidak sepatutnya
memarahi mereka kerana murid tersebut akan mengulangi kembali salah laku tersebut
akibat perhatian yang telah diberikan dengan cara yang salah. Dengan
mengaplikasikan model Dreikurs, guru seharusnya memberikan pujian terhadap
perkara yang jarang dilakukan oleh murid tersebut. Sebagai contoh, Farhan sering
menonjolkan kenakalannya di dalam kelas. Kemudian, semasa melaksanakan aktiviti
soal jawab, Farhan dapat menjawab dengan baik. Ketika itu, guru perlu memujinya
dengan kata-kata yang memberangsangkan supaya Farhan berasa bangga dengan
pencapaiannya tersebut. Secara tidak langsung, guru tersebut telah mengajar Farhan
untuk memilih sama ada meneruskan kenakalannya atau terus melibatkan diri dalam
aktiviti kelas supaya dia selalu mendapat perhatian seperti yang diingini. Cara ini juga
perlu dijalankan terhadap pelajar yang sering hadir lewat ke sekolah dan bersifat
pendiam supaya mereka menyedari bahawa guru turut memerhatikan mereka dari
sudut yang baik.

Di samping itu, Dreikurs juga telah mencadangkan beberapa langkah dalam
menangani masalah tingkah laku murid mengikut peringkat. Pertama sekali, guru
mestilah mengenal pasti motif murid lalu membantu mereka memahami motif yang
telah ditonjolkan. Langkah seterusnya adalah guru perlu memberikan kesedaran
kepada murid tersebut bahawa mereka telah memilih motif yang salah semata-mata
mendapatkan pengiktirafan diri. Kemudian, guru bertindak untuk menukarkan
matlamat yang tidak benar kepada matlamat yang boleh memberikan kebaikan
kepada dirinya sendiri dan orang sekeliling. Setelah itu, mereka akan dibimbing untuk
bertanggungjawab atas matlamat baharu dan akhirnya murid tersebut akan berpuas
hati melihat hasil daripada tingkah laku yang ditunjukkan.

Sebagai penjelasannya, model ini menjauhkan guru daripada perbuatan
melepaskan emosi kemarahan kepada pelajar kerana langkah tersebut tidak dapat
menyelesaikan isu yang dihadapi untuk jangka masa yang lama. Denda juga amat
tidak digalakkan kerana boleh menjerumuskan murid kepada masalah tekanan dan
sebagainya. Mohd Khairuddin Abdullah (2014), menyatakan bahawa kelemahan guru
berkomunikasi dengan berkesan bukan sahaja boleh menyebabkan objektif PdP yang
dirancang akan gagal tetapi turut boleh menyebabkan pelajar mengalami perasaan
kecewa, tekanan, ketidakpuasan hati dan sebagainya. Tuntasnya, komunikasi antara
guru dan murid amat penting supaya murid menerima galakan dan motivasi yang
secukupnya lalu mendorong mereka belajar dari kesilapan yang lalu.

4

4.0. Intervensi Teknik Modifikasi Tingkah Laku

Masalah tingkah laku dapat diatasi sekiranya guru menjalankan langkah-langkah
intervensi pada peringkat awal. Teknik Modifikasi Tingkah Laku dikenali sebagai teknik
yang menggunakan prinsip peneguhan. Berdasarkan prinsip ini, tingkah laku
dipengaruhi oleh akibat selepas tingkah laku ditunjukkan. Tambahan lagi, tingkah laku
boleh dibentuk, dikekalkan, diteguhkan atau dilemahkan mengikut akibat yang
diberikan kepada murid. Sebagai langkah utama, guru mestilah memberikan
peneguhan positif iaitu berunsurkan ganjaran. Prinsip dendaan perlu dielakkan sebaik
mungkin kerana pemodifikasian tingkah laku kanak-kanak adalah lebih berkesan
melalui peneguhan yang positif.

Sebagai penerangannya, guru perlu berfikir sebelum melontarkan arahan
kepada murid. Misalnya, pelajar yang selalu bising di dalam kelas perlu difikirkan
terlebih dahulu peneguhan yang mendatangkan kesan baik kepada mereka. Secara
tidak langsung, masalah tingkah laku tersebut akan terlerai dengan sendirinya. Dalam
mata pelajaran bahasa Melayu, guru boleh menyuruh muridnya menyiapkan tugasan
membina ayat majmuk dengan senyap selama 15 minit. Kemudian, guru perlu
memberikan penegasan bahawa pelajar yang bising semasa membuat kerja tidak
akan dibenarkan pulang. Sekiranya mereka akur terhadap arahan tersebut, guru perlu
melaksanakan ganjaran sebagaimana yang telah disebutkan kepada murid. Daripada
arahan yang diberikan, murid akan cepat faham dan pada masa yang sama guru
mampu mengurangkan suasana kelas yang bising dan terganggu.

Melalui intervensi ini, guru juga perlu memanfaatkan elemen digital bagi
meningkatkan sikap kolaboratif dalam kalangan murid. Penggunaan digital dalam
proses pengajaran dan pembelajaran seperti komputer juga amat digalakkan supaya
murid pandai berinovasi dengan kepelbagaian elemen digital yang wujud pada masa
kini. Guru perlu berusaha meneroka aplikasi yang mampu menarik minat murid
semasa belajar memandangkan pandemik Covid-19 belum berakhir. Sebagaimana
yang kita tahu, teknik modifikasi tingkah laku ini adalah berkonsepkan peneguhan.
Oleh hal yang demikian, salah satu langkah yang boleh diaplikasikan oleh guru untuk
memberikan peneguhan semasa mengajar adalah menggunakan ClassDojo.
Walaupun ClassDojo tidak menumpukan perhatian sepenuhnya pada pengurusan
kelas, guru perlulah kreatif demi membina suasana kelas yang menyeronokkan.
Malah, masalah tingkah laku murid seperti murid yang pendiam dan mengganggu
rakan juga dapat dikurangkan apabila mereka lebih fokus untuk melaksanakan arahan
yang diberikan guru bagi mendapatkan ganjaran.

5

Peneguhan dalam aplikasi ini adalah merujuk kepada nilai mata Dojo. Sebagai
contoh, jika pelajar itu menyertai kelas yang dijalankan, guru akan memberikan mata
ganjaran kepada mereka. Satu kelebihan bagi aplikasi ini adalah, pelajar tidak dapat
mengetahui skor atau kemajuan bagi pelajar yang lain. Hal ini bagi mengelakkan
berlakunya perbandingan serta persaingan yang buruk antara pelajar. Aplikasi ini
dapat membina suasana kelas yang aktif serta pemerolehan respon yang positif dari
pelajar kerana mereka berasa seronok setiap kali memperoleh reward daripada guru.
Sebagai impaknya, pengurusan kelas akan lebih terurus di samping pembinaan
suasana yang kondusif di dalam bilik darjah. Oleh itu, benarlah bahawa penerapan
elemen digital juga mampu mengatasi masalah tingkah laku dalam kalangan pelajar.
5.0. Kesimpulan
Setelah membuat penelitian terhadap isu tingkah laku yang sering dipersoalkan dalam
kalangan pelajar kini, adakah masalah yang disebutkan dapat diselesaikan atas usaha
pelajar itu sendiri? Saya yakin bahawa mereka tidak mampu mengubah sikap atau
perangai yang negatif dalam kehidupan mereka tanpa bantuan dan bimbingan dari
orang sekeliling. Jadi, tidak dapat dinafikan guru dan ibu bapa merupakan insan yang
paling rapat dengan kanak-kanak yang masih kecil ini. Ketidakmatangan mereka tidak
boleh dipersalahkan kerana semuanya adalah berbalik kepada cara pengawalan
tingkah laku sejak mereka kecil dan semasa mereka di ambang persekolahan.

Jika permasalahan ini dibiarkan berlarutan, proses pengajaran dan
pembelajaran akan terjejas dan mendatangkan kesan yang buruk kepada
pembelajaran murid serta komitmen guru baik dari segi psikologi, emosi mahupun
pencapaian akademik pelajar. Oleh itu, pihak ibu bapa, masyarakat dan guru juga
perlulah sama-sama menggembeleng tenaga dalam mengatasi masalah tingkah laku
di dalam bilik darjah. Jelaslah bahawa kerjaya sebagai seorang guru amat
memerlukan sifat kesabaran yang tinggi serta berkemahiran mencari penyelesaian
alternatif yang berkesan kepada pelajar bermasalah.

(2011 patah perkataan)

6

Rujukan

Adibah Hanim Ab Latif et al. (2017). Modifikasi Masalah Tingkah Laku Mengganggu di
dalam Bilik Darjah Menggunakan Intervensi "The Good Behavior Game". Fakulti
Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Dantini Juring. (2011). Aplikasi Teknik Modifikasi Tingkah Laku dalam Pengurusan Tingkah
Laku Murid Bermasalah Pembelajaran. Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Haliza Hamzah & Joy Nesamalar Samuel. (2016). Siri Pendidikan Guru: Pengurusan Bilik
Darjah dan Tingkah Laku (Edisi Kedua). Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Kamus Dewan Edisi Keempat. (2010). Dewan Bahasa dan Pustaka.
Khalim Zainal. (2008). Memahami Tingkah Laku Remaja Bermasalah dari Perspektif Teori

TIngkah Laku, Humanistik, PSikoanalitik & Tret Personaliti. Jurnal Pengajian Umum
Bil.9, 43-55.
Maharam Mamat et al. (2017). Perbaikan Tingkah Laku Bermasalah Kanak-Kanak Sekolah
Rendah Melalui Terapi Kognitif-Tingkah Laku. Southest Asia Psychology Journal, 5,
1-11.
Mohd Khairuddin Abdullah & Halimah Laji. (2014). Kepemimpinan Pengajaran dan Sikap
Guru Bahasa Melayu. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu - JPBM, Vol. 4, Bil. 1, 48-
58.
Mohd Nazri Abdul Rahman. (2020). Berkesankah norma baru kelas atas talian?
malaysiakini.com: https://www.malaysiakini.com/news/552219
Mook Soon Sang. (2012). Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku. Penerbitan
Multimedia Sdn. Bhd.
Noor Aini Ahmad & Norhafizah Abu Hanifah. (2015). Tahap Pengetahuan Guru Pendidikan
Khas apabila Mengurus Tingkah Laku Pelajar Bermasalah Pembelajaran. Asia
Pacific Journal of Educators and Education, 73-88.
Nurul Bahiran Annual & Mohd Jasmy Abd Rahman. (2018). Tingkah Laku Disruptif dalam
Kalangan Pelajar. Prosiding Seminar Kebangsaan Majlis Dekan Pendidikan
Universiti Awam, 563-569.

7

LAMPIRAN

Dialog temu bual bersama seorang pakar dari Universiti di Thailand melalui aplikasi Google
Meet. Beliau merupakan pensyarah Pengajian Bahasa Melayu Fakulti Kemanusiaan.

Nama pakar: Samiyah binti Baleh

Tempat mengajar: Universiti Yala Rajabhat, Thailand

Pelajar: Assalamualaikum puan, pertama sekali kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih
kerana sudi menerima permintaan kami untuk mengadakan sesi temu bual ini. Jadi, sebentar
nanti kami akan kemukakan beberapa soalan berkaitan masalah tingkah laku pelajar di dalam
bilik darjah. Sebelum itu, bolehkah puan ceritakan kepada kami serba sedikit mengenai latar
belakang dan kerjaya puan sekarang ini.

Pakar/Puan: Waalaikumusalam, saya juga ingin berterima kasih kerana sudi menjemput saya
walaupun terdapat beberapa kekangan tertentu. Pertama sekali, saya Samiyah binti Baleh.
Saya bertugas sebagai seorang pensyarah di Universiti Rajabhat di Yala, Thailand. Saya telah
menyambung pengajian peringkat Master di Universiti Malaya dan bidang saya ialah bahasa
Melayu linguistik. Pengalaman saya ialah pernah mengajar mata pelajaran bahasa Melayu
bagi pelajar sekolah rendah selama 3 minggu dan sekarang saya memang sudah lama
mengajar bahasa Melayu di Fakulti Kemanusiaan Universiti Yala Rahabhat bagi pelajar Tahun
1 (umur 19 tahun).

Pelajar: Terima kasih puan atas perkongsian maklumat tersebut. Saya hendak bertanya,
bagaimanakah cara puan mengajar mereka di sana memandangkan di Thailand, situasi Covid
yang masih belum pulih sepenuhnya. Apakah cara yang puan selalu gunakan untuk
berhubung dengan anak murid?

Pakar/Puan: Betul, saya memang akan mengajar dari rumah sahaja dan pelajar juga masih
tidak dibenarkan untuk belajar secara bersemuka. Saya kebiasaannya akan menggunakan
aplikasi Google Meet untuk bertemu secara maya dengan pelajar. Selain itu, saya juga
menggunakan aplikasi Zoom dan Teams tetapi tidak selalu.

Pelajar: Faham puan. Jadi, selama puan mengajar mereka, bagaimana pemerhatian puan
mengenai tingkah laku mereka? Dan apakah contoh masalah disiplin yang sering dilakukan
oleh murid ketika sesi pengajaran dan pembelajaran berlangsung?

Pakar/Puan: Saya dapat perhatikan masalah disiplin yang ketara adalah segelintir pelajar
tidak menyertai kelas yang diadakan. Akan tetapi, sebagai guru saya dapat faham mungkin
ada beberapa sebab tertentu yang tidak dapat dielakkan seperti masalah capaian Internet
atau masalah gajet. Selain itu, terdapat juga murid yang aktif dan sering membuat bising,

8

berborak dan bergelak ketawa dengan rakan semasa saya mengajar. Saya juga mengenal
pasti beberapa orang murid yang pendiam dan tidak terlalu fokus semasa belajar.
Pelajar: Berdasarkan masalah tingkah laku yang disebutkan oleh puan tadi, apakah tindakan
yang akan diambil oleh puan sekiranya masalah itu berlanjutan? Puan juga boleh terangkan
prosedur atau langkah yang guru sepatutnya ambil tahu untuk mengatasi masalah tersebut.
Pakar/Puan: Dalam situasi saya, apabila murid datang lewat ke kelas atau ponteng kelas,
saya akan menyoal mereka untuk mengetahui alasan kepada perbuatan tersebut.
Masalahnya adalah murid boleh bertindak menipu guru kerana guru tidak dapat melihat
perbuatan sebenar mereka secara zahirnya. Di tempat saya ini, kami juga akan mengunci
pintu bilik darjah supaya mereka tidak dapat masuk sekiranya hadir lewat daripada masa yang
sepatutnya. Akan tetapi, perkara ini tidak boleh dipratikkan secara alam maya dan guru hanya
boleh bertanya kepada ibu-bapa atau guru penyelia mereka. Bagi masalah murid pendiam
pula, langkah yang diambil adalah dengan sering memanggil nama mereka supaya
kewujudan mereka disedari oleh guru kelas. Saya juga akan memberikan teguran yang positif
kepada murid agar mereka lebih berdisiplin dalam kelas. Pada pendapat saya, pelajar yang
terlibat dengan tingkah laku bermasalah ini perlu merujuk kepada pihak bimbingan dan
kaunseling agar tingkah laku mereka lebih terkawal dari hari ke hari. Kadangkala, pihak guru
juga tidak tahu punca berlakunya masalah tingkah laku oleh seseorang pelajar sama ada
disebabkan oleh pengaruh rakan, kekurangan ajaran disiplin dari ibu bapa di rumah, masalah
emosi atau kesihatan dan sebagainya. Saya rasa setakat itu sahaja penjelasan tentang
perkara ini.
Pelajar: Baiklah puan, terima kasih atas penerangan yang cukup jelas. Saya rasa setakat itu
sahaja sesi temu bual pada petang ini. Sekali lagi kami ingin mengucapkan terima kasih yang
tidak terhingga atas kerjasama puan, banyak maklumat yang kami dapat daripada penjelasan
puan berkenaan masalah tingkah laku pelajar. Semoga dapat berjumpa lagi di masa akan
datang.
Pakar/Puan: Baik, sama-sama. Saya doakan kamu semua menjadi seorang guru yang
berjaya pada masa hadapan. Jumpa lagi, Assalamualaikum.

9

Bukti Sesi Google Meet Bersama Pakar
10


Click to View FlipBook Version