Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra
BAHASA MELAYU STANDARD
BURUNG TERBANG
DIPIPISKAN LADA
RUJUK TEKS PROSA TRADISIONAL
TINGKATAN 5
Kumpulan 1
Menurut empunya cerita, tersebutlah cerita Raja Benua Siam. Dari zaman dahulu
kala, negeri Siam itu dikenali orang sebagai Syahrunnuwi, raja di Negeri-negeri sebelah
Timur semuanya bawah jajahan takluknya dan nama rajanya Bubunnya. Setelah
kedengaran ke benua Siam bahawa Melaka sebuah negeri besar yang tidak berada bawah
taklukannya, lalu Paduka Bubunnya pun memerintahkan ke Melaka untuk meminta surat
sembah. Sultan Muzaffar Syah tidak mahu menyembah ke benua Siam. Lalu Raja Benua
Siam terlalu murka dan menyuruh bersiap sedia untuk menyerang Melaka: Awi Cakri nama
panglimanya, membawa rakyat terlalu banyak yang tidak terkira jumlahnya. Kemudian
dipersembahkan orang ke bawah Duli Sultan Muzaffar bahawa Raja Benua Siam
menitahkan hulubalangnya, Awi Cakri membawa rakyat terlalu ramai tidak terkira
jumlahnya berjalan mengikut darat terus ke hulu Pahang.
Setelah Sultan Muzaffar Syah mendengar khabar itu, lalu baginda menitahkan untuk
menghimpunkan semua rakyat teluk rantau berhimpun ke Melaka. Akan Tun Perak
dibawanya orang Kelang ke Melaka dengan anak dan isteri mereka sekali. Lalu orang
Kelang datang sembah kepada Sultan, “Ampun tuanku, semua teluk rantau yang lain
menghadap dengan lelaki sahaja, namun patik sekalian dibawa oleh Tun Perak dengan
perempuan sekali”.
Sesungguhnya Seri Amerta itu asalnya orang Pasai, tanah Samudera namanya,
oleh sebab dia cerdik, lagi petah berkata-kata, lalu dijadikan oleh baginda bentara,
digelar oleh baginda Seri Amerta. Kemudian diperbuat oleh baginda satu bangku tebal,
berhampiran lutut baginda, di sanalah Seri Amerta memikul pedang, dialah yang
menyampaikan semua titah raja.
Kumpulan 2
Pada suatu hari, Tun Perak datang menghadap, duduk di tanah bersama-sama orang
ramai. Kata bentara yang bergelar Seri Amerta kepada Tun Perak, “Tuan Tun Perak, semua
orang Kelang ini menghadap baginda mengadukan hal mereka ke bawah Duli Yang Dipertuan.
Orang teluk rantau yang lain semuanya menghadap termasuk lelaki juga: namun orang
Kelang ini menghadap dibawa Tun Perak dengan membawa perempuan sekali. Mengapakah
demikian tindakan tuan?
Tidak disahut oleh Tun Perak kata itu. Sekali lagi Seri Amerta berkata, itu pun
tidak disahut oleh Tun Perak. Cukup tiga kali Seri Amerta berkata, barulah disahuti
oleh Tun Perak, katanya, “Wahai Seri Amerta, tuan hamba dengan pedang tuan hamba
sebilah itu, hendaklah tuan hamba pelihara dengan baik, jangan diberi berkarat,
jangan kemakanan matanya. Sudah menjadi pekerjaan kami sebegini, mana tuan
hamba tahu? Sekarang Duli Yang Dipertuan di dalam negeri ini ada bersama-sama
anak isteri dan segalanya. Benarkah pada fikiran tuan hamba kami semua datang
dengan lelaki ini begitu jauh dari Selat Kelang? Jikalau berlaku apa-apa kepada kami,
bagaimanakah nasib kami semua? Sebab itulah semua orang Kelang ini hamba suruh
bawa dengan anak isterinya sekali. Nescaya berperang dengan musuh bersungguh-
sungguh hatinya; sekurang-kurangnya ia berlawan demi Duli Yang Dipertuan lebih ia
berlawan demi anak isterinya bersungguh-sungguh.”
Semua kata Tun Perak itu dipersembahkan oleh Seri Amerta kepada ke bawah Duli Yang
Dipertuan. Lalu baginda tersenyum, seraya bertitah, “Benar seperti kata Tun Perak itu.”
Kemudian, diambil baginda sirih daripada puan baginda, dititihkan untuk diberikan
kepada Tun Perak. Titah baginda kepada Tun Perak, “Tun Perak tidak patut tinggal di Kelang
lagi; baiklah Tun Perak menetap di sini.
Kumpulan 3
Orang Siam datang, lalu berperang dengan orang Melaka. Setelah beberapa
lamanya berperang, banyak rakyat Siam yang mati, Melaka tidak kalah. Rakyat
Siam pulang, seraya mereka pulang segala rotan yang digunakan untuk mengikat
barang-barang dicampakkannya di hulu Muar. Rotan itu tumbuh dinamai orang
Rotan Siam, manakala pasungan kayu ara tumbuh juga, berada di hulu Muar
sehingga kini dan tumang Siam tempat bertanak tumbuh juga, sehingga kini.
Setelah rakyat Siam pulang, semua orang teluk rantau kembali ke tempat masing-
masing. Baginda tidak membenarkan Tun Perak pulang ke Kelang lagi; menetap di
Melaka, dijadikan baginda bentara.
Ada seorang orang Kelang mengatakan dirinya teraniaya oleh Tun Perak
sedikit. Lalu dia berdatang sembah ke bawah duli baginda. Baginda bertitah
kepada bentara Seri Amerta, menyuruh memberitahu Tun Perak. Kemudian, Tun
Perak datang menghadap. Seri Amerta berkata kepada Tun Perak, “Orang ini, ya
Tuan Tun Perak, mengadukan halnya ke bawah Duli Yang Dipertuan, mengatakan
dirinya teraniaya oleh Tun Perak. Mengapakah demikian sikap tuan hamba?
Kumpulan 4
Tun Perak berdiam dan tidak disahutinya kata Seri Amerta itu. Setelah tiga
kali Seri Amerta berkata-kata barulah disahuti oleh Tun Perak, katanya, "Tuan
Seri Amerta, kamu didijadikan Yang Dipertuan Bentara, dianugerahi sebilah pedang
itu juga kamu pelihara baik-baik usahakan jangan sampai berkarat. Urusan kami
mentadbir negeri, di mana tuan hamba tahu? Jikalau sebenar tempurung sekalipun
nama negerinya, baik juga kepada kami, kami akan kerjakan, kerana Yang
Dipertuan tahu akan baiknya kepada kami, tidak tahu keburukannya. Akan tetapi
jika Duli Yang Dipertuan hendak mencerca hamba sebab orang itu, pecatlah hamba
dahulu, lalu hinalah hamba dan dia. Jikalau hamba belum dipecat, bagaimana
hamba hendak dihina?"
Oleh sebab itu, Sultan Muzaffar Syah amat berkenan mendengar kata-kata Tun Perak
itu. Pada hati baginda, “Tun Perak ini tidaklah patut dijadikan bentara lagi, bahkan patut
menjadi Perdana Menteri."
Jadi, baginda menggelar Tun Perak sebagai Paduka Raja, dititahkan duduk di
seri balai setara Seri Nara Diraja. Paduka Raja pun naiklah lalu duduk berhampiran
Seri Nara Diraja di seri balai, Seri Nara Diraja berganjak ke tengah. Seri Nara Diraja
pun pindah ke sebelah kanan, jadi Paduka Raja duduk di tempat bendahara.
Sebenarnya, Seri Nara Diraja sudah tua tetapi tidak mempunyai anak lelaki dan
mempunyai anak dengan isterinya, anak bendahara Seri Amar Diraja itu seorang
perempuan, Tun Putih namanya, diperisteri Raja Abdullah; dan mempunyai anak
dengan seorang gundik iaitu anak lelaki, Tun Nina Madi namanya, namun tidak diakui
oleh Seri Nara Diraja kerana takut akan isterinya. Tun Nina Madi pun besar, beranak
bercucu. Setelah itu isteri Seri Nara Diraja pun meninggal dunia.
Kumpulan 5
Pada sekali peristiwa, Seri Nara Diraja duduk di balai, dihadap orang ramai. Tun Nina Madi
lalu dan disuruh naik untuk duduk berdekatannya, lalu diriba oleh Seri Nara Diraja. Seri Nara
Diraja berkata kepada semua orang yang duduk di situ, “Tahukah tuan hamba sekalian bahawa
ini anak hamba?”
Sembah semua orang, “Hamba semua tahu; oleh sebab tuanku tidak mengakuinya, hamba
semua takut mengatakan dia anak tuanku”
Seri Nara Diraja tersenyum. Tun Nina Madi digelar oleh Sultan Muzaffar Syah
sebagai Tun Bijaya Maha Menteri. Setelah Paduka Raja dan Seri Nara Diraja menjadi
pembesar, anak Melayu berpecah separuh berpihak kepada Paduka Raja dan separuh
lagi berpihak kepada Seri Nara Diraja kerana kedua-duanya merupakan keturunan
yang mempunyai kedudukan di istana. Seri Nara Diraja tidak bersepakat dengan
Paduka Raja, malah sentiasa berbalah; beberapa kali kelihatan Paduka Diraja di
kampung Seri Nara Diraja. Sultan Muzaffar Syah mengetahui perkara tersebut dan
baginda terlalu dukacita melihat sikap Paduka Raja dan Seri Nara Diraja. Baginda
berfikir dalam hati, “Jika beginilah keadaannya negeri akan musnah kerana pembesar
tidak bersepakat sesama sendiri.”
Lalu baginda berfikir hendak memuafakatkan Seri Nara Diraja dengan Paduka
Raja. Baginda bertitah untuk memanggil Seri Nara Diraja; lalu dia hadir. Titah Sultan
Muzaffar Syah, “Mahukah Seri Nara Diraja beristeri?”
Sembah Seri Nara Diraja, “Jika ada kurnia Duli Yang Dipertuan, baiklah,
tuanku.”
Kumpulan 6
Titah baginda, "Mahukah Seri Nara Diraja akan Tun Bulan, anak Orang
Kaya Hitam?
Sembahnya, "Mohon patik, tuanku."
Titah baginda, "Mahukah akan Tun Rakna Sandari, saudara Paduka Raja
itu?’
Sembahnya, "Mohon patik, tuanku."
Titah baginda, “Mahukah akan Tun Kanaka, saudara Bendahara Seri Wak
Raja?”
Sembahnya, “Mohon patik, tuanku.”
Beberapa anak orang pembesar ditanyakan oleh Sultan, tiada juga
berkenan kepada Seri Nara Diraja.Titah Sultan, "Mahukah Seri Nara Diraja akan
Tun Kudu, anak Bendahara Seri Raja, saudara Paduka Raja?"
Sembahnya, “Daulat tuanku.”
Sebenarnya, Tun Kudu itu diperisteri Duli Yang Dipertuan, terlalu baik
rupanya, tetapi matanya juling sedikit. Setelah baginda mendengar sembah Seri
Nara Diraja sedemikian, dengan sesaat itu juga ditalak baginda, dihantarkan ke
rumah Paduka Raja, diberikan belanja, disuruh hadir untuk berkahwin dengan
Seri Nara Diraja.
Kata semua anak buah Seri Nara Diraja, “Bagaimana datuk hendak
beristeri muda, datuk sudah tua dan bulu mata dengan bulu kening sudah
bertemu?”
Kata seri Nara Diraja, “Di mana kamu sekalian tahu? Jikalau demikian sia-
sialah azimat yang dibeli oleh bapaku sekati emas di benua keling itu.”
Kumpulan 7
Selepas habis idah, Seri Nara Diraja berkahwin dengan Tun Kudu. Hubungan
Seri Nara Diraja dan Paduka Raja semakin utuh dan umpama saudara rapat dan
bersefahaman. Sembah Seri Nara Diraja kepada Sultan Muzaffar Syah, “Tuanku,
lebih baik Paduka Raja dilantik sebagai bendahara kerana ia sememangnya anak
bendahara.
Titah baginda, “Baiklah”
Paduka Raja pun dilantik sebagai bendahara.
Paduka Raja dikatakan seorang yang bijaksana kerana pada ketika itu tiga
buah negeri yang sama besar jajahannya: pertama, Majapahit; kedua, Pasai; ketiga,
Melaka. Di ketiga-tiga wilayah itu terdapat tokoh yang terkenal dengan
kebijaksanaan; di Majapahit, Patih Aria Gajah Mada; di Pasai, Orang Kaya Kanayan:
dan di Melaka, Bendahara Paduka Raja: dan Seri Nara Diraja yang dilantik menjadi
penghulu bendahari.
Setelah beberapa lamanya, orang Siam datang menyerang Melaka; Awi Dicu
nama panglimanya. Setelah khabarnya sampai di Melaka, khabar tersebut
dipersembahkan kepada Sultan. Baginda menitahkan Bendahara Paduka Raja bersiap
sedia untuk menentang tentera Siam. Seri Bija Diraja dan semua hulubalang
dititahkan oleh baginda untuk mengiringi Bendahara Paduka Raja. Seri Bija Diraja
berketurunan Melayu, Tun Hamzah namanya, berasal daripada Muntah Lembu; digelar
Datuk Bongkok. Apabila berjalan atau duduk, beliau bongkok. Oleh sebab sangat
gagah berani, beliau menjadi ketua hulubalang, berada pada kedudukan tertinggi
dalam kalangan hulubalang. Setelah semua kelengkapan tersedia, Bendahara Paduka
Raja pun pergi menentang Siam bersama-sama Seri Bija Diraja dan semua
hulubalang. Orang Siam telah hampir ke Batu Pahat.
Kumpulan 8
Ada seorang anak Seri Bija Diraja, Tun Umar namanya terlalu berani, kelakuannya
gila-gila bahasa. Disuruh oleh Bendahara Paduka Raja suluh perahu Siam. Tun Umar
pun pergi dengan sebuah perahunya olong-oleng. setelah bertemu dengan perahu
Siam yang banyak itu dilanggarnya sekali, dua tiga buah perahu Siam kalah, lalu ia
terus ke sebelah; ia berbalik, dilanggarnya pula yang lain, dua tiga buah perahu Siam
yang lain juga kalah. Tun Umar pun pulang. Orang Siam terlalu hairan melihat
kelakuan Tun Umar itu. Setelah hari malam, Awi Dicu datang. Bendahara Paduka Raja
menyuruh semua pohon kayu bakau, nyirih dan tumpu api-api ditambati puntung api.
Setelah dipandang oleh Siam api tiada terbilang banyaknya, lalu kata hulubalang
Siam, “Terlalu banyak kelengkapan perahu Melaka ini, tiada terbilang lagi. Jikalau ia
datang apa yang akan berlaku kepada kita? Sedangkan sebuah perahunya tadi pun
tiada terlawan oleh kita.”
Kumpulan 8
Kata Awi Dicu, “Benarlah seperti kata kamu itu; Marilah kita pulang sementara
belum siang.”
Semua orang Siam pun pulang.
Sesungguhnya, perigi di Batu Pahat itu, orang Siamlah yang menggalinya. Diikut
oleh Bendahara Paduka Raja sampai ke Singapura. Bendahara kembali ke Melaka
menghadap Sultan Muzaffar Syah. Semua perihal ehwal itu dipersembahkan oleh
bendahara ke Bawah Duli Sultan. Baginda terlalu sukacita; baginda
menganugerahkan sepersalinan kepada Bendahara Paduka Raja daripada pakaian
yang mulia-mulia, dengan semua hulubalang yang pergi bersama-sama itu
semuanya dianugerahi baginda sepersalinan masing-masing pada kadarnya.
Kumpulan 9
Semua orang Siam yang pulang telah sampai ke benua Siam, lalu Awi Dicu
masuk menghadap Paduka Bubunnya. Paduka Bubunnya terlalu murka; baginda
sendiri hendak pergi menyerang Melaka. Ada seorang anak Paduka Bubunnya, Cau
Pandan namanya. Cau Pandan menawarkan dirinya Ke Bawah Duli Paduka Bubunnya
untuk menyerang Melaka, sembahnya “Duli Pra Cau, sediakanlah kelengkapan untuk
patik, patiklah yang akan menyerang Melaka.”
Paduka Bubunnya terlalu gembira mendengar kata-kata Cau Pandan. Baginda
menyuruh berlengkap kepada Pra Kelong delapan ratus sum, perahu-perahu kecil
yang sangat banyak jumlahnya, dan menantikan musim sahaja untuk pergi
menyerang.
Berita tersebut sampai ke Melaka, Cau Pandan, anak Bubunnya, akan
dititahkan untuk menyerang Melaka. Ada seorang hamba Allah yang menetap di
Melaka, berbangsa Arab, orang memanggilnya Sidi Arab. Tuan itu sentiasa bermain
panah lasykar, seperti dewal orang berzikir. Ke mana-mana sahaja tuan itu pergi,
panah itu mesti dibawanya. Ketika itu, Tuan Sidi Arab sedang menghadap Sultan
Muzaffar Shah. Selepas tuan itu mendengar khabar Cau Pandan akan datang ke
Melaka, lalu tuan itu pun berdiri di hadapan baginda. Dia menghalakan panahnya ke
benua Siam. Lalu, Tuan Sidi Arab berkata sambil menarik panahnya itu, “Mati
engkau, Cau Pandan.”
Sultan Muzaffar Shah tersenyum; titah baginda kepada Tuan Sidi Arab,
“Jikalau Cau Pandan betul-betul mati, sungguhlah tuan keramat.”
Kumpulan 10
Walaupun Cau Pandan masih di benua Siam, kemudian berasa dadanya seperti terkena
panah, Cau Pandan sakit memuntahkan darah kemudian mati. Siam tidak jadi menyerang
Melaka kerana Cau Pandan mati. Oleh sebab itu dibuat orang lagu:
Cau Pandan anak Bubunya,
Hendak menyerang ke Melaka;
Ada cincin berisi bunga,
Bunga berladung si air mata.
Selepas itu, kedengaran di Melaka bahawa Cau Pandan sudah mati, sakitnya
muntahkan darah, dadanya seperti kena panah. Setelah Sultan Muzaffar Shah mendengar
khabar itu, titah baginda, “Benarlah Tuan Sidi Arab ini hamba Allah yang keramat.”
Beberapa pujian baginda terhadap Tuan Sidi Arab itu dan dianugerahi baginda
dengan setimpalnya.
Kumpulan 11
Setelah empat puluh dua tahun lamanya Sultan Muzaffar Syah memerintah
kerajaan, baginda pun mangkat. Anakanda baginda yang bernama Raja Abdullah
menggantikan pemerintahan ayahanda baginda, gelaran baginda memerintah
kerajaan, Sultan Mansur Syah, umur baginda apabila menaiki takhta itu ialah dua
puluh tahun. Baginda beristerikan anak Seri Nara Diraja yang bernama Tun Patih
Nur Pualam dan mempunyai anak dengan gundik baginda seorang perempuan
bernama Puteri Bakal. Sultan Mansur Syah itu terlalu baik parasnya, serta dengan
adilnya lagi pemurah dan tiada seorang pun raja di dalam alam ini sepertinya pada
zaman itu.
TERIMA KASIH