The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by fanaradzi0712, 2024-06-12 12:39:13

BUKU PROGRAM

BUKU PROGRAM

menyatakan kritikan, penolakan, atau pujian dalam bentuk teks tindak balas lisan dan bertulis dengan mengambil kira struktur dan bahasa. Rumusan Adapun rumusan masalah dari kajian ini yaitu a. apakah bentuk strategi kesopanan bahasa dalam filem Serdadu Kumbang oleh Ari Sihasale? b. Apakah ciri-ciri strategi kesopanan bahasa lisan dan bukan lisan secara umum dalam filem Serdadu Kumbang oleh Ari Sihasale? c. Apakah implikasi strategi kesopanan bahasa yang terkandung dalam filem Serdadu Kumbang oleh Ari Sihasale dalam pembelajaran Bahasa Indonesia? Keywords Strategi kesopanan, ciri bahasa lisan, ciri bahasa bukan lisan, implikasi, tema budaya, filem Serdadu Kumbang


KESANTUNAN BERBAHASA DALAM LARAS BAHASA DI TIKTOK Language Politeness In Language Register On Social Media Nurul Qarmila Badarudin Husna Faredza Mohamed Redzwan [email protected] [email protected] Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris, 35900, Tg. Malim, Perak. Abstrak Tujuan Kajian ini adalah untuk mengenal pasti elemen kesantunan berbahasa berdasarkan laras bahasa media sosial serta membandingkan kesantunan berbahasa dalam laras bahasa menggunakan teori Brown & Levinson. Metodologi Pendekatan kualitatif iaitu analisis kandungan teks daripada video pendek TikTok digunakan sebagai instrumen kajian. Kajian ini mengaplikasikan teori Brown dan Levinson (1987) sebagai landasan untuk membincangkan dapatan ini. Dapatan Berdasarkan kajian yang dijalankan berkaitan laras bahasa yang digunakan di media sosial mempengaruhi kesantunan berbahasa penutur semasa berkomunikasi. Selain itu, kajian ini juga menunjukkan bahawa terdapat persamaan dan perbezaan kesantunan berbahasa laras bahasa agama dan laras bahasa iklan di media sosial. Implikasi Implikasi melalui kajian ini dapat meningkatkan pengetahuan kesantunan berbahasa dalam kalangan masyarakat. Selain itu, kajian ini juga dapat dijadikan rujukan dan panduan kepada murid berkaitan kesantunan berbahasa di Media sosial TikTok. Rumusan Kesimpulannya, kajian ini menjelaskan bahawa berlaku penggunaan bahasa santun dan tidak santun dalam laras bahasa di Media sosial. Oleh itu, semua masyarakat perlulah mengaplikasikan amalan pertuturan yang baik semasa berkomunikasi agar dapat melahirkan masyarakat sopan dan sahsiah terpuji. Keywords Kesantunan berbahasa, laras bahasa, TikTok, Media sosial, Pelajar


PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BAHASA MELAYU DALAM KALANGAN MURID ORANG ASLI: CABARAN DAN PENDEKATAN TERBAIK Teaching and Learning Malay Language Among Indigenous Students: Challenge and Best Approach Nurul Aidah Masri Noorzalina Noor aidah.girl189@gmail,com [email protected] Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris, 35900, Tg. Malim, Perak. Abstrak Tujuan Kajian ini dijalankan bertujuan untuk mengenal pasti cabaran dalam pengajaran bahasa Melayu untuk murid Orang Asli dan pendekatan terbaik untuk mengatasinya daripada perspektif guru. Selain itu, kajian ini juga dijalankan bagi mengenal pasti cabaran dalam pembelajaran bahasa Melayu dan pendekatan terbaik untuk mengatasinya daripada perspektif murid Orang Asli. Metodologi Kajian ini menggabungkan pendekatan kualitatif dan kuantitatif dengan menggunakan kaedah temu bual dan soal selidik. Instrumen kajian terdiri daripada temu bual dijalankan untuk mengetahui cabaran yang dihadapi oleh guru dalam pengajaran bahasa Melayu dan pendekatan terbaik mengatasinya. Manakala, soal selidik pula digunakan bagi melihat cabaran yang dihadapi oleh murid Orang Asli dalam pembelajaran bahasa Melayu dan pendekatan terbaik mengatasinya. Dapatan Dapatan kajian temu bual bersama guru mendapati bahawa terdapat empat tema utama yang dapat dibentuk mengenai cabaran pengajaran bahasa Melayu kepada murid Orang Asli iaitu i) sikap malu murid ii) tahap pengetahuan murid iii) persekitaran dan budaya murid iv) aksesibiliti murid untuk ke sekolah. Dapatan ini disokong oleh soal selidik yang telah diedarkan untuk murid Orang Asli, cabaran utama yang dihadapi oleh murid ialah sikap dan aksesibiliti murid untuk ke sekolah. Implikasi Kajian ini memberi implikasi kepada para pendidik murid Orang Asli untuk dijadikan sebagai panduan dalam merancang dan melaksanakan pengajaran bahasa Melayu yang lebih berkesan. Rumusan Kesimpulannya, kajian ini diharapkan dapat membantu pihak berkaitan seperti pihak sekolah dan Kementerian Pendidikan Malaysia dalam memahami cabaran yang dihadapi oleh guru dan murid Orang Asli dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu. Keywords Pengajaran dan Pembelajaran, Bahasa Melayu, Murid Orang Asli, Cabaran, Pendekatan


ANALISIS PERKATAAN DIALEK TERENGGANU BERPANDUKAN ASPEK ANALISIS KOMPONEN MAKNA DAN TEORI RELEVANS Analysis of terenged dialect words guided by aspects of meaning component analysis and relevance theory Nurul Syahida Zolkepeli Ariff Mohamad [email protected] [email protected] Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris, 35900, Tg. Malim, Perak. Abstrak Tujuan Kajian yang dijalankan ini bertujuan untuk mengenal pasti makna perkataan dalam dialek Terengganu menerusi analisis komponen makna yang terdapat dalam ilmu semantik. Selain itu, kajian ini bertujuan untuk mendedahkan makna setiap perkataan dialek Terengganu yang dikaji dalam bahasa Melayu Standard. Di samping itu, kajian ini bertujuan untuk menganalisis ayat dalam dialek Terengganu berpandukan Teori Relevans. Metodologi Kaedah kualitatif telah dipilih untuk menjadikan medium dalam mendapatkan data kajian. Sampel kajian yang terlibat dalam kajian ini terdiri daripada lapan perkataan yang popular yang diambil melalui laman sosial Facebook berserta dengan tiga ayat dalam dialek Terengganu. Kemudian, data tersebut dianalisis dengan menggunakan Teori Relevans (TR) oleh Sperber dan Wilson (1986). Dapatan Dapatan kajian menunjukkan bahawa dalam dialek Terengganu terdapat banyak perkataan yang berkongsi cebisan semantik yang sama. Setiap perkataan dalam dialek Terengganu dapat difahami oleh pengkaji melalui analisis komponen makna dan analisis Teori Relevans yang digunakan. Implikasi Implikasinya, kajian ini sedikit sebanyak dapat mendedahkan kepada masyarakat luar tentang makna perkataan dalam dialek Terengganu. Rumusan Kajian ini secara keseluruhannya telah memberikan ilmu yang baru berdasarkan gabungan kajian dialek Terengganu menggunakan analisis komponen makna dan Teori Relevans. Keywords Dialek Terengganu, analisis komponen makna, Teori Relevans, semantik


KESAN MOTIVASI TERHADAP PENCAPAIAN PRESTASI KERJA GURU PELATIH BAHASA MELAYU DI UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS The Effect of Motivation on the Work Performance of Malay Language Trainee Teachers at Universiti Pendidikan Sultan Idris Elvienie Petrus Muhamad Fadzllah Zaini [email protected] [email protected] Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris, 35900, Tg. Malim, Perak. Abstrak Tujuan Tujuan kajian ini adalah untuk mengenalpasti apakah faktor yang mempengaruhi motivasi guru pelatih Bahasa Melayu di Universiti Pendidikan Sultan Idris dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang bakal pendidik. Metodologi Kaedah kuantitatif menggunakan pendekatan kajian tinjauan dengan menggunakan borang soal selidik sebagai instrumen dalam kajian. Data yang diperoleh dianalisis menggunakan Statistical Package for Social Studies (SPSS). Untuk melihat statistik diskriptif serta hubungan antara motivasi penentuan kendiri, motivasi bukan penentuan kendiri, faktor yang mempengaruhi motivasi guru dan juga prestasi kerja guru. Akhir sekali, dengan menggunakan Cronbach Alpha, pengkaji akan menganalisis kesahan dan kebolehpercayaan data untuk melihat nilai AVE bagi kesemua pembolehubah bagi menjawab persoalan-persoalan kajian dan menentukan sama ada hipotesis yang dibuat oleh pengkaji boleh diterima ataupun tidak. Dapatan Kajian mendapati bahawa prestasi kerja guru pelatih Bahasa Melayu di UPSI banyak dipengaruhi oleh faktor motivasi Intrinsik berbanding ekstrinsik. Namun begitu motivasi ekstrinsik tetap memainkan peranan yang penting bagi meningkatkan semangat guru pelatih untuk bekerja. Teori motivasi keazaman diri oleh Ryan dan Deci yang digunakan dalam kajain ini membuktikan bahawa terdapat dua jenis guru pelatih iaitu, yang pertama memiliki presatasi kerja yang baik kerana memiliki minat yang mendalam terhadap bidang keguruan dan yang kedua kerana dipengaruhi oleh faktor-faktor lain seperti ganjaran. Implikasi Melalui kajian ini, pihak yang terlibat diharap dapat melihat gambaran sebenar situasi pendidikan dan dapat memperbaiki kelemahan yang ada serta menambah baik sistem sedia ada. Dengan cara ini, motivasi guru pelatih akan dapat dipertingkatkan sehingga mencapai prestasi yang cemerlang, seterusnya membentuk pendidikan yang berkualiti, insan terdidik dan negara sejahtera sepertimana yang telah digagaskan dalam misi dan visi KPM. Rumusan Akhir sekali, kajian ini diharapkan dapat membuka minda pembaca mengenai kepentingan motivasi intristik dan ekstrinsik bagi seorang guru pelatih untuk mencapai prestasi kerja yang cemerlang sebagai pendidik. Keywords Motivasi Intrinsik, Motivasi Ekstrinsik, motivasi penentuan kendiri, motivasi bukan penentuan kendiri, teori keazaman diri


POLEMIK NOVEL PANTAI KASIH YANG DISALAHERTIKAN: ANALISIS IMPLIKATUR PERBUALAN DAN PENGUCAPAN The Misunderstood Novel Polemics of the Beach of Love: An Analysis of Conversational and Utterance Implicatures Ahmad Izzuddin Rosli Al Hairi Md Zahril Nizam Md Yusoff [email protected] [email protected] Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris, 35900, Tg. Malim, Perak. Abstrak Tujuan Kajian ini bertujuan merungkai sebarang persoalan berkaitan kontroversi dalam kalangan masyarakat, pihak sekolah dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkaitan novel Pantai Kasih. Di samping itu, kajian ini dilaksanakan bagi memastikan sama ada berlaku atau tidak berlaku ketaksaan makna dan implikatur perbualan dalam novel tersebut. Metodologi Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif bagi tujuan pengumpulan dan penganalisisan data. Sumber data diperoleh daripada Teks Komponen Sastera (KOMSAS) bagi subjek Bahasa Melayu Tingkatan 4, iaitu novel Pantai Kasih. Data kajian ini dihuraikan secara deksriptif berpacukan kerangka teoretis Leech dan Short (1981) serta Prinsip Kerjasama Grice (1975). Dapatan Hasil kajian mendapati bahawa ketaksaan makna ini disebabkan oleh pelanggaran maksim kualiti, kuantiti, hubungan dan cara yang terkait dengan gaya pengucapan penulis. Implikasi Kajian ini telah membuktikan kekeliruan pembaca terhadap novel ini berkait dengan interpretasi unsur ketaksaan makna yang berlaku dalam penulisan penulis. Rumusan Kesimpulannya, kajian ini dapat mengungkapkan jawapan berkenaan polemik yang berlaku dalam kalangan masyarakat dan warga sekolah berkaitan isu novel Pantai Kasih yang diteliti dari aspek linguistik bahasa Melayu. Keywords Novel, komsas, ketaksaan, prinsip kerjasama, pengucapan fikiran


ASPEK SENI BAHASA DALAM LIRIK LAGU POPULAR YANG BERUNSURKAN KETUHANAN Aspects of Language Arts in the Lyrics of Popular Songs with Divine Elements Anis Syahirah Awang Ariff Mohamad [email protected] [email protected] Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris, 35900, Tg. Malim, Perak. Abstrak Tujuan Kajian yang dijalankan ini bertujuan untuk mengenal pasti lirik yang berunsurkan ketuhanan dalam lagu popular. Selain itu, kajian ini bertujuan untuk menghuraikan makna tersirat berdasarkan lirik lagu popular yang berunsurkan ketuhanan. Di samping itu, kajian ini bertujuan untuk membincangkan aspek seni bahasa yang terdapat dalam lirik lagu popular berunsurkan ketuhanan berdasarkan Teori Takmilah. Metodologi Pelaksanaan kajian ini berpandukan Teori Takmilah dengan menggunakan kaedah kualitatif melalui kaedah menganalisis dokumen dan kepustakaan. Dapatan Dapatan kajian menunjukkan bahawa lagu popular banyak mempunyai unsur ketuhanan dan seni bahasa yang terdapat dalam sukatan pelajaran Bahasa Melayu, namun hanya 10 buah lagu popular sahaja yang dianalisis berunsurkan ketuhanan berdasarkan Teori Takmilah. Implikasi Implikasinya, kajian ini adalah untuk mendedahkan kepada orang ramai bahawa bukan sahaja lagu nasyid mempunyai unsur ketuhanan tetapi lagu popular juga mempunyai peranan dalam menyampaikan dakwah atau nasihat. Rumusan Kesimpulannya, kajian ini sesuai dijadikan panduan dan rujukan kepada pelajar bahawa seni bahasa dan unsur ketuhanan juga wujud dalam lagu popular yang sering didengar pada masa ini. Keywords Teori Takmilah, unsur ketuhanan, lagu popular


ANALISIS TAHAP KEBOLEHGUNAAN KIT MEDIA ELEKTRONIK ‘PANDU SAYA’ DALAM CERPEN BANJIR DI MATA EMAK BAGI PELAJAR TINGKATAN 2 DI SEKOLAH MENENGAH Analysis of the Level of Usability of the Electronic Media Kit “Pandu Saya' in the Short Story “Banjir Di Mata Emak” for Level 2 Students in Secondary School Siti Nur Aisah Najihah Rani Dahlia Janan [email protected] [email protected] Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris, 35900, Tg. Malim, Perak. Abstrak Tujuan Kajian ini dilaksanakan bertujuan mengenal pasti jenis-jenis BBM yang digunakan oleh guru Bahasa Melayu di sekolah menengah; mengenal pasti cabaran dan kekangan yang sering dihadapi oleh guru dalam menggunakan BBM semasa proses PdP; membangunkan Kit Media Elektronik “Pandu Saya” sebagai BBM dalam Cerpen Banjir di Mata Emak bagi Pelajar Tingkatan 2 di Sekolah Menengah; dan menguji kebolehgunaan Kit Media “Pandu Saya” sebagai Bahan Bantu Mengajar dalam Cerpen Banjir di Mata Emak dalam kalangan guru Bahasa Melayu di sekolah menengah. Metodologi Pelaksanaan kajian ini berpandukan Model Pembelajaran VAK yang dijalankan dengan menggunakan reka bentuk kualitatif melalui kaedah temu bual separa berstruktur. Soalan temu bual merupakan instrumen untuk mengumpulkan data. Kesahan dan kebolehpercayaan soalan temu bual diperoleh daripada dua orang pakar bidang dari Pensyarah Fakulti Bahasa dan Komunikasi khususnya dalam bidang pedagogi Bahasa Melayu. Seramai 5 orang guru Bahasa Melayu yang mengajar tingkatan 2 di daerah Kuala Terengganu, Terengganu terlibat sebagai sampel kajian. Justeru itu, data kualitatif ini akan dianalisis melalui analisis tematik untuk mengenal pasti tema, konsep dan makna setiap sesi temu bual serta dihuraikan secara deskriptif berdasarkan teori. Dapatan Dapatan kajian menunjukkan bahawa kit media elektronik ini 1) menarik 2) mudah difahami 3) menyeronokkan 4) sangat berguna untuk semua tahap pelajar. Implikasi Dapatan ini menunjukkan implikasi yang positif terhadap pembelajaran aspek seni bahasa khususnya terhadap guru dan pelajar tingkatan 2 di sekolah menengah. Rumusan Konklusinya, diharapkan Kementerian Pendidikan Malaysia terus berusaha untuk memberi bimbingan, sokongan dan dorongan kepada para guru untuk membuat kajian dan membangunkan lebih banyak BBM berbentuk elektronik agar pendidikan berasaskan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) di Malaysia dapat diperkembangkan dari masa ke semasa. Keywords Model pembelajaran VAK, Kit media elektronik, bahan bantu mengajar, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK), sekolah menengah


ANALISIS TAUTAN KOLOKASI DALAM NOVEL KOMSAS JALAN KE PUNCAK BERDASARKAN MODEL TEORI TAUTAN PINDAAN Analysis of Collocation Links in KOMSAS Novel Jalan ke Puncak Based on Theory of Model Tautan Pindaa Aida Ruzana Mohd Rosli Norfaizah Abdul Jobar [email protected] [email protected] Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris, 35900, Tg. Malim, Perak. Abstrak Tujuan Kajian ini dilaksanakan bertujuan mengenal pasti kekerapan dan menghuraikan penggunaan tautan kolokasi dalam novel KOMSAS Jalan ke Puncak berdasarkan teori Model Tautan Pindaan. Metodologi Kaedah kajian yang digunakan ialah kaedah kualitatif. Instrumen yang digunapakai ialah analisis dokumen dan novel KOMSAS Jalan ke Puncak dijadikan sebagai sampel kajian. Dapatan Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa kekerapan tautan kolokasi antoniman dalam novel adalah lebih tinggi dengan jumlah sebanyak 13 berbanding tautan kolokasi sifat, iaitu sebanyak 5. Seterusnya, pengkaji mendapati kekerapan aspek tautan kolokasi dalam plot klimaks adalah yang paling tinggi di mana tautan kolokasi antoniman adalah sebanyak 6 bersamaan 46.6 peratus dan plot perkembangan mempunyai kekerapan yang paling rendah iaitu 0. Bagi kekerapan tautan kolokasi kohiponim pula, plot peleraian mencatatkan kekerapan sebanyak 6 bersamaan 50 peratus dan plot perkembangan mempunyai kekerapan yang paling rendah iaitu 0. Selain itu, aspek tautan kolokasi hasil adalah paling tinggi, iaitu 5 bersamaan 55.5 peratus pada plot peleraian dan plot perkembangan serta plot klimaks mencatatkan 0 bagi kekerapan tautan kolokasi hasil. Aspek tautan kolokasi sifat pula mencatatkan kekerapan pada plot peleraian sebanyak 3 bersamaan 60 peratus dan plot perkembangan serta plot klimaks masing-masing berjumlah 0. Implikasi Implikasi yang diperoleh berdasarkan kajian ini ialah dapat menambah kelompongan ilmu analisis wacana dari aspek tautan kolokasi. Selain itu, menambah pengetahuan kepada epngkaji lain mengenai aspek tautan kolokasi berdasarkan teori Model Tautan PIndaan. Rumusan Kajian ini sesuai dijadikan rujukan kerana dapat menjelaskan berapakah kekerapan tautan kolokasi dan menghuraikan penggunaan tautan kolokasi dalam novel KOMSAS Jalan ke Puncak berdasarkan teori Model Tautan Pindaan. Keywords Novel KOMSAS, tautan kolokasi, kekerapan, teori Model Tautan Pindaan (MTP)


PENERAPAN NILAI-NILAI MURNI DAN PENGAJARAN DALAM NOVEL JENDELA MENGHADAP JALAN Application of Moral Values And Lessons in the Novel Jendela Menghadap Jalan Noor Afiqah Ishak Makmur Harun [email protected] [email protected] Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris, 35900, Tg. Malim, Perak. Abstrak Tujuan Kajian ini dilakukan bagi mengenal pasti nilai-nilai murni dan pengajaran yang terdapat dalam novel Jendela Menghadap Jalan dan menghuraikan makna nilai murni berdasarkan Teori Relavans. Metodologi Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif dengan menganalisis kandungan teks novel Jendela Menghadap Jalan karya Ruhaini matdarin. Dapatan Dapatan kajian menunjukkan bahawa nilai murni yang digariskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) disentuh dalam kajian ini. Didapati bahawa makna nilai murni disampaikan dengan jelas dan relavans dalam teks novel ini. Aplikasi Teori Relavans dalam analisis makna berjaya membuktikan kerelevanan nilai murni dalam teks dengan melihat aspek kod, inferens dan andaian. Implikasi Para guru dan murid dapat menjadikannya sebagai panduan untuk meningkatkan kefahaman murid berkaitan mesej yang disampaikan melalui pengajaran dan pembelajaran komsas. Rumusan Kesimpulanya, nilai-nilai murni dan pengajaran ini merupakan salah satu cara untuk mengukuhkan peribadi dan sahsiah murid untuk bersikap sopan dan mempunyai perilaku yang baik. Keywords Nilai murni, pengajaran, teori relavans, makna


TAHAP PENGUASAAN GURU BAHASA MELAYU TERHADAP PELAKSANAAN AKTIVITI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN ABAD KE-21 DI SEKOLAH MENENGAH Malay Language Teachers Level of Proficiency Regarding the Implementation of 21st Century Teaching and Learning Activities in School Nurfarhana Mohd Radzi Makmur Harun [email protected] [email protected] Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris, 35900, Tg. Malim, Perak. Abstrak Tujuan Kajian ini dilaksanakan untuk melihat tahap penguasaan guru bahasa Melayu terhadap pelaksanaan aktiviti pengajaran dan pembelajaran abad ke-21 di sekolah dari segi sebelum dan semasa melaksanakan pengajaran. Selain itu, kajian ini juga dilaksanakan untuk mengenalisis hubungan antara cara guru mengendalikan PAK-21 sebelum dan semasa melaksanakan pengajaran. Metodologi Metodologi kajian ini menggunakan kaedah kuantitatif deskriptif yang berbentuk tinjauan. Pengkaji menggunakan aplikasi Google Form dan seramai 60 orang responden yang terdiri daripada guru bahasa Melayu terlibat dalam pelaksanaan kajian ini. Dapatan Hasil kajian mendapati terdapat hubungan yang signifikan antara persediaan guru mengendalikan PAK-21 sebelum dan semasa melaksanakan pengajaran. Hasil kajian menunjukkan bahawa kebanyakan guru di Malaysia melaksanakan PAK-21 dengan baik semasa melangsungkan pengajaran di dalam bilik darjah. Implikasi Implikasi kajian ini ialah kajian berkaitan PAK-21 dapat menjadi sumber rujukan kepada pengkaji lain dan guruguru bahasa Melayu dalam usaha untuk menjadikan pembelajaran yang lebih efektif. Rumusan Kesimpulannya, pelaksanaan PAK-21 ini juga dilihat dapat membantu murid-murid untuk memahami sesuatu konteks pengajaran dengan lebih mudah. Hal ini kerana proses aktiviti ini dapat memastikan Falsafah Pendidikan Negara dapat direalisasikan dalam sistem pendidikan negara hari ini. Keywords PAK-21, guru bahasa Melayu, penguasaan


PELAKSANAAN AKTIVITI PENGAJARAN SENI BAHASA DALAM KALANGAN GURU PELATIH BAHASA MELAYU SEMASA LATIHAN MENGAJAR DALAM PEMBENTUKAN GURU KREATIF Implementation of Language Arts Teaching Activities Among Malay Language Training Teachers During Teaching Training in Creative Teacher Training Muhammad Ikhmal Mohamad Sabri Mohd Ra’in Shaari [email protected] [email protected] Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris, 35900, Tg. Malim, Perak. Abstrak Tujuan Kajian ini dijalankan bertujuan untuk mengenal pasti persepsi guru pelatih terhadap pelaksanaan aktiviti seni bahasa dalam pengajaran bahasa Melayu, menganalisis pelaksanaan aktiviti seni bahasa dalam pengajaran bahasa Melayu dan menganalisis cabaran yang dihadapi oleh guru pelatih dalam melaksanakan aktiviti seni bahasa bagi pengajaran bahasa Melayu. Metodologi Pendekatan kajian yang digunakan adalah kaedah kuantitatif dengan menggunakan borang soal selidik. Peserta kajian terdiri daripada 50 responden yang merupakan guru pelatih bahasa Melayu dalam Kohort Zainal Abidin yang telah menjalankan latihan mengajar 1. Dapatan Hasil dan data kajian menunjukkan bahawa guru pelatih bahasa Melayu kreatif dan inovatif apabila merancang aktiviti yang melibatkan aspek seni bahasa. Terdapat juga kekangan dan cabaran yang dihadapi oleh guru pelatih bahasa Melayu untuk merancang aktiviti tersebut. Implikasi Implikasi bagi kajian ini adalah guru pelatih bahasa Melayu yang kreatif mampu merancang dan melaksanakan pengajaran yang melibatkan seni bahasa di bilik darjah dengan baik. Guru pelatih juga dapat mengetahui cabaran-cabaran yang dihadapi untuk melaksanakan pengajaran yang melibatkan aspek seni bahasa seterusnya boleh membuat penambahbaikan terhadap kemahiran seni bahasa pada masa yang akan datang. Rumusan Guru pelatih bahasa Melayu dapat mengetahui bahawa aktiviti melibatkan aspek seni bahasa penting kepada murid. Oleh itu, guru pelatih perlu lebih kreatif dan inovatif dalam merancang aktiviti yang melibatkan seni bahasa supaya guru dapat merangsang dan mencungkil bakat murid. Keywords Pelaksanaan aktiviti; seni bahasa; guru pelatih bahasa Melayu


ANALISIS TEKS BACAAN SOALAN PEPERIKSAAN BAHASA MELAYU PELAJAR SEKOLAH MENENGAH Analysis of the Reading Text of Malay Language Examination Questions for Secondary School Students Nur Ain Hikmah Fauzi Dahlia Janan [email protected] [email protected] Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris, 35900, Tg. Malim, Perak. Abstrak Tujuan Kajian ini bertujuan mengenal pasti kesesuaian pemilihan teks bacaan yang digunakan dalam peperiksaan seterusnya mengenal pasti jenis teks yang digunakan. Pengetahuan tahap guru dalam membina soalan juga dapat diketahui melalui kajian ini. Metodologi Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif bagi mengumpul data iaitu temu bual dan menganalisis data. Dapatan Hasil dapatan kajian mendapati bahawa kebanyakan teks yang digunakan dalam soalan peperiksaan bahasa Melayu bagi tingkatan 1 hingga tingkatan 5 ialah menggunakan teks jenis prosa bukan naratif. Selain itu, guru juga berpendapat bahawa teks bacaan yang digunakan dalam kertas soalan peperiksaan sekarang ialah mencapai tahap murid. Implikasi Pemilihan teks bacaan yang sesuai dengan tahap murid sangatlah penting kerana akan memberi kesan kepada murid. Rumusan Kesimpulannya, kajian ini dapat mengetahui tahap kesesuaian teks yang digunakan oleh murid. Keywords Kesesuaian teks , pemilihan , construct questions


PENGGUNAAN PETA PEMIKIRAN I-THINK DALAM KALANGAN GURU PELATIH BAHASA MELAYU UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS Use of i-Think Thought Map among Malay Language Trainee Teachers of Universiti Pendidikan Sultan Idris Nur Aina Anina Abidin Nur Faaizah Md Adam [email protected] [email protected] Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris, 35900, Tg. Malim, Perak. Abstrak Tujuan Kajian ini dijalankan adalah bertujuan untuk mengenal pasti jenis peta pemikiran i-Think yang digunakan serta menghuraikan faktor yang mempengaruhi penggunaan peta pemikiran i-Think dalam kalangan guru pelatih Bahasa Melayu di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Metodologi Kaedah penganalisisan data dianalisis secara kuantitatif melibatkan seramai 54 orang guru pelatih bahasa Melayu daripada kohort Zainal Abidin Ahmad (Za’ba) yang sudah menjalani Latihan Mengajar 1. Data dianalisis secara deskriptif menggunakan perisian Statistical Package for Social Sciences (SPSS). Dapatan Dapatan kajian menunjukkan jenis peta pemikiran i-Think yang kerap digunakan dalam kalangan guru pelatih Bahasa Melayu ialah peta buih. Peta i-Think yang paling kurang digunakan oleh guru pelatih bahasa Melayu peta titi. Dapatan kajian juga menunjukkan peta i-Think dapat membantu murid mencatat nota dengan mudah dan seterusnya melahirkan individu yang kreatif dan inovatif. Implikasi Penggunaan peta pemikiran i-Think sememangnya dapat menstruktur pemikiran secara sistematik dan seterusnya dapat mempelbagaikan kaedah pengajaran guru untuk melahirkan generasi yang berfikiran kreatif dan kritis. Rumusan Kajian ini diharapkan dapat membantu guru dan bakal guru dalam menjana idea bagi membina dan meningkatkan penggunaan peta pemikiran i-Think semasa proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Keywords Peta pemikiran, i-Think, Statistical Package for Social Science, Bahasa Melayu


RAGAM BAHASA PELAJAR UPSI DALAM MEDIA MASSA”FACEBOOK” (UPSI CONFESSION) MENGIKUT KONSEP RAGAM BAHASA ZA’BA 1965 Language Varieties Of Upsi Students In Mass Media "Facebook" (UPSI Confession) According To Za'ba Language Variety Theory 1965 Aqydah Dahlan Jamridil Sabariah Sulaiman [email protected] [email protected] Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris, 35900, Tg. Malim, Perak. Abstrak Tujuan Projek tahun akhir ini bertujuan untuk menganalisis ragam bahasa yang digunakan oleh pelajar UPSI dalam media massa, khususnya dalam platform UPSI Confessions, berdasarkan teori 15 ragam bahasa Za'ba dari buku "Ilmu Mengarang Melayu". Metodologi Kajian ini menggunakan metodologi kualitatif di mana data dikumpulkan melalui pemerhatian dan analisis teksteks yang diposting oleh pelajar. Dapatan Dapatan kajian menunjukkan bahawa ragam bahasa yang paling dominan digunakan ialah bahasa seruan atau mengeluh, mencerminkan perasaan resah dan kegelisahan pelajar dalam menyuarakan isu-isu yang dihadapi. Sebaliknya, ragam bahasa yang paling sedikit digunakan ialah bahasa bukan, menunjukkan kurangnya penggunaan bahasa yang menafikan atau membantah sesuatu secara langsung. Implikasi Implikasi kajian ini menunjukkan bahawa pelajar cenderung untuk meluahkan perasaan dan pendapat mereka dalam bentuk seruan, mengeluh atau mengadu, yang mencerminkan tahap tekanan dan kebimbangan yang mereka alami. Rumusan Rumusan kajian ini menegaskan kepentingan memahami ragam bahasa dalam konteks komunikasi pelajar sebagai alat untuk mengenal pasti isu-isu penting yang perlu diberi perhatian oleh pihak universiti dan penyedia perkhidmatan sokongan pelajar. Dengan memahami ragam bahasa ini, langkah-langkah intervensi yang lebih berkesan dapat dirancang untuk membantu pelajar mengatasi masalah dan meningkatkan kesejahteraan mereka. Keywords “Upsi Confession”, “Ragam Bahasa Za’ba 1965”, “Ilmu Mengarang Melayu”, “15 Ragam Bahasa”,” Bahasa Seruan Atau Mengeluh”, “ Platform Media Sosial Universiti”, “ Bahasa Pelajar Di Media Sosial”


PENGUASAAN BAHASA MELAYU TINGGI DALAM KALANGAN GURU PELATIH UPSI SEMASA PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN DARI ASPEK LISAN High Proficiency of Malay Upsi Teachers from the Oral Aspect of Malay Teaching and Learning Mohamad Adzim Ab Wahab Alizah Lambri [email protected] [email protected] Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris, 35900, Tg. Malim, Perak. Abstrak Tujuan Kajian yang dijalankan ini bertujuan untuk mengenal pasti pengetahuan guru pelatih Bahasa Melayu UPSI berkaitan Bahasa Melayu Tinggi, mengenal pasti jenis-jenis variasi bahasa yang digunakan oleh guru pelatih Bahasa Melayu semasa menyampaikan pengajaran Bahasa Melayu dan menganalisis kesalahan penggunaan Bahasa Melayu Tinggi dalam kalangan guru pelatih Bahasa Melayu UPSI semasa menyampaikan pengajaran Bahasa Melayu. Metodologi Metodologi kajian ini menggunakan kaedah kualitatif sepenuhnya iaitu teknik pengutipan data bagi objektif pertama ialah tinjauan dan instrumen yang digunakan ialah soal selidik kepada 50 orang responden. Bagi objektif kedua dan ketiga teknik pengutipan data ialah pemerhatian 5 video guru pelatih Bahasa Melayu UPSI dan instrumen yang digunakan ialah borang senarai semak. Kajian ini berlandaskan konsep pemahaman daripada tokoh Nik Safiah Karim 1986. Dapatan Kajian ini, mendapati kefahaman atau penguasaan Bahasa Melayu Tinggi dalam kalangan guru pelatih Bahasa Melayu UPSI adalah berada pada keadaan baik akan tetapi tidak diaplikasikan secara menyeluruh semasa menyampaikan pengajaran kerana terdapat variasi dan kesalahan penggunaan Bahasa Melayu dengan betul. Implikasi Implikasinya, penguasaan Bahasa Melayu Tinggi terhadap guru pelatih Bahasa Melayu perlu dipupuk agar dapat memartabatkan lagi sistem Bahasa Melayu dan mampu melahirkan tenaga pengajar yang berkualiti dan mahir terutama dalam bidang bahasa. Rumusan Kesimpulanya, penguasaan Bahasa Melayu Tinggi merupakan perkara yang penting kepada guru Bahasa Melayu dan perlu diaplikasikan dengan baik terutama dalam situasi formal semasa menyampaikan pengajaran. Keywords Bahasa Melayu Tinggi, Konsep Nik Safiah Karim 1986, video, guru pelatih Bahasa Melayu UPSI.


ANALISIS MAKNA PANTUN BERUNSUR BUAH DALAM BUKU ANTOLOGI BAIK BUDI INDAH BAHASA TINGKATAN DUA BERDASARKAN TEORI RELEVANS Analysis Meaning of Fruit Elementary Poems in the Anthology Book Baik Budi Indah Bahasa Form 2 Based on Relevance Theory Muhamad Ifwat Mohd Azhuddin Sabariah Sulaiman [email protected] [email protected] Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris, 35900, Tg. Malim, Perak. Abstrak Tujuan Kajian ini dijalankan bertujuan untuk mengenal pasti pantun berunsur buah yang terdapat dalam buku antologi Baik Budi Indah Bahasa Tingkatan Dua. Selain itu, objektif kedua kajian ini ialah menganalisis makna pantun berunsur buah. Akhir sekali objektif ketiga ialah menghuraikan makna pantun berunsur buah dalam buku antologi Baik Budi Indah Bahasa Tingkatan Dua berdasarkan teori Relevans Metodologi Kajian ini dijalankan secara kualitatif dengan menggunakan kaedah analisis dokumen dan kepustakaan iaitu pengkaji mendapatkan maklumat tentang kajian lepas melalui artikel jurnal dalam talian, buku-buku akademik dan sebagainya. Dapatan Terdapat 6 unsur buah dalam buku antologi Baik Budi Indah Bahasa Tingkatan Dua yang telah dikenal pasti seperti buah bacang, limau bentan, buah pedada, buah peria, buah mengkudu dan pisang kelat. Daripada unsur buah yang telah dikenal pasti didapati buah bacang menginterpretasikan makna merendah diri dalam pantun Melayu. Implikasi Implikasi kajian ini kepada tiga pihak iaitu pengkaji baharu, guru bahasa Melayu dan murid-murid . Rumusan Kesimpulannya, setiap unsur dalam pantun Melayu memiliki makna yang tersirat disebalik penggunaan unsur tersebut. Oleh itu, kita mestilah menghargai pantun Melayu kerana pantun merupakan lambang kebijaksanaan orang Melayu. Keywords Merendah diri, tersirat, lambang, makna, menginterpretasi.


PELAKSANAAN SET INDUKSI DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BAHASA MELAYU DALAM KALANGAN GURU PELATIH UPSI SEMASA LATIHAN MENGAJAR Implementation Of Induction Set In Malay Teaching And Learning Among Upsi Teachers During Teaching Training Awg Mohamad Saiful Awang Mostapha Alizah Lambri [email protected] [email protected],my Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris, 35900, Tg. Malim, Perak. Abstrak Tujuan Kajian ini menfokuskan kepada komponen yang paling kerap digunakan serta meneroka pelaksanaan set induksi guru pelatih semasa melaksanakan set induksi dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Metodologi Data telah dianalisis menggunakan reka bentuk kualitatif, iaitu pemerhati melalui video, temu bual dan analisis dokumen. Instrumen yang digunakan untuk mendapatkan data kajian adalah melalui borang senarai semak dan soalan temu bual. Responden kajian terdiri daripada 10 orang guru pelatih Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Melayu, UPSI yang mendapat keputusan cemerlang dalam Latihan Mengajar. Data kajian dianalisis melalui rakaman video guru pelatih dengan berpandukan Model Advance Organizer. Dapatan Dapatan kajian menunjukkan bahawa komponen yang paling kerap digunakan oleh guru pelatih dalam set induksi adalah menarik perhatian, mewujudkan motivasi dan menstruktur. Selain itu, hasil dapatan kajian juga mendapati bahawa majoriti guru pelatih telah mengaplikasikan keempat-empat komponen dalam pelaksanaan set induksi, iaitu menarik perhatian, mewujudkan motivasi, menstruktur dan membuat perkaitan. Melalui temu bual yang dilakukan terhadap 3 orang guru pelatih, kesemua mereka didapati mengaplikasikan komponen-komponen tersebut. Implikasi Implikasi kajian adalah dapat membantu para guru khususnya guru pelatih supaya dapat melaksanakan set induksi dengan lebih berkesan dengan mengaplikasikan empat komponen yang terkandung dalam set induksi. Kajian ini juga memberi kesedaran kepada para guru bahawa pelaksanaan set induksi adalah penting kerana ia mampu menarik minat murid untuk mengikut pembelajaran di dalam bilik darjah sekali gus dapat meningkatkan prestasi mereka dalam memahami topik pengajaran yang disampaikan. Rumusan Kajian ini diharapkan dapat dijadikan panduan serta membantu para guru dan bakal guru dalam membuat perancangan fasa set induksi dengan mengaplikasikan empat komponen utama supaya set induksi yang dijalankan lebih memberi kesan terhadap pembelajaran khususnya mata pelajaran bahasa Melayu. Keywords Pelaksanaan set induksi, Bahasa Melayu, Model Advance Organizer, guru pelatih UPSI, Latihan Mengajar,.


ANALISIS VARIASI STRUKTUR DIALOG DALAM FILEM TERPILIH ARAHAN TAN SRI P.RAMLEE Analysis of Dialogue Structure Variation in selected films by Tan Sri P.Ramlee Nurul Hanis Wandy Md Zahril Nizam Md Yusoff [email protected] [email protected] Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris, 35900, Tg. Malim, Perak. Abstrak Tujuan Kajian ini bertujuan untuk membincangkan variasi bahasa dalam struktur dialog yang terdapat dalam filem terpilih arahan Tan Sri P.Ramlee. Metodologi Reka bentuk yang digunakan berbentuk kualitatif iaitu pengkaji menggunakan analisis dokumen serta pemerhatian dengan memuat turun video dan transkripsi teks dilakukan untuk memudahkan penganalisisan data. Manakala, analisis kandungan yang digunakan pula adalah berdasarkan pendekatan ragam bahasa Za’ba. Dapatan Antara filem Melayu Klasik yang difokuskan dalam kajian ini ialah Antara Dua Darjat, Seniman Bujang Lapok dan Penarik Becha. Hasil analisis ketiga-tiga filem ini mendapati terdapat beberapa ragam bahasa yang diperolehi iaitu bahasa sindiran, bahasa herdik, bahasa mengeluh, bahasa berulang, bahasa merajuk, bahasa mengejek dan bahasa tempelak. Implikasi Memberikan manfaat terhadap penggunaan ragam bahasa secara lebih mendalam terutamanya kepada masyarakat, pendidikan masa kini dan sebagainya untuk menerapkan penggunaan ragam bahasa dengan betul. Selain itu, kajian ini juga membuktikan bahawa wujud keselarian pendekatan Za’ba dalam era kegemilangan filem klasik yang menunjukkan akal budi masyarakat dalam pertuturan. Rumusan Kajian terhadap penggunaan ragam bahasa dalam filem Melayu Klasik ini dapat memperlihatkan bahawa Tan Sri P.Ramlee sangat mementingkan peranan bahasa lebih-lebih lagi apabila dialog yang dituturkan mengandungi unsur kepelbagaian bahasa. Selain itu, penghasilan kajian ini juga dapat dijadikan sebagai panduan untuk memahami secara terperinci penggunaan ragam bahasa dalam komunikasi bagi mewujudkan keberkesanan dalam penyampaian mesej. Keywords Variasi bahasa, Pendekatan Za’ba, Filem, P.Ramlee


ANALISIS PENGGUNAAN AYAT MAJMUK DALAM LAPORAN TAHUNAN NEGARA JABATAN PERKHIDMATAN AWAM Analysis of the Use of Compound Sentences in the Annual Report of the State Civil Service Department Azmiera binti Zolkeflee Mohamad Nik Mat Pelet [email protected] [email protected] Jabatan Pengajian Melayu Akademi Pengajian Bahasa, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam Abstrak Tujuan Istilah tatabahasa dapat ditakrifkan sebagai the art of speaking or writing a language correctly. Tatabahasa dianggap sebagai sistem utama bagi sesuatu bahasa kerana istilah tatabahasa ini telah berubah dan dikatakan setiap bahasa mempunyai set aturan atau sistem yang mendasari sesuatu bahasa. Bahasa Melayu mempunyai peraturanperaturan tatabahasa yang tersendiri bagi membentuk suatu morfem, kata, frasa, klausa, ayat dan wacana seperti yang telah diaplikasikan menerusi Tatatingkat Unit Tatabahasa. Ayat majmuk adalah ayat yang dapat dibina dengan mencantumkan dua ayat tunggal atau lebih dan percantuman yang disusun itu menjadikannya sebagai suatu ayat yang baharu (Nik Safiah Karim et, al, 2015). Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti jenis-jenis ayat majmuk dan menganalisis pembentukan ayat majmuk dalam Laporan Tahunan Negara Jabatan Perkhidmatan Awam pada tahun 2021. Metodologi Pendekatan kualitatif melalui pengaplikasian kaedah analisis teks digunakan dalam pemilihan dan analisis data dalam penyelidikan yang dijalankan. Teks di dalam Laporan Tahunan Negara Jabatan Perkhidmatan Awam pada tahun 2021 telah dijadikan sebagai data kajian untuk dianalisis berdasarkan tiga jenis ayat majmuk yang telah dikemukakan oleh Nik Safiah Karim et al. melalui penulisannya dalam Tatabahasa Dewa (2015). Tiga jenis ayat majmuk yang telah dikemukakan ialah ayat majmuk gabungan, ayat majmuk pancangan dan ayat majmuk campuran. Pembentukan ayat majmuk ini juga telah dianalisis bersandarkan Teori Tatabahasa Model Generatif dalam Tatabahasa Dewan (2015) Dapatan Dapatan analisis kajian ini mendapati penggunaan ayat majmuk campuran paling kerap digunakan melalui penulisan Laporan Tahunan Negara Jabatan Perkhidmatan Awam 2021 ini. Manakala jenis ayat yang paling kurang digunakan dalam laporan ini ialah jenis ayat majmuk pancangan. Hal ini demikian kerana, penggunaan ayat dalam laporan tahunan ini banyak menghuraikan aktiviti tahunan yang telah dilakukan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Manakala, proses pembentukan yang paling kerap didapati pada bahagian penulisan ialah proses pengguguran frasa nama sebagai subjek dan proses perluasan frasa predikat. Implikasi Oleh hal yang demikian, kajian tentang ayat majmuk dapat memberikan impak yang positif terutama kepada masyarakat tentang fakta atau huraian yang ingin disampaikan kepada pembaca melalui pena penulisan. Penggunaan ayat yang sistematik mampu memberikan penyampaian yang lebih efektif kepada pembaca untuk memahami setiap huraian yang ingin disampaikan. Justeru, kajian ini telah menjelaskan tentang jenis-jenis ayat majmuk dan proses pembentukan ayat majmuk supaya pembaca dapat memahami proses suatu ayat majmuk terbentuk melalui gabungan ayat-ayat tunggal. Rumusan Kesimpulannya, kajian ini telah membuktikan bahawa penggunaan ayat majmuk seringkali digunakan dalam penulisan sama ada penulisan ilmiah mahupun penulisan kreatif. Ayat majmuk ini juga tidak tertumpu dalam bidang tatabahasa sahaja tetapi melibatkan bidang sintaksis iaitu proses pembentukan ayat majmuk. Oleh itu, diharapkan kajian ini dapat memberikan tindak balas positif kepada masyarakat tentang ayat majmuk dan menjadi satu rujukan yang berterusan kepada para pengkaji pada masa akan datang. Keywords Ayat majmuk, Laporan Tahunan Negara, Tatabahasa Model Generatif, Tatabahsa Dewan


ANALISIS KESALAHAN BAHASA PADA INFOGRAFIK KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA Analysis of LanguageErrors on Malaysia Ministry of Health Infographics Juwita Abas Mohamad Nik Mat Pelet [email protected] [email protected] Jabatan Pengajian Melayu Akademi Pengajian Bahasa, Universiti Teknologi MARA(UiTM), Shah Alam Abstrak Tujuan Infografik semakin popular sebagai alat komunikasi visual dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat oleh agensi kerajaan mahupun swasta. Namun, kesalahan bahasa dalam infografik boleh menjejaskan keberkesanan komunikasi. Oleh itu, adalah penting untuk memastikan infografik yang dihebahkan kepada masyarakat bukan sahaja menarik dengan ilustrasi yang kreatif malah, menitikberatkan struktur bahasa yang digunakan agar dapat meningkatkan kualiti komunikasi visual. Kesalahan bahasa seperti kesalahan tatabahasa, penggunaan kata yang tidak tepat, dan kekeliruan dalam pemilihan perkataan boleh menyebabkan kekeliruan dan ketidakfahaman dalam penyampaian maklumat. Justeru, kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti dan menganalisis kesalahan bahasa yang terdapat pada infografik akaun rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia di platform Instagram. Metodologi Kajian kualitatif berbentuk deskriptif ini memilih infografik Kementerian Kesihatan Malaysia yang dimuat turun daripada media sosial rasmi Instagram milik kementerian tersebut. Data sebanyak 30 Infografik yang dipilih untuk dianalisis ditentukan secara persampelan rawak dengan memastikan infografik tersebut menepati ciri-ciri yang ditetapkan iaitu mengandungi ilustrasi dan maklumat berbentuk tulisan bermakna untuk dianalisis melalui kaedah analisis dokumen. Analisis dilakukan dengan teliti untuk mengenal pasti setiap kesalahan bahasa berpandukan pendekatan Tatabahasa Dewan dan Teori Transformatif Generatif. Dapatan Analisis kajian menunjukkan terdapat pelbagai jenis kesalahan bahasa dalam infografik Kementerian Kesihatan Malaysia, termasuk kesalahan tatabahasa dan penggunaan kata yang tidak tepat. Kesalahan bahasa ini boleh menimbulkan kekeliruan dan ketidakfahaman dalam komunikasi visual yang disampaikan melalui infografik. Perbincangan dalam kajian ini memberi penekanan kepada pentingnya penggunaan bahasa dalam infografik dan implikasinya terhadap keberkesanan penyampaian maklumat kepada masyarakat. Implikasi Impaknya, kajian ini memberi penekanan kepada setiap agensi kerajaan khususnya untuk menjaga kualiti hebahan melalui infografik dengan memastikan maklumat yang ingin disampaikan perlulah menggunakan bahasa yang tepat dan jelas agar tidak berlakunya sebarang kesalahan bahasa disamping mendidik masyarakat untuk menggunakan bahasa yang tepat. Rumusan Kesimpulannya, penggunaan bahasa dalam infografik perlu dititikberatkan bagi mengelak berlakunya isu berkaitan keciciran maklumat, disamping peranan setiap agensi kerajaan mahupun swatsa yang sewajarnya bersama-sama kerajaan terutama Kementerian Pengajian Tinggi dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu penggunaan yang tepat dan betul sebagai langkah melestarikan penggunaan bahasa Melayu. Keywords Infografik, Kesalahan Bahasa, pendekatan Tatabahasa Dewan, Teori Transformatif Generatif


PENULARAN PENGGUNAAN BAHASA VULGAR DALAM TELEGRAM UPSI CONFESSION Contagion of Use of Vulgar Language in Telegram UPSI Confession Astikah Mohd Yayah Normarini Norzan [email protected] [email protected] Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris, 35900, Tg. Malim, Perak. Abstrak Tujuan Kajian ini dijalankan bertujuan untuk mengenal pasti faktor dan kesan penularan penggunaan bahasa Vulgar dalam Telegram UPSI Confession. Metodologi Kajian ini menggunakan reka bentuk kuantitatif yang memfokuskan penularan penggunaan bahasa vulgar dalam Telegram UPSI Confessioan dalam kalangan 100 orang pelajar di Universiti Pendidikan Sultan Idris. Kaedah tinjauan digunakan dalam kajian ini. Data soal selidik dianalisis dengan menggunakan Program Statistical Package for The Social Science (SPSS) versi 29.0. Proses penganalisisan melibatkan kaedah analisis data deskriptif menggunakan skor min dan sisihan piawai. Data dan maklumat yang diperoleh dianalisis dengan berpandukan teori pembelajaran tingkah laku iaitu mementingkan pengaruh persekitaran terhadap pembelajaran dan perubahan tingkah laku. Dapatan Dapatan kajian bagi faktor penularan penggunaan bahasa Vulgar dalam Telegram UPSI Confession mendapati bahawa, nilai min keseluruhan menunjukkan tahap interpretasi yang tinggi melalui skor min dan sisihan piawai (M=4.89, SP=0.314) bagi faktor pengaruh media sosial. Dapatan keseluruhan min dan sisihan piawai kesan penggunaan bahasa Vulgar juga menunjukkan tahap interpretasi yang tinggi dan memuaskan bagi kemurnian bahasa Melayu terjejas. Hal ini dapat dilihat melalui skor min dan sisihan piawai (M=4.95, SP=0.219). Implikasi Justeru, faktor pengaruh persekitaran terhadap pembelajaran dan perubahan tingkah laku yang diperkenalkan oleh Skinner dalam teori behaviorisme memberikan gambaran tepat terhadap penularan bahasa Vulgar dan penguasaan bahasa Melayu baku dalam kalangan pelajar UPSI. Rumusan Kesimpulannya, pelajar UPSI perlu sentiasa menjaga dan mementingkan unsur kesopanan dalam setiap pertuturan walaupun dalam media sosial khususnya dalam Telegram UPSI Confession. Hal ini kerana, penggunaan bahasa Vulgar dapat memberikan kesan yang sangat mendalam terhadap orang lain mahupun kemurnian bahasa Melayu itu sendiri. Keywords Penularan, Bahasa Vulgar, Telegram UPSI Confession, Teori Pembelajaran Tingkah Laku


ANALISIS PENGGUNAAAN BAHASA SLANGA DALAM NOVEL AWEK CHUCK TAYLOR KARYA NAMI CAB NOBBLER Analysis Of The Use Of Slanga In The Novel Awek Chuck Taylor By Nami Cab Nobbler Muhamad Hafizi Che Hassan Madam Saripah Anak Banseng [email protected] [email protected] Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris, 35900, Tg. Malim, Perak. Abstrak Tujuan Kajian yang dijalankan adalah bertujuan untuk mengenal pasti penggunaan bahasa slanga yang terdapat di dalam teks novel Awek Chuck Taylor dan menganalisis domain slanga yang terdapat di dalam novel tersebut dengan menggunakan Teori Analisis Domain. Metodologi Metodologi kajian ini ialah menggunakan kaedah kualitatif sepenuhnya iaitu analisis dokumen. Pengkaji telah menggunakan borang senarai semak bagi mengenal pasti bahasa slanga yang terdapat di dalam novel dan juga untuk menganalisis bahasa slanga tersebut mengikut domain-domain tertentu yang berasaskan Teori Analisis Domain oleh Fishman (1965). Dapatan Pengkaji mendapati bahawa terdapat banyak penggunaan bahasa slanga di dalam novel tersebut seperti gua, awek, kantoi, poyo, beb, minah, tekel dan lain-lain lagi. Selain itu, pengkaji juga mendapati tiga domain slanga yang dapat dianalisis iaitu keluarga, persahabatan, dan pekerjaan. Implikasi Implikasinya, penggunaan bahasa slanga yang diterapkan di dalam penulisan novel tersebut amatlah tidak baik bagi pembaca terutama sekali bagi pelajar-pelajar sekolah. Hal ini akan menyebabkan mereka terikut-ikut dengan pembacaannya itu. Rumusan Kesimpulannya, penggunaan bahasa slanga boleh mendatangkan kesan negatif terhadap bahasa Melayu. Hal ini kerana, kita akan membiasakan diri kita untuk menggunakan bahasa slanga daripada menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya. Keywords novel, bahasa slanga, domain slanga.


KESANTUNAN BERBAHASA DALAM NOVEL PANTAI KASIH KARYA AZMAH NORDIN BERASASKAN PRINSIP KESANTUNAN LEECH (1983) Politeness In Language In The Novel 'Pantai Kasih' By Azmah Nordin Based On Leech's Politeness Principles (1983) Muhammad Aiman Mohamad Husna Faredza binti Mohamed Redzwan [email protected] [email protected] Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris, 35900, Tg. Malim, Perak. Abstrak Tujuan Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti maksim yang wujud dalam novel Pantai Kasih berdasarkan Prinsip Kesantunan yang dianjurkan oleh Leech (1983); menghuraikan maksim mengikut prinsip kesantunan yang digunakan oleh penulis dalam dialog-dialog yang diwujudkan dalam novel Pantai Kasih. Terdapat enam maksim yang wujud dalam Prinsip Kesantunan Leech yang digunakan oleh pengkaji iaitu Maksim Santun, Maksim Kedermawanan, Maksim Sokongan, Maksim Merendah Diri, Maksim Persetujuan dan Maksim Simpati. Metodologi Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif yang mana pengkaji menganalisis bahan teks iaitu Novel Pantai Kasih. Analisis teks ini melibatkan keseluruhan novel yang mempunyai 9 bab. Dapatan Berdasarkan dapatan kajian, kesemua 9 bab dalam novel ini yang dikaji mempunyai maksim tertentu berdasarkan Prinsip Kesantunan Leech. Maksim yang paling tinggi dikenalpasti kekerapannya oleh pengkaji dalam dialog-dialog ialah Maksim Simpati iaitu sebanyak 9 kali dan mewakili 24% daripada keseluruhan keenamenam maksim tersebut. Maksim Kedermawanan ialah maksim yang paling sedikit dikenalpasti oleh pengkaji iaitu hanya sebanyak 3 kali kekerapannya dan mewakili 8% daripada keseluruhan maksim yang wujud. Seterusnya, terdapat 27 situasi yang mengandungi dialog-dialog yang menepati maksim dianalisis. Analisis ditunjukkan dalam bentuk ujaran bagi memudahkan pengkaji. Implikasi Melalui kajian ini, jelas wujud kesantunan berbahasa dalam novel yang pernah menjadi pertikaian masyarakat dalam bahan teks pengajaran di sekolah. Hal ini juga dapat membantu guru dan pelajar untuk lebih mendalami unsur kesantunan yang wujud dalam novel. Rumusan Akhir sekali, kajian ini membuktikan bahawa penggunaan bahasa yang santun dan baik dalam penulisan karya secara tidak langsung dapat mendidik pembaca terutamanya pelajar untuk turut menggunakan bahasa yang sopan dan baik ketika berkomunikasi. Keywords Prinsip Kesantunan Leech, kesantunan berbahasa, Novel Pantai Kasih


INTERPRETASI MAKNA PERIBAHASA BERUNSURKAN HAIWAN BERDASARKAN TEORI RELEVANS] Interpreting The Meaning Of An Animal Proverb Based On Relevance Theory Nor Amirah Ahmad Bakri Norliza Jamaluddin [email protected] [email protected] Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris, 35900, Tg. Malim, Perak. Abstrak Tujuan Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti peribahasa jenis perumpamaan yang mempunyai unsur-unsur haiwan dan menganalisis serta menginterpretasi makna peribahasa Melayu menggunakan Teori Relevans Metodologi Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif untuk menganalisis peribahasa Melayu yang terdapat dalam buku Peribahasa Melayu. Sebanyak 3 perumpamaan yang berunsurkan haiwan telah dikemukakan untuk dianalisis dengan pengaplikasian Teori Relevans melalui konsep ad-hoc. Dapatan Analisis mendapati bahawa peribahasa yang berunsur haiwan mempunyai makna khusus dan tersirat iaitu masyarakat Melayu mengiaskannya dan membandingkannya dengan perkara yang lain. Kajian ini membuktikan menerusi konsep penyempitan makna ad-hoc, unsur haiwan seperti ular bisa boleh dianalogikan kepada tingkah laku jahat manakala menerusi konsep ad-hoc perluasan pula, metafora cacing kepanasan diumpamakan dengan keadaan seseorang yang gelisah. Setelah ditelusuri juga, perumpamaan bagai anjing buruk kepala pula dikiaskan kepada orang yang dibenci oleh masyarakat kerana sikap buruknya. Implikasi Kajian yang dilaksanakan ini mampu mentafsir metafora dan makna tersirat di sebalik dalam peribahasa sekaligus mampu menyelami nasihat dan pengajaran yang ingin disampaikan. Rumusan Kesimpulannya, setiap pemilihan objek dan pemaknaan dalam semua peribahasa mempunyai metafora tersendiri. Penerapan Teori Relevans menerusi konsep ad-hoc dapat membuktikan bahawa peribahasa dapat dianalisis dengan lebih baik dan meyakinkan. Keywords peribahasa, perumpamaan, haiwan, Teori Relevans


ANALISIS MAKNA SIMPULAN BAHASA DALAM BUKU TEKS BAHASA MELAYU TINGKATAN SATU HINGGA TINGKATAN LIMA BERDASARKAN TEORI RELEVANS Analysis of the Meaning of Idioms in Textbooks from Grade One to Grade Five Based on Relevance Theory Nor Farhana Azman Norliza Jamaluddin [email protected] [email protected] Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris, 35900, Tg. Malim, Perak. Abstrak Tujuan Kajian ini dijalankan bertujuan untuk menjelaskan analisis kefahaman makna simpulan bahasa yang berunsur anak, buah dan hati yang terdapat dalam buku teks bahasa Melayu tingkatan satu hingga tingkatan lima. Metodologi Reka bentuk kajian adalah berbentuk kualitatif, iaitu analisis kandungan teks dalam buku teks bahasa Melayu tingkatan satu hingga tingkatan lima Dapatan Sebanyak 58 data simpulan bahasa yang dikenal pasti, iaitu berunsur hati sebanyak 32 kekerapan (55.2%), diikuti dengan objek anak, iaitu sebanyak 16 kekerapan (27.6%) dan simpulan bahasa berunsur buah sebanyak 10 kekerapan (17.2%). Walau bagaimanapun, kajian ini hanya mengemukakan tiga data simpulan bahasa yang dipilih sahaja, iaitu anak emas, buah tangan dan suka hati untuk dianalisis secara mendalam dengan menggunakan Teori Relevans melalui konsep ad-hoc bagi menyingkap makna sebenar simpulan bahasa pada peringkat kognitif. Hasil kajian ini mendapati bahawa simpulan bahasa anak emas merujuk kepada makna yang berunsur negatif, iaitu seseorang yang dilebih-lebihkan. Manakala, buah tangan pula mempunyai dua makna yang berbeza mengikut konteks dan maknanya bernilai positif, iaitu bermaksud usaha seseorang dan pemberian yang ikhlas. Seterusnya, makna simpulan bahasa suka hati juga dapat diperluaskan kepada makna yang bernilai negatif, iaitu bermaksud seseorang yang melakukan sesuatu ikut perasaan. Implikasi Melalui kajian ini, makna sesuatu simpulan bahasa dapat dihuraikan dengan lebih jelas dan mendalam serta membantu para pendidik untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan mempelbagaikan kaedah penyampaian pengajaran simpulan bahasa yang lebih berkesan. Rumusan Kesimpulannya, simpulan bahasa bukan sahaja merupakan bahasa berkias dan satu madah yang indah didengar namun mengandungi makna yang tersirat dan mendalam disebalik pembentukan kata tersebut. Kajian ini juga dapat menunjukkan bahawa Teori Relevans dan konsep ad-hoc peluasan yang digunakan sangat bersesuaian dan mampu menghuraikan makna sebenar simpulan bahasa dengan lebih mudah dan absah. Keywords Simpulan bahasa, buku teks, konsep ad-hoc perluasan, kognitif, Teori Relevans


PENGAPLIKASIAN FILL THE JAR SEBAGAI BAHAN BANTU MENGAJAR DALAM PENGAJARAN KATA ADJEKTIF MURID TINGKATAN DUA Application Of Fill The Jar As A Teaching Aid In Teaching Adjectives To Second Level Students Norsazilah Jaidal Julita@Norjietta binti Taisin [email protected] [email protected] Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris, 35900, Tg. Malim, Perak. Abstrak Tujuan Kajian ini dijalankan untuk melihat keberkesanan penggunaan Fill The Jar sebagai bahan bantu mengajar dalam pengajaran kata adjektif murid tingkatan dua. Metodologi Kaedah kajian yang digunakan adalah kaedah kuantitatif di mana hasil pencapaian murid akan dibandingkan sebelum dan selepas penggunaan bahan bantu mengajar yang digunakan. Kajian ini dilaksanakan di sebuah sekolah menengah kebangsaan sekitar daerah Kudat, Sabah. Seramai 30 orang sampel kajian daripada murid tingkatan dua berpotensi sederhana dipilih untuk tujuan pengumpulan data kajian. Reka bentuk kajian adalah kuasi eksperimen yang menggunakan pendekatan kuantitatif dalam proses pengumpulan data dan penganalisisan data kajian. Instrumen yang telah digunakan dalam kajian ini adalah dua set ujian pencapaian iaitu set praujian dan set pascaujian. Kaedah peratusan digunakan dalam proses penganalisisan data kajian. Dapatan Hasil dapatan kajian menunjukkan tahap prestasi murid tingkatan dua adalah sangat memberangsangkan. Hal ini dapat dilihat apabila adanya peningkatan markah pascaujian berbanding markah praujian. Peningkatan ini dapat dibuktikan berdasarkan purata keseluruhan markah antara ujian pra dan pasca, iaitu daripada (65.30%) kepada (72.90%). Implikasi Kajian ini menunjukkan bahawa penggunaan Fill The Jar dapat membantu meningkatkan kefahaman sampel dalam pembelajaran kata adjektif bahasa Melayu. Rumusan Secara keseluruhannya, pengaplikasian Fill The Jar sebagai bahan bantu mengajar dalam pengajaran kata adjektif memberi kesan yang positif kepada tahap pencapaian prestasi murid tingkatan dua. Keywords Bahan bantu mengajar, kata adjektif, murid tingkatan dua, fill the jar


ELEMEN PANTUN DALAM LAGU TRADISIONAL BAHASA MELAYU Elements Of Rhymes In Malay Traditional Songs Nur Zafirah Zainuddin Makmur Harun [email protected] [email protected] Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UniversitiPendidikan Sultan Idris, 35900, Tg. Malim, Perak. Abstrak Tujuan Kajian ini dijalankan bertujuan untuk mengenal pasti lagu tradisional Melayu yang mempunyai elemen pantun dan menganalisis elemen pantun yang terdapat di dalam lagu tradisinal Melayu tersebut. Elemen pantun terbahagi kepada 5 elemen utama iaitu mempunyai rangkap, mempunyai pembayang dan maksud, rima a-b-ab, pembayang mempunyai unsur alam dan membawa maksud yang berkait rapat dengan kehidupan manusia. Metodologi Metodologi kajian ini berbentuk kajian kualitatif dengan menggunakan kaedah analisis dokumen. Dokumen yang dianalisis berbentuk lirik lagu-lagu tradisonal bahasa Melayu yang dinyanyikan oleh Dato’ Sri Siti Nur Haliza dan Noraniza Idris. Dapatan Dapatan kajian ini menunjukkan lagu tradisional Melayu yang dinyanyikan oleh Dato’ Sri Siti Nur Haliza dan Noraniza Idris berentak zapin dan joget mempunyai lirik lagu berunsurkan pantun. Elemen yang terdapat di dalampantun-pantun tersebut antaranya memilki empat rangkap, mempunyai rima akhir a-b-a-b, mempunyai dua rangkap pembayang yang mempunyai perkataan berkait unsur alam dan bahasa pujangga serta mempunyai maksud berbentuk nasihat dan luahan hati. Implikasi Implikasi yang diperoleh melalui kajian ini antaranya adalah dapat memartabatkan dan penghargaan terhadap karya sastera pantun yang telah dipersembahkan melalui lirik lagu tradisonal bahasa Melayu dan pada masa akan datang dapat digunakan bagi menarik minat murid untuk mempelajari pantun dalam satu keadaan berbeza iaitu berdasarkan irama lagu. Rumusan Kesimpulannya, karya sastera pantun perlu diberikan perhatian yang lebih baik buat guru terutamanya agar prosa tradisional tidak akan hilang buat generasi yang akan datang dan terus dimartabatkan di Malaysia sehingga di pandang di mata dunia. Keywords Sastera, seni bahasa, pantun, lagu tradisional


MENYUSUR GALUR LEKSIKAL ‘KAKI’ DALAM SIMPULAN BAHASA MELAYU DALAM KORPUS BERDASARKAN SEMANTIK INKUISITIF Describing The Lexical Strain Of 'Foot' In Malay Language Conclusion In A Corpus Based On Inquisitive Semantics Nuraiwahidah Ahmad Anida Sarudin [email protected] [email protected] Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris, 35900, Tg. Malim, Perak. Abstrak Tujuan Kajian ini bertujuan untuk menganalisis simpulan bahasa Melayu menggunakan leksikal “data” dengan megunakan korpus berdasarkan Semantik Inkuisitif. Metodologi Metodologi kajian ini menggunakan kaedah kualitatif sepenuhnya iaitu analisis dokumen. Pengkaji menggunakan beberapa senarai semak untuk mengenal pasti leksikal “kaki” Simpulan Bahasa dalam korpus kemudian dengan data tersebut pengkaji akan menganalisis simpulan bahasa dengan menggunakan Semantik Inkuisitif untuk mendapatkan makna yang lebih mendalam. Dapatan Kajian ini hanya menfokuskan kepada 4 simpulan Bahasa yang mempunyai leksikal “kaki” yang terdapat dalam korpus. Hasil dapatan data menunjukkan simpulan bahasa ini dapat dibahagikan kepada dua domain utama iaitu positif dan juga negatif. Hasil kajian mendapati bahawa konsep kaki merupakan bahagian yang terdapat pada anggota badan iaitu dari pinggang ke hujung jari dan secara tidak langsung kaki merupakan salah satu daripada anggota badan yang banyak digunakan dalam aktiviti seharian. Pengkaji juga telah mendapati bahawa kajian semantik inkuisitif dapat memberi gambaran keseluruhan yang mendalam terhadap penggunaan leksikal ‘kaki’ selain mengetahui makna secara harfiah. Implikasi Implikasi bagi kajian ini ialah guru dan murid dapat memahami maksud bukan sahaja secara Harfiah namun dapat memahami dengan lebih mendalam lagi mengenai Simpulan Bahasa. Selain itu, kajian ini juga merupakan pendedahan awal kepada murid sekolah menengah mengenai Korpus untuk mereka mencari contoh teks yang berkenaan. Rumusan Kajian semantik inkusitif dapat menghuraikan makna sebenar simpulan bahasa tersebut yang memperlihatkan kebijaksanaan masyarakat Melayu pada zaman dahulu dalam menggunakan leksikal “kaki” bagi mencerminkan atau menyampaikan sesuatu mesej secara tersirat. Keywords Simpulan bahasa, Leksikal, Kaki, Semantik Inkuisitif


UNSUR EUFEMISME DAN DISFEMISME DALAM NOVEL SONGKET BERBENANG EMAS: ANALISIS PRINSIP KESANTUNAN LEECH] The Elements of Euphemism and Dysphemism in The Novel Songket Berbenang Emas: An Analysis of Leech’s Politeness Principle Sharmeen Farahim Che Rahim Norfaizah Abdul Jobar [email protected] [email protected] Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris, 35900, Tg. Malim, Perak. Abstrak Tujuan Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti kekerapan unsur eufemisme dan disfemisme yang terdapat dalam novel ‘Songket Berbenang Emas’, menganalisis unsur eufemisme dan unsur disfemisme mengikut plot berdasarkan enam maksim Prinsip Kesantunan Leech (1983). Prinsip ini terbahagi kepada enam maksim iaitu Maksim Santun, Maksim Dermawan, Maksim Sokongan, Maksim Kerendahan Hati, Maksim Persetujuan dan Maksim Simpati. Metodologi Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif dengan menganalisis dokumen bertulis iaitu novel Komponen Sastera (KOMSAS) bertajuk ‘Songket Berbenang Emas’ karya Khairuddin Ayip. Plot novel ini terbahagi kepada lima iaitu permulaan, perkembangan, perumitan, klimaks dan peleraian. Dapatan Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa kekerapan unsur eufemisme dalam novel adalah lebih tinggi dengan jumlah sebanyak 258 berbanding kekerapan unsur disfemisme iaitu sebanyak 133. Seterusnya, pengkaji mendapati bahawa analisis bagi kedua-dua unsur dalam plot perumitan adalah yang paling dominan di mana Maksim Santun bagi eufemisme adalah sebanyak 32 bersamaan 26.66 peratus dan disfemisme sebanyak 22 bersamaan 31.00 peratus. Sementara itu, unsur paling rendah bagi maksim yang sama adalah pada plot permulaan iaitu sebanyak 7 bersamaan 5.83 peratus bagi eufemisme manakala bagi unsur disfemisme pula berada pada plot peleraian iaitu sebanyak 2 bersamaan 2.82 peratus. Implikasi Implikasi bagi kajian ini adalah dapat membantu pelajar dan guru membezakan antara unsur eufemisme dan disfemisme terutamanya dalam komunikasi atau penulisan. Bukan itu sahaja, kualiti bagi novel KOMSAS juga dapat ditambah baik oleh para penulis agar elemen disfemisme atau ketidaksantunan dalam penceritaan dapat dikurangkan. Rumusan Kesimpulannya, kajian ini sesuai dijadikan sebagai panduan kepada guru, murid serta pengkaji akan datang kerana unsur eufemisme dan disfemisme sememangnya wujud dalam novel yang dikaji. Malah, pengkaji telah mengelaskan penggunaan kedua-dua unsur mengikut maksim-maksim yang sewajarnya. Keywords kesantunan; ketidaksantunan; plot; maksim; Komponen Sastera (KOMSAS)


ANALISIS STILISTIK DALAM NOVEL DESTINASI IMPIAN TINGKATAN 1 Stylistics Analysis In The Novel Destination Dream Form 1 Noor Shahida Endang Triana Zulkeflee Yaacob [email protected] [email protected] Jabatan Bahasa dan Komunikasi Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris,35900, Tg Malim, Perak. Abstrak Tujuan Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti penggunaan unsur stilistik perbandingan, penyirnaan dan pertautan dalam novel Destinasi Impian dan penggunaan diksi dalam novel Destinasi Impian tingkatan 1. Metodologi Metodologi kajian ini menggunakan kaedah kualitatif sepenuhnya iaitu analisis dokumen. Data yang dikutip oleh pengkaji adalah dengan melalui pembacaan berulang kali bagi satu novel dan mempersembahkan dapatan atau data dalam bentuk jadual. Dapatan Jangkaan dapatan hasil kajian yang dilaksanakan terdapat gaya stilistik yang diketengahkan dalam novel Destinasi Impian termasuklah unsur stilistik perbandingan, penyirnaan dan pertautan. Terdapat juga penggunaan diksi yang digunakan dalam novel Destinasi Impian tersebut Implikasi Implikasinya, penerapan unsur-unsur bahasa bagi menilai karya sastera ini mampu membantu disiplin kritikan sastera supaya lebih mantap dan tahap penghayatan karya itu dapat ditingkatkan lagi. Oleh itu, penggunaan kelainan bahasa juga seharunya dititikberatkan dalam penghasilan sesebuah novel agar tidak berlakunya kerosakan bahasa ataupun susunan ayat yang tidak gramatis. Rumusan Kesimpulannya, kajian ini dapat mendedahkan kepentingan penggunaan unsur-unsur bahasa yang menarik dalam penulisan serta pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu bagi menghasilkan karya yang indah dan bermakna. Keywords Novel, unsur bahasa, pertautan, penyirnaan, perbandingan, diksi


PERCAMPURAN KOD DALAM KOMUNIKASI PELAJAR UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS Code Mixing in University Pendidikan Sultan Idris Students’ Communication Amilina Hamiun Minah Sintian [email protected] [email protected] [Afiliasi] Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris, 35900, Tg. Malim, Perak. Abstrak Tujuan Kajian ini dijalankan bertujuan untuk melihat berlakunya percampuran kod dalam komunikasi pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris. Percampuran kod yang difokuskan dalam kajian ini adalah penggunaan bahasa dialek dan Bahasa Inggeris. 11 orang pelajar daripada program Bahasa Melayu (AT05) semester 7 di Universiti Pendidikan Sultan Idris merupakan sampel bagi kajian ini. 11 orang pelajar ini terdiri dariapada pelajar yang berasal dari Sabah, Sarawak dan Kelantan. Metodologi Kajian ini dijalankan dengan menggunakan reka bentuk kualitatif melalui teknik pemerhatian dan temu bual. Rakaman audio dan soalan temu bual merupakan instrumen yang digunakan untuk mengumpul data kajian ini. Dapatan Hasil dapatan menunjukkan bahawa pelajar dari Sabah banyak mencampurkan bahasa dialek Sabah dan Bahasa Inggeris, pelajar dari Sarawak pula lebih banyak menggunakan perkataan daripada Bahasa Inggeris dan pelajar dari Kelantan sering mencampurkan bahasa dialek Kelantan dalam komunikasi mereka. Implikasi Penggunaan campur kod dalam komunikasi pelajar AT05 memudahkan pelajar untuk menyampaikan sesuatu mesej atau maklumat dengan lebih mudah dan cepat. Rumusan Pelajar AT05 semester 7 kerap mencampurkan bahasa dialek dan Bahasa Inggeris dalam komunikasi mereka sehingga ia menjadi satu kebiasaan yang boleh berlaku dalam pelbagai situasi dan keadaan. Keywords Percampuran kod, komunikasi, pelajar.


ANALISIS UNSUR PERPADUAN DALAM NOVEL DARAH TITIK DI SEMANTAN TINGKATAN 2 Analysis Of Elements Of Unity In The Novel Of Blood Dot At Semantan Form 2 Nor Fatinaziha Mohd Nazim Zulkeflee Yaacob [email protected] [email protected] Jabatan Bahasa dan Komunikasi Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris, 35900, Tg Malim, Perak. Abstrak Tujuan Kajian yang dijalankan ini bertujuan untuk mengenal pasti unsur-unsur perpaduan dan penggunaan istilah bahasa klasik yang terkandung dalam novel Tingkatan Dua iaitu Darah Titik Di Semantan hasil karya Arman Sani (1986). Metodologi Metodologi kajian ini menggunakan kaedah kualitatif sepenuhnya iaitu menganalisis dokumen berdasarkan novel yang telah dikaji iaitu Darah Titik Di Semantan. Dapatan Kajian ini mendapati bahawa teks yang terkandung dalam novel yang dikaji memaparkan unsur perpaduan yang disampaikan melalui watak utama dan watak sampingan dalam novel Darah Titik Di Semantan. Selain itu, teks yang terkandung dalam novel juga memperlihatkan penggunaan istilah bahasa klasik yang digunakan dalam dialog yang diujarkan. Implikasi Implikasinya, unsur-unsur perpaduan yang terkandung dalam novel ini dapat membantu memupuk semangat perpaduan dalam diri yang dapat diterapkan dalam kehidupan seharian dan bermasyarakat. Selain itu, istilah bahasa klasik yang digunakan dan diubah kepada Bahasa Melayu Standard dapat memberi kefahaman yang mendalam kepada pembaca. Rumusan Kesimpulannya, unsur perpaduan merupakan elemen penting dalam kehidupan bermasyarakat terutamanya di Malaysia yang rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum dan bangsa. Disamping itu, pembaca akan lebih memahami maksud ayat yang ingin disampaikan melalui dialog dengan penggunaan Bahasa Melayu Standard. Keywords Novel , Unsur Perpaduan, Bahasa Klasik, Bahasa Melayu Standard


ANALISIS KESALAHAN TATABAHASA DALAM ARTIKEL JURNAL BAHASA MELAYU Analysis of Grammatical Errors in Malay Language Journal Articles Dayangku Nabila binti Awang Nib Zuhairi Mohamad Nik Mat Pelet [email protected] [email protected] Jabatan Pengajian Melayu Akademi Pengajian Bahasa, Universiti Teknologi MARA(UiTM), Shah Alam Abstrak Tujuan Jurnal dan artikel memberikan peranan yang signifikan sebagai sumber rujukan untuk menyumbang kefahaman mendalam tentang pelbagai bidang ilmu, termasuk bahasa Melayu. Kedua-dua medium ini bukan sahaja menjadi wadah untuk penyebaran pengetahuan tetapi juga sebagai platform untuk pertukaran idea dan hasil penyelidikan dalam kalangan ahli akademik dan ahli professional. Kajian ini berkepentingan untuk menekankan penggunaan tatabahasa dalam penulisan akademik terutamanya dalam artikel jurnal bahasa Melayu kerana ia merupakan ciri penting bagi penulisan akademik yang berkualiti. Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti dan menganalisis jenisjenis kesalahan tatabahasa dalam artikel jurnal bahasa Melayu. Metodologi Kajian kualitatif berbentuk deskriptif ini menggunakan kaedah analisis teks. Analisis teks dilakukan dengan menggunakan teori analisis kesalahan bahasa oleh Corder (1981) yang menekankan langkah analisis iaitu mengumpul kesalahan bahasa, mengenal pasti kesalahan bahasa, memerihalkan kesalahan bahasa, menjelaskan kesalahan bahasa, dan membetulkan kesalahan bahasa. Selain itu, pendekatan Tatabahasa Dewan yang berkaitan dengan imbuhan, perkataan dan bentuk kata juga dijadikan sebagai sandaran dalam kajian ini. 10 buah artikel bahasa Melayu dari Jurnal Melayu dan Jurnal Pendeta dipilih sebagai data kajian dan seterusnya proses penelitian terhadap teks-teks tersebut dilakukan dengan merujuk kepada prinsip-prinsip Corder (1981) dan pendekatan Tatabahasa Dewan. Dapatan Analisis kajian mendapati pelbagai jenis kesalahan tatabahasa dalam artikel jurnal bahasa Melayu, terutamanya dari aspek morfologi seperti kesalahan penggunaan imbuhan, kesalahan kata pemeri, dan ejaan yang tidak tepat dengan menggunakan analisis kesalahan oleh Corder (1981). Kesalahan tatabahasa ini boleh menyebabkan kekeliruan dan ketidakfahaman dalam penulisan sekali gus akan berlakunya keciciran maklumat sedangkan fungsi artikel jurnal adalah untuk perkongsian maklumat berkaitan dengan bidang yang dikaji. Implikasi Impaknya, kajian ini memberi penekanan kepada penulis terutamanya untuk menjaga kualiti penulisan akademik yang akan menjadi rujukan kepada pelajar dan ahli akademik yang lain. Kajian ini membantu dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmiah yang tepat dan berwibawa. Proses penyuntingan dan penulisan artikel juga akan lebih dititikberatkan. Rumusan Secara keseluruhan, penggunaan tatabahasa dalam artikel jurnal perlu dititikberatkan bagi menjaga kredibiliti dan profesionalisme penulisan akademik serta reputasi institusi. Perbincangan dalam kajian ini juga memberi penekanan betapa pentingnya penggunaan tatabahasa yang betul dalam penulisan ilmiah terutamanya artikel jurnal bahasa Melayu dan implikasinya terhadap keberkesanan penyampaian maklumat kepada masyarakat. Keywords Artikel, Jurnal, bahasa Melayu, Kesalahan Tatabahasa, pendekatan Tatabahasa Dewan, Analisis Kesalahan Bahasa Corder (1981)


PERIBAHASA MELAYU DALAM NOVEL EMPAYAR 3: ANALISIS SEMANTIK INKUISITIF Malay Proverbs in the novel Empayar 3: Inquisitive Semantic Analysis Fatimah Auni Ramli Zuraini Ramli [email protected] [email protected] Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris, 35900, Tg. Malim, Perak. Abstrak Tujuan Kebijaksanaan masyarakat Melayu dapat dilihat melalui ciptaan ungkapan berbentuk kiasan yang berasaskan unsur-unsur yang terdapat di sekeliling mereka. Makalah ini bertujuan meneroka falsafah dan akal budi Melayu dalam menyampaikan makna tersirat di sebalik peribahasa. Metodologi Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif iaitu kaedah analisisis kandungan bagi mendapatkan data. Data tersebut diambil daripada novel Empayar 3 Hikayat Saka Keturunan Raja. Kajian ini dijalankan menggunakan pendekatan Semantik Inkuisitif (SI) DAN Rangka Rujuk Silang (RRS) dalam menganalisis data. Dapatan Sebanyak 25 peribahasa yang ditemui daripada dari Novel Empayar 3. Pengkaji hanya memberi fokus kepada 6 peribahasa untuk dikaji. Implikasi Hasil kajian, pengkaji menemukan peribahasa berdasarkan objek benda hidup seperti manusia dan haiwan. Leksikal ‘anak’, ‘emak’, dan ‘bapa’ sebagai perlambangan manusia. Leksikal ‘ular’, ‘kambing’ dan ‘kerbau’ melambangkan haiwan. Terdapat juga objek bukan hidup seperti benda mati. Leksikal ‘darah’, ‘daging’, ‘batang’ dan ‘bayang’ telah ditemui oleh pengkaji. Rumusan Oleh itu, kajian falsafah dan akal budi Melayu yang terkandung di sebalik peribahasa dapat diterokai dengan menggunakan pendekatan Semantik Inkuisitif (SI) Kata Kunci Akal budi, peribahasa, rangka rujuk silang, semantik inkuisitif, benda hidup, benda bukan hidup


ANALISIS KOMPONEN MAKNA PERANGGU SINONIM KATA ADJEKTIF UKURAN BAHASA MELAYU Component Analysis Of The Meaning Of Interpreters Synonyms Adjectives Of Measurement In Malay Language Mohd Alhafiz Abdullah Zuraini Ramli [email protected] [email protected] Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris, 35900, Tg. Malim, Perak. Abstrak Tujuan Kajian ini mengkaji tentang kata adjektif ukuran yang terdapat dalam bahasa Melayu yang sering digunakan dalam kehidupan seharian mengikut kekerapan bilangan yang ditunjukkan dalam data korpus berkomputer. Kajian ini juga menganalisis peranggu sinonim setiap kata adjektif ukuran berpandukan teori analisis komponen makna. Metodologi Reka bentuk kajian yang digunakan dalam kajian ini ialah menggunakan kaedah kualitatif dengan cara menganalisis dokumen yang terdapat dalam data korpus berkomputer bagi mendapatkan data. Senarai semak akan dibuat bagi menyenaraikan fitur-fitur yang wujud dalam kata adjektif ukuran. Dapatan Berdasarkan kajian ini didapati bahawa terdapat kata adjektif ukuran yang sering digunakan menunjukkan nilai kekerapan penggunaan yang paling tinggi dalam Malay Concordance Project. Kajian ini juga telah menggunakan teori analisis komponen makna bagi menginterpretasikan makna yang ditunjukkan melalui fitur-fitur yang sama bagi kata bersinonim yang akan ditanda melalui lambang [+] ada dan [-] tiada. Walaupun kata adjektif ukuran ini mempunyai sinonim dengan kata lain tetapi terdapat fitur yang tidak boleh digunakan bagi kata tersebut kerana konteks penggunaan yang tidak sesuai. Implikasi Implikasi yang diterima melalui kajian ini ialah dapat membantu khususnya para pelajar yang mempunyai masalah dalam penggunaan istilah atau makna kata adjektif ukuran kerana kata adjektif sering menjadi penerang bagi kata nama atau frasa nama dan membantu guru meningkatkan kaedah pengajaran melaui penggunaan fitur bagi kata bersinonim. Rumusan Secara keseluruhannya, kajian ini dapat membantu banyak pihak terutamanya pelajar dan guru dalam mengajar kata adjektif ukuran dan kata bersinonim. Keywords Kata adjektif ukuran, sinonim, analisis komponen makna, korpus, bahasa Melayu


BERITA MENGELIRUKAN: ANALISIS PERIHAL KETAKSAAN AKHBAR ATAS TALIAN TERPILIH Confusing News: An Ambiguity Analysis of Selected Online Newspaper Azman Sampang Md Zahril Nizam Md Yusoff [email protected] [email protected] Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris, 35900, Tg. Malim, Perak. Abstrak Tujuan Kajian ini dilaksanakan dengan tujuan untuk mengenal pasti jenis-jenis ketaksaan makna yang terdapat dalam akhbar atas talian terpilih berdasarkan Pendekatan Ketaksaan Linguistik oleh Khalifa (2018). Selain itu, untuk menganalisis ketaksaan makna yang terdapat dalam akhbar atas talian yang terpilih mengikut jenis berdasarkan Pendekatan Ketaksaan Linguistik oleh Khalifa (2018) Metodologi Metodologi kajian ini menggunakan kaedah kualitatif sepenuhnya iaitu melalui kaedah pemerhatian dan analisis dokumen. Data kajian akan dikutip oleh pengkaji untuk menganalisis perihal ketaksaan dalam akhbar atas talian terpilih. Kemudian, data tersebut dianalisis dengan menggunakan Pendekatan Ketaksaan Linguistik oleh Khalifah (2018). Dapatan Dapatan kajian menunjukkan aspek ketaksaan berdasarkan Pendekatan Ketaksaan Linguistik oleh Khalifa (2018) terdapat dalam 30 akhbar atas talian merangkumi akhbar Berita Harian, Harian Metro & Malaysiakini yang mengandungi kekeliruan. Dapatan kajian ini mendapati bahawa aspek kekaburan atau ketaksaan dalam akhbar lazimnya berada dalam tajuk, isi, dan penyampaian maklumat. Sebanyak 23 bentuk ketaksaan linguistik, 5 bentuk ketaksaan ekstralinguistik telah dikenalpasti. Selain itu, pengkaji turut mengenalpasti 2 lagi bentuk ketaksaan yang lain seperi bentuk figuratif dan kesalahan ejaan. Implikasi Implikasi kajian ini dapat, memberi manfaat kepada masyarakat umum seperti pembaca, pendengar atau penonton sama ada yang terlibat secara langsung atau tidak langsung. Selain itu, dapat memberi manfaat dalam bidang pendidikan. Misalnya guru-guru, murid sekolah, mahasiswa dan mahasiswi peringkat pengajian tinggi dalam menerima atau mencari maklumat tepat. Seterusnya, dapat meningkatkan tahap penggunaan bahasa khususnya dalam bidang penulisan dan kewartawanan dalam menyampaikan info terkini dan maklumat melalui akhbar. Rumusan Kajian ini menganalisis ketaksaan dalam akhbar terpilih yang menyebarkan berita mengelirukan. Aspek dilihat pada pemerhatian terhadap tajuk, isi, dan penyampaian maklumat. Penekanan kajian ini diberikan kepada keperluan untuk meningkatkan integriti dan kesahihan dalam penyebaran berita atas talian untuk mencegah daripada penyebaran maklumat yang mengelirukan. Keywords Ketaksaan, Kekaburan, Akhbar, Berita, Atas Talian, Pendekatan Linguistik Khalifa, Terpilih


FAKTOR KESALAHAN PENGGUNAAN KATA SENDI NAMA DALAM KALANGAN MAHASISWA BUKAN BIDANG BAHASA MELAYU Factors in the Misuse of Nouns among Non-Malay Students Cristiesa Colin Saripah Banseng [email protected] [email protected] Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris, 35900, Tg. Malim, Perak. Abstrak Tujuan Kajian ini dilakukan untuk mengenal pasti kefahaman penggunaan kata sendi nama dan menganalisis faktor kesalahan penggunaan kata sendi nama dalam kalangan mahasiswa bukan bidang Bahasa Melayu di sebuah universiti awam di Perak. Metodologi Kajian ini menggunakan reka bentuk kajian kualitatif. Kaedah temu bual digunakan untuk mendapatkan data daripada informan. Data yang diperoleh dianalisis menggunakan kaedah pengekodan terbuka. Sampel kajian terdiri daripada sepuluh orang mahasiswa yang dipilih secara rawak di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Dapatan Dapatan kajian menunjukkan lapan orang dapat memahami penggunaan kata sendi nama dengan baik manakala dua orang masih tidak memahami penggunaan kata sendi nama sama ada secara lisan mahupun tulisan. Binaan ayat menggunakan kata sendi nama yang diberikan menunjukkan hasil terdapat sebahagian responden masih keliru tentang penggunaan kata sendi nama dalam ayat secara lisan. Faktor yang menyebabkan kesalahan penggunaan kata sendi nama mempunyai kaitan dengan penggunaan bahasa ibunda atau dialek dalam perbualan harian responden dan juga program yang diambil di universiti. Implikasi Kajian ini mempunyai dua implikasi, iaitu kefahaman mahasiswa terhadap penggunaan kata sendi nama di tahap yang baik. Hanya segelintir responden sahaja yang memerlukan bimbingan terutamanya dalam pembinaan ayat. Manakala implikasi kedua memberi pengetahuan kepada masyarakat tentang faktor umum yang menyebabkan berlakunya kesilapan penggunaan kata sendi nama. Faktor yang diperoleh dalam kajian ini menimbulkan kesedaran agar masyarakat tidak melakukan kesilapan yang sama. Rumusan Kajian berkenaan dengan faktor kesalahan penggunaan kata sendi nama menfokuskan tentang kefahaman penggunaan dan kesalahan penggunaan kata sendi nama dalam kalangan mahasiswa bukan bidang Bahasa Melayu yang terdiri daripada lima jenis bidang program yang berlainan. Kajian ini memberi pendedahan terhadap kesedaran masyarakat tentang penggunaan kata sendi nama yang betul dalam penulisan dan tulisan. Cadangan kajian seterusnya menggunakan kaedah kuantiti seperti borang soal selidik untuk mengukur dapatan kajian ini agar lebih bersifat objektif dan luas kepada aspek tatabahasa yang lain. Keywords kata tugas, tatabahasa, morfologi, bahasa Melayu, mahasiswa


APLIKASI VLE FROG DALAM SESI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BAHASA MELAYU Frog VLE application Teaching and Learning session in Malay Naizatul Nabila Basri Norul Haida Reduzan [email protected] [email protected] Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris, 35900, Tg. Malim, Perak. Abstrak Tujuan Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti aplikasi VLE Frog dalam sesi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu dan membincangkan aplikasi VLE Frog dalam sesi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Metodologi Kajian ini menggunakan kaedah kuantitatif yang melibatkan 50 orang responden dari kalangan guru Bahasa Melayu. Metodologi kajian yang digunakan ialah soal selidik yang dijadikan sebagai alat kajian. Dapatan Dapatan kajian ini menunjukkan guru-guru bahasa Melayu mempunyai pengetahuan tentang VLE Frog, memiliki pengetahuan serta kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi, mengikuti kursus berkaitan VLE Frog serta mengetahui cara-cara menggunakan VLE Frog. Berdasarkan soal selidik yang dilakukan, aplikasi ini juga digunakan oleh guru-guru dalam sesi pengajaran dan pembelajaran sebagai bahan bantu mengajar, memberi tugasan kepada murid, perkongsian bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran serta membina bahan pengajaran dan pembelajaran. Implikasi Implikasi bagi kajian ini adalah untuk melihat tahap pengetahuan guru dan penggunaanya dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Rumusan Kesimpulannya, kemudahan infrastruktur ICT di sekolah juga seharusnya lengkap dan sempurna bagi menjayakan lagi hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam menjadikan VLE Frog sebagai satu transformasi dalam pendidikan. Keywords Tahap pengetahuan guru; bahasa Melayu; penggunaan VLE Frog dalam sesi pengajaran dan pembelajaran, Kemahiran Teknologi Maklumat dan Komunikasi;


KESAN PENGGUNAAN APLIKASI PLICKERS DALAM KEMAHIRAN TATABAHASA MURID TINGKATAN EMPAT The Effect of Using The Plickers Application In The Grammar Skills of Fourth Grade Students Norsufiah Binti Amir [email protected] Normarini Norzan [email protected] Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris, 35900, Tg. Malim, Perak. Abstrak Tujuan Tujuan ini ialah mengkaji kesan penggunaan aplikasi Plickers dalam kemahiran tatabahasa murid tingkatan empat berasaskan gamifikasi terhadap pencapaian dan persepsi murid. Metodologi Reka bentuk kajian ini ialah kajian ekperimental satu kumpulan ujian pra dan ujian pasca. Seramai 30 orang murid sekolah menengah dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bugaya, Semporna Sabah telah dipilih secara persampelan rawak kluster untuk dilibatkan dalam kajian ini. Instrumen kajian yang terlibat dalam kajian ini ujian pra, ujian pasca dan juga soal selidik IMMS (Instructional Material Motivation Survey) dengan skala Likert 5 mata. Dapatan Dapatan kajian mengenai motivasi pelajar mendapati, kontrusk perhatian (3.55), relevan (4.47), keyakinan (3.15) dan kepuasan (4.6) dengan memperoleh purata min sebanyak (3.64). Dapatan kajian juga menunjukkan seramai 30 orang murid lulus penuh yang mewakili 100% dalam ujian pasca berbanding 10 orang sahaja pada ujian pra iaitu hanya 33.33%. Kadar peningkatan murid lulus adalah sebanyak 33.33% yang menunjukkan perubahan ketara kadar keberkesanan penggunaan aplikasi Plickers dalam pengajaran dan pembelajaran tatabahasa. Analisis ujian t berpasangan mendapati terdapat perbezaan pencapaian yang signifikan sebelum dan selepas murid menggunakan aplikasi Plickers (p): <0.001. Implikasi Kajian ini memberi impak terhadap corak pengajaran guru dalam menyampaikan topik pengajaran agar lebih menarik dan mampu meningkatkan motivasi serta minat murid dalam mempelajari tatabahasa bahasa Melayu. Selain itu, memberi gambaran terhadap aktiviti yang berunsurkan permainan gamifikasi. Rumusan Kesan saiz kajian ini juga menyatakan rawatan dalam kajian ini membawa kesan yang besar kepada murid. Secara kesimpulannya, penggunaan aplikasi Plickers berasaskan gamifikasi berpotensi untuk dilaksanakan dalam pengajaran dan pembelajaran tatabahasa. Keywords Pedagogi, Bahasa Melayu, Tatabahasa, Tingkatan empat, Plickers


Senarai Ahli Jawatankuasa Penasihat 1 : Dr. Zuraini binti Ramli Penasihat 2 : Dr. Muhamad Fazllah bin Hj Zaini Pengarah : Ahmad Izzuddin bin Rosli Al Hairi Timbalan Pengarah : Nor Hidayah binti Idrus Setiausaha : Arja Nuratika binti Ibrahim Timbalan Setiausaha : Nelson Ludie anak Usah Bendahari : Fatimah Auni binti Ramli Timbalan Bendahari : Nur Aqilah Khaleeda binti Zainal Abidin Jawatankuasa Persiapan Tempat dan Keselamatan Ketua: Azman bin Sampang Ahli: Awg Mohamad Saiful bin Awang Mostapha Mohamad Adzim bin Ab Wahab Muhamad Hafizi bin Che Hassan Muhammad Ikhmal bin Mohamad Sabri Mohammad Amirul Fahmi bin Azmi Jawatankuasa Teknikal Ketua: Muhammad Aiman bin Mohamad Ahli: Muhammad Nur Al-Hadi bin Aziz Muhamad Izzat bin Mohd Sabri Muhammad Luqman Nurhakim bin Zulikhsyam Puan Hidayah/Encik Min Staf FBK


Jawatankuasa Publisiti, Dokumentasi dan Informasi Ketua: Nurfarhana binti Mohd Radzi Ahli: Kelly Peter Dumpong Nur Faratul Nisa binti Ab Rahman Norsufiah binti Amir Noor Afiqah binti Ishak Nur Izzah binti Ab Llah Nur Azreen Gusri Bin Rani Jawatankuasa Protokol dan Program Ketua: Nur Ain Hikmah binti Fauzi Ahli: Amilina binti Hamiun Astikah binti Mohd Yayah Nurul Qarmila binti Badarudin Sharmeen Farahim binti Che Rahim Nadhirah Fitriah binti Mohd Raduan Nurainwahidah binti Ahmad Siti Nur Aisah Najihah binti Rani Aqydah Dahlan bin Jamridil Fatin Qistina binti Aziz Jawatankuasa Sijil, Pendaftaran dan Jemputan Ketua: Mohd Alhafiz bin Abdullah Ahli: Cristiesa anak Colin Anis Syahirah binti Awang Fatin Norhidayah binti Mat Hussin Naizatul Nabila binti Basri Nurul Azwanie Syuhada binti A.M Salim Nurul Syahida binti Zolkepeli Nur Asilah Afiqah Binti Adnan Jawatankuasa Cenderahati Ketua: Nor Amirah binti Ahmad Bakri Ahli: Nor Farhana binti Azman Nurul Aidah binti Masri Wan Nur Huda Kamilah binti Wan Abdul Majid Norsazilah binti Jaidal Mohd Ammar bin Mat Sahari Aida Ruzana binti Mohd Rosli Wan Nuranis Binti Wan Mohd Arif


Jawatankuasa Makanan Ketua: Nurul Izzati Dayana binti Mastora Ahli: Nurul Hanis binti Wandy Ainah Gimir Anis Nazifa binti Mohd. Sukor Nur Zafirah binti Zainuddin Charlie Anak Kong Jawatankuasa Tajaan Ketua: Siti Nursyahirah binti Mohd Fairos Ahli: Nor Fatinaziha binti Mohd Nazim Nor Shafisya Alena binti Misran Noor Shahida binti Endang Triana Nurul Ain Farhana Binti Shafri Jawatankuasa Artikel dan Prosiding Ketua: Wan Nor Azlina binti Abdullah Ahli: Muhamad Ifwat bin Mohd Azhuddin Puteri Maisarah binti Musa Nur Aina Anina binti Abidin Jawatankuasa Penilaian dan Penganugerahan Ketua: Elvienie Petrus Semua pensyarah penilaian Projek Tahun Akhir Bahasa Melayu


Sekalung budi Setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih tidak terhingga diucapkan kepada semua yang terlibat menjayakan Program KoLiMi Bahasa Melayu Antarabangsa 6.0. Kejayaan program ini adalah hasil usaha gigih dan komitmen daripada semua pihak yang terlibat termasuk penganjur, peserta dan semua yang memberikan sumbang dalam pelbagai bentuk. Program ini tidak hanya memartabatkan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa, tetapi juga memperkukuhkan jalinan persahabatan dan kerjasama antara pelbagai pihak. Ambilkan saya buah delima, Masak sebiji di balik daun; Budi tuan saya terima, Jadi kenangan bertahun-tahun. Akar keladi melilit selasih, Selasih tumbuh di hujung taman, Kalungan budi junjungan kasih, Mesra kenangan sepanjang zaman. Ayam rintik di pinggir hutan, Nampak dari tepi telaga; Nama yang baik jadi ingatan, Seribu tahun terkenang juga.


Penaja dan Logo


Ibu Kandung Suluh Budiman Ibu Kandung Suluh Budiman Obor Di malam Gelap Bina Budi Penyebar Tekad Pancaran Semangat Waja Ibu Kandung Suluh Budiman Ibu Pujaan Kami Yang Berjasa PadaMasyarakat Hidup Gagah Berani Ibu Kandung Suluh Budiman Dengarlah Sumpah Sumbangsih Nan Suci Selagi Hayat Dikandung Badan Kami Tetap Berbakti


Setulus Bicara


Click to View FlipBook Version