PUTERI SANTUBONG DAN
PUTERI SANJENJANG
Puteri Santubong dan Puteri Sejenjang ialah dua orang puteri dewa
kayangan yang mempunyai paras rupa dan kecantikan yang tiada tolok
bandingnya ketika itu. Sesiapa sahaja yang memandang pasti akan
terpikat.
Paras kedua-dua puteri anak dewa dari kayangan itu bagaikan purnama
menghias alam, bersinar-sinar bergemerlapan. Alis mata, yang lentik
dan ekor mata seperti seroja biru di kolam madu.
Walaupun ketinggian tubuh mereka hanyalah sederhana tetapi suara
mereka cukup merdu seperti seruling bambu. Inilah kelebihan yang
terdapat pada Puteri Santubong dan Puteri Sejenjang.
Kehidupan Puteri Santubong dan Puteri Sejenjang amat mesra sekali.
Mereka diibaratkan adik-beradik kembar. Senyuman dan kegembiraan
sentiasa bermain dibibir. Bergurau dan bersenda tidak lekang daripada
keduanya. Mereka sentiasa sepakat dan sekata. Demikianlah kehidupan
yang mereka lalui setiap hari.
“Sejenjang, selepas selesainya kerja kita berdua ini, kita bermain-main,
mahu?” Tanya Puteri Santubong kepada Puteri Sejenjang yang asyik
menumbuk padi.
“Baiklah. Tapi kita mahu main apa ya?” balas Puteri Sejenjang.
“Kita main sorok-sorok di taman bunga di halaman sana. Lepas itu kita
petik bunga-bunga yang telah mekar di taman.”
“Yalah Santubong! Sudah lama juga kita tidak memetik bunga-bunga di
taman sana.”
Menantikan saat itu, kedua-duanya meneruskan pekerjaan masing-
masing hingga selesai.
Pekerjaan Puteri Santubong dari siang hingga malam hanyalah
menenun kain. Manakala Puteri Sejenjang pula asyik dengan
menumbuk padi.
Pada suatu hari, ketika Puteri Santubong leka menenun kain dan Puteri
Sejenjang asyik menumbuk padi, berbual-buallah mereka tentang
kecantikan diri masing-masing. Mereka memuji-muji tentang kelebihan
diri sendiri.
“Sejenjang! Kau lihat tak diri aku yang serba tidak cacat ini! Dengan
duduk menenun seperti ini, aku dapat menjaga kerampingan
pinggangku ini. Aku pasti suatu hari nanti, bila anak raja sampai ke mari,
dia akan melamar dan mengahwini aku. Aduh! Betapa bahagianya di
saat itu, Sejenjang?” Tanya Santubong kepada Sejenjang yang asyik
menumbuk padi.
Puteri Santubong terus memuji-muji akan kecantikan dirinya. “Bila aku
sudah diam di istana nanti, tentunya dayang-dayang mengelilingi aku,
sambil menyikat-nyikat rambutku yang mengurai ini. Nanti mereka akan
berkata, inilah anak dewa kayangan yang paling cantik pernah mereka
temui. Saat itu akulah tuan puteri yang paling cantik di dunia ini.”
Puteri Sejenjang yang asyik menumbuk padi mulai merasa marah dan
cuba menentang kata-kata Puteri Santubong yang menganggap dirinya
sahajalah yang paling cantik. Puteri Sejenjang menyatakan dirinya yang
paling cantik dan rupawan. Kecantikannya mengalahi paras rupa Puteri
Santubong.
“Tidakkah kau tahu Santubong? Dengan cara berdiri menumbuk padi
begini menjadikan tubuhku ini, kuat dan tegap. Subur menawan. Leher
juga jinjang. Betis bagaikan bunting padi.”
“Dengan menumbuk padi ini juga jari-jemariku halus dan lenganku ini
serasa tegap daripada engkau yang asyik bongkok menenun kain.
Entah nanti, engkau cepat pula rebah ke bumi. Takut pula anak raja itu
melamar aku dahulu,” balas Puteri Sejenjang.
Mendengar kata-kata Puteri Sejenjang, Puteri Santubong enggan
mengalah. Puteri Sejenjang juga pantang menyerah. Masing-masing
mahu dipuji. Akhirnya, pertengkaran antara Puteri Santubong dan Puteri
Sejenjang semakin hangat. Masing-masing tidak dapat mengawal
perasaan mereka lagi. Pertengkaran antara keduanya berlarutan.
Daripada nada suara yang rendah bertukar menjadi lantang sambil
mencaci-caci dan menghina antara satu dengan yang lain.
“Sejenjang! Kalau asyik pegang antan, jangan harap betis kau tu akan
jadi bunting padi. Takut lemak tak berisi. Dek antan tu jugalah jari-jemari
kau tu, kesat dan kasar. Tidak seperti jari-jemariku ini yang halus serta
runcing,” kata Puteri Santubong dengan bangga.
Dengan perasaan penuh dendam dan dengan amat marah, Puteri
Sejenjang hilang sabar lalu menyerang Puteri Santubong dengan antan
di tangan. Ayunan pukulan Puteri Sejenjang amat kuat dan cepat, lalu
terkenalah ke pipi Puteri Santubong yang sedang duduk menenun kain.
Menjeritlah Puteri Santubong kerana kesakitan.
Puteri Santubong bertambah marah. Puteri Santubong juga tidak
berdiam diri, lantas menikam Puteri Sejenjang dengan batang belidah
yang ada dalam genggamannya. Tikaman itu tepat ke arah kepala
Puteri Sejenjang dan menembusinya. Maka menjeritlah pula Puteri
Sejenjang sekuat-kuatnya akibat kesakitan tikaman tersebut.
Berakhirlah sebuah persahabatan dan persaudaraan yang telah dijalin
oleh mereka selama ini.
Kononnya akibat pergaduhan dan ayunan antan puteri Sejenjang yang
terkena ke pipi Puteri Santubong menyebabkan Gunung Santubong
telah terpecah menjadi dua seperti yang dilihat pada hari ini. Demikian
juga dengan tikaman batang belidah oleh Puteri Santubong yang
mengenai tepat ke kepala Puteri Sejenjang, menyebabkan Bukit
Sejenjang pecah bertaburan menjadi pulau-ulau kecil berhampiran
Gunung Santubong.
Kisah sedih di antara Puteri Santubong dan Puteri Sejenjang akhirnya
menjadi kenangan dan ingatan rakyat Sarawak. Maka lahirlah lagenda
Puteri Santubong dan Puteri Sejenjang yang kita dengar sehingga ke
hari ini.
Oh……Puteri Santubong,
Sejinjang sayang,
Kisah lama, Zaman mensia maya.
Puteri Santubong, Puteri Sejinjang,
Penjaga gunung Negeri Sarawak,
Manis sik ada dapat dilawan,
Anak dak Dewa turun kayangan.
Oh……
Santubong puteri bertenun kain malam,
Oh……
Sejinjang puteri menumbuk padi siang.
Satu hari nya dua kelahi,
Beranuk anuk sik renti-renti,
Seorang madah dirik bagus agik,
Seorang sik ngalah walau sampai ke mati.
Udah lejuk nya duak kelahi,
Lalu bertukuk nya duak puteri,
Sejinjang mengayun aluk ke pipi,
Tebik Santubong sampai gituk ari.
Tapi Santubong membalas juak,
Lalu ditikam batang belidak,
Sampei terkena Sejinjang kepala,
Lalu bertabor jadi Pulo Kera.
Kisah Santubong, kisah Sejinjang,
Asal berkawan jadi musuhan,
Kinik tuk tinggal jadi kenangan,
Pakei ingatan sepanjang zaman.