BATU BELAH, BATU BERTANGKUP
Mak Tanjung tinggal bersama anaknya Melur dan Pekan di kaki Bukit
Berapit. Sejak suaminya meninggal dunia, Mak Tanjung menjadi muram
dan pendiam. Dia asyik bersedih hati. Kerjanya mencari akar kayu untuk
dibuat ubat juga diabaikan.
Pada suatu hari, Mak Tanjung teringin makan telur ikan tembakul. Dia
pun pergi ke sungai untuk menangguknya. Bukan main suka hatinya
apabila dapat menangguk seekor ikan tembakul.
Sampai di rumah, Mak Tanjung terus menyiang ikan itu. Dia pun
memberikan kepada Melur untuk digulai. “Masaklah ikan dan telur
tembakul ini. Emak ingin makan telurnya,” kata Mak Tanjung.
Kemudian dia keluar mencari akar kayu. Selepas siap memasak gulai
itu, Melur pun mengasingkan separuh telur tembakul. Diletaknya di atas
para. Pekan makan gelojoh sekali. Apabila habis dia minta lagi.
Tidak lama kemudian Mak Tanjung pulang. Dia mahu makan.
“Mana telur tembakul?” tanya ibu Melur.
“Sudah habis, emak. Pekan makan semuanya,” jawab Melur perlahan.
“Sampai hati kamu berdua,” kata Mak Tanjung kecil hati.
Sedih benar hatinya kerana anak-anak sampai terlupa kepadanya. Mak
Tanjung merajuk lalu pergi ke dalam hutan.
Di hutan ada batu belah. Batu itu berpuaka. Kalau dia lapar dia akan
terbelah. Kalau sudah dapat mangsa dia akan bertangkup.
Mak Tanjung melangkah laju ke arah batu berpuaka itu. Melur dan
Pekan mengejar dari belakang. Kedua-dua orang anaknya itu berteriak
sambil menangis. Melur dan Pekan mahu ibu mereka pulang.
“Groomm… grooommm…” Batu belah bersuara.
Melur dan Pekan berlari sekuat hati. Namun, apabila sampai di batu
berpuaka itu, ia sudah tertangkup. Bayangan ibu mereka sudah tiada.
Esok paginya Nenek Kebayan jumpa Melur dan Pekan yang masih tidur.
Mereka tertidur di depan batu belah setelah letih menangis. Ibu mereka
tidak akan pulang lagi.
Sejak hari itu, Melur dan Pekan tinggal bersama Nenek Kebayan. Melur
berjanji pada suatu hari nanti dia mesti hapuskan batu belah yang
berpuaka itu. Dia dan adiknya terlalu rawan kerana ibu mereka mati di
situ.
Masa berlalu. Melur menjadi gadis rupawan. Parasnya cantik dan
menawan. Pekan pula gagah dan tampan.
Pada suatu hari, Raja Indera Sakti mengadakan temasya menyabung
ayam. Diam-diam Pekan membawa ayamnya Jalak ke temasya itu.
Pekan tidak memberi tahu Melur atau Nenek Kebayan.
“Hai orang muda, apa yang hendak kamu pertaruhkan?” tanya raja.
“Jika kalah, patik akan bekerja untuk tuanku, Jika menang patik hanya
mahu hadiah sepasang pakaian,” jawab Pekan.
Baginda tersenyum tanda setuju. Jalak pun bersabunglah dengan ayam
raja. Tidak diduga, Jalak menang apabila tajinya mencederakan ayam
raja.
Pekan gembira. Dia akan dapat hadiah daripada Raja Indera Sakti.
Tiba-tiba kakaknya, Melur merah kerana marah.
“Pekan, kau pulang sekarang. Jangan berani hendak mengambil hadiah
selepas ayam itu cedera oleh taji Si Jalak!” kata Melur.
Raja Indera Sakti mendengar kata-kata Melur itu. Baginda melihat wajah
Melur yang cantik rupawan. Petang itu satu rombongan dari istana
datang ke rumah nenek. Mereka membawa cincin pinangan daripada
raja.
Melur menerima pinangan baginda Raja Indera Sakti.
Tujuh hari sebelum hari perkahwinan antara Melur dengan baginda raja,
satu rombongan pergi ke Bukit Berapit. Mereka membawa peluru dan
meriam. Mereka membedil batu belah.
Pada hari itu juga baginda mengumumkan temasya menyabung ayam
mesti dihentikan. Semenjak hari itu batu belah tidak mengaum lagi dan
gelanggang sabung ayam pun tinggal lengang.