BADANG
Pada zaman dahulu terdapat seorang hamba di Temasik. Temasik
sekarang dikenali sebagai Singapura. Hamba itu bernama Badang.
Tuannya bernama Orang Kaya Nira Sura. Badang diberikan tugas oleh
tuannya untuk menebas hutan dan membersihkan semak-samun di
sebuah bukit. Tempat itu hendak dijadikan kawasan bercucuk tanam.
Berhampiran tempat Badang menebas itu terdapat sebatang anak
sungai. Di kaki bukit berhampiran sungai itulah Badang berehat selepas
penat bekerja. Setelah selesai sembahyang, barulah Badang membuka
bekalan. Badang makan nasi di dalam upih pinang yang dibawanya.
Walaupun berlaukkan pucuk dicecah dengan sambal garam, nasi
sebungkus itu habis dimakannya.
Selepas itu, Badang pergi ke anak sungai. Di situ, kelihatan anak-anak
ikan bermain-main di dalam air yang jernih. Badang terfikir, "Daripada
aku makan nasi dengan sambal, lebih baik aku cuba tangkap ikan itu.
Boleh juga dibuat lauk. Kalau dapat banyak boleh aku bawa pulang
kepada tuanku. Tentu tuan aku suka kalau dapat merasa ikan tebarau,
terbuk, dan lain-lain."
Sebelum Badang pulang, dia menebang buluh. Dia membuat lukah, iaitu
sejenis perangkap untuk menangkap ikan. Dia menahan lukah itu di
dalam sungai.
Keesokan harinya, pagi-pagi lagi Badang turun pergi menebas. Sebelum
mula kerja menebas, Badang turun ke sungai untuk melihat lukah yang
ditahannya. Namun, Badang terperanjat apabila melihat terdapat
timbunan tulang ikan di tebing sungai berhampiran lukahnya. Badang
dengan segera pergi mengangkat lukahnya. Dia mendapati lukahnya
telah diusik orang. Di dalamnya tidak ada ikan, kecuali tinggalan sisik-
sisik ikan. Dia berasa hairan. Badang menahan lagi lukahnya di tempat
yang sama. Kemudiannya, dia pergi menyiapkan kerja.
Seperti biasa apabila hari petang, Badang balik ke rumah tuannya. Dia
tidak pergi melihat lukahnya pada waktu petang kerana lukah akan
mengena pada waktu malam.
Esoknya pula, Badang pergi menebas seperti biasa. Setelah sampai di
tempat itu, Badang terus pergi ke anak sungai untuk melihat lukahnya.
Sekali lagi, dia terperanjat kerana timbunan tulang ikan di tepi sungai itu
bertambah banyak. Badang terus pergi mengangkat lukahnya. Dia
mendapati lukahnya itu tiada ikan, kecuali sisik ikan sahaja yang tinggal.
Badang bertambah hairan.
"Siapakah yang makan ikan mentah?" dia bertanya dalam hatinya.
Akhirnya, Badang mengambil keputusan ingin mengintai siapakah yang
mencuri ikan di dalam lukahnya itu. Dia menahan semula lukah itu.
Kemudian, dia pergi menebas seperti biasa. Apabila hari sudah senja,
Badang tidak balik. Dia terus pergi bersembunyi untuk mengintai
siapakah yang mencuri ikan di dalam lukah itu. Dia menyorok di sebalik
semak. Apabila larut malam, datanglah satu lembaga. Matanya merah,
bertaring panjang, berjanggut, dan berambut panjang. Muka lembaga itu
sangat hodoh. Kukunya panjang. Lembaga itu mengangkat lukah lalu
mengambil ikan-ikan di dalamnya. "Wah, hantu rupa-rupanya!" kata
Badang di dalam hati. "Aku tidak takut kepada hantu itu!" ujar Badang
lagi di dalam hatinya. Badang lalu memberanikan dirinya, walaupun
berasa seram. Dia segera menerkam dan menangkap janggut lembaga
itu. Berlakulah pergelutan. Namun, Badang tidak melepaskan lembaga
itu. Akhirnya, lembaga itu mengaku kalah. Lembaga itu minta
dilepaskan. Namun, Badang tidak melepaskan lembaga itu dengan
begitu mudah. Lembaga itu merayu-rayu minta dilepaskan.
"Kalau tuan hamba melepaskan hamba, hamba akan berikan apa
sahaja yang tuan hamba mahu," ujar lembaga itu.
Badang terfikir, "Betulkah janji lembaga ini?" Badang mahu menguji,
adakah kata-kata lembaga itu benar? Badang cuba memikirkan apa
yang dia mahu minta. Kalau minta banyak harta, nanti harta itu akan
menjadi milik tuannya. Kalau minta isteri cantik, mungkin akan diambil
oleh tuannya juga. Tetapi kalau minta jadi gagah perkasa, tentu boleh
menolong tuannya untuk membersihkan hutan itu. "Baiklah! Aku mahu
jadi gagah perkasa," kata Badang.
"Kalau tuan hamba mahu jadi gagah, tuan hamba hendaklah makan
muntah hamba," kata lembaga itu. Badang termenung dan berfikir
sejenak. "Baiklah! Aku setuju. Cepat! Biar aku jadi gagah," kata Badang.
Lembaga itu muntah di atas daun keladi yang ada di situ. Tanpa
berlengah lagi, Badang pun makanlah muntah lembaga itu hingga habis.
Lembaga itu minta dirinya dilepaskan.
"Belum boleh lagi! Tunggu dulu," Badang berkata sambil tangannya
masih lagi memegang janggut lembaga itu. Dia mengheret lembaga itu
ke arah sebatang pokok besar. Badang cuba mengangkat pokok itu
dengan sebelah tangannya. Pokok itu tumbang. Badang berasa sangat
gembira hajatnya termakbul. Badang mengucapkan terima kasih kepada
lembaga itu. Lembaga yang muka hodoh dan bertaring tadi tiba-tiba
bertukar wajah menjadi manusia yang berambut putih dan berjanggut
putih.
"Aku bukanlah hantu sebagaimana yang kamu sangkakan. Aku datang
untuk menolongmu. Kamu seorang yang cekal, tabah, dan jujur," kata
lelaki tua itu. Kemudian dia ghaib daripada pandangan Badang.
"Mungkin dia seorang alim!" fikir Badang.Badang bersyukur kepada
Tuhan kerana memperoleh kekuatan yang luar biasa itu. Malam itu,
Badang membersihkan semua hutan sebagaimana yang diarahkan oleh
tuannya. Setelah selesai, dia pun pulang.
Pada keesokannya, dia tidak pergi menebas lagi. Tuannya memanggil
dan bertanya mengapa dia tidak pergi menebas. Badang memberitahu
bahawa dia telah membersihkan hutan dan semak-samun tersebut.
Tuannya, Orang Kaya Nira Sura itu tidak percaya apa yang diceritakan
oleh Badang. Dia pergi ke hutan untuk melihat sendiri keadaan
tanahnya. Orang Kaya Nira Sura hairan kerana hutan dan semak-samun
itu memang telah habis dibersihkan oleh Badang. Orang Kaya Nira Sura
berasa gembira kerana hutan di tanahnya sudah dibersihkan. Namun,
dia berasa bimbang, kalau-kalau Badang mengapa-apakannya pula.
Orang Kaya Nira Sura lalu mempersembahkan Badang kepada Raja
Temasik. Maka Badang pun dibebaskan daripada tuannya. Sekarang
Badang tinggal di istana Raja Temasik sebagai budak suruhan.
Pada suatu hari, Pemaisuri raja mengidam mahu makan buah
mempelam. Permaisuri menyuruh Badang mengambil buah mempelam
muda. Badang tidak lengah-lengah lagi. Dia terus memanjat pokok
mempelam di hadapan istana raja itu. Disebabkan buah mempelam itu
berada di hujung ranting, dia terpaksa menghulurkan tangan untuk
mengambil buah mempelam itu. Tiba-tiba dahan tempat Badang
berpijak itu patah. Dia terjatuh ke tanah. Kepalanya terhempas ke batu.
Batu besar di bawah pokok mempelam itu terbelah dua. Namun, kepala
Badang tidak cedera Permaisuri berasa hairan melihat kejadian itu.
Permaisuri lalu pun memberitahu kejadian itu kepada raja. Raja datang
menyaksikan sendiri. Baginda melihat batu besar di hadapan istana itu
terbelah dua. Baginda sangat hairan akan peristiwa itu. Raja Temasik
lalu mengangkat Badang sebagai pahlawan gagah perkasa. Kehebatan
Badang tersebar di seluruh Temasik. Kemasyhuran itu turut tersebar ke
Benua Keling. Maharaja Keling datang ke Temasik dengan membawa
pahlawan yang kuat lagi perkasa dari negaranya. Pahlawan itu bergelar
Pahlawan Gagah Perkasa. Pahlawan itu dibawa masuk untuk beradu
kekuatan dengan Badang. Raja Temasik bersetuju pertandingan itu
diadakan di hadapan pembesar-pembesar negara dan rakyat jelata.
Maka tibalah hari yang ditetapkan. Hari pertandingan kekuatan di antara
dua buah negara. Sementara menunggu masa dan ketika peraduan
dimulakan, Pahlawan Gagah Perkasa dari Benua Keling itu duduk
berhampiran dengan Badang. Dia lalu menindih paha Badang dengan
pahanya secara bergurau. Namun, Badang boleh mengangkat paha
pahlawan itu. "Wah, gagah sungguh Pahlawan Temasik ini!" ujar
Pahlawan Gagah Perkasa itu dalam hatinya.
Tetuang dibunyikan menandakan pertandingan akan dimulakan.
Pahlawan Gagah Perkasa dari Benua Keling itu mula mengangkat batu
di hadapan majlis raja-raja dan pembesar negara masing-masing.
Dengan rasa megah pahlawan itu dapat mengangkat batu itu setinggi
paras lututnya. Dia lalu membawa batu itu ke hadapan raja dan
diletakkannya di situ. Maharaja Keling dan para pembesar negara pun
ketawa kerana gembira. Riuh rendah kedengaran. Akhirnya, sampailah
masanya giliran Badang. Badang yang bertubuh kerdil berjalan masuk
dengan lemah longlai menuju ke batu besar itu. Badang lalu
mengangkat batu itu dan membalingnya ke Teluk Belanga. Pahlawan
Gagah Perkasa Benua Keling berasa malu kerana tidak dapat
menandingi kekuatan Badang yang sungguh gagah perkasa itu.
Demikianlah kemasyhuran Badang sebagai seorang yang gagah
perkasa pada zaman dahulu. Itulah sebabnya kemasyhurannya menjadi
buah mulut yang dituturkan orang dari zaman ke zaman.