The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

ULASAN ARTIKEL INDIVIDU SEKOLAH DAN MASYARAKAT

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by AAnn, 2024-05-05 09:37:26

ULASAN ARTIKEL INDIVIDU SEKOLAH DAN MASYARAKAT

ULASAN ARTIKEL INDIVIDU SEKOLAH DAN MASYARAKAT

Keywords: ULASAN ARTIKEL

1.0 PENDAHULUAN N. Othman & Wardatul Aisyah Musa (2014). Kesedaran Kendiri Terhadap Aktiviti Kokurikulum dan Keberkesanannya Kepada Remaja. Kesedaran Kendiri Terhadap Aktiviti Kokurikulum dan Keberkesanannya Kepada Remaja. Artikel ini bertujuan untuk membincangkan tentang kesedaran kendiri remaja terhadap aktiviti kokurikulum dalam pembentukan sahsiah mereka. Di dalam artikel ini juga turut membincangkan mengenai teras kokurikulum yang telah digariskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kepada remaja yang masih menuntut di institusi pengajian tinggi serta keberkesanannya dalam membentuk sahsiah remaja, termasuklah kajian-kajian yang berkaitan dengan aktiviti kokurikulum yang telah dilakukan. Di samping itu, sistem pendidikan negara pada masa kini juga telah disentuh di dalam artikel ini. Pendekatan kajian yang dilakukan oleh penulis adalah dalam bentuk kualitatif, di mana ianya fleksibel bergantung pada tujuan penelitian.


2.0 ULASAN KRITIS Berdasarkan artikel yang telah saya pilih ini, terdapat beberapa perkara yang ingin saya ulaskan setelah melihat, membaca dan mendalami hasil penulisan artikel oleh Wardatul Aishah Musa dan Nooraini Othman. Pertama, berkenaan isu utama yang telah dibangkitkan oleh penulis. Isu utama yang ingin disampaikan penulis adalah untuk membincangkan tentang keberkesanan aktiviti kokurikulum terhadap kesedaran kendiri remaja dalam membentuk sahsiah mereka. Adakah aktiviti kokurikulum ini dapat membantu remaja dalam menjadikan mereka ini mempunyai sahsiah yang baik? Adakah remaja ini mempunyai kesedaran kendiri terhadap pentingnya melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum? Di samping itu, isu yang ingin diutarakan oleh penulis di dalam artikel ini juga adalah berkaitan dengan sistem pendidikan negara Malaysia khususnya dalam keterlibatan aktiviti kokurikulum. Adakah kementerian dan kerajaan memberikan penekanan dalam kepentingan aktiviti kokurikulum? Bagaimanakah peranan sistem pendidikan di Malaysia dalam memastikan aktiviti kokurikulum menjadi satu perkara yang wajib diambil berat oleh setiap remaja? Adakah isu yang dibangkitkan oleh penulis ini menarik? Pada pendapat saya, isu-isu yang diutarakan oleh penulis ini menarik perhatian saya. Hal ini kerana, sebagai seorang pendidik, kemenjadian pelajar adalah bermula ketika zaman persekolahan. Pendidikan yang didedahkan di sekolah akan memberi impak kepada pelajar ketika meningkat remaja dan seterusnya. Aktiviti kokurikulum di sekolah memainkan peranan yang sangat tinggi dalam membentuk sahsiah pelajar. Keperibadian pelajar dapat dipupuk dan diterapkan ketika aktiviti kokurikulum dijalankan di luar bilik darjah. Menurut penulis, keterlibatan remaja di dalam aktiviti kokurikulum mendedahkan mereka kepada pembangunan modal insan yang sempurna dalam aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI). Selain itu, pada pandangan saya, isu ini menarik bagi saya kerana dalam menghadapi cabaran pada masa kini, khususnya dalam mendapatkan pekerjaan, penilaian kurikulum sahaja tidak mencukupi. Persaingan dalam mencari pekerjaan bukan hanya dilihat pada keputusan peperiksaan semata-mata, tetapi juga dilihat dalam keterlibatan graduan dalam aktiviti-aktiviti di dalam atau di luar kampus. Aktiviti-aktiviti ini yang menjadikan individu tersebut berbeza dengan individu-individu yang lain. Hal ini menjadikan saya tertarik untuk menerokai artikel ini


bagi mengenal pasti pandangan atau dapatan penulis dalam membincangkan kepentingan aktiviti kokurikulum kepada remaja supaya saya dapat mengaitkan juga dalam pandangan saya mengenai cabaran dalam mencari pekerjaan. Di samping itu, artikel ini juga menarik minat saya untuk mengkaji dengan lebih mendalam tentang kepentingan aktiviti kokurikulum dalam membentuk seorang individu yang bermoral serta bersedia untuk menyumbangkan tenaga secara fizikal dan mental kepada masyarakat. Dalam membentuk sesebuah negara yang aman dan harmoni, masyarakat perlulah mempunyai sikap bermoral yang tinggi. Masyarakat juga perlulah mempunyai kesepakatan antara satu sama lain, hormat-menghormati, bantu-membantu dan saling bertolak ansur bagi menjadikan negara Malaysia terhindar daripada perpecahan. Sesungguhnya, Malaysia mempunyai kepelbagaian adat, budaya, agama dan bangsa yang menjadikan Malaysia sebuah negara yang indah dan harmoni. Dalam melihat kepada penulisan ini, pada pandangan saya, saya bersetuju dengan isi kandungan yang diterjemahkan oleh penulis dalam menghuraikan apa itu kokurikulum secara lebih terperinci dan mudah difahami. Penulis menjelaskan maksud kokurikulum dari pelbagai kajian serta sumber-sumber seperti kamus dewan. Penulis juga ada merumuskan bahawa kokurikulum merupakan aktiviti yang dijalankan di luar bilik darjah dengan pengawasan penyelia atau sebaliknya serta ianya bersifat terbuka dan bebas untuk sesiapa sahaja yang ingin terlibat dengan sesuatu aktiviti tersebut. Saya amat bersetuju dengan pernyataan penulis tersebut kerana kokurikulum dapat dilaksanakan oleh sesiapa sahaja mengikut pilihan murid atau pelajar tersebut. Walaupun mereka merupakan ahli dalam sesuatu unit, persatuan, kelab atau sukan, mereka juga boleh melibatkan diri dalam aktiviti dari unit yang lain seperti menyertai pertandingan atau aktiviti yang dianjurkan oleh mana-mana unit atau persatuan di sekolah atau di institusi pengajian mereka. Di samping itu,saya juga bersetuju dengan dapatan penulis berkenaan dengan kesedaran kendiri (Self awareness) terhadap kokurikulum di mana ia akan menjadikan mereka bereaksi terhadap kokurikulum dan membolehkan mereka mendapatkan respons dari konsep kendiri tersebut. Berdasarkan pemahaman saya, konsep kendiri yang diperoleh adalah di mana remaja yang mempunyai kesedaran kendiri terhadap kokurikulum akan sentiasa termotivasi untuk melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum di mana-mana sahaja tanpa merasakan ada bebanan


atau paksaan dalam penglibatan terhadap aktiviti kokurikulum tersebut. Hasilnya, remaja yang mempunyai kesedaran kendiri yang tinggi terhadap kokurikulum akan merasakan bahawa aktiviti kokurikulum ini memberi impak kepada diri mereka pada masa akan datang dan memberi kesan dalam mewujudkan masyarakat yang berdisiplin dan mempunyai jati diri yang tinggi. Selain itu, dalam artikel ini juga turut didedahkan oleh penulis berkaitan dengan sistem pendidikan di Malaysia yang berhasrat untuk melahirkan generasi holistik dari aspek intelektual, kerohanian, emosi dan jasmani. Saya bersetuju bahawa pembangunan masyarakat yang seimbang dan harmonis dari segi intelektual, kerohanian, emosi dan jasmani memerlukan penyeimbangan antara akademik sahsiah. Oleh itu, pelbagai inisiatif yang telah dilakukan oleh kementerian pendidikan bagi merealisasikan visi mereka antaranya dengan menetapkan setiap murid untuk mengambil bahagian dalam sekurang-kurangnya 1 sukan, 1 kelab dan 1 badan beruniform. Saya bersetuju bahawa penulis amat menghargai sistem pendidikan negara yang telah melakukan perubahan yang besar dalam menjadikan kokurikulum sebagai satu perkara yang wajib dilibatkan oleh setiap remaja. Seterusnya, saya juga bersetuju dengan hasil dapatan berkenaan keberkesanan kokurikulum terhadap remaja ini, Perkara ini penting dalam kajian ini bagi melihat adakah aktiviti kokurikulum ini memberikan kesan yang baik kepada mereka. Hasil dapatan penulis menyatakan bahawa antara keberkesanan kokurikulum yang boleh diperoleh adalah remaja dapat meningkatkan keyakinan diri. Hal ini diperincikan oleh penulis dengan melihat kepada dapatan kajian oleh Ahmad dan Hisham (2009) mendapati bahawa tahap keterampilan pelajar yang mengikuti matapelajaran kokurikulum adalah tinggi di mana, tahap keterampilan seperti kemahiran komunikasi, keterampilan kemahiran kepimpinan, keterampilan bekerja dalam kumpulan serta keterampilan penampilan diri yang kemas. Ini merupakan satu kelebihan kepada remaja yang terlibat dalam aktiviti kokurikulum ini dalam membina diri mereka dan menjadi bonus ketika di alam pekerjaan. Mereka juga akan lebih matang dalam mengawal emosi, pemikiran dan fizikal kerana sudah biasa dengan perkara-perkara asas dalam kehidupan mereka. Penulis juga mendapati bahawa remaja mempunyai semangat berdaya saing yang tinggi serta boleh menyesuaikan diri dalam apa jua tekanan dan keadaan yang dihadapi. Aktiviti yang diperoleh dapat meningkatkan kepercayaan diri serta memberikan tenaga yang positif dan menjadikan remaja tidak mudah berputus asa dan pastinya dapat mengelakkan pelajar daripada


terjebak dalam keruntuhan akhlak dan moral. Selain itu aktiviti kokurikulum juga akan mewujudkan remaja yang berbakat dan berkemahiran insaniah. Seterusnya, cemerlang dalam pembelajaran juga merupakan kesan yang diperoleh sekiranya mereka melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum. Dalam penulisan artikel ini juga, saya mendapati bahawa artikel ini dapat mengubah atau memberi kesan terhadap cara saya berfikir mengenai kesan aktiviti kokurikulum ini terhadap remaja serta untuk masyarakat dan negara. Pada awalnya, saya hanya memikirkan bahawa aktiviti kokurikulum ini hanyalah sebagai satu aktiviti yang dinormalisasi yang wajib dilaksanakan di sekolah. Saya tidak memikirkan aktiviti ini memberi impak yang besar untuk jangka panjang. Saya juga beranggapan bahawa aktiviti ini tidaklah penting seperti pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Selepas mendalami penulisan artikel ini, saya dapat mengubah cara pemikiran saya dengan lebih luas lagi berkaitan faedah yang diperoleh dalam penglibatan kokurikulum ini bukan hanya pada diri individu tersebut, malahan turut menyumbang kepada pembangunan negara yang seimbang dan harmoni. Saya juga lebih jelas tentang kemahiran-kemahiran insaniah yang diperoleh sekiranya remaja tersebut melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum. Oleh itu, artikel ini sememangnya mengubah pandangan dan pemikiran saya dalam melihat keberkesanan aktiviti kokurikulum bukan hanya untuk diri dan juga sekolah, tetapi turut memberi impak kepada masyarakat dan negara.


3.0 PENUTUP Setelah membaca dan memahami artikel yang ditulis oleh N. Othman & Wardatul Aisyah Musa (2014), saya memperoleh pelbagai ilmu baru yang dapat memberi kekuatan kepada pemahaman saya berkenaan keberkesanan aktiviti kokurikulum terhadap remaja. Antaranya adalah tujuan sebenar aktiviti kokurikulum diwujudkan di peringkat sekolah rendah, sekolah menengah dan di institusi-institusi pengajian tinggi yang sangat penting dalam membentuk jati diri remaja. Saya menyedari bahawa kepentingan pelaksanaan aktiviti ini dapat memberi kesan jangka panjang buat negara dan menjadi aset kepada negara. Negara dapat melahirkan masyarakat yang berkebolehan, berdaya saing dan mampu menyumbangkan masa dan tenaga buat menjaga dan melindungi negara dari pelbagai aspek. Di samping itu, saya juga menyedari bahawa kesedaran kendiri remaja terhadap kepentingan kokurikulum akan menjadikan remaja itu mempunyai semangat yang tinggi dalam membina jati diri dan bersedia untuk memberi sumbangan kepada negara dalam apa jua sumbangan. Pada masa kini, kemahiran-kemahiran seperti kemahiran teknologi sangat penting bagi memastikan negara menjadi semakin maju setanding dengan negara-negara maju yang lain. Oleh itu, saya akan menggunakan ilmu pengetahuan yang saya perolehi dalam artikel ini dengan baik bagi memastikan ilmu ini dapat difahami dan dipraktikkan bukan kepada diri saya sahaja, tetapi buat orang-orang di sekeliling saya dan untuk masyarakat. Sekiranya saya melakukan kajian seperti yang dibincangkan dalam artikel ini, saya ingin mengubah sedikit perkara dengan membuat kajian secara lebih mendalam terhadap keberkesanan aktiviti-aktiviti kokurikulum terhadap remaja-remaja yang berada di luar bandar dan di bandar. Saya akan membuat perbandingan bagaimana kesannya dan adakah wujud perbezaan kesedaran kendiri aktiviti kokurikulum ini terhadap remaja yang berada di dua kawasan yang berbeza ini. Di samping itu, saya juga akan mengkaji apakah cara yang terbaik dalam meningkatkan kesedaran kendiri remaja terhadap aktiviti kokurikulum supaya dapat memberikan kesedaran betapa pentingnya aktiviti kokurikulum ini kepada mereka. Akhir kata, saya berasa gembira dan teruja dapat memahami dan didedahkan dengan ilmu baru yang akhirnya memberi kesedaran kepada saya. Saya akan memastikan saya dapat menyumbangkan sedikit sebanyak ilmu yang saya perolehi ini kepada orang lain dengan cara yang terbaik supaya masyarakat khususnya remaja menyedari akan kepentingan kesedaran kendiri aktiviti kokurikulum terhadap mereka.


Click to View FlipBook Version