PEMARKAHAN
BSS3153 SASTERA ANTARABANGSA
SEMESTER 1 SESI 2021/2022
Tugasan Kumpulan:
PERBANDINGAN DUA KARYA ANTARABANGSA
(NOVEL SAUDAGAR BESAR DARI KUALA LUMPUR KARYA KERIS
MAS DAN NOVEL TIBA-TIBA MALAM KARYA PUTU WIJAYA)
Disediakan Oleh:
KUMPULAN 7
Dari:
KUMPULAN KULIAH A
Nama Pensyarah:
DR. ROHAYATI BINTI JUNAIDI
JABATAN BAHASA DAN KESUSASTERAAN MELAYU
FAKULTI BAHASA DAN KOMUNIKASI
UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS
Tarikh Serah:
14 JANUARI 2022
SENARAI AHLI KUMPULAN 7:
NAMA : SITI NUR SYUHADA BINTI OMAR
NO. MATRIK : D20181082348
SEMESTER : 7
JURUSAN : AT01- ISMP KESUSASTERAAN
(MELAYU) DENGAN KEPUJIAN
NAMA : FARAH HANANI BINTI SHUKRI
NO. MATRIK : D20181082352
SEMESTER : 7
JURUSAN : AT01- ISMP KESUSASTERAAN
(MELAYU) DENGAN KEPUJIAN
NAMA : NUR AIN SYAQILLA BINTI
AMRAN
NO. MATRIK : D20181082354
SEMESTER : 7
JURUSAN : AT01- ISMP KESUSASTERAAN
(MELAYU) DENGAN KEPUJIAN
NAMA : WAN NUR AINNA BINTI WAN
IBRAHIM
NO. MATRIK : D20181082355
SEMESTER : 7
JURUSAN : AT01- ISMP KESUSASTERAAN
(MELAYU) DENGAN KEPUJIAN
SENARAI KANDUNGAN HALAMAN
1-6
BIL PERKARA
1.0 PENGENALAN
1.1 LATAR BELAKANG PENULIS
1.2 SINOPSIS NOVEL
2.0 OBJEKTIF KAJIAN 6
3.0 METODOLOGI KAJIAN 6
4.0 DAPATAN KAJIAN 6-20
4.1 PERBANDINGAN DARI SEGI TEMA
4.2 PERBANDINGAN DARI SEGI PEMIKIRAN
4.3 PERBANDINGAN DARI SEGI GAYA PENULISAN
4.4 PERBANDINGAN DARI SEGI NILAI BUDAYA
5.0 PENUTUP 21
RUJUKAN 22
LAMPIRAN 23
1.0 PENGENALAN
Hashim Awang (1987) mengatakan kesusasteraan itu adalah ‘Ciptaan Seni’ yang
disampaikan melalui bahasa. Ia mungkin dituturkan iaitu disebut sastera lisan dan
yang ditulis disebut sastera tulisan. Di samping itu, sastera pula memiliki keindahan
dalam aspek-aspek isi atau daya pengucapannya. Dalam pada itu, Ali Ahmad (1994)
menyusur lebih jauh ke dalam makna kesusasteraan dengan mengupas asal usul asal
sastera. Menurutnya, sastera berasal daripada bahasa Sanskrita castra, yang disebut
syastra.
Sementara dalam bahasa Inggeris sastera disebut sebagai literature berasal
daripada Latin litera yang bermakna huruf atau abjad (letter). Makna konteks bahasa
Inggeris ini sama dengan istilah Melayu yang menggunakan kata ’Persuratan’ berasal
dari kata surat. Dalam konteks ini, ia memberikan makna cerita, peristiwa atau fikiran
yang ditulis. Lebih jauh lagi ia bermaksud ’kepustakaan’, iaitu alat menyimpan dan
menyebarkan ilmu pengetahuan. Namun secara umum sastera yang telah melalui
evolusi dan perkembangan dari segi konsep dan maknanya ini membawa maksud
cerita, peristiwa, fikiran dalam bentuk imaginatif-fiksi merangkumi bentuk tulisan
mahupun bentuk lisan yang disampaikan untuk tujuan pengucapan kepada masyarakat.
Namun, sastera ini telah tersebar makin luas hingga ke kepulauan Indonesia. Oleh itu,
kajian ini dijalankan untuk melihat perbandingan karya sastera novel antara Malaysia
dan Indonesia.
Kajian karya sastera di Malaysia dan Indonesia telah banyak dilakukan oleh
para penyelidik. Namun, kajian ini mengupas secara tidak langsung mengenai karya
daripada Malaysia dan Indonesia. Kajian perbandingan karya sastera di Indonesia dan
Malaysia banyak dilakukan oleh para penyelidik. Namun usaha untuk mengkaji
secara mendalam tentang kemunculan novel di Indonesia dan Malaysia masih belum
ada. Terbitan ini mengupas dengan terperinci karya sastera di Indonesia dan Malaysia
sehingga mendorong kemunculan novel di kedua-dua negara dan perbandingannya.
Perkembangan penulisan novel dipengaruhi pelbagai faktor yang menarik selaras
dengan perkembangan mesin cetak. Menyelami hasil terbitan ini, pembaca akan
melihat aspek yang mempengaruhi novel berdasarkan keadaan semasa di Indonesia
dan Malaysia dari segi tema, nilai budaya dan gaya penulisan dalam kajian sastera.
Berdasarkan kajian lepas, Fathurahman dalam buku (Kesusasteraan Indonesia dan
Malaysia: Adakah Potret Budaya Melayu?) dalam studi etno-literature. Kesusasteraan
Indonesia dan Kesusasteraan Indonesia disebut sebagai kesusasteraan Melayu.
1
Alasannya kerana kedua kesusasteraan dari dua bangsa ini dipandang bertumbuh dan
satu rumpun budaya yang sama iaitu Melayu. Tentu saja pandangan ini akan memicu
berbagai pandangan yang berbeza dari sudut pandang yang berbeza pula. Oleh itu,
kajian kali ini adalah untuk menganalisis perbandingan dua karya antarabangsa
Malaysia dan Indonesia.
1.1 Latar Belakang Penulis
1.1.1 LATAR BELAKANG KERIS MAS
Keris Mas merupakan anak jati Pahang yang dilahirkan pada tanggal 10 Jun 1922 dan
telah meninggal dunia pada 9 Mac 1992 di Hospital Besar Kuala Lumpur akibat
serangan sakit jantung. Pada awal kehidupannya, beliau mendapat pendidikan awal di
sekolah Melayu hingga darjah 5. Kemudian, beliau telah dihantar oleh keluarganya
untuk melanjutkan pelajaranya di Tawalib School, Sumatera. Bahasa penghantar di
sekolah tersebut adalah bahasa Indonesia dan bahasa Arab. Setelah itu, Keris
melanjutkan pelajarannya di Kolej Kulliahtul Muallimin Al- Islamiah (Maktab
Perguruan Islam) untuk mengambil diploma perguruan bagi melayakkan dirinya
menjadi guru agama. Di kolej ini juga bahasa pengantarnya adalah bahasa Indonesia
dan Arab, di samping bahasa Belanda yang dijadikan sebagai salah satu mata
pelajaran wajib dan bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran tambahan. Tetapi Keris
Mas telah lulus llmu Umum dan bukannya jurusan agama sebagaimana yang
diharapkan oleh keluarganya. Kamaludin Muhammad atau lebih dikenali sebagai
Keris Mas merupakan sasterawan negara yang terkenal dengan penulisan cerpen. Hal
ini dibuktikan dengan kejayaan beliau menghasilkan lebih kurang 60 buah cerpen
pada tahun 1960-an. Oleh itu Keris Mas dikenali sebagai pengarang cerpen utama
bagi penulisan tempatan. Karya pertama beliau ialah Wasiat Orang Bangsawan yang
diterbitkan dalam majalah Suluh Malaya pada tahun 1946. Sebahagian besar karya
cerpen yang dihasilkan beliau banyak diadaptasi ke dalam bahasa asing seperti bahasa
Rusia. Pada 1980-an, Keris Mas telah berjaya menghasilkan sebuah novel yang
bertajuk ‘Saudagar Besar dari Kuala Lumpur‘. Novel ini merupakan sebuah prosa
moden yang memaparkan elemen sosiopolitik seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB)
dalam penceritaanya.
2
1.1.2 LATAR BELAKANG PUTU WIJAYA
Putu Wijaya atau nama sebenar Gusti Ngurah Putu Wijaya. Beliau dilahirkan di Puri
Anom Tabanan, Tabanan, Bali, pada 11 April 1944. Beliau merupakan seorang
penulis yang terkenal dengan sifat serba boleh. Beliau adalah seorang penulis drama,
cerpen, esei, novel dan lakon layar, pelukis dan sinetron. Putu telah menulis sejak
sekolah menengah lagi. Penulisan pertamanya ialah cerpen berjudul "Etsa" yang
diterbitkan dalam akhbar harian Indonesia Suluh, Bali. Putu Wijaya telah menulis
lebih kurang 30 novel, 40 skrip drama, lebih kurang seribu cerpen, ratusan esei,
artikel bebas, dan kritikan drama. Dia juga telah menulis lakon layar untuk filem dan
“soap opera”. Sebagai seorang penulis drama, beliau telah mengetuai Teater Mandiri
sejak 1971, dan telah mempersembahkan berpuluh-puluh drama di dalam dan luar
negara, antaranya termasuk skrip Gerr (Geez) dan Aum (Roar) di Madison,
Connecticut dan di LaMaMa, New York City, dan pada tahun 1991 membawa Teater
Mandiri dengan pertunjukan Yel di sekitar Amerika. Dia memenangi berpuluh-puluh
anugerah untuk karya sastera dan senario sinetron. Cerpennya sering memenuhi
ruangan akhbar Kompas dan Sinar Harapan. Novel-novelnya sering muncul dalam
majalah Kartini, Femina, dan Horison. Sebagai penulis skrip, beliau telah dua kali
memenangi anugerah Citra di Festival Filem Indonesia (FFI), untuk Per4w4n Desa
(1980), dan untuk Kembang Kertas (1985). Sebagai seorang penulis fiksyen, beliau
telah menghasilkan banyak buku. Antaranya yang banyak dibincangkan ialah Apabila
Malam Berubah Menjadi Malam, Telegram, Kilang, Ketuk, Tiba-tiba Malam, Buddy,
dan Guts. Beberapa karya beliau telah diterjemahkan ke dalam bahasa Belanda,
Inggeris, Rusia, Perancis, Jepun, Arab dan Thai.
1.2 Sinopsis Novel
1.2.1 SINOPSIS NOVEL SAUDAGAR BESAR DARI KUALA LUMPUR
(SBDKL) KARYA KERIS MAS
Novel Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur ini merupakan karya dari penulis yang
berasal dari Malaysia bernama Kamaludin Muhammad atau lebih dikenali sebagai
Keris Mas. Novel ini mengisahkan cita-cita seorang saudagar Melayu bernama Encik
Muhammad bin Idris yang mempunyai rancangan perdagangannya seperti membuka
ladang lada hitam di Johor dan mengusahakan perlombongan di Lembah Tualang. Dia
telah menubuhkan Syarikat Lombong Lembah Tualang dan berkongsi dengan Datuk
Tan. Encik Muhammad merupakan orang Melayu yang berdarah dagingkan
3
perniagaan sejak dari datuknya iaitu Orangkaya Indera Datuk Muhammad Saman bin
Bendahara Muda sehinggalah ayahnya Orangkaya Indera Datuk Idris. Keghairahan
Encik Muhammad untuk menjayakan lombong yang dirancangkannya itu diserahkan
kepada Sudin untuk menggunakan apa cara sekalipun walaupun dengan pelbagai
muslihat. Sementara itu, isteri Encik Muhammad iaitu Cik Puan Tipah pula bercadang
mengusahakan ladang orkid di Jeram Medang.
Encik Muhammad telah berjaya menawan hati Yang Berhormat Muhd Yusuf
dan abangnya Penghulu Mahmud menyertai hasratnya itu. Sudin pula memainkan
peranannya berselindung di sebalik matlamat mempertingkatkan taraf hidup
penduduk luar bandar dengan memindahkan mereka ke rancangan FELDA. Walaupun
pada mulanya Sudin bermusuh dengan Mat Akil tetapi dia berjaya memujuk Mat Akil
dan rakan-rakannya menyertai misi yang dirancangkan oleh Encik Muhammad. Tuk
Empat Dahlan berjaya dibeli dengan pangkat penghulu manakala Imam Saad dilantik
sebagai imam menggantikan imam tua yang dibersarakan. Namun, Encik Muhammad
terpaksa pulak berhadapan dengan Tauke Chan. Tauke Chan menyimpan dendam
terhadap Encik Muhammad kerana menggagalkan projek perumahannya. Dia
mengupah Pendekar Omar memusnahkan ladang orkid Cik Puan Tipah. Akhirnya
Pendekar Omar ditangkap polis. Pada akhir novel ini, Keris Mas meletakkan ‘poetic
justice’nya terhadap Encik Muhammad, saudagar besar dari Kuala Lumpur yang tiba-
tiba menjadi kecil dan rebah tersungkur menjelang perlaksanaan projek lombong yang
bermatlamat hanya untuk mengaut keuntungan bersama Datuk Tan. Encik
Muhammad terpaksa tunduk kepada permintaan Lebai Maarup dan Rahim supaya
tanah wakaf daripada Lebai Maarup dan Imam Saad tidak dilombong, sebaliknya
didirikan kompleks bangunan yang dapat menampung keperluan sosial dan agama
sebuah masyarakat Islam.
1.2.2 SINOPSIS NOVEL TIBA-TIBA MALAM KARYA PUTU WIJAYA
Novel Tiba-Tiba Malam ini merupakan karya dari penulis yang berasal dari Indonesia
bernama Putu Wijaya. Kisah dalam novel ini bermula dengan upacara perkawinan
antara Sunatha dan Utari. Upacara perkhawinan yang dilangsungkan secara sederhana
tetapi mengejut itu telah membuatkan penduduk kampung berasa hairan dan tertanya-
tanya. Pengantin perempuan yang bernama Utari tersebut merupakan gadis yang
sangat cantik dan mempunyai akhlak yang amat dikagumi orang kampung. Ramai
penduduk desa berasa cemburu dan patah hati khususnya seorang pemuda kaya raya
4
bernama Ngurah. Ini kerana Sunatha hanya berkerja sebagai guru sekolah menengah
dan mempunyai hobi menyanyi lagu-lagu rakyat mampu mencuri hati Utari. Satu hari
setelah pernikahan, Sunatha terpaksa meninggalkan Utari demi tanggungjawabnya
sebagai seorang guru. Kedua-dua pihak keluarga menghantar Sunatha ke pelabuhan.
Setelah Sunatha menaiki kapal, para keluarga kembali ke kampung. Kemudian,
kejadian aneh terjadi ketika Utari tiba-tiba berteriak mengatakan dirinya telah terkena
ilmu pemikat cinta oleh Sunatha. Kedua keluarga yang telah berubah statusnya
menjadi besan kini bertengkar untuk mengambil langkah atas tindakan Utari. Mulai
kejadian tersebut kehidupan Utari berubah. Dalam masa yang sama, Ngurah iaitu
pemuda kaya yang telah lama menaruh hati terhadap Utari menggunakan peluang
tersebut untuk mendekati Utari dengan alasan akan mengubati penyakit gadis cantik
tersebut ke bandar. Namun, kenyataan yang terjadi adalah mereka saling jatuh cinta
hingga Utari mengandungkan anak Ngurah.
Di saat yang sama, sikap bapa Sunatha iaitu Subali kian berubah semenjak
kedatangan orang asing dari Australia yang bernama David. Subali dipengaruhi oleh
David untuk menjadi agen perubahan di kampung. Hal ini menyebabkan Subali tidak
lagi melibatkan diri dalam aktiviti yang dijalankan di Kampung Tanaban dan
melanggar hukum adat yang dijaga. Orang kampung sangat marah dengan tindakan
bapa Sunatha itu. Akibat dari perkara tersebut, ketika ibu Sunatha meninggal dunia
orang kampung tidak membantu dalam pengebumian mayat ibu Sunatha. Hanya ada
beberapa orang jiran yang berani datang membantu. Warga desa yang lain tahu apa
yang terjadi namun tidak ada yang mahu datang membantu. Akibat dari perbuatan
Subali yang sempat melanggar adat kampung, maka dia tidak berhak lagi untuk
menggunakan semua hak milik kampung termasuk tanah perkuburan. Ekoran dari
perkara tersebut, Sunatha mewakili keluarganya mengakui kesalahannya dengan
menyerahkan dirinya untuk diadili oleh orang kampung dan memohon maaf kepada
warga kampung. Kemudian Ngurah langsung mendekati Sunatha dan menjabat
tangannya. Mereka bersalam-salaman. Kemudian ketua kampung memberitahu
kepada orang kampung dan mereka memaafkan kesalahan keluarga Subali.
Perdamaian itu mereka disambut dengan baik. Meskipun memang ada juga yang
merungut. Pada hari itu juga, pengebumian ibu Sunatha dilakukan dengan sempurna.
Konflik antara Sunatha, Utari dan Ngurah juga diselesaikan dengan cara baik iaitu
Sunatha melepaskan Utari untuk dikhawinkan dengan Ngurah.
5
2.0 OBJEKTIF KAJIAN
Secara khususnya kajian ini dilakukan adalah bertujuan untuk:
1. Mengkaji perbandingan dari aspek tema, pemikiran, gaya penulisan dan nilai
budaya antara dua karya antarabangsa iaitu Novel Saudagar Besar Dari Kuala
Lumpur karya Keris Mas (Malaysia) dan Novel Tiba-Tiba Malam karya Putu
Wijaya (Indonesia).
2. Menganalisis perbandingan dari aspek tema, pemikiran, gaya penulisan dan nilai
budaya antara dua karya antarabangsa iaitu Novel Saudagar Besar Dari Kuala
Lumpur karya Keris Mas (Malaysia) dan Novel Tiba-Tiba Malam karya Putu
Wijaya (Indonesia).
3.0 METODOLOGI KAJIAN
Metodologi kajian merujuk kepada kaedah yang digunakan oleh pengkaji untuk
mendapatkan maklumat bagi memastikan objektif kajian dapat dicapai.
a) Kaedah Kualitatif. Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif iaitu data kajian
diperoleh melalui analisis dokumen seperti buku, artikel dan jurnal yang
berkaitan isu yang ingin dikaji.
b) Rujukan Kepustakaan. Segala dokumen berkaitan kajian ini pengkaji perolehi
melalui pengumpulan data menggunakan kaedah kepustakaan. Pengkaji
menggunakan kemudahan sumber rujukan yang terdapat di Perpustakaan Tuanku
Bainun seperti buku dan artikel jurnal untuk melengkapkan kajian ini. Rujukan
utama bagi kajian ini ialah Novel Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur karya Keris
Mas dan Novel Tiba-Tiba Malam karya Putu Wijaya.
c) Sumber internet. Melalui laman sesawang berautoriti yang telah dilayari iaitu
Mycite dan Portal Rasmi Perpustakaan Tuanku Bainun, pengkaji memuat turun
bahan berkaitan kajian seperti artikel dan jurnal untuk dijadikan sebagai rujukan
tambahan dalam melengkapkan kajian ini.
4.0 DAPATAN KAJIAN
Pada bahagian dapatan kajian ini, pengkaji akan menghuraikan secara deskriptif
perbandingan antara dua karya antarabangsa iaitu Novel Saudagar Besar Dari Kuala
Lumpur karya Keris Mas (Malaysia) dan Novel Tiba-Tiba Malam karya Putu Wijaya
(Indonesia). Bagi melengkapkan kajian ini, pengkaji telah memilih untuk membuat
6
perbandingan terhadap kedua-dua buah tersebut dari aspek tema, pemikiran, gaya
penulisan dan nilai budaya yang diterapkan oleh setiap penulis di dalam karya mereka.
4.1 Perbandingan Dari Segi Tema
Istilah ‘Tema’ ditakrifkan sebagai subjek yang menjadi dasar sesuatu perbicaraan,
wacana, karangan, cerita, tajuk, pokok (Kamus Dewan, 2007: 1638). Halis Azhan
Mohd Hanafiah (2014) juga menjelaskan bahawa istilah ‘Tema’ bermaksud; “subjek
yang menjadi dasar atau pusat cerita, yang dibangunkan melalui penggemblengan
alat-alat penceritaan seperti watak dan perwatakan, latar masa, tempat dan masyarakat,
gaya bahasa, sudut pandangan dan sebagainya” (hlm. 31). Sehubungan itu, hasil
penelitian yang telah dibuat terhadap dua buah novel yang dikaji, pengkaji mendapati
bahawa setiap novel tersebut mengandungi tema yang berbeza.
4.1.1 TEMA NOVEL SAUDAGAR BESAR DARI KUALA LUMPUR (SBDKL)
Novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur (SBDKL) menerangkan tema mengenai
kemunculan usahawan-usahawan Melayu, dan aktifnya gerakan dakwah Islamiah di
kalangan generasi muda yang dilakukan oleh golongan pendakwah. Melalui novel ini,
pengarang menyarankan dalam usaha membina kehidupan sebagai usahawan yang
maju dan berjaya, teras agama perlu dimantapkan seiring dan serentak agar kemajuan
yang dicapai tidak dihancurkan jati diri bangsa. Selain itu, pengarang juga berjaya
membawa elemen Pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang menekankan
penlibatan golongan Bumiputera di sektor perdagangan menyebabkan munculnya
watak-watak manusia melayu yang berfikiran sehala iaitu yang hanya memikirkan
nafsu amarah dan mengaut sebanyaknya keuntungan kebendaan semata-mata tanpa
memikirkan soal halal haram sesuatu perniagaan.
Mereka hanya memikirkan teknik dan strategik untuk cepat menjadi jutawan
dan bagaimana untuk mengurangkan kos semaksimum mungkin, serta untung
sebanyak-banyaknya. Mereka tidak menghiraukan soal kemanusiaan dan keagamaan.
Peristiwa ini dapat dilihat menerusi watak Encik Muhamad yang mempunyai sifat
kegilaan dalam membangunkan ‘material’ (kebendaan) semata-mata untuk
kepentingan dirinya. Hal ini berbeza dengan Rahim, anak Encik Muhammad yang
memilih nilai berbeza daripada orang tuanya. Oleh itu, Keris Mas menekankan
pembangunan sememangnya baik tetapi tidak seharusnya mengabaikan agama, moral,
dan kebajikan masyarakat orang Melayu. Misalnya wujud kesepaduan antara idea
7
Lebai Maarup, seorang pendakwah yang pintar tanpa kelulusan formal, dengan idea
Rahim, intelektual yang tulen sememangnya diperlukan dalam pembangunan masa
kini.
4.1.2 TEMA NOVEL TIBA-TIBA MALAM
Manakala, Novel Tiba-Tiba Malam pula bertemakan konflik budaya yang dialami
oleh keluarga Sunatha. Melalui novel ini, pengarang berjaya menggambarkan keadaan
Kampung Tanaban yang terlalu berpegang kepada adat budaya yang telah
diperturunkan oleh nenek moyang mereka. Setiap penduduk kampung tersebut perlu
sentiasa mematuhi peraturan budaya Bali yang telah lama diamalkan. Jika ada yang
melanggar adat tersebut, orang tersebut dianggap telah melanggar adat dan akan
dikeluarkan dari ikatan ‘krama-desa’. Berkisarkan novel ini, ayah Sunatha iaitu Subali
dikisahkan telah melanggar dan mengkhianati peraturan budaya di kampung tersebut.
Dalam masa yang sama, Sunatha difitnah oleh penduduk kampung sebagai tukang
sihir. Perkara ini menyebabkan seluruh anggota keluarga mereka telah dikeluarkan
dari ‘Krama Desa’ dan mereka sekeluarga tidak diperbolehkan untuk menggunakan
kemudahan di kampung tersebut. Semua penduduk kampung juga dilarang untuk
memberi sebarang pertolongan kepada keluarga Sunatha. Berdasarkan jalan cerita
novel ini, pengarang berjaya membawa pembaca menghayati adat dan budaya yang
diamalkan oleh masyarakat di Kampung Tanaban tersebut.
4.2 Perbandingan Dari Segi Pemikiran
Pemikiran berasal dari kata bahasa Arab yang membawa makna berfikir yakni
melibatkan proses berfikir. Konsep pemikiran boleh dirumuskan sebagai pemikiran
minda untuk mencari makna dan penyelesaian terhadap sesuatu keraguan atau
masalah yang timbul dengan menggunakan pelbagai cara, membuat pertimbangan dan
keputusan serta refleksi yang logik dan munasabah terhadap rasa yang dialami.
Pemikiran merupakan proses yang menggunakan akal untuk menyelesaikan masalah.
Proses ini melibatkan aktiviti-aktiviti menyusun idea-idea atau perkara-perkara yang
tersembunyi, membuat kesimpulan untuk mendapatkan ilmu atau kemahiran baru
yang boleh digunakan untuk penyelesaian masalah yang kian mencabar.
Menurut Baha Zain (1991: 18-21) beliau menerangkan pemikiran merupakan
satu perkara yang dianggap sebagai induk atau nadi yang menghidupkan semangat
seseorang penulis untuk melebarkan jalan perjuangan mereka menerusi hasil-hasil
8
seninya. Kepelbagaian pemikiran atau gagasan yang diutarakan oleh seseorang
penulis dalam menyampaikan amanatnya itulah merupakan sesuatu yang menarik
untuk dihalusi oleh khalayak pembaca. Aspek pemikiran merupakan sesuatu yang
ingin disampaikan oleh penulis dalam sesebuah karya sastera. Ia biasanya dapat
dikesan melalui gagasan dan peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam sesebuah karya.
Berdasarkan dua (2) karya sastera yang telah dikaji, novel pertama iaitu Novel
Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur memaparkan pemikiran yang berkonsepkan nilai
pembangunan ekonomi dan nilai keagamaan, manakala bagi novel kedua iaitu Novel
Tiba-Tiba Malam pula memaparkan pemikiran yang berkonsepkan amalan adat dan
budaya yang ketat, serta pengaruh budaya asing dalam kalangan masyarakat.
4.2.1 PEMIKIRAN DALAM NOVEL SAUDAGAR BESAR DARI KUALA
LUMPUR (SBDKL)
i. Pemikiran Ekonomi
Pemikiran utama Keris Mas dalam Novel SBDKL ini ialah pemikiran berkaitan
pembangunan ekonomi. Pemikiran ekonomi merupakan gambaran pembentukan
ekonomi, peningkatan ekonomi dan penguasaan ekonomi masyarakat di tanah air.
Oleh itu, novel Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur karya Keris Emas (1980)
menggambarkan pengkelasan masyarakat dalam melakukan pekerjaan masing-masing
iaitu perdagangan, pengusaha pertanian dan sebagainya. Dalam novel ini, pengarang
menonjolkan pemikiran ekonomi yang selaras dengan isu ekonomi tahun 70-an yang
mengungkapkan aspek ekonomi moden yang menjurus kepada latar zaman novel
tersebut. Berikut merupakan contoh petikan yang menunjukkan peristiwa yang
berkaitan dengan pemikiran ekonomi dalam novel Saudagar Besar Dari Kuala
Lumpur;
PETIKAN 1:
Encik Muhammad merancang mengeksport lada hitam dengan meluaskan pasaran
lada hitam ke Jerman melalui Syarikat Frankfurt import-eksport. Encik Muhammad
sudah membuat penyelidikan telah berani membuat kontrak mengekalkan lada hitam
sebanyak 800-1000 tan ke negara barat.
Isteri Encik Muhammad iaitu Cik Puan Tipah pula bercadang untuk mengusahakan
ladang orkid miliknya di Jeram Medang. Cik Puan Tipah bercadang untuk menanam
orkid jenis-jenis ‘vanda’ yang bunganya boleh dijual di pasaran dengan mudah
(Dipetik dari Novel SBDKL Karya Keris Mas, 1982; Bab 3)
9
Berdasarkan contoh petikan di atas, pengarang jelas menonjolkan pemikiran ekonomi
dari watak Encik Muhammad. Encik Muhammad digambarkan sebagai seorang yang
bijak mengusahakan ekonomi di kampungnya bagi memberi pendapatan yang baik
kepada syarikat yang diusahakannya. Hal ini dapat dibuktikan melalui peristiwa Encik
Muhammad dan Datuk Tan mengeksport lada hitam ke luar negara iaitu negara
Jerman dengan membekalkan lada hitam sebanyak 800 hingga 1000 tan. Kejayaan
yang dicapai oleh beliau ini jelas memperlihatan kemampuan orang Melayu meneroka
bidang yang baru dengan berbekalkan semangat ingin memajukan diri dan bangsanya.
Seterusnya, bukti lain yang menunjukkan pengarang menonjolkan pemikiran
ekonomi dalam novel ini juga dapat dilihat melalui watak Cik Puan Tipah. Keinginan
dan kegigihan kaum wanita dalam menceburi bidang pengusahaan ladang orkid di
Jeram Medang dengan menanam orkid jenis-jenis ‘vanda’ yang diinginkannya.
Meskipun seorang wanita sepatutnya menguruskan hal-hal rumahtangga, namun Cik
Puan Tipah berjaya membuktikan bahawa selain menjadi ibu dan isteri, wanita juga
boleh berjaya dalam bidang perniagaan walaupun terdapat banyak halangan dan
dugaan seperti ladangnya telah dirosakkan oleh pihak yang dengki dan iri hati.
ii. Pemikiran Keagamaan
Pemikiran kedua yang banyak digambarkan dalam novel ini ialah pemikiran berkaitan
kepentingan nilai keagamaan. Keagamaan adalah sifat-sifat yang terdapat dalam
agama atau segala sesuatu mengenai agama, misalnya perasaan keagamaan, atau soal-
soal keagamaan. Secara istilahnya H.M. Arifin (1985: 69) pula memberi pengertian
“Agama” dapat dilihat dari dua aspek iaitu aspek subjektif (peribadi manusia) dan
aspek objektif (nilai-nilai ajaran Tuhan kepada manusia). Kebiasaannya, pemikiran
keagamaan yang terkandung dalam karya terpapar menerusi tema, peristiwa yang
berlaku dalam karya, watak dan perwatakan yang digambarkan dan isu utama yang
hendak pengarang sampaikan.
Pemikiran keagamaan dilihat menerusi dua aspek utama iaitu hubungan
manusia dengan Tuhan (HablumminAllah) dan hubungan manusia dengan manusia
yang lain (Hablumminannas). Contoh hubungan manusia dengan Tuhan
(HablumminAllah) iaitu menunaikan segala ibadat dan ibadah kepada Allah SWT
seperti yang terkandung di dalam Rukun Islam dan Rukun Iman. Manakala contoh
hubungan manusia dengan manusia yang lain (Hablumminannas) iaitu melakukan
kebaikan kepada manusia lain dengan memperoleh pahala atau ganjaran daripada
10
Allah SWT menerusi apa yang telah ditetapkan dalam ajaran agama. Berikut
merupakan contoh petikan yang menunjukkan pemikiran keagamaan yang ditonjolkan
oleh pengarang dalam novel Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur:
PETIKAN 2:
Encik Muhammad bin Idris duduk takafur di atas sejadah, berzikir dan berdoa. Dia
baru selesai sembahyang sunat syukur dan sunat tahajjud bagi memohon petunjuk
dan hidayah, taufik dan bimbingan untuk kejayaan usahanya mengendalikan syarikat
yang baru ditubuhkan.
(Dipetik dari Novel SBDKL Karya Keris Mas, 1982; Bab 14)
Berdasarkan contoh petikan di atas, pengarang menonjolkan pemikiran keagamaan
dari watak Encik Muhammad akan mencari yang maha Esa apabila mengalami jalan
buntut bagi masalah yang dihadapinya. Hal ini dapat dibuktikan apabila Encik
Muhammad menunaikan solat sunat syukur dan solat tahajjud serta duduk takafur di
atas sejadah sambil berzikir dan berdoa kepada Allah SWT bagi memohon petunjuk
dan bimbingan kepadanya untuk mengendalikan syarikat Lombong Lembah Tualang
yang baru ditubuhkannya. Beliau juga mencuba sedaya upaya mengheningkan cipta,
mengosongkan hati sanubarinya dari segala was-was dan khannas, menyerah
seikhlas-ikhlasnya kepada Allah SWT.
4.2.2 PEMIKIRAN DALAM NOVEL TIBA-TIBA MALAM
i. Pemikiran Amalan Adat Dan Budaya Yang Ketat
Pemikiran utama Putu Wijaya dalam Novel Tiba-Tiba Malam ini ialah pemikiran
berkaitan amalam adat dan budaya yang ketat dalam kalangan masyarakat di
Kampung Tanaban, Bali, Indonesia. Tradisi Bali yang telah sebati dengan
masyarakatnya bukan sekadar adat semata-mata, tetapi dicipta pada awalnya berkaitan
perkara-perkara yang bersifat rohaniah sehingga tidak boleh ditinggalkan. Berikut
merupakan contoh petikan yang menunjukkan pemikiran amalam adat dan budaya
ketat yang ditonjolkan oleh pengarang dalam novel Tiba-Tiba Malam;
PETIKAN 3:
“Kalau besok Subali tidak datang memugar pura bersama kita, keluarkan dia dari
krama desa! Kita harus tegas!”.
Orang banyak berteriak menyambut. “Setuju”.
Mereka semua marah. “Kita cari dia ke rumahnya sekarang”.
11
“Setujuuuuu!”
Rapat itu kacau.
(Dipetik dari Novel Tiba-Tiba Malam karya Putu Wijaya, 2005; halaman 69)
PETIKAN 4:
Tiba-tiba bunyi ketukan lagi. Sunithi bergerak hendak membukakan pintu. Akan tetapi
kemudian ia tertegun. Ia mulai takut. Ia diam sahaja malah tambah merapatkan
dirinya pada tubuh ibunya. Lalu ia mendengar pula suara-suara yang aneh. Sunithi
jadi benar-benar takut. Lalu tiba-tiba saja terdengar suara berjatuhan di atap rumah.
Rumah itu dilempari dari luar.
Ibunya terjaga kerana kegaduhan itu dengan gementar. Sunithi cepat memeluknya.
Lemparan batu itu semakin gencar. Terdengar suara memaki-maki dari luar.
(Dipetik dari Novel Tiba-Tiba Malam karya Putu Wijaya, 2005; halaman 83)
Berdasarkan petikan 3 dan 4 diatas, ia jelas menggambarkan peristiwa apabila Subali
mula meninggalkan aktiviti kemasyarakatannya, penduduk kampung marah dengan
sikap Subali. Perbuatan Subali telah dianggap melanggar peraturan adat. Hal ini
menimbulkan gangguan kepada keluarga Subali. Beberapa penduduk kampung sering
merejam rumah Subali. Ini menimbulkan ketakutan kepada kakak Sunatha iaitu
Sunithi, yang terpaksa tinggal di rumah dan menjaga ibu mereka yang sakit,
terutamanya apabila Sunatha tiada di rumah.
Selain itu, keluarga Subali juga telah disisihkan oleh orang kampung dan
mereka juga tidak dibenarkan menggunakan kemudahan yang terdapat di kampung
tersebut termasuk tanah perkuburan untuk menanam mayat isteri Subali. Peristiwa ini
boleh dilihat pada contoh petikan 5 dan 6 dibawah;
PETIKAN 5:
Di jalanan desa, banyak orang duduk di pinggir jalan. Di antaranya kelihatan juga
Renti. Mereka membicarakan kematian itu. Tak seorang pun berniat untuk
menunjukkan hidungnya ke rumah Sunithi.
“Biar dia rasakan sekarang.”
“Buat apa menolong orang bisa ngeleak. Biar dia kubur sendiri!”
“Kalau kita bantu, nanti semua orang seperti dia. Memang enak tidak usah ikut-ikut
kerja adat. Biar dia rasakan sekarang!”
(Dipetik dari Novel Tiba-Tiba Malam karya Putu Wijaya, 2005; halaman 199-200)
12
PETIKAN 6:
Orang-orang desa itu, tidak dihasut oleh siapa-siapa. Pemimpin mereka adalah adat
yang berlaku dan sama-sama mereka hormati. Subali telah dikeluarkan oleh desa.
Bererti ia tidak berhak lagi untuk mempergunakan milik desa. Termasuk tanah
kuburan. Ia harus diakuai. Ini sudah berlangsung bertahun-tahun terhadap siapa
saja.
(Dipetik dari Novel Tiba-Tiba Malam karya Putu Wijaya, 2005; halaman 224)
Melalui contoh-contoh petikan dari novel Tiba-Tiba Malam tersebut, Putu Wijaya
boleh dianggap telah berjaya membawa pemikiran amalan adat dan budaya yang
sangat ketat dalam kalangan masyarakat di Bali. Ketaksuban masyarakat Tanaban
terhadap amalan adat budaya tersebut telah menyebabkan mereka sanggup melakukan
perkara yang melampaui sifat kemanusiaan. Mereka sanggup menggali semula kubur
isteri Subali dan meletakkan semula mayat tersebut ke rumah Subali. Perkara tersebut
jelas menunjukkan bahawa penduduk Kampung Tanaban sangat berpegang teguh
terhadap adat mereka dan sesiapa yang melanggar adat akan dihukum.
ii. Pemikiran Pengaruh Budaya Asing
Pemikiran kedua yang dibawa oleh Putu Wijaya dalam penulisannya ialah pemikiran
berkaitan pengaruh budaya asing. Pengaruh budaya asing membawa maksud sebuah
ajaran atau amalan yang dibawa oleh orang luar yang berbeza dengan amalan yang
sedia ada. Lazimnya, pengaruh budaya asing akan menimbulkan konflik kepada
masyarakat yang mengalami pengaruh budaya tersebut. Berdasarkan novel ini,
pemikiran pengaruh budaya asing ini digambarkan melalui peristiwa kedatangan
seorang lelaki yang bernama David yang berasal dari Australia. David mempunyai
gagasan yang berbeza dengan pemikiran warga desa Tanaban yang masih
mengamalkan budaya saling bergantung antara satu sama lain. Menurut David,
amalan warga desa tersebut adalah amalan yang sudah ketinggalan zaman dan
perlukan perbaharuan.
Melalui novel ini, David digambarkan cuba mempengaruhi warga desa
Tanaban khususnya Subali dengan menjelaskan pendapat dan ideanya terhadap
pembaharuan yang perlu dilakukan terhadap Kampung Tanaban. Subali yang
sememangnya mahukan pembaharuan dalam kerjaya hidupnya telah termakan dengan
pujukan David. Hal ini menyebabkan Subali menjadi semakin akrab dengan David
13
dan mengikuti kemana sahaja David ingin membawanya. Subali mula meninggalkan
amalan yang sering dilakukannya di Kampung Tanaban. Peristiwa ini boleh dilihat
pada contoh petikan 7dibawah;
PETIKAN 7:
“Kami merencanakan untuk memperbaiki pura kami menjelang odalan besar-besaran
yang akan datang.”
“Ah, buat apa! Kan ada orang lain. Masa kalau satu tidak datang kerja itu tidak bisa
diteruskan. Omong kosong. Apa artinya satu orang. Kasih saja uang untuk ganti
kerugian. Pokoknya besok kita harus ada di Denpasar. Saya bawa mobil.”
“Tapi sudah beberapa kali saya tidak muncul di desa gara-gara ikut David.”
“Normal, kan. Bapak tidak salah. Kalau Bapak tidak bisa datang masak harus
datang, itu omong kosong.”
“Tapi bagaimana kata orang nanti?”
“Sudahlah. Jadilah orang yang praktis, jangan tenggelam dalam sistem yang sudah
bobrok ini. Sebab coba…”
David mulai menerangkan segala sesuatu dengan panjang lebar. Ia memberikan
bukti-bukti bahwa semua orang harus mulai menjauhi hidup berkelompok yang saling
gerogot-menggerogoti. Ia memberikan bukti-buktinya segala ketidakpastian di
kampung yang hanya menjadikan gotong-royong itu sebagai pangkal kemiskinan.
Subali mendengarkan dengan sungguh-sungguh. Ia kelihatan sangat percaya.
(Dipetik dari Novel Tiba-Tiba Malam karya Putu Wijaya, 2005; halaman 52)
Perbuatan Subali yang sering tidak mengikuti aktiviti yang dilakukan di kampung
tersebut telah menimbulkan kemarahan warga kampung. Sikap Subali tersebut
dianggap telah melanggar adat ‘Krama Desa”. Hal ini menyebabkan seluruh anggota
keluarga Subali terkena tempias akibat perbuatannya itu. Berdasarkan peristiwa ini, ia
jelas menunjukkan bahawa pengaruh budaya asing iaitu pengaruh budaya Barat dari
David sememangnya telah membawa malapetaka kepada keluarga Subali. Akibat
daripada pengaruh tersebut, keluarga Subali telah dikeluarkan daripada ikatan adat
‘Krama Adat’ dan mereka terpaksa hidup dalam ketakutan dan disisihkan oleh
masyarakat Tanaban.
Berdasarkan penelitian serta kajian berkaitan pemikiran terhadap kedua-dua
buah novel ini, pengkaji dapat menyimpulkan bahawa perbezaan pemikiran antara
Keris Mas dan Putu Wijaya ini dipengaruhi oleh latar belakang penulis itu sendiri.
Penulisan Novel Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur dilakukan oleh Keris Mas pada
14
tahun negara Malaysia mengalami pemesatan ekonomi dan memperkenalkan sebuah
dasar pembaharuan negara yang dipanggil Dasar Ekonomi Baharu (DEB). Manakala,
Putu Wijaya pula dilihat menggunakan latar belakang kampung halamannya sendiri
iaitu Kampung Tabanan yang terletak di Bali, Indonesia dalam novelnya yang
berjudul Tiba-Tiba Malam (2007).
4.3 Perbandingan Dari Segi Gaya Penulisan
Dalam dunia pengkaryaan sastera, konsep ‘gaya penulisan’ difahami sebagai sebuah
bentuk penghasilan karya yang memaparkan pemikiran pengarang melalui pemilihan
perkataan, struktur ayat, dan gaya bahasa yang digunakan untuk menyampaikan
maksud sesebuah karya dengan berkesan. Umum mengetahui bahawa setiap
pengarang yang versatil memiliki gaya penulisan yang tersendiri berdasarkan
kreativiti masing-masing. Gaya penulisan pengarang versatil ini dapat dilihat melalui
cara mereka mengarap alur cerita dalam penulisan mereka melalui penggunaan gaya
bahasa yang pelbagai dan pemilihan kata yang menarik.
Berdasarkan kedua-dua buah novel yang dikaji, pengkaji dapat melihat
bahawa Keris Mas dan Putu Wijaya bijak menyusun struktur ayat dan memilih
perkataan dalam menggambarkan situasi atau peristiwa yang berlaku di dalam karya-
karya mereka. Melalui penelitian yang telah dibuat terhadap Novel Saudagar Besar
Dari Kuala Lumpur dan Novel Tiba-Tiba Malam, kedua-dua penulis novel ini dilihat
menerapkan nilai agama dalam penulisan mereka. Walaubagaimanapun, masih
terdapat perbezaan yang dapat dilihat di dalam kedua-dua buah novel ini, iaitu dari
segi pemilihan perkataan dan pengolahan idea.
4.3.1 GAYA PENULISAN KERIS MAS (NOVEL SAUDAGAR BESAR DARI
KUALA LUMPUR)
Pengkaji mendapati terdapat beberapa gaya penulisan yang berbeza dalam
novel ‘Saudagar Besar dari Kuala Lumpur’ karya Keris Mas dan novel ‘Tiba-Tiba
Malam’ karya Putu Wijaya. Kedua-duanya sangat berbeza daripada segi gaya
penulisan kerana setiap pengarang ada kreativitinya yang tersendiri dalam
menyampaikan isi dalam karya. Pertama, gaya penulisan yang dapat dilihat dalam
karya ‘Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur’karya Keris Mas ialah pengarang cuba
menyampaikan maksud sebenar yang berlaku dipersekitaran secara berterus terang.
Ungkapan kata yang dilontarkan bersahaja dan bebas tanpa terikat dengan tatabahasa.
15
Malahan kata-kata yang diungkapkan adalah luahan rasa dan perggunaan bahasa
seharian dalam perbualan. Menurut Arba’ie Sujud dalam Kesusasteraan dan
Pendidikan (2016: 27) “seorang penulis tidak akan melepaskan dirinya daripada
bertanggungjawab untuk menyampaikan mesej sama ada dalam bentuk peringatan,
nasihat atau panduan kepada khalayak pembaca melalui olahan dan penggunaan
bahasa yang terpilih, berseni dan indah yang dipancarkan melalui kehalusan,
ketertiban, bersistem dan nilai estetik yang dimiliki. Sebagai contoh:
PETIKAN 8:
Tiap kali ayahnya bercakap, Sudin berasa semacam kepedihan dalam
dadanya. Dia berasa betapa kuatnya,betapa perkasanya Encik Muhammad.
Dunia Encik Muhammad seperti larva gunung berapi mengalir dengan
lumpur panas dan lidah api menjilat-jilat menghancurkan apa sahaja yang
tegak dalam alam yang ditempuhnya. Dunia ayahnya hanya pondok-pondok
kebun pisang di lembah sunyi tidak bermaya. Hanya sebuah dunia baru yang
akan menyelamatkan ayahnya tetapi dunia baru itu memerlukan tenaga muda
yang gigih dan kuat. Dia tidak mempunyai jalan lain melainkan undur ke
belakang.
Sekarang,setelah Mat Akil menerima balasanya, apakah kemenangan itu
sesuatu yang dapat dimegahkan? Dia mengaminkan doa ayahnya. Memang
Lebai Maaruplah sahaja harapan satu-satunya. Kemenangan orang Kampung
Pulai ialah kesanggupannya mempertahankan keutuhan hidup mereka yang
dahulunya aman tenteram, bersih dari maksiat dan kejahatan.
(Dipetik dalam teks Saudagar Besar Di Kuala Lumpur)
Dalam petikan ini, pengarang novel iaitu Keris Mas menggunakan penulisan
yang jelas, gaya penulisan yang formal dan positif. Hal ini demikian kerana, konteks
yang ingin disampaikan oleh penulis adalah tentang ekonomi dan masalah-masalah
yang berlaku di persekitaran sebagai contoh politik dalam novel ialah memperlihatkan
corak kepimpinan dalam parti negara, pergolakan politik yang dialami di tanah air dan
semangat perjuangan menegakkan kemerdekaan di kalangan masyarakat serta
pembentukan ekonomi, peningkatan ekonomi, dan penguasaan ekonomi masyarakat
ditanah air. Jadi, gaya penulisan itulah yang menunjukkan identiti pengarang dan
sebagainya. Gaya penulisan yang berbeza itulah menampakkan kreativiti pengarang.
16
4.3.2 GAYA PENULISAN PUTU WIJAYA (NOVEL TIBA-TIBA MALAM)
Berdasarkan novel Tiba-Tiba Malam yang ditulis oleh Putu Wijaya pula jelas
menunjukkan penggunaan bahasa Jawa dan bahasa Indonesia yang ketara.
Penggunaan perkataan seperti omong kosong, sulit bicara, bubar, maling, ngawur,
impoten, jagoan dan sebagainya jelas menunjukkan identiti Putu Wijaya yang berasal
dari Indonesia. Selain perkataan Indonesia, Putu Wijaya juga berjaya memasukan
budaya Jawa dalam penulisannya melalui pemilihan perkataan seperti; wangdu, meme,
beli, bungah, atret dan banyak lagi. Walaupun keseluruhan penulisan novel ini ditulis
dalam bahasa Indonesia, namun pengkaji masih boleh memahami pemikiran yang
cuba disampaikan oleh pengarang ini melalui pengolahan idea yang tersusun.
Melalui analisis yang telah dibuat terhadap novel ini, pengkaji melihat bahawa
pengarang dari negara Indonesia ini turut menerapkan nilai agama dalam
penulisannya. Walaubagaimanapun penerapan nilai agama ini dilihat lebih tertumpu
kepada adat dan budaya masyarakat Bali yang terlalu ketat. Hal ini berbeza dengan
nilai agama yang diterapkan dalam novel Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur seperti
yang diterangkan pada bahagian 4.3.1 diatas. Berdasarkan novel Tiba-Tiba Malam ini,
pengolahan idea Putu Wijaya jelas menunjukkan pemikiran berkaitan konflik yang
berlaku dalam kalangan masyarakat berkaitan amalan adat “Krama Desa” yang
dianggap suci dan tidak boleh ditinggalkan. Pengolahan idea oleh Putu Wijaya
berkaitan konflik yang berlaku dalam kepercayaan masyarakat Kampung Tanaban
digambarkan melalui peristiwa berikut;
PETIKAN 9 :
“Lihat,” kata Bagus Cupak.”Dia kira sekarang dia sudah jadi tuan seperti bule itu!”
Banyak orang mulai tak dapat membendung mulutnya memaki-maki.
“Keluarkan saja dia dari krama desa!”
Ngurah tampak ngomong serius dengan Kepala Desa. Bagus Cupak cepat mendekati.
“Kita tidak takut dengan satu orang kan. Mengapa kita malu-malu. Masak satu orang
mengalahkan kita yang banyak ini. Jelas sekarang kesalahannya, kan. Jangan
ditutupi lagi!”
Orang banyak mengiyakan. Mereka menyindir-nyindir.
(Dipetik dari Novel Tiba-Tiba Malam karya Putu Wijaya, 2005; halaman 76)
Berdasarkan petikan diatas, pengolahan idea berkaitan nilai keagamaan dalam adat
dan budaya masyarakat di Kampung Tanaban ditunjukkan melalui penerapan teknik
17
dialog dan konflik. Melalui kedua-dua teknik ini, pemikiran yang cuba disampaikan
oleh pengarang kepada pembaca dapat difahami dengan lebih jelas.
Oleh itu, melalui perbandingan dari segi gaya penulisan diantara dua orang
pengarang ini jelas menunjukkan bahawa Keris Mas dan Putu Wijaya sememangnya
berbakat dalam menghasilkan karya-karya sastera yang berkualiti. Walaupun dua
orang tokoh sastera ini sama-sama terlibat dalam dunia penulisan karya sastera,
namun mereka mempunyai gaya penulisan yang tersendiri dalam menghasilkan
sebuah karya yang bermutu tinggi.
4.4 Perbandingan Dari Segi Nilai Budaya
Budaya merupakan hasil cipta manusia yang bertujuan sebagai ikutan atau panduan
dalam menjalani kehidupan seharian. Dalam budaya terdapat norma-norma yang perlu
dipatuhi seperti nilai-nilai dan aturan tingkah laku dalam menjalani kehidupan.
Kebudayaan pula merupakan sektor dalam masyarakat yang berkaitan dengan bahasa,
adat istiadat, kesenian, sistem kepercayaan, ideologi dan pegangan dalam hidup
bermasyarakat. Kebudayaan Bali merupakan salah satu daripada kebudayaan
Indonesia. Budaya ini dapat dilihat sebagai suatu hasil dan sekaligus proses
penghayatan terhadap nilai-nilai murni yang telah dipersetujui bersama sebagai dasar
asas oleh penyokongnya.
4.4.1 NILAI BUDAYA DALAM NOVEL SAUDAGAR BESAR DARI KUALA
LUMPUR (SBDKL)
Pengkaji juga mendapati nilai budaya juga berbeza yang disampaikan oleh
kedua-dua penulis yang berasal daripada Malaysia dan Indonesia ini. Nilai budaya
ialah nilai yang mengagaskan kepentingan agama, norma-norma hidup, dan nilai-nilai
murni dalam novel Melayu . Novel Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur karya Keris
Mas ini menunjukkan kematangan penulisan yang tinggi. Budaya dan tradisi
masyarakat Melayu seperti yang digambarkan menerusi novel SBDKL ini jelas
memperlihatkan keterikatan dan pautan masyarakat Melayu dengan adat istiadat dan
budaya Melayu yang menjadi amalan seharian mereka sama ada yang tinggal di kota
mahupun di desa. Antara budaya dan tradisi masyarakat Melayu yang dapat dikesan
dalam novel SBDKL ialah mementingkan hubungan kekeluargaan. Contoh dalam teks
SBDKL:
18
PETIKAN 10:
Cik Puan Tipah menerima surat dari Jahid yang menjadi penghubung keluarga. Isi
kandungan surat tersebut menceritakan tentang projek tanaman orkid yang memang
sesuai untuk dijalankan. Jahid juga turut menceritakan tentang perubahan sikap
ayahnya Penghulu Mahmud yang mula berkira-kira untuk menjual tanah milik
keluarga mereka yang terletak di Jeram Medang. Cik Puan Tipah teringatkan Rahim
yang sejak akhir-akhir ini surat yang dikirimnya mulai memperlihatkan sikapnya
yang menentang ayahnya.
(Saudagar Besar di Kuala Lumpur, Bab 3)
Encik Muhammad Bin Idris sangat mementingkan hubungan kekeluargaannya
dengan sering bertanya khabar dan pulang ke kampung untuk menziarahi abangnya
Penghulu Mahmud dan anak-anak saudaranya di Kampung Pulai. Dia dan isterinya
sering mengambil berat tentang perkembangan anggota keluarganya di kampung.
Begitu juga dengan Jahid yang sering mengutus surat memberitahu perkembangan
keluarga dan perkembangan di kampung mereka di Kampung Pulai. Jadi, di sini
pengkaji dapat lihat bahawa, nilai budaya yang ditunjukkan sangat memberi kesan
kepada pembaca. Walau ada jua keadaan, mereka tidak pernah melupakan keluarga
mereka.
4.4.2 NILAI BUDAYA DALAM NOVEL TIBA-TIBA MALAM
Budaya dan adat tradisi Bali seperti yang digambarkan dalam novel Tiba-tiba Malam
jelas diperlihatkan melalui amalan dan pegangan budaya yang begitu kuat dalam
kehidupan seharian warga kampung yang tinggal di kampung Tanaban seperti
menjaga dan memegang adat Karma Desa yang begitu kuat. Budaya dan tradisi ini
juga, dianggap punca dan penghalang kepada kemajuan dan menimbulkan perbalahan
dan konflik antara sesama kelompok masyarakat. Berikut merupakan contoh dari
petikan teks novel Tiba-tiba Malam yang memperlihatkan tentang nilai budaya
masyarakat Bali tersebut:
PETIKAN 11 :
Mereka membicarakan tentang kematian itu. Tapi tak seorang pun berniat untuk
menunjuk hidung di rumah Sunithi.
19
“Biar dia rasa sekarang.”
“Buat apa menolong orang bisa ngeleak. Biar dia kubur sendiri!”
“Kalau kita bantu nanti semua orang seperti dia. Memang tidak usah ikut-ikut
kerja adat. Biar dia rasakan sekarang!”
Renti entah kenapa tiba-tiba berpikir jernih.
“Tapi nanti bagaimana? Siapa yang ngubur?”
“Biar saja!”
(Dipetik dari Novel Tiba-Tiba Malam karya Putu Wijaya, 2005; halaman 200)
PETIKAN 12:
Di tengah halaman itu, menggeletak mayat kelmarin yang mereka kubur. Subali
menangis tersedu-sedu Sunatha dengan susah payah bangun. Waktu itu ia melihat
buntalan tubuh ibunya, keseluruhannya bangkit kembali.
(Dipetik dari Novel Tiba-Tiba Malam karya Putu Wijaya, 2005; halaman 222)
Berdasarkan petikan teks di atas, jelas memperlihatkan tentang pegangan kuat
penduduk Karma Desa dalam menjaga amalan budaya mereka. Hal ini dikatakan
demikian kerana, disebabkan pernah melanggar adat di kampung tersebut dengan
menjadi agen perubahan kampung, dia dan keluarganya telah menerima akibat apabila
mereka dikeluarkan dari Karma Desa dan tidak boleh menggunakan barang dan harta
milik kampung seperti jalan kampung dan tanah perkuburan. Selain itu, penduduk
kampung juga tidak membantu apabila mereka menghadapi sebarang kesusahan
termasuklah menguruskan mayat. Mereka juga perlu menguruskan mayat sendiri
malah orang kampung Tanaban menggali semula mayat yang siap ditanam kerana
mereka tidak boleh menggunakan harta kampung iaitu tanah perkuburan. Jelaslah di
sini bahawa, dalam novel Tiba-tiba Malam ini menunjukkan satu pegangan amalan
tradisi yang begitu kuat dalam penduduk kampung sehinggakan sesiapa yang
melanggar adat akan menerima kesan buruk daripada penduduk yang sentiasa
menjaga adat mereka dengan baik supaya kekal terjaga dan diamalkan.
20
5.0 PENUTUP
Berdasarkan kajian ini, dapat disimpulkan bahawa Keris Mas dan Putu Wijaya
sememangnya dua orang penulis yang sangat berbakat. Mereka berjaya membawa
pemikiran mereka berkaitan isu-isu yang berlaku di sekitar mereka ke dalam bentuk
karya sastera. Kedua-dua orang penulis yang berasal dari Malaysia dan Indonesia ini
dilihat mampu menggarap novel masing-masing dengan tema, pemikiran, gaya
penulisan dan nilai budaya yang menarik dan unik untuk dikaji.
Oleh itu, kedua-dua buah karya sastera antarabangsa ini, iaitu novel Saudagar
Besar Dari Kuala Lumpur (SBDKL) dan novel Tiba-Tiba Malam harus dijadikan
sebagai panduan kepada penulis-penulis baharu kerana kedua-dua buah karya tersebut
sememangnya kaya dengan pemikiran yang berintelek. Dengan adanya karya-karya
seperti ini, ia bukan sahaja dapat dijadikan sebagai bahan bacaan semata, malah ia
juga boleh dijadikan sebagai penambahan terhadap ilmu pengetahuan kepada
pembaca berkaitan budaya masyarakat lain.
\
21
RUJUKAN
1. Biodata Putu Wijaya: diperoleh dari:https://biografi-tokoh-
ternama.blogspot.com/2017/03/biografi-putu-wijaya-sastrawan-serba-
bisa.html
2. Fathurahman. (2012). Kesusasteraan Indonesia dan Malaysia. Fakultas Ilmu
Budaya Unhas Makassar Indonesia.Diperolehi daripada (PDF) Kesusastraan
Indonesia dan Malaysia: Adakah Potret Budaya Melayu?
(researchgate.net)
3. Halis Azhan Mohd Hanafiah .(2014). Dinamika Tema Dalam Novel Remaja Di
Malaysia (Disertasi Kedoktoran). Diperoleh daripada
http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/52444/1/FBMK%202014%2026RR.pdf
4. Keris Mas. (1982). Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
5. Marzalina Mansor, Nor Hafidah Ibrahim & Hasmawati Hassan. (2016).
Pemikiran Dalam Novel Sebalik Yamashita Dan Percivel. Proceeding Of
ICECRS. 1. 101-112. Universiti Utara Malaysia. Diperoleh daripada
http://repo.uum.edu.my/id/eprint/23116/1/ICECRS,%201%20(2016)%20101-
112.pdf
6. Maksud kesusasteraan. Diperolehi daripada
https://www.scribd.com/document/491670855/Sastera-1
7. Mohd Firdaus Che Yaacob & Nasirin Abdillah. 2018. Fenomena Sosial Dalam
Novel Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur. International Journal of Creative
Future and Heritage (TENIAT). 6(1). 95-116. Universiti Malaysia Kelantan.
Diperoleh daripada http://ijcfh.umk.edu.my/images/IJCFHVol6-
March2018/IJCFH-Vol-6-Issue-1-pp-95-116.pdf
8. Putu Wijaya. (2005). Tiba-Tiba Malam. Jakarta: Penerbit Buku Kompas.
9. Zulkiflee. (2017). Novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur. Diperoleh daripada
http://wafiyirfanhadi.blogspot.com/2017/01/novel-saudagar-besar-
22
LAMPIRAN
23