D7
INSTITUT PENDIDIKAN GURU KAMPUS BAHASA MELAYU
59990 LEMBAH PANTAI, KUALA LUMPUR
PROGRAM IJAZAH SARJANA MUDA PERGURUAN
(AMBILAN JUN 2018 SEMESTER 9)
KEBUDAYAAN KEBANGSAAN
(BMMB3163)
DISEDIAKAN OLEH:
NAMA PELAJAR MUHAMMAD IKDZUAN IZZAT BIN MD ISA
ANGKA GILIRAN 2018192340132
NOMBOR KAD PENGENALAN 991124025403
KUMPULAN PISMP D7
TUGASAN PENULISAN REFLEKTIF
NAMA PENSYARAH DATIN PADLON BINTI ABDUL RAHMAN
TARIKH HANTAR 31 MAC 2022
TARIKH MENERIMA MAKLUM BALAS
DARIPADA PENSYARAH
ISI KANDUNGAN MUKA SURAT
PENGHARGAAN i
SOALAN TUGASAN ii
1.0 PENGENALAN 1
2.0 PROSES PEMBUDAYAAN DALAM MASYARAKAT MALAYSIA 1
2.1 Asimilasi 1
2.2 Akulturasi 2
2.3 Akomodasi 2
2.4 Amalgamasi 2–3
2.5 Segregasi 3
3.0 HUBUNGKAIT PROSES PEMBUDAYAAN DENGAN USAHA 3–5
MEMBINA PERADABAN BAGI MEREALISASIKAN DASAR PERPADUAN
NEGARA
4.0 RUMUSAN 5
RUJUKAN 6–7
LAMPIRAN
PENGHARGAAN
Alhamdulillah. Saya sangat bersyukur kepada Allah S.W.T dengan limpah dan kurnia-Nya,
akhirnya saya berjaya menyiapkan tugasan yang diberikan oleh pensyarah pembimbing
kursus ini, mengikut jangka masa yang diperuntukkan. Kerja kursus ini amat penting bagi saya
memandangkan tugasan ini merupakan kerja kursus individu.
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan sekalung penghargaan
kepada pensyarah subjek ini yang banyak memberikan tunjuk ajar, nasihat, ilmu dan panduan
sepanjang proses menyiapkan tugasan ini. Beliau banyak membantu saya sepanjang proses
penghasilan tugasan ini. Tanpa bantuan beliau, tugasan ini tidak dapat disiapkan seperti
mana yang dikehendaki. Secara jujurnya, saya berasa cukup bertuah kerana mempunyai
seorang pensyarah yang banyak membimbing seperti beliau.
Tidak lupa juga kepada rakan sekelas yang sudi bersama-sama memberikan
kolaboratif pemikiran dan perkongsian yang cukup baik dalam membantu memberikan
galakan dan panduan sepanjang menyiapkan tugasan ini. Saya juga ingin memohon maaf
kepada pensyarah pembimbing sekiranya terdapat sebarang kelemahan sepanjang saya
menyiapkan tugasan ini. Walaubagaimanapun, saya sudah mencuba dan berusaha sebaik
mungkin melakukan yang terbaik seperti yang dikehendaki. Namun begitu, segala
kekurangan yang ada merupakan kesilapan saya sendiri dan segala yang baik itu adalah hasil
tunjuk ajar dan panduan yang jitu daripada pensyarah pembimbing.
i
SOALAN TUGASAN
BIG IDEA – “Budaya Malaysia, Milik Kita”
Setiap bangsa mempunya bahasa dan budaya hidup yang tersendiri. Budaya ini muncul
akibat proses manusia untuk menyesuaikan diri dengan persekitarannya. Hal ini demikian
kerana budaya akan sentiasa berubah mengikut peredaran masa. Perubahan dan
percampuran antara entiti budaya yang berbeza akan menyebabkan berlakunya proses
pembudayaan. Proses pembudayaan akan membawa keseragaman budaya. Keseragaman
budaya akan membawa pembinaan tamadun masyarakat yang diwarisi dan bersifat dinamik.
Nur Aina Hamzah, 2017
Berpandukan maklumat di atas, anda dikehendaki:
i. Mengenal pasti proses pembudayaan dalam kalangan masyarakat Malaysia.
ii. Menghubungkait dengan usaha membina peradaban bagi merealisasikan Dasar
Perpaduan Negara yang berkonsepkan perpaduan dalam kepelbagaian, dalam satu
penulisan bentuk reflektif.
iii. Hasil penulisan reflektif tersebut hendaklah dibuat secara buku digital dan dihantar
untuk semakan dalam bentuk PDF dan flipbook.
ii
1.0 PENGENALAN
Seperti yang diketahui, setiap bangsa mempunyai budayanya yang tersendiri. Budaya ini
muncul akibat proses manusia untuk menyesuaikan diri dengan persekitarannya. Secara
umumnya, pembudayaan masyarakat Malaysia merupakan suatu proses yang bersifat
dinamik dan telah berlaku sejak dahulu lagi. Hal ini dikatakan demikian kerana budaya
mempunyai ciri-ciri yang sentiasa berubah mengikut perkembangan zaman (Hairol Anuar et
al., 2020). Proses pembudayaan ditakrifkan sebagai proses yang memperlihatkan
penyerapan budaya ke dalam sesuatu kelompok masyarakat seperti pemikiran, ilmu, undang-
undang, adat resam dan sebagainya (Husin dan Nazariyah, 2014). Proses ini berupaya
menyatukan pelbagai kaum dan etnik serta secara tidak langsung menjadikan Malaysia
sebuah negara yang aman dan harmoni. Oleh itu, penulisan reflektif ini membincangkan
proses pembudayaan dalam kalangan masyarakat Malaysia, di samping menghubungkait
proses-proses tersebut dengan usaha membina peradaban bagi merealisasikan Dasar
Perpaduan Negara secara kritis.
2.0 PROSES PEMBUDAYAAN DALAM KALANGAN MASYARAKAT MALAYSIA
Terdapat lima jenis proses pembudayaan dalam kehidupan masyarakat Malaysia, iaitu
asimilasi, akulturasi, akomodasi, amalgamasi dan segregasi (Maryam Syafiqha et al., 2017).
Oleh itu, bahagian ini membincangkan proses-proses pembudayaan tersebut dengan
menyeluruh.
2.1 Asimilasi
Menurut Baterah et al. (2017), asimilasi merupakan satu proses percantuman budaya
yang berlainan sehingga terbentuknya satu kelompok yang mempunyai kebudayaan
dan identiti yang sama. Asimilasi berlaku apabila kelompok minoriti kehilangan identiti
kumpulannya dari aspek kebudayaan dan sosial akibat diserap oleh kelompok yang
dominan (Mansor et al., 2007). Di Malaysia, masyarakat Baba dan Nyonya merupakan
salah satu contoh masyarakat yang mengalami proses asimilasi. Hal ini dikatakan
demikian kerana mereka merupakan golongan minoriti yang terbentuk daripada
perkahwinan campur imigran Cina dengan masyarakat tempatan yang kemudiannya
mengasimilasikan budaya Melayu dari segi bahasa, makanan dan pakaian (Hanapi
dan Ajib, 2004). Namun, bagi masyarakat Baba dan Nyonya proses asimilasi hanya
berlaku dalam konteks budaya tanpa melibatkan anutan kepercayaan atau agama.
Maka, dapat disimpulkan bahawa proses asimilasi berlaku apabila sesuatu kelompok
bersedia menyerap dan menerima budaya kelompok lain.
1
2.2 Akulturasi
Akulturasi merupakan proses penerimaan unsur kebudayaan yang berlaku dari
sesuatu kebudayaan lain (Azaruddin dan Khadijah, 2016). Mardianah dan Hasnah
(2003), berpendapat bahawa akulturasi adalah proses perubahan dan pinjam-
meminjam unsur kebudayaan. Proses ini berlaku apabila satu kelompok manusia
dengan kebudayaan tertentu menerima unsur suatu kebudayaan asing dan
mengamalkannya dalam kebudayaan sendiri (Shamsul Amri, 2012). Perkara ini boleh
dilihat dari segi makanan seperti ‘Yong Tau Foo’ yang pada asalnya merupakan
makanan bagi kaum Cina, namun kini telah dipinjam dan disesuaikan mengikut cita
rasa kaum lain. Lain daripada itu, proses akulturasi turut dilihat dari segi penggunaan
sesuatu perkataan. Contoh yang paling jelas adalah penggunaan perkataan ‘tapau’,
iaitu perkataan daripada bahasa Mandarin, ‘dabao’ yang bermaksud ‘bungkus
makanan untuk dibawa pulang’ kini digunakan dalam perbualan harian masyarakat
majmuk di Malaysia. Jelaslah bahawa akulturasi merupakan proses adaptasi sesuatu
kebudayaan lain dalam satu kelompok masyarakat tanpa meninggalkan identiti
budaya kelompok itu sendiri.
2.3 Akomodasi
Hamidah et al. (2009) mendefinisikan akomodasi sebagai proses yang melibatkan
kerjasama beberapa pihak yang berbeza matlamat, tetapi mereka bersepakat untuk
membentuk satu matlamat yang dapat memuaskan hati semua pihak. Tujuannya
adalah untuk mewujudkan situasi menang-menang dalam kalangan masyarakat.
Akomodasi juga ditakrifkan sebagai proses sesuatu kumpulan etnik menyedari serta
menghormati norma dan nilai etnik lain di samping mempertahankan budaya hidup
masing-masing (Shamsul Amri, 2012). Misalnya di Malaysia, meskipun agama Islam
merupakan agama persekutuan, namun agama-agama lain masih boleh dianuti selagi
mana tidak bertentangan dengan prinsip perlembagaan. Dengan ini, proses
akomodasi dapat menzahirkan nilai toleransi dalam kalangan masyarakat Malaysia.
2.4 Amalgamasi
Amalgamasi diertikan sebagai satu proses percampuran budaya atau ras bagi
membentuk jenis budaya dan ras baharu (Shamsul Amri, 2012). Proses amalgamasi
dapat dilihat melalui perkahwinan campur (Mohd Shahrul Imran, 2014). Contohnya,
perkahwinan di antara masyarakat India dengan masyarakat tempatan seperti Melayu,
Cina dan lain-lain telah membentuk masyarakat Chetti yang kebanyakannya menetap
di Melaka. Kenyataan ini turut disokong oleh Azharuddin (2012), yang menyatakan
masyarakat Chetti di Malaysia terbentuk melalui perkahwinan campur antara
pedagang-pedagang dari India dengan masyarakat tempatan di Tanah Melayu. Maka,
2
dapat diringkaskan bahawa proses amalgamasi ini merupakan satu proses yang
membentuk sesuatu budaya baharu melalui perkahwinan campur antara kaum yang
berlainan.
2.5 Segregasi
Menurut Ting (1987), segregasi merupakan proses pengasingan antara satu
kumpulan etnik dengan satu kumpulan etnik yang lain. Segregasi merangkumi aspek
budaya, ras, agama, kelas sosial, dasar, adat resam, kawasan tempat tinggal dan
sistem persekolahan (Nurzaira Azreena, 2012). Misalnya, pengasingan Sekolah
Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis
Kebangsaan Tamil (SJKT). Pengasingan persekolahan ini berlaku disebabkan pihak
British telah menggunakan dasar ‘pecah dan perintah’ semasa pemerintahannya di
Tanah Melayu. Dengan adanya sistem pendidikan vernakular ini, jelas menunjukkan
bahawa proses segregasi telah meresap dalam sistem pendidikan kerana kaum-kaum
utama di Malaysia dipisahkan mengikut kelompok etnik masing-masing.
3.0 HUBUNG KAIT PROSES PEMBUDAYAAN DENGAN USAHA MEMBINA PERADABAN
BAGI MEREALISASIKAN DASAR PERPADUAN NEGARA
Pada tahun 2021, pihak kerajaan Malaysia telah melancarkan Dasar Perpaduan Negara
(DPN) dengan berkonsepkan ‘Perpaduan Dalam Kepelbagaian’ (Tuan Buqhairah, 2021). DPN
merupakan dasar payung yang melakarkan usaha berterusan bagi memupuk, mengukuh dan
memelihara perpaduan dalam kalangan rakyat (Kementerian Perpaduan Negara, 2021). Oleh
itu, bahagian ini membincangkan hubung kait proses pembudayaan dengan usaha membina
peradaban bagi merealisasikan DPN secara kritis.
Hubung kait yang pertama dapat dilihat melalui proses asimilasi. Hal ini dikatakan
demikian kerana proses ini berjaya membina perpaduan dan integrasi nasional dalam
kalangan masyarakat (Teo, 2014). Di Malaysia, masyarakat Cina Peranakan Kelantan
merupakan salah satu kelompok yang menunjukkan tahap asimilasi yang tinggi terhadap
bahasa dan budaya masyarakat Melayu sehingga menyebabkan identiti asal mereka berubah
(Mohd Shahrul Imran, 2014). Contohnya, mereka berkebolehan menuturkan bahasa Melayu
dalam dialek Kelantan dengan lancar dan memahami tulisan Jawi dengan baik serta
berpakaian seperti masyarakat Melayu, iaitu memakai kain batik, kain pelekat dan baju kurung
dalam kehidupan seharian (Muhammad Faris dan Muhamad Faisal, 2020). Perkara ini jelas
menunjukkan bahawa proses asimilasi mempunyai hubung kait dengan objektif pertama DPN,
iaitu ingin mengukuhkan perpaduan dan integrasi nasional berteraskan Perlembagaan
Persekutuan dan Rukun Negara. Maka, penulis mendapati proses asimilasi ini mampu
3
menonjolkan semangat keakraban dalam kalangan masyarakat Malaysia serta dapat
membantu pihak kerajaan dalam merealisasikan hasrat DPN.
Seterusnya, proses akulturasi turut mempunyai hubung kait dalam usaha
merealisasikan DPN. Hal ini dikatakan demikian kerana proses ini berupaya
memperkukuhkan lagi perpaduan dalam kalangan masyarakat (Mohd Ra’in et al., 2019).
Contoh akulturasi yang dapat dilihat dalam kehidupan masyarakat Malaysia adalah dari segi
penggunaan daun kari dan rempah masyarakat India dalam masakan Melayu (Azaruddin dan
Khadijah, 2016). Bukan itu sahaja, proses akulturasi dapat dilihat melalui upacara berinai dan
bersanding yang pada asalnya merupakan budaya masyarakat India, namun kini telah diserap
masuk dalam budaya masyarakat Melayu dengan sedikit olahan agar tidak melanggar syariat
Islam. Secara tidak langsung, proses akulturasi dapat mewujudkan sebuah komunikasi yang
berkesan antara kaum kerana masyarakat Malaysia saling menerima dan berkongsi budaya
masing-masing. Perkara ini selari dengan teras ketiga DPN, iaitu dari segi Ekosistem
Perpaduan. Teras ini berhasrat memantapkan keberkesanan komunikasi bagi meningkatkan
kesedaran sosial dalam masyarakat. Justifikasinya, penulis dapat menyimpulkan bahawa
proses akulturasi berupaya mewujudkan suasana keharmonian dalam kalangan masyarakat
majmuk di Malaysia dan merealisasikan hasrat kerajaan dalam usaha membina peradaban.
Selain itu, hubung kait proses pembudayaan dengan usaha membina peradaban bagi
merealisasikan DPN dapat dilihat melalui proses akomodasi. Hal ini dikatakan demikian
kerana proses ini mampu membentuk identiti nasional dalam kalangan masyarakat (Irma
Wani et al., 2020). Contohnya dari segi pemakaian, masyarakat Cina dan India akan memakai
baju Melayu dan baju kurung semasa menghadiri majlis Raja-Raja seperti upacara Istiadat
Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Perkara ini jelas menunjukkan
bahawa proses akomodasi berjaya menerapkan nilai hormat-menghormati terhadap
perbezaan budaya seiring dengan objektif kedua DPN, iaitu ingin membentuk identiti nasional
dengan semangat jati diri, patriotik, prihatin, toleransi, saling menghormati dan
bertanggungjawab dalam kalangan masyarakat Malaysia. Oleh itu, penulis berpendapat
bahawa proses akomodasi dapat mengukuhkan perpaduan bangsa melalui sikap penerimaan
terhadap kebudayaan masing-masing.
Di samping itu, proses amalgamasi juga memainkan peranan penting dalam
merealisasikan hasrat DPN. Secara umumnya, proses ini merupakan satu proses
percampuran budaya atau ras bagi membentuk jenis budaya dan ras baharu. Tamsilnya,
kewujudan masyarakat Jawi Peranakan yang terbentuk daripada perkahwinan campur antara
lelaki India Muslim dengan wanita Melayu tempatan (Omar dan Noriah, 2010). Dengan
adanya identiti kelompok yang baharu ini, sesebuah masyarakat akan menghargai sesuatu
4
budaya serta bersikap bersatu padu dalam meraikan budaya masyarakat lain (Wazir Jahan,
2015). Perkahwinan campur juga mampu membentuk masyarakat Malaysia yang berfikiran
terbuka dan tidak bersikap perkauman. Contohnya, masyarakat Malaysia menghormati dan
menerima budaya perkahwinan masyarakat Jawi Peranakan seperti amalan menyuap gula
kepada pengantin sebagai simbolik terhadap kemanisan hidup berumah tangga. Perkara ini
bertepatan dengan objektif ketiga DPN, iaitu ingin melahirkan rakyat Malaysia yang
menghargai dan mengamalkan perpaduan. Sehubungan dengan itu, penulis berpendapat
bahawa proses amalgamasi merupakan proses pembudayaan yang bersangkut paut dengan
usaha membina peradaban bagi merealisasikan DPN.
Hubung kait yang terakhir dapat dilihat melalui proses segregasi .Walaupun proses ini
lebih bersifat memisahkan sesuatu masyarakat dengan masyarakat yang lain, namun masih
terdapat kesan positifnya. Misalnya, pengasingan sistem persekolahan di Malaysia berupaya
mewujudkan suasana harmoni dalam kalangan murid (Mior Khairul Azrin, 2011). Hal ini
dikatakan demikian kerana murid dapat menyesuaikan diri dalam kelompok yang
mengamalkan budaya yang sama. Melalui segregasi, perselisihan faham dalam kalangan
masyarakat Malaysia juga dapat dielakkan (Mohamed Ali dan Ayu Nor Azilah, 2021). Perkara
ini selari dengan teras perpaduan kedua DPN, iaitu dari segi Identiti Nasional yang ingin
melahirkan rakyat yang mempunyai kefahaman agama, budaya dan adat resam pelbagai
etnik dengan utuh. Maka, penulis berpendapat bahawa proses segregasi ini mempunyai
kelebihan sendiri, tetapi pelaksanaannya mestilah sentiasa dipantau oleh pihak berkaitan agar
tidak menjejaskan usaha kerajaan Malaysia dalam membina peradaban dan merealisasikan
DPN.
4.0 RUMUSAN
Kesimpulannya, Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai pelbagai budaya.
Setiap budaya yang terhasil di Malaysia telah mengalami proses-proses pembudayaan. Hal
ini dikatakan demikian kerana proses pembudayaan berlaku seiring dengan peredaran zaman
dan keperluan sosial semasa. Melalui tugasan ini, penulis dapat mengenali proses
pembudayaan dalam kalangan masyarakat Malaysia serta dapat menghubungkaitkan proses-
proses tersebut dengan Dasar Perpaduan Negara secara menyeluruh. Oleh itu, proses
pembudayaan di Malaysia perlulah diamalkan dan dipertahankan oleh semua pihak agar
keharmonian negara Malaysia dapat dikekalkan.
5
RUJUKAN
Azaruddin Awang dan Khadijah Mohd Khambali. (2016). Perkaitan akulturasi budaya dan
hubungan antara agama: kajian terhadap komuniti cina pra konversi di negeri
terengganu. Jurnal Hadhari, 8(1), 85-102.
Azharuddin Mohd. Dali. (2012). Sejarah masyarakat india di malaysia. Universiti Malaysia.
Baterah Alias, Huzaimah Ismail & Najahudin Lateh. (2017). Buku revisi: hubungan etnik di
malaysia. Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Hairol Anuar Mak Din, Nor Azlili Hassan, Azlina Abdullah, Mohd Mahadee Ismail & Marzudi
Md Yunus. (2020). Hubungan sosial rentas etnik ke arah pengukuhan kesepaduan
sosial di malaysia. ISLAMIYYAT, 42, 107-113.
Hamidah Abdul Rahman, Norlin Ahmad & Shah Rollah Abdul Wahab. (2009). Hubungan etnik
di malaysia: perspektif, teori dan praktik: konsep-konsep asas hubungan etnik.
Penerbit Universiti Teknologi Malaysia.
Hanapi Dollah dan Ajib Che Kob. (2004). Nyonya melaka: pelancongan dan transformasi
budaya baba. Jurnal Melayu, 1, 115-140.
Husin Fateh Din dan Nazariyah Sani. (2014). Kebudayaan melayu. Penerbitan Multimedia
Sdn. Bhd.
Irma Wani Othman, Muhammad Safuan Yusoff, Syamsul Azizul Marinsah, Saifulazry Mokhtar,
Habibah Artini & Mohd Kamal Mohd Shah. (2020). Strategi akulturasi dan hasil
pembudayaan berbeza dalam kalangan pelajar antarabangsa universiti awam
malaysia. Journal of Tourism, Hospitality and Enviroment Management (JTHEM),
5(21), 123-142.
Kementerian Perpaduan Negara. (2021). Dasar perpaduan negara. Kementerian Perpaduan
Negara.
Mansor Mohd Noor, Abdul Rahman & Mohamad Ainudin. (2007). Hubungan etnik di malaysia.
Prentice Hall.
Mardianah Nordin dan Hasnah Hussein. (2003). Pengajian malaysia. Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Maryam Syafiqha Mohd Sayuti, Awang Azman Awang Pawi, Nor Azlin Hamidon & Jamilah
Omar. (2017). Adaptasi budaya melayu dalam pola kehidupan masyarakat orang asli
(kuala) di batu pahat johor. Social Sciences Postgraduate International Seminar
(SSPIS). School of Social Sciences, Universiti Sains Malaysia.
Mior Khairul Azrin Mior Jamaluddin. (2011). Sistem pendidikan di malaysia: dasar, cabaran
dan pelaksanaan ke arah perpaduan nasional. Sosiohumanika, 4(1), 33-48.
Mohamed Ali Haniffa dan Ayu Nor Azilah Mohamad. (2021). Hubungan etnik di tanah melayu,
1941-1955: penelitian awal berdasarkan sudut pandangan sejarah. Journal of History
Department, 30(1), 105-127.
Mohd Ra’in Shaari, Adenan Ayob, Zarima Zakaria & Abdullah Yusof. (2019). Tahap integrasi
antara etnik di semenanjung malaysia. Jurnal Perpaduan, 101-124.
Mohd Shahrul Imran Lim Abdullah. (2014). Jati diri kaum dan perpaduan negara: kajian kes
cina peranakan kelantan di malaysia. Kajian Malaysia, 32(1), 119-148.
Muhammad Faris Abdul Fatah dan Muhamad Faisal Ashaari. (2020). Asimilasi masyarakat
cina dengan orang melayu di kelantan. BITARA International Journal of Civilizational
Studies and Human Sciences, 3(2), 186-198.
6
Nurzaira Azreena Rahamat. (2012). Kesan proses integrasi dan segregasi ke atas konsep
kendiri: latihan ilmiah. Universiti Teknologi Malaysia.
Omar Yusoff dan Noriah Mohamed. (2010). Daripada jawi peranakan kepada melayu: tinjauan
terhadap komuniti jawi peranakan di pulau pinang pada abad ke-21. Sari - International
Journal of the Malay World and Civilisation, 28(2), 63-82.
Shamsul Amri Baharuddin. (2012). Modul hubungan etnik edisi ke-2. UPENA UiTM.
Teo Kok Seong. (2014, Ogos 27). Bersatu dalam kepelbagaian kaum, budaya, bahasa. Berita
Harian Online. https://www.bharian.com.my/kolumnis/2014/08/2819/bersatu-dalam-
kepelbagaian-kaum-budaya-bahasa
Ting Chew Peh. (1987). Hubungan ras dan etnik. Pustaka Dimensi.
Tuan Buqhairah Tuan Muhamad Adnan. (2021, Feb 15). Kerajaan lancar dasar perpaduan
negara. Sinar Harian.
https://www.sinarharian.com.my/article/123911/BERITA/Nasional/Kerajaan-lancar-
Dasar-Perpaduan-Negara
Wazir Jahan Karim. (2015, Apr 24). Jawi peranakan bukan mamak. MyMetro.
https://api.hmetro.com.my/node/46073
7
LAMPIRAN
Gambar 1.0: Masyarakat Baba dan Nyonya.
Gambar 2.0: Masyarakat Melayu membeli ‘Yong Tau Foo’.
Gambar 3.0: Masyarakat Chetti di Melaka.
Gambar 4.0: Sistem persekolahan vernakular ketika zaman penjajahan British.
Gambar 5.0: Objektif Dasar Perpaduan Negara.
Gambar 6.0: Teras-teras Dasar Perpaduan Negara.