The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by ROHIM @ RAHIM BIN NGAHAT Moe, 2021-08-13 00:34:02

PERTANDINGAN SAJAK SMES

PERTANDINGAN SAJAK SMES

PERTANDINGAN DEKLAMASI SAJAK
SEMPENA

SAMBUTAN BULAN KEMERDEKAAN
SMK SUNGKAI

TAHUN 2021

PERTANDINGAN DEKLAMASI SAJAK
SEMPENA SAMBUTAN BULAN KEMERDEKAAN

SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN SUNGKAI

TAHUN 2021

Anjuran
J/K SAMBUTAN BULAN KEMERDEKAAN

SMK SUNGKAI, PERAK
dengan kerjasama

KUMPULAN PEMIKIR 6
SMK SUNGKAI, PERAK

2

KERTAS KONSEP

PERTANDINGAN DEKLAMASI SAJAK
SEMPENA BULAN KEMERDEKAAN

SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN SUNGKAI
TAHUN 2021

1. LATAR BELAKANG

1.1 Deklamasi sajak ialah satu persembahan seni pentas yang amat
popular dalam kalangan penggiat sastera. Perkataan deklamasi
berasal daripada bahasa Latin yang bermaksud “declamare” atau
“declaim” yang membawa makna membaca sesuatu hasil sastera yang
berbentuk puisi dengan lagu atau gerak tubuh sebagai aset dan alat
bantu. Dengan kata lain, deklamasi puisi ialah pembacaan puisi yang
membabitkan suara, sebutan, nada, intonasi, mimik muka, gerak
badan dan sebagainya.

1.2 Pertandingan deklamasi sajak sempena Sambutan Bulan
Kemerdekaan Sekolah Menengah Sungkai Tahun 2021 anjuran J/K
Sambutan Bulan Kemerdekaan, SMK Sungkai, Perak dengan
kerjasama Kumpulan Pemikir 6, SMK Sungkai, Perak, bagi
membolehkan pelajar SMES menunjukkan bakat dalam bidang
deklamasi sajak. Tahun ini merupakan tahun julung kali pertandingan
ini diadakan secara maya.

2. OBJEKTIF

2.1 Mencungkil bakat baharu dalam bidang deklamasi sajak.
2.2 Memberikan ruang dan pendedahan kepada golongan remaja untuk

mengetengahkan bakat mereka dalam bidang pengucapan sastera,
sekali gus membina keterampilan dan jati diri bangsa.
2.3 Memupuk minat dan kecintaan terhadap bahasa dan sastera Melayu
khususnya sajak.

3. SYARAT PENYERTAAN

3.1 Pertandingan ini terbuka kepada semua pelajar SMES yang sedang
belajar di tingkatan satu hingga tingkatan enam

3.2 Pencalonan setiap peserta adalah melalui pencalonan daripada pihak
guru kelas dan guru kelab persatuan di SMES.

4. PERINGKAT PERTANDINGAN

4.1 Pertandingan ini hanya dijalankan dalam peringkat sekolah.

4.1.1 Pertandingan pada peringkat ini akan dikendalikan oleh
Kumpulan Pemikir 6, SMK Sungkai.

1

4.1.2 Sebuah jawatankuasa pertandingan peringkat sekolah perlu
diwujudkan.

4.1.3 Jawatankuasa pertandingan peringkat sekolah hendaklah
menetapkan tarikh dan tempat pertandingan dan seterusnya
memaklumkan mengenai keputusan pertandingan kepada urus
setia di peringkat kebangsaan.

4.1.4 Peserta yang menyertai pertandingan peringkat sekolah akan
diberikan sijil penyertaan oleh J/K Pertandingan.

4.1.5 Kos pelaksanaan pertandingan yang melibatkan perbelanjaan
hadiah dan sijil akan ditanggung oleh pihak sekolah.

5. PEMILIHAN SAJAK

5.1 Penganjur pertandingan akan menyediakan teks sajak yang akan
dipilih oleh peserta.

5.2 Senarai sajak pilihan adalah seperti yang berikut:

BIL. JUDUL PENULIS
1. Suara Dari Pusara Usman Awang
2. Alam Telah Betul Rahman Shaari
3. Ingatan Adalah Musuhmu Yang Setia Latif Mohidin
4. Balada Langit Tua Manusia Sengketa Usman Awang
5. Harga Sejarah Rahman Shaari
6. Suara Dari Masyarakat Burung Usman Awang
kepada Datuk Bandar
7. Hari Terakhir Sebuah Hutan Muhammad Haji
Salleh
8. Bacalah Dalam Bahasamu Baha Zain
9. Bahasa Kita Abizai
10. Ingatan Kepada Kawan “XXIV” Zaen Kasturi
11. Haruman Seribu Mawar Jasni Matlani
12. Mencintai Tanah Ini Lim Swee Tin
13. Gurindam Alamku Musnah A. Aziz Deraman
14. Negeri Ini, Anak Marsli N.O.
15. Puteri Kuala Lumpur Ahmad Sarju
16. Perempuan Itu Kehilangan Ahmad Sarju

2

BIL. JUDUL PENULIS
17. Kembalilah Kepada Perpaduan Ahmad Sarju
18. Perjalanan Ahmad Sarju

5.3 Peserta bebas memilih sajak yang telah disenaraikan oleh penganjur
untuk pertandingan peringkat daerah/negeri.

5.4 Penyampaian sajak selain daripada sajak yang disenaraikan akan
menyebabkan penyertaan peserta terbatal.

5.5 Teks sajak tersebut ada dilampirkan

6. PERATURAN PERTANDINGAN

6.1 Peserta hendaklah memilih dan mendeklamasikan sajak yang telah
disenaraikan oleh pihak penganjur.

6.2 Peserta tidak dibenarkan menggunakan alat bantu atau sebarang
peralatan muzik termasuk pita rakaman semasa mendeklamasikan
sajak.

6.3 Perlakuan yang kurang sopan semasa di atas pentas adalah dilarang.

6.4 Peserta yang melanggar mana-mana peraturan di atas akan dibatalkan
penyertaannya serta-merta.

7. HADIAH
7.1.1 Hadiah akan diberikan kepada pemenang pertama, kedua dan
ketiga.
7.1.2 Semua peserta akan menerima sijil penyertaan daripada pihak
penganjur.

7.1.3 Hadiah pertandingan disediakan oleh pihak penganjur. Butiran
hadiah adalah seperti yang berikut:

Tempat pertama : Cenderamata dan sijil penghargaan.

Tempat kedua : Cenderamata dan sijil penghargaan.

Tempat ketiga : Cenderamata dan sijil penghargaan.

8. HAKIM

8.1 Dua orang hakim akan menghakimi pertandingan termasuk ketua
hakim.

3

8.2 Hakim pertandingan daripada guru bahasa Melayu dan guru Sastera

8.5 Panel hakim tidak akan terpengaruh dengan reaksi emosi/tepuk sorak
penyokong.

8.6 Panel hakim tidak akan memilih peserta yang membaca nota/teks,
menyentuh isu sensitif, membuat perlakuan/menggunakan bahasa
yang kurang sopan sebagai pemenang.

8.7 Panel hakim akan memerhatikan mimik muka, sama ada peserta
memaparkan wajah yang penuh yakin, atau dibuat-buat. Mimik muka
itu hendaklah bersesuaian dengan tema sajak. Jika sajak itu
memuatkan perasaan marah, mimik mukanya hendaklah berpadanan
dengan perasaan itu. Sajak yang sinis pula tentulah menyebabkan
mimik muka peserta berbeza. Mimik muka yang lembut, dengan
senyuman sekadarnya, sesuai dengan sajak yang memaparkan rasa
gembira.

8.8 Panel hakim juga akan memerhatikan mata peserta bagi melihat
keyakinan peserta ketika mendeklamasikan sajak.

8.9 Keputusan panel hakim adalah muktamad dan tidak boleh dirayu.

9. ASPEK PENILAIAN

9.1 Aspek penilaian meliputi suara (70%) serta gaya dan teknik (30%).
Butiran penilaian dalam persembahan deklamasi sajak adalah seperti
yang berikut:

ASPEK SUARA (75%) GAYA DAN TEKNIK (25%)
PENILAIAN Vokal Intonasi Nada Artikulasi
Kelancaran Penghayatan/ Penampilan/
MARKAH 10 Mimik Muka/ Ketertiban
Bahasa Tubuh

20 15 15 15 15 10

9.2 Suara
9.2.1 Vokal.
Suara merupakan pemberian Tuhan yang sukar diubah. Bagi
pendeklamasi sajak, suara memainkan peranan yang penting.
Peserta yang bersemangat tinggi akan berusaha menerbitkan
suara yang sesuai dengan sajak yang dideklamasikannya.
Emosi yang ada dalam sajak dapat dipaparkan melalui
permainan kualiti suara. Peserta hendaklah sedar bahawa suara
boleh direndahkan, disederhanakan dan ditinggikan pada
tempat-tempat yang sesuai. Peserta hendaklah benar-benar
pasti bahawa sajak yang akan dideklamasikannya sesuai
dengan lenggok suara bagi sajak berkenaan. Kejayaan peserta
mengemukakan suara, nada, teknik dan gaya yang bersesuaian

4

dengan sajak yang dideklamasikannya, bererti kejayaannya
menghayati sajak itu.

9.2.2 Intonasi.
Turun naik suara. Peserta dapat mengawal tinggi
rendah/panjang pendek suara berdasarkan maksud sajak.
Terdapat peserta yang tidak menyedari perkembangan
deklamasi terkini, lalu mengucapkan sajak dengan
menggunakan intonasi lama, iaitu intonasi yang sudah menjadi
klise. Intonasi yang klise tidak menjanjikan kemajuan apatah lagi
kecemerlangan. Kebolehan dan kecerdikan peserta mengawal
intonasi menentukan markah baik atau sebaliknya. Kebolehan
menggunakan jeda, patah-patah kata, hentian yang betul
diambil kira.

9.2.2 Nada.
Bunyi suara yang melahirkan atau membayangkan sesuatu
perasaan, sikap, aliran atau rentak sajak. Nada dalam
deklamasi sajak mengikut suasana sajak berkenaan. Jika sajak
itu bernada marah, maka peserta hendaklah menerbitkan nada
itu dalam deklamasinya. Peserta yang dapat mengikut suasana
dan nada bagi setiap baris, bait atau rangkap mampu
memperoleh markah yang tinggi.

9.2.3 Artikulasi.
Artikulasi bererti dapat menyebut bunyi atau kata dengan jelas.
Sebutan dapat difahami dan menggunakan sebutan bahasa
Melayu baku.

9.2.4 Kelancaran.
Kelancaran bererti peserta dapat mendeklamasikan dengan
lancar tanpa tersekat-sekat atau terhenti atau terlupa. Sekiranya
peserta tertinggal lebih dua perkataan, markah bagi bahagian ini
akan kurang kerana mungkin mengubah maksud sajak tersebut.

9.3 Gaya dan teknik.
Gaya berkait rapat dengan keyakinan peserta. Terdapat tiga faktor
yang menjadikan peserta berjaya mempersembahkan sajak dengan
gaya yang meyakinkan. Faktor yang pertama ialah peserta itu cukup
berani berhadapan dengan khalayak. Faktor yang kedua, peserta tahu
tentang seni pentas. Faktor yang ketiga pula, tingkat hafalannya yang
baik.

9.3.1 Penghayatan/Mimik Muka/Bahasa Tubuh.
Penghayatan disimpulkan sebagai peserta dapat mengalami,
merasai dalam batin dan meresap ke dalam jiwa sajak yang
disampaikan. Penghayatan turut dapat dirasai oleh khalayak
daripada keseluruhan deklamasi. Mimik muka pula ialah jika
peserta berjaya meniru, mengajuk gaya, cara setiap sifat dan
perasaan dalam sajak. Contoh: jika terdapat perkataan yang

5

membawa maksud marah, sudah pasti peserta memperlihatkan
wajah yang marah bukannya tersenyum. Mimik muka amat
penting bagi peserta berkomunikasi dengan khalayak untuk
menyatakan maksud sajak. Bagi elemen bahasa tubuh,
penggunaan anggota badan bagi menyokong, menguatkan lagi
maksud kata, bait dalam deklamasi. Penggunaan anggota yang
betul dan tepat amat penting bagi menarik minat khalayak.
Contoh: “Ayuh, mari kita bestarikan tanah hitam putih tanah
hadhari milik kita yang pasti.” Mungkin penggunaan tangan
sebagai bahasa badan untuk melambangkan tanah air. Kalau
tangan menunjukkan langit adalah salah tetapi kalau tangan
menunjuk ke bawah atau mendasar adalah tepat. Oleh itu
peserta harus berhati-hati.

9.3.2 Penampilan/Ketertiban.
Penampilan diri sebenar amat penting selain daripada kostum
yang sesuai, cara deklamasi, berdiri dan bergerak juga amat
penting. Hakim akan mengambil kira seawal langkah pertama
peserta berjalan di pentas, disiplin diri, pengawalan pentas dan
pengawalan pembesar suara dianggap penting.

10. PANDUAN KEPADA PESERTA

10.1 Peserta dibenarkan memakai kostum atau pakaian yang bersesuaian
dengan tema sajak.

10.2 Peserta yang yakin akan menumpukan pandangan matanya kepada
penonton, manakala peserta yang tidak yakin pandangan matanya
akan lari ke atas atau ke lantai pentas. Oleh itu, peserta perlu berani
memandang wajah penonton.

10.3 Peserta digalakkan untuk menghafal dan menghayati sajak yang ingin
dideklamasikan daripada membaca teks sajak. Markah akan dipotong
jika melihat teks sajak secara berterusan.

11. KELEMAHAN DAN PEMOTONGAN MARKAH

Markah yang diberikan untuk aspek-aspek yang dinyatakan di atas akan
muktamad jika tiada kelemahan dalam deklamasi. Markah akan dipotong jika
terdapat kelemahan-kelemahan seperti yang dinyatakan di bawah ini. Jumlah
markah yang akan dipotong tertakluk pada seriusnya kelemahan itu.

11.1 Ketersasulan.
Tersalah perkataan berbeza daripada tersasul, kerana dalam hal
tersalah perkataan, tiada pembetulan dibuat. Peserta mungkin tidak
menyedari kesalahan itu, dan mungkin juga membiarkannya demi
menjaga kelancaran. Pemotongan untuk kesalahan begini tertakluk
kepada kesannya. Jika perkataan “telah” disebut “tidak”, maka makna

6

keseluruhan sajak akan berubah. Jika perkataan “tidak” itu disebut
“tiada”, makna keseluruhan sajak itu tidak akan berubah.

11.2 Tertinggal bahagian tertentu.
Peserta yang kurang menghafal, atau yang gentar di hadapan
khalayak, mungkin tertinggal baris tertentu. Ada yang tertinggal terus,
dan ada yang teringat kemudian lalu disebutkan. Hal ini menyebabkan
bentuk sajak itu berubah. Oleh sebab kesannya besar, maka markah
yang dipotong akan tertakluk kepada jumlah baris yang tertinggal itu.

11.3 Perlakuan negatif di pentas.
Perbuatan peserta yang menunjukkan sikap tidak profesional di atas
pentas akan menyebabkan markah dipotong.

11.4 Membaca teks.
Peserta yang membaca nota atau teks akan dipotong markah.

12. TARIKH DAN TEMPAT PERTANDINGAN

12.1 Peringkat Sekolah
a) Tarikh : Ogos 2021.

13. JAWATANKUASA PERTANDINGAN PERINGKAT SEKOLAH

13.1 Jawatankuasa Pelaksana Pertandingan Peringkat Sekolah
Kebangsaan dipengerusikan oleh dan urus setia induk ialah Kumpulan
Pemikir 6

13.2 Jawatankuasa Pelaksana Pertandingan berhak membuat keputusan
yang difikirkan wajar dan munasabah jika berlaku sebarang perkara
yang tidak diingini demi memastikan kelancaran perjalanan
pertandingan pada satu-satu masa.

14. AM

14.1 Sebarang pindaan dan perubahan terhadap konsep pertandingan ini
tertakluk kepada pertimbangan pihak penganjur.

14.2 Sebarang tafsiran terhadap konsep pertandingan ini hendaklah dirujuk
kepada pihak penganjur

Sebarang pertanyaan dan rujukan bolehlah merujuk kepada:
Puan Rosnah binti Taib,
Kumpulan Pemikir 6, ,
SMK Sungkai, 35600 Perak

Disediakan oleh:
Rohim @ Rahim bin Ngahat
Kumpulan Pemikir 6.

7

BORANG PEMARKAHAN PERTANDINGAN DEKLAMASI SAJAK
SEMPENA BULAN KEMERDEKAAN

SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN SUNGKAI
TAHUN 2021

Nama Peserta KATEGORI DEKLAMASI SAJAK
: …………………………………............................................

Sekolah : ...........................................................................................

Judul Sajak : ...........................................................................................

BIL. ASPEK MARKAH MARKAH CATATAN HAKIM
PENUH DIPEROLEH
1. Vokal
Intonasi 20
15
Suara Nada 15
(75%) Artikulasi 15
10
Kelancaran 15
2. Gaya Penghayatan/Mimi
10
dan k Muka/Bahasa
Teknik Tubuh 100
(25%) Penampilan/

Ketertiban
3. MARKAH PENUH

Ulasan keseluruhan :

_______________

Tandatangan Hakim : …………………………….....................

Nama : ……………………................................

Tarikh : .............................................................

8

LAMPIRAN : TEKS SAJAK

SUARA DARI PUSARA
OLEH USMAN AWANG

IBU
Menangislah dengan air mata tuamu,
Dari kemiskinan kita yang lebih tua
Kulihat mereka menaburkan bunga
Dengan ucapan takziah yang berjela
Yang mengagumkan sekali
Setelah kematian berdarah kami.

Ayah,
Bulan ini tiadalah lagi kirimanku
Beberapa ringgit dari gaji tak berbaki
Gajiku: sepasang kasut seorang menteri
Dan janjiku menggantikan atap pondok
Maafkanlah, ayah, takkan tertunaikan.

Isteriku,
Dukamu tak ke mana sampainya, tak ke mana
Kudengar mereka mengutip derma
Mengapa kebaikan setelah kami mati
Ketika hayatku, kamar sempit gaji sedikit
Tak mereka tanyakan, tak mereka sebutkan ini

Anakku sayang
Baju sekolahmu telah koyak
Tiada gantinya, nak.
Tampallah lagi
Tahun ini buku sekolahmu, siapa membeli?
Dan seperti ayahmu
Mimpilah, mimpilah anak-anakku
Jika mimpi masih milikmu lagi
Kau akan belajar di universiti
Mereka bercerita tentang kematianmu
Mereka berhiba dan mengutip derma
Tapi sebidang tanah tak ada untuk kita
Kita tidak pernah punya tanah
Selain untuk menanam mayatmu,
Ini pun nanti pasti mereka memikirkan betapa untung jika disini didirikan
kilang.

Mereka yang tak pernah menyapa kita
Hari ini konon kedut seribu duka
Mereka yang dulu tak pernah bertanya
Hari ini menulis dan berkata
Kononnya kami pejuang negara.

9

Kematianku kematian kawan-kawan tercinta
Untuk kekayaan yang bukan milik kita
Supaya tuan-tuan itu lena tidur mimpinya
Tiap estet menghimpunkan susu getah
Tiap lombong melonggokkan bijih
Tiap bank nyaman menghitung untung
Tiap perusahaan damai mengira pengeluaran
Tiap semua yang bukan hakmilik kita!
Untuk merekalah kematian ini bernama.
Parlimen bersidang dengan titah-titah
Kemajuan luar Bandar-kemakmuran rakyat
Dan rajah-rajah kenaikan cukai
Pada kepala menteri kewangan yang pintar.
Kematian kami disebut sebentar Cuma
Setelah disampaikan kertas cek
Harga untuk nyawaku, lupalah semuanya
Melainkan ibu-ayah-isteriku saja
Dan anak-anak tercinta memikul derita
Sepanjang-panjang hayat mereka

10

ALAM TELAH BETUL
OLEH RAHMAN SHAARI

Salam sejahtera kebersihan
Salam untuk akal yang mengawal
Salam untuk sikap dan kerajinan
Sejahtera pohon-pohon yang tersusun
Di sini bersih bertempat
Kasih meningkat

Salam untuk kekotoran
Aku tahu bukan mahumu
Memeritkan hidungku
Menyeksa mataku
Kau seperti juga lawanmu
Memiliki tempat
Tapi manusia di sini alpa
Membiarkan kau merata
Salam untukmu kekotoran
Kau bukanlah penanggung kesalahan

Alam telah betul!
Mengimbangkan kebersihan dengan kekotoran

Kehanyiran dan kehancingan
Berimbang keharuman dan kewangian
Bau dari segala sisa
Berimbang juadah enak menyelera
Alam telah betul
Kekotoran hanya pusingan
Manis buah harum bunga
Asalnya kotor baja
Alam telah betul Kekotoran hanya pasangan
Gadis lembut jelingan manja
Dalam perut kotor juga.
Bijaksanalah akal yang mengatur
Di mana bersih di mana kotor
Bersih sekitar lambing murni hati penghuni
Kotor kawasan bayang durja pekerti hampa

Alam telah betul
Itu kekotoran
Asalnya kegelapan dan salah jalan
Ini kebersihan
Sumbernya ketinggian maruah insan.

11

INGATAN ADALAH MUSUHMU YANG SETIA
OLEH LATIF MOHIDIN

Ingatan adalah musuhmu yang setia
Segala yang lenyap muncul kembali
Segala yang ranap bangun kembali
Segala yang kau lempar menerpa kembali
Segala yang kau benam melambung kembali

Kau sangka
Kesan dari tanganmu telah menjadi abu
Tetapi abu telah menjadi arang
Arang telah menjadi kayu
Dan kayu telah menjadi api
Jarimu tidak sempat bercerita
Kukumu hangus dalam bahang ciptaannya

Ingatan adalah musuhmu yang setia
Cermin yang pecah bersatu kembali
Rumput yang hitam menghijau kembali
Potret yang kau robek melekat kembali
Tulisan yang kau bakar bersuara kembali

Sementara
Rumah yang kau dirikan menjadi gaung
Taman yang kau suburkan menjadi rimba
Jalan yang kau bentang menggulungkan dadanya
Bungkusan yang kau ikat melepaskan talinya

Ingatan adalah musuhmu yang setia
Di kala merasa tenang dan lengkap
Bentuk-bentuk tak terpegang telah melengkari diri
Kau tiba-tiba merasa terkurung terancam
Dan kau hanya bisa berdiri tunduk terpaku.

12

BALADA LANGIT TUA MANUSIA SENGKETA
OLEH USMAN AWANG

Pucat bulan dan bintang tiada pesta
Suram menyerak terukir di langit tua
Dengan kepak awan berarakan berlumba
Di padang terbentang warnanya manis berbunga
Beribu tahun masih terus mengembara jua.

Betapa suara langit mentertawakan
Bumi yang kehijauan dan wajah insane
Menyala bara dari ungun kemusnahan
Di mana-mana maut berdandan.

Dengarlah lantangnya suara dari angkasa
Dilagu angin dari awan bersabda
Dibawa sinar dari bulan berhiba
Di bumi ini manusia sengketa
Timah hitam dalam pecahannya berbara
Merah darah hanyir berlangir
Air mata dalam regukan hati terluka.

Siapa yang pernah merasa pedihnya derita
Ketika daging tersayat tersiram cuka
Siapa yang pernah menangis tanpa suara
Pahitnya warna di musim hampa
Saksikan kejadian seluas pandang
Maut yang manis menghayun pedang

Saksikan! Saksikan!
Hei, siapa yang terbenam di bumi mewah
Tidurnya lena di senyum wajah
Yang bersenda di panas dada perempuan
Kirimkan mata dan hati menyaksikan
Anak Adam dengan cintanya kehilangan.

Punah, punahlah segala yang indah
Kebengisan beraja di lautan darah!

13

HARGA SEJARAH
OLEH RAHMAN SHAARI

Sesekali kukenangi segala dulu
Gagah berani bangsaku
Makna pahlawan ada di kalbu.

Berfikir aku tentang negeri
Yang diatur dan dijagai
Makna kesetiaan ada di hati.

Terbayang, bagaikan dekat di mata
Helah durjana melarikan Teja
Fitnah nista menjatuhkan Melaka
Cemar dan haru hati bangsaku
Terbenam budi di bawah nafsu.

Sesekali terkenang segala yang bahari
Pahlawan dan srikandi
Kukuh hebat menjaga negeri
Tapi terlukis pada wajah pengganggu
Mata keranjang dan tinggi mahu
Penuh hasad dan buruk laku.

Kini, ketika berdiri di pentas ilmu
Kulihat kau ku baca diriku
Cendekia perencana kemajuan
Bangsa diatur oleh fikiran.

Dalam merenung perkiraan
Terbayang masa depan
Akan terteramkah negara
Dalam gugutan beza rasa
Dalam cemuhan dan tingkah kata?

Betapa mahal sejarah
Kerana di dalamnya peringatan
Bangsa bangkit oleh setia padu
Bangsa sakit oleh goda nafsu.

14

SURAT DARI MASYARAKAT BURUNG KEPADA DATUK BANDAR
OLEH USMAN AWANG

Tuan Datuk Bandar
Kami masyarakat burung telah mengadakan mesyuarat agung
Pada suatu pagi yang manis dan ranum
Di atas bangunan parlimen yang kosong.

Seluruh kaum burung telah diwakili
Oleh para cerdik pandainya, kecuali
Perwakilan burung gagak yang sibuk dengan urusan kematian
Penembakan, bangkai hanyut di Sungai Kelang.

Sidang ini dihadiri juga oleh pemerhati undangan
Perwakilan kupu-kupu yang ada kepentingan
Dengan persoalan yang kami bincangkan.

Tuan Datuk Bandar,
Meski kami tidak pernah mengangkat tuan sebagai datuk kami
Kerana perbezaan fahaman taraf “Datuk” dan “Cucu”
Kerana kelainan pendapat antara rambut dan bulu,
(tuan-tuan telah mempermaniskan gelaran menyebutkan rambut dan diri
tuan-tuan, sedangkan untuk kami tuan namakan perkataan “bulu”)
Kami tetap menghormati tuan yang pernah menjanjikan untuk
Menghijaukan seluruh wilayah.

Tapi manusia kota ini telah membunuh kehijauan alam
Semata-mata untuk mengejar kehijauan ringgit.
Sejak lumpur kota ini menjadi batu-batu
Kami masyarakat burung menjadi mangsa yang bisu.
Mendiang burung belatuk menjadi korban punggur rebah,
Burung merbuk telah ditipu dengan nama Padang Merbuk,
Sedang mereka dipenjarakan di tempat tuan namakan sangkar.

Perwakilan burung pipit telah mengemukakan protes
Kerana menuduhnya sebagai “pipit pekak makan berhujan”.
Ia disokong kuat oleh perwakilan burung punai,
Bahawa tuan telah menghina kaum jenis mereka
Datuk menamakan benda-benda rahsia di tempat rahsia di tubuh Datuk
Dengan nama ‘pipit’ dan ‘punai’, sedangkan kami tahu ‘pipit’ dan ‘punai’
Datuk tak pandai terbang.

15

Tuan Datuk Bandar,
Surat ini merayu kebijaksanaan tuan,
Peliharalah tiap pucuk dan akar tumbuh-tumbuhan
Tiap helai daun, tiap kelopak bunga, tiap kerimbunan
Itulah rumah kami, kediaman kami turun-temurun
Malah demi kesejahteraan manusia,
Kesihatannya, kebahagiaannya, kedamaiannya
Alam semula jadi seribu keindahan mekar
Di bawah mentari bersinar.

16

HARI TERAKHIR SEBUAH HUTAN
OLEH MUHAMMAD HAJI SALLEH

Maut tiba di hujung gigi gergaji
Dengan duri jerit yang menyerampang angkasa dan matahari
Membenam ke inti isi kayu
Yang tersentak oleh sakit dan bising asing
Dunianya memulas kebiasaan, aneh seperti pitam
Getah mengalir, zatnya meniadakan waja
Tergetar perdu dan akar pendiri
Di puncaknya burung masih berterbangan
Udara diharumkan wangian sehutan Langit bersaksi dengan mata bening

Rebah cengal
Rebah meranti
Rebah merbau
Rebah pulai
Rebah seraya
Rebah nyatuh
Rebah resak
Rebah halban
Rebah nibung
Rebah rotan

Runtuhlah sekeluarga pohon yang berusiakan kurun
Yang indah dan yang besar dalam bayang
Setelah berkampung sejuta tahun
Di lembah daun dan sungai hujan

Edaran alam berputar perlahan
Dengan peka pada rentak musim dan matahari
Dengan rasa hadir di urat akar dan goyang pucuk
Setelah letupan maut dan gelimpangan kayu
Panas meniup ke lubang udara tersiatlah kewujudan.

17

BACALAH DALAM BAHASAMU
OLEH BAHA ZAIN

Kata orang negara itu gunung, hutan tasik, pulau , dan lautannya
Pohon-pohon, daun, mayang, buah, dan akar memberi kehidupan
Tapi itu hanya sebahagian daripada pemandangan yang sempurna
Bagaimana kalau mati angin, hujan dan cahaya?
Perahu tidak akan berlayar, dan perantau hilang pedomannya.

Negaraku adalah mimpi yang indah, mimpi yang besar
Negaraku adalah saga dan wira yang menjelajah benua
Tapi kata orang, kita tak boleh hidup atas mimpi
Kita tak boleh kaya dengan puisi
Kita tak boleh ke syurga dengan industri
Kita akan mati, akhirnya mati.

Pantai telah tercemar
Hutan rimba jadi belukar
Gunung-ganang jadi danau
Pulau berubah tebing, dari desa ke Bandar

Kita telah membuka mata dunia
Malaysia negara kecil, telah jauh ke muka.

Malaysiaku telah menebus kehinaan
Merendah, tetapi tidak rendah diri
Meninggi, tetapi bukan suaranya
Kita tidak malu mendengar Bach, Beethoven atau Kitaro,
Membaca Goethe, Mishima, Camus atau Chairil
Kita adalah pewaris dan warga dunia yang melihat
Monet, Gaugin, Affandi atau Basuki
Kita telah berdiri dan mengenali diri.

Tetapi kasihan, mimpi kita berlebihan
Bacalah Tun Sri Lanang, Zaaba, Keris Mas
Di sanalah terhimpit sejarah dan kepahitan
Di sanalah tersirat mimpi dan perlawanan
Dilestarikan oleh pantun, syair, seloka, dan teka-teki
Bacalah, dan bacalah dalam bahasamu
Agar kau tidak jadi perantau
Yang pulang dengan segala muatan
Yang mati angin dan cahaya di lautan.

18

BAHASA KITA
OLEH ABIZAI

Bahasa kita
Berkurun menjadi tulang-temulang
Membina tubuh tamadun panjang
Sebagai pusaka warisan
Yang tak kunjung lebur
Oleh panahan matahari zaman
Yang tak pernah luntur
Ditikam hujan dugaan
Bicara yang ramah di lidah
Menjadi insan utama di tanah ibunda
Dan seluas banjaran nusantara.

Bahasa kita
Berputik cantik berkembang jelita
Harum sopan mekar di kelopaknya
Berbisik lembut bersenandung merdu
Mengundang asyik dan rindu
Dalam lirik dan lagu.

Bahasa kita
Kaya dengan isi dan hiasan
Penuh kiasan sarat tamsilan
Memperagakan corak bijak
Di sebalik pantun dan gurindam.

Bahasa kita
Bukan sekadar bahasa lembah
Terpencil dan lemah
Tapi bahasa bersayap bestari
Mampu terbang tinggi
Menyahut cabaran awan teknologi
Menyambut seruan langit globalisasi.

Bahasa kita
Jambatan kukuh tempat menyeberang
Ke pulau perpaduan bersatu haluan
Agar di setiap sukma warga
Berdenyut cinta serupa
Di mana bumi didiami
Di situlah bahasa dikasihi.

Bahasa kita
Urat dan darah perjuangan bangsa
Jangan sesekali berani mengaku
Sebagai anakanda yang setia
Jika bahasa segan mengalir di bibir
Jika bahasa tiada mesra di jiwa.

19

INGATAN KEPADA KAWAN “XXIV”
OLEH ZAEN KASTURI

Risik hujan dan gersangannya dedaunan
Adalah perkalihan musim
Yang perlu kita lalui
Segala-galanya berjalan dan terus berjalan
Segala-galanya akan ada untukmu
Segala-galanya akan bersatu dalam
Kejernihan sukmamu.

Aku adalah bayangan yang entah
Sementara atau nyata
Di sebalik rendang dan
Redupnya pohon hayat
Mungkin saat kita mengunyah
Makna semua ini
Kita akan menjadi diri kita yang tahu
Apa itu resah angin dan risik hujan
Tak kunjung mimpi tanpa
Tidur yang panjang
Tak hadir cinta tanpa hidup yang ditakdirkan.

Saat kita menyedari bahawa hidup
Menggendong kita
Pada suatu arah yang benar dan terang
Kita akan terus menjadi sepasang
Serangga yang mengerti di mana angin
Berguling, di mana bunga berpuing aku
Akan menjagamu kau akan menjadi
Sebahagian daripada riwayatku.

Mengertilah kejadian cinta adalah
Perihal menjaga bukan semata
Keinginan kuat untuk memilikinya.
Kau adalah gunung
Yang menampung
Seluruh puncak sepi dan derita.

Kau adalah samudera
Yang menenggelamkan
Segenap benci dan angkara.
Hidup ini bagaikan karang segara
Kan sering dipukul gelombang.
(kau tahu? Itulah yang membuatnya indah)

20

HARUMAN SERIBU MAWAR
OLEH JASNI MATLANI

Kita adalah warga bumi merdeka
Yang bermaruah dan teguh jati diri
Kita adalah warga bumi merdeka
Berdiri gagah di bawah panji jalur gemilang
Berkibar megah ke angkasa raya
Kita adalah warga bumi merdeka
Yang setia menjunjung maruah perlembagaan
Kita adalah warga bumi merdeka
Yang menggenggam ukhuwah bersatu teguh.
Jangan ada sesiapa pecahkan mutiara harmoni
Dengan lontaran batu prasangka

Jangan ada sesiapa bakar jerami kebahagiaan
Dengan api sengketa
Jangan rebahkan tiang jalur gemilang
Dengan kapak ideology songsang
Jangan cemarkan jernih perlembagaan
Dengan riak pertimbangan tiada paksi
Jangan titiskan darah kemusnahan
Dengan pisau kehancuran di persada bumi tercinta.

Di sini di bumi merdeka ini
Kita paterikan janji setia
Bersatu teguh bercerai roboh
Di sini di bumi ini tercinta ini
Kita pacakkan menara azam
Biar kukuh menyangga transformasi
Di sini di bumi merdeka ini
Kita semaikan benih budi
Suburkan pohon ilmu
Dan angkat tampuk rohani
Ke langit putih nan tinggi.

Generasi baharu penggalas wawasan
Kita pecahkan ruyung kedaifan
Dan singkirkan pedih perih kemiskinan
Dari rumah kehidupan seluruh warga.
Mari kita nyanyikan lagu permai
Sambil berganding tangan
Dan sirami bumi merdeka
Dengan haruman seribu mawar.

21

MENCINTAI TANAH INI
OLEH LIM SWEE TIN
Siapakah berani merobek angin musim sentosa ini
Sayapnya menebar jauh hingga ke lereng bukit dan denai-denai desa
Siapakah berani memancung damai negeri bertuah ini
Dengan pedang terhunus dendam berpercikan silau kebencian.
Sejarah pertiwi masih cermat tersimpan
Dalam album purbanya ngilu hiris cengkam penjajah
Berganti silih
Mencakar sukma ibunda
Hari ini pun terasa lagi akan pedih siatnya.
Dengup ingin anak-anak bangsa
Masih kental mengisi mimpi
Membenteng tanah yang sesusuk ini
Dengan harga cinta tak tertawarkan
Dengan anyam kasih tak tercelakan.
Kemerdekaan yang kita genggam bukan kata hiasan
Seperti kedaulatan bukan hanya seuntai slogan
Telah berjanji kita atas nama bumi pusaka
Sepakat rela kita julang menjunjungnya ke puncak persada.
Marilah kita tentang perobek angin musim sentosa
Hingga luluh sayapnya melayang ke gurun-gurun yang saujana
Marilah kita lestarikan limpah rahmat
Bernafaskan kasih luhur
Dengan jiwa paling bening tunduk dan syukur.

22

GURINDAM ALAMKU MUSNAH
OLEH A. AZIZ DERAMAN

Akulah angin yang menderu
Akulah ombak yang mengalun
Menyisir pantai teluk hatimu
Bagi engkau mengingati sopan santun
Terpampang bakti ikhlas kepada-Nya
Berkayuh ke kuala kasih
Memudiki arus sungai ke hulu negeri
Menyusuri alam pengalaman berbudi
Putat nipah, serapat akar berembang
Bagaikan aur dengan tebing
Di dasarnya tenang ikan berenang
Di puncaknya riang kicau burung
Di tebingnya menguak kerbau lembu
Bagaikan sekampung senegeri tidak bimbang
Seindah alam mendatangkan gurindam
Melagukan penawar hati yang muram.

Dalam aku ada dirimu
Di mana saja bila-bila masa, mudah bertemu
Akulah langit mentari bersinar
Darinya cahaya purnama terpancar
Akulah bumi makhluk membesar
Pamer pengalaman dalam iktibar.

Demi masa yang berubah lalu
Deru anginku musnah berdebu
Alunan ombakku berwarna seluas segara
Hanyut kotoran serata pantai teluk nusa
Kuala dan sungai dicemari kumbahan
Nagis sampah sarap di celah segala tumpahan.

Akulah belantara itu di hulu negeri
Dibakar terbakar sepi
Lagu gurindam alamku berirama ngeri
Nyanyi burung gembira sekampung telah hilang pergi
Ditelan hanyir udara yang dihidu
Debu racun terapai-apai di ruang berjerebu
Dingin malam panasnya sampai ke siang
Gurindam alamku musnah
Di tangan diri yang kononnya khalifah.

23

NEGERI INI, ANAK
OLEH MARSLI N.O.

Negeri ini, anak, adalah tanah hijau penuh mahsul
Terlalu pemurah dan saksama pada tiap warga yang berjasa
Yang rela memberikan keringat serta setia untuk bumi tercintanya.
Usah kau persoalkan tentang derita milik siapa di negeri kaya
Dan kesuraman sekejap siapa pula menjadi dalang
Kalau tiba-tiba terdengar laungan dari bukit penuh gelap
Itu hanyalah lolongan sang pertapa yang lemas ditikam bayang!

Negeri ini, adalah tanah luas sesayup pandangan
Yang telah melahirkan ribuan pahlawan. Rela memilih terbuang
Dari berputih mata, kerana baginya mati itu cuma sekali dan tidak harus
Sia-sia. Mereka tidak rela ini negeri tercinta jadi kuda tunggangan
Atau diperkosa warga tidak bernama. Meski darah dan tulang jadi gantian.
Kerana baginya:
Negeri adalah tanah
Adalah air,
Adalah api, Adalah angin,
Adalah maruah,
Adalah permai,
Adalah berani,
Adalah susila.
Adalah segala-galanya

Dan hari ini, kata keramat itu dilaungkan.
Tanpa mengira kulit atau warna, tampuk atau asal, percaya atau agama.
Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Di negeri ini, anak, mari kita hidup tanpa curiga atau rasa berbeza.
Siapa di sini adalah warganya, kerana meski putih atau hitam, darahnya
Tetap merah. Darahnya tetap merah.
Usah dilebarkan jurang atau mencipta kelam. Mari kita dirikan harapan
Dan teguhkan kesetiaan.

24

PUTERI KUALA LUMPUR
OLEH AHMAD SARJU

Dipelajari harga diri kota ini
Seperti rama-rama melengkapkan sayap besi
Menembusi jaring perangkap
Melindungi perjalanan diri
Dalam riang ada tangan yang kejam
Dalam duka ada rahsia yang tercipta.

Diatur ketabahan setiap hari
Dipilih perjalanan yang kental dengan cabaran
Merentas lorong yang tenggelam dengan kekotoran
Mengail warna pudar di kelopak senja
Ada suara yang terjerat di sudut keruntuhan
Ada maruah yang terbakar di bumi tergenggam.

Telah terusik pedih cinta murninya
Milik yang terlepas daripada akar warisan
Sejarah bukan lagi senjata sulit
Di mana kita yang lemah akan tenggelam
Atau siapa yang boleh digelar penderhaka
Atau siapa yang berani mengaku miliknya
Kota yang berdiri berbaur dengan darah
Warna Kuala Lumpur tidak lagi mengenal warna
Kulitnya, darahnya, budayanya
Menjadi warga kota yang setia

Akhirnya ia merelakan
Kota yang dibangunkan dengan pelbagai impian
Dicipta dengan pelbagai harapan
Kini telah menjadi milik bersama
Mengharapkan kesetiaan daripada warganya.

25

PEREMPUAN ITU KEHILANGAN
OLEH AHMAD SARJU

Di bawah hujan peluru ia menepis percikan api
Gumpalan darah masih panas tumpah di sisinya
Laungan sedih menyayat hati menggetarkan sanubari
Perempuan itu simpati tetapi tak terdaya melindunginya
Perempuan itu pilu tetapi tak terdaya menghulurkan tangan
Seorang anak kecil mencari ibu dan bapanya
Di celah-celah mayat dibungkus debu
Dan remuk di bawah runtuhan batu.

Di bawah naungan kota yang runtuh
Ia merangkak mencari perlindungan
Dari desis peluru dan ledakan menggegarkan
Ia melihat sendiri ratusan tubuh turut rebah
Tubuh yang hancur tulang yang berkecai
Tangan yang putus kaki yang terkulai
Perempuan itu berasa segala kesakitan
Perempuan itu berasa segala kepedihan
Perempuan itu berasa segala kesengsaraan
Perempuan itu tahu kekejaman dan kemusnahan.

Diredah hutan api dan ladang yang terbakar
Direnangi sungai yang hanyir
Disusuri pantai berdarah
Ditinggalkan kota musnah menimbus ratusan nyawa
Setelah kewanitaannya direnggut askar durjana
Pisau di tangannya menembusi dada laki-laki itu
Untuk menebus maruah di bumi yang berdarah.

Perempuan itu telah kehilangan cintanya
Harga diri, suami dan anak kesayangannya
Yang musnah daripada kekejaman dan pembunuhan
Kini digenggamnya sumpah sepanas api
Untuk menuntut bela sebagai seorang pertiwi.

26

KEMBALILAH KEPADA PERPADUAN
OLEH AHMAD SARJU

Telah kita susuri sungai pahit
Pantai getir ruang yang pijar
Kita telah berkali-kali
Menepis tikaman lidah
Mencabut daripada fitnah
Membalut luka berdarah
Kita pertahankan erti maruah.

Pisau dendam masihkah terhunus tajam
Berkilau memancar di serata sudut
Atau benih fitnah ditabur telah bercambah
Di lubuk hati nurani bangsa
Masih adakah pendekar terus dipuja
Tak berupaya membuka penindasan
Kerana kemenangan bukan miliknya
Terpaksa menyerah kepada hukum alam.

Telah kita jahit luka demi luka
Dengan benang keinsafan
Luka yang merebak
Terlalu sulit untuk diubati
Onak duri menajamkan runcinganya
Membenam lembing curiga
Mengasah benih permusuhan
Telah merobek warkah perpaduan.

Pisau dendam yang masih terhunus tajam
Di tangannya masih tergenggam
Sanggupkah kita membiarkan permusuhan itu
Tumbuh di mana-mana
Yang kemudiannya merebakkan api kemelut
Memusnahkan jambatan persaudaraan
Dengan kata-kata tak terikat dengan etika
Berlangsungnya kuasa daripada yang berkuasa.

Saudara-saudaraku
Dendam bukan langkah bestari
Yang mengharumkan bumi pertiwi
Ladang wawasan warisan kita
Dendam bukanlah impian kudus
Dendam sekadar api amarah
Impian rakus suara ancaman
Yang menakluki jiwa kerdil
Dendam adalah pisau, adalah pedang
Adalah tikaman demi tikaman
Yang sering tertancap
Di dada bangsa sendiri.

27

Saudara-saudaraku
Kembalilah kepada perpaduan
Perpaduan yang menyuburkan persaudaraan
Perpaduan yang menjernihkan segala sengketa
Perpaduan yang menjalin ikatan
Perpaduan yang mengukuhkan tali Muslimin
Padamkanlah setiap sengketa
Yang sekian lama meraja di hati
Kerana kekuatan bangsa, keunggulan negara
Bermula daripada benih suci, persaudaraan murni luhur dan abadi.

28

PERJALANAN
OLEH AHMAD SARJU

Jika kau temui hujungnya
Pengalaman adalah sekadar kesempatan
Menghirup setiap keterharuan
Yang member setiap kemungkinan.

Perjalanan itu sebenarnya tiada perhentian
Yang bernama mata fikir
Mengalir bagai sungai waktu
Bergelombang bagai setiap lautan
Berterbangan bagai butir-butir debu.

Seperti engkau, aku masih mencarinya
Yang bernama kedewasaan untuk berhujah
Erti kebebasan untuk menakluki setiap kedukaan
Yang menerpa tanpa kuduga
Seperti lumrahnya peredaran
Didakap hari tua.

Perjalanan itu sebenarnya tiada pelabuhan
Yang bernama gerak hayat setiap insan
Diiringi oleh keluh-kesah
Berdetik bagai putaran jam
Berarak bagai gumpalan awan.

Seperti engkau, aku masih mencarinya
Yang bernama kekuatan untuk melindungi
Erti kebahagiaan anak isteri dan keluargaku
Yang kelak menyelimuti dengan kabus kebimbangan
Dengan tamadun yang mencederakan
Kepercayaan yang tergenggam.

Perjalanan itu sebenarnya tiada akhirnya
Yang bernama titian segala amalanmu untuk menghadapi-Nya
Yang tidak akan terelak dari hukuman
Oleh Yang Maha Berkuasa dengan hidayah-Nya.

29


Click to View FlipBook Version