PERATURAN PELAJAR
PROGRAM MATRIKULASI
Segala butiran cetakan adalah tertakluk kepada pindaan
dari semasa ke semasa
Edisi pertama 2002
Edisi kedua 2003
Edisi ketiga 2004
Edisi keempat 2005
Edisi kelima 2006
Edisi keenam 2007
Edisi ketujuh 2008
Edisi kelapan 2009
Edisi kesembilan 2010
Edisi ke-10 2011
Edisi ke-11 2012
Edisi ke-12 2013
Edisi ke-13 2014
Edisi ke-14 2015
Edisi ke-15 2016
Edisi ke-16 2017
Edisi ke-17 2018 / Versi Dalam Talian 2018
Edisi ke-18 2019 / Versi Dalam Talian 2019
Edisi ke-19 2020 / Versi Dalam Talian 2020
Edisi ke-20 2021 / Versi Dalam Talian 2021
Tarikh berkuat kuasa: 25 Julai 2021
© Bahagian Matrikulasi
Kementerian Pendidikan Malaysia
Semua hak cipta terpelihara. Sebarang bahagian dalam buku ini tidak boleh diterbitkan
semula, disimpan dalam cara yang boleh dipergunakan lagi, atau dipindahkan, dalam
sebarang bentuk atau dengan sebarang cara, baik secara elektronik, mekanik,
penggambaran semula, perakam dan sebagainya, tanpa izin daripada Pengarah Bahagian
Matrikulasi, Kementerian Pendidikan Malaysia.
Diterbitkan oleh:
Bahagian Matrikulasi
Kementerian Pendidikan Malaysia
Aras 6 & 7, Blok E15, Kompleks E,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62604 Putrajaya.
Tel: +603-88844083
Faks: +603-88844028
Laman sesawang:www.moe.gov.my
Peraturan Pelajar
Program Matrikulasi
Kementerian Pendidikan Malaysia
Mengandungi indeks
Bibliografi: hlm.35
ISBN 978-983-2604-53-2
ISI KANDUNGAN
KANDUNGAN MUKA SURAT
Jawatankuasa Pemurnian Peraturan Pelajar
Falsafah Pendidikan Kebangsaan 1
Visi, Misi dan Objektif Bahagian Matrikulasi 1
Kata Alu-aluan 2
BAHAGIAN A: PERATURAN AM
PERKARA 1: Pemakaian dan Tafsiran 3
PERKARA 2: Disiplin Am 5
PERKARA 3: Menghadiri Kuliah, Tutoran, Amali, Bengkel, 5
Aktiviti Kokurikulum dan Aktiviti Rasmi Kolej
PERKARA 4: Kad Matrik 6
PERKARA 5: Kawalan Keselamatan Kolej 6
PERKARA 6: Peperiksaan 6
PERKARA 7: Pakaian dan Penampilan Diri (Akta 174: Kaedah 6) 7
PERKARA 8: Potongan Rambut, Misai, Janggut dan Bauk 7
(Berdasarkan Surat Pekeliling Ikhtisas
Kementerian Pelajaran Bil.2/1976)
PERKARA 9: Aktiviti Kokurikulum 8
PERKARA 10: Penggunaan Bangunan, Kawasan dan Peralatan 8
PERKARA 11: Penggunaan Kenderaan 8
PERKARA 12: Lalu Lintas dalam Kolej 9
PERKARA 13: Lawatan 9
PERKARA 14: Aktiviti-Aktiviti Kolej 10
PERKARA 15: Menjemput Penceramah/ Pensyarah Luar 10
KANDUNGAN MUKA SURAT
PERKARA 16: Menghadiri Ceramah/ Syarahan yang Bukan 11
Diadakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia
PERKARA 17: Rawatan Perubatan 11
PERKARA 18: Menyimpan, Mengedar, Menayang dan 12
Memperdengarkan Penerbitan Bercetak
dan Bahan Bukan Bercetak
PERKARA 19: Judi dalam Kolej 12
PERKARA 20: Makanan dan Minuman yang Dilarang 12
PERKARA 21: Bahan-Bahan Lucah 12
PERKARA 22: Penyalahgunaan Dadah (Akta Dadah 13
Berbahaya 1952)/ Racun (Akta Racun 1952)
PERKARA 23: Larangan Merokok 13
PERKARA 24: Membuli atau Mencederakan 14
PERKARA 25: Bahan Letupan 14
PERKARA 26: Mencuri/ Mengalih/ Meminda/ Mengubah Objek 14
PERKARA 27: Tingkah Laku Musnah 14
PERKARA 28: Tingkah Laku Tidak Sopan 14
PERKARA 29: Berkahwin 15
PERKARA 30: Rujukan Perubatan/ Hospital 15
PERKARA 31: Keingkaran 15
BAHAGIAN B: PERATURAN KOLEJ KEDIAMAN 16
18
PERKARA 32: Tatatertib Am Kolej Kediaman
18
PERKARA 33: Pengesahan Kesempurnaan Bilik dan
Kemudahan-Kemudahan di Dalamnya
PERKARA 34: Rawatan Perubatan Selepas Waktu Pejabat,
Cuti Hujung Minggu dan Cuti Am
KANDUNGAN MUKA SURAT
PERKARA 35: Barang Kepunyaan Sendiri 18
PERKARA 36: Masa Memadamkan Lampu 19
PERKARA 37: Penggunaan Peralatan Elektrik 19
PERKARA 38: Menerima Tetamu 20
PERKARA 39: Kebenaran Khas Keluar Kolej 20
PERKARA 40: Aktiviti di Blok Kolej Kediaman 20
BAHAGIAN C: PERATURAN KAFETARIA 21
PERKARA 41: Pakaian Semasa di Kafetaria 21
PERKARA 42: Penggunaan Kafetaria untuk Mengadakan Aktiviti 21
PERKARA 43: Urusan Berjual Beli
BAHAGIAN D: PERATURAN PERPUSTAKAAN 22
PERKARA 44: Pakaian Semasa di Perpustakaan 22
PERKARA 45: Peraturan Am Perpustakaan 22
PERKARA 46: Pendaftaran 22
PERKARA 47: Kemudahan Pinjaman 23
PERKARA 48: Kehilangan dan Kerosakan 23
PERKARA 49: Kemudahan Internet Perpustakaan
BAHAGIAN E: JENIS-JENIS HUKUMAN 24
LAMPIRAN 25
RUJUKAN 28
JAWATANKUASA PEMURNIAN PERATURAN PELAJAR
PROGRAM MATRIKULASI, KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
PENAUNG
Dr. Hajah Rosnarizah binti Abdul Halim
Pengarah BMKPM
PENASIHAT
Tn. Hj. Mohd Kassim bin Jaafar
Timbalan Pengarah BMKPM
Sektor Pembangunan Pelajar BMKPM
PENGERUSI
Pn. Nor’aini binti Mohammad
Ketua Penolong Pengarah
Sektor Pembangunan Pelajar BMKPM
SETIAUSAHA
Cik Ruzita binti Mohamed Yacob
Penolong Pengarah
Sektor Pembangunan Pelajar BMKPM
AHLI
En. Khairudin bin Nozari
Timbalan Pengarah
Kolej Matrikulasi Kelantan
En. Hasyidan bin Mohd Hussain
Ketua Penolong Pengarah
Sektor Pembangunan Pelajar BMKPM
En. Mohd Azeli bin Abdul Latif
Ketua Jabatan Pengurusan Pelajar
Kolej Matrikulasi Pahang
En. Azman bin Abdul Rahman
Ketua Jabatan Pengurusan Pelajar
Kolej Matrikulasi Johor
En. Azmi bin Harun
Ketua Jabatan Pengurusan Pelajar
Kolej Matrikulasi Pulau Pinang
En. Saiful Bahri bin Yahya
Ketua Jabatan Pengurusan Pelajar
Kolej Matrikulasi Kejuruteraan Johor
En. Ahmad Syazwan bin Sharifudeen
Penolong Pengarah
Sektor Pembangunan Pelajar BMKPM
En. Muhamad Faidzol Azree bin Talib
Penolong Pengarah
Sektor Pembangunan Pelajar BMKPM
En. Mohd Jazril Yusoff bin Mohamed
Penolong Pengarah
Sektor Pengurusan Peperiksaan BMKPM
En. Heilmann bin Zulkifli
Penolong Pengarah
Sektor Akademik BMKPM
En. Mohd Mohshen bin Jaamat
Penolong Pengarah
Hal Ehwal Pelajar
Kolej Matrikulasi Melaka
En. Mohd Badrul Hisham bin Abdullah
Penolong Pengarah
Hal Ehwal Pelajar
Kolej Matrikulasi Perlis
En. Aris Hanafi bin Abu Jalil
Penolong Pengarah
Hal Ehwal Pelajar
Kolej Matrikulasi Perak
En. Mohd Azri bin Abdul Jalil
Penolong Pengarah
Hal Ehwal Pelajar
Kolej Matrikulasi Pulau Pinang
Pn. Shahrom binti Mat Noh
Pustakawan
Kolej Matrikulasi Perlis
En. Rozaimi bin Zakaria
Penyelia Asrama
Kolej Matrikulasi Kedah
FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN
Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah
memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu
untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani,
emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.
Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan,
berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan
mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian
dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.
VISI
BAHAGIAN MATRIKULASI
Penjana unggul bumiputera berkualiti ke institusi pengajian tinggi dalam bidang
sains, teknologi dan profesional.
MISI
BAHAGIAN MATRIKULASI
Membangunkan potensi pelajar bumiputera dalam bidang sains, teknologi dan
profesional melalui pendidikan prauniversiti yang berkualiti untuk melahirkan
modal insan yang cemerlang.
OBJEKTIF
BAHAGIAN MATRIKULASI
1. Membangunkan modal insan selaras dengan Falsafah Pendidikan
Kebangsaan;
2. Mengeluarkan lulusan Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan
Malaysia (KPM) bagi memenuhi keperluan institusi pengajian tinggi awam
dalam bidang sains, teknologi dan profesional; dan
3. Menjana lepasan Program Matrikulasi KPM yang berpengetahuan, kreatif
dan berdaya saing.
1
Kata Alu-aluan
PENGARAH
BAHAGIAN MATRIKULASI
KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
Bismillahirrahmanirahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan
Salam Sejahtera.
Terlebih dahulu saya mengucapkan syukur kepada Allah SWT kerana dengan limpah rahmat-
Nya, Bahagian Matrikulasi dapat menerbitkan buku Peraturan Pelajar Program Matrikulasi
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Bahagian Matrikulasi sentiasa memberi perhatian dan peka kepada pembentukan
sahsiah dan jati diri pelajar Program Matrikulasi dalam melahirkan generasi yang bukan sahaja
berilmu, malah mempunyai sahsiah terpuji dan mampu menghadapi persekitaran yang
semakin kompetetif dengan ciri-ciri peribadi unggul ke arah mercu kecemerlangan.
Bagi menjamin kecemerlangan sahsiah dan kualiti disiplin pelajar dapat ditingkatkan,
Bahagian Matrikulasi, Kementerian Pendidikan Malaysia telah diwartakan untuk menguna
pakai Akta Institusi-institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 [Akta 174]. Buku ini merupakan
kesinambungan dari Akta Institusi-institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 [Akta 174], Akta
Pendidikan 1996 [Akta 550], pekeliling, surat arahan yang dikeluarkan oleh KPM dan peraturan/
akta yang ditetapkan oleh undang-undang Malaysia. Ia bertujuan memberi penerangan secara
ringkas dan tepat mengenai prinsip-prinsip nilai dan etika pelajar Program Matrikulasi KPM
serta pematuhan peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa.
Dalam era dunia tanpa sempadan Program Matrikulasi KPM telah berjaya menghasilkan
ramai individu yang berkualiti cemerlang, berkemahiran dan menjadi kelompok penentu dasar,
perkembangan dan pembangunan negara.
Saya berharap buku ini akan menjadi rujukan yang berguna kepada seluruh warga
Program Matrikulasi KPM dalam melahirkan pelajar yang berketerampilan, berakhlak mulia,
bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan
terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.
DR. HAJAH ROSNARIZAH BINTI ABDUL HALIM
2
PERATURAN PELAJAR
PROGRAM MATRIKULASI
KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
BAHAGIAN A
PERATURAN AM
PENDAHULUAN
Peraturan ini disediakan berdasarkan kepada garis panduan yang ditetapkan oleh Bahagian
Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk membantu pengurusan pelajar di
kolej matrikulasi KPM. Peraturan yang ditetapkan perlu diguna pakai oleh semua pelajar demi
kesejahteraan pelajar, nama baik kolej khususnya dan Program Matrikulasi KPM amnya.
PERKARA 1: Pemakaian dan Tafsiran
1.1 Pihak yang tertakluk di bawah semua peruntukan ini ialah semua pelajar menetap yang
mengikuti pengajian Program Matrikulasi KPM.
1.2 Dalam pemakaian peraturan ini, melainkan jika kandungan ayatnya menghendaki
makna yang lain;
(a) “pegawai hal ehwal pelajar” bermaksud pengarah kolej matrikulasi.
(b) “pengetua kolej kediaman” bermaksud ketua jabatan pengurusan pelajar
bertanggungjawab dalam pengurusan dan pentadbiran kolej kediaman.
(c) “ketua felo” bermaksud ketua warden iaitu pegawai yang bertanggungjawab ke atas
kolej kediaman dan dilantik dalam kalangan pegawai/ pensyarah dan mengetuai
felo kolej kediaman.
(d) “felo” bermaksud warden iaitu pegawai utama yang menjaga sesuatu kolej
kediaman dan termasuklah seseorang yang diberi kuasa dengan sewajarnya untuk
bertindak bagi pihak pengurusan kolej.
(e) “ketua penyelia asrama” bermaksud pegawai yang mengurus selia kolej kediaman.
(f) “penyelia asrama” bermaksud pegawai yang membantu ketua penyelia asrama
mengurus selia kolej kediaman.
(g) “kolej kediaman” bermaksud asrama iaitu bangunan yang disediakan oleh institusi
untuk kediaman pelajar.
(h) “bangunan” bermaksud mana-mana kemudahan fizikal berbentuk bangunan yang
ada di dalam kolej.
3
(i) “kawasan” bermaksud mana-mana kawasan yang ada di dalam kolej seperti
padang dan gelanggang permainan serta kawasan dalam dan luar di sekeliling
bangunan.
(j) “kolej” bermaksud institusi pendidikan yang menjalankan Program Matrikulasi
KPM.
(k) “lawatan keluar kolej” bermaksud apa jua bentuk lawatan keluar dari kawasan kolej
yang mendapat kelulusan pengarah kolej.
(l) “pelajar” bermaksud pelajar Program Matrikulasi KPM.
(m) “pelajar menetap” bermaksud seseorang pelajar menetap yang tinggal dalam
sesuatu kolej kediaman.
(n) “peralatan” bermaksud semua jenis peralatan yang sedia ada dalam bangunan dan
di kawasan kolej.
(o) “pihak luar” bermaksud pelawat sama ada dalam rombongan yang mewakili
sesuatu institusi kerajaan, institusi pendidikan, agensi-agensi kerajaan, persatuan-
persatuan, kelab-kelab dan badan-badan serta kumpulan yang sah pendaftarannya
di bawah Akta Pertubuhan Negara 1966.
(p) “tetamu” bermaksud keluarga dan saudara mara terdekat yang datang
mengunjungi pelajar menetap di kolej.
(q) “pengawal keselamatan kolej” bermaksud pengawal keselamatan yang dilantik
oleh pihak kolej.
(r) “kaunter sirkulasi” bermaksud kaunter perkhidmatan, peminjaman dan pemulangan
buku.
1.3 Sebarang pindaan dan tambahan terhadap peraturan ini akan diedarkan dalam bentuk
helai cerai dan hendaklah dianggap sebagai sebahagian daripada peraturan ini.
(Akta 174: Kaedah 3(b))
1.4 Buku ini perlu dibaca bersekali dengan Akta Institusi-institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976,
pekeliling, surat arahan yang dikeluarkan oleh KPM dari semasa ke semasa dan
peraturan/ akta yang ditetapkan oleh undang-undang Malaysia.
1.5 Pihak kolej dan Bahagian Matrikulasi KPM tidak akan bertanggungjawab sekiranya
berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini akibat daripada ketidakpatuhan kepada
Peraturan Pelajar Program Matrikulasi KPM.
4
PERKARA 2: Disiplin Am
2.1 Pelajar dikehendaki berkelakuan baik semasa berada di dalam dan di luar kolej demi
menjaga nama baik pelajar, kolej, Bahagian Matrikulasi dan KPM.
(Akta 174: Kaedah 3(a))
2.2 Pelajar bertanggungjawab membuat aduan kepada pihak kolej sekiranya terdapat
sebarang kejadian seperti kecurian, pergaduhan, pencerobohan orang luar, aktiviti-
aktiviti yang tidak sihat dan lain-lain dengan kadar segera.
2.3 Atas sebab-sebab keselamatan pelajar tidak digalakkan memiliki wang tunai melebihi
RM300.00 dan barang kemas bernilai tidak melebihi RM1,000.00 pada satu-satu masa.
2.4 Pelajar tidak dibenarkan terlibat dalam sebarang pekerjaan, perniagaan atau
perdagangan sama ada sepenuh atau separa masa pada sepanjang pengajian.
(Akta 174: Kaedah 14)
2.5 Pelajar yang meninggalkan pengajiannya tanpa kebenaran atau melanggar perjanjian
boleh dikenakan tindakan.
2.6 Jika seseorang pelajar telah disabitkan kesalahan bagi sesuatu kesalahan jenayah di
mana-mana mahkamah, pelajar itu akan diberhentikan serta-merta daripada menjadi
pelajar Program Matrikulasi KPM.
(Akta 174: Seksyen 14.2)
2.7 Atas sebab-sebab keselamatan pelajar tidak digalakkan memiliki atau membawa
peralatan elektronik yang berharga tinggi dan bertanggungjawab mendaftar peralatan
tersebut di kolej kediaman.
PERKARA 3: Menghadiri Kuliah, Tutoran, Amali, Bengkel, Aktiviti Kokurikulum
dan Aktiviti Rasmi Kolej
3.1 Pelajar wajib menghadiri kuliah, tutoran, amali, bengkel aktiviti kokurikulum dan semua
aktiviti rasmi kolej.
3.2 Setiap pelajar bertanggungjawab menepati masa ketika menghadiri kuliah, tutoran,
amali, bengkel, aktiviti kokurikulum dan semua aktiviti rasmi kolej.
3.3 Kelewatan lebih daripada sepuluh (10) minit dari bermulanya waktu kuliah, tutoran,
amali, bengkel, aktiviti kokurikulum, pelajar akan dikira tidak hadir bagi kuliah, tutoran,
amali, aktiviti kokurikulum berkenaan.
3.4 Sekiranya pelajar tidak hadir adalah menjadi tanggungjawab pelajar untuk
memaklumkan dengan segera kepada pegawai yang berkaitan.
(Akta 174: Kaedah 4)
5
3.5 Hanya pelajar yang sakit dan dapat mengemukakan sijil cuti sakit yang sah atau
mendapat kebenaran khas atau cuti khas bertulis daripada pengarah kolej atau pegawai
lain yang diberi kuasa oleh pengarah kolej dibenarkan meninggalkan kuliah, tutoran,
amali, bengkel, kokurikulum dan aktiviti rasmi kolej.
PERKARA 4: Kad Matrik
4.1 Semua pelajar dikehendaki pada setiap masa membawa dan mempamerkan kad matrik
yang dikeluarkan oleh pihak kolej semasa berada di dalam kolej.
4.2 Kad matrik tidak dibenarkan untuk dipindah milik.
4.3 Kad matrik yang hilang/ rosak mesti dilaporkan kepada pihak kolej untuk diganti dan
kos ditanggung oleh pelajar.
(Akta 174: Kaedah 25)
PERKARA 5: Kawalan Keselamatan Kolej
5.1 Pengawal keselamatan kolej adalah pegawai yang diberi tanggungjawab menyelia dan
melaporkan keselamatan keseluruhan kepada pihak pengurusan kolej.
5.2 Seseorang pelajar, pihak luar dan tetamu dikehendaki menunjukkan dokumen
pengenalan diri seperti kad pengenalan, kad matrik, kad pelawat atau lesen memandu
apabila diminta oleh pengawal keselamatan, felo, ketua felo atau pegawai lain yang
diberikan kuasa oleh pengarah kolej.
5.3 Semua pelajar dikehendaki mendaftar keluar dan masuk kolej di pondok pengawal.
5.4 Seseorang pelajar yang keluar atau masuk lewat dari jam 7.00 malam perlu mendapat
kebenaran daripada pengarah atau pegawai lain yang diberikan kuasa oleh pengarah
kolej.
(Akta 174: Kaedah 3b)
PERKARA 6: Peperiksaan
6.1 Pelajar tidak dibenarkan mengambil sebarang peperiksaan luar kecuali dengan
kebenaran Pengarah Bahagian Matrikulasi KPM sepanjang tempoh pengajian.
6.2 Pelajar yang didapati bersalah melakukan penyelewengan akademik dalam
peperiksaan akan dikenakan tindakan tatatertib dan boleh diberi markah 0 bagi kertas
peperiksaan berkenaan atau diberi gred F bagi kursus berkenaan.
(Akta 174: Kaedah 3(j) dan 7A)
6
PERKARA 7: Pakaian dan Penampilan Diri (Akta 174: Kaedah 6)
7.1 Semua pelajar dikehendaki berpakaian kemas, sopan dan tidak mencolok mata serta
memakai kasut bertutup bersesuaian dengan majlis semasa menghadiri aktiviti rasmi
kolej.
7.2 Semua pelajar dikehendaki berpakaian kemas, sopan dan tidak mencolok mata serta
memakai kasut bertutup semasa menghadiri kuliah, tutoran, amali, peperiksaan dan
Perpustakaan.
7.3 Pelajar wajib memakai kot makmal/ baju bengkel, kasut bertutup dan pelindung mata
(sekiranya perlu) sepanjang sesi amali/ bengkel.
7.4 Pakaian semasa menghadiri aktiviti kokurikulum pelajar dikehendaki memakai:
(a) pakaian seragam yang ditetapkan bagi unit beruniform; atau
(b) seluar trek dan baju ‘T’ kolej atau pakaian yang ditetapkan oleh pihak kolej bagi
aktiviti sukan dan permainan atau kelab dan persatuan.
7.5 Pelajar hendaklah berpakaian sesuai dan tertakluk kepada PERKARA 7.1 dan 7.2 serta
mempamerkan kad matrik semasa mengikuti lawatan rasmi.
7.6 Pakaian semasa keluar kolej (outing).
(a) pelajar dikehendaki berpakaian kemas, sopan dan tidak mencolok mata; dan
(b) pelajar hendaklah membawa kad matrik sepanjang berada di luar kawasan kolej.
PERKARA 8: Potongan Rambut, Misai, Janggut dan Bauk (Berdasarkan
Surat Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pelajaran Bil. 2/1976)
8.1 Pelajar lelaki dilarang berambut panjang. Istilah berambut panjang ialah seperti berikut;
(a) di belakang - rambut panjang jatuh melebihi garisan di bawah cuping dua telinga;
(b) di hadapan - rambut panjang menutupi garisan tengah dahi;
(c) di sisi - rambut menutup kedua-dua cuping telinga atau sebahagian daripadanya dan
bauk melebihi paras tengah hidung; dan
(d) di atas - rambut tidak melebihi daripada 6 inci panjang.
8.2 Pelajar lelaki yang bermisai dan berjanggut hendaklah sentiasa mengurusnya dengan
kemas.
7
8.3 Pelajar perempuan yang berambut panjang dinasihatkan mengikat atau
mendandankannya supaya kelihatan kemas.
8.4 Pelajar dilarang mewarnakan rambut.
PERKARA 9: Aktiviti Kokurikulum
9.1 Semua pelajar diwajibkan menyertai aktiviti kokurikulum.
(Akta 174: Kaedah 4)
9.2 Pelajar boleh memilih aktiviti kokurikulum yang mereka minati. Pihak kolej berhak
membuat keputusan terhadap aktiviti kokurikulum yang dipilih oleh pelajar.
9.3 Seseorang pelajar yang mempunyai masalah kesihatan serius perlu mengisytiharkan
status kesihatan kepada pengarah kolej atau pegawai yang diberi kuasa oleh pengarah
kolej.
9.4 Penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum akan diambil kira sebagai merit penilaian
bagi pemarkahan 10% kokurikulum ke UA.
PERKARA 10: Penggunaan Bangunan, Kawasan dan Peralatan
10.1 Penggunaan bangunan, kawasan dan peralatan kolej selepas waktu pejabat, pada cuti
hujung minggu dan pada hari-hari cuti hendaklah mendapat kebenaran bertulis daripada
pengarah kolej atau pegawai lain yang diberi kuasa oleh pengarah kolej.
10.2 Perabot dan peralatan hendaklah disusun kembali seperti keadaan asal.
(Akta 174: Kaedah 31)
10.3 Pelajar tidak dibenarkan membawa pulang peralatan milik kolej tanpa kebenaran pihak
kolej.
10.4 Kehilangan/ kerosakan peralatan perlu dilaporkan segera kepada pegawai yang
bertanggungjawab. Jika berlaku kehilangan/ kerosakan peralatan, pelajar dikehendaki
untuk membuat bayaran ganti rugi mengikut nilai barang tersebut.
PERKARA 11: Penggunaan Kenderaan
11.1 Kenderaan Kolej
(a) Penggunaan kenderaan kolej oleh mana-mana pihak hendaklah mendapat
kelulusan daripada pengarah kolej atau pegawai lain yang diberi kuasa oleh
pengarah kolej.
8
(b) Pihak pentadbiran kolej berhak pada bila-bila masa membatalkan sebarang
tempahan terhadap penggunaan kenderaan kolej sekiranya terdapat keperluan
lebih penting oleh pihak kolej.
11.2 Kenderaan Luar
(a) Pelajar tidak dibenarkan menggunakan kenderaan luar termasuk kenderaan
sewaan dan kenderaan persendirian.
PERKARA 12: Lalu Lintas dalam Kolej
12.1 Pelajar tidak dibenarkan memiliki atau menggunakan sebarang kenderaan bermotor
di dalam kolej.
12.2 Seseorang pelajar tidak boleh berkelakuan dengan apa cara juga atau melakukan apa-
apa perbuatan yang menghalang atau mengganggu pergerakan lalu lintas yang licin
dan teratur di dalam kolej.
(Akta 174: Kaedah 45)
PERKARA 13: Lawatan
13.1 Lawatan rasmi ke luar kolej
(a) Permohonan untuk membuat lawatan rasmi ke luar kolej hendaklah dikemukakan
kepada pengarah kolej dalam tempoh seperti berikut;
i. bagi lawatan rasmi dalam negara - satu bulan sebelum tarikh lawatan; atau
ii. bagi lawatan rasmi ke luar negara - tiga bulan sebelum tarikh lawatan.
(Akta 174: Kaedah 13)
(b) Surat kebenaran rawatan kecemasan dan dokumen pengenalan diri seperti kad
pengenalan, pasport dan kad matrik hendaklah dibawa bersama.
13.2 Menerima lawatan pihak luar ke kolej
(a) Pihak luar yang ingin membuat lawatan dan / atau menjalankan sebarang aktiviti ke
kolej perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada pengarah kolej atau pegawai
lain yang diberi kuasa oleh pengarah kolej.
(b) Mana-mana pihak dalam kolej (termasuk individu) yang ingin menerima dan
membawa pihak luar melawat ke dalam kolej perlu memohon dan mendapatkan
kebenaran bertulis daripada pengarah kolej atau pegawai lain yang diberi kuasa
oleh pengarah kolej.
9
(c) Pihak luar yang ingin menginap di dalam kolej perlu mendapatkan kebenaran
bertulis daripada pengarah kolej atau pegawai lain yang diberi kuasa oleh pengarah
kolej.
PERKARA 14: Aktiviti-Aktiviti Kolej
14.1 Sebarang aktiviti dengan agensi luar perlu mendapat kebenaran bertulis daripada
Bahagian Matrikulasi.
14.2 Sebarang aktiviti/ program pelajar sama ada di dalam atau di luar kawasan kolej
mestilah mendapat kebenaran bertulis daripada pengarah kolej atau pegawai lain yang
diberi kuasa oleh pengarah kolej.
14.3 Sebarang aktiviti yang dijalankan oleh pelajar hendaklah diiringi oleh penasihat/
pensyarah sepanjang aktiviti/ program pelajar dijalankan.
14.4 Pelajar adalah dilarang daripada mengadakan, menganjurkan dan menyertai;
a) sebarang aktiviti yang bercanggah dengan keputusan yang telah dipersetujui oleh
pengarah kolej; dan
(Akta 174: Kaedah 9)
b) aktiviti kongsi gelap, maksiat dan aktiviti lain yang menyalahi undang-undang
negara sama ada di dalam atau di luar kawasan kolej.
(Akta 174: Kaedah 3a)
14.5 Masa menamatkan semua aktiviti/ program dalam PERKARA 14.2 pada sebelah
malam ialah tidak lewat daripada jam 11.00 malam. Sebarang aktiviti yang melewati
masa tersebut perlu mendapatkan kebenaran daripada pengarah kolej atau pegawai
lain yang diberi kuasa oleh pengarah kolej.
(Akta 174: Kaedah 29)
14.6 Aktiviti riadah pada waktu petang perlu tamat 30 minit sebelum waktu Maghrib.
PERKARA 15: Menjemput Penceramah/ Pensyarah Luar
15.1 Mana-mana kelab/ pertubuhan/ persatuan pelajar menetap yang ingin menjemput
perceramah/ pensyarah luar hendaklah mengikut peraturan;
(a) Penceramah/ pensyarah luar itu ingin dijemput untuk memberi ceramah perlu
mendapat kebenaran bertulis daripada pengarah kolej atau pegawai lain yang diberi
kuasa oleh pengarah kolej.
10
(b) Penceramah/ pensyarah yang dijemput hendaklah terdiri daripada pegawai
kakitangan di kementerian/ jabatan kerajaan dari institusi pendidikan/ pengajian
tinggi/ agensi luar yang diiktiraf oleh KPM;
(c) Penceramah/ pensyarah yang dijemput tidak boleh daripada kalangan ketua/
pemimpin atau ahli sebarang perkumpulan/ persatuan/ pertubuhan yang tidak
disetujui oleh KPM;
(d) Tajuk dan isi ceramah hendaklah perkara-perkara yang bersesuaian dengan tujuan
dan objektif kelab/ pertubuhan/ persatuan dan tidak bercanggah dengan peraturan
kolej dan undang-undang negara; dan
(e) Semasa ceramah/ syarahan diadakan, pensyarah atau penasihat kelab/
pertubuhan/ persatuan yang berkenaan hendaklah hadir bersama dan
bertanggungjawab menyediakan dan menghantar laporan bertulis kepada pengarah
kolej atau Bahagian Matrikulasi.
PERKARA 16: Menghadiri Ceramah/ Syarahan yang Bukan Diadakan oleh KPM
Pelajar tidak dibenarkan menghadiri sebarang ceramah/ syarahan yang bukan anjuran KPM
kecuali dengan kebenaran bertulis daripada pengarah kolej atau pegawai lain yang diberi
kuasa oleh pengarah kolej.
PERKARA 17: Rawatan Perubatan
17.1 Pelajar yang memerlukan rawatan di pusat perubatan kerajaan hendaklah
mendapatkan kebenaran bertulis daripada pengarah kolej atau pegawai lain yang telah
diberi kuasa oleh pengarah kolej.
17.2 Kemudahan pengangkutan disediakan kepada pelajar bagi mendapatkan rawatan
kesihatan ke klinik kerajaan.
17.3 Pelajar dikehendaki menanggung sendiri kos keseluruhan perubatan jika ingin
mendapatkan perkhidmatan di klinik/ hospital swasta dengan persetujuan ibu/ bapa/
penjaga.
17.4 Pelajar dibenarkan berada di bilik sakit setelah mendapat kebenaran secara bertulis
dari pengarah kolej atau pegawai yang diberi kuasa oleh pengarah kolej.
11
PERKARA 18: Menyimpan, Mengedar, Menayang dan Memperdengarkan
Penerbitan Bercetak dan Bahan Bukan Bercetak
18.1 Tiada seorang pelajar, kumpulan pelajar, pertubuhan, persatuan atau kelab boleh
menyimpan, mendengar, menayang, menampal dan memperdengarkan sebarang
penerbitan sama ada bercetak atau bukan bercetak seperti filem, kaset, audio, video
dan lain-lain bahan bukan cetak yang dilarang di bawah Akta Cetakan Negara dan
Undang-Undang Negara. (Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984).
18.2 Sebarang bahan penerbitan bercetak dan bahan bukan bercetak yang hendak
diedarkan atau ditontoni atau diperdengarkan kepada pelajar menetap perlu
mendapatkan kebenaran bertulis daripada pengarah kolej atau pegawai lain yang diberi
kuasa oleh pengarah kolej.
18.3 Semua urusan surat-menyurat, rakaman, percetakan atau penerbitan yang
menggunakan nama dan logo kolej yang hendak dibuat edaran sama ada di dalam atau
luar kawasan kolej hendaklah mendapat kebenaran bertulis daripada pengarah kolej
atau pegawai lain yang diberi kuasa oleh pengarah kolej.
PERKARA 19: Judi dalam Kolej
Seseorang pelajar atau kumpulan pelajar tidak boleh terlibat dengan apa-apa jua cara dalam
sebarang aktiviti perjudian di dalam kolej.
(Akta 174: Kaedah 17)
PERKARA 20: Makanan dan Minuman yang Dilarang
20.1 Seseorang pelajar tidak boleh minum atau ada dalam miliknya atau jagaannya atau
kawalannya apa-apa minuman beralkohol di dalam kolej.
20.2 Seseorang pelajar yang didapati dalam keadaan mabuk di dalam kolej adalah bersalah
atas suatu kesalahan tatatertib.
20.3 Seseorang pelajar tidak boleh minum, makan atau ada dalam miliknya atau jagaannya
atau kawalannya apa-apa minuman, makanan dan bahan-bahan yang tidak halal di
dalam kolej.
(Akta 174: Kaedah 18 dan 3b)
PERKARA 21: Bahan-Bahan Lucah (Akta 174: Kaedah 19)
Seseorang pelajar atau kumpulan pelajar tidak boleh memiliki atau dibawah jagaan atau
kawalannya, atau mempamer, mengedar, melihat, menonton atau mendengar secara sengaja
apa-apa bahan lucah di dalam kolej.
12
PERKARA 22: Penyalahgunaan Dadah (Akta Dadah Berbahaya 1952)/ Racun
(Akta Racun 1952)
22.1 Tiada seorang pelajar boleh ada dalam miliknya atau di bawah jagaan atau kawalannya
apa-apa dadah atau racun.
22.2 Tiada seorang pelajar boleh ada dalam miliknya atau di bawah jagaan atau kawalannya
apa-apa perkakas, alat radas atau barang yang pada pendapat pihak berkuasa
tatatertib adalah direkabentuk bagi memakan atau meminum atau menghisap atau
menyedut atau memasukkan ke dalam badannya secara suntikan atau dengan apa-
apa jua cara lain apa-apa dadah atau racun.
22.3 Tiada seorang pelajar boleh memberi, membekal, mengadakan atau menawarkan atau
bercadang hendak memberi, membekal, mengadakan atau menawarkan apa-apa
dadah atau racun kepada sesiapapun.
22.4 Tiada seorang pelajar boleh makan atau minum atau menghisap atau menyedut atau
memasukkan ke dalam badannya secara suntikan atau dengan apa-apa jua cara lain
apa-apa dadah atau racun.
22.5 Tiada apa-apa juga dalam peraturan ini boleh disifatkan sebagai melarang seorang
pelajar daripada menjalani apa-apa rawatan oleh seseorang pengamal perubatan yang
didaftarkan di bawah Akta Perubatan 1971.
22.6 Pihak kolej berhak pada bila-bila masa meminta seseorang pelajar untuk menjalani
ujian air kencing dan pemeriksaan perubatan.
22.7 Seseorang pelajar yang didapati menggunakan atau mengambil atau
menyalahgunakan atau menagih apa-apa dadah atau racun adalah bersalah atas suatu
kesalahan tatatertib.
(Akta 174: Kaedah 20)
PERKARA 23: Larangan Merokok
23.1 Keseluruhan kawasan kolej adalah Kawasan Larangan Merokok di bawah Peraturan
4, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 1997.
23.2 Tiada seorang pelajar boleh ada dalam miliknya atau dibawah jagaannya atau
kawalannya apa-apa hasil tembakau atau rokok atau rokok elektronik (vape).
23.3 Tiada seorang pelajar boleh ada dalam miliknya atau di bawah jagaan atau kawalannya
apa-apa perkakas, alat radas atau barang yang pada pendapat pihak berkuasa
13
tatatertib adalah direka bentuk bagi memakan atau menghisap atau menyedut apa-apa
hasil tembakau atau rokok atau rokok elektronik (vape).
(Akta 174: Kaedah 26)
PERKARA 24: Membuli atau Mencederakan
24.1 Tiada seorang pelajar dengan apa jua cara boleh membuli seorang pelajar menetap
lain sama ada secara lisan, bertulis dan / atau perbuatan.
24.2 Tiada seorang pelajar dengan apa jua cara boleh mendatangkan kecederaan atau
kemudaratan kepada diri sendiri dan / atau orang lain.
(Akta 174: Kaedah 3a dan 3b)
PERKARA 25: Bahan Letupan
25.1 Tiada seorang pelajar menetap boleh ada dalam miliknya atau di bawah jagaan atau
kawalannya apa-apa bahan letupan, mercun atau bunga api.
25.2 Tiada seorang pelajar menetap boleh memberi, membekal, mengadakan atau
menawarkan atau bercadang hendak memberi, membekal, mengadakan atau
menawarkan apa-apa bahan letupan, mercun atau bunga api kepada sesiapapun
mengikut Seksyen 4(2) Akta Bahan Letupan 1957.
(Akta 174: Kaedah 3b dan 22)
PERKARA 26: Mencuri/ Mengalih/ Meminda/ Mengubah Objek
Tiada seorang pelajar boleh mencuri/ mengalih/ meminda/ mengubah objek, harta benda
kepunyaan kolej atau kepunyaan mana-mana individu tanpa kebenaran di dalam kawasan
kolej.
(Akta 174: Kaedah 3h)
PERKARA 27: Tingkah Laku Musnah
Tiada seorang pelajar boleh memusnah, merosak atau mencacatkan harta benda kepunyaan
kolej atau kepunyaan mana-mana individu lain atau harta benda yang berada di dalam
kawasan kolej.
(Akta 174: Kaedah 3g dan 3b)
PERKARA 28: Tingkah Laku Tidak Sopan (Akta 174: Kaedah 3a)
28.1 Tiada seorang pelajar boleh berkelakuan kurang sopan terhadap mana-mana pegawai,
kakitangan kolej atau pelajar menetap lain.
14
28.2 Tiada seorang pelajar dibenarkan berkelakuan tidak sopan pada setiap masa dan di
mana-mana tempat di dalam atau luar kawasan kolej.
28.3 Tiada seorang pelajar dibenarkan membuat bising/ menganggu ketenteraman di kolej
kediaman, kafetaria, surau, bangunan akademik, bangunan pentadbiran dan lain-lain
di dalam kawasan kolej.
PERKARA 29: Berkahwin
Pelajar tidak dibenarkan berkahwin sebelum atau semasa tempoh pengajiannya.
PERKARA 30: Rujukan Perubatan/ Hospital
30.1 Tiada apa-apa juga dalam peraturan ini boleh disifatkan sebagai melarang pihak kolej
merujuk mana-mana pelajar menetap jika didapati perlu menjalani apa-apa rawatan
oleh seseorang pengamal perubatan yang didaftarkan di bawah Akta Perubatan 1971.
30.2 Seseorang pelajar yang mempunyai masalah kesihatan serius perlu mengisytiharkan
status kesihatan kepada pengarah kolej atau pegawai yang diberi kuasa oleh pengarah
kolej.
PERKARA 31: Keingkaran
Seseorang pelajar mestilah mematuhi atau tidak melanggar apa-apa arahan atau kehendak
yang dikeluarkan oleh pengarah kolej atau pegawai lain yang diberi kuasa oleh pengarah kolej.
(Akta 174: Kaedah 26)
15
BAHAGIAN B
PERATURAN KOLEJ KEDIAMAN
PERKARA 32: Tatatertib Am Kolej Kediaman
32.1 Semua pelajar menetap Program Matrikulasi KPM diwajibkan tinggal di kolej
kediaman.
32.2 Tiada sesiapa boleh memasuki, menetap atau berada dalam bilik yang diduduki pelajar
menetap kecuali pelajar menetap itu sendiri;
(a) dengan syarat bahawa perenggan ini tidaklah dipakai bagi seseorang kakitangan,
pegawai, pekerja kolej yang memasuki bilik itu dengan maksud menjalankan
tugas, kewajipan atau tanggungjawabnya, atau bagi sesiapa yang memasukinya
atau berada di dalamnya mengikut sesuatu kebenaran secara lisan atau secara
bertulis oleh pengarah kolej; dan
(b) dengan syarat bahawa perenggan ini tidak boleh disifatkan sebagai melarang
seseorang pelajar menetap lain daripada jantina yang sama untuk lawatan sosial.
(Akta 174: Kaedah 27)
32.3 Seseorang pelajar menetap tidak boleh melakukan sesuatu untuk menghalang,
menentang atau menahan seseorang pegawai, kakitangan, pekerja kolej daripada
memasuki mana-mana bilik di kolej kediaman bagi tujuan menjalankan tugas, kewajipan
atau tanggungjawab di bilik itu.
(Akta 174: Kaedah 28)
32.4 Seseorang pelajar menetap tidak boleh berada di luar blok kolej kediaman masing-
masing selepas jam 11.00 malam kecuali dengan kebenaran oleh pengarah kolej atau
pegawai lain yang diberi kuasa oleh pengarah kolej.
(Akta 174: Kaedah 29 & 30)
32.5 Pelajar yang menetap di sebuah kolej kediaman yang berkaitan tidak boleh berada
dalam blok kolej kediaman lain, melainkan dengan kebenaran ketua felo/ felo/ ketua
penyelia asrama/ penyelia asrama dan kebenaran itu direkodkan.
32.6 Penggunaan premis dan larangan-larangan;
(a) seseorang pelajar menetap hendaklah menggunakan premis kolej kediaman
dengan cermat yang sewajarnya dan tidak melakukan sesuatu yang
mencacatkan, mengotorkan atau menyebabkan apa-apa kerosakan benda atau
kelengkapan yang ada di dalamnya;
16
(b) seseorang pelajar menetap bertanggungjawab untuk membuat aduan secara
bertulis terhadap sebarang bentuk kerosakan di kolej kediaman kepada penyelia
asrama.
(c) sepanjang tempoh menggunakan premis kolej kediaman dan kemudahan-
kemudahan di dalamnya, seseorang pelajar menetap hendaklah berhemat dan
cermat bagi memastikan supaya ia tidak menyebabkan apa-apa kesusahan,
kegusaran, halangan atau gangguan kepada orang lain.
(Akta 174: Kaedah 31)
(d) seseorang pelajar menetap sama sekali dilarang memasak di dalam biliknya
kecuali dalam bilik yang disediakan.
(Akta 174: Kaedah 31 (3))
(e) seseorang pelajar menetap tidak boleh ada di dalam miliknya atau di bawah
jagaannya atau kawalannya apa-apa jenis binatang di dalam biliknya atau premis
kolej kediaman.
32.7 Seseorang pelajar menetap yang telah diperuntukkan sesebuah bilik tidak boleh
menukar tempat tinggalnya ke mana-mana bilik lain tanpa mendapat kebenaran
secara bertulis daripada pengetua kolej kediaman.
(Akta 174: Kaedah 32)
32.8 Menjadi tanggungjawab pelajar menetap memaklumkan kepada ketua felo/ felo
sekiranya rakan sebilik tidak berada/ bermalam di bilik penginapan lebih daripada
12 jam tanpa sebab.
32.9 Arahan mengosongkan bilik atau berpindah;
(a) seseorang pelajar menetap tinggal di sesuatu kolej kediaman mengikut budi
bicara dan kuasa mutlak pihak kolej;
(b) pihak kolej boleh menghendaki seseorang pelajar menetap mengosongkan
tempat tinggalnya atau berpindah ke tempat lain yang disediakan oleh pihak kolej
pada bila-bila masa tanpa memberi sebab; dan
(c) jika seseorang pelajar menetap dikehendaki mengosongkan atau berpindah dari
tempat tinggalnya, ia hendaklah berbuat demikian dalam tempoh yang ditetapkan
oleh pihak kolej dan hendaklah dalam tempoh itu mengeluarkan semua barang
kepunyaannya daripada tempat tinggal yang ia dikehendaki mengosongkan atau
dari tempat ia dikehendaki berpindah.
(Akta 174: Kaedah 33)
(d) pelajar menetap perlu menyerahkan semula kunci dan peralatan yang diterima
dalam keadaan sempurna kepada penyelia asrama atau pegawai lain yang diberi
kuasa oleh pengarah kolej.
17
32.10 Semua pelajar menetap wajib mengosongkan kolej kediaman semasa cuti semester/
tangguh pengajian/ berpindah/ berhenti pengajian/ selepas tamat pengajian kecuali
dengan kebenaran pihak kolej.
32.11 Borang daftar keluar kolej kediaman wajib diisi, disahkan dan mesti diserahkan di
pondok pengawal keselamatan sebelum meninggalkan kolej kerana tangguh
pengajian/ berpindah/ berhenti pengajian/ selepas tamat pengajian.
32.12 Felo atau pegawai lain yang diberi kuasa oleh pengarah kolej boleh dari semasa ke
semasa memberi secara lisan atau bertulis, apa-apa perintah atau arahan yang
difikirkan perlu atau bermanfaat untuk memelihara ketenteraman dan tatatertib dalam
kolej kediaman dan perintah atau arahan itu boleh pada amnya mengenai semua
pelajar menetap atau seseorang pelajar menetap tertentu dan adalah menjadi
kewajipan tiap-tiap pelajar menetap yang diberi perintah atau arahan itu mematuhi dan
melaksanakannya.
(Akta 174: Kaedah 34)
PERKARA 33: Pengesahan Kesempurnaan Bilik dan Kemudahan-Kemudahan di
Dalamnya
33.1 Semua pelajar menetap dikehendaki mengesahkan kesempurnaan bilik dan
kemudahan asas yang disediakan. Maklumat tersebut hendaklah dihantar dalam masa
tujuh hari dari tarikh menetap di kolej kediaman kepada penyelia asrama.
33.2 Sebelum seseorang pelajar menetap menyerahkan balik kunci biliknya kepada
penyelia asrama, ia hendaklah memastikan dan mengesahkan keadaan bilik dan
kemudahan asas dalam keadaan sempurna.
(Akta 174: Kaedah 31)
PERKARA 34: Rawatan Perubatan Selepas Waktu Pejabat, Cuti Hujung Minggu dan
Cuti Am
Pelajar menetap yang memerlukan rawatan kecemasan atau sakit selepas waktu pejabat, cuti
hujung minggu atau pada cuti am hendaklah memberitahu ketua felo/ felo untuk dihantar ke
hospital bagi mendapat rawatan.
PERKARA 35: Barangan Kepunyaan Persendirian
35.1 Pelajar menetap hendaklah menyimpan wang dan barang-barang kepunyaan sendiri di
tempat yang selamat. Pihak kolej tidak akan bertanggungjawab atas sebarang
kehilangan.
18
35.2 Segala pakaian (termasuk kasut) yang basah hendaklah disidai atau dijemur ditempat
yang disediakan. Sebelum dijemur di ampaian pastikan pakaian basah diperah supaya
air di pakaian tidak menitik pada pakaian orang lain di tingkat bawah.
35.3 Sekiranya pelajar menetap hendak menumpangkan barang-barang persendirian
semasa cuti semester di dalam stor blok kolej kediaman perlu mendapat kebenaran
bertulis daripada pengarah kolej atau pegawai lain yang diberi kuasa oleh pengarah
kolej. Pelajar menetap bertanggungjawab terhadap keselamatan barang persendirian
yang ditumpangkan.
PERKARA 36: Masa Memadam Lampu
36.1 Lampu utama bilik kolej kediaman hendaklah dipadamkan selewat-lewatnya pada jam
12.00 tengah malam pada tiap-tiap malam. Walau bagaimanapun lampu meja boleh
digunakan jika diperlukan.
36.2 Penggunaan bilik-bilik khas selepas jam 12.00 tengah malam perlu mendapat
kebenaran bertulis daripada ketua felo/ felo.
36.3 Pelajar menetap hendaklah memadamkan lampu dan mematikan kipas angin jika tiada
sesiapa di dalam bilik atau apabila meninggalkan bilik masing-masing.
36.4 Pelajar menetap terakhir menggunakan bilik khas bertanggungjawab memastikan
semua suis elektrik di bilik berkenaan dimatikan.
PERKARA 37: Penggunaan Peralatan Elektrik
37.1 Pelajar menetap dilarang memiliki/ membawa masuk peralatan elektrik seperti
peralatan audio visual, peti televisyen, perakam dan pemain video, peti sejuk, cerek,
dapur, periuk, pemanas air, seterika dan lain-lain peralatan elektrik ke dalam bilik kolej
kediaman.
37.2 Pelajar menetap dibenarkan membawa wayar penyambung terhad kepada dua soket
yang mendapat kelulusan SIRIM. Pelajar menetap dilarang sama sekali mengubahsuai
wayar penyambung di dalam bilik masing-masing.
37.3 Pelajar menetap boleh menggunakan cerek elektrik dan seterika elektrik di bilik yang
dikhaskan di kolej kediaman.
37.4 Pihak kolej akan mengambil tindakan kepada pelajar menetap yang bertanggungjawab
membuat sambungan haram atau kerosakan alatan elektrik sehingga menyebabkan
kesusahan, kegusaran, halangan atau kacau ganggu kepada mana-mana pelajar
menetap lain.
(Akta 174: Kaedah 31)
19
PERKARA 38: Menerima Tetamu
38.1 Pelajar menetap tidak dibenarkan membawa tetamu memasuki mana-mana kawasan
kolej kediaman dan hanya boleh menerima tetamu di tempat yang ditetapkan.
38.2 Pelajar menetap hendaklah memaklumkan kepada tetamu supaya meninggalkan
kawasan kolej sebelum jam 7.00 malam.
38.3 Kenderaan tetamu hendaklah diletakkan di medan letak kenderaan yang disediakan.
38.4 Pelajar menetap hendaklah memaklumkan kepada tetamu supaya tidak menjalankan
aktiviti dalam kawasan kolej tanpa kebenaran bertulis daripada pengarah kolej atau
pegawai lain yang diberi kuasa oleh pengarah kolej.
38.5 Seseorang pelajar menetap adalah bertanggungjawab terhadap kelakuan baik tetamu
mereka dan memastikan semua peraturan kolej dipatuhi semasa mereka berada di
dalam kolej.
PERKARA 39: Kebenaran Khas Keluar Kolej
39.1 Pelajar menetap perlu membuat permohonan bagi mendapatkan kebenaran khas
keluar kolej bagi tujuan:
(a) kecemasan dan memerlukan beliau berada di luar kolej;
(b) menziarahi keluarga dan sanak saudara di dalam atau di luar negara; atau
(c) ibu bapa atau waris yang ingin membawa pelajar menetap keluar.
39.2 Borang permohonan/ permohonan secara dalam talian tersebut hendaklah
disampaikan kepada ketua felo/ felo/ pegawai lain yang diberi kuasa oleh pengarah
kolej yang bertanggungjawab untuk kelulusan.
PERKARA 40: Aktiviti di Blok Kolej Kediaman
40.1 Semua aktiviti di blok kolej kediaman termasuk mesyuarat jawatankuasa blok kolej
kediaman hendaklah mendapat kebenaran daripada ketua felo/ felo.
40.2 Pelajar menetap bertanggungjawab mengikuti semua aktiviti yang dianjurkan oleh
jawatankuasa kolej kediaman.
40.3 Seseorang pelajar menetap yang mempunyai masalah kesihatan serius perlu
mengisytiharkan status kesihatan kepada pengarah kolej atau pegawai yang diberi
kuasa oleh pengarah kolej.
20
BAHAGIAN C
PERATURAN KAFETARIA
PERKARA 41: Pakaian Semasa di Kafetaria
Pelajar menetap dikehendaki berpakaian kemas, sopan dan tidak mencolok mata rujuk
lampiran kod etika pakaian.
PERKARA 42: Penggunaan Kafetaria untuk Mengadakan Aktiviti
42.1 Mana-mana persatuan, kelab atau pihak lain di kolej yang hendak menggunakan
kafetaria sebagai tempat untuk menjalankan aktiviti hendaklah memohon dan
mendapatkan kebenaran daripada pengarah kolej atau pegawai yang diberi kuasa oleh
pengarah kolej.
42.2 Pelajar menetap dibenarkan berada di kafetaria kolej kediaman pelajar perempuan/
lelaki dari jam 7.00 pagi sehingga jam 7.00 malam. Sekiranya penggunaan premis
kafetaria ini melebihi waktu yang ditetapkan, pelajar menetap perlu mendapatkan
kebenaran daripada ketua felo/ felo atau pegawai lain yang diberi kuasa oleh pengarah
kolej.
42.3 Selepas menggunakan kemudahan di kafetaria, semua peralatan/ perabot hendaklah
disusun atur semula seperti asalnya.
(Akta 174: Kaedah 31)
PERKARA 43: Urusan Berjual Beli
Pelajar menetap tidak dibenarkan berhutang dengan pihak pengurusan kafetaria.
(Akta 174: Kaedah 3b)
21
BAHAGIAN D
PERATURAN PERPUSTAKAAN
PERKARA 44: Pakaian Semasa di Perpustakaan
Pelajar dikehendaki berpakaian kemas, sopan dan tidak mencolok mata rujuk lampiran kod
etika pakaian.
PERKARA 45: Peraturan Am Perpustakaan
45.1 Pelajar perlu memakai dan mempamerkan kad matrik di dalam perpustakaan.
45.2 Barang persendirian tidak boleh dibawa masuk ke dalam perpustakaan dan hendaklah
disimpan di tempat khas yang disediakan.
45.3 Selepas menggunakan kemudahan di perpustakaan, semua buku/ peralatan/ perabot
hendaklah disusun atur semula seperti asalnya.
(Akta 174: Kaedah 31)
45.4 Pelajar bertanggungjawab terhadap barang persendirian.
45.5 Pelajar perlu menunjukkan semua buku dan fail kepada pegawai bertugas di pintu
keluar untuk pemeriksaan.
45.6 Perkhidmatan internet dan kaunter sirkulasi akan ditutup sepuluh minit sebelum waktu
perkhidmatan berakhir.
45.7 Perpustakaan dibuka mengikut waktu perkhidmatan perpustakaan yang telah
ditetapkan.
PERKARA 46: Pendaftaran
46.1 Semua pelajar adalah ahli perpustakaan secara automatik.
46.2 Kad matrik pelajar akan digunakan pada setiap kali urusan pinjaman dan pemulangan,
perkhidmatan internet dan perkhidmatan kemudahan lain.
PERKARA 47: Kemudahan Pinjaman
Kemudahan pinjaman bagi pelbagai kategori bahan perpustakaan adalah seperti berikut :-
47.1 Buku rak terbuka boleh dipinjam empat buah buku selama dua minggu.
22
47.2 Pembaharuan pinjaman boleh dibuat sebanyak dua kali berturut-turut di kaunter
sirkulasi.
47.3 Buku bertanda merah, bahan rujukan, bahan terbitan bersiri, akhbar dan bahan
bercetak yang lain boleh dirujuk di dalam perpustakaan.
47.4 Alat pandang-dengar
Pelajar hanya boleh menggunakan alat pandang-dengar di dalam perpustakaan
sahaja. Pustakawan boleh menggunakan budi bicara untuk membenarkan pinjaman
alat pandang-dengar dibawa keluar dari perpustakaan atas alasan-alasan tertentu.
47.5 Pinjaman antara perpustakaan boleh diuruskan dan kos pinjaman adalah dibawah
tanggungjawab pelajar.
47.6 Pelajar menetap boleh membuat tempahan pinjaman. Bahan tempahan tersebut akan
ditempatkan semula di rak-rak buku atau dipinjamkan kepada pelajar menetap lain
selepas lima hari dari notis tempahan dikeluarkan.
47.7 Pelajar akan dikenakan denda sekiranya melewati tarikh/ masa pemulangan buku dan
menghilangkan buku
(Mesyuarat Jawatankuasa Kewangan & Akaun BMKPM Bil. 4/2008)
47.8 Semua buku dan bahan perpustakaan yang dipinjam tertakluk kepada panggilan balik
dari perpustakaan dan hendaklah dipulangkan sebaik sahaja notis-notis untuk berbuat
demikian diterima.
PERKARA 48: Kehilangan dan Kerosakan
48.1 Pelajar yang menghilangkan/ merosakkan buku/ peralatan/ perisian perlu melaporkan
kepada pustakawan dengan segera dan membayar ganti rugi mengikut harga pasaran.
48.2 Pelajar yang menghilangkan/ merosakkan buku/ peralatan/ perisian dan bahan-bahan
lain di perpustakaan akan didakwa di bawah peruntukan Akta 174.
(Akta 174: Kaedah 3g, 3h dan 3i)
PERKARA 49: Kemudahan Internet Perpustakaan
49.1 Pelajar dibenarkan menggunakan internet mengikut tempoh masa yang ditetapkan.
49.2 Pelajar adalah dilarang melayari bahan lucah atau berupa ancaman.
(Akta 174: Kaedah 19)
23
BAHAGIAN E
JENIS-JENIS HUKUMAN
Seseorang pelajar menetap yang didapati bersalah atas sesuatu kesalahan tatatertib boleh
dikenakan mana-mana satu daripada hukuman-hukuman yang berikut atau mana-mana dua
atau lebih hukuman-hukuman itu disatukan sekali;
(a) amaran;
(b) denda tidak lebih daripada lima ratus ringgit (RM500.00);
(c) penggantungan daripada menggunakan apa-apa atau kesemua kemudahan-
kemudahan kolej selama tempoh yang ditentukan;
(d) penggantungan daripada mengikuti kursus pengajian di kolej selama tempoh yang
ditentukan;
(e) penghalangan daripada menduduki sebahagian atau keseluruhan peperiksaan di kolej;
(f) penyingkiran daripada mana-mana bahagian kolej selama tempoh yang ditentukan;
(g) pembuangan daripada kolej oleh pihak berkuasa tatatertib.
(Akta 174: Kaedah 48)
24
LAMPIRAN
Gambarajah 1. Etika pakaian pelajar lelaki semasa kuliah/ amali/ perpustakaan/ peperiksaan/
kafetaria/ outing
25
Gambarajah 2. Etika pakaian pelajar perempuan semasa kuliah/ amali/ perpustakaan/
peperiksaan/ kafetaria/ outing
26
Gambarajah 3. Etika pakaian pelajar semasa aktiviti rasmi
27
Rujukan
Akta Bahan Letupan 1957.
Akta Dadah Berbahaya 1952 [Akta 234].
Akta Institusi-institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 [Akta 174] versi dalam talian sebagaimana
pada Jun 2019.
Akta Pendidikan 1996 [Akta 550] versi dalam talian sebagaimana pada Julai 2020.
Akta Perubatan 1971.
Akta Racun 1952.
Buku Panduan Akademik Program Matrikulasi KPM.
Minit Mesyuarat Jawatankuasa Kewangan & Akaun BMKPM Bil.4/2008.
Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 1997.
Surat Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pelajaran Bil.2/1976.
28