IKTIBAR YANG BOLEH DIAMBIL DARIPADA KONFLIK DUNIA.
Iktibar pertama yang boleh diambil daripada konflik dunia ialah
masyarakat dunia perlu menghargai nyawa rakyat. Hal ini demikian kerana
konflik dunia yang berlaku telah menyebabkan kehilangan nyawa rakyat awam.
Kesan daripada konflik tersebut, ramai tentera dan masyarakat awam yang
terlibat dalam konflik tersebut telah menjadi mangsa pihak yang mempunyai
kepentingan. Sebagai contoh, semasa Perang Dunia Pertama terdapat sekurang-
kurangnya 13 juta orang awam dan 8.5 juta tentera telah terbunuh malah ramai
juga yang cedera dan cacat seumur hidup akibat daripada perang ini. Oleh itu,
konflik dunia telah mengajar kita supaya mempunyai nilai kemanusiaan yang
tinggi.
Iktibar kedua yang boleh diambil daripada konflik dunia ialah pemerintah
di sesebuah negara perlu mengekalkan kebajikan rakyat. Hal ini demikian
kerana konflik yang berlaku telah menyebabkan kebajikan rakyat telah terabai.
Impak daripada keadaan ini telah menyebabkan rakyat menghadapi kemudaratan
dan kesengsaraan dalam kehidupan mereka. Sebagai contoh, konflik perang di
Jerman menyebabkan rakyat mengalami kekurangan bekalan makanan dan
menyebabkan masalah inflasi. Kesannya kerajaan terpaksa mengenakan catuan
terhadap bahan makanan penting seperti roti, kentang, susu dan daging sehingga
menyebabkan rusuhan antikerajaan pada tahun 1917. Tegasnya, konflik dunia
yang berlaku telah menyebabkan penderitaan terhadap kehidupan rakyat.
Iktibar yang ketiga akibat konflik dunia yang berlaku ialah setiap
pemimpin perlu mengekalkan sikap berkecuali dalam setiap tindakan
mereka. Hal ini kerana sikap suka campur tangan atas permasalahan negara lain
akan mencetuskan konflik yang berpanjangan. Kesan daripada tindakan tersebut
negara-negara yang sedang membangun akan menjadi mangsa kerakusan kuasa
negara maju. Sebagai contoh, Perang Dingin menyebabkan negara-negara dunia
ketiga menjadi rebutan antara dua kuasa besar. Akibat perkembangan ini
menyebabkan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) ditubuhkan untuk
mengekalkan keamanan dunia tanpa menyokong blok Barat ataupun blok
Komunis. Tuntasnya, setiap pemimpin perlu mempunyai dasar keselamatan
negara yang bermanfaat.
50
Iktibar keempat akibat berlaku konflik dunia ialah pemimpin perlu
mengelakkan campur tangan kuasa luar yang boleh mengancam kedaulatan
negara. Hal ini demikian kerana campur tangan daripada negara luar akan
menyebabkan negara akan terikat dengan perjanjian-perjanjian yang merugikan.
Implikasi daripada keadaan ini sesebuah negara akan menjadi boneka dan sering
kali ditindas oleh kuasa besar. Sebagai contoh, Amerika Syarikat yang gemar
campur tangan dan mendominasi negara-negara lain demi kepentingan mereka
seperti yang berlaku di Korea Selatan, Syria dan Somalia. Lantaran itu, sikap
diplomasi yang diamalkan oleh setiap pemimpin akan menjamin keamanan dunia.
Iktibar kelima yang boleh diambil akibat konflik dunia ialah negara
membangun perlu mengelakkan kebergantungan ekonomi dengan negara
maju. Hal ini demikian kerana kebergantungan ekonomi terhadap kuasa besar
akan menghalang sesebuah negara untuk mengekalkan dasar pasaran bebas.
Impak daripada keadaan ini menyebabkan negara membangun hanya
menjalankan akitiviti perdagangan dengan negara yang tertentu sahaja. Sebagai
contoh, dalam perang dingin Amerika Syarikat telah menggunakan kedudukannya
sebagai penyumbang kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) untuk
mendominasi ekonomi negara-negara membangun. Jelaslah, konflik dunia
mengajar masyarakat dunia agar mempunyai hubungan ekonomi dengan
pelbagai negara.
51
NILAI YANG BOLEH DIAMBIL DARI KONFLIK DUNIA
Nilai yang diperoleh daripada konflik dunia ini ialah nilai keberanian dalam
mempertahankan negara. Pemimpin negara perlu berani mempertahankan negara
agar kedaulatan negara terjamin dan rakyat hidup dengan aman. Contohnya
Perdana Menteri Malaysia Tun Dr. Mahathir Mohamed lantang mempertahankan
kedaulatan Palestin daripada pencerobohan Israel. Jelasnya , keberanian
pemimpin diperlukan untuk menjaga kepentingan negara .
Nilai kedua yang boleh diambil ialah nilai kerjasama. Pemimpin dunia perlu
menjalin kerjasama yang erat untuk menyelesaikan isu kesihatan dengan segera.
Contohnya, kejayaan pakar perubatan dan saintis di dunia berjaya menghasilkan
vaksin untuk menguatkan daya tahan para pesakit Covid-19 harus diberikan
sokongan dan pujian. Hal ini menunjukkan kerjasama merupakan cara yang paling
berkesan untuk menyelesaikan masalah kesihatan dunia.
Nilai ketiga ialah nilai kebijaksanaan. Pemimpin perlu bijak merancang
strategi dalam hubungan luar negara dengan menjalinkan hubungan baik dengan
negara luar. Contohnya kebijaksanaan Perdana Menteri kita menjalin hubungan
luar dengan negara seperti Amerika Syarikat, Britian dan Jepun telah membantu
hubungan luar negara kita. Hal ini dapat mengekalkan kestabilan politik negara,
mengekalkan persefahaman dalam hubungan diplomatik serta dapat
mengelakkan krisis antara negara.
Nilai keempat ialah nilai bertoleransi. Kita perlu mengamalkan sikap
bertoleransi antara kaum supaya negara berada dalam keadaan aman.
Kekacauan di negara lain perlu dijadikan pengajaran dengan mengukuhkan
perpaduan kaum kerana terbukti dapat menjamin kemakmuran negara dan
mempunyai politik yang stabil. Hal ini dapat merangsang dan meningkatkan
pertumbuhan ekonomi negara dan membina negara yang maju.
Nilai kelima ialah nilai hormat-menghormati. Nilai ini telah membantu
negara kita menyelesaikan masalah alam sekitar dengan negara jiran. Contohnya
masalah jerebu melanda negara kita berjaya diselesaikan antara Malaysia
dengan Indonesia melalui perjanjian, perbincangan, mesyuarat dan sesi dialog
antara pemimpin kedua-dua buah negara. Oleh itu,sikap saling menghormati
wajar diamalkan oleh kita agar keamanan dan kesejahteraan serantau dapat
diperkukuhkan.
52
Nilai keenam ialah nilai bermuafakat antara negara. Semua negara harus
bersepakat dalam menangani masalah atau konflik dunia . Contohnya, negara
anggota ASEAN mengambil keputusan bersama mengisytiharkan Zon Aman,
Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN).Tuntasnya , keamanan rantau Asia Tenggara
lebih terjamin dengan mengamalkan nilai pemuafakatan antara negara.
Nilai ketujuh ialah rakyat nilai sedia berkorban untuk mempertahankan
negara dan bangsa daripada serangan musuh. Pada hari ini negara kita
menghadapi ancaman Covid-19 yang sangat berbahaya. Semangat dan
kesungguhan yang ditunjukkan oleh anggota perubatan seperti doktor, jururawat
dan sebagainya untuk membantu para pesakit harus dihargai dan dicontohi.
Kegigihan pasukan keselamatan seperti tentera, polis, bomba, Rela bertugas
dengan tekun dan berdedikasi untuk menyelamatkan negara dari ancaman
musuh. Sedia berkorban harus menjadi nadi dan tanggungjawab kehidupan kita
demi mempertahankan negara.
Nilai kelapan ialah nilai menghargai nikmat keamanan dunia. Keamanan
pada hari ini wujud atas usaha yang bersungguh-sungguh oleh pemimpin dunia.
Kesanggupan pemimpin duduk di meja rundingan dan memeterai perjanjian
damai agar dunia tidak menghadapi perang pada masa hadapan wajar dicontohi
dan dihargai semua warga global. Contohnya peranan Pertubuhan Bangsa-
Bangsa Bersatu memastikan keamanan dunia patut dihargai dan disanjungi. Oleh
itu sewajarnyalah kita terus menghargai kepentingan keamanan global.
Nilai kesembilan ialah menanamkan nilai cinta akan negara dalam
kalangan rakyat di negara kita. Rakyat Malaysia harus memaparkan semangat
kecintaan yang sejati di sanubari. Contohnya rakyat Malaysia mendukung prinsip
Rukun Negara sebagai amalan hidup. Kita mesti memberikan taat setia yang
padu kepada negara. Tegasnya, semangat cinta kepada negara menjamin
keamanan dan kesejahteraan rakyat dan negara.
Nilai terakhir ialah memiliki nilai ketahanan fizikal dan mental untuk
menghadapi cabaran hidup. Rakyat Malaysia harus bersedia memperkasakan
mental dan fizikal masing-masing untuk menghadapi cabaran dalam dan luar
negara. Contohnya rakyat Malaysia bersedia berjuang menjadikan negara kita
terbaik dalam bidang ekonomi, politik dan sosial. Hal ini akan mengangkat
martabat Malaysia di persada dunia.
53
RUMUSAN
Dunia tidak pernah berhenti dari tercetusnya konflik dari dahulu hingga kini.
Konflik antara negara hingga tercetusnya peperangan seperti Perang Dunia
Pertama, Perang Dunia Kedua sehingga pergolakan masa kini di bumi Palestin,
Kashmir dan lain-lain hanya menjadikan dunia tidak aman dan berbahaya kepada
kehidupan.
Semua pihak perlu bertanggungjawab dan berganding bahu dalam
memastikan keamanan dunia. Kesombongan dan keangkuhan negara-negara
tertentu perlu dipatahkan kerana sikap negara-negara tersebut seringkali
mencetuskan konflik. Pemimpin-pemimpin dunia perlu mengelakkkan konflik dan
mencari jalan yang dapat merintis kepada keamanan dan kesejahteraan dunia.
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) perlu memainkan peranan lebih
proaktif dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai organisasi paling
berpengaruh.
Peranan Malaysia dalam hal ini juga sangat membanggakan. Suara lantang
Malaysia di pentas-pentas antarabangsa sering kedengaran dalam
memperjuangkan isu penindasan dan konflik yang memudaratkan seperti isu
Palestin. Malaysia juga aktif mengambil bahagian dalam misi-misi antarabangsa
seperti di Iraq, Somalia dan lain-lain.
Menjadi harapan semua, konflik dunia yang belum terlerai hingga kini dapat
ditangani. Peperangan dan konflik yang berlaku sebelum ini sewajarnya sudah
mampu menyedarkan semua pentingnya keamanan dunia dipertahankan.
Tegasnya, generasi masa depan berhak untuk mewarisi dunia yang lebih selamat
dan sejahtera untuk didiami.
PANDUAN MENJAWAB TAMAT
54
TEMA UMUM: MALAYSIA DAN KERJASAMA MASYARAKAT ANTARABANGSA
Perang Dunia Pertama juga dikenali sebagai The Great War (Perang Besar) yang pernah
diketahui oleh manusia. (Sumber: www.bbc.ok.uk). Perang tersebut yang menandakan
bermulanya konflik antarabangsa yang lain dan meninggalkan kesan yang besar terhadap
dunia.
Tugasan Simulasi
Aspek Perincian Markah
5 markah
Pengenalan 1. Nyatakan latar belakang konflik dunia selepas
Isi dan huraian abad ke-20. 10 markah
10 markah
2. Jelaskan konflik berikut:
a) Perang Dunia Pertama 10 markah
10 markah
b) Perang Dunia Kedua
3. Terangkan peranan pertubuhan berikut dalam
mengekalkan keamanan dunia.
a) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)
b) Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara
(ASEAN )
Krisis antara Amerika Syarikat dan Iran yang kian
memuncak sehingga mencetuskan konflik sudah
tentu akan memberi kesan terhadap ekonomi
global.
Diubah suai daripada Sinar Harian,
5 Januari 2020
4. Berdasarkan pernyataan di atas, huraikan kesan 10 markah
daripada tercetusnya konflik dunia. 10 markah
10 markah
5. Keamanan dunia telah memberi banyak manfaat
kepada negara kita.
Buktikan.
6. Pertikaian antarabangsa lebih baik diselesaikan di
meja rundingan.
Berikan ulasan anda.
55
Kesimpulan 7. Pada pandangan anda, apakah cabaran dan 10 markah
bagaimanakah langkah bagi mengekalkan
keamanan dunia? 10 markah
5 markah
8. Bincangkan iktibar daripada tugasan.
9. Hasilkan rumusan daripada tajuk kajian.
KERTAS SOALAN TAMAT
56