The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by g-p19171252, 2023-10-19 01:37:22

Proses pembudayaan di Malaysia

proses pembudayaan

Malaysia terkenal dengan masyarakat majmuk yang hidup dalam keadaan harmoni dan unik. Ini kerana, rakyat Malaysia telah mengenali budaya satu sama lain dan menghormati setiap budaya yang diamalkan. Dalam penulisan ini, kita akan melihat sebuah penulisan reflektif tentang pertembungan budaya yang menjadi proses pembudayaan dalam kehidupan masyarakat di Malaysia. Pertembungan budaya di Malaysia boleh dilihat melalui proses pembudayaan asimilasi dalam kalangan masyarakat. Menurut Kamus Dewan, asimilasi merujuk kepada sebuah budaya yang dapat dimesrakan dengan budaya lain untuk membentuk kebudayaan nasional. Proses asimilasi ini dapat dilihat melalui pertembungan budaya pemakaian kurta yang diasimilasikan oleh masyarakat Melayu. Pemakaian kurta pada asalnya diamalkan oleh masyarakat India dalam kehidupan seharian mereka dan ketika mereka menghadiri majlis-majlis seperti sambutan perayaan dan perkahwinan (Muhammad Harun, 2007). Namun kini, pemakaian kurta juga telah diserap dan diamalkan oleh masyarakat Melayu terutama sekali jika mereka hendak menghadiri majlis keagamaan seperti solat jumaat ataupun mendengar kuliah. Hal ini kerana, kurta mempunyai ciri-ciri yang sangat sesuai untuk dijadikan sebagai pakaian ibadah kerana fesyennya yang labuh dan tidak terlalu ketat. Asimilasi pakaian ini disambut baik oleh masyarakat India kerana kita dapat lihat pemakaian kurta tidak membuatkan orang India memarahi masyarakat Melayu dan juga semakin popular dalam kalangan masyarakat Melayu. Ini disokong lagi apabila kita dapat melihat orang Melayu mula menggayakan kurta ketika sambutan aidilfitri dan aidiladha. Oleh itu, dapatlah kita lihat kesan daripada proses asimilasi ini dalam membentuk kehidupan masyarakat yang lebih harmoni. Ini kerana perkongsian pakaian ini tidak terhenti kepada kurta sahaja. Baju kurung juga turut dipakai oleh orang perempuan dari masyarakat Cina serta India dan pakaian sari juga turut digayakan oleh masyarakat selain daripada India. Jadi, perkara ini telah membentuk identiti baharu sehingga baju-baju tradisional tersebut telah diangkat menjadi baju kebangsaan dan boleh digayakan oleh pelbagai kaum termasuk ketika program rasmi dijalankan. Seterusnya menurut Kamus Dewan, akulturasi merupakan penyerapan unsur kebudayaan daripada suatu budaya kepada budaya yang lain. Perbezaan ketara antara akulturasi dan asimilasi ialah, proses akulturasi mempunyai pengolahan terhadap kebudayaan yang diserap. Hal ini dengan jelas dapat dilihat melalui adat pemberian angpau yang diamalkan oleh masyarakat Cina telah diserap masuk ke dalam masyarakat Melayu dan mengalami pengolahan. Menurut Aqilah Mior Kamarulbaid (2021) dalam adat masyarakat Cina, pemberian


angpau diberikan ketika menyambut tahun baru cina. Dalam adat ini, golongan yang telah berkahwin perlu memberi angpau kepada mereka yang belum berkahwin tanpa mengira umur individu tersebut. Ini bermaksud jika seseorang itu telah mencapai umur 50 sekalipun, mereka berhak untuk mendapatkan angpau jika mereka belum berkahwin. Jadi, budaya pemberian angpau ini telah diserap masuk ke dalam budaya masyarakat Melayu yang memberi angpau ataupun lebih dikenali sebagai ‘duit raya’ ketika sambutan hari raya aidilfitri. Pengolahan berlaku pada proses pemberian duit raya. Dalam masyarakat Melayu, golongan yang sudah bekerja perlu memberi duit raya kepada anak-anak kecil yang masih belajar. Jadi pengolahan ini menimbulkan sebuah budaya yang unik dalam masyarakat Melayu kerana menunjukkan bahawa mereka prihatin dengan anak-anak kecil yang masih belajar supaya mereka mempunyai duit belanja kerana belum bekerja lagi. Namun, kedua-dua masyarakat ini tidak mempunyai paksaan dalam pemberian angpau atau duit raya kerana tidak ingin membebankan mana-mana pihak. Jadi, budaya yang unik ini sangat menarik kerana anak-anak kecil yang bukan beragama Islam juga akan mendapat duit raya tersebut, jika mereka menghadiri rumah terbuka. Perkara ini telah menjadi sinonim dengan aktiviti yang sangat seronok dalam kalangan masyarakat Malaysia dan menimbulkan perasaan harmoni sesama kita. Selain itu, amalgamasi pula adalah sebuah budaya baharu yang terbentuk melalui pertembungan budaya ketika bercampur dengan budaya lain. Keunikan proses ini ialah budaya baharu yang terbentuk mempunyai ciri-ciri budaya asal mereka beserta budaya yang baru diwujudkan oleh mereka. Proses amalgamasi ini jelas dapat dilihat melalui perkahwinan campuran seperti perkahwinan India Muslim dan Melayu yang sebahagian daripada mereka tidak ingin dikenali sebagai orang Melayu, sebaliknya mereka selesa kekal dengan status India atau lebih dikenali sebagai Mamak (Nor Hafizah Selamat & Ezwani Azmi, 2016). Perkahwinan antara dua kaum ini pasti akan membentuk budaya baharu kerana ingin mencari titik tengah antara kedua-dua budaya dari setiap pasangan. Sebagai contoh, orang mamak akan mengamalkan budaya-budaya melayu seperti beragama Islam, bertutur dalam bahasa melayu sebagai bahasa utama mereka dan memakai baju melayu ingin beribadah di masjid. Mereka juga tidak melupakan budaya masyarakat India seperti memakan makanan yang berasaskan rempah iaitu kari dan masakan kurma serta bertutur bahasa tamil jika berjumpa dengan saudara-mara. Namun menurut Nor Hafizah Selamat dan Ezwani Azmi (2016) golongan mamak ini mempunyai budaya unik baharu yang tidak diamalkan oleh masyarakat lain iaitu mereka cenderung untuk tinggal bersama-sama ahli keluarga besar mereka di dalam sebuah rumah yang besar ataupun dalam kawasan tanah yang lapang dan mereka dirikan beberapa rumah.


Ini merupakan satu contoh budaya baharu yang sangat baik untuk mewujudkan hubungan kekeluargaan yang sangat rapat. Jadi ini merupakan sebuah identiti yang sangat unik dan menggambarkan keharmonian sesama mereka dan juga sesiapa yang telah menyertai keluarga mereka. Akhir sekali, akomodasi pula merupakan proses budaya yang timbul untuk menghormati norma atau tuntutan budaya yang lain. Hal ini kerana, setiap budaya pasti mempunyai pantang-larang mereka tersendiri yang menyebabkan kita perlu mewujudkan budaya yang dapat menghormati budaya lain. Contoh akomodasi budaya dapat dilihat melalui aspek makanan. Orang Melayu kini, selalu menghidangkan lauk seperti kari ketika mengadakan rumah terbuka atau kenduri. Sudah menjadi lumrah hidup dalam masyarakat yang majmuk, kita akan menjemput semua rakan tanpa mengira agama dan bangsa. Oleh itu, budaya yang timbul ialah masyarakat Melayu akan mengasingkan kari daging dengan kari-kari yang lain bagi menghormati masyarakat India yang menganut agama Hindu (Huzaimah Ismail dan Che Zarinna Sa’ari, 2014). Begitu juga makanan lain yang berasaskan daging akan diasingkan. Ini kerana, bagi orang yang menganut agama Hindu lembu merupakan tuhan mereka dan tidak boleh dimakan. Walaupun masyarakat Melayu boleh memakan lembu, namun atas dasar hormat-menghormati mereka telah mewujudkan budaya pengasingan lauk tersebut untuk menghormati budaya masyarakat lain. Ini turut dilakukan oleh masyarakat lain terhadap masyarakat Melayu iaitu menghidangkan makanan yang halal sumbernya jika mereka menjemput orang Melayu hadir ke majlis rumah terbukan mereka. Kesannya, budaya saling memahami inilah yang akan menyemarakkan lagi semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Kesimpulannya, pertembungan budaya yang dialami oleh masyarakat di Malaysia telah mengalami proses-proses pembudayaan yang telah dinyatakan di atas. Kesan daripada itu, pelbagai budaya yang unik telah wujuk dan menjadikan kita hidup dalam keadaan yang harmoni dalam masyarakat yang majmuk.


RUJUKAN Aqilah Mior Kamarulbaid. (2021, Mei 28). Duit raya: sedekah atau rasuah kepada kanak-kanak. Utusan Malaysia. Dewan Bahasa dan Pustaka. (2005). Kamus dewan edisi keempat. Dewan Bahasa dan Pustaka. Huzaimah Ismail dan Che Zarinna Sa’ari. (2014, November 5-6). Perpaduan kaum di Malaysia: Suatu penilaian baterah alias. TeSSHI, Langkawi, Kedah, Malaysia. Muhammad Harun. (2007). Adat dan budaya masyarakat India. Mutiara Ilmu Enterprise Nor Hafizah Selamat dan Ezwani Azmi. (2016). Ethnic Identity and Cultural Heritage Tourism: An Ethnographic Study of the Indian Muslim Community in Penang. Asian Journal of Tourism Research, 1, 39-69, 1. 10.12982/AJTR.2016.0010.


Click to View FlipBook Version