The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by g-12375789, 2021-08-24 05:46:06

CERITA BROWNIES

PANDU PUTERI TUNAS

CERITA BROWNIE

SK KOTA WARISAN​

Dalam sebuah rumah kecil di tepi
sebuah hutan, tinggal sepasang suami
isteri yang miskin bersama dua orang
anak mereka; seorang lelaki bernama
Tommy dan seorang lagi perempuan
bernama Betty.

Ibu kanak-kanak itu sangat
sayang kepada mereka.
Bagaimanapun, ibu itu selalu juga
berasa tidak senang hati melihat
perangai anak-anaknya yang
pemalas, pelupa dan pengotor.

Selain daripada itu, mereka juga sangat
nakal. Mereka selalu berkejar-kejaran di dalam
rumah sambil bermain dan menjerit-jerit sehingga
segala perkakas rumah habis tunggang-langgang.
Pakaian mereka pula sentiasa menjadi kotor.
Mereka sentiasa mementingkan diri sendiri.
Asalkan dapat bermain dan bersuka-sukaan,
mereka langsung tidak bertimbang rasa terhadap
orang lain.

Pada suatu petang, ibu kanak-kanak itu
bercerita kepada mereka. Kata ibu kanak-kanak
itu, “Beberapa lama dahulu, sebelum Tommy dan
Betty ada, rumah itu didiami oleh beberapa orang
Brownie. Keadaan di dalam rumah tersebut pada
masa itu sentiasa aman dan damai”.
“Siapakah Brownie itu, mak?” tanya mereka.

“Brownie itu ialah peri yang kecil.” jawab
ibu mereka. “Dia datang ke rumah orang
sebelum sesiapa di dalam rumah itu bangun
tidur. Sebaik sahaja sampai di rumah itu dia
segera menyapu lantai,menyalakan api,
mengambil air, menjerang air dan menyediakan
sarapan pagi.”

“Dia juga mengemaskan bilik, memotong
rumput di kebun, membersihkan kasut dan
sebagainya.” tambah ibu mereka lagi. “Pendeknya
dia membuat segala kerja yang berfaedah,
walaupun tiada siapa yang pernah berjumpa
dengannya kerana dia selalu meninggalkan rumah
sebelum orang di dalam rumah itu bangun daripada
tidur.”

Tommy dan Betty sangat seronok
mendengar cerita itu. Mereka ingin mendapat
seorang Brownie supaya dia selalu datang ke
rumah dan menolong ibu bapa mereka membuat
segala kerja. Pada fikiran mereka, jika sudah ada
Brownie, tidak payahlah mereka membuat segala
kerja itu lagi.

Mereka pun bertanya kepada ibu
mereka bagaimana caranya mereka boleh
berjumpa dengan Brownie. Ibu mereka
menyuruh mereka berjumpa dahulu dengan
seekor burung hantu yang tinggal di tepi hutan
kerana burung hantu itulah yang mengetahui
segala perkara tentang peri-peri itu.

Malam itu, mereka pun pergi ke tepi
hutan. Pada mulanya, Tommy berjalan dahulu di
hadapan dengan berani, tetapi apabila jalan itu
semakin gelap langkahnya semakin perlahan.
Bagaimanapun, Betty tetap berkeras hati walaupun
dia sendiri agak takut. Dia memimpin tangan
abangnya sambil terus berjalan sehingga akhirnya
mereka terdengar bunyi burung hantu itu.

Mereka terhenti dengan tiba-tiba
kerana bunyi burung hantu itu amat
menakutkan mereka. Oleh sebab terlalu
takut pada mulanya mereka ingin lari
sekuat hati balik ke rumah.

Sekali lagi Betty berkeras hati. Dia tetap
ingin mengetahui siapa Brownie itu. Jadi dia
memimpin tangan abangnya sambil berdiri tegak di
situ. Burung hantu itu terus berbunyi. Lama-
kelamaan mereka tidak berasa takut lagi kerana
telah biasa dengan bunyi itu. Mereka pun berjalan
lagi sehingga akhirnya sampai ke pangkal pokok
tempat burung hantu itu hinggap.

“Burung hantu! Burung Hantu! Kami
datang untuk berjumpa dengan kamu!” seru
Betty.

“U-hu-huuu! U-hu-huuu! Baguslah.
Panjatlah pokok ini dan mari duduk di sebelah
saya di atas dahan ini!” jawab Burung Hantu.

Mereka pun memanjat pokok itu dan
duduk di sebelah Burung Hantu di atas dahan.
Mereka menceritakan kesusahan mereka
kepadanya. Mereka bercerita bagaimana
mereka terpaksa membuat berbagai-bagai
kerja sedangkan mereka ingin bermain.

“Kami sudah mendengar cerita tentang
peri Brownie yang baik itu. Jadi kami ingin
mendapatkan seorang daripada peri-peri itu
untuk tinggal di rumah kami supaya dia boleh
membuat segala kerja itu untuk kami.” kata
Betty.

“U-hu-huu-huuu!” Burung Hantu ketawa. “Nampakkah
kamu paya itu? Pergilah ke tebing sebelah utaranya ketika
bulan mengembang penuh. Pusingkan badan kamu tiga kali di
situ sambil berseru:

Pusingkan saya.
Dan tunjukkan rupa peri;
Saya lihat dalam air,
Rupa.........................

“Untuk mendapatkan perkataan yang
terakhir, pandanglah ke permukaan air itu. Di
situ kamu akan nampak seorang Brownie dan
namanya ialah perkataan yang kamu pilih
untuk mengisi perkataan akhir dalam rangkap
tadi.”

Apabila bulan telah mengambang penuh, Betty
pun pergi ke tepi sebelah utara paya itu. Dia
memusingkan badannya tiga kali di situ sambil
berseru:

Pusingkan saya.
Dan tunjukkan rupa peri;
Saya lihat dalam air,
Rupa.........................

Bagaimanapun, apabila Betty memandang ke
permukaan paya itu, dia tidak nampak apa-apa
kecuali bayangnya sendiri.

Dengan hati yang hampa Betty pun balik
semula berjumpa dengan Burung Hantu. Dia
menceritakan bahawa dia tidak nampak apa-apa di
permukaan paya itu kecuali bayangnya sendiri.

“Jadi kamu tidak nampak sesiapa yang
namanya boleh mengisi perkataan akhir rangkap
yang saya berikan itu?” tanya Burung Hantu.

“Tidak. Saya tidak nampak sesiapa pun.”
jawab Betty.

“Jadi siapakah yang kamu nampak di
permukaan paya itu?” tanya Burung Hantu pula.

“Saya cuma nampak diri saya sendiri.” jawab
Betty.

“U-huu-huuu! Bukankah ‘saya sendiri’ sama
bunyinya dengan ‘peri’ dalam rangkap itu?” tanya
Burung Hantu dengan gembira.

Betty berfikir seketika. Memang ‘peri’ sama
bunyinya dengan ‘saya sendiri’, fikirnya. Kemudian
dia berkata, “Tapi saya bukannya seorang Brownie!”

“Memang betul,” jawab Burung Hantu. “Tetapi tiada
siapa pun yang boleh menjadi Brownie kecuali diri kamu sendiri
kalau kamu mencubanya.

Kamu boleh menyapu lantai dan menghidupkan api;
kamu boleh mengemaskan bilik dan menyediakan sarapan;
kamu boleh membersihkan bilik tidur, mencuci kasut dan
melipat pakaian kamu sendiri. Kamu boleh membuat segala
kerja ini sebelum bapa dan ibu kamu bangun tidur supaya
mereka menyangka peri telah datang ke rumah dan membuat
segala kerja itu.”

Keesokan harinya, Tommy dan Betty
keluar senyap-senyap dari bilik mereka
sebelum bapa dan ibu mereka bangun tidur.
Mereka menyapu sampah, berkemas,
menyediakan dan menghidangkan sarapan,
dan kemudian masuk ke bilik mereka semula
dengan senyap.

Tidak lama kemudian bapa dan ibu mereka
bangun tidur dan keluar dari bilik mereka untuk
membuat segala kerja rumah seperti biasa. Alangkah
terperanjatnya mereka apabila mendapati segala
kerja itu sudah selesai. Oleh sebab Tommy dan Betty
masih ada di dalam bilik tidur, mereka menyangka
peri Brownie benar-benar telah datang ke rumah
mereka.

Setiap hari Tommy dan Betty berbuat begitu.
Lama-kelamaan mereka semakin rajin dan
bertanggungjawab seperti Brownie.

Setelah beberapa lama kemudian, barulah bapa
dan ibu mereka tahu bahawa anak-anak mereka
sendirilah yang menjadi Brownie dan menolong
mereka menbuat kerja-kerja di rumah itu!

SEKIAN.


Click to View FlipBook Version