The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

Menghuraikan tentang faktor dan implikasi stratifikasi sosial terhadap komuniti sekolah dan pendidikan

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by Nur Syalfarina, 2024-03-07 09:05:27

Stratifikasi Sosial (Edisi e-Book)

Menghuraikan tentang faktor dan implikasi stratifikasi sosial terhadap komuniti sekolah dan pendidikan

Keywords: Stratifikasi sosial,Kelas sosial,Hierarki masyarakat,Pengkelasan masyarakat,Sosiologi

STRATIFIKASI SOSIAL Faktor dan Implikasinya Terhadap Komuniti Sekolah dan Pendidikan Edisi e-Book NUR SYALFARINA


STRATIFIKASI SOSIAL Faktor dan Implikasinya Terhadap Komuniti Sekolah dan Pendidikan


i KANDUNGAN Muka Surat ISI KANDUNGAN i 1.0 PENDAHULUAN 1 2.0 FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHI STRATIFIKASI SOSIAL 2 3.0 IMPLIKASI STRATIFIKASI SOSIAL TERHADAP KOMUNIITI SEKOLAH DAN PENDIDIKAN 4 4.0 PENUTUP 6 RUJUKAN 7


1 1.0 Pendahuluan Stratifikasi sosial merupakan istilah yang digunakan untuk mengklasifikasikan masyarakat mengikut kelas atau kumpulan. Hal ini berlaku disebabkan oleh ketaksamaan sosial dalam kehidupan bermasyarakat justeru setiap individu mempunyai kedudukan yang berbeza antara satu sama lain. Perkara ini selari dengan pendapat Idrul Hisham et al. (2024) yang mengatakan bahawa stratifikasi sosial dalam kalangan masyarakat tidak dapat dielakkan kerana setiap anggota masyarakat mempunyai keupayaan yang berbeza. Secara tidak langsung, situasi ini telah membentuk satu hierarki dalam struktur sosial yang akan menempatkan setiap individu mengikut tahap sosialnya. Maka, status kehidupan masyarakat dibezakan melalui lapisan dalam hierarki tersebut. Perkara ini akan mendorong masyarakat untuk sentiasa membuat perbandingan dengan individu lain bagi menilai kedudukan mereka dalam suatu lapisan masyarakat. Hal ini kerana penyusunan kedudukan masyarakat dalam kelas sosial akan memberikan hak dan kewajipan yang berlainan antara satu sama lain (Binti Maimunah, 2015). Oleh itu, kelas atau kumpulan suatu masyarakat dalam kehidupan sosial dapat dikategorikan melalui konsep stratifikasi sosial.


2 2.0 Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Stratifikasi Sosial Rajah 1 Piramid Kelas Sosial Sumber: https://id.quora.com/Apa-itu-stratifikasi-sosial Rajah 1 menunjukkan piramid kelas sosial yang disusun secara hierarki bermula dengan kedudukan paling atas iaitu kelas atasan diikuti dengan kelas pertengahan dan akhir sekali kelas bawahan. Terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi penyusunan kedudukan dalam setiap kelas tersebut. Pertama sekali, kedudukan dalam stratifikasi sosial dipengaruhi oleh faktor ekonomi. Hal ini kerana jumlah pendapatan, pemilikan harta dan kekayaan akan menjadi kayu ukur kedudukan seseorang dalam lapisan masyarakat. Dengan itu, tahap ekonomi yang lebih stabil akan menempatkan seseorang pada kelas yang teratas dalam hierarki struktur sosial. Sebagaimana telah dikatakan oleh Rizqon (2015), semakin tinggi status ekonomi seseorang, semakin tinggi kedudukannya dalam stratifikasi sosial. Perkara ini jelas menunjukkan bahawa status ekonomi yang lebih tinggi telah memberi peluang kepada seseorang untuk berada dalam lingkungan sosial yang baik. Jika dibandingkan dengan masyarakat yang mempunyai masalah ekonomi, mereka lebih cenderung berada pada kedudukan yang terendah dalam


3 stratifikasi sosial. Hal ini berpunca daripada ketidakstabilan status ekonomi justeru terbatas untuk mengakses pelbagai peluang dalam kehidupan sosial. Contohnya, akses terhadap pendidikan, jaringan sosial, pekerjaan dan lain-lain. Oleh itu, terbuktilah bahawa faktor ekonomi mempengaruhi stratifikasi sosial suatu masyarakat. Seterusnya, tahap pendidikan turut menyumbang kepada penyusunan kedudukan seseorang dalam satu lapisan masyarakat. Hal ini dikatakan demikian kerana pendidikan mampu meningkatkan kedudukan seseorang ke peringkat yang lebih tinggi dalam kelas sosial (Suci & Saefur, 2020). Buktinya, seseorang yang berkelulusan ijazah sarjana berpotensi mendapatkan pekerjaan dengan gaji yang lebih tinggi berbanding individu yang mempunyai kelulusan sijil sahaja. Hal ini terjadi kerana seseorang yang berpendidikan tinggi kebiasaannya memberi keutamaan terhadap peluang pekerjaan yang selari dengan kelulusan dan tahap pendidikannya sama ada dalam sektor awam mahupun swasta (Raze et al., 2023). Sesungguhnya, perkara ini dapat membantu seseorang itu mendapat kepuasaan dalam bekerja. Maka, setiap individu seharusnya berusaha untuk memajukan diri dari segi pendidikan supaya dapat meningkatkan taraf hidup sekaligus mencapai kelas tertinggi dalam lapisan masyarakat. Tujuannya adalah untuk memastikan status kehidupan setiap individu sentiasa berubah ke arah yang lebih baik. Jelaslah bahawa tahap pendidikan mempengaruhi kedudukan seseorang dalam lapisan masyarakat. Tambahan lagi, kekuasaan yang dimiliki oleh seseorang juga memainkan peranan yang penting untuk menentukan kedudukan dalam stratifikasi sosial. Individu yang berkuasa akan ditempatkan pada kedudukan yang tinggi dalam lapisan masyarakat (Binti Maimunah, 2015). Hal ini kerana individu tersebut mempunyai hak dalam memerintah, membuat keputusan dan mampu mempengaruhi orang lain. Menurut Idrul Hisham et al. (2024), kekuasaan boleh dilihat berdasarkan jawatan yang dimiliki oleh seseorang dalam sesebuah lembaga, parti, kumpulan atau institusi. Sebagai contoh, Yang di-Pertuan Agong berada pada kedudukan paling atas dalam hierarki kerajaan Malaysia kerana baginda merupakan ketua negara dalam sistem Raja Berperlembagaan. Situasi ini jelas menunjukkan bahawa kuasa Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara telah menyebabkan baginda berada pada lapisan tertinggi dalam struktur hierarki. Secara tidak langsung. Yang di-Pertuan Agong juga mempunyai pengaruh yang besar dalam sistem pentadbiran negara. Oleh yang demikian, kekuasaan turut memainkan peranan yang penting untuk menentukan kedudukan dalam stratifikasi sosial.


4 3.0 Implikasi Stratifikasi Sosial Terhadap Komuniti Sekolah dan Pendidikan Antara implikasi pembentukan stratifikasi sosial ialah menggalakkan persaingan yang sihat dalam kalangan murid-murid di sekolah. Hal ini terjadi kerana murid-murid tidak mahu kekal berada di lapisan yang paling bawah dalam stratifikasi sosial. Sebaliknya, mereka mempunyai motivasi yang tinggi untuk berusaha bersungguh-sungguh supaya dapat menempatkan diri dalam kedudukan yang teratas. Perkara ini disokong oleh Oyekola dan Oyeyipo (2020) yang menyatakan bahawa kebiasaannya masyarakat lebih memilih untuk mencapai kedudukan tertinggi berbanding berada di lapisan paling bawah dalam stratifikasi sosial. Dengan itu, semangat daya saing yang tinggi dalam diri murid-murid akan mendorong mereka untuk melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran sesuai dengan keperluan industri kini. Hal ini kerana persaingan yang sihat tidak lagi terhad kepada pencapaian akademik semata-mata tetapi turut menekankan aspek kemahiran dan teknikal (Idrul Hisham et al., 2024). Maka, generasi muda kini bebas untuk memilih bidang yang diminati bagi meningkatkan kompetensi diri di samping mengubah status sosioekonomi menjadi lebih baik. Oleh yang demikian, persaingan yang sihat dalam kalangan murid-murid dapat ditingkatkan melalui pembentukan stratifikasi sosial. Bukan itu sahaja, tahap akademik murid turut meningkat. Hal ini kerana murid sedar akan pengaruh tahap pendidikan terhadap kehidupan sosial. Mereka yakin bahawa pendidikan mampu menjamin kehidupan yang lebih berkualiti. Selari dengan pendapat Nurhidayani (2014) yang mengatakan bahawa pendidikan memainkan peranan penting dalam meningkatkan nilai dan elemen seseorang individu serta menunjukkan identiti masyarakat yang cemerlang. Dengan itu, terbuktilah bahawa pendidikan merupakan salah satu faktor yang mempengaruhi kedudukan setiap individu dalam lapisan masyarakat. Maka, muridmurid tidak sewajarnya mengabaikan pendidikan. Sebaliknya, mereka mestilah bercita-cita untuk mempunyai prestasi akademik yang cemerlang.bagi meningkatkan kedudukan dalam stratifikasi sosial. Walau bagaimanapun, ibu bapa juga memainkan peranan yang penting dalam memberikan sokongan terhadap proses pembelajaran murid. Hal ini kerana penglibatan ibu bapa dalam pendidikan anak-anak dapat meningkatkan motivasi mereka untuk sentiasa berusaha dalam pembelajaran (Mairin et al., 2020). Sesungguhnya, ibu bapa merupakan tulang belakang kepada kejayaan anak-anak dalam pendidikan. Oleh itu, stratifikasi sosial dapat mendorong murid-murid meningkatkan tahap akademik. Seterusnya, stratifikasi sosial telah mewujudkan pengkelasan sekolah. Terdapat pelbagai jenis sekolah yang ditubuhkan di Malaysia. Contohnya, Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan, Sekolah Kluster, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan lain-lain. Sesungguhnya, pengkelasan sekolah memberi kesan


5 terhadap kemudahan infrastruktur di sekolah. Menurut Idrul Hisham et al. (2024), sekolah berprestij tinggi cenderung mempunyai kemudahan fasiliti yang lebih baik berbanding sekolah harian biasa. Hal ini kerana sekolah berprestij tinggi mempunyai peruntukan kewangan untuk menyediakan fasiliti yang lebih baik. Berbeza dengan sekolah biasa yang tidak dapat menikmati kemudahan infrastruktur yang sempurna kerana tiada dana yang mencukupi. Lebih-lebih lagi sekolah yang terletak di luar bandar. Sesungguhnya, perkara ini akan mengganggu iklim sesebuah sekolah. Mohd Sharihan dan Roslan (2020) telah mengatakan bahawa iklim sekolah yang positif penting untuk persekitaran yang kondusif di samping meningkatkan komitmen dan produktiviti sesebuah organisasi. Dengan itu, penyediaan infrastruktur perlu diselaraskan tanpa mengira status sekolah untuk menjamin keadilan semua pihak. Jelaslah bahawa stratifikasi sosial telah menyebabkan berlakunya pengkelasan sekolah. Selain itu, stratifikasi sosial juga menimbulkan isu ketidaksamaan layanan guru terhadap murid-murid. Buktinya, terdapat segelintir guru yang memberikan perhatian kepada murid-murid daripada kelas sosial yang tinggi dan mempunyai ketrampilan diri yang menarik sahaja (Idrul Hisham et al., 2024). Hal ini berlaku kerana guru bersikap prejudis terhadap latar belakang dan kelas sosial murid-muridnya. Sekiranya perkara ini berterusan, hubungan antara guru dan dan murid akan terjejas. Maka, seorang guru yang professional haruslah memberikan layanan yang sama rata kepada murid-murid bagi mewujudkan hubungan yang positif di samping memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di bilik darjah. Teori perapatan yang diperkenalkan oleh Bowbly boleh digunakan untuk mencipta hubungan baik antara guru dan murid. Rozita (2014) menjelaskan bahawa teori perapatan Bowbly merujuk kepada hubungan emosi yang bertujuan untuk melahirkan perasaan selesa dan selamat apabila bersama individu yang lain. Dengan itu, guru sewajarnya mengaplikasikan teori perapatan Bowbly untuk menghapuskan jurang hubungan. Syahruan et al. (2015) turut mengatakan bahawa elemen penting dalam membentuk hubungan positif antara guru dan murid ialah perapatan. Oleh itu, ketidaksamaan layanan guru terhadap murid-murid merupakan salah satu implikasi stratifikasi sosial.


6 4.0 Penutup Secara keseluruhan, dapat disimpulkan bahawa kehidupan masyarakat dikategorikan secara hierarki dalam stratifikasi sosial. Hal ini bermaksud masyarakat yang berada dalam setiap lapisan hierarki tersebut mempunyai perbezaan dari segi status ekonomi, tahap pendidikan dan kekuasaan. Perkara ini telah menyebabkan berlakunya ketaksamaan sosial dalam kalangan masyarakat. Dengan itu, setiap individu perlu menerima hakikat bahawa mereka mempunyai hak dan keistimewaan yang berbeza untuk mengakses pelbagai peluang dalam kehidupan sosial. Kebiasaannya, golongan atasan mempunyai hak dan keistimewaan yang lebih besar berbanding golongan bawahan. Hal ini berpunca daripada status sosial yang dimiliki oleh golongan tersebut. Walau bagaimanapun, setiap individu berpeluang untuk meningkatkan taraf hidup dari semasa ke semasa. Hal ini kerana penyusunan kedudukan masyarakat dalam stratifikasi sosial tidak kekal selama-lamanya. Maka, usaha dan kesungguhan memainkan peranan yang sangat penting dalam membantu seseorang individu itu mengubah kedudukannya ke peringkat yang lebih baik. Oleh yang demikian, gambaran tentang tahap sosial yang dimiliki oleh setiap masyarakat dapat diterjemahkan melalui konsep stratifikasi sosial.


7 Rujukan Binti Maunah. (2015). Stratifikasi Sosial dan Perjuangan Kelas dalam Perspektif Sosiologi Pendidikan. Ta’allum Jurnal Pendidikan Islam, 3(1), 19-38. http://dx.doi.org/10.21274/taalum.2015.3.01.19-38 Idrul Hisham Ismail, Rosly Kayar, & Mohd Hanapiah Khamis. (2024). Sosiologi dalam Pendidikan. Local Publications (M) Sdn Bhd. Mairin Gosman, Mohamad Nizam Nazarudin, Zakiah Noordin, Azmain Saharin, & Siti Rozana Saili. (2020). Hubungan Penglibatan Ibu Bapa dan Peranan Guru dengan Pencapaian Akademik Pelajar Sekolah. International Research Journal of Education and Sciences, 4(1), 1-12. Mohd Shariha Mohamed Hussin, & Roslan Ab Rahman. (2020). Pengaruh Iklim Sekolah dan Komitmen Kerja Guru di Malaysia. Jurnal Penyelidikan Sains Sosial, 3(9), 101-113. Nurhidayani Abd Wahab. (2014). Hubungan Dinamik Antara Pendidikan Dengan Pertumbuhan Ekonomi. International Conference Technology Science Social Sciences Humanities. https://ir.uitm.edu.my/id/eprint/35562/1/35562.pdf Oyekola, I. A., & Oyeyipo, E. J. (2020). Social Stratification. In O. A. Ogunbameru (Ed.), Introductory Sociology (pp. 125-137). Obafemi Awolowo University, Press Limited. Raze Norshyahman Shahril, Hazrul Shahiri, Mustazah Mansur, & Aminudin Mokhtar. (2023). Kesan Ketakpadanan Pendidikan-Pekerjaan ke atas Guna Tenaga Sektor Awam. Jurnal Ekonomi Malaysia, 57(1), 21-32. http://dx.doi.org/10.17576/JEM-2023-5701-03 Rizqon Halal Syah Aji. (2015). Stratifikasi Sosial dan Kesedaran Kelas. Jurnal Sosial dan Budaya Syar’i, 2(1), 31-48. Rozita Wahab. (2014). Perkaitan Antara Perapatan Ibu Bapa, Perapatan Rakan Sebaya, Sokongan Sosial dan Kecerdasan Emosi Dalam Kalangan Delinkuen Melayu di Pusat Pemulihan Akhlak di Semenanjung Malaysia. [Ijazah Master Sains, Universiti Putra Malaysia]. Universiti Putra Malaysia. http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/52020/1/FEM%202014%2032RR.pdf Suci Budiati, & Saefur Rochmat. (2020). The Impact of Education on Social Stratification and Social Mobility in Communities in Indonesia. Proceedings of the 2nd International Conference on Social Science and Character Educations, 398, 75-78. https://doi.org/10.2991/assehr.k.200130.016 Syahruan Azan Ngadmid, Nur Surayyah Madhubala Abdullah, & Asmawati Suhid. (2015). Perapatan Hubungan Guru dan Murid serta Pengaruhnya terhadap Tingkah Laku Moral. Jurnal Perspektif, 7(1), 72-83.


Click to View FlipBook Version