KISAH SEEKOR MONYET
Seekor anak monyet berhasrat untuk melakukan suatu perjalanan jauh. Anak monyet sudah
berasa bosan dengan hutan tempat tinggalnya sekarang. Tambah-tambah lagi apabila
mendengar cerita dari kawan-kawannya tempat suatu tempat lain yang jauh lebih baik dari tempat
di mana dia tinggal.
Anak monyet akhirnya membulatkan hatinya untuk berhijrah. Dia yakin akan dapat mencari
kehidupan yang jauh lebih baik di tempat baru,
"Jangan risau. Aku hendak mencari kehidupan yang lebih baik.”
Anak monyet memujuk ibu dan ayahnya. Kedua-dua mereka berasa sedih untuk melepaskan
anak monyet pergi. Kedua-duanya bimbang jika anak monyet mendapat kesusahan di tempat
orang.
"Biarlah dia belajar hidup sendiri. Sampai bila dia perlu bergantung pada kita,” Si Ayah memujuk
isterinya agar rela dengan keputusan yang dibuat oleh anak mereka.
Maka pergilah anak monyet mencari hutan yang baru. Hutan yang didengarnya begitu gah dari
mulut jiran-jirannya sebelum ini. Anak monyet berhasrat untuk mendapat kehidupan yang lebih
baik daripada kehidupannya selama ini.
Masa terus berlalu dengan cepatnya. Suatu hari, ketika kedua-dua ibu bapanya sibuk mencari
makanan, mereka sangat terkejut melihat anak monyet sudah berada di rumah mereka.
Alangkah gembiranya mereka menyambut kepulangan anak monyet yang telah meninggalkan
mereka begitu lama.
“Aku tidak menemui hutan seperti yang diceritakan selama ini. Semua binatang yang aku jumpa
hanya mentertawakan aku apabila aku bertanya tentang hutan yang lebih baik dari tempat kita
sekarang ini.” Katanya ketika memeluk kedua orang tuanya.
“Sebenarnya hutan yang baik itu adalah hutan di mana kita tinggal. Kamu sudah pun berada di
tempat yang baik sejak dulu lagi. Kata seekor Gajah yang aku temui semasa dalam perjalanan,”
sambung anak monyet.
Ibu dan ayahnya hanya tersenyum mendengar cerita anak monyet itu.
“Benar anakku. Kadang-kadang kita sering melihat dan berfikir perkara yang jauh sedangkan
kita tidak berusaha melihat dan berfikir apa yang ada berhampiran kita.” Kata ayahnya sambil
menepuk-nepuk belakang anak monyet.
Anak monyet diam. Dia sedar banyak peluang telah dibiarkannya kerana terlalu tertarik dengan
cerita yang belum pasti kesahihannya.
Pengajaran dan hikmah dari cerita
1. Kita selalu tertarik dengan hal-hal orang lain sehingga ada ketikanya tidak memberi
perhatian terhadap perkara yang ada di sekeliling kita.
2. Terlalu sibuk dengan kejayaan orang lain sehingga melupakan keupayaan dan
keistimewaan yang ada pada diri sendiri.
3. Berfikir dahulu sebelum membuat sesuatu keputusan.
4. Dengar dan hargai pendapat orang lain kerana mereka mungkin lebih berilmu berbanding
kita.