1
PENGENALAN
Kamus Dewan Perdana (2020) merupakan produk terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka yang
berimpak tinggi yang dilaksanakan penyusunannya oleh Bahagian Perkamusan sejak tahun
1998. Kamus terbaharu ini mengandungi lebih kurang 120,000 entri dan subentri, yang lengkap
dengan pelbagai kata umum, istilah, dialek, kata bahasa serumpun, dan kata pinjaman, yang
dilengkapi dengan maklumat tambahan seperti sebutan, ejaan Jawi, kelas kata, label laras
penggunaan, contoh penggunaan, termasuk maklumat asal usul kata (etimologi), yang menjadi
tanda aras perkembangan, keunikan dan kehebatan perbendaharaan kata bahasa Melayu.
Oleh itu, menerusi penganjuran Kolokium Perkamusan Melayu: Kamus Dewan Perdana
Khazanah Unggul Negara ini diharapkan masyarakat dapat berkongsi ilmu dan kepakaran agar
maklumat tentang perbendaharaan kata bahasa Melayu, khususnya yang berkaitan dengan ilmu
leksikografi dapat didokumentasikan dan menjadi rujukan khalayak, sekali gus maklumat
tersebut disebarkan secara meluas dan pantas kepada pengguna dan pencinta bahasa.
Kolokium ini juga merupakan kesinambungan aktiviti Bahagian Perkamusan DBP untuk
memperkenalkan Kamus Dewan Perdana yang baharu diterbitkan kepada khalayak pengguna
bahasa Melayu serta menjadi jambatan silaturahmi antara penyusun kamus, para ilmuan dan
khalayak pengguna.
OBJEKTIF
Meneroka dan menggiatkan penyelidikan serta pemikiran tentang ilmu leksikografi pada
masa kini dan akan datang
Mengumpulkan hasil penyelidikan tentang penerbitan kamus khususnya Kamus Dewan
Perdana
Membina repositori dan wadah tentang ilmu perkamusan
Mempertemukan para cendekiawan/sarjana bahasa dengan khalayak peserta kolokium
Mempromosikan Kamus Dewan Perdana, terbitan DBP
2
ATUR CARA
KOLOKIUM PERKAMUSAN MELAYU:
KAMUS DEWAN PERDANA
KHAZANAH UNGGUL NEGARA
3
ATUR CARA
KOLOKIUM PERKAMUSAN MELAYU: KAMUS DEWAN PERDANA
KHAZANAH UNGGUL NEGARA
8.30 pagi : Pendaftaran
Sarapan
9.00 pagi : Ketibaan Tetamu Kehormat
Lagu Negaraku
Bacaan Doa
Ucapan Alu-aluan YBhg. Datuk Abang Sallehuddin bin Abg Shokeran,
Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka
Ucapan Perasmian YBhg. Tan Sri Syed Danial bin Syed Ahmad,
Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka
9.20 pagi : Pembentangan Kertas Kerja Kolokium Perkamusan Melayu: Kamus Dewan
Perdana Khazanah Unggul Negara
Kertas 1 : Kamus Dewan Perdana: Tinjauan Maklumat Etimologi
Pembentang
: YBhg. Profesor Antarabangsa Tersohor
Prof. Emeritus Dr. James T. Collins
Kertas 2 : Kamus Dewan Perdana: Yang Membangkitkan
Pembentang Persoalan dan Yang Memerlukan Penjelasan
: YBhg. Dr. Hasmidar binti Hassan
Sesi Soal Jawab
Kertas 3 : Penelitian Semula Makna “Masyarakat” dan “Warga”
Pembentang Kesan Perubahan Teknologi dan Sosial
: YBhg. Prof. Madya Dr. Hishamudin bin Isam
Kertas 4 : Sistem Ejaan Jawi bagi Kata Nama Khas dalam Kamus
Pembentang Dewan Perdana
: YBhg. Prof. Madya Dr. Adi Yasran bin Abdul Aziz
Kertas 5 : Kajian Kebergunaan Kamus Dewan Perdana
Pembentang : YBhg. Datin Dr. Hasnah binti Mohamad
YBhg. Dr. Junaini binti Kasdan
Sesi Soal Jawab
Pengerusi Sesi : YBrs. Dr. Rusmadi bin Baharudin
Ketua Bahagian Perkamusan
Penyampaian Cenderamata
Sesi Bergambar
1.00 tengah hari : Makan Tengah Hari dan Bersurai
Pengacara: Puan Mardhiah binti Othman
Pemimpin Bacaan Doa: Encik Dinie Asyraf bin Rodzi
4
PROFIL PEMAKALAH
DAN
ABSTRAK KERTAS KERJA
5
PROFIL PEMAKALAH
DAN
ABSTRAK KERTAS KERJA
YBhg. Profesor Antarabangsa Tersohor Prof. Emeritus Dr. James T. Collins
Prof. Emeritus Dr. James T. Collins merupakan ahli linguistik terkemuka
dalam bidang linguistik komparatif, leksikografi dan sosiolinguistik.
Bidang pengkhususan beliau meliputi bahasa-bahasa Malayo-
Polinesia dan beliau banyak memberikan sumbangan penyelidikan,
khususnya dalam bidang pengajian Austronesia. James T. Collins
memperoleh Ijazah Sarjana Muda dari St. Mary of the Lake University,
Illinois pada tahun 1968, Ijazah Sarjana dalam bidang linguistik
di Universiti of Chicago pada tahun 1975 dan Ijazah Doktor Falsafah
(PhD) (Linguistik) dari University of Chicago pada tahun 1980. Dengan
pengalaman dan kepakaran tersebut, beliau dilantik sebagai profesor
dalam bidang Linguistik Malayo-Polinesia pada tahun 1995 dan ber-
khidmat di Foreign Languages and Literatures, College of Liberal Arts and Sciences, Northern
Illinois University, Amerika Syarikat. Prof. Emeritus Dr. James T. Collins pernah dilantik sebagai
Peneliti Senior di Cornell University, Profesor bahasa Indonesia di University of Texas di El Paso,
Leiden University, Goethe University (Frankfurt), International Institute of Asian Studies (Belanda),
dan kini beliau berkhidmat sebagai Profesor dan Felo Penyelidik Utama di Universiti Kebangsaan
Malaysia. Beliau juga merupakan salah seorang pakar bidang etimologi yang dilantik oleh DBP
untuk turut sama terlibat dalam pembinaan Kamus Dewan Perdana (2020).
Kamus Dewan Perdana: Tinjauan Maklumat Etimologi
Abstrak
Kamus Dewan Perdana (KDP 2020) telah muncul di pentas sejarah sebagai kamus Melayu yang
terbaik sejak penerbitan Kamus Wilkinson (1932) hampir seratus tahun lalu. Antara aspek KDP
yang terserlah harus dipuji usaha untuk menampilkan maklumat etimologi dalam sebahagian
entrinya. Dalam tulisan ini, informasi etimologi KDP, termasuk informasi dalam entri yang
melibatkan kata warisan mahupun kata pinjaman, dipilih sebagai data yang dapat dibandingkan
dengan format dan kandungan dalam kamus umum lain. Selain itu, masalah kemusykilan dan
kelompongan maklumat etimologi KDP ditinjau juga. Dengan menyemak contoh-contoh pilihan
sedemikian, ternyata semua revisi pada maklumat etimologi dalam KDP harus berlandaskan
Prosedur Operasi Standard (SOP) yang seragam yang hendak dibincangkan dan diputuskan
bersama.
6
YBhg. Prof. Madya Dr. Hishamudin bin Isam
Prof. Madya Dr. Hishamudin bin Isam berkelulusan Ijazah Sarjana Muda
dan Sarjana dari Universiti Malaya dalam bidang Pengajian Melayu
(Bahasa dan Linguistik). Beliau menyambung pengajian peringkat Ijazah
Doktor Falsafah dalam bidang Linguistik di Pusat Pengajian Bahasa dan
Linguistik, Universiti Kebangsaan Malaysia. Kepakaran beliau dalam
bidang bahasa ialah bidang Semantik dan Pragmatik serta kajian budaya
Melayu. Beliau juga banyak menyiapkan penyelidikan dan menerbitkan
beberapa artikel jurnal, buku dan sebagainya dalam bidang tersebut.
Prof. Madya Dr. Hishamudin bin Isam turut terlibat dalam Pembangunan
Program Baharu Sarjana Muda Bahasa Melayu, Kolej Universiti Islam
Selangor, Pengajaran Tatabahasa Bahasa Melayu Berdasarkan Kaedah
Pembelajaran Berasaskan Masalah, Pembentukan Identiti, Personaliti dan Emosi Remaja Malaysia
dan Indonesia Berdasarkan Penggunaan Bahasa di Media Sosial Facebook, Pembangunan
Korpus Lisan Kosa Kata Dialek Kedah sebagai Warisan Linguistik Melayu, Direktori Kuih Tradi-
sional Malaysia, Indonesia dan Thailand: Perbandingan daripada Perspektif Motif, Bentuk, Fungsi
dan Falsafah, dan sebagainya.
Penelitian Semula Makna “Masyarakat” dan “Warga” Kesan Perubahan Teknologi dan
Sosial
Abstrak
Penulisan ini berhasrat meneliti semula makna bagi kata masyarakat dan warga kesan perubahan
teknologi dan sosial. Hasil selisikan awal daripada Tesaurus Bahasa Melayu Dewan (2015) serta
semakan daripada Kamus Dewan Edisi Pertama (1970) dan Kamus Dewan Perdana Cetakan
Kedua (2021) menunjukkan kedua-dua kata yang dikaji tidak bersinonim atau menunjukkan
perkaitan yang nyata. Walau bagaimanapun, hasil penelitian berdasarkan rujuk silang daripada
pangkalan data WebCorp menunjukkan kedua-dua kata berpotensi mempunyai kaitan kesan
perubahan teknologi dan perubahan sosial. Tiga kata yang mengikat perkaitan tersebut ialah kata
massa, siber dan Internet dan ketiga-tiga kata tersebut merupakan ciri yang menjelaskan maksud
perubahan teknologi dan perubahan sosial. Semakan daripada pangkalan data WebCorp juga
dapat memperincikan penggunaan kata masyarakat dan warga yang bukan sahaja memaparkan
definisi, malah dapat menjelaskan aktiviti, harapan dan tindak-tanduk yang melibatkan masyarakat
dan warga berkaitan massa, siber dan Internet. Penulisan ini boleh dijadikan langkah pemula
dalam menjelaskan ruang permasalahan bagi makna kata masyarakat dan warga, dan menjadi
pemangkin kepada ahli leksikografi untuk meneliti dan menyemak semula makna kedua-dua kata
ini untuk menambah baik entri dalam kamus sedia ada.
7
YBhg. Prof. Madya Dr. Adi Yasran bin Abdul Aziz
Prof. Madya Dr. Adi Yasran Abdul Aziz ialah Pensyarah di Jabatan
Bahasa Melayu dan Timbalan Dekan (Akademik dan Pelajar) di Fakulti
Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia. Beliau
memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang bahasa Melayu
dari Jabatan Pengajian Melayu, Fakulti Sastera dan Sains Sosial,
Universiti Malaya pada tahun 1995, Ijazah Sarjana Pengajian Bahasa
Moden dari Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya pada tahun
1999 dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Linguistik dari
Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan
Malaysia pada tahun 2005. Beliau merupakan Ahli Jawatankuasa Buku
Pedoman Umum Ejaan Jawi Bahasa Melayu Dewan, Pakar Rujuk Ejaan
Jawi Kamus Dewan Perdana, Yang Dipertua Persatuan Pencinta Tulisan
Jawi Selangor (PENJAWIS), Pembimbing Rancangan Klinik Jawi di radio IKIMfm dan mantan Ahli
Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu (JKTBM), Kementerian Pendidikan Malaysia. Beliau
berpengalaman dalam mengendalikan kursus tulisan Jawi, penulisan dokumen rasmi dan ceramah
berkaitan bahasa Melayu di peringkat kebangsaan. Atas sumbangan aktif tersebut, beliau
menerima Anugerah Citra Sahabat DBP 2020/2021 (kategori individu) oleh Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Sistem Ejaan Jawi bagi Kata Nama Khas dalam Kamus Dewan Perdana
Abstrak
Ejaan Jawi diberikan kepada hampir keseluruhan entri dan subentri dalam Kamus Dewan Perdana
(KDP) (2020). Ejaan Jawi dalam KDP adalah berdasarkan Pedoman Umum Ejaan Jawi Bahasa
Melayu (PUEJBM) yang termuat dalam Daftar Kata Bahasa Melayu: Rumi – Sebutan – Jawi
(DKBM) (2016). Namun begitu, dalam DKBM, panduan untuk mengeja kata nama khas adalah
terhad. Oleh itu, dalam Pedoman Umum Ejaan Jawi Bahasa Melayu Dewan (PUEJBMD) (2020)
telah dimasukkan satu bab khusus untuk membincangkan kata nama khas ini. Hal ini menyebabkan
berlaku sedikit perbezaan antara sistem ejaan dalam KDP dengan PUEJBMD yang memerlukan
penilaian semula dilakukan, terutama bagi kata nama khas. Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk
menilai semula sistem ejaan Jawi bagi kata nama khas yang terdapat dalam kedua-dua bahan
rujukan tersebut. Metodologi yang digunakan dalam kajian ini ialah analisis perbandingan antara
ejaan Jawi bagi kata entri dalam KDP yang dijadikan data kajian dengan sistem ejaan yang terdapat
dalam PUEJBMD untuk melihat sejauh manakah ejaan Jawi dalam KDP mematuhi PUEJBMD.
Hasil kajian mendapati bahawa kebanyakan kata entri dalam KDP mematuhi sistem ejaan yang
ditetapkan bagi kata nama khas dalam PUEJBMD, walaupun buku ini terbit lebih awal daripada
KDP. Walau bagaimanapun, masih terdapat sebilangan kecil entri yang perlu disemak semula
ejaan Jawi dan sebutannya kerana didapati tidak selaras dengan kaedah ejaan yang diberikan
dalam PUEJBMD. Dalam hal ini, PUEJBMD juga perlu disemak semula bagi tujuan penye-
larasannya dengan KDP bagi sesetengah kata nama khas. Namun begitu, perbezaannya sangat
kecil jika dibandingkan dengan persamaannya yang telah dimanfaatkan oleh semua pengguna
KDP dan PUEJBMD.
8
YBhg. Dr. Hasmidar binti Hassan
Dr. Hasmidar binti Hassan ialah Pensyarah Kanan Bahagian Linguistik
Bahasa Melayu di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains
Malaysia, Pulau Pinang. Dr. Hasmidar memulakan kerjayanya sebagai
guru bahasa di Pusat Bahasa dan Terjemahan, Universiti Sains
Malaysia pada tahun 1995. Pada tahun 2000 hingga 2005, beliau
melanjutkan pelajaran pada peringkat Ijazah Sarjana (Bahasa Melayu)
di Universiti Sains Malaysia dan Ijazah Doktor Falsafah (Linguistik) di
Universiti Kebangsaan Malaysia. Pada September 2016, beliau
berpindah ke Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Bagai-
manapun, pada bulan September 2019, beliau meletakkan jawatan
sebagai Pensyarah Kanan dan memulakan tugas sebagai Perunding
Akademik bagi Syarikat Brainy Bunch Sdn. Bhd. Selain itu, beliau juga terlibat dengan kerja-kerja
perundingan program diploma baharu di Raudhah College, Cyberjaya. Dr. Hasmidar telah menulis
lebih daripada 20 makalah yang berkait dengan bidang tatabahasa, pragmatik, terjemahan,
pengajaran dan pembelajaran yang termuat dalam jurnal, kertas kerja, majalah dan buku. Beliau
sering dijemput sebagai penceramah bagi kursus tatabahasa, semantik dan pragmatik, di samping
dilantik sebagai pakar rujuk Bahasa Melayu Kertas Tiga STPM oleh Majlis Peperiksaan Malaysia.
Kamus Dewan Perdana: Yang Membangkitkan Persoalan dan Yang Memerlukan
Penjelasan
Abstrak
Kamus Dewan Perdana (KDP) merupakan kamus bahasa Melayu yang pertama di dunia yang
memanfaatkan data korpus dan laman sesawang sebagai sumber data. Data raya daripada
pelbagai sumber ini membolehkan pelbagai data diperoleh dan dirakamkan. Berdasarkan entri atau
masukan kata dan makna kamus yang diberikan, ternyata penggunaan kamus ini menuntut
pengetahuan latar belakang yang baik tentang bahasa Melayu dan aspek tatabahasa dan hal ini
bukanlah semudah yang disangkakan. Justeru, kertas kerja ini mengetengahkan beberapa isu
morfologi dan semantik yang kelihatan menuntut penjelasan lanjut dan perlu dirungkaikan bersama
berdasarkan beberapa kata entri terpilih yang terdapat dalam KDP. Bagi menjelaskan kekeliruan
ini, kajian ini turut memanfaatkan sumber rujukan utama KDP, iaitu Kamus Dewan Edisi Keempat
dan sumber rujukan utama bagi kelas kata seperti yang tersebut pada halaman xvii. Sekiranya
kekeliruan ini tidak dirungkai, kesannya terhadap pengguna khususnya para pelajar, para guru,
mahasiswa di institusi pengajian tinggi dan orang awam amat besar. Oleh itu, bagi memastikan
bahasa Melayu terus mampan dan martabat bahasa Melayu terus diangkat dan dijulang, KDP
harus membuktikan kewibawaannya sebagai rujukan yang sahih dan diperakui kepada pengguna
amnya dan tidak terhad pada pengguna yang mempunyai latar belakang linguistik bahasa Melayu
atau penguasaan bahasa Melayu yang tinggi.
9
YBhg. Dr. Junaini binti Kasdan
Sebelum bergiat dalam bidang akademik, Dr. Junaini binti Kasdan
bertugas sebagai Pegawai Perancang Bahasa di Dewan Bahasa dan
Pustaka, Malaysia (1998 – 2012), membolehkan beliau menguasai
bidang Terminologi (Peristilahan) dan Leksikologi dengan baik. Pada
tahun 2012 hingga 2015, beliau berkhidmat di Universiti Malaysia
Perlis (UniMAP) sebagai Pensyarah Kanan di Pusat Bahasa
Antarabangsa merangkap Timbalan Pengarah, Pusat Pembangunan
Korporat dan Pengurusan Kualiti dan Strategi (PUSPEKS), yang
banyak memberikan pendedahan kepada beliau tentang pengurusan
kualiti dan strategi. Sejak tahun 2015 hingga kini, beliau berkhidmat
di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM sebagai Felo
Penyelidik, berjawatan hakiki sebagai Pensyarah. Tumpuan penyeli-
dikan beliau ialah Terminologi, Terminografi, Leksikologi dan Morfosemantik. Pada masa yang
sama, minat beliau untuk menalikan bidang bahasa dengan disiplin-disiplin ilmu yang lain
mendorong beliau untuk turut menekuni bidang Linguistik Terapan, Teknolinguistik, Geolinguistik,
Korpus Linguistik serta Filologi; sesuai dengan ilmu yang diperolehnya sewaktu menuntut di
Universitas Airlangga (UNAIR), Surabaya, Indonesia. Beliau turut menjadi Editor untuk International
Journal of the Malay World and Civilisation dan Jurnal Linguistik Malaysia.
YBhg. Datin Dr. Hasnah binti Mohamad
Datin Dr. Hasnah binti Mohamad ialah mantan Pensyarah Kanan di
Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi,
Universiti Putra Malaysia. Beliau mempunyai kepakaran dalam bidang
Linguistik Terapan (Leksikografi dan Terminografi) (UKM). Sebelum
bertugas di UPM, beliau pernah bertugas sebagai Pegawai
Perancang Bahasa di Dewan Bahasa dan Pustaka selama 15 tahun,
dan pernah dipinjamkan ke Hankuk University of Foreign Studies
(Mac 2011 hingga Februari 2012) untuk mengajarkan bahasa Melayu
kepada penutur asing di Korea. Kajian beliau banyak tertumpu
kepada bidang Terminologi dan Terminografi (Peristilahan dan
Penyusunan Kamus Istilah), Leksikografi (Penyusunan Kamus), dan
Semantik Leksikal. Antara hasil penerbitan beliau ialah Pembentukan Istilah Sains Kesihatan oleh
Pengguna dalam Teks Umum Bahasa Melayu, Murut Language Variation in Sipitang Sabah,
Domain dan Bahasa Pilihan Tiga Generasi Etnik Bajau Sama Kota Belud, dan Entri Dialek Kelantan
Gasor dari Aspek Pentakrifan Semantik.
Kajian Kebergunaan Kamus Dewan Perdana
Abstrak
Kamus Dewan Perdana (KDP) (2020) merupakan kamus bahasa Melayu pertama di dunia, yang
memanfaatkan sumber data daripada korpus yang dibangunkan oleh DBP dan juga data Internet.
Kamus ini merakamkan perkembangan kosa kata bahasa Melayu dalam tempoh lebih daripada
satu abad dengan jumlah entri melebihi 120,000 kata akar dan kata terbitannya. Kajian Keber-
gunaan KDP ini dijalankan untuk mencapai tiga objektif, iaitu pertama untuk mengenal pasti tujuan
penggunaan KDP dalam kalangan pengguna; kedua untuk menganalisis pengetahuan pengguna
tentang KDP; dan ketiga untuk menghuraikan keupayaan pengguna memahami maklumat dalam
KDP. Metodologi kajian melibatkan pendekatan kuantitatif menggunakan soal selidik yang diedar-
kan kepada pengguna kamus melalui Google Forms. Sebanyak 74 borang soal selidik telah
diterima daripada pengguna.Dapatan kajian menunjukkan bahawa 41.3% pengguna menggunakan
KDP untuk tujuan penulisan. Sebanyak 97.9% (52.2% Setuju, 45.7% Sangat setuju) pengguna
didapati mempunyai pengetahuan tentang kepentingan merujuk panduan pengguna; dan 60.9%
pengguna tahu membezakan pelbagai maklumat yang dipaparkan dalam KDP. Secara keselu-
ruhannya, kajian mendapati bahawa pelbagai maklumat dalam KDP berupaya membantu
pengguna untuk menyelesaikan masalah bahasa yang dihadapi.
10
KAMUS DEWAN PERDANA
KHAZANAH UNGGUL NEGARA
11
KAMUS DEWAN PERDANA
KHAZANAH UNGGUL NEGARA
Kamus Dewan Perdana (KDP) ialah kamus baharu yang diusahakan oleh Dewan Bahasa dan
Pustaka. Kamus ini merupakan kamus bahasa Melayu yang pertama di dunia yang memanfaatkan
sumber data daripada pangkalan data korpus yang dibangunkan oleh DBP dan juga data Internet.
Data korpus yang besar dan luas ini membolehkan para penyusun kamus memanfaatkan data secara
optimum untuk menghasilkan pemerian makna kata yang jitu dan dapat diandalkan.
Kamus ini merakamkan perkembangan kosa kata bahasa Melayu dalam tempoh lebih
daripada satu abad dengan jumlah entri melebihi 120,000 kata akar dan kata terbitannya. Kata-kata
baharu yang muncul hasil daripada kepesatan perkembangan ilmu dan keperluan komunikasi
semasa turut dirakamkan di dalam kamus ini. Kata-kata baharu ini terdiri daripada kata umum, istilah
khusus, kata dialek, slanga dan lain-lain. Kata nama khas seperti nama tokoh, negara, anugerah,
dasar negara dan keajaiban dunia yang sebelum ini tidak terdapat dalam Kamus Dewan turut
dijadikan kata masukan. Sebagai usaha rintis, beberapa imbuhan awalan, akhiran dan apitan terpilih
dalam bahasa Melayu turut dihuraikan. Setiap kata masukan disertakan dengan maklumat baharu
seperti ejaan Jawi, sebutan, kelas kata, nota pengguna bagi kata yang tertentu dan maklumat
etimologi bagi kata yang terpilih.
Dalam KDP, maklumat kelas kata terdiri daripada kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata
tugas. Kata kerja dipecahkan kepada kata kerja transitif dan kata kerja tak transitif, manakala kata
tugas pula dibahagikan kepada kata adverba, kata seru, kata hubung, kata sendi, kata bilangan, kata
nafi, kata bantu, kata perintah, kata tanya, kata pangkal ayat, kata penegas, kata penekan, kata
pembenar, kata pembenda, kata pemeri dan kata penguat.
Julung-julung kalinya kamus terbitan DBP memasukkan maklumat etimologi. Sebanyak 7000
kata yang terpilih telah diberikan maklumat etimologinya dalam KDP dengan sebahagian besar
olahannya disediakan oleh pakar etimologi bahasa Melayu. Nota pengguna pula mengandungi
maklumat tambahan bagi sesuatu kata yang dipaparkan di dalam kotak atau kurungan, dan bertujuan
untuk membimbing pengguna dari segi penggunaan kata tersebut.
Pengguna sasaran utama kamus ini ialah penutur asli bahasa Melayu dan bukan penutur asli
tetapi mahir menggunakan bahasa Melayu, yang secara umumnya pengguna dewasa yang terdiri
daripada pelbagai lapisan masyarakat, latar belakang pendidikan dan bidang pengkhususan. Kamus
ini tampil dalam saiz yang lebih besar dengan reka letak yang terbahagi kepada tiga lajur serta susun
atur kata masukan yang menurut abjad dan maklumat bahasa yang mudah dibaca dan difahami
pengguna.
12
ANTARA CIRI KEISTIMEWAAN
KAMUS DEWAN PERDANA
13
JAWATANKUASA PELAKSANA
KOLOKIUM PERKAMUSAN MELAYU:
KAMUS DEWAN PERDANA
KHAZANAH UNGGUL NEGARA
14
JAWATANKUASA PELAKSANA KOLOKIUM PERKAMUSAN MELAYU:
KAMUS DEWAN PERDANA KHAZANAH UNGGUL NEGARA
Penasihat Bersama : Puan Fauzilahyatun binti Mustafa
: Tuan Haji Razali bin Che Mat
Pengerusi Bersama : Dr. Rusmadi bin Baharudin
: Dr. Rosmani binti Omar
Naib Pengerusi : Puan Zuraini binti Yeop Ahmad
Setiausaha : Puan Rohana binti Abdul Rahman
Penolong Setiausaha : Puan Farah Idayu binti Johari
Bendahari : Encik Mohd Fetri Shah bin Mokhtar
JAWATANKUASA UNDANGAN, JAWATANKUASA PENERBITAN DAN
PENDAFTARAN DAN PROTOKOL PUBLISITI
1. Encik Sharrul Rizal bin Hashim 1. Puan Siti Norsuhaila binti Samsudin
2. Puan Salona binti Salleh 2. Puan Zaiton binti Darois
3. Puan Nor Amira binti Rosli 3. Puan Nurulhuda binti Mohd Ali
4. Puan Norihan binti Rosli 4. Puan Nor Asma binti Ab. Aziz
5. Puan Nurul Ain binti Adnan 5. Puan Malissa binti Ab. Malik
6. Puan Nurul Aina binti Borhan
7. Encik Guslin bin Madrah JAWATANKUASA PENGURUSAN ACARA
DAN CENDERAMATA
JAWATANKUASA KESELAMATAN DAN
KEBAJIKAN 1. Puan Yusnizamawar binti Mohd Anuar
2. Puan Mardhiah binti Othman
1. Encik Rusman bin Yaacob 3. Puan Suria binti Ngah
2. Puan Fazira binti Mokhtar 4. Puan Nur Rasyidah binti Ab. Lah
3. Puan Fadhila binti Ahmad
4. Encik Mohd Syafiq bin Md. Badri JAWATANKUASA JAMUAN
5. Encik Aidi bin Paiman
1. Puan Zaiton binti Darois
JAWATANKUASA TEKNIKAL DAN 2. Puan Siti Hazlinda binti Mohd Zulkifli
DOKUMENTASI 3. Puan Nor Azita binti Umar
4. Puan Ruziati binti Abdul Rani
1. Puan Naimah binti Yusof 5. Puan Nurul Shaheza binti Zamri
2. Encik Mohd Fetri Shah bin Mokhtar 6. Encik Mohd Syukri bin Anwar
3. Encik Jamil bin Anuar 7. Puan Nurhanna Izzati binti Abdul Raof
4. Encik Mohd Shafiq bin Md. Ismail
5. Puan Nurul Syafikah binti Kassim JAWATANKUASA TEMPAT, KEMUDAHAN
6. Encik Nazrul J. Izzat bin Yaakob DAN PENGANGKUTAN
7. Encik Muhammad Zulhusni Aiman bin
1. Encik Hasmadi bin Mohd Ali
Zamharir 2. Encik Md. Shukuri bin Hamzah
8. Encik Hanafi bin Mohd Yusof 3. Tuan Syed Mohd Yasir bin Syed Ahmad
9. Encik Mohd Sany bin Mhd Fadzil 4. Encik Mohd Fetri Shah bin Mokhtar
15
SEKALUNG BUDI SEJAMBAK KASIH
Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih atas kerjasama
semua pihak dalam menjayakan Kolokium Perkamusan Melayu:
Kamus Dewan Perdana Khazanah Unggul Negara
Kuning emas masaknya padi,
Mawar merah dalam jambangan;
Terima kasih daun keladi,
Budi tuan jadi kenangan.
Akar keladi melilit selasih,
Selasih tumbuh di hujung taman;
Kalungan budi junjungan kasih,
Mesra kenangan sepanjang zaman.
16