Di sebuah hutan yang lebat, terdapat seekor harimau perkasa yang digeruni oleh setiap haiwan sehingga dijuluki sebagai Raja Hutan. Sang Raja terkenal kerana sangat mengerikan, tidak mengenal rasa takut dan dia berasa harus dihormati oleh semua makhluk yang ada di hutan. Dia menghabiskan sebahagian waktunya dengan berburu manakala sebahagian lagi untuk tidur.
Di hutan itu, tidak ada makhluk hidup yang berani mendekati sarangnya terutama saat sang raja sedang tidur. Binatang perkasa itu sangatlah marah jika tidurnya terganggu dengan cara apa pun dan sesiapa pun.
Akan tetapi, suatu hari Si Tikus terasa sangat ingin melihat kewujudan sarang “Harimau Si Raja Hutan”. Dengan tekad yang bulat, dia berangkat ke gua di tempat Si Harimau selalu berehat. Namun, ketika dia sampai, dia tidak melihat kelibat sang raja di mana-mana pun.
“Dia tiada di sini, pasti dia sedang berburu. Adakah dia akan segera pulang?” soal Si Tikus di dalam hati.
Untuk memuaskan perasaan ingin tahunya, Si Tikus kecil menyelinap ke dalam gua. Gua itu sangatlah gelap, namun jejak kaki sang raja terlihat jelas di tanah membuatnya menggigil ketakutan kerana saiz tapak kaki itu yang hampir sama dengan saiz badannya.
“Nampaknya saya perlu keluar dengan segera, ” fikir si tikus. Namun malang sekali, ketika itu terdengar suara langkah kaki Si Harimau memasuki gua.
“Oh, tidak! Dia telah pulang, apa yang harus saya lakukan, ” Si Tikus gementar. Rupa-rupanya Harimau Si Raja Hutan hanya keluar untuk minum di sungai berdekatan lalu pulang untuk meneruskan tidurnya.
Si Tikus bersembunyi di sebalik batu besar dan melihat bayangan besar Si Harimau jatuh ke lantai. Raja Hutan itu duduk berhampiran pintu masuk gua dan berehat dengan kepala yang diletakkan di atas kakinya yang besar. Kemudian, Si Harimau pun tidur dengan lena. Seluruh gua kelihatan bergetar kerana dengkuran keras Si Raja Hutan.
Si Tikus pun mengambil peluang ini untuk melarikan diri. Dia cuba merayap keluar secara diam-diam dan berjaya tiba di pintu masuk gua. Namun, ketika dia berusaha untuk melalui harimau itu, ekor kecilnya menyentuh kaki kiri Sang Raja Hutan menyebabkan penguasa hutan itu terbangun dek terkejut. Si Harimau yang marah kerana tidurnya diganggu, bertambah murka ketika melihat terdapat seekor tikus kecil di sarangnya.
Walaupun takut, Si Tikus segera memikirkan jalan keluar untuk menyelamatkan diri. Dia mencuba untuk melarikan diri namun malang sekali berjaya ditangkap oleh Si Harimau. Sang Raja Hutan membuka rahang untuk menelan tubuh si tikus kecil yang kasihan itu.
Si Tikus segera teriak meminta maaf kepada rajanya. “ Jangan! Jangan makan saya! Maafkan saya, Raja Hutan! Saya tidak sengaja untuk membangunkan Yang Mulia, saya cuma ingin melihat gua ini dan kemegahan sarang Raja Hutan. Mohon biarkan saya pergi kali ini dan saya akan ingat belas kasihan Yang Mulia. Saya pasti akan membalas jasa Yang Mulia pada suatu hari nanti dengan apa-apa cara sahaja.”
Si Harimau berasa geli hati mendengar ucapan Si Tikus. Bagaimana tikus kecil ini dapat membantunya? Tetapi dia tetap membiarkan tikus kecil itu pergi lalu ketawa terbahak-bahak. Si Tikus berlari menjauhi gua itu untuk menyelamatkan hidupnya, dia sangat berterima kasih kepada Sang Raja Hutan yang tidak jadi memakannya.
Beberapa hari kemudian, Si Harimau pergi mengelilingi hutan seperti biasa. Tinggi sekali kepalanya mendengar pujian daripada haiwan-haiwan lain.
Tanpa dia sedar, kakinya terpijak jerat pemburu sehingga dia terperangkap. Sedaya upaya dia berusaha untuk membebaskan diri dengan menggigit dan mencakar tali perangkap itu. Malangnya, semua usaha Si Harimau tidak membuahkan hasil kerana badan besarnya menyebabkan pergera kannya terbata s. Sebaliknya, jerat itu melilit tubuh badan Si Harimau dengan lebih kuat. Dia pun meraung kesakitan bercampur amarah
Seluruh hutan mulai bergetar kerana suara aum mengerikan Si Harimau. Burung- burung di dalam hutan itu berterbangan melarikan diri. Walaupun mereka tahu Sang Raja perlukan bantuan, tiada haiwan pun yang berani menghampiri. Suara ngauman Si Harimau semakin kuat meminta tolong sehingga semua haiwan dapat mendengarnya termasuk Si Tikus.
“Alamak, Raja Hutan berada dalam kesusahan, inilah masanya saya membalas budi Raja Hutan, ” fikir Si Tikus. Tanpa melengahkan masa, Si Tikus berlari secepat mungkin menuju ke tempat suara Si Harimau kedengaran. Tidak lama kemudian, Si Tikus berjaya menemui Si Harimau yang terperangkap dalam jerat pemburu.
“Jangan bergerak Raja Hutan, saya akan memotong tali ini supaya Raja dapat keluar, ” ucap Si Tikus kepada Si Harimau yang semakin tidak berdaya. Tanpa rasa takut sedikit pun, Si Tikus mula memotong tali-tali jerat itu menggunakan gigi kecilnya yang tajam. Maka, Si Harimau pun bebas daripada perangkap itu.
“Terima kasih Si Tikus, saya tidak menyangka bahawa kamu yang kecil ini juga dapat membantu saya. Selama ini saya terlalu sombong hanya kerana saya berbadan besar dan mempunyai gigi taring. Saya terhutang budi dengan kamu, ” kata Si Harimau dengan rendah hati.
“Tidak mengapa Raja Hutan, saya juga ingin berterima kasih kerana melepaskan saya pada hari itu sehingga saya dapat membantu Raja Hutan kini, ” jawab Si Tikus. Sejak hari itu, Si Harimau tidak pernah memandang rendah haiwan lain dengan mudah.
Tema Buat baik dibalas baik dan sesiapa sahaja mempunyai kebolehan untuk membantu orang lain tanpa melihat saiz badan dan kehebatan.
Nilai • Baik hati • Si Harimau melepaskan Si Tikus selepas mendengar rayuannya. • Mengenang budi • Si Tikus menyelamatkan Si Harimau yang tidak jadi memakannya sebelum ini. • Rendah diri • Si Harimau berterima kasih kepada Si Tikus yang jauh kecil daripadanya.
Pengajaran Kita mestilah menolong orang yang berada dalam kesusahan. Kita juga perlulah mengenang jasa orang yang telah membantu kita. Jadilah orang yang rendah diri dengan tidak memandang remeh kepada kebolehan orang lain kerana mereka juga berkemampuan untuk membantu kita pada suatu hari nanti.