Kata-Kata Aluan Assalamualaikum dan salam sejahtera. Alhamdulillah...syukur kepada Allah dengan izin dan limpah kurniaNya, saya dengan bantuan penyelia ijazah sarjana saya, Dr Nor Azwa Hanum bin Nor Shahid telah berjaya menerbitkan Modul Penulisan Naratif Komik – STEAM. Modul ini juga terhasil mengikut idea dan pandangan yang telah diberikan oleh beberapa orang guru iaitu, Cikgu Nur Shera Nabilah binti Abdul Aziz (Guru Bahasa Melayu), Cikgu Hafiz bin Hamdan (Guru Sains dan RBT), Cikgu Norlisuryati binti Ramli (Guru Matematik dan RBT), dan Pelukis Komik iaitu Encik Mohammad Nazry Abdul Salam serta Cikgu Sitrahaslee bin Jamil. Modul ini dirangka khas sebagai bahan bantu guru untuk memupuk kreativiti dan imaginasi, serta memperkayakan lagi pengalaman membaca murid melalui dunia komik yang penuh warna dan cerita menarik. Dalam modul ini, kami menyediakan pelbagai latihan untuk meningkatkan kemahiran menulis naratif murid bertemakan pendekatan STEAM serta sarat dengan pengajaran, nilai-nilai murni, dan teladan yang boleh dijadikan panduan dalam kehidupan seharian. Pembinaan modul penulisan naratif komik ini adalah hasil kerjasama erat antara penulis dan ilustrator yang berpengalaman. Setiap satunya dihasilkan dengan teliti untuk memastikan kualiti yang terbaik. Kami percaya bahawa melalui medium komik, pembelajaran dan penyampaian mesej dapat dilakukan dengan lebih berkesan dan menyeronokkan. Murid-murid akan dapat menikmati setiap helaian latihan naratif komik yang disajikan, sambil memperoleh pengetahuan baharu serta perspektif yang lebih luas. Kami juga berharap modul ini dapat menjadi alat bantu yang berguna kepada para pendidik dalam menyampaikan bahan pembelajaran dengan cara yang lebih kreatif. Melalui pendekatan visual dan naratif yang menarik, kami yakin murid akan lebih berminat dan terlibat dalam proses pembelajaran mereka. Akhir kata, kami mengucapkan ribuan terima kasih atas sokongan anda semua. Kami berharap modul naratif komik ini dapat memberikan pengalaman belajar yang menyenangkan dan bermanfaat. Semoga setiap latihan yang terkandung di dalamnya dapat meningkatkan kemahiran menulis naratif serta kreativiti murid secara ansur maju Sekian, terima kasih.
Pengenalan Modul Penulisan Naratif Komik – STEAM Belajar kemahiran menulis Naratif Komik- STEAM mengikut kemajuan bahasa Melayu murid sekolah rendah merupakan satu usaha untuk meningkatkan penguasaan murid dalam kompentensi menulis ayat sehingga menjadi satu karangan naratif komik. Kami berhasrat untuk memastikan semua murid kecuali murid berkeperluan khas, dapat menguasai kemahiran menulis ini secara beransur maju. Bahagian ini membincangkan pelbagai aspek berkaitan Modul Penulisan Naratif Komik- STEAM termasuk sejarah ringkas, dasar KPM, matlamat dan objektif modul ini serta kemahiran dalam Modul Penulisan Naratif Komik – STEAM. Semua guru bahasa Melayu sedar bahawa kemahiran menulis merupakan aspek penting dalam pendidikan di Malaysia, terutama bagi murid-murid sekolah rendah. Kemahiran menulis tidak hanya membantu murid untuk mengembangkan kemampuan berbahasa, tetapi juga merangsang pemikiran kritis dan kreativiti. Dalam konteks pendidikan Malaysia, penulisan merupakan salah satu kemahiran asas yang perlu dikuasai oleh setiap murid. Dengan kemahiran menulis yang baik, murid dapat secara efektif mengekspresikan pendapat dan idea mereka, yang merupakan aspek penting dalam proses pembelajaran. Oleh itu, penting bagi sistem pendidikan Malaysia untuk memberi penekanan yang lebih besar kepada pembangunan kemahiran menulis dalam kurikulum sekolah rendah. Pembangunan kemahiran menulis perlu dimulai sejak awal pendidikan murid-murid sekolah rendah. Guru-guru perlu memberi perhatian khusus dalam melatih murid untuk menulis dengan jelas dan teratur. Selain itu, penggunaan teknik pengajaran yang kreatif dan inovatif juga dapat membantu dalam memupuk minat murid terhadap kemahiran menulis. Misalnya, aktiviti-aktiviti seperti menulis cerita Sejarah Ringkas Modul Penulisan Naratif Komik - STEAM
bersambung, membuat jurnal, atau mengarang puisi dapat menjadi cara yang menarik untuk melibatkan murid dalam proses penulisan. Kepelbagaian sumber bahan dapat menghindarkan kebosanan, keperluan untuk mengenal pasti kebolehan, dan menarik minat murid untuk meningkatkan kemahiran menulis. Dengan menyedari perkara ini, guru Bahasa Melayu perlu mempertimbangkan kaedah pembelajaran yang memberi lebih ruang kepada murid untuk bereksperimen dengan kreativiti dalam penulisan. Langkah-langkah seperti menggunakan aktiviti kreatif seperti permainan peranan, perbincangan kumpulan, dan penulisan bebas boleh membantu dalam memecahkan kebiasaan konvensional yang mungkin menjadi halangan dalam pembelajaran menulis karangan naratif. Rentetan daripada masalah yang dihadapi oleh guru dan murid dalam menguasai kemahiran menulis karangan naratif, dirasakan bahawa bahan pembelajaran dan pengajaran individu seperti modul penulisan naratif komik wajar dibangunkan bagi meningkatkan kemahiran menulis murid dan disesuaikan dengan penggalakkan pembelajaran berasaskan pendekatan STEAM. Pembinaan modul ini adalah satu usaha untuk membantu memudahkan murid-murid menghasilkan penulisan naratif menggunakan strip komik dan menulis dengan menggunakan ayat yang gramatis serta tatabahasa yang betul. Modul ini boleh dijadikan sebagai bahan bantu mengajar (BBM) kepada guru Bahasa Melayu yang mahukan penerapan pemahaman, kemahiran, reka cipta, kreativiti dan inovasi dalam diri murid.
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 merangkumi strategi dan inisiatif untuk meningkatkan kualiti sistem pendidikan negara. Melalui pelan ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhasrat untuk melahirkan pelajar yang mahir dalam bahasa Melayu dan berkemampuan menulis dengan baik serta memiliki jati diri yang kukuh dalam bahasa tersebut. Untuk mencapai matlamat ini, sebanyak 14 program telah dirancang di bawah Inisiatif Pemartabatan Pendidikan Bahasa Melayu, yang merupakan hasil daripada Makmal Bahasa Melayu yang diadakan pada tahun 2016. Anjakan kedua dalam PPPM 2013-2025 menekankan usaha memastikan setiap pelajar menguasai kemahiran dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris, serta digalakkan mempelajari bahasa tambahan. Kerajaan juga telah memperkenalkan Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) untuk melahirkan murid yang fasih dan yakin dalam kedua-dua bahasa tersebut. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah dijamin oleh Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan sejak kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 dan pembentukan Malaysia pada 16 September 1963. Kepelbagaian kaum, agama, dan budaya dalam masyarakat telah mencorakkan kehidupan di Malaysia menjadi unik, sekali gus menyokong perpaduan dan identiti nasional melalui bahasa Melayu sebagai alat penyatuan. Menurut Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim, seorang warga Malaysia perlu menguasai bahasa kebangsaan, bahasa Inggeris, dan sebaiknya, bahasa ketiga atau keempat. Bahasa kebangsaan adalah simbol kedaulatan negara dan jati diri bangsa. Identiti nasional perlu dipupuk sejak kecil dan berkait rapat dengan rasa bangga dan cinta terhadap bahasa kebangsaan serta negara. Pada abad ke21, pelbagai cabaran dalam memperkukuh identiti nasional termasuklah era Dasar KPM Mengenai Bahasa Melayu Memartabatkan Bahasa Melayu
globalisasi, kemajuan sains dan teknologi, serta peningkatan perpaduan dan kepentingan bahasa Inggeris. Pendekatan STEM berasal dari singkatan SMET yang merangkumi Sains, Matematik, Kejuruteraan, dan Teknologi. National Science Foundation (NSF) kemudian menyusun semula kepada STEM untuk memudahkan sebutan dan mengukuhkan makna setiap unsur. Di Malaysia, STEM merujuk kepada dasar pendidikan dan pilihan kurikulum sekolah yang bertujuan meningkatkan daya saing dalam bidang sains dan teknologi. Ini dinyatakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM 2013-2025) yang menekankan pendidikan STEM di peringkat sekolah melalui aktiviti kurikulum dan kokurikulum dengan sokongan pelbagai pihak berkepentingan. Kini, terdapat peralihan daripada STEM kepada STEAM, yang menggabungkan unsur seni (A) dalam pembelajaran sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik. Peralihan ini memberikan sinergi yang lebih kukuh berbanding penggunaan elemen-elemen tersebut secara berasingan. Pendekatan STEAM dibina atas prinsip bahawa STEM dan seni berfungsi lebih berkesan apabila digabungkan, bukan sekadar sebagai subjek tambahan. Hubungan antara seni dan sains bukanlah konsep baru dan telah wujud sejak zaman pemikir seperti Da Vinci. Gerakan dari STEM ke STEAM membawa bahasa baru dalam membentuk pemikiran merentas disiplin. Kajian menunjukkan bahawa seni visual dapat meningkatkan kognisi dalam pendidikan STEM dan pengajaran yang menggabungkan seni membawa lebih banyak motivasi, keterlibatan, dan impak terhadap pembelajaran STEM. Penggabungan seni dalam pendidikan STEM memberikan dimensi holistik kepada murid, merangsang kreativiti, pemikiran kritis, serta kemampuan menyelesaikan masalah, berkomunikasi, dan bekerjasama. Mengangkat Pendekatan STEAM
Dalam konteks pendidikan sekolah rendah, komik sebagai elemen STEAM boleh digunakan untuk meningkatkan pembelajaran dan menjadikannya lebih menarik. Komik melibatkan penceritaan yang menarik dan watak-watak yang mengujakan untuk menjadikan pembelajaran menyeronokkan. Ia boleh digunakan dalam pelbagai cara, termasuk permainan bahasa, kuiz interaktif, dan aktiviti pembelajaran lain yang menggabungkan elemen didik hibur. Tujuan Modul Penulisan Naratif Komik – STEAM dibangunkan adalah untuk membantu murid meningkatkan kemahiran menulis dalam bahasa Melayu. Modul ini memberi penekanan kepada bimbingan berfokus berdasarkan kompentensi yang disusun secara berperingkat bagi memastikan murid dapat menguasai kemahiran asas berbahasa Malaysia. Pelaksanaan Modul Penulisan Naratif Komik- STEAM ini adalah selari dengan hasrat KPM yang ingin melahirkan murid yang mahir dalam bahasa Melayu dan berkemampuan menulis dengan baik, ditambah dengan komik sebagai elemen STEAM yang boleh digunakan untuk meningkatkan pembelajaran dan menjadikannya lebih menarik. ▪ Menyelesaikan masalah murid yang tidak menguasai kemahiran menulis ayat ▪ Menarik minat murid untuk meningkatkan kemahiran menulis melalui cara yang lebih interaktif. ▪ Meningkatkan daya kreativiti murid dalam menghasilkan naratif komik. ▪ Mengangkat pendekatan STEAM. Asas Modul Penulisan Naratif Komik - STEAM Matlamat Modul Penulisan Naratif Komik - STEAM
Murid akan dapat: Menulis ayat mudah komik naratif – STEAM Menambah perbendaharaan baru Menulis karangan naratif komik dengan gramatis Memahami konsep sains, teknologi, kejuruteraan, seni, dan matematik dengan cara yang lebih mudah dan menyeronokkan. Meningkatkan kreativiti dengan mencipta dan melibatkan diri dalam cerita komik yang berkaitan dengan STEAM. Meningkatkan Kerjasama dan Komunikasi melalui kemahiran bekerja dalam kumpulan dan berkomunikasi dengan berkesan melalui aktiviti yang melibatkan naratif komik. Pengalaman pembelajaran holistik melalui pengalaman pembelajaran yang menyeluruh dengan menggabungkan elemen seni dalam pendidikan STEAM. Kumpulan sasaran pelaksanaan Modul Penulisan Naratif Komik-STEAM terdiri daripada murid Tahap 2 iaitu Tahun 4, 5 dan 6. Semua murid Tahap 2 layak menggunakan komik ini walaupun tidak boleh melukis komik, kerana tujuan utama modul ini dibangunkan adalah untuk meningkatkan kemahiran menulis naratif komik bahasa Melayu, bukannya menilai seni lukis komik murid. Terdapat empat kemahiran dalam Modul Penulisan Naratif Komik-STEAM. Kemahiran ini disusun daripada aras yang paling mudah ke aras yang sukar. Susunan kemahiran ini merangkumi Kompetensi Kreativiti, Kompetensi Membina Ayat, Kompetensi Melengkapkan Naratif Komik dan Kompetensi Mencipta Naratif Komik-STEAM. Objektif Modul Penulisan Naratif Komik - STEAM Kumpulan Sasaran Kemahiran Modul Penulisan Naratif Komik-STEAM
APAKAH ITU MODUL PENULISAN NARATIF KOMIK-STEAM? Modul Penulisan Naratif Komik STEAM ialah satu pendekatan pendidikan yang menggabungkan elemen Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni, dan Matematik (STEAM) dengan penulisan kreatif melalui komik. Modul ini direka untuk membantu murid mengembangkan kemahiran menulis dan pemahaman mereka dalam bidang STEAM secara interaktif dan menyeronokkan. Modul ini mendedahkan murid kepada pengetahuan asas tentang konsep STEAM serta memperkenalkan murid kepada struktur dan elemen komik seperti panel, dialog, dan urutan cerita. Selain itu, modul ini juga memberi pengetahuan tentang asas-asas penulisan naratif termasuk pembangunan plot, watak, latar, dan tema berasaskan komik, di samping menggalakkan murid mencipta cerita yang menggabungkan elemen-elemen STEAM dengan kreatif. APA AKTIVITI KEMAHIRAN DI DALAM MODUL INI? 1 Kompetensi kreativiti Merangkumi keupayaan murid untuk menghasilkan idea baru, mencipta kreativiti dengan cara yang unik, dan menyusun konsep atau produk yang asli dan inovatif. Ia bukan sekadar kemahiran dalam seni atau rekaan, tetapi juga melibatkan proses pemikiran yang kreatif dan pembangunan idea dalam pelbagai konteks. 2 Kompetensi Membina Ayat Melatih murid untuk menghasilkan ayat-ayat yang tersusun dengan baik, jelas, dan berkesan dalam penulisan komik. Kemahiran ini penting untuk menghasilkan dialog dan naratif komik secara tersusun, penggunaan kosa kata yang tepat dan kreatif.
3 Kompetensi Melengkapkan Naratif Komik Melibatkan kemahiran untuk mengembangkan cerita secara kreatif dan efektif dalam format komik. Ini termasuk dalam merangka plot, mengembangkan watak, menentukan latar belakang, serta menulis dialog yang sesuai untuk menyokong alur cerita. Aktiviti ini meminta murid menyambung komik yang telah disediakan supaya menjadi satu naratif komik yang lengkap. 4 Kompetensi Mencipta Naratif Komik - STEAM Melibatkan kemahiran menulis naratif komik dengan menggabungkan elemen Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni, dan Matematik (STEAM), untuk menghasilkan penceritaan kreatif dalam bentuk komik. Ini melibatkan penggunaan elemen-elemen STEAM sebagai asas untuk meneroka dan mencipta cerita yang menarik dan bermakna. Aktiviti ini akan dilakukan secara berkumpulan sebagai Projek Based Learning (PBL). Nota: Projek Based Learning (PBL), atau Pembelajaran Berasaskan Projek dalam bahasa Malaysia, adalah pendekatan pembelajaran di mana murid terlibat dalam penyelidikan dan penyelesaian masalah nyata melalui aktiviti atau projek yang dirancang dengan teliti. PBL sering dilakukan dalam kumpulan, membolehkan murid bekerjasama, berkongsi idea, dan belajar dari satu sama lain.
01. 02. 03. 04. APA YANG GURU PERLU LAKUKAN? Guru boleh memfotostat lampiran aktiviti yang dikehendaki dan dijadikan sebagai lembaran latihan kepada murid. Hasil latihan boleh ditampal dalam buku latihan penulisan. Guru juga perlu mengimbas QR CODE yang disertakan di dalam modul ini supaya murid-murid dapat membaca komik contoh dan sebagai panduan kepada mereka menulis ayat komik. Guru perlu membimbing murid berdasarkan panduan yang diberikan. Fokus guru perlu kepada kemahiran menulis ayat dan naratif, agar objektif modul yang dihasilkan dapat dicapai. Guru perlu membuat penilaian berdasarkan kriteria pemarkahan yang diberikan. Pastikan markah tersebut direkodkan untuk melihat keberkesanan modul ini.
Sila imbas QR Code yang di bawah untuk membaca komik dan mempelajari cara mudah melukis komik. Mari Baca Komik Nazry Salam Mari Komik Sitra Haslee Cara Melukis Komik Mudah 1 Cara Melukis Komik Mudah 2 Cara Melukis Komik Mudah 3 HALAMAN BIJAK TEKNOLOGI STEAM
UMLAH ( M) E AAN ( M) PEMILIHAN K SA KATA ( M) KESANTUNAN BAHASA ( M) KREATI ITI ERITA IAL G ( M) LATIHAN
UMLAH ( M) E AAN ( M) PEMILIHAN K SA KATA ( M) KESANTUNAN BAHASA ( M) KREATI ITI IAL G ( M) LATIHAN