2. Dam Tertib dan Ta’dil
Ta’dil bererti tidak terdaya mengeluarkan makanan, oleh itu digantikan
dengan puasa. Dam ini dikenakan, jika jemaah haji melakukan salah satu
daripada perkara-perkara tersebut:
• Persetubuhan yang merosakkan haji, iaitu yang dilakukan sebelum
Tahallul Awal atau sebelum selesai kerja-kerja amalan umrah bagi
ibadah umrah sama ada fardu atau sunat. Damnya ialah:
− menyembelih seekor unta yang boleh dibuat korban; jika tidak
berkuasa,
− digantikan dengan menyembelih 7 ekor kambing; jika tidak
terdaya juga,
− hendaklah dibeli makanan dengan nilai harga seekor unta kemudian
dibahagikan kepada fakir miskin di Tanah Haram; jika tidak
berkuasa pula,
− hendaklah berpuasa seberapa hari sebanyak bilangan cupak makanan
yang dapat dibeli dengan nilai seekor unta bagi dam itu dan wajib
diselesaikan amalan-amalan haji dan umrahnya dan wajib diqadakan
hajinya pada tahun hadapan.
• Jika seseorang itu tertahan atau ditahan (ihsar) dalam perjalanan oleh
musuh atau ia terkepung yang menyebabkan tidak dapat masuk ke
Makkah, sedangkan ianya sudah berihram, maka hendaklah ia ber-
tahallul iaitu dengan:
− menyembelih seekor kambing atau kibasy kemudian bercukur/
bergunting dengan niat tahallul, jika tidak berkuasa,
− hendaklah membeli makanan dengan nilaian seekor kambing
dan dibahagikan kepada fakir miskin di tempat ihsar itu, jika tidak
berkuasa juga,
− hendaklah ia berpuasa seberapa hari sebanyak bilangan cupak
makanan yang dibeli dengan nilai seekor kambing itu.
3. Dam Takhyir dan Ta’dil
Takhyir bererti boleh dipilih satu daripada perkara yang ditetapkan. Dam
ini dikenakan jika jemaah haji melakukan salah satu daripada perkara-
perkara berikut:
• Berburu binatang buruan daratan.
• Menebang, mengerat atau mencabut pokok di Tanah Haram Makkah,
kecuali pokok yang mati kering.
Damnya bolehlah dipilih di antara menyembelih binatang bandingnya itu:
47
− Jika binatang yang diburu itu sebanding dengan binatang ternakan,
seperti rusa, maka bandingannya ialah lembu.
− Jika kijang bandingannya ialah kambing dan sebagainya.
Daging dam itu dibahagikan kepada penduduk fakir miskin di Tanah
Haram, atau dibeli makanan dengan nilai harganya.Makanan itu hendaklah
dibahagikan kepada fakir miskin di Tanah Haram, atau berpuasa seberapa
hari sebanyak bilangan cupak yang dapat dibeli dengan harga nilainnya
iaitu kadar satu cupak sama dengan berpuasa satu hari.
Cara-cara membayar dam kerana menebang pokok atau mengeratnya
dalam kawasan Tanah Haram adalah sama dengan dam berburu binatang
menurut besar kecilnya.
4. Dam Takhyir dan Taqdir
Taqdir bererti ketetapan barang yang boleh diganti. Dam ini dikenakan jika
dilakukan salah satu daripada perkara-perkara berikut:
• Memakai pakaian yang dilarang dalam masa ihram.
• Membuang tiga helai rambut atau bulu dari mana-mana bahagian badan.
• Mengerat kuku, menanggal atau membinasakannya.
• Memakai bau-bauan.
• Memakai minyak di kepala/janggut dan bulu-bulu muka selain daripada
bulu tumbuhan di pipi dan dahi.
• Melakukan perkara permulaan persetubuhan seperti bercumbu-cumbuan.
• Melakukan persetubuhan slepas selesai Tahallul Awal tetapi belum selesai
Tahallul Thani.
• Melakukan persetubuhan selepas persetubuhan yang merosakkan haji.
Damnya ialah:
− Menyembelih seekor kambing/kibas atau 1/7 daripada seekor lembu/
kerbau/unta, atau
− Bersedekah kepada enam orang fakir miskin sebanyak dua cupak
makanan tiap-tiap seorang, atau
− Berpuasa tiga hari.
Perhatian: Dam bagi menggugurkan sehelai rambut atau sehelai bulu
atau satu kuku atau sebagainya ialah satu cupak makanan dan dua helai
rambut atau dua helai bulu atau dua kuku ialah dua cupak makanan, diberi
kepada fakir miskin.
48
SOLAT JAMA’ & QASAR
SOLAT DALAM MASA PERJALANAN MENGERJAKAN HAJI
Sebagaimana yang diketahui umum, sembahyang itu adalah salah satu
daripada Rukun Islam yang lima, oleh itu anda yang cukup syarat, tidaklah
boleh meninggalkannya sekali-kali walau di mana anda berada, melainkan
jika anda di dalam uzur syar’i seperti kehilangan akal, kedatangan haid
atau nifas.
Menurut hadith daripada Saiyidina Jabir yang diriwayatkan oleh Imam
Muslim, Rasulullah SAW bersabda:
Perbezaan di antara seseorang lelaki dan seseorang yang kufur (syirik) ialah
meninggalkan sembahyang.
Sembahyang Dalam Kapal Terbang
Seperti yang kita maklum, di dalam kapal terbang tidak ada kemudahan
untuk berwuduk dan tempat sembahyang. Tetapi anda masih boleh
mengerjakan fardu kerana menghormati waktu. Anda tidak perlu
berwuduk. Apa yang perlu anda buat ialah membuat gerakan sembahyang
sama seperti orang bersembahyang ketika terikat di sebatang pokok iaitu
dengan isyarat sahaja. Tetapi setelah sampai di Jeddah, jika masih ada lagi
waktu sembahyang itu, maka wajiblah anda sembahyang semula dan jika
waktunya sudah luput, bolehlah anda mengqada sembahyang tersebut.
Begitu juga ketika dalam perjalanan pulang ke tanahair. Anda bolehlah
lakukan sembahyang kerana menghormati waktu di dalam kapal terbang.
49
Sembahyang Qasar Dan Jama’
Sembahyang Qasar ertinya mengerjakan sembahyang yang mempunyai
empat rakaat dengan memendekkannya menjadi dua rakaat sahaja
(bagi sembahyang Zuhur, ‘Asar dan Isya’). Sembahyang Jama’ pula ialah
mengerjakan sembahyang dengan menghimpunkan dua sembahyang
menjadi satu umpamanya, di antara sembahyang Zuhur dengan ‘Asar dan
di antara Maghrib dengan ‘Isya.
Sembahyang-sembahyang ini diharuskan oleh syara’ kepada para
musafir dengan syarat-syarat tertentu.
Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa
menqasarkan (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-
orang kafir. Sesungguhnya orang-orang kafir itu adalah musuh kamu yang amat
nyata. – Surah An-Nisa: 101
Sabda Rasulullah SAW pula yang diriwayatkan oleh Muslim:
Sembahyang qasar itu adalah satu daripada rahmat (kelonggaran) ang dikurniakan
oleh Allah Ta’ala ke atas kamu maka hendaklah kamu terima anugerah
pengurniaan-Nya.
Oleh yang demikian, anda yang sedang dalam perjalanan ke Tanah Suci
Makkah bolehlah mengerjakan sembahyang fardu sama ada dengan qasar
sahaja tanpa jama’ ataupun dengan qasar berserta jama’.
50
Syarat-Syarat Sembahyang Qasar
• Jauh pelayaran atau perjalanan tidak kurang daripada 2 marhalah
(90 kilometer).
• Pelayaran atau perjalanan itu hendaklah diharuskan oleh syara’.
• Berniat qasar dalam takbiratulihram.
• Sembahyang yang diqasarkan (dipendekkan) itu hendaklah empat rakaat.
• Tidak berimam dengan orang yang sembahyang tamam (sempurna).
• Hendaklah diketahui qasar itu adalah harus.
• Berkekalan pelayarannya hingga selesai sembahyangnya.
Jenis –Jenis Sembahyang Jama’
1. Jama’ Taqdim: iaitu mengerjakan sembahyang Zuhur dan ‘Asar dalam
waktu Zuhur atau sembahyang Magrib dan Isya’ dalam waktu Maghrib.
2. Jama’ Ta’khir: iaitu mengerjakan sembahyang Zuhur dan ‘Asar dalam
waktu ‘Asar atau sembahyang Maghrib dan ‘Isya dalam waktu Isya’.
Syarat-syarat Sembahyang Jama’ Taqdim
• Hendaklah dimulakan sembahyang yang empunya waktu (iaitu
mendahulukan sembahyang Zuhur daripada ‘Asar dan Maghrib
daripada Isya’).
• Hendaklah berniat Jama’ Taqdim dalam sembahyang pertama (sebelum
salam) tetapi yang afdalnya dalam takbiratulihram.
• Berturut-turut di antara dua sembahyang yang dijama’kan
(dihimpunkan) itu.
• Berkekalan pelayaran atau perjalanan itu hingga takbiratulihram
sembahyang yang kedua.
• Berkeyakinan adanya waktu sembahyang yang pertama (Zuhur atau
Maghrib) berkekalan sehingga didirikan sembahyang yang kedua (‘Asar
dan Isya’).
51
Syarat-Syarat Sembahyang Jama’ Ta’khir
• Hendaklah berniat jama’ dalam waktu pertama (Zuhur dan Maghrib).
• Berkekalan pelayaran hingga memberi salam sembahyang yang kedua
(‘Asar dan Isya’).
Cara Sembahyang Jama’ Taqdim dengan Qasar
1. Qasar dan Jama’ Zuhur dengan ‘Asar
Setelah masuk waktu Zuhur, anda perlulah bersuci, mengambil wudu’,
sunat azan dan kemudian qamat. Setelah itu berdiri menghadap kiblat,
lalu berniat:
Sahaja aku sembahyang fardu Zuhur dua rakaat qasar serta dijama’kan
dengan ‘Asar, tunai kerana Allah Ta’ala.
Sempurnakanlah sembahyang Zuhur itu sebanyak dua rakaat sahaja
dengan membaca Fatihah dan surah pada kedua-dua rakaat itu.
Sesudah memberi salam, qamatlah sekali lagi dengan segera untuk
menunaikan fardu ‘Asar dengan niat:
Sahaja aku sembahyang fardu ‘Asar dua rakaat qasar kerana Allah Ta’ala.
Sempurnakanlah fardu ‘Asar itu sebanyak dua rakaat saja sebagaimana
sembahyang Zuhur sebelumnya.
52
2. Qasar dan Jama’ Maghrib dengan Isya’
Di sini sembahyang Maghrib mesti ditunaikan sebanyak tiga rakaat dan
sembahyang Isya’ bolehlah diqasarkan menjadi dua rakaat sahaja.
Apabila masuk waktu Maghrib, sembahyanglah fardu Maghrib itu
sebanyak tiga rakaat seperti biasa dengan niatnya:
Sahaja aku sembahyang fardu Maghrib tiga rakaat dijama’kan dengan Isya’
tunai kerana Allah Ta’ala.
Setelah sesuai memberi salam,qamatlah sekali lagi dengan segera untuk
melaksanakan fardu Isya’ pula dengan niatnya:
Sahaja aku sembahyang fardu Isya’ dua rakaat qasar kerana Allah Ta ‘ala.
Sempurnakanlah sembahyang Isya’ ini sebanyak dua rakaat sahaja.
53
Cara Sembahyang Jama’ Takhir Dengan Qasar
1. Qasar dan Jama’ Zuhur dengan ‘Asar
Apabila masuk waktu Zuhur dan sebelum habis waktunya, niatkanlah
dalam hati bahawa anda hendak menunaikan sembahyang fardu Zuhur itu
dalam waktu ‘Asar.
Dengan niat ini, anda tidaklah perlu bersembahyang Zuhur dalam
waktunya. Apabila masuk waktu ‘Asar, barulah anda menunaikan
sembahyang Jama’ Takhir yang telah diniatkan tadi.
Niat sembahyang Jama’ Takhir ini ialah :
Sahaja aku sembahyang fardu Zuhur dua rakaat qasar dijama’kan dengan
‘Asar kerana Allah Ta’ala.
Sempurnakanlah sembahyang Zuhur itu sebanyak dua rakaat.
Selesai sahaja memberi salam, qamatlah sekali lagi dengan segera, untuk
menunaikan fardu ‘Asar sambil berniat:
Sahaja aku sembahyang fardu ‘Asar dua rakaat qasar tunai kerana Allah Ta’ala.
Selesaikanlah sembahyang ‘Asar ini sebanyak dua rakaat sahaja.
54
2. Qasar dan Jama’ Maghrib dengan Isya’
Apabila masuk waktu Maghrib dan sebelum waktu itu habis, niatkan
dalam hati anda yang anda hendak menunaikan fardu Maghrib dalam
waktu Isya’. Dengan anda sembahyang Maghrib dalam waktunya itu.
Apabila masuk waktu Isya’ tunaikan sembahyang Jama’ Takhir ini
dengan memulakan fardu Maghrib dahulu dengan niatnya:
Sahaja aku sembahyang fardu Maghrib tiga rakaat dijama’kan dengan
‘Isya kerana Allah Ta’ala.
Setelah selesai bersalam, segeralah qamat untuk menunaikan fardu ‘Isya
pula. Kemudian berniat sembahyang:
Sahaja aku sembahyang fardu ‘Isya dua rakaat qasar tunai kerana Allah Ta’ala.
Sempurnakanlah sembahyang fardu Isya’ ini sebanyak dua rakaat sahaja
hingga selesai.
55
MASALAH KAUM PEREMPUAN
Jemaah haji perempuan yang didatangi haid dan nifas dalam masa mengerjakan
haji dan umrah ini tidak sunyi daripada tiga keadaan. Walau bagaimanapun,
keadaan-keadaan itu tidaklah menegah anda daripada menunaikan kerja-
kerja ibadah haji seperti beniat haji dan umrah, wuquf di Padang Arafah, sa’i,
bermalam di Muzdalifah, melontar jamrah di Mina dan lain-lai, kecuali tawaf.
Ini adalah kerana tempat bertawaf itu adalah di dalam Masjidil Haram dan
perempuan yang di dalam haid diharamkan memasuki masjid.
Keadaan yang disebutkan tadi adalah seperti berikut:
1. Jemaah haji perempuan mengerjakan Haji Tamattuk, sama ada haid atau
nifas itu datang sebelum ihram atau semasa sedang berihram, manakala
anda sampai di Makkah, hendaklah anda tunggu sehingga suci. Sekiranya
anda suci sebelum berangkat ke Padang Arafah untuk menunaikan haji iaitu
hari anda memakai ihram dan berniat Ihram Haji maka hendaklah anda
mengerjakan Tawaf Umrah diikuti dengan sa’i Umrah dan bergunting.
Jika haid atau nifas itu terus berlaku hingga anda hendak berangkat
ke Arafah, maka hendaklah anda berniat Ihram Haji ketika itu dan jadilah
ianya Haji Qiran. Dengan demikian wajiblah anda menyempurnakan
dam sebagaimana Dam Qiran dengan syarat-syarat tertentu.
2. Jemaah haji perempuan yang haid mengerjakan Haji Ifrad atau Haji
Qiran hendaklah menyempurnakan semua pekerjaan haji kecuali tawaf
dan tawaf hendaklah dikerjakan setelah anda suci daripada haid atau
nifas tersebut.
3. Sekiranya haid atau nifas itu masih berkekalan pada salah satu daripada
dua keadaan di atas, hingga sampai waktu berangkat keluar Makkah
untuk pulang ke tanahair, anda hendaklah tunggu hingga suci untuk
mengerjakan tawaf jika boleh. Jika tidak, bolehlah anda ber-tahallul
dengan Tahallul Ihsar dengan menyembelih kambing dan bergunting
dengan niat tahallul. Pada ketika itu halallah apa-apa yang diharamkan
dalam masa ihram, tetapi terlebih dahulunya hendaklah anda keluar
ke suatu tempat yang perjalannya sekira-kira tidak berdaya anda balik
dari tempat itu ke Makkah kerana menyempurnakan tawaf itu. Dan jika
fardu, wajib anda mengerjakan tawaf di masa hadapan demikian juga sa’i
sekiranya ia belum disempurnakan.
56
MADINAH Al- MUNAWWARAH
Madinatul Munawwarah adalah kota suci kedua bagi umat Islam. Jauhnya
dari Makkah lebih kurang 447km. Menziarahi kota Madinah adalah
menjadi impian dan idaman istimewa bagi setiap jemaah haji khasnya dan
umat Islam amnya. Daripada Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah SAW
ada bersabda :
Tidak digalakkan mengembara melainkan kepada tiga buah masjid iaitu Masjidil
Haram, masjidku (Masjid Nabawi) dan Masjidil Aqsa (di Baitul Muqaddis).
Penghijrahan Nabi Muhammad
Menurut sejarah, junjungan Rasulullah SAW telah berhijrah ke Yathrib
(nama asal bagi Madinatul Munawwarah) setelah baginda menjadi Rasul
selama 13 tahun. Ketika itu usia baginda ialah 53 tahun.
Peristiwa penghijrahan yang amat penting itu berlaku kira-kira dalam
tahun Masihi 622 Baginda Junjungan bersama-sama sahabat, Abu Bakar al-
Siddiq tiba di Yathrib dalam bulan Rabiulawal tahun pertama Hijrah (ada
ahli sejarah mempunyai pendapat yang berlainan, tetapi kebanyakannya
mengatakan pad 12 Rabiulawal, hari Isnin). Sebelum tiba di kota ini,
baginda tinggal selama beberapa hari di Quba dan mendirikan masjid yang
pertama di situ, sebagaimana tersebut dalam Surah at-Taubah: 108:
Sesungguhnya masjid (Quba yang engkau bina wahai Muhammad) yang telah
didirikan di atas dasar takwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau
sembahyang kepadanya.
57
Kelebihan Madinah
Mengenai kelebihan Madinah dan Masjid Nabawinya, maka diperturunkan
di sini beberapa hadith.
1. Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim
Daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasullulah SAW ada bersabda:
Di lorong-lorong jalan Al-Madinah Al-Munawwarah banyak malaikat yang
mengawalnya untuk mencegah penyakit taun dan Dajjal supayaa tidak masuk ke
dalamnya.
2. Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim
Daripada Anas r.a katanya: Rasulullah SAW ada bersabda: Tiap-tiap negeri
akan dimasuki oleh Dajjal melainkan Makkah Al-Mukarramah dan Al-Madinatul
Munawwarah.
58
3. Diriwayatkan oleh Imam Ahmad
Daripada Jabir bin Abdullah r.a katanya: Rasullulah SAW ada bersabda:
Sembahyang di masjidku (Masjid Nabawi) terlebih afdal daripada masjid-masjid
yang lain sebanyak seribu kali sembahyang, melainkan Masjidil Haram.
4. Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Tabrani daripada Anas bin Malik
Iman itu akan berkumpul dan berhimpun di Madinah seperti ular kembali ke
lubangnya.
5. Junjungan Rasulullah SAW ada bersabda:
Sesiapa yang bersembahyang di masjidku empat puluh waktu dengan tidak luput
walau satu waktu pun, nescaya dilepaskannya daripada azab neraka dan azab kubur.
59
6. Diriwayatkan oleh Imam Bukhari
Tempat di antara rumahku dan mimbarku adalah satu taman daripada taman-
taman syurga.
Madinah juga seperti Makkah dari segi kelebihan dan kemuliaannya. Oleh
itu, jemaah haji atau orang kebanyakan haram berburu binatang-binatang
yang halal dimakan. Begitu juga mencabut dan membinasakan pokok-
pokok dan tumbuh-tumbahaannya di dalam sempadan Tanah Haram
yang telah ditentukan oleh Rasulullah SAW dengan sabdanya:
Bahawasanya (Nabi) Ibrahim a.s telah mengharamkan Makkah dan sesungguhnya
kumengharamkan Madinah apa yang di antara dua labahnya (tanah atau bukit
yang penuh dengan batu-batu hitam kemerah-merahan, satu di timur Madinah dan
satu di baratnya) tidak dipotong pokoknya dan tidak diburu binatangnya.
Satu hadith yang lain menyatakan:
Madinah diharamkan apa yang di antara ‘Air hingga Thur. (‘Air adalah bukit
berhampiran dengan Zulhulaifah iaitu Miqat ahli Madinah dan Thur ialah bukit
kecil di belakang Bukit Uhud).
Perhatian:
• Di Tanah Haram Makkah tidak ada waktu tahrim (yang ditegah) untuk
dilakukan sembahyang sunat, manakala di Madinah ada waktunya.
• Haram mencabut pokok dan berburu di Tanah Haram Madinah seperti
juga di Makkah, jika dibinasakan maka ada dua qaul bagi Imam Syafie iaitu:
– Qaul Jadid, tidak kena fidyah, itulah yang Assah dalam Mazhab Syafie.
– Qaul Qadim, dikenakan fidyah.
Untuk memelihara kedua-dua pendapat itu, sunat dikeluarkan fidyah.
60
MASJID NABAWI
Dalam tahun yang sama juga, ketika baginda berhijrah, baginda Rasulullah
SAW telah mendirikan Masjid Nabawi (Madinah) di tapak di mana unta
baginda berhenti sendiri semasa tibanya baginda di Kota Madinah itu.
Tempat itu dipunyai oleh dua orang anak yatim bernama Sahl dan
Suhil, anak kepada ‘Amru. Mereka menghadiahkannya sahaja kepada
baginda Nabi. Tetapi baginda menolak dan Saiyidina Abu Bakar al-Siddiq
r.a membayar harga tapak itu sebanyak 10 dinar emas, dengan wangnya
sendiri. Kawasan itu ialah kampung kafilah Baruan-Najjar, keadaannya
bertanah lapang dan tempat menjemur kurma.
Masjid yang didirikan oleh Rasulullah SAW itu sangat sederhana
keadaannya. Bentuknya hampir empat persegi, tiangnya daripada batang
pokok kurma dan dindingnya beratapkan daun-daun kurma, manakala
sebahagian yang lain berkeadaan lapang. Ukuran luasnya lebih kurang 382
meter persegi.
Masjid Nabawi ini telah diperbesarkan pertama kalinya pada zaman
Rasulullah SAW. Ia diperluaskan panjangnya lebih kurang 27½ meter
pada sebelah matahari jatuh dan lebarnya pada sebelah hala negeri Syam
sepanjang lebih kurang 36½ meter dengan pintunya sebanyak tiga buah.
Tiang-tiang dan jenang-jenang pintunya diperbuat daripada batu.
61
Kawalan di Masjid Nabawi
Masjid Nabawi mempunyai pintu-pintu tertentu yang dikhaskan bagi lelaki
dan perempuan secara berasingan. Begitu juga dengan tempat-tempat
sembahyang. Sekatan-sekatan diadakan bagi memisahkan jemaah lelaki
dengan jemaah perempuan.
Pintu-pintu masjid pula biasanya ditutup kepada semua jemaah satu
jam selepas sembahyang Isya’ dan dibuka lebih kurang jam 3.00 pagi
waktu tempatan setiap hari.
Pada musim haji, anda bolehlah melawat masjid ini selepas tiap-tiap
waktu sembahyang bagi lelaki. Tetapi bagi perempuan ada masanya, pada
kebiasaannya di sebelah pagi iaitu kira-kira jam 7.30 waktu tempatan
hingga sebelum tiba waktu Maghrib.
Kedudukan Makam Junjungan Rasulullah SAW
Nabi Muhammad SAW wafat dan dimakamkan di Madinatul Munawwarah
setelah bersemayam selama 10 tahun di Kota Suci ini. Mengenai kedudukan
makam Rasulullah serta dua makam sahabat baginda, ulama-ulama ada
bersalahan pendapat. Ini adalah kerana kebanyakan mereka menziarahi
makam tersebut dari luar lingkungan hujrah (bilik). Walaupun ada di antara
mereka yang dapat memasuki ke dalamnya, tetapi mereka tidak dapat
menentukan keadaan sebenar mengenai kedudukan dua makam sahabat
itu. Ini boleh jadi kerana perasaan gerun dan haibah (kehormatan) terhadap
junjungan Rasulullah SAW.
Walau bagaimanapun, menurut riwayat Nafi’ bin Na’im (yang menjadi
pengangan oleh kebanyakan ulama) dan juga riwayat ‘Urwah bin Azzubir
dan al-Qasim bin Muhammad: “Kepala Saiyidina Abu Bakar r.a terletak di
sisi dua bahu Rasulullah SAW dan kepala Saiyidina ‘Umar terletak di sisi
pinggang Saiyidina Abu Bakar r.a.”
Amalan Ziarah Di Madinah
Seperti yang diketahui umum, ramai jemaah haji melaksanakan amalan
ziarah di Madinah seolah-olah seperti mengamalkan Wajib Haji. Ini dilihat
daripada gerak-geri dan tindakan mereka khasnya yang berkaitan dengan
sembahyang 40 waktu, di mana jika mereka tidak dapat mengerjakan
ibadah itu, mereka akan mengambil berbagai tindakan supaya dapat
peluang mencukupkan bilangan waktu yang kurang itu.
Hal ini dapat dilihat juga pada jemaah haji perempuan yang didatangi
keuzurun haid semasa di Madinah. Mereka merasakan terlalu kecewa
62
dan ada yang memohon untuk duduk lebih lama lagi, walhal masalah itu
sepatutnya tidak timbul kerana ibadat haji tidak akan terjejas walaupun
mereka tidak menziarahi Madinah.
Ziarah Madinah Bukan Daripada Kerja-Kerja Haji
Semua mazhab bersependapat bahawa ziarah ke Madinah dan amalan-
amalan yang berkaitan dengannya tidak termasuk dalam Syarat, Rukun dan
Wajib Haji. Ini jelas bermakna sesorang jemaah haji yang hanya ke Makkah
sahaja menunaikan fardu haji tanpa menziarahi Madinah, hajinya sah.
Menziarahi Madinah itu hukumnya sunat sahaja. Oleh kerana itu
bagi jemaah haji yang belum menyempurnakan Rukun Hajinya terutama
wuquf di Arafah, hendaklah mereka menjaga kesihatan dan tenaganya
semasa mereka menziarahi Madinah (terlebih dahulu). Ini adalah kerana
tenaganya akan diperlukan apabila ia mengerjakan haji dan umrah di
Makkah kelak.
Adab-Adab Menziarah Masjid Dan Makam Nabi
Waktu yang paling sesuai untuk anda menziarahi Masjid Nabawi ialah
di luar waktu sembahyang. Ini adalah kerana keadaan masjid kosong dan
dengan itu anda akan dapat merasa kehebatan dan kebesarannya. Selain
daripada itu, anda juga dapat khusyu’ waktu berdiri di hadapan Nabi.
Sebelum pergi ke Masjid Nabawi, sunat bagi anda mandi dahulu dan
memakai pakaian yang bersih juga bau-bauan. Masuklah ke Masjid melalui
pintu Babus Salam, dengan melangkah kaki kanan dahulu lalu membaca:
63
Dengan nama Allah dan di atas agama Rasulullah ya Tuhanku, masukkanlah
aku ke dalam pintu kebenaran ya Tuhanku, berikanlah kepadaku dari sisi-Mu
hujah keterangan serta kekuasaan yang menolongku. Ya Allah ya Tuhanku selawat
dan rahmat ke atas Junjungan Nabi Muhammad dan keluarganya. Ampunilah
dosa-dosaku dan bukakanlah pintu-pintu rahmat-Mu padaku dan masukkan ku ke
dalamnya wahai Tuhan yang Amat Mengasihani.
Seelok-eloknya terus menuju ke Raudhah (tempat yang tiang-tiangnya
berwarna putih), kalau dapat. Kelebihan tempat ini telah dinyatakan oleh
junjungan kita dalam beberapa hadith, di antaranya:
Tempat di antara rumahku dan mimbarku adalah satu taman daripada taman-
taman syurga.
Di situ bersembahyanglah Sunat Tahiyyatul Masjid. Kemudian beredar
pula ke hadapan Makam Nabi Muhammad dengan hati yang tetap,
khusyu’ dan merendahkan diri dengan adab sopan santun memberi salam
dengan suara yang perlahan-lahan dan membaca:
64
Selamat sejahtera ke atasmu wahai junjungan yang mulia, Rasul yang agung,
pemurah lagi penyayang, moga-moga dirahmati dan diberkati Allah ke atasnya,
sesungguhnya selamat sejahteralah wahai Nabi Allah, selamat sejahteralah wahai
Habibullah, kubersaki bahawa tidak ada Tuhan yang disembah dengan sebenar-
benarnya melainkan Allah yang Maha Esa dan sesungguhnya engkau adalah
hamba-Nya lagi pesuruh-Nya, aku bersaksi bahawa engkau telah menyampaikan
risalah, menyempurnakan tanggungjawab dan telah memberi nasihat kepada
umat dan engkau telah berjihad kerana meninggikan agama Allah, maka selawat
dan salam ke atasmu berkekalan sehingga kiamat. Ya Allah ya Tuhanku,
kurniakanlah kepada baginda kemuliaan dan pangkat-pangkat darjat yang tinggi
serta anugerahkan kepadanya tempat yang terpuji yang telah Engkau janjikan,
sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji sekali-kali.
Jika ada sesiapa yang berkirim salam kepada baginda Nabi ucapkanlah:
Salam padamu Rasulullah daripada __________ bin/binti ___________
(sebutkan nama orangnya).
65
Kemudian beredarlah ke arah kanan, lebih kurang 1 meter. Di situ
terletak hadapan Makam Saiyidina Abu Bakar al-Siddiq r.a dan berilah
salam kepadanya:
Salam sejahtera ke atasmu wahai khalifah Rasulullah yang pertama, salam
sejahtera wahai sahabatnya yang bersama-sama di dalam Gua Thur, salam
sejahtera ke atasmu yang setia menyimpan rahsia, terimalah ganjaran daripada
Allah sebagai balasan ketua yang memimpin umat Nabi-Nya.
Bahawasanya engkau telah menggantikan Rasulullah dengan menjalankan
sebaik-baik tanggungjawab dan engkau telah mengikut perjalanannya serta
berkhidmat kepada agama Islam, menyambungkan silaturrahim sehingga akhir
hayatmu, maka terimalah ganjaran, salam sejahtera dan ahmat daripada Allah
ke atasnmu.
66
Selepas itu beredarlah pula ke kanan, lebih kurang 1 meter iaitu di hadapan
Makam Saiyidina ‘Umar bin al-Khattab dan berilah salam kepadanya:
Salam sejahtera ke atasmu wahai yang menzahirkan Islam berterang-terangan,
salam sejahtera wahai yang telah diberi gelaran Faruk (yang memisahkan di antara
yang benar dengan yang salah), salam sejahtera ke atasmu yang sentiasa bercakap
benar serta memelihara anak yatim dan menghubungkan kasih sayang, dengan
engkaulah agama Islam menjadi kuat dan teguh. Maka terimalah salam sejahtera
serta rahmat daripada Allah ke atasmu.
Sesudah itu, baiklah semula ke Raudhah dan dengan menghadap kiblat
bacalah:
67
68
Segala pujian tertentu kepada Allah seru sekalian alam, puji-pujian yang menepati
segala nikmat-Nya, yang selaras dengan segala kelebihan-Nya, wahai Tuhan kami!
Kepada Engkaulah puji-pujian yang selayaknya dengan keagungan dan kebesaran
kekuasaan-Mu, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad
SAW keluarga serta sahabat-sahabatnya.
Ya Allah ya Tuhanku! Ampunilah dosaku dosa kedua ibu bapaku, datuk
nenekku dan semua kaum kerabatku, saudara-maraku dan sekalian guru seterusnya
sekalian orang-orang Mu’min dan Mu’minat juga Muslimin dan Muslimat sama
ada yang hidup ataupun yang telah mati, dengan limpah kurnia-Mu wahai Tuhan
yang Amat Pemurah lagi Amat Penyayang.
Ya Allah ya Tuhanku! Engkau telah berfirman dan firman-Mu adalah
benar, mafhumnya: “Jika sekiranya mereka telah menzalimi diri mereka sendiri
lantas mereka datang kepada-Mu lalu memohon keampunan kepada Allah, Rasul
pun memohon ampun untuk mereka tentulah mereka mendapati Allah itu Maha
Penerima Ampun lagi Maha Penyayang”.
Ya Allah ya Tuhanku! Sesungguhnya aku memohon syafa’at Nabi-Mu dan
Rasul-Mu junjungan Nabi Muhammad SAW atasku “di hari yang padanya harta
benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apa pun, kecuali
(harta benda dan anak-pinak) orang yang berjalan kepada Allah dengan hati yang
69
selamat sejahtera (daripada syirik dengan penyakit munafik)”. Dan bahawa Engkau
sempurnakan keampunan kepadaku sepertimana Engkau sempurnakan kepada
mereka yang sezaman dengan Rasulullah SAW. Ya Allah ya Tuhanku! Jadikanlah
Rasulullah SAW orang yang mula-mula sekali memberi syafa’ at, yang paling
berjaya daripada orang-orang yang memohon dan paling mulia daripada golongan
mereka yang terawal dan yang terkemudian dengan kemuliaan dan kemurahan-Mu
wahai Tuhan yang Amat Pemurah lagi Amat Penyayang.
Ya Allah ya Tuhanku! Aku mohon kepada-Mu keimanan yang sempurna,
keyakinan yang sebenar sehingga aku mengetahui tidak akan menimpa bencana
kepadaku melainkan apa yang telah Engkau tetapkan. Aku memohon ilmu yang
berguna, hati yang sentiasa khusyu’ , lidah yang selalu menyebut nama-Mu, limpah
kurnia rezeki yang halal dan baik, amalan salih yang diterima serta perniagaan
yang tidak rugi.
Ya Allah ya Tuhan kami! Lapangkanlah dada kami, tutupilah keburukan
kami, ampunilah dosa kami, tenteramkanlah hati kami daripada ketakutan,
sempurnakanlah amalan-amalan kami dengan kebaijkan, terimalah ziarah kami
ini, kembalikanlah kami kepada ahli dan keluarga kami di dalam keadaan
selamat dan sejahtera, tidak kecewa dengan tidak mendapat bala bencana, Engkau
jadikanlah kami daripada golongan hamba-hamba-Mu yang salih iaitu daripada
golongan mereka yang tiada takut terhadap seteru dan tidak merasai susah hati.
Ya Allah ya Tuhan kami, kurniakanlah kami kebaikan di dunia dan kebaikan
akhirat dan peliharalah kami daripada seksa neraka.
Ya Allah ya Tuhan kami, janganlah Engkau pesongkan hati kami sesudah
Engkau kurniakan petunjuk kepada kami, kurniakanlah rahmat daripada gedung
kemurahan-Mu sesungguhnya Engkaulah Tuhan yang Maha Pemurah memberi
anugerah.
Ya Allah ya Tuhanku! Ampunilah dosaku, dosa kedua ibu bapaku, serta semua
orang yang beriman lelaki dan perempuan pada hari hisab. Wahai Tuhan kami!
Kurniakanlah kami rahmat daripada sisi-Mu, dan berilah kemudahan-kemudahan
serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami. Maha Suci Tuhanku,
Tuhan yang mempunyai keagungan dan kekuasaan dari apa yang mereka sifatkan,
dan salam sejahtera ke atas sekalian Rasul serta segala puji tertentu bagi Allah,
Tuhan yang memelihara dan mentadbir seluruh alam.
70
TEMPAT-TEMPAT LAIN
YANG BAIK DIZIARAHI
Perkuburan Baqi’
Selain daripada menziarahi makam Rasulullah SAW dan dua sahabatnya
baginda, anda boleh juga menziarahi tanah perkuburan Baqi’ yang
berdekatan dengan kawasan Masjid Nabawi jika berpeluang. Ia adalah
perkuburan penduduk kota Madinah dari sejak Rasulullah SAW hingga
ke hari ini. Di situ, dikatakan lebih kurang 10,000 sahabat dimakamkan,
termasuklah Saiyidina Othan bin Affan r.a, isteri-isteri junjungan
Rasulullah SAW dan putera puteri baginda.
1. Ketika menziarahi perkuburan Baqi’ bacalah:
Salam sejahtera di atas kamu wahai tempat tinggal orang-orang yang beriman,
sesungguhnya kami akan mengikuti kamu, kamu adalah orang yang terdahulu
daripada kami, dan kami adalah pengikut kamu, mudah-mudahan Tuhan
mengampunkan kami juga kamu, dan mengasihani mereka yang dahulu-dahulu
dan mereka yang terkemudian, ya Allah ya Tuhanku janganlah Engkau haramkan
kami daripada mendapat pahala amalan mereka dan janganlah Engkau fitnahkan
kami selepas mereka. Ampunilah dosa kami dan dosa mereka, dan ampunilah dosa
ahli al-Baqi’ sekaliannya.
71
2. Ketika menziarah Makam Saiyidina Othman bin Affan r.a di pekuburan
Baqi’ (sekiranya dapat peluang) bacalah pula:
Salam sejahtera ke atas engkau wahai Saiyidina Othman yang mempunyai dua
cahaya, salam sejahtera ke atas engkau wahai Khalifah Rasulullah yang ketiga,
salam sejahtera ke atas engkau wahai orang yang telah memperbekalkan senjata,
harta benda dan wang ringgit kepada bala tentera Islam dalam masa kesusahan dan
kepicikan, salam sejahtera di atas engkau wahai orang yang telah mengumpulkan
al-Qur’anul Karim, mudah-mudahan Tuhan akan memberi ganjaran sebaik-baik
pembalasan di atas segala amalan engkau demi untuk kebaikan dan kebajikan umat
Muhammad.
Ya Allah ya Tuhanku tinggikanlah pangkat dan darjat kebesarannya,
muliakanlah kedudukannya dan kurniakan balasan pahala kepadanya. Amin.
72
3. Ketika menziarah kubur putera puteri Rasulullah SAW iaitu Saiyidina
Ibrahim dan Saiyidina Ruqaiyah dan juga sahabat-sahabat baginda
(sekiranya dapat peluang) bacalah:
73
Salam sejahtera di atasmu wahai Ibrahim putera Rasulullah, salam sejahtera ke
atas engkau wahai Ruqaiyah puteri Rasulullah, salam sejahtera ke atas engkau
wahai Fatimah binti Asad, wahai orang yang telah dikafankan dikau oleh Nabi
Muhammad SAW dengan bajunya, dan mengekebumikan dikau dengan tangannya
yang mulia, salam sejahtera ke atas engkau wahai Saiyidina Abdul Rahman bin
‘Auf sahabat Rasulullah salah seorang daripada sepuluh yang dijamin masuk
syurga, salam sejahtera ke atas engkau wahai Saiyidina Saad bin Waqas sahabat
Rasulullah, salah seorang yang dijamin masuk syurga, salam sejahtera ke atas
engkau wahai Saiyidina Abdullah bin Mas’ud penyimpan rahsi Rasulullah,
pembawa kasut, alat sugi dan alatan Rasulullah, salam sejahtera ke atas engkau
wahai Saad bin Zararah sahabat Rasulullah, salam sejahtera ke atas kamu wahai
sekalian sahabat Rasulullah SAW. Ya Allah ya Tuhan kurniakanlah keredaan-Mu
kepada mereka, tinggikanlah pangkat dan darjat mereka, tambahkanlah pahala
mereka. Amin.
4. Ketika menziarah kubur Abi Said al-Khudri dan kubur Saad bin Muaz
r.a , sekiranya berpeluang, bacalah:
74
Salam sejahtera wahai Abi Said al-Khudri sahabat Rasulullah SAW salam
sejahtera ke atas engkau wahai orang yang meriwayatakan hadith Rasulullah SAW.
Tuhanlah yang memberi sebaik-baik ganjaran di atas segala amalan kebajikan
engkau demi untuk kebaikan dan kebaijkan umat Muhammad.
Salam sejahtera ke atas engkau wahai Saad bin Muaz sahabat Rasulullah
SAW salam sejahtera ke atas engkau wahai orang yang telah bergegar ‘Arasy
dengan kematianmu, moga-moga Allah memberi sebaik-baik ganjaran di atas
amalan engkau demi untuk kebaikan dan kebajikan umat Muhammad SAW.
5. Ketika menziarahi kubur Nafi’ Maula Abdullah bin Umar r.a (sekiranya
berpeluang) bacalah:
Salam sejahtera ke atas engkau wahai Nafi’ Maula Abdullah bin Umar Syeikh
Malik Imam Darulhijrah. Ya Allah kurniakanlah serta gandakanlah balasan
amalan, dan muliakanlah kedudukannya. Amin.
6. Ketika menziarahi kubur Malik bin Anas r.a, sekiranya berpeluang, baca pula:
Salam sejahtera ke atas engkau wahai Saiyidina Malik bin Anas Imam Darulhijrah.
Allah yang akan memberi balasan di atas segala amalan kebajikan engkau yang
telah engkau lakukan untuk kebaikan dan kebajikan umat Muhammad sebaik-baik
ganjaran.
75
7. Bacalah do’a berikut ketika menziarahi kubur Abi Sufian bin Haris, Aqil
bin Abi Talib dan Abdullah bin Jaafar al-Tayyar r.a, sekiranya berpeluang:
Salam sejahtera ke atas engkau wahai Saiyidina Abi Sufian bin al-Haris. Salam
sejahtera di atas engkau wahai saudara susu Rasulullah SAW, salam sejahtera ke
atas engkau wahai Saiyidina Aqil bin Abi Talib, salam sejahtera ke atas engkau
wahai Saiyidina Abdullah bin Jaafar at-Tayar, salam sejahtera ke atas engkau
wahai saudara-saudara sepupu Rasulullah dan salam sejahtera ke atas mereka
yang berada di sekeliling kamu daripada sahabat-sahabat Rasulullah SAW
warahmatullahi wabarakatuh.
76
8. Bacalah pula do’a berikut ketika menziarah kubur para isteri Nabi SAW,
sekiranya berpeluang:
Salam sejahtera ke atas kamu wahai isteri-isteri Rasulullah, salam sejahtera
ke atas engkau wahai isteri-isteri Nabi Allah, ibu-ibu bagi orang Mu’minin
warahmatullahi wabarakatuh , ya Allah kurniakanlah keredaan-Mu kepada
mereka; muliakanlah kedudukan mereka, gandakanlah pahala amalan-amalan
mereka. Amin.
9. Bacalah do’a berikut ketika menziarahi kubur puteri-puteri baginda
SAW, sekiranya berpeluang:
Salam sejahtera ke atas kamu wahai puteri-puteri Rasulullah, salam sejahtera ke
atas kamu wahai puteri-puteri Nabi Allah, warahmatullahi wabarakatuh.
77
10. Kiranya berpeluang menziarahi kubur Saiyidina Abas, Saiyidatina
Faitmatuz Zahrah, Saiyidina Muhammad al-Baqir, Sayidina Jaffar al-
Sadiq r.a bacalah:
Salam sejahtera ke atas engkau wahai Saiyidina Abas bapa saudara Rasulullah,
salam sejahtera ke atas engkau wahai bapa saudara Nabi Allah, salam sejahtera ke
atas engkau wahai Saiyidatina Fatimatuz Zahrah, salam sejahtera ke ats engkau
wahai ketua daripada segala perempuan yang Mu’min, salam sejahtera ke ats
engkau wahai ibu bagi kedua orang ketua pemuda ahli syurga, salam sejahtera
ke atas engkau wahai Hassan bin Ali kesayangan Rasulullah, salam sejahtera ke
atas engkau orang yang telah dido’akan akan dikau oleh nenek engkau Saiyidina
Muhammad SAW dengan katanya: Ya Allah kusayangkannya, maka kasihi oleh-
78
Mu akan dia, salam sejahtera ke atas engkau wahai ketua pemuda ahli syurga,
salam sejahtera ke atas engkau wahai Ali bin al-Hussein Zainal Abidin, salam
sejahtera ke atas engkau wahai Muhammad al-Baqir, salam sejahtera ke atas kamu
wahai sekalian keluarga Nabi warahmatullahi wabarakatuh.
11. Bacalah do’a berikut ketika menziarahi kubur Saiyidatina Safiah binti
Abdul Muttalib r.a, sekiranya berpeluang:
Salam sejahtera wahai Saiyidatina Safiah emak saudara Rasulullah, salam
sejahtera ke atas engkau wahai ibu Zubir warahmatullahi wabarakatuh.
Perkuburan Syuhada’ Uhud
Anda juga digalakkan menziarahi perkuburan para syuhada’ yang mati di
dalam Peperangan Uhud, jika masa dan keadaan mengizinkan. Perkuburan
ini terletak di Jabal Uhud yang letaknya 4½ km dari Masjid Nabawi. Di
situ, telah berlaku pertempuran di antar kaum Muslimin dengan musyrikin
pada tahun ke-3 Hijrah, di mana 70 orang Muslimin terkorban mati
syahid. Di antaranya ialah ayahanda saudara Rasulullah iaitu Saiyidina
Hamzah r.a. Dalam satu hadith, junjungan Rasulullah SAW ada bersabda,
mafhumnya: “Uhud adalah sebuah gunung yang kasih kepada kita dan kita
pun kasih kepadanya.”
Bacalah do’a berikut ketika menziarah kubur Saiyidina Hamzah bin
Abdul Muttalib, Saiyidina Abdullah bin Jahsyi dan Saiyidina Mus’ab bin
Umair r.a:
79
Salam sejahtera ke atas engkau wahai Saiyidina Hamzah bapa saudara Rasulullah,
salam sejahtera ke atas engkau wahai penghulu bagi para syahid, salam sejahtera
ke atas engkau wahai singa Allah dan singa Rasulullah, salam sejahtera ke atas
engkau wahai Saiyidina Mus’ab bin Umair, salam sejahtera ke atas kamu wahai
orang-oang yang mati di dalam Peperangan Uhud, salam sejahtera ke atas kamu
di atas kesabaran kamu menghadapi musuh untuk menegakkan kebenaran Islam
iaitu sebaik-baik balasan yang akan kamu terima daripada Allah. Ya Allah Ya
Tuhanku, gandakanlah pahala amalan mereka yang mereka telah lakukan untuk
kesucian agama Islam dan pemeluk-pemeluknya. Tinggikanlah pangkat dan darjat
mereka dengan kemurahan Engkau wahai Tuhan yang Amat Pemurah.
80
Masjid-Masjid Bersejarah
Di Madinah dan sekitaranya terdapat beberapa buah masjid yang
bersejarah yang sayugia diziarahi oleh jemaah haji apabila berada di sana.
Masjid-masjid tersebut adalah seperti berikut:
1. Masjid Quba (letaknya lebih kurang 4½ km dari Masjid Nabawi di
pihak barat daya Madinah) iaitu masjid yang didirikan di atas dasar takwa
sebagaimana tersebut dalam Surah At-Taubah:108:
Sesungguhnya masjid (Quba yang engkau bina wahai Muhammad) yang telah
didirikan di atas dasar takwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau
sembahyang padanya.
Para jemaah Shahidah di hadapan Masjid Quba
81
2. Masjid Al-Qiblatain (Masjid Dua Kiblat). Ketika Rasulullah
sembahyang di dalam masjid tersebut menghadap Baitul Muqaddis
menurut kebiasaannya tiba-tiba turun perintah supaya sembahyang
menghadap Masjidil Haram sebagaimana diterangkan dalam Surah al-
Baqarah: 144
Kerapkali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menengadah
ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling menghadap Kiblat yang engkau
sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram (tempat letaknya
Baitullah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkan muka kamu ke arahnya.
3. Al-Masajid (Masjid Tujuh), di mana sekitar kawasan itu dalam tahun
ke-5 Hijrah, berlaku Peperangan Khandak (Peperangan Parit) atau Ahzab
(Peperangan Kumpulan Pasukan-Pasukan) di antara pasukan-pasukan
penyatuan kaum musyrikin dengan pasukan Muslimin yang diketuai oleh
Junjungan Rasulullah dan musuh-musuh itu telah dibinasakan oleh Allah
dengan turunya ribut kencang dan para malaikat.
82
4. Masjid al-Ghamamah, Masjid Saiyidina Omar al-Khattab,
Masjid Saiyidina Ali, Majid Saiyidina Bilal, Masjid al-Jumaah
dan Masjid al-Fatah.
Ketika menziarahi masjid-masjid tersebut bacalah do’a berikut:
Ya Allah ya Tuhan kami! Perkenanlah do’a kami, afiatkanlah kami, maafkanlah
kesalahan kami, matikanlah kami di dalam Islam, hidupkanlah kami di dalam
Islam, himpunkanlah kami dengan orang-orang yang salih. Ya Allah ya Tuhan!
Aku abadikan tempat yang suci ini daripada hari ini sehingga har kiamat dengan
ikhlas dan jujur kalimah tauhid:
Kemudian bacalah Fatihah sekali sebagai hadiah kepada Rasulullah SAW
serta sahabat-sahabat dan keluarga baginda serta sekalian orang-orang
Mu’min/Mu’minah.
Ziarah Wada’
Setiap orang yang hendak meninggalkan Madinatul Munawwarah adalah
disunatkan berziarah Selamat Tinggal kepada Rasulullah SAW sebagai
menghormatinya dan berangkat pulang setelah berziarah itu.
Bagi mereka yang datang haid dan nifas, eloklah membuat Ziarah
Wada’ dengan mengucap salam dan do’a, memadai dari tempat yang
berhampiran (di luar masjid ) dengan makam Rasulullah.
83
Do’a Ziarah Selamat Tinggal
Ya Tuhanku, janganlah dijadikan ziarah hamba-Mu di tempat yang mulia ini
sebagai ziarah yang penghabisan, kurniakanlah kepada hamba peluang untuk
menziarahi kembali ke tempat ini dalam keadaan sihat dan baik, jika panjang
umur hamba insya Allah, hamba akan datang lagi, jika sampai ajal hamba, maka
hamba telah mengabadikan kepada-Mu syahadat dan perjanjian hamba dari hari
ini sehingga hari kiamat, iaitu hamba bersaksi tidak ada Tuhan yang disembah
dengan sebenar-benarnya melainkan Allah, Tuhan yang Esa yang tidak ada sekutu
bagi-Nya, dan hamba naik saksi bahawa Nabi Muhammad hamba-Nya lagi
pesuruh-Nya, Maha kekuasaan, dari apa yang mereka sifatkan, salam sejahtera
ke atas sekalian Rasul serta segala puji-pujian tertentu bagi Allah Tuhan yang
memelihara dan mentadbirkan seluruh alam.
84