The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

Satu dokumen penerangan bagaimana KAFA SK Api Api ditubuhkan sebagai rujukan di masa akan datang.

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by Abdullah Ghani, 2019-07-19 16:23:59

KRONOLOGI PENUBUHAN KAFA SK API API KOTA KINABALU

Satu dokumen penerangan bagaimana KAFA SK Api Api ditubuhkan sebagai rujukan di masa akan datang.

Keywords: KAFA SK Api Api,Kronologi KAFA SK Api Api

1/9

MEMO RASMI

TARIKH MEMO : 08/07/2019

DARIPADA : MOHD ABDULLAH ABD GHANI
MELALUI PENYELARAS KAFA SK API API
KEPADA
: AZMAN BUDI
PENGERUSI KAFA

: SEPERTI SENARAI

PERKARA : PENGUPASAN ISU KELULUSAN
OPERASI KAFA SK API API

KEPADA:
GURU BESAR SK API API
PENYELIA KAFA PANTAI BARAT SELATAN
PENGARAH JAKIM CAWANGAN SABAH

SALINAN KEPADA:
PENGERUSI PIBG SK API API
EXCO PENDIDIKAN, KAJISELIDIK DAN SAHSIAH PIBG
AJK INDUK KAFA SK API API

ISI KANDUNGAN MEMO:

Merujuk kepada perkara di atas, adalah dimaklumkan bahawa kebelakangan
ini terdapat kebimbangan di kalangan ibubapa yang telah mendengar desas-desus
mengatakan bahawa KAFA SK Api Api beroperasi tanpa kelulusan JAKIM.

Sehubungan dengan perkara ini, saya selaku Penyelaras KAFA dan orang yang
bertanggungjawab dalam proses permohonan dan penubuhan KAFA SK Api Api
dengan ini cuba untuk memberikan kefahaman yang jelas berkaitan isu ini
berdasarkan kronologi penubuhan KAFA yang dilampirkan bersama memo ini. Di
harap ianya dapat menjawab kekeliruan yang ada selama ini.

Sekian, terimakasih dan harap maklum.

Berlampir:

2/9

BENARKAH KAFA SK API API BEROPERASI TANPA KELULUSAN JAKIM ?

Pengupasan Isu Melalui Kronologi Penubuhan
Disediakan oleh:

Mohd Abdullah Abd Ghani
Penyelaras KAFA SK Api Api

6 Julai 2019

PERNYATAAN ISU

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Segala puji dan syukur ke hadrat Allah,
Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi kita Muhamad s.a.w., ahli
keluarga dan para sahabat Baginda sekalian.

Baru-baru ini beberapa orang ibubapa mula bertanya kepada Penyelaras KAFA berkenaan desas-desus
yang mereka dengar bahawa KAFA SK Api Api ditubuhkan tanpa mendapat Kelulusan daripada Pihak
JAKIM dan Pihak Jabatan Pendidikan Negeri. Para ibubapa ini bimbang bahawa KAFA SK Api Api akan
ditutup atas Penubuhannya yang dikatakan “tidak sah”.

Bagi menjawab persoalan di atas, saya sebagai Penyelaras KAFA SK Api Api dan mantan Exco
Pendidikan, Penyelidikan dan Sahsiah PIBG SK Api Api bagi Sesi 2016-2018 serta selaku orang yang
bertanggungjawab menguruskan penubuhan KAFA ini daripada awal sehingga kini akan cuba
menjawab persoalan ini setelus yang saya termampu mengikuti ruang lingkup pengetahuan saya.

Sedari awal langkah penubuhan KAFA SK Api Api, saya selaku Penyelaras bagi penubuhan KAFA di
bawah PIBG pada ketika itu sentiasa berhati-hati di dalam mengikuti segala peraturan dan langkah-
langkah penubuhan KAFA mengikut garis panduan JAKIM, apatah lagi apabila saya sentiasa diingatkan
oleh mantan Guru Besar SK Api Api iaitu Cikgu Ag Ghani bin Ag Bakar untuk meneliti segala prosedur
yang ada sebelum beliau membenarkan KAFA beroperasi di SK Api Api.

KRONOLOGI PENUBUHAN KAFA SK API API

Adalah lebih mudah untuk saya menerangkan kepada sesiapa yang berminat untuk memperhalusi dan
meneliti isu ini berdasarkan kepada kronologi penubuhan KAFA SK Api Api dan membuat penilaian
terhadap “sahnya” penubuhan KAFA SK Api Api dengan merujuk segala dokumen yang berkaitan
dalam kronologi tersebut.

Kronologi penting penubuhan KAFA SK Api Api adalah seperti yang saya senaraikan di bawah:

1. Punca Kuasa Tanggungjawab Penubuhan KAFA : 01/11/2017

2. Mesyuarat Jawatankuasa Penaja KAFA Pertama : 09/01/2018

3. Perbincangan Awal antara PIBG dan Guru Besar : 18/01/2018

4. Taklimat Prosedur Penubuhan KAFA oleh JAKIM : 25/01/2018

5. Pungutan Suara Permintaan KAFA oleh Ibubapa : 06-13/02/2018

6. Penghantaran Dokumen Permohonan KAFA Ke JAKIM : 21/05/2019

7. Lawatan Tapak oleh JAKIM bagi penilaian kesesuaian : 25/07/2018

8. Saranan Pendaftaran KAFA oleh Ketua Unit KAFA JAKIM : 12-15/11/2018.

9. Guru-guru KAFA melapor diri di SK Api Api : 31/12/2018

10. Sesi Taklimat dan Mesyuarat Operasi KAFA : 03/01/2019

11. Operasi KAFA SK Api Api Bermula : 14/01/2019

12. Perbincangan Kelulusan KAFA dengan Pengarah JAKIM : 08/07/2019

3/9

1. Punca Kuasa Tanggungjawab Penubuhan KAFA: 1 November 2017

Ilham Penubuhan Kelas KAFA SK Api Api tercetus sekitar bulan September 2017 hasil daripada
perbincangan beberapa ibubapa yang inginkan pewujudan kelas agama pada sebelah petang di SK Api
Api apabila difikirkan adanya peluang penggunaan kelas-kelas yang tidak digunakan pada sesi petang.
Usul pewujudan kelas KAFA ini telah di bawa ke Mesyuarat PIBG Bil 3, bertarikh 1 Nov 2017. Usul
pewujudan KAFA SK Api Api ini dapat dirujuk kepada Perkara 8.4, Mesyuarat PIBG Bil. 3 sebagaimana
petikan peranggan perkara tersebut di bawah:

“Encik Darul Nazli mencadangkan untuk kelas KAFA diadakan di Sekolah Kebangsaan Api Api
bagi memudahkan ibu bapa dan murid – murid yang bersekolah agama pada waktu petang.
Beliau menyatakan bahawa kelas KAFA hanya boleh diwujudkan oleh PIBG sekolah.
Peruntukan daripada JAKIM akan dimasukkan ke Akaun PIBG Sekolah. Guru Besar menyokong
penuh cadangan beliau dan meminta AJK Induk mengambil contoh daripada SK Kolombong
yang telah berjaya mengurus kelas KAFA pada waktu petang. Cadangan Encik Darul Nazli
dipersetujui dan diluluskan oleh semua AJK Induk. Puan Hashima selaku NYDP menurunkan
kuasa kepada Exco Pendidikan, Encik Mohd Abdullah untuk menguruskan penubuhan dan
perlaksanaan kelas KAFA. Pelaporan mestilah dibuat kepada NYDP sahaja.”

Bertitik tolak daripada keputusan Mesyuarat PIBG Bil 3, Perkara 8.4, maka saya selaku Exco Biro
Pendidikan, Sahsiah dan Kaji selidik PIBG SK Api-Api pada ketika itu telah mengambil inisiatif untuk
memanggil beberapa orang ibubapa sukarelawan yang dikenalpasti untuk hadir dalam mesyuarat
Pertama pembentukan AJK KAFA dalam usaha membantu penubuhan KAFA SK Api Api.

2. Mesyuarat Jawatankuasa Penaja KAFA Pertama : 9 Januari 2018

Mesyuarat AJK KAFA pertama tersebut yang diadakan pada 9 Januari 2018, jam 8.00 malam di
Restoran ‘Sagoo Kitchen’, Alam Mesra, Kota Kinabalu. Melalui mesyuarat ini maka tertubuhlah AJK
PELAKSANA KAFA yang terdiri daripada sukarelawan ibubapa SK Api Api seperti senarai di bawah:

Bil Nama Jawatan
1 En Azman Budi Pengerusi
2 En Darul Nazli Dahalan Setiausaha
3 En Sharif Abdullah Abd Malik Bendahari
4 En Mohd Abdullah Abd Ghani Wakil Ibubapa
5 Ust. Shahrul Iswar bin Idris Wakil Guru
6 En Mazlee Mahmud AJK Maklumat
7 En Abd Ghaffar Takunai Pendaftar
8 Pn. Halina Ibiniameen AJK Tabungan
9 Pn. Bujiah Hj Rohimin AJK Tugas Khas

Maklumat terperinci bagi isi kandungan mesyuarat ini boleh dirujuk kepada Minit Mesyuarat yang
berada di dalam simpanan Fail PIBG dan Fail KAFA.

Untuk makluman Jawatankuasa ini telah mengalami sedikit rombakan pada masa kini (Julai 2019).

4/9

3. Perbincangan Awal antara PIBG dan Guru Besar : 18/01/2018

Satu perbincangan antara Gurubesar, Wakil PIBG yang terdiri daripada Pn Hashima Hasbulah (NYDP
PIBG) dan En Mohd Abdullah Abd Ghani (Exco Pendidikan, Sahsiah dan Kajiselidik PIBG) serta JK
PENAJA KAFA yang terdiri daripada En Azman Budi (Pengerusi KAFA) dan En Darul Nazli Dahlan
(Setiausaha KAFA) telah diadakan di bilik pejabat Gurubesar pada 18.01.2018 jam 11.45 pagi.
Perbincangan ini telah berlangsung lebih kurang sejam bagi membincangkan perkara-perkara
berkaitan perlaksaan kelas KAFA di SK Api Api.

Terdapat 13 perkara yang disepakati dan diputuskan dalam perbincangan ini oleh Guru Besar. Antara
syarat penting yang dikehendaki oleh Guru Besar ialah syarat ke 13 iaitu Gurubesar meminta agar satu
sesi taklimat bersama Pegawai JAKIM yang dihadiri oleh Pentadbir Sekolah, PIBG dan JK KAFA diadakan
dalam tempoh terdekat sebelum beliau membuat keputusan dan persetujuan rasmi secara bertulis
mengenai permohonan PIBG untuk mewujudkan kelas KAFA.

Maklumat terperinci bagi isi kandungan perbincangan ini boleh dirujuk kepada Memo Dalaman
bertarikh 24.01.2017 yang berada di dalam simpanan Fail PIBG dan Fail KAFA.

4. Taklimat Prosedur Penubuhan KAFA oleh JAKIM : 25/01/2018

Satu sesi taklimat telah diadakan oleh Penyelia KAFA Pantai Barat Selatan, iaitu Ustaz Hairumi Hussin.
Taklimat diadakan pada 25 Januari 2018 menyentuh berkaitan prosedur dan keperluan dokumentasi
permohonan KAFA untuk dibawa ke Mesyuarat KAFA Negeri yang dihadiri oleh AJK KAFA, Wakil PIBG,
Guru Besar (Cikgu Ag Ghani Ag Besar), Pentadbir Sekolah dan Guru-guru Agama SK Api Api.

Antara isi penting Taklimat ini ialah Perkara 5 yang menyentuh keperluan pengisian Borang
Permohonan Penubuhan KAFA berserta 4 dokumentasi penting seperti yang tersenarai dibawah:

Borang permohonan pewujudan Kelas KAFA kepada JAKIM harus dilampirkan bersama:

a. Minit mesyuarat Jawatankuasa Penaja
b. Kertas cadangan Pewujudan Kelas KAFA
c. Kebenaran Guru Besar untuk menggunakan sekolah bagi kelas KAFA
d. Senarai Pelajar KAFA yang akan mendaftar.

Di dalam sesi soal jawab perkara 6, saya telah bertanya kepada Guru Besar mengenai prosedur
kelulusan daripada Pejabat Pendidikan. Beikut adalah jawapan Guru Besar seperti yang direkodkan di
dalam dokumen Laporan Taklimat melalui Memo Dalaman bertarikh 06/02/2017.

“Komen Guru Besar: Beliau menyatakan perkara kelulusan bukanlah masalah yang besar. Beliau
sudah berhubung dengan Guru Besar SK Kelombong yang juga mempunyai kelas KAFA yang
sedang berjalan dan beliau juga ada berhubung dengan PPD tentang perkara ini. Guru besar
memerlukan dokumen permohonan yang lengkap terdiri daripada kertas kerja, surat
permohonan penggunaan bangunan untuk premis KAFA, surat sokongan penubuhan KAFA dari
JAKIM, senarai pelajar yang mengikuti kelas KAFA. Selepas mendapat kelulusan JAKIM barulah
Guru Besar akan membuat surat makluman kepada PPD.”

5/9

Di dalam Sesi Soal Jawab Perkara 6 ini jelas dinyatakan bahawa Guru Besar telah berhubung dengan
PPD dan akan menghantar surat Pemakluman kepada PPD berkenaan Penubuhan KAFA Selepas
mendapat kelulusan JAKIM.

Maklumat terperinci bagi isi kandungan Laporan Taklimat ini boleh dirujuk kepada Memo Dalaman
bertarikh 06.02.2017 yang berada di dalam simpanan Fail PIBG dan Fail KAFA.

5. Pungutan Suara Permintaan KAFA oleh Ibubapa : 06-15/02/2018

Penyelia KAFA Pantai Barat Selatan mencadangkan agar pungutan suara dibuat untuk memastikan
bilangan pelajar yang ingin didaftarkan oleh ibubapa mereka ke KAFA SK Api Api ini. Melalui borang
pungutan suara yang diedarkan pada 06-15 Februari 2018, seramai 151 orang pelajar (39.4% daripada
jumlah keseluruhan 318 orang pelajar muslim) ingin mendaftar di kelas KAFA SK Api Api. Senarai
Pelajar yang ingin mendaftar ini boleh dirujuk di dalam FAIL PIBG, FAIL KAFA dan FAIL JAKIM.

6. Penghantaran Dokumen Permohonan KAFA Ke JAKIM : 21/05/2018

Setelah selesai membuat pungutan suara, saya telah melengkapkan dokumen-dokumen yang
diperlukan untuk dihantar kepada Pengarah JAKIM seberapa cepat yang mungkin kerana menurut
Pihak JAKIM, Mesyuarat Jawatankuasa KAFA Negeri akan bersidang sekali lagi dalam Bulan Mei 2018.
Persidangan sebelum itu telah berlangsung di penghujung bulan Februari dimana atas kesempitan
waktu yang ada kerana usaha pungutan suara yang memakan masa hampir 2 minggu, maka Borang
dan Dokumen Permohonan KAFA tidak sempat untuk dihantar untuk dibawa ke Persidangan
Jawatankuasa KAFA Negeri yang pertama pada Februari 2018. Antara lain yang menyebabkan
Penghantaran Dokumen tertangguh sehingga 21 Mei juga ialah:

a. Pengarah JAKIM Sabah Allahyarham Ustaz Haji Mat Radzi Mat Ali telah meninggal
dunia pada 18 Mac 2018. Ini menyebabkan saya menangguhkan penghantaran Surat
Permohonan Penubuhan KAFA.

b. Kesibukan persiapan Dokumentasi Kewangan PIBG bagi persediaan Mesyuarat PIBG
2018 yang dilangsungkan pada 30 Mac 2018. Pada masa tersebut tumpuan saya lebih
terarah kepada kerja-kerja penyelarasan Akaun PIBG setelah saya memangku
sementara Jawatan Bendahari selepas Mesyuarat Agong PIBG berlangsung kerana
Bendahari PIBG berpindah sekolah.

c. Pilihanraya Umum ke-14 2018 yang berlangsung pada 9 Mac 2018 telah menyaksikan
perubahan besar dalam Politik Negara di samping memberikan kesan sedikit kepada
pentadbiran JAKIM pada masa tersebut. Disebabkan itu saya mengambil keputusan
untuk menangguhkan dahulu penghantaran Dokumen Permohonan di atas kerisauan
saya jika berlakunya pertukaran pegawai yang boleh menyebabkan keciciran
dokumen yang dihantar. Disamping itu juga saya mengambil keputusan untuk
menunggu masa yang paling sesuai untuk berjumpa dengan pegawai yang
bertanggungjawab setelah organisasi JAKIM dan KAFA Negeri saya rasakan agak baik
dan stabil Selepas kesan PRU-14.

6/9

Pada 21/05/2019 saya bersama-sama dengan YDP PIBG (En Azman Budi) dan NYDP PIBG (Pn Hashima
Hasbullah) telah menghantar sendiri Surat Permohonan beserta Borang-borang yang berkaitan iaitu:

a. Borang A: Permohonan Penubuhan KAFA
b. Kertas Cadangan Penubuhan Kelas KAFA SK Api-Api
c. Surat Kebenaran Guru Besar untuk menggunakan sekolah dan kemudahan
d. Senarai Pelajar yang mahu mendaftar kelas KAFA SK Api Api

Kesemua dokumen ini telah dihantar kepada Pihak JAKIM dan boleh dirujuk di Pejabat JAKIM
Cawangan Sabah. Kami juga berpeluang mengadakan perbincangan dengan Penolong Pengarah Kanan
Unit KAFA, JAKIM, Cawangan Sabah pada ketika itu iaitu Ustazah Nordiana bt Alwi.

Perbincangan ini juga dihadiri oleh Penyelia KAFA Pantai Barat Selatan JAKIM, Ustaz Hairumi Hussin.
Di dalam perbincangan yang berlangsung hampir sejam tersebut, Ustazah Nordiana menyatakan
kegembiraan dan sokongan penuh beliau terhadap penubuhan KAFA SK Api Api. Beliau menyatakan
bahawa sebaik-baiknya KAFA SK Api Api beroperasi secepat yang mungkin dalam tahun 2018. Beliau
juga menyatakan bahawa keutamaan akan diberikan kepada SK Api Api untuk penempatan guru-guru
KAFA. Menurut beliau mereka sedang berusaha untuk menambahkan guru-guru KAFA melalui
temuduga yang akan dijalankan. Beliau juga memaklumkan bahawa Jawatankuasa Negeri akan
bersidang dalam tempoh terdekat dan permohonan SK Api Api merupakan keutamaan yang akan
dibuat Pengesahan (Endorsement) pada masa tersebut.

Secara peribadinya sebagai Ketua Unit KAFA, beliau menyatakan bahawa Permohonan Penubuhan
KAFA SK Api Api adalah dipersetujui dan seramai 5 atau 6 guru akan dihantar ke SK Api Api. Beliau
menyatakan bahawa status permohonan cuma memerlukan “Endorsement” secara rasmi daripada
Jawatankuasa Negeri untuk membolehkan Surat Kelulusan Penubuhan KAFA dikeluarkan.

Walaubagaimanapun sehingga kini (Julai 2019) saya dimaklumkan oleh Penyelia KAFA Pantai Barat
Selatan bahawa Jawatankuasa KAFA Negeri masih belum bersidang sejak tertubuhnya Kerajaan Baru.
Keadaan ini telah membantutkan Perolehan Surat Kelulusan Penubuhan KAFA. Kali terakhir
Jawatankuasa KAFA Negeri bersidang ialah pada hujung bulan Februari 2018. Saya difahamkan oleh
Penyelia KAFA bahawa sebelum ini biasanya Jawatankuasa KAFA Negeri bersidang sekurang-
kurangnya tiga kali dalam setahun, walaubagaimapun tahun 2018 hanya terdapat sekali persidangan
dan tahun 2019 belum ada persidangan berlangsung sehingga kini. Penyelia KAFA juga menyatakan
bahawa ada kemungkinan persidangan akan berlangsung pada Julai 2019.

7. Lawatan Tapak pihak JAKIM bagi penilaian kesesuaian : 25/07/2018

Pada 25/7/2018, pihak JAKIM telah mengadakan lawatan tapak ke SK Api Api dengan diiringi oleh
Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (Cikgu Mohd Sarizam Mat Sanit) untuk melihat kesesuaian dan
fasiliti yang ada. Penyelia JAKIM berpuashati dengan fasiliti yang ada dan kesesuaian kelas.

8. Saranan Pendaftaran KAFA oleh Ketua Unit KAFA JAKIM : 12-15/11/2018

Seperti yg disarankan oleh Ustazah Nordiana melalui Perbualan Peribadi beliau dengan saya melalui
Applikasi Whatsapp, maka AJK KAFA SK Api Api telah mula melakukan pendaftaran KAFA Sesi 2019
bermula 12-15/11/2018. Ustazah Nordiana meminta agar dilakukan Pendaftaran Rasmi agar jumlah
sebenar murid KAFA yang berdaftar di SK Api Api dapat diketahui bagi membolehkan dia merezabkan
kuota utk SK Api Api berdasarkan jumlah yang akan mendaftar secara sah. Beliau juga menyatakan
bahawa “Endorsement” akan dibuat semasa mesyuarat Jawatankuasa KAFA Negeri sebagai Formaliti.

7/9

Dokumentasi lengkap mengenai perkara ini dapat di rujuk melalui Laporan Aktiviti KAFA Kepada
Penyelia KAFA Pantai Barat Selatan. Maka pada 12-15/11/2018 pendaftaran KAFA SK Api Api telah
dilaksanakan oleh Pendaftar KAFA SK Api Api (En Abd Ghaffar Takunai). Seramai 169 pelajar telah
direkodkan mendaftar.

9. Guru-guru KAFA melapor diri di SK Api Api : 31/12/2018

Pada 31/12/2018, seramai lima orang Guru KAFA perintis iaitu Ustaz Muhd Afiq Suhairansah, Ust. Mohd Ehsan
Rasit, Ustazah Sarimah bt Jusnih, Ustazah Dianor bt Jafran, dan Ustazah Nazirah bt Azman telah melapor diri
dengan Pentadbir KAFA untuk bertugas di KAFA SK Api Api. Kesemua guru-guru ini merupakan guru terpilih
melalui temuduga oleh Pihak JAKIM dan mendapat Surat Lantikan daripada JAKIM dan ditempatkan di SK Api
Api.

10. Sesi Taklimat dan Mesyuarat Operasi KAFA : 03/01/2019

Di atas kemahuan Guru Besar supaya operasi KAFA ini berjalan dengan baik, maka satu sesi Taklimat
dan Mesyuarat Operasi KAFA antara pihak JAKIM, PIBG dan Guru Besar telah berlangsung di SK Api
Api telah diadakan pada 03/01/2019. Ustazah Khairunnisa' binti Yusof, Penolong Pengarah Unit KAFA
(Kurikulum), Jakim Cawangan Sabah telah memberikan Taklimat berkenaan status permohonan KAFA
SK Api Api dan kaedah pengoperasiannya. Antara isi penting dalam mesyuarat ini ialah:

a. Kafa adalah dipersetujui dan diluluskan oleh Ketua Unit KAFA JAKIM untuk beroperasi, cuma
menunggu endorsement daripada Jawatankuasa KAFA Negeri sebagai formality.

b. Guru Besar tiada halangan untuk KAFA beroperasi setelah diberikan oleh Ustazah Khairunisa
salinan surat Pekeliling Kebenaran KAFA beroperasi yang dikeluarkan oleh Jabatan
Pendidikan Negeri.

c. Guru Besar meminta agar operasi KAFA dimulakan pada 14/01/2019 bagi memberi laluan
kepada minggu Transisi Murid bagi Kelas Perdana. Semua ahli bersetuju dengan ketetapan
tersebut.

d. Satu sesi taklimat bersama ibubapa akan diadakan pada hari pembukaan KAFA pada
14/01/2019. Taklimat ini akan dihadiri oleh Pihak Pentadbir Sekolah, Penyelia KAFA,
Pentadbir KAFA dan PIBG.

Laporan terperinci mengenai isi kandungan mesyuarat ini boleh dirujuk kepada catatan minit
mesyuarat asal yang dicatatkan terus ke dalam komputer oleh Penyelaras KAFA pada 03/01/2019.

11. Operasi KAFA SK Api Api Bermula : 14/01/2019

Hasil daripada persetujuan dan permuafakatan dalam Mesyuarat Operasi KAFA di antara pihak JAKIM,
Guru Besar, Pentadbir KAFA dan PIBG pada 03/01/2019, semua ahli mesyuarat bersetuju untuk
memulakan operasi kelas KAFA pada 14/1/2019. Maka pada 14/01/2019 bermulalah detik bersejarah
beroperasinya kelas KAFA di SK Api Api setelah genap setahun usaha penubuhannya berjalan.

8/9

12. Perbincangan Kelulusan KAFA dengan Pengarah JAKIM : 08/07/2019

Pada penghujung Mei 2019, Guru Besar SK Api Api (Cikgu Ag Ghani Ag Bakar) yang telah terlibat secara
langsung dalam penubuhan KAFA SK Api Api dan juga yang telah membenarkan KAFA SK Api Api
beroperasi di sekolah selian beliau telah berpindah sekolah. Tempat beliau sebagai Guru Besar telah
digantikan oleh Guru Besar yang baru (Cikgu Hafiz Juraimy). Guru Besar baru telah berbincang dengan
Pentadbir KAFA SK Api Api dan menyatakan kebimbangan beliau tentang ketiadaan Surat Kelulusan
Rasmi daripada JAKIM. Beliau menyatakan kerisauannya tentang kelangsungan KAFA SK Api Api tanpa
adanya Surat Kelulusan ini. Saya sebagai Penyelaras KAFA merasakan inisiatif terbaik pada masa kini
adalah mengadakan perbicangan secara langsung diantara Pengarah JAKIM, Guru Besar SK Api Api,
Pentadbir KAFA SK Api Api dan PIBG berkenaan isu Kelulusan KAFA ini. Satu kunjungan hormat akan
diadakan pada 08/07/2019 bagi mendapatkan kaedah penyelesaian terbaik dalam kemelut ini.

KESIMPULAN

Secara ringkasnya dapatlah disimpulkan bahawa, Pentadbir KAFA SK Api Api telah memulakan operasi
KAFA di SK Api Api melalui pertimbangan-pertimbangan berikut:

a. Jaminan Kelulusan yang telah diberikan oleh Unit KAFA JAKIM walaupun Kelulusan Rasmi dan
Perakuan daripada Jawatankuasa KAFA Negeri belum diperolehi.

b. Guru Besar SK Api Api membuat perakuan bahawa pihak PPD telah maklum tentang
penubuhan KAFA ini dan surat Pemakluman Operasi KAFA akan dihantar ke PPD sebaik sahaja
Surat Kelulusan Rasmi diperolehi daripada JAKIM.

c. Guru Besar SK Api Api telah memberikan kebenaran bertulis yang telah dihantar kepada JAKIM
bersama dokumen permohonan yang lain. Beliau memberikan persetujuan di dalam
Mesyuarat bersama JAKIM pada 03/01/2019 untuk KAFA SK Api Api beroperasi.

d. Guru-guru KAFA telah dilantik dan mempunyai surat tawaran yang Rasmi dan ditempatkan di
SK Api Api oleh Pihak JAKIM. Ini menunjukkan Pihak JAKIM telah bersetuju KAFA SK Api Api
diwujudkan.

e. Segala proses dan prosedur penubuhan telah diikuti dengan baik tanpa membelakangkan
mana-mana pihak. Perlanggaran tatacara penubuhan bukanlah merupakan keputusan
terasing Pentadbir KAFA tetapi ianya merupakan keputusan sebulat suara antara Pihak
Sekolah, JAKIM dan Pentadbir KAFA.

Akhir sekali saya sebagai seorang Penyelaras ingin menyatakan bahawa saya hanyalah melakukan
amanah yang diberikan kepada saya untuk menyelaraskan Penubuhan dan Operasi KAFA SK Api Api.
Sebarang keputusan yang dibuat adalah keputusan permuafakatan tanpa ada sebarang manipulasi
daripada saya. Saya sebagai penyelaras juga sudah berusaha untuk mengikuti sebarang prosedur yang
ada sebaik mungkin.

9/9

Saya tidak nafikan terdapat sedikit kekhilafan di dalam penubuhan KAFA ini terutamanya dalam:

a. “Endorsement” kelulusan daripada JAKIM. Surat rasmi kelulusan belum diperolehi.
b. Prosedur Kelulusan Operasi KAFA daripada Pihak Pejabat Pendidikan Daerah/Negeri.

tetapi saya percaya keputusan dan nasihat pegawai JAKIM adalah yang terbaik kerana mereka
mempunyai pengalaman yang luas dalam pengurusan isu-isu berkaitan penubuhan KAFA, serta
keputusan Guru Besar adalah yang terbaik kerana beliau sebagai pentadbir sekolah semestinya lebih
arif berkaitan prosedur Jabatan Pendidikan.

Akhir sekali saya berharap agar ada jalan penyelesaian yang terbaik bak kata pepatah Melayu
“bagaikan menarik rambut di dalam tepung”.


Click to View FlipBook Version